SETELAH bersyahadah “Tidak ada tuhan melainkan
Allah dan Muhammad adalah Rasulullah” setiap muslim tidak ada pilihan melainkan
meneruskan perjalanan hidupnya menuruti jalan atau manhaj yang disebut oleh
Allah dalam al-Quran. Ayat 153 surah Al-An’am maksudnya, “Dan bahawa
(Kami memerintahkan) inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah jalan ini,
janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerna jalan-jalan itu
mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya.
Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar bertakwa.”
Apabila telah jelas dasar kehidupan daripada
al-Quran dan ditunjuki oleh Junjungan Besar Nabi Muhammmad, maka terpaksalah
disebut adanya jalan-jalan yang mencerai-beraikan umah sebagai amaran. Tidak lain jalan-jalan yang tersasar itu
adalah jalan-jalan yang seakan-akan ‘jalan Allah’ walhal jalan yang direka-reka
menurut hawa nafsu.
Bahawa Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya), “Antara
diutusnya aku dan hari kiamat seperti ini (Baginda mengisyaratkan dua jari
telunjuknya dan tengah).” Baginda
selanjutnya bersabda lagi, “Amma ba’du. Sesungguhnya sebaik-baik perkataan
adalah Kitabullah, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, dan
seburuk-buruk perkara adalah perkara baru yang diada-adakan (dalam agama), dan
semua bid’ah adalah sesat.” (Riwayat Muslim)
Di situ Baginda Nabi menjelaskan hal dua jalan
iaitu jalan Allah dan rasul-Nya yang selamat dan satu lagi jalan palsu bernama
agama juga, walhal adalah perkara-perkara baru dalam agama yang menyesatkan
akidah.
Oleh kerna terlalu lama bergelumang dengan amalan
bid’ah, maka sebagian orang yang bernama besar dalam agama agak meremehkan
tuntutan menjauhi bid’ah. Tidak apa dengan bid’ah, sebab itu hal furu atau
kecil-kecil dalam agama. Antara mereka bisa berhujah bahawa bid’ah itu adalah
kebaikan dalam agama. Tujuan bid’ah adalah untuk kebaikan dan sudah
turun-temurun menjadi tradisi besar!
Namun manhaj al-Quran dan sunah sudah jelas. Malah sebelum Baginda Nabi s.a.w. menjelaskan
bahaya bid’ah, baginda telah menggetarkan hati para sahabatnya yang mendengar
nasihat.
Diriwayatkan daripada Al-‘Irbadh bin Sariyah
r.a., bahawa dia berkata: Suatu hari Rasulullah s.a.w. memberi nasihat yang
menggetarkan hati dan membuat air mata kami berlinang. Maka kami berkata, “Wahai
Rasulullah, sepertinya ini adalah nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat.”
Baginda Nabi Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku
wasiatkan agar kalian tetap bertakwa kepada Allah, selalu patuh dan taat
meskipun yang memimpin kalian adalah seorang hamba Habsyi. Sesiapa yang hidup sepeninggalanku, dia pasti
melihat perselisihan yang banyak. Maka berpegang teguhlah kepada sunahku dan
sunah khulafaa-ur rasyidin (para sahabat) yang mendapat petunjuk. Gigitlah dengan geraham kalian
(pegang/amalkan sunah). Dan berhati-hatilah dengan perkara yang diada-adakan,
kerna perkara yang diada-adakan adalah bid’ah sedangkan bid’ah itu adalah
kesesatan.”(Riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Yang melakukan bid’ah bukanlah orang di luar
masyarakat Islam, malah mereka yang kelihatan sangat jelas wajah beragamanya.
Maksudnya yang mengamalkan bid’ah adalah mereka yang melakukan amal ibadah
dengan harapan tinggi mendapat keredaan di sisi Allah. Mereka bukan daripada yang terpisah dengan
Islam, tidak. Sebab itu pengamal bid’ah
ini Baginda Nabi s.a.w. mengenalinya dan mereka juga mengenali Nabi s.a.w. di
akhirat kelak. Namun Baginda Nabi dipisahkan daripada pengamal bid’ah atau yang
menyalahi manhaj al-Quran dan sunah.
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a., dia
berkata “aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), “Aku akan
mendahului kalian tiba di Haudh (telaga al-kausar). Sesiapa saja yang tiba di
sana pasti meminum airnya dan tidak akan dahaga selama-lamanya. Akan datang
kepadaku sejumlah kaum (kumpulan), yang aku mengenali mereka dan mereka
mengenaliku. Kemudian aku dipisahkan
daripada mereka.”
Abu Hazim berkata, “An-Nu’man bin Abi Ayyasy
mendengarnya ketika ketika aku sedang menyampaikan hadis ini kepada
mereka. Beliau (An-Nu’man) berkata, ‘begitukah
engkau mendengarnya daripada Sahl bin Saad?’
Aku (Abu Hazim) membenarkannya. Dia berkata, ‘aku bersaksi bahawa
aku mendengar Abu Said al-Kudri menambah
‘Sesungguhnya mereka daripada umatku.
Lalu dikatakan kepadaku, engkau tidak tahu apa yang mereka perbuat
sepeninggalanmu. Maka aku katakan ‘semoga Allah menjauhkan (mereka) daripada
rahmat-Nya bagi yang menukar agama sepeninggalanku.” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Wallahu aklam