Pengikut

Jumaat, Mac 14, 2008

EMEL 6: Allah wujud tidak bertempat

Salam untukmu sang pejuang.

Semoga bahagia selalu. Mungkin inilah tulisan yang awak nanti-nantikan sejak awak menggoda saya dengan emel tanpa nama. Ya, tentu saya akan membicarakan topik kegemaran awak. Apa yang awak mahu daripada saya, entahlah… Tapi saya ambil kesempatan ini untuk menginsafi diri sambil memberikan informasi kepada awak.

Seperti yang saya catat dalam bab tahlil arwah, di sini saya juga mahu awak tidak perlu susah-susah menyatakan puak salafi yang mengatakan “Allah duduk di Arasy” sebagai kafir. Anggap saja saya yang berkata begitu, dan yang mengatakan “Allah wujud tidak bertempat” itu awaklah. Maka diskusi (kalau awak masih mahu namakan ini sebagai diskusi) ini antara saya dan awak saja. Kita terselamat daripada mengatakan hal itu kepada orang lain dan nanti mengheret peribadi lain yang tidak kena-mengena antara kita. Sebab itu dari awal lagi saya tanyakan siapa awak, apa nama awak, supaya diskusi ini berlaku dengan sejujur-jujurnya. Mengapa susah sangat orang yang antisalafi seperti awak hendak memperkenalkan diri yang sebenarnya jika awak dan mereka yang seperti awak adalah pendakwah ke jalan Allah. Tidakkah awak tercabar untuk menyahut salam kejujuran daripada saya. Di sisi manusia saya dikenali, di sisi Allah juga Dia mengetahui.

Fahami betul-betul apa yang saya hendak tulis demi menunaikan permintaan awak. Kan awak yang beria-ia sangat mahu tahu pendirian saya mengenai Allah wujud tidak bertempat.

Allah memperkenalkan diri-Nya

Saya tidak mahu menggunakan akal untuk menyatakan hal-hal yang ghaib, melainkan apa yang dicatat dalam alquran dan sunah. Prinsip saya untuk mengetahui siapa Allah sebagai rabb, maka saya menggunakan kaedah “Saya mengenali Allah sebagaimana Allah memperkenalkan diri-Nya melalui alquran dan hadis nabi-Nya”. Saya tidak akan mengatakan kurang atau lebih daripada apa yang dinaskan. Pun begitu, saya akui bukanlah arif sebagaimana awak yang begitu mahir sehingga sesiapa yang tidak sependirian awak, maka kepada awak kafirlah dia. Besar maknanya pengkafiran awak kepada orang Islam yang tidak sama pendirian seperti awak. Kalau awak sudah kafirkan saya, ertinya awak tuduh saya murtad, apakah awak akan membunuh saya?

Saya menerima nasihat Allah dalam surah ali Imran ayat 7 bermaksud “Dialah yang yang menurunkan alkitab (alquran) kepada kamu. Antara isinya ada ayat-ayat yang muhkamat. Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong kepada kesesatan, mereka mengikuti sebagian ayat-ayat yang mutasyabihat untuk menimbulkan fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang mendalam ilmunya berkata: Kami beriman kepada ayat-ayat mutasyabihat, semua itu dari sisi Tuhan kami. Dan tidak dapat mengambil pelajaran (daripadanya) melainkan orang-orang yang berakal.”

Harap awak juga teliti bahawa ayat-ayat berkenaan sifat Allah adalah ayat mutasyabihat yang mengkhabarkan hal ghaib. Ayat yang menjadi debat awak ialah “Allah istiwa di Arasy”. Ada tujuh tempat ayat yang membawa maksud begitu seperti surah
Taha:5, as-Sajdah:4, al-Araf:54, Yunus: 3, ar-Raa’du:2, Furqan: 59 dan al-Hadid:4.

Biar saya jelaskan kalimah “duduk” atau “semayam” yang diterjemah daripada kalimah Arabnya “istiwa”. Kata ‘duduk’ diguna oleh orang biasa, manakala ‘semayam’ diguna untuk raja-raja. Bahasa Belanda, Jerman dan Jawa tentu mempunyai sebutan yang berbeda dengan kalimah asalnya yang Arab atau Melayu. Kalau awak tidak faham memang tersentak kerana menganggap rendahnya kedudukan Allah. Akal sudah kelabu, jadi apabila membaca terjemahan ‘Allah duduk di Arasy’ maka awak kata kafirlah si pengucap itu.

Prinsip saya ialah saya menerima ayat-ayat Allah berkenaan Allah istiwa di Arasy kerana itu adalah firman, wahyu-Nya. Saya sama sekali tidak membayangkan cara istiwa/semayam/duduk itu sebagaimana manusia atau makhluk kerana saya beriman dengan maksud ayat 11 surah syura “Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia (Allah), dan Dialah yang maha mendengar lagi maha mengetahui”. Saya beriman dengan maksud ayat “Allah mendengar” tanpa saya membayangkan telinga Allah. Saya biarkan begitu sebab Allah tidak pun memperkenalkan cara Dia mendengar. Tambahan ayat 11 surah syura tetap jadi panduan.

Kepada sesiapa yang beriman dengan ayat 11 surah Syura, apabila membaca ayat-ayat sifat Allah tidak akan menjadi ‘mujasimah’ atau menjisimkan Allah. Sebagaimana saya menerima sifat Allah yang berkata-kata, Allah maha mendengar, Allah maha melihat dan Allah maha mengetahui tanpa berfikir bagaimana dan membayangkan cara-caranya kerana semua itu adalah hak Allah, dalam kebesaran-Nya yang tidak sama sekali menyerupai apa yang manusia fikirkan. Maka begitulah saya beriman dengan 7 ayat yang membawa maksud Allah semayam/duduk di Arasy tanpa membuat apa-apa bayangan. Saya selesa sebagaimana selesanya beriman dengan ayat yang mengatakan Allah maha mendengar dan sebagainya itu.

Bagaimana Allah semayam di Arasy? Itu saya serahkan kepada Allah. Saya tidak mahu dan tidak akan berfikir sejauh itu. Saya tidak akan menggunakan akal untuk mentafsir (mentakwil) ayat-ayat mutasyabihat itu. Segala-galanya diserah kepada Allah. Begitu, beres dan mudah saja. Saya tidak mahu seperti orang Kristen yang berbelit-belit menceritakan akidahnya mengenai Isa sebagai nabi, sebagai tuhan, satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Pening kepala, kerana perkara ghaib yang kita dilarang memikir dan membincangkannya, tapi kita menceroboh had yang ditentukan.

Saya pernah mendapat SMS yang mengatakan kafirlah sesiapa yang mengatakan Allah di langit. Seperti Allah istiwa di Arasy, Allah di langit pun bukan diambil daripada novel. Allah dan nabi-Nya yang mengatakan begitu, saya terima, saya beriman, tak berani mengingkari maksud wahyu-Nya. Ayat menunjukkan Allah di langit ada pada surah al-Mulk:16-17, al-Mukmin: 36-37 dan Qasas: 38. Persoalan bagaimana Dia di langit, adakah langit itu seperti yang kita maksudkan, semua itu diserah kembali kepada Allah. Saya tidak akan membahas langit dan arasy itu tempat, Allah yang buat tempat, semata-mata untuk mengatakan Allah tidak bertempat. Jika Allah tidak memerintahkan saya memahami kedudukan Allah begitu, saya tidak akan memikirkannya. Saya pasrah, nerima seadanya. Saya ingat ayat 11 surah syura dan Ali Imran ayat 7.

Hadis nabi: Allah di langit.
Cuba perhatikan satu hadis sahih ini. Rasulullah bertanya kepada seorang hamba perempuan. Hamba perempuan bukanlah berpelajaran, biasa saja. Rasulullah tidak bertakwil-takwil tentang di mana Allah. Kalau kita menuduh kafir kepada yang berkata Allah di langit bagaimana kedudukan hamba perempuan ini sedangkan Rasulullah di hadapannya. Rasulullah memuji hamba ini!
Rasulullah SAW pernah mengajukan pertanyaan kepada seorang hamba perempuan milik Mua'wiyah bin Al-Hakam As-Sulamy sebagai ujian keimanan sebelum ia dimerdekakan oleh tuannya, iaitu Mu'awiyah (ertinya) :Nabi s.a.w. bertanya kepada hamba itu, "Di manakah Allah?” Jawab hamba perempuan, "Di atas langit.” Baginda bertanya lagi, "Siapakah Aku?". Jawab hamba itu, "Engkau adalah Rasulullah". Baginda bersabda : "Merdekakan ia, karena sesungguhnya ia mukminah (seorang perempuan yang beriman)!"
Hadits sahih. Dikeluarkan oleh Jama'ah ahli hadits, antaranya ialah:
Imam Malik (Tanwirul Hawaalik syarah Al-Muwath-tho juz 3 halaman 5-6).
Imam Muslim (2/70-71)
Imam Abu Dawud (No. 930-931)
Imam Nasa'i (3/13-14)
Imam Ahmad (5/447, 448-449)
Imam Daarimi 91/353-354)
Ath-Thayaalis di Musnadnya (No. 1105)
Imam Ibnul Jaarud di Kitabnya "Al-Muntaqa" (No. 212)
Imam Baihaqy di Kitabnya "Sunanul Kubra" (2/249-250)
Imam Ibnu Khuzaimah -Imamnya para Imam- di Kitabnya "Tauhid" (hal. 121-122)
Imam Ibnu Abi 'Aashim di Kitab As-Sunnah (No. 489 di takhrij oleh ahli hadits besar Muhammad Nashiruddin Al-Albani).
Imam Utsman bin Sa'id Ad-Daarimi di Kitabnya "Ar-Raddu 'Alal Jahmiyyah" (No. 60,61,62 halaman 38-39 cetakan darus Salafiyah).
Imam Al-Laalikai di Kitabnya "As-Sunnah " (No. 652). (sumber: Abdul Hakim bin Amir Abdat: rencana Di mana Allah?)

Saya tidak salahkan awak yang mentakwil kalimah ‘istiwa’ kerana tidak mahu menjisimkan Allah, tidak mahu menjadi kafir kerana bergelar mujasimah. Itu pilihan awak dalam memahami sifat Allah.

Siapa mujasimah?
Mari perhatikan penjelasan saya jika saya menolak maksud harfi “Allah sitiwa/semayam di Arasy”. Jika saya menganggap duduknya Allah di Arasy seperti makhluk, jelas sekali saya mujasimah. Untuk mengelak daripada berfikiran mujasimah, saya terpaksa mengubah erti istiwa (semayam) kepada istawla (menguasai). Penukaran ini kerana mahu disesuaikan dengan ayat 11 surah Syura. Tapi saya tidak ada hak untuk mengubah maksud kalimah istiwa yang erti asalnya ‘semayam’ kepada ‘menguasai’. Tambahan pula untuk saya kembali beriman kepada ayat 11 surah Syura itu, saya terpaksa menjadi mujasimah dahulu (membayangkan Allah duduk seperti manusia). Inilah akibatnya bermain-main menggunakan akal untuk memahami maksud ayat hal ghaib, sehingga terpaksa mengubah erti kalimah yang jauh maksudnya daripada erti yang harfi.

Saya yakin fikiran awak menjadi rumit dengan penjelasan di atas. Saya tidak tahu menjelaskan penukaran erti istiwa dan mujasimah dalam bentuk paling mudah. Mudah ini penting supaya kanak-kanak pun boleh faham. Kalau akidah rumit, orang yang tidak berpelajaran tidak faham, kanak-kanak jadi bingung lalu apa namanya Islam yang disifatkan ajaran yang mudah difahami? Saya yakin akidah Islam tidak serumit akidah Kristen. Sebab itu saya tidak mahu mengunakan kaedah yang awak tawarkan iaitu mengatakan “Allah wujud tidak bertempat” sebab melalui jalan rumit, termasuk mengubah erti asal kalimah dalam wahyu Allah.

Saya fikir panjang dan sudahlah saya membuat penerangan mengapa saya terus menggunakan lafaz dalam alquran: Allah semayam/istiwa di Arasy. Terpulanglah kepada awak sama ada akan terus mengkafirkan orang yang membaca erti harfi daripada alquran atau berlapang dada.

Awak hendak terus menggunakan kaedah takwil kalimah istiwa dan Allah wujud tidak bertempat terpulanglah kepada awak sendiri. Saya tidak rugi apa-apa dengan serangan awak. Malah saya berkesempatan menghantar banyak emel berkenaan perkara yang awak tidak suka, sekurang-kurangnya awak mengkajinya semula.

Sekian, terima kasih.


(emel saya ini kepada antisalafi mileniam74@yahoo.com di Jabatan Mufti tidak direspon apa-apa)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan