Pengikut

Selasa, Disember 30, 2008

SIKIT-sikit solat hajat

SEMUA mahu hajatnya ditunaikan oleh Allah. Dan sudah menjadi budaya dalam masyarakat, ada saja masalah buat solat hajat. Anak sakit, duit hilang, nak ambil peperiksaan dan seribu macam keinginan akan dipanjatkan kepada Allah dengan solat hajat. Tidak yakin Allah terima doanya, panggil Pak Imam. Emm, jika tidak yakin Pak Imam seorang yang bersolat akan dikabukan doanya, maka dibuat solat hajat secara jemaah atau besar-besaran. Lagi banyak yang datang macam dekat hendak periksa UPSR, PMR atau SPM dalam sebuah masjid, wah penganjurnya senyum besar. Begitulah akal manusia membuat tafsiran.

Pernahkah Rasulullah buat solat hajat macam masyarakat muslim kita buat? Adakah pernah baginda kumpulkan para sahabat buat solat hajat berjemaah untuk selesaikan masalah, misalnya masalah yang dahsyat dalam Perang Khandak? Tiada. Hish…, kalaulah tok-tok imam dari Malaysia ada bersama di Madinah semasa Perang Khandak itu mesti dah desak Rasulullah dan sahabat-sahabat buat solat hajat!

Ayat 186 surah al-Baqarah, Allah suruh kita minta kepada Allah. Ayat 45 pula jelaskan saat terbaik memanjatkan permohonan kepada Allah ialah dengan solat dan sabar. Ada hadis Nabi yang sahih dan popular, meminta kita berdoa dalam solat sewaktu sujud dan dalam duduk tahiyyat akhir. Contohnya maksud sabda Rasulullah, “ketahuilah sesungguhnya aku dilarang membaca alquran ketika rukuk dan sujud. Maka, kamu besarkanlah Tuhan ketika rukuk dan waktu sujud hendaklah berdoa kerana sesungguhnya besar kemungkinan doa itu dimakbulkan.” Riwayat Muslim dalam kitab solah.

Habis yang kaum kita buat solat hajat datang dari mana? Ada dua hadis yang bermasalah, yang tidak boleh dijadikan sandaran ibadah. Salah satu hadis itu ialah, “sesiapa berwudhuk dan sempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa sahaja yang diminta akan diberi oleh Allah baik cepat atau lambat.” Masalahnya ada perawinya majhul (tidak dikenali) iaitu Maimun Abu Muhammad. Kata Al-Albani pula sanad hadis ini putus, daripada seorang tabii tabiin terus kepada sahabat. Sepatutnya daripada tabii tabien kepada tabien dan kepada sahabat.

Kata Imam As-Suyuti, hadis itu sajalah yang paling munasabah untuk dijadikan dalil. (Mohd Yaakub bin Yunus, Panduan Solat Sunaat Cara Nabi, 2008). Dan tidak pula ada contoh untuk dilakukan secara jemaah. Kalau hendak buat juga, kena solat hajat sendirian.

Tentu ada yang tanya balik, ‘salahkah buat solat itu, kan benda baik. Buat berjemaah pun baik’. Jawabannya pun kurang lebih seperti ini sajalah: Kalau sudah cintakan alquran dan sunah, maka ikutlah pada petunjuk yang sah. Nak kata buat berjemaah itu baik, nampaknya solat selepas solat fardu (contohnya lepas maghrib) pun tidak siapa buat berjemaah.

Eeiii…, takkan solat sunat selepas maghrib berjemaah itu tidak baik. Solat sunat lepas maghrib sunat mu’akkad tau, lebih bagus daripada solat hajat itu.

Baguslah dah faham sikit-sikit…..

Isnin, Disember 29, 2008

BUAT apa kalendar Hijrah?

TAHUN hijrah ini ialah sudah 1430, ertinya sudah seribu empat ratus dan tiga puluh tahun peristiwa penting dalam sejarah umat Islam sehingga mendorong Khalifah Umar mengambil peristiwa itu sebagai titik tolak pengiraan kalendar Islam.

Di sekolah-sekolah murid-murid pun sudah diajar sebab-sebab yang menolak di Makkah untuk penghijarahan Nabi dan para sahabatnya. Juga sebab-sebab yang menarik dari Yastrib atau Madinah. Jangan lupa bahawa hijrah itu satu perintah dari langit selepas peristiwa isra’ mikraj yang fantastik itu.

Kita muslim banggalah sebab ada kalendar sendiri yang 12 bulan setahun. Kalendar Hijrah berdasarkan pusingan bulan terhadap bumi sementara kalendar Lunar berdasarkan pusingan bumi terhadap matahari. Tidak mengapakah, ini urusan matematik. Hari dan malam tetap sama. Selain kalendar Hijrah dan Lunar, orang Cina pun ada kalendarnya, sebab itu ada awal tahun juga, iaitu Tahun Baru Cina. Hebat dan meriah.

Apa faedahnya muslim ada kalendar sekarang sedangkan satu dunia pun sepakat menggunakan kalendar Lunar. Urusan semua muslim pun menggunakan kalendar Lunar, kecuali apabila hendak mengira tarikh urusan ibadah seperti puasa, iedul fitri dan iduladha. Untuk mengira pelaksanaan hari-hari ibadah itu pun sudah kacau, apa lagi untuk mengurus dunia. Maka memang tercabar, adakah kalendar Hijrah relevan dengan dunia atau hanya dimasukkan dalam kotak ibadah muslim saja. Malu dan marah? Suka hatilah….

Bayangkan Makkah sudah menyambut 10 zulhijah, tapi Malaysia belum lagi sedangkan bumi itu berputar dari timur. Ertinya Malaysia yang jumpa mentari dahulu, kita yang berjumpa hari baru dulu kemudian barulah Arab Badwi Makkah itu. Aneh, kita orang Malaysia pula pura-pura lewat sehari. Bukan itu saja, malah dalam sepuluh negara Asean yang semua ada muslim tidak berkongsi tarikh hari mula puasa dan hari raya yang sama. Itu sudah ratusan tahun dan mungkin terus hingga kiamat.

Bukan salah kalendar Hijrah, tapi salahnya para ilmuan Islam yang tidak maju mindanya. Dengan kemajuan ilmu, masih tidak mampu mengatasi kecelaruan 1000 tahun dahulu. Patutlah Islam dikatakan agama kehidupan zaman unta!

Berdosa dan gugur imankah kalau Kalendar Hijrah sudah menetapkan sejak awal lagi semua tarikh permulaan ibadah untuk seluruh dunia? Selama ini kalau orang Malaysia masih berpuasa dan orang Indonesia sudah lebaran, berdosakah orang Malaysia? Kalau selama ini tidak ada tuduh-menuduh sah atau haram, maka patut mudah saja tetapkan tarikh-tarikh ibadah untuk satu dunia sama saja.

Selagi ilmuan tidak dapat menyatu fikiran dalam hal kalendar Hijrah ini, jangan banyak cakaplah hendak bersatu ekonomi dan politik yang memang ruang untuk manusia berbalah dan berperang! Jangan mimpi negara-negara Islam hendak bersatu melawan Amerika dan Israel, satukan penggunaan kalendar pun tak mampu!

MARI menghafal mentera doa

SEBENTAR tadi saya menonton dokumentari ‘kelahiran buddhist’ di sebuah negara himalaya, Bhutan. Cukup aneh dan tidak rasional mengenai anak-anak lelaki yang didakwa sebagai trulku, iaitu kelahiran semula ikon Buddhist yang telah mati. Namun kerana dalam agama ada hal yang manusia terpaksa meletakkan rasional dalam kotak, maka begitu juga para penganut Buddha di sana.

Saya pun percaya akal dan rasional terpaksa akur dalam Islam, misalnya untuk hal ghaib. Soal syurga, neraka, roh, malaikat, syaitan, jin dan alam kubur merupakan hal ghaib yang muslim kena akur atau manut saja. Jangan banyak songel kerana memang Allah sudah netapi gitu-gituan. Cuba buka surah al-Jin ayat 26 dan 27, kan Allah catat hanya Dia yang tahu hal ghaib. Beres!

Namun dalam hal keduniaan atau urusan ibadah yang jelas dapat dinilai secara rasional tidaklah boleh main inggih atau ya saja. Kalau saya menilai mentera-mentera dalam Buddha sebagai mencampakkan rasional dan akal, malu juga apabila melihat dalam masyarakat Islam bersikap sama. Kok sama.

Apa? Cuba perhatikan solat kita para muslim dan do’anya sekali. Adakah semua muslim mengetahui erti ucapan yang diucapkan dalam solatnya, walhal itu bukan urusan ghaib. Lafaz ucapan yang diambil dalam bahasa Arab, yang bangsa Arab tahu ertinya, yang kalau bangsa Melayu belajar juga tahu ertinya. Aneh sekali kerana beratus-ratus tahun muslim kita sengaja tidak mahu tahu apa erti lafaz solat dan doa kepada Allah, sedangkan ini bukan soal ghaib yang kena ikut saja.

Jadi apa solat kita kepada Allah? Untuk dijawab sebagai hubungan kasih kepada Sang Khalik, secara rital jadi begitu….. sama seperti pemandangan penganut Buddha dengan bahasa mantera yang dia sendiri tidak faham. Ohh…, bukan niat saya mahu mengkritik Buddhis, cuma mencari banding dengan perangai muslim dalam beragama. Kan kerap kita dengar bahawa Islam itu agama pentingkan ilmu dan ijtihad.

Lihatlah solat yang tidak pernah diketahui erti lafaznya. Bertahun-tahun dan ada yang sudah tua pikun juga menghafal saja ayat-ayat termasuk doanya, tanpa diketahui apa maksudnya. Rasionalkan dia atau Islam memang tidak menyuruh umatnya berpengetahuan?

Sang Imam pun berdoa panjang saban selesai solat, tidak pernah juga menterjemah doanya kepada orang agar diketahui apa yang diminta kepada Sang Khalik. Jadi kelihatannya, dalam agama senang saja urusannya: Kau ikut saja aku sebagai imam, kerana Allah itu kan maha tahu, Allah kan maha kasih. Simpan soalan dan akal kamu dalam kotak, simpan!

Kalau orang tanya apa maksud doanya pak imam? Iman pun tersengih-sengih saja. Tapi kalau imam itu cerdik, dia akan kata ‘Allah maha tahu…’ habis tutup kedai.

Begitu dan terus begitu sudah masuk 700 tahun nusantara menerima Islam.

Sabtu, Disember 27, 2008

AKU bukan goblok...

Berikut dialog kecil sahaja, berguna kepada yang mahu menggunakannya. Antara Jono dengan Joni.

Jono: Bas itu kalau dibuat panjang dan muat 500 orang pun hanya seorang pemandu.

Joni: Ya betul. Maksudnya apa?

Jono: Yang beresi semua itu satu. Maka Tuhan ini satu saja yang kasi beres semua. Dan kalau kamu ada perusahaan kecil atau besar, tidak boleh ada dua atau tiga kepala. Kamu saja, betulkan?

(Joni berhenti berjalan. Otaknya juga mahu dihentikan…. Jono menyeret Joni ke warung minum. Di sebelah warung ada sebuah kereta Mercedes baru yang mahal)

Joni: Aku senang banget kalau punya kaya (seperti) ini. (mulutnya menjuih ke arah kereta malah itu).

Jono: Kalau kamu punya pun, kamu tetap mencari buku manual, cara gunakan. Kamu tidak boleh main suka-suka memandu kereta, hancur nanti.


Joni: Ya, aku bukan goblok….

Jono: Siapa yang bikin kereta ini?

Joni: Ya para jurutera.

Jono: Maka begitu juga manusia macam kita dibikin oleh Tuhan. Tuhan hantar buku panduan untuk diguna oleh manusia. Perlu lihat buku ini untuk hidup.

Joni: Kalau tidak?

Jono: Kalau kereta kamu rusak, kamu tanya jurutera. Jurutera kata: lihat buku panduan untuk guna kereta ini. Kalau kita tidak tahu mahu jadi apa, kita tanya Tuhan, Dia jawab bacalah buku yang diberi kepada kamu.

Joni: Buku apa untuk kita?

Jono: Al-Quran.

Khamis, Disember 25, 2008

FREE thinker pun kasih orang beragama

SEJAK dahulu saya tidak percaya seseorang boleh menolak mana-mana agama atau tidak percaya kepada Tuhan. Baru-baru ini saya ketemu dengan seorang pegawai kerajaan yang besar juga pangkatnya. Dalam ngobrolnya dia mengatakan semua agama adalah sama. Dahulu juga saya pernah mendengar dia ateis atau free thinker. Ohh, kali ini dia hanya mengakui percaya adat tradisional menyembah roh nenek moyangnya. Itu pun dia mengatakan sangat minimum. Patutlah orang mengatakan dia ateis.

Orang yang mengakui bahagia sebagai ateis sebenarnya mengakui agama itu perlu ada. Memang dia mengatakan dia bebas, tetapi dia dapat hidup nyaman dan bahagia itu kerana di sekitarnya adalah masyarakat yang beragama!

Apakah yang membentuk moral dan disiplin yang kuat dalam peribadi manusia? Jawabnya keyakinan kepada ajaran agama atau alam akhirat. Alam akhirat ini akan menjadi bahan tawa golongan ateis. Dalam egonya, mereka sebenarnya sedang bersyukur dengan adanya kepercayaan alam akhirat.

Tidak semudah itu manusia dapat mengawal tingkah laku apabila tiada pengawasan. Sudah banyak telah terbukti manusia menjadi rosak hanya kerana percaya para penguatkuasa undang-undang tidak mengawasinya. Kan korupsi membiak dan gagal dijebak kerana liciknya para koruptor! Lalu hanya yang percaya Tuhan menjanjikan balasan neraka di alam akhirat, dia jadi tidak mahu menjadi koruptor.

Kehidupan yang aman dan bebas ini pun banyak kerana pengaruh ajaran agama. Dan kerana keamanan ini, manusia yang ateis tadi juga menikmati hidup yang aman. Tapi sang setan mengajar dia bahawa tanpa agama, tanpa mengenal Tuhan pun manusia dapat hidup aman. Cuba kalau dia hidup dalam masyarakat yang bobrok, yang tidak terkendali pun dengan undang-undang, barulah kepala otaknya berfikir ‘kalaulah ada satu kuasa luar biasa yang dapat dipatuhi oleh manusia’.

Nantilah, kalau si ateis berada dalam keadaan yang tidak ada manusia dapat memberi pertolongan kepadanya, barulah mulutnya kumat-kamit menyebut ‘Oh my god…’ Sudah Allah ceritakan manusia yang seakan dikutip maut di tengah laut, lalu dia berjanji akan menjadi hamba Allah yang baik. Nah itulah….

Rabu, Disember 24, 2008

DARIPADA anta ke unta

Catatan oleh Kendedes

Apabila membaca catatan YB Zulkifli Nordin mengenai asal usul perkataan Haram Jadah yang dikatakan berasal daripada ‘Masjidil Haram ke Jeddah’ maka saya pun teringat analogi Pak Kiyai yang mengajarkan tafsir di kampung.



Katanya pada zaman dulu (entah bila tahunnya) yang banyak pergi Makkah dari Nusantara ialah keturunan Jawa. Maka asal saja yang datang dari Nusantara akan dikenali sebagai al-Jawaih di Makkah. Saya fakir betul juga, sebab perkataan Jawi itu juga merujuk Melayu. Tengoklah maksud ‘masuk jawi’ iaitu bersunat diertikan masuk Melayu. Tulisan Jawi juga ertinya tulisan Melayu, walhal dalam bahasa klasik Jawa (bahasa halus) istilah ‘Jawi’ itu merujuk orang Jawa. Jadi kesimpulannya: Jawa itu Melayu, begitu juga sebaliknya.

Kata Pak Kiyai itu lagi, orang al-Jawaih ini bukan tahu bahasa Arab dan agak kampungan di Makkah. Jumpa orang Arab pun guna bahasa Jawa!

Maka datanglah seorang al-Jawaih terhadap seorang Arab dan berkata, “hei wong Arab, kuwi binatang sing gulunya dhowo opo ki?” (Hei, orang Arab, itu binatang yang lehernya panjang itu apa?)

Si Arab kehairanan, tak faham. Dan disoal pula dalam bahasa Arab, “Maa anta?” (Apa awak?)

Cepat-cepat Si al-Jawaih berkata dalam girang, “Oh, unta!”

Lalu cepatlah Si al-Jawaih tadi memberitahu kawan-kawan al-Jawaihnya bahawa binatang yang lehernya panjang di Makkah itu unta. Emmm, orang Arab itu kata anta (kamu) difahamnya nama binatang menjadi unta.

Jadi kekallah sempai kiamat agaknya orang Melayu menggunakan istilah unta untuk binatang yang dipanggil Jamaal oleh orang Arab. Pandai orang Melayu cipta istilah.

Selalunya kalau benda atau haiwan itu tiada dalam budaya sesuatu bangsa, pinjam saja istilah itu. Orang Inggeris pun pinjam istilah Jamaal kepada camel. Jumpa durian pun tidak diubahnya, orang Inggeris sebut juga durian.

Ketawa juga saya malam itu….

Isnin, Disember 22, 2008

KOK mandi bunga!


SAYA hendak beri contoh lagi mengenai akidah sebagian muslim Melayu kita yang mudah diterobos oleh adat atau kepercayaan lama. Emm, baru-baru ini seorang ahli keluarga menyampaikan nasihat orang kepada saya supaya menerima kaedah ‘mandi bunga’ sebagai satu ikhtiar. Mandi bunga ini satu upacara ritual yang memang adat kuno dan dilakukan untuk membuang sial di badan. Jadi, apa bedanya dengan ‘mandi safar’ yang dengan mudah dikelaskan sebagai khurafat dan haram? Mandi Safar yang popular dahulu pun bertujuan membenteng diri daripada mala petaka!

Beberapa waktu yang lalu, saya pernah berpatah balik ke rumah setelah 20 minit memulakan perjalanan kerana teritinggal satu barang penting. Kes ini bukanlah kali pertama, entah kali ke berapa dalam hidup. Yang patut diceritakan di sini ialah pandangan ‘orang tua-tua’ apabila berpatah balik, yang meminta kita masuk semula ke rumah dan duduk semula. Kenapa?

Saya diberitahu oleh ‘orang tua-tua’ ini bahawa tidak elok (mungkin ada musibah) jika terus sahaja ambil barang itu dan bergegas meneruskan perjalanan. Oh, ertinya ‘duduk semula’ di rumah seketika dipercayai ada kuasa untuk menghindar hal-hal buruk pada masa perjalanan kelak!

Itulah dua contoh minda Melayu yang masih mewarisi kepercayaan lama, yang merosakkan akidah dan pengakuan ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’. Kalau memang sudah diyakini bahawa kuasa menjadikan nasib baik dan buruk itu memang daripada Allah, mengapa mewajibkan diri menerima kaedah atau upacara lain sebagai mempunyai kuasa lain?

Semua pemikiran dan kepercayaan ini sudah disuratkan dalam alquran sebagai salah, haram dan berdosa kerana syirik. Maksud ayat 30 surah as-Syura,
“Dan apa juga yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan, dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebagian besar disa-dosa kamu.”

Ayat 11 Surah ar-Rad pula bermaksud,
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Ayat-ayat ini sangat jelas bahawa perbuatan manusia itu sendiri yang akan menyebabkan terjadinya sesuatu, bukan suatu kuasa mistik yang didakwa.

Soalnya mengapa perkara ini masih berlaku sedangkan orang-orang yang menyampaikan kepada saya mengenai adat dan upacara ini adalah mereka yang dikira taat beragama. Saya kenal mereka sebagai pencinta agama dan menggabungkan diri dalam perjuangan mendaulatkan Islam. Malah organisasi yang disertainya itu meletakkan alquran dan hadis sebagai tonggak perjuangan.

Saya mengesan punca masalah ini kerana ada guru agama yang dijadikan sumber ilmu tidak benar-benar memilih alquran dan sunah sebagai sandaran. Dalam satu kuliah bulanan seorang guru yang saya ikuti, dia mengajar bahawa ‘ciri baik’ sebagai diterima dalam agama. Saya turunkan contoh pengajarannya mengenai bacaan ketika sujud dalam solat. Guru ini mengatakan boleh membaca seberapa banyak tasbih dalam sujud hingga 100 kali. Alasannya yang diberi ialah bacaan tasbih adalah baik. Inilah hujah akal tanpa diberikan dalil hadis sahih. Kemudian beliau memberikan ‘fatwa’ mengenai solat tarawih yang dikira pantas sebagai boleh kerana mengejar masa dan disesuaikan dengan keadaan zaman. Ini hujah akalnya semata-mata, yang berlawanan dengan sunah Nabi.

Daripada situlah orang awam menerima akal juga sebagai keperluan dalam ibadah dan kepercayaan. Maka adat jahiliah kepercayaan mistik masih dipegang sekalipun mulutnya melafazkan zikir ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’. Orang Arab dahulu percaya arah terbang burung sebagai penentu nasib baik atau buruk. Orang Melayu kini pun percaya malam Jumaat Keliwon, rumah usang dan pokok rendang sebagai ‘keras’! Akalnya masih tidak ditundukkan oleh alquran dan sunah.

Sabtu, Disember 20, 2008

ADA ruang dalam perbedaan pendapat

SEDAR atau tidak kalau diteliti banyak sungguh perbedaan pemikiran dan pendapat dalam sesebuah masyarakat. Perbedaan pendapat dalam politik memang cukup ketara, bagai bukan erti politik jika tidak ada perbedaan. Korban perbedaan pendapat dalam politik pun cukup hebat, nyawa jadi taruhan.

Dalam keluarga kerana harta pusaka juga wujud perbedaan pendapat. Manusia yang dilahirkan sebagai kembar seiras pun akhirnya berbeda pendapat dalam menempuh kehidupan.

Sewaktu duduk dalam kuliah bulanan seorang kiyai di masjid pun terasa ada perbedaan pendapat dengannya. Kiyai ini mungkin mahu memantapkan hasil pemikirannya kepada khalayak setianya. Namun saya yang telah menempuh sejarah pendidikan yang berbeda, tentulah menemukan perbedaan dengannya. Tak mengapalah, dengar dahulu…

Tanpa diduga, Allah mentakdirkan saya menghadapi seorang warga emas di wad hospital yang dinasihati untuk bersolat. Dia menerima nasihat untuk solat namun saya berbeda pendapat pula dengannya apabila dia mengatakan cukup solat saja dalam keadaan sakit begitu tanpa wuduk atau tayamum. Dibacakan hadis nabi yang bertayamum dengan menepuk dinding, tetapi tidak diperdulikannya. Bayangkan dia memberitahu ada ustaz yang 22 hari di hospital sentiasa solat tetapi tidak berwuduk atau tayamum! Alamak…..

Kalau membicarakan antara sunah dan bid’ah juga tidak kurang serunya. Silap-silap dua-dua pihak panas telinga. Semua ini perbedaan pendapat yang berlaku dalam masyarakat. Kalau orang tanya mengapa berlaku perbedaan pendapat ini sekalipun di hadapan ada alquran dan sunah, jawabnya panjang.

Soalnya bagaimana mengurus perbedaan pendapat yang begitu rencam ini. Setiap orang atau pihak ada pendirian yang diyakini betul. Pada waktu yang sama mungkin pendiriannya diyakini salah pula oleh pihak lain. Begitu jugalah sebaliknya. Maka berlakulah memberi gelaran-gelaran atau nama-nama tertentu sama ada untuk membela diri atau merendahkan kedudukan orang lain.

Sebagai muslim, mesti mengambil pendirian berteraskan alquran dan sunah. Alquran dan sunah itu ajaran wahyu Allah dan petunjuk Rasulullah. Alquran itu teras, maka sunah atau hadis-hadis sahih adalah pelengkapnya. Cuba tanyakan kepada mana-mana muslim, bahawa bolehkah dirinya sebagai muslim dipisahkan daripada petunjuk alquran dan sunah. Senakal-nakal atau sejahil-jahil dia, tidak akan mengatakan dirinya muslim tetapi tidak mahu menerima alquran dan sunah.

Setelah ada pendirian, masuklah ke dalam masyarakat walaupun orang-orang yang di hadapannya tidak disukai. Seperti abang dan adik yang berbalah kerana harta, tentu masih banyak ruang yang mereka boleh bersama dan hidup sebagai manusia-manusia yang berhubungan. Lagi, seperti peribadi-peribadi muslim yang baik, tentulah tetap menerima jiran-jiran dan masyarakat bukan Islam yang mengitarinya. Perbedaan akidah dan ibadah, tetapi banyak ruang kerjasama antara sesama manusia.

Oleh itu tidak mungkin seorang tua yang bersolat tanpa wuduk dipulaukan kerana perbedaan pendapat ini. Kalau pasti dia salah, wajiblah dikasihani dan didoakan. Ah…, soal menyedarkan dirinya itu petunjuk Allah, bukan tugas manusia.

Khamis, Disember 18, 2008

BOMOH temberang?

DALAM filem DOREMI ada satu babak bomoh kena ikat kemudian Re menyamar menjadi bomoh. Akhirnya Re meminta maaf kepada bomoh berkenaan dengan mengatakan dirinya bomoh temberang. Yang bertambah lucu bomoh yang diikat juga mengaku dirinya selama ini bomoh temberang! Kah.., kah…, kah…

Yang saya hendak tulis bukan cerita dongeng, ini betul-betul, bukan cobaan. Di Pantai Timur ada satu keluarga tiba-tiba panik dan kecoh kerana anak remaja lelakinya tidak pulang ke rumah, keluar pagi sampai malam tak balik. Kemudian jam 3.30 pagi mereka buat laporan polis. Tak senang tidur dibuatnya, maklumlah anaknya tidak pernah pun berbuat begitu. Tambah sekarang dengar ada macam-macam kes jenayah, lagi kecut dan gerun ibu dia.

Biasalah, orang Melayu…, maka pergilah ke rumah bomoh terdekat. Maka bersabdalah Tok Bomoh dengan mengatakan anaknya ada tinggal dengan kawannya. Itu sajalah klu yang diberinya. Eh berapa punya banyak dia punya daaa….

Kemudian ada peribadi polis (maknanya bukan dasar pihak polis) mencadangkan satu nama bomoh yang jempolan! Setelah bernujum macam Nujum Pak Belalang, maka bomoh ini pula tidak mengatakan di rumah kawan tetapi ada dalam sebuah rumah berwarna kuning di satu kawasan iaitu XXX.

Lihatlah, macam teka-teki pula mana satu antara bomoh ini yang temberang. Maka keluarga ini pergilah ke XXX dan bertandang ke mana-mana rumah yang berwarna kuning. Misi yang gagal. Temberangkah bomoh ini?

Tup-tup, pada hari ketiga jam 5.30 petang anak lelaki yang disangka hilang entah ke mana pulang semula ke rumah. Budak ini meninggalkan rumah tanpa klu apa-apa kira-kira selama 56 jam. Apabila ditanya pergi ke mana, dia menjawab ke Kuala Lumpur, lihat PC fair! OK, tak mengapalah…, yang penting dia selamat.

Nah, dua-dua bomoh itu temberang. Alahai orang Melayu kita, belajar sampai dapat digri, belajar sains lagi, tapi boleh percaya temberang kosong orang tak sekolah.

Jangan main-main dengan percayakan bomoh ini, sah syirik, dosa besar, dosa tak diampun Allah! Tapi hairanlah orang kita, bab syirik bukan ngeri sangat. Orang kita lebih gerun dengan babi nampaknya.

Mari lihat, adakah Nabi Muhammad yang dipilih sebagai Rasulullah tahu hal ghaib sebagaimana bomoh temberang mendakwa tahu hal ghaib. Ayat 188 surah al-Araaf bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan.”

Lagi maksud firman Allah ayat 26-27 surah al-Jin “Tuhanlah sahaja yang mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun, kecuali kepada mana-mana rasul yang diredainya.”

Demikian perasaan telah mengalahkan iman dan pemikiran. Dan ini pun sebagian contoh akidah yang mudah bocor. Emm… terasa lucu apabila orang-orang berilmu sains dan teknologi kena temberang mat bomoh. Lainlah kalau bomoh itu guna satelit ke… logik juga.

Selasa, Disember 16, 2008

PELIK, syaitan suruh pergi haji

BAGAI tak betul jadinya jika dikatakan syaitan menyuruh seseorang mengerjakan haji. Telah disebut oleh Allah dalam alquran bahawa syaitan adalah musuh manusia, mana mungkin musuh menyuruh manusia membuat amal ibadah yang begitu agung.

Ibadah haji merupakan kemuncak amal ibadah hamba kepada Allah dan kewajiban ini hanya sekali seumur hidup. Rasululah pun mengerjalan haji sekali sahaja, itulah yang dinamakan Haji Wada atau Haji Perpisahan. Betul, ada orang yang telah membuat dua tiga kali haji dalam hidupnya dan masih bercita-cita untuk menunaikan haji untuk beberapa kali lagi.

Siapa tidak mahu mendapat haji mabrur, haji yang menjadikan diri suci bersih daripada pelbagai dosa. Dan katankanlah, jika sebaik sahaja menunaikan haji (yang dicita-citakan mabrur itu), tup-tup mati. Mati pula di Makkah, tentulah disolati oleh para hujaj dan akan dimakamkan di tanah suci. Waduh nampak hebat sekali akhir impian hamba Allah. Macam tak percaya pula kalau sudah begitu, almarhum ini tak masuk syurga.

Syaitan dah lama tahu prinsip-prinsip haji dan emosi manusia. Makhluk ini sudah advance membuat kajian dan hasilnya juga lumayan. He…, he…, syaitan tidak akan mengajak ahli agama pergi ke kelab malam minum arak atau bermesra-mesra dengan GRO. Geng syaitan akan mengutuk tolol dan goblok jika ada puak syaitan lain nak menggoda Pak Haji hebat menyelinap dalam mana-mana bilik di Bukit Bintang! Pak Haji ini kebal beb!

Syaitan pun tahu fiqh aulawiyyat. Kalau kita manusia sering kata mengutamakan yang besar atau menerima masalah yang kecil berbanding yang besar, syaitan pun begitu juga. Dengan cara begitu, syaitan dapat hasil lumayan dan hasutannya tidak dikesan.

Mengapa syaitan menghasut orang berhaji untuk beberapa kali? Jawabnya supaya pak-pak haii dan mak-mak hajah ini hanya bertumpu pada ibadah sunat yang memakan kos tinggi. Haji yang kedua dan seterusnya hukumnya sunat. Sekalipun orang sudah berhaji, ada lagi perkara wajib yang mesti dilakukan sebagai amal ibadah seperti membantu perjuangan Islam, berdakwah, termasuk juga membantu orang miskin dan pendidikan anak-anak orang melarat.

Oleh kerana syaitan tidak mahu pak-pak haji tadi membuat hal-hal wajib itu, maka dimekapnya minda mereka bahawa pergi haji lagi itu lebih bagus dan bagai gerenti masuk syurga. RM 10 ribu untuk menunaikan haji, di samping itu dapat pergi ke luar negara, naik kapal terbang lagi. Ada gengsi betul, selain harapan haji mabrur. Kalau RM 10 ribu diagih-agih kepada orang miskin dan taja anak-anak miskin sekolah, diri sendiri apa dapat kat dunia ini? Habis begitu saja, nak minta diambil gambar masukan dalam blog pun nanti orang tuduh sedekah untuk pujian. Malah ustaz selalu pesankan hadis nabi ‘sedekah tangan kanan yang tangan kiri tak tahu’.


Setelah difikir bolak balik, rugi kalau RM 10 ribu disedekah begitu saja, baik pergi haji. Maka tepatlah maksud firman Allah dalam surah al-An’am:112 “Demikian kami jadikan setiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, sesetengahnya membisikkan kepada sesetengah yang lain kata-kata dusta yang indah untuk memperdaya pendengarnya”.

Sabar sajalah pak aji dan mak aji. Nak bersabar pun payah juga, satu hal lagi. Hish.., mengapalah dengki sangat syaitan ni..


Ahad, Disember 14, 2008

CATATAN haji: Pak Haji tidak solat?

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Berdasarkan rekod grup saya adalah yang kedua berlepas dari LTSSAAS Subang pada 27 Januari 2001 dan kembali mendarat semula di KLIA pada 13 Mac 2001. Hal ini bermakna sebaik sahaja tamat kerja-kerja haji, grup saya terus berkemas untuk pulang ke tanah air.

Sewaktu di King Abdul Aziz Airport (KAAA) di Jeddah saya ternampak beg haji hijau tertera nama Dato’ Noh. Saya pun tidak pasti siapa yang memiliki beg berkenaan. Namun selepas beberapa ketika, camlah bahawa beliau ialah Dato’ Noh Omar seorang Timbalan Menteri waktu itu, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang. Berdasarkan pergerakan orang-orang di sekitarnya, kemungkinan besar beliau mengerjakan haji bersama isteri dan beberapa orang anak remajanya.

Tidak berapa lama kemudian kami semua dipanggil untuk menaiki pesawat, jauh lebih awal daripada yang dijangka. Rupa-rupanya pihak pengurusan mahu mempercepatkan kepulangan Dato Noh dan keluarganya. Oleh itu grup kami juga diterima sekali untuk sama dalam penerbangan itu. Dan saya berasa untung juga kerana dapat menaiki pesawat di kelas pertama, yang dikhaskan untuk Timbalan Menteri itu. Salutlah untuk Dato Noh dan keluarganya kerana mengerjakan haji bersama Tabung Haji yang dikategorikan ‘haji lambak’, haji orang-orang marhaen.

Dalam pesawat saya duduk berdua dengan seorang yang sesuai saya panggil pakcik, orang Taiping. Badannya agam dan duduk diam-diam memegang satu patung mainan besar, agaknya untuk cucunya di KLIA nanti.

Untuk mengesan waktu subuh dalam pesawat tidak sukar sangat, cukup melihat ke luar jendela. Langit mula kesamaran, tanda mentari bergerak untuk muncul. Saya terus ke tandas untuk berwudhuk dan kemudian solat subuh dalam pesawat itu.

Kerana saya perhatikan pakcik tadi asyik tidur, saya pun menggerakkannya untuk memberitahu waktu subuh yang sangat singkat. Dia hanya mengangguk sahaja, tak bergerak untuk solat sampai turun di KLIA. Mana saya tahu kalau dia bersolat dalam hati!

Namun saya perhatikan sepanjang waktu subuh yang singkat dalam pesawat, hampir semua lelap saja kecuali apabila hari sudah pagi dan pramugari datang membawa minuman panas. Tak tahulah saya di mana dan bagaimana mereka solat subuh. Berdasarkan ilmu yang saya miliki, setidak-tidaknya kalau hendak mengikut hukum daripada penceramah Tabung Haji, solat mesti dilakukan sebagai solat ‘menghormati waktu’. Kemudian apabila sampai ke bumi dalam keadaan biasa terus saja solat subuh semula untuk yang sebenar. Apabila pesawat menjejak ke bumi matahari sudah mula tinggi dan sanak saudara sudah lama juga menungu. Aduhai, saya tidak nampak siapapun yang bergegas mencari surau untuk solat subuh sebenar. Ada beberapa orang yang sibuk mencari bilik air untuk menukar pakaian, mahu mengenakan pakaian jubah putih kerana asalnya dari Jeddah berpakaian biasa saja.

Macam-macam pak haji ini…

14 disember 2008

Sabtu, Disember 13, 2008

CATATAN haji: peminta sadaqah

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Dalam banyak-banyak jemaah dari pelbagai negara, rupa-rupanya jemaah dari Malaysia sentiasa diperhatikan. Semua jemaah Malaysia dikenali pada tag nama yang terdapat sekali bendera negara. Bagi yang perempuan, pada kain telekungnya tertulis perkataan Malaysia dalam huruf Arab.

Katakanlah jemaah Malaysia dan Indonesia bergerak dalam satu kumpulan untuk masuk ke masjidil haram, pasti pegawai di pintu-pintu masuk akan melepaskan sahaja jemaah Malaysia tetapi akan memeriksa beg dan pakaian jemaah dari Indonesia. Para pengawal telah faham karektor para jemaah sekalipun datang dari wilayah yang sama, seperti Nusantara.

Pandangan umum jemaah dari negara India, Pakistan, Indonesia dan beberapa Negara Arab ialah jemaah Malaysia orang kaya, atau sekurang-kurangnya hidup dalam kecukupan. Sebab itu saya sendiri berkali-kali didatangi oleh jemaah dari India, Pakistan dan Arab Teluk untuk meminta sumbangan wang. Awalnya saya berminat juga ingin mengetahui keadaan mereka sehingga meminta wang. Katanya, mereka memang pergi haji berdasarkan sedekah-sedekah.

Saya katakan kepada mereka bahawa perbuatan itu salah dan mereka tidak perlu pergi melakukan haji. Mereka tidak perduli dan mendesak saya memberikan wang. Amboi, saya hulur satu rial bagai tidak diterima dan meminta lebih. Ada yang dari UAE kata orang Malaysia kaya, merungut-rungut diberi satu rial. Orang yang berperangai begitu sebenarnya telah mengenal pasti siapa mangsa, sekalipun tag nama disorokkan, mereka telah tahu. Sekali lagi ingatkan masjid haram, tak mahulah saya bertengkar pula, cuma dengan baik saya minta jangan diganggu lagi. Kerana faham situasi, dalam poket baju saya telah sediakan wang satu rial beberapa keping. Apabila saya didatangi orang dan mula bercerita dirinya, saya hulur satu rial. Dia pun pergi.

Ada satu peristiwa selepas solat maghrib, tiba-tiba bangun seorang jemaah lelaki (saya agak dari Turki berdasarkan mukanya, sebab dia memakai kain ihram) bercakap dalam bahasanya. Saya pun tak faham dan tak berapa dengar, Cuma wajahnya tampak sedih dan merayu-rayu bantuan wang. Untuk memudahkan jemaah lain faham, dia menunjukkan dompet pada tali pinggangnya yang robek, tanda dia tidak punya wang lagi. Jemaah-jemah lain pun bangun memberinya wang sehingga dia menangis tanda hiba dan syukur.

13 disember 2008

CATATAN haji: solat campur lelaki wanita

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Perkara yang tidak pernah diberitahu oleh penceramah dalam kursus haji ialah percampuran para jemaah haji lelaki dan perempuan di masjidil haram. Aneh bunyinya, tetapi itulah hakikat yang wajib diterima dan mesti didedahkan kepada para bakal haji.

Saya termasuk calon haji yang datang awal di Makkah, menikmati masa agak lapang bertawaf dan solat di hadapan kaabah. Pada masa para jemaah belum sesak di masjid, pegawai-pegawai khas perempuan memang bekerja keras memastikan jemaah perempuan berada dalam kawasan yang dikhaskan. Sekalipun masjidil haram dalam bentuk bulatan dan tidak mempunyai dinding tepi, namun beberapa kawasan dikhaskan untuk wanita.

Apabila jumlah jemaah membanyak, pegawai-pegawai tadi sudah tidak mampu mengawal lagi. Akibatnya tempat jemaah perempuan dapat dibolosi jemaah lelaki dan jemaah perempuan bagai lupa bahawa mereka mesti solat dalam kawasannya. Namun bagi jemaah-jemaah yang hadir awal dan pertengahan, mereka telah faham dan mengetahui kedudukan tempat solat mereka. Yang hadir lewat ini sama ada faham atau tidak, telah menyusup di celah-celah jemaah lelaki. Bayangkan saja, tiba-tiba di kiri kanan kita ialah jemaah perempuan dalam saf solat fardu!

Saya pernah menegur beberapa jemaah perempuan Malaysia yang terpengaruh dengan jemaah dari Turki dan India yang main masuk saja dalam mana-mana saf lelaki, dan mereka akur dengan nasihat saya. Alasan jemaah yang saya tegur ialah bimbang terpisah daripada kumpulan lelaki. Lalu saya mencadangkan agar berjanjilah di mana-mana tempat, insya Allah tidak akan terpisah.

Jemaah dari Malaysia memang teratur, sanggup berpisah dengan jemaah lelaki sewaktu di masjidil haram. Paling ketara percampuran jemaah lelaki dan perempuan ialah dari Turki. Mereka mengenakan pakaian seragam putih dan bergerak dalam kumpulan termasuk lelaki dan perempuan. Ertinya mereka bertawaf, sai dan solat dalam satu kumpulan. Sebab itulah apabila sampai waktu solat, semua dalam kumpulan itu terus berdiri dalam satu saf saja.

Namun begitu dalam grup saya ada sepasang jemaah dari Pahang yang berhaji kali kedua. Mereka sentiasa bersama ke mana-mana. Suatu masa saya ternampak mereka berdua solat berdiri berdua dalam masjidil haram dalam saf yang seharusnya untuk lelaki sahaja. Apabila ditegur, si lelaki hanya tersengih-sengih sahaja. Dia faham, tapi buat-buat tidak faham.

Begitulah keadaannya kira-kira 10 hari menjelang wukuf, sekalipun dalam masjid, sudah tiada ketenangan. Kalau di Malaysia jam 4 pagi solat tahajud dalam suasana sunyi, tetapi jam 4 pagi di masjidil haram tidak terasa sunyinya.

13 disember 2008

Jumaat, Disember 12, 2008

CATATAN haji: wukuf seperti dalam 'funfair'

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Kemuncak mengerjakan ibadah haji ialah wukuf di Arafah. Tarikh wukuf ialah 10 Zulhijah yang bermula selepas masuk waktu zuhur hingga maghrib. Semua yang mengerjakan haji mesti berada di Arafah dalam keadaan apa sekalipun. Maka, kepada jemaah haji yang sakit di hospital sekalipun akan diusung ke Arafah untuk mendapat haji.

Para petugas yang berada di Makkah untuk menguruskan jemaah haji seperti pegawai Tabung Haji dan doktor juga akan bergerak ke Arafah untuk mendapatkan haji. Bayangkanlah semua orang yang sudah berniat haji dari seluruh pelosok dunia akan berkumpul di padang Arafah dalam jangka waktu yang pendek.

Muasasah yang menguruskan grup saya telah membawa kami keluar dari hotel selepas asar pada sembilan Zulhijah. Jalan menuju ke Arafah memang sesak dengan kenderaan. Bermacam-macam kenderaan, ada juga yang berjalan kaki ke sana. Mujur perjalanan grup kami lancar, kalau pun tersangkut kerana kesesakan hanya seketika. Oleh itu kami memang bermalam di Arafah sementara menunggu zuhur 10 Zulhijah.

Prinsip berwukuf sebagai perkumpulan semua hujaj di Arafah adalah benar, namun kami dilarang keluar dari kawasan khemah. Kawasan kami berwukuf tidak ubah seperti kawasan funfair (di Malaysia) yang dipagar zink. Dalam kawasan berpagar itu terdapat khemah-khemah untuk berehat, tandas, tempat mandi dan satu khemah besar untuk solat berjemaah. Di situ juga pihak muasasah memasak makanan kami. Ertinya keadaan kami berwukuf tidak ubah seperti perkhemahan budak-budak sekolah.

Zuhur tanggal 10 Zulhijah itu kami hanya solat berjemaah di khemah dan duduk mendengar khutbah. Pada waktu yang sama beratus ribu, mungkin berjuta orang berada di Masjid Numruh dan sekitarnya di Arafah. Itu yang selalu diambil gambar sebagai pertemuan semua jemaah haji dari pelbagai negara. Tidak, kami tidak merasakan hal itu atas sebab-sebab keselamatan.

Bayangkan dua juta hujaj mesti berada di Arafah pada waktu Zuhur 10 Zulhijah, dan mereka semua mesti berada di Mudzalifah pada malamnya. Kemudian pada keesokan hari mesti berada di Mina pula untuk melontar jamrah aqabah. Semua jemaah mesti melakukan hal itu dalam waktu yang singkat.

Tahun saya mengerjakan haji memang berlaku kemalangan di tempat melontar jamrah. Kemalangan dan kematian kerana kesesakan seperti sudah diduga, sebab itu pihak Tabung Haji sangat menggalakkan kepada para jemaah dari Malaysia supaya tidak melontar jamrah pada waktu puncak, sebaliknya mencari waktu-waktu yang dianggap lengang dan selamat.

Kalau ditanya bilakah waktunya terasa kesesakan dan bahang panas sewaktu berhaji, saya jawab saban kali solat Zuhur di Masjidil Haram kira-kira lima hari sebelum hari wukuf. Pada saya kesesakan dan panas di luar atau bumbung Masjidil Haram merupakan bayangan kecil masalah di Padang Mahsyar. Ada yang mati kepanasan dan dahaga sementara menunggu solat Zuhur.

Saya tidak dapat bayangkan apabila kerajaan Arab Saudi merancang untuk membawa 15 juta jemaah hari pada suatu masa akan datang. Ya, Allah juga yang akan menolong kerja-kerja hambanya.

12 disember 2008

Khamis, Disember 11, 2008

CATATAN haji: nama PM dikeji


Catatan oleh Kendedes

Musim haji 2001: Tahun saya mengerjakan haji merupakan tahun yang politik Malaysia masih kacau bilau akibat pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Di Makkah dan Madinah pun orang Arab yang mengetahui saya dari Malaysia akan mengatakan ‘Anwar bagus!’ Orang Arab Madinah memang pandai cakap Melayu. Di Makkah tak banyaklah, tapi ayat ‘Malaysia boleh’ betul dihafalnya.


Sementara menunggu hari wukuf yang masih lama, selain kami mengerjakan umrah untuk beberapa kali, pihak Tabung Haji membawa kami ke tempat-tempat bersejarah di Makkah dan Madinah.

Di Makkah kami dibawa ke Mina khasnya tempat melontar jamrah. Walaupun waktu itu ada dua tingkat, memang kebanyakan hujaj pilih yang bawah. Oleh itu kami melawat di bahagian bawah yang ada kawah tempat batu-batu terkumpul. Di birai kawah itu adalah tembok yang mengelilingi tiang batu yang diimejkan sebagai iblis atau syaitan. Kelak semasa melontar jamrah, hujaj membayangkan melontar iblis tanda membenci musuh utama manusia beriman.

Tembok itu berwarna putih dan tingginya satu meter. Saya dan isteri terkejut dan tersenyum melihat catatan dan ayat-ayat yang tertulis pada tembok berkenaan. Hampir semua tulisan di salah satu tembok jamrah itu tulisan rumi bahasa Melayu. Yang membuat saya terkejut ialah frasa ayat MAHATHIR IBLIS!

Fahamlah saya bahawa penulisnya mahu para hujaj yang melontar jamrah juga membayangkan Dr Mahathir PM Malaysia waktu sebagai iblis! Dahsyat betul politik Malaysia, sampai ke tembok jamrah di Mina.

Saya cepat-cepat merakam pemandangan ganjil itu dengan kamera yang kebetulan isteri saya di sana. Waktu itu guna kamera yang ada filem, jadi kenalah tunggu balik Malaysia baru boleh lihat hasil cetakannya. Sekarang guna kamera digital, boleh tahu apa jadi dengan gambar yang diambil.

Ingat nak tunjuk kepada kawan-kawan bagaimana nama PM diburukkan sampai ke Makkah. Setelah dicetak, ayat yang mengeji Dr Mahathir langsung tidak terakam dalam gambar sedangkan asalnya tulisan itu berwarna merah dan besar. Tulisan lain menggunakan warna biru dan hitam, itupun dapat tertera dalam foto. Ajaib, itu semua kerja Allah. Agaknya Allah tidak izinkan kerja kutuk-mengutuk berlanjutan, sebab itu ayat itu tidak dapat dijadikan bukti nama PM dicela di Makkah. Pembaca boleh lihat dalam foto yang saya salin.

Saya difahamkan bahawa tembok itu akan dicat semula setelah hampir musim melontar. Betullah, sewaktu saya sampai semula ke tembok jamrah itu pada hari-hari tasyrik, dalam kesibukan para hujaj semua tembok telah dicat semula yang memadam semua catatan.

Untuk rekod, sekarang tempat melontar di Mina sudah menjadi tiga tingkat dan batu jamrah juga telah dibesarkan berbentuk kapal.

11 disember 2008

Rabu, Disember 10, 2008

CATATAN haji: pakcik yang sakit

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Dalam grup saya ada seorang pakcik umur 63 tahun seorang peneroka Felda dari Temerloh. Sampai di Madinah terus demam dan kemudian sakit-sakit badan sampai tidak boleh ke masjid. Pernah dia cuba juga hendak pergi, lemah dan tidak terdaya. Apo nak buek, dah nasib dio.

Sampai ke Makkah pun kesihatannya sama, jadi pakcik ini sekadar duduk di dalam bilik. Makan pun isterinya tolong hantar. Tapi gaya dia bercerita dengan kami tak berapa nampak masalah kesihatannya. Untuk ibadah umrahnya, dia terpaksa mengupah orang mengangkat berkeliling kaabah dan naik kerusi roda sewaktu sai.

Walaupun dia tidak sihat dan dianggap kurang upaya, nasib baik juga kerana tidaklah menjadi beban baru kepada rakan-rakan dalam bilik sama ada di Madinah dan Makkah. Sampai di Makkah, demamnya tidak ada lagi, cuma mengadu badannya sakit-sakit dan tak mampu nak berjalan. Paling jauh dari tingkat tujuh hotel ialah ke bagian bawah nak beli barang sedikit sebanyak dengan isterinya. Ooo, rupanya dia beli sekali tongkat, dapat juga membantunya bergerak.

Begitulah keadaannya sehingga orang sibuk hendak berangkat ke Arafah. Dia bertongkat dan barang-barangnya kami tolong bawa ke bas. Kerana kesakitannya, segala pergerakan kerja-kerja haji dia terpaksa mencari orang untuk membawanya dengan kerusi roda. Kasihan juga pada isterinya yang memang nampak berusia itu.

Namun semasa orang sibuk-sibuk hendak balik selepas siap kerja haji, pakcik ini kelihatan agak segar. Saya dan rakan-rakan perhatikan juga sewaktu menunggu bas hendak ke Jeddah dia sudah boleh berdiri lama dan menarik begnya sendiri. Kawan saya Radzuan dari Dungun yang cepat memberitahu saya mengenai perubahannya.

Betullah, apabila sampai ke Jeddah dan orang sibuk dengan urusan barang untuk ditimbang dan diperiksa, pakcik berkenaan sudah berjalan seperti biasa tanpa tongkat. Gaya dia berdiri juga tidak terbongkok-bongkok lagi. Yalah.., kami semua hanya memerhatikan saja.

Teringat kata-katanya kepada saya dalam bilik di Makkah yang suatu masa dia akan kembali semula menunaikan haji kerana berasa hajinya pada waktu itu tidak sempurna. Dia berasa tidak puas kerana banyak berada dalam bilik dan mengupah orang untuk menggerakkannya. Apo nak buek, dah nasib dio.

10 disember 2008

CATATAN haji: mencari raudhah

Catatan oleh kendedes

Musim haji 2001: Semasa saya dan rakan hendak masuk ke masjid nabi ada sedikit kalut. Maklumlah tempat orang dan tak tahu bahasa arab. Jumpa orang arab keluar perkataan ‘rijal’ yang menunjukkan arah tempat lelaki, kami ditunjukkan satu pintu masuk. Macam di Malaysia, masuklah dan sandal diletakkan di rak sebaik saja masuk ke dalam. Kami meneruskan langkah menuju ke hadapan sebab nampaknya banyak lagi ruang kosong.

Jalan, terus jalan masih belum jumpa mana bahagian yang hadapan. Yalah, masuk masjid, mestilah cari tempat paling hadapan.

“Dah jauh jalan, mana dia?” tanyaku kepada rakan bernama Nasir.

Dalam hati memang hendak cari raudhah, yang dikatakan tempat doa yang makbul. Raudhah ini macam mana dan dalam ceramah hanya diberi tanda tiangnya berwarna lain. Maka saya pun melihat-lihat tiang untuk membedakan warna sambil terus berjalan. Orang belum ramai untuk solat zuhur.

Sampai di satu tempat yang orang duduk dan payah lagi hendak berjalan, kami berhenti dan solat tahiyatul masjid. Selesai solat Nasir tunjukkan arah yang lantainya agak tinggi, mungkin itu raudhah? Bukanlah, tiangnya tak ada istimewa pun.

Tidak jauh ada sekumpulan jemaah Indonesia berkumpul dan berdoa. Dalam hati berkata, itulah raudhah. Kalau bukan raudhah buat apa banyak jemaah berpusu-pusu di sana dan berdoa. Tapi nampaknya tempat itu macam mihrab, tempat imam berdiri solat saja. Pulak itu ada lebih daripada satu. Dah cuak di hati.

“Tengok tiang di hadapan tu, kan warnanya nampak lembut. Tu sebelah kirinya nampak lain saja, makam nabi tu.” Saya mengagak kepada Nasir.

Nasir yang pendiam ini senyum saja dan mengangguk. Tapi kami tidak dapat masuk ke kawasan itu sebab semua ruang duduk sudah penuh. Oleh itu duduk saja di tepi salah satu tiang tidak jauh daripada yang disyak sebagai raudhah.

Semasa balik barulah terasa jauh lagi berjalan ke pintu di belakang sebab sandalnya di sana, sedangkan ada beberapa pintu yang dekat untuk keluar. Rusa masuk bandar betul!

Setelah balik ke hotel dan bercerita dengan rakan lain barulah dapat kepastian yang mana satu raudhah. Kebetulah hari keduanya dalam masjid itu terlihat ada seorang dari Indonesia yang tampil ke hadapan tempat yang menjadi tumpuan jemaah dari sana. Kata seorang itu bahawa tempat yang disangka paling makbul berdoa itu tidak ada apa-apa istimewa. Yalah, mihrab-mihrab itu…

Setelah faham kedudukan Masjid Nabi, tahulah saya hendak masuk mengikut pintu mana yang mudah. Kedudukan hotel ikut seselah kiri masjid, jadi saya akan masuk melalui babul baqi. Saya akan menyusup di celah-celah orang agar sampai ke tempat belakang imam. Tempat itu diletakkan beberapa rehal dan dikawal orang. Apabila sudah hampir masa solat masuklah imam dan krewnya. Dapatlah beberapa kali berdiri dekat dengan imam Masjid Nabi.


Satu pagi selepas solat subuh saya keluar ikut pintu yang digunakan imam kerana mengikuti perjalanan jenazah ke kuburan baqi. Rupaya sudah ada banyak lubang menunggu jenazah di kuburan itu. Di sana selepas siap jenazah ditanam, cukup yang hadir berdiri sebentar dan berdoa apa yang perlu. Tiada bacaan talkin dan tahlil.

Di Madinah juga saya diketemukan dengan rakan sekolah semasa di Kedah iaitu Cikgu Azimoha dari Kelantan dan Zulkifli Awang dari Terengganu.

10 disember 2008

CATATAN haji: kantoi oleh mamat Pakistan

Catatan oleh Kendedes

TIDAK lama selepas hari-hari tasyrik, bermula pula perkembalian para hujaj dari tanah suci ke tanah air. Banyaklah cerita dan pengalaman mereka, terutama yang sudah menunaikan haji dan umrah lebih dari satu musim. Yalah, dalam banyak yang menunggu tempat hendak ke Makkah, ada juga nama-nama yang dapat menunaikan haji untuk kali ketiga dan keempat.

Allah telah memakbulkan hasrat saya sewaktu usia remaja, iaitu mahu menunaikan haji sebelum usia empat puluh tahun. Sekalipun kami suami isteri tidak menduga akan berangkat ke Makkah tahun 2001, tapi itulah takdir. Dua anak yang berusia delapan dan tujuh tahun pasrah ditinggalkan.

Naik pesawat, inilah pengalaman jakun orang kampung macam saya. Walaupun tidak gerun atau gayat, tetapi dalam hati sedar bahawa sebenarnya nyawa di hujung tanduk. Seorang penceramah berkata bahawa menaiki pesawat terbang umpama masuk keranda. Kalau saja ada masalah besar pada pesawat, semua akan jadi mayat! Apabila hari siang, saya berpeluang melihat negara India dari udara. Pemandangannya persis seperti lantai rumah orang kaya, yang ada mozek. Merah dan kelabu di sana-sini, tanda kawasan tanahnya diguna habis untuk kehidupan manusia seribu juta.

Pesawat turun di Jeddah selepas waktu maghrib, kemudian setelah melalui pemeriksaan, tidak lama kemudian menaiki bas untuk ke Madinah. Oleh itu sepanjang perjalanan selama lapan jam merentasi malam gulita.

Sewaktu bas berhenti untuk solat subuh saya kantoi, kena tipu mamat Pakistan yang menjual minyak attar. Kerna berpegang pesan penceramah supaya jangan banyak songel di tanah suci (saya lupa sebenarnya waktu itu bukan di tanah suci) saya membeli saja minyak itu dengan harga lima riyal, tapi saya tidak ada wang tepat lima riyal. Saya lurus bendul hulur 10 riyal dengan harapan mamat Pakistan ini akan pulangkan bakinya. Mamat ini berikan saya sebotol lagi dan terus pergi. Minyak attas ini baunya ya Allah…, beruang pun lari. Saya bawa juga minyak ini sampai ke Makkah, tapi apabila nak balik tinggalkan saja dalam rak. Siapa mahu ambillah….

Sampai di Madinah kira-kira jam lapan pagi. Dari dalam bas sudah nampak orang memakai pakaian sejuk sampai berbungkus kepala. Dan apabila turun, betul punya sejuk, 18 selsius! Teringat bunda, harap-harap tidak lelah. Maka yang pertama difikir untuk dibeli setelah selesai urusan di hotel ialah membeli sarung tangan dan baju yang lebih tebal untuk bunda.

Sambil-sambil itu berkata dalam hati, meriah betul Madinah ini….

09 disember 2008

Selasa, Disember 09, 2008

IBADAH bukan hanya berita


APAKAH namanya berita? Berita yang digarap oleh wartawan mestilah suatu yang luar biasa. Yang luar biasa itu memang menjadi perhatian umum, dan kalau diletakkan dalam akbar akan laris. Dalam buku teori dan kursus kewartawanan yang pernah penulis lalui analogi berita itu sebagai berikut: Anjing mengigit orang bukan berita, tetapi orang menggigit anjing adalah berita!

Namun kalau sejak pelaporan itu banyak pula orang menggigit anjing dan berlaku di mana-mana, akhirnya ‘orang menggigit anjing’ bukan lagi berita. Fahamlah suatu berita sensasi seperti perbicaraan kasus berat dalam mahkamah nilai beritanya kian menurun hari-hari berikutnya dan sampai akhirnya orang tidak perdulikan lagi apa ceritanya.

Naluri nilai berita ini tampaknya sudah lama diguna pakai dalam melaksanakan ibadah dalam agama. Bersempena hadirnya Iduladha ini seperti musim-musim sebelumnya, penuh rapat masjid kerna banyak orang menunaikan solat sunat eid. Mengapa orang berjejal-jejal ke masjid untuk solat sunat eid dan tarawih sedangkan saban hari ada lima waktu yang lebih tinggi nilainya untuk solat berjemaah di masjid?


Seperti menafsir nilai berita: Yang baru itu tinggi nilainya, semakin lama kian turun nilainya. Masyarakat juga menilai solat-solat sunat yang setahun hanya sekali atau sebulan dalam setahun sebagai tinggi nilainya kerana bukan hari-hari. Kerna bukan kelaziman, solat eid yang hukumnya sunat seperti kelihatan wajib sehingga ada orang sanggup berpayung kerna hujan. Cuba lihat solat fardu lima waktu di masjid yang sama, berapa jumlah yang ada? Syaitan pun tertawa……..

Perhatikan juga jumlah orang yang hadir malam pertama Ramadan di masjid berbanding dengan malam ke-20 hingga akhir. Tampak jelas yang malam awal itu bagai tidak cukup ruang dalam masjid. Namun setelah berhari-hari, nilai solat tarawih itu kian pudar dan akhirnya nafsu manusia menganggap tarawih tiada nilai apa-apa. Fahamlah apabila malam-malam terakhir Ramadan, masjid kian lapang.

Perhatikan juga hebatnya orang yang melalaikan masjid tetapi cukup bernafsu mengadakan majlis tahlilan. Orang yang solat Isyak di masjid belum sampai, mereka sudah siap duduk dalam ruang tamu! Namun rasanya tahlilan ini jika dibuat setiap hari tanpa henti pun orang tak bosan sebab ada hidangan yang memenuhi nafsu.

Demikianlah kefahaman beragama yang disandarkan pada nafsu dan akal manusia semata-mata. Sekalipun banyaknya diseru agar beribadah berdasarkan dalil dan hujah alquran dan sunah, namun pertempuran kerap berlaku antara kehendak nafsu dengan kehendak Allah dan rasul. Dengan kebiasaan yang terhampar jelaslah nafsu berjaya mengalahkan seruan Allah dan rasul-Nya.


Telah beratus-ratus tahun begitu penilaian terhadap ibadah, maka beruntunglah yang telah mengalahkan nafsu dalam beribadah kepada Allah. Oleh itu benarlah dalam satu maksud hadis nabi bahawa Islam itu asalnya hadir sebagai terpencil, maka akan berakhir dengan terpencil juga. Islam itu mestilah asasnya alquran dan sunah, bukan kelaziman dan hawa nafsu masyarakat muslim.

SETIAP detik yang berkorban

IDULADHA atau Hari Raya Kurban. Kenangan yang cukup baik, perihal Nabi Ibrahim diperintah mengorbankan anaknya sendiri demi cinta kasih dan taat kepada Allah. Dengan berat hati tetapi kerana lebih rasa cinta kepada Allah, maka yang dikasihi atas muka bumi sanggup dikurbankan oleh Nabi Ibrahim. Kuasa Allah juga yang menukar tempat Nabi Ismail dengan seekor kibas.

Tidak dapat tidak saat hadirnya Iduladha, maka pengorbanan menjadi temanya. Seekor sapi bernilai RM2700-RM3000 disembelih dan dagingnya dibahagikan percuma kepada orang-orang miskin dan jiran tetangga. Pemilik sapi yang mengongkosi segala-galanya tidak mendapat pulangan ekonomi dan sosial, kecuali yang sengaja-sengaja mahu menyebut kurban sapi tadi. Biarlah Allah menilai kerja-kerja ini.

Demikian hebat nilai pengurbanan misalnya seekor sapi, semata-mata demi Allah untuk alam akhirat kelak. Dalam wajah yang berbeda, telah banyak tambo mencatat generasi awal Islam adalah manusia-manusia yang pantas berkurban demi Rasulullah dan kelangsungan dakwah Islam. Sayidatina Khadijah seorang berharta telah sanggup mengurbankan hartanya untuk kelangsungan dakwah Islam. Kerna itu majulah dakwah di Makkah.

Seorang ayah akan melakukan apa saja pengurbanan demi anak-anak agar kehidupannya lebih baik pada masa depan. Maka sebenarnya ayah sedang menyisihkan rasa nikmat hidup, kemudian nikmat itu diserahkan kepada anak-anaknya. Berapa banyak ayah dan ibu telah sanggup tidak menukar pakaian baru, tidak menghias diri dengan emas perak semata-mata semua wang itu untuk pendidikan dan kehidupan anak-anak. Lebih jauh ada pula yang sanggup berhempas pulas dalam kepayahan hidup demi kesihatan anak-anak pula. Semua itu sebagian contoh pengurbanan.

Tanpa cinta, tidak mungkin ada pengurbanan. Seperti kisah Nabi Ibrahim yang cintanya kukuh amat kepada Allah maka sanggup menerima perintah agar mengurbankan puteranya sendiri. Dalam buku Falsafah Hidup, Prof Buya Hamka menyatakan mengenai ketulusan cinta. Kata Buya Hamka sebaik-baik cinta suci antara sesama manusia ialah cinta ibu terhadap anaknya. Cinta ibu terhadap anak tulus tanpa mengharap apa-apa balasan daripada anak sampai bila-bila pun. Sebaliknya cinta lelaki kepada kekasihnya kerna mahukan layanan seks.

Seperti seorang lelaki yang sedang amat dilambung rasa cinta kepada kekasihnya, maka apa sahaja yang diminta oleh kekasihnya akan sedaya upaya dipenuh sekalipun dirinya terpaksa kekurangan nikmat hidup. Alangkah indahnya jika setiap anak mengenang kembali pengurbanan ayah dan ibu sejak bayi merah. Bayi yang merah ditatang agar hidup sihat dan menjadi anak-anak yang gembira. Kemudian anak membesar dan bersekolah tinggi sehingga mendapat pekerjaan yang hasilnya lumayan, jauh lebih besar daripada yang diperoleh ayahnya.

Nah, rupa-rupanya ruang untuk berkurban demi membuktikan rasa kasih cinta tidak hanya hadir pada Iduladha saja. Pada setiap saat, manusia terbuka melakukan pengurbanan demi insan-insan lain yang mereka kasihi. Seperti yang mengurbankan haiwan untuk dirasai oleh jiran tetangga tanpa sebarang harap balas, maka indahnya sesuatu yang berharga dikurbankan demi kasih sayang sesama manusia pula.

TUDUHAN kerna dendam dan benci

KALAU berada di luar wilayah, kita berasa bebas dan telus melihat yang ada dalam wilayah kediaman kita sendiri. Seperti kita sebagai lelaki dengan bebas membuat penilaian dan persepsi terhadap kaum wanita, maka begitu juga sebaliknya. Kalau kita sebagai ibu bapa kepada anak-anak bersekolah dengan bebas sekali membuat telahan terhadap pihak di sekolah. Orang-orang kaya pun tidak ada had untuk menilai kehidupan orang-orang miskin sebagai malas, kotor dan susah hendak dirobah. Orang-orang miskin pun mungkin kerna putus asa dan dengki bukan main lagi umpatannya terhadap orang kaya. Ah, begitulah..

Kita di Malaysia sedang melihat dengan penuh jelek dan hairan dengan kehendak sebagian (mungkin lebih 50 persen) muslim di Turki yang menolak sekuat-kuatnya wanita muslim memakai tudung kepala. Di negara ini, sekalipun ada wanita yang tidak pernah memakai tudung kepala, tidaklah mencemooh wanita yang bertudung. Tetapi di Turki, sampai peringkat pengharaman bertudung dalam bangunan kerajaan dan universiti! Huh, salah besar bertudung dalam sebuah negara yang 99 persen penganut Islam!

Orang Turki sebagai orang luar kepada Malaysia atau mana-mana negara umat Islam pun tentunya sedang melihat dengan jelek adab wanita muslim bertudung. Orang-orang yang antitudung di Turki itu entah punya berapa ribu sebab dan hujah bahawa bertudung kepala sebagai salah, goblok dan kolot.

Penulis mendapat satu emel yang disertakan satu foto permainan jenis ‘lego’ yang memaparkan aksi patung lelaki dan wanita sedang bersenggama. Di sisinya tercatat ayat menghina Rasulullah yang telah berkahwin dengan 23 orang wanita! Demikian, kerna perasaan benci dan dendam kepada Islam, fakta yang ada dieksploitasi untuk memanjangkan kebencian kepada orang lain terhadap Islam.

Namun kepada muslim yang sangat menyanjung peribadi Rasulullah dalam mengakui baginda mengahwini beberapa wanita, bahawa semua perkahwinan itu bukan kerana desakan seksual melainkan kerana dakwah dan penghormatan terhadap wanita. Orang yang memang bencikan Islam sama ada sengaja atau tidak telah melalaikan keupayaan luar biasa anugerah daripada Allah terhadap seorang lelaki bergelar Nabi. Rasulullah pernah mengalahkan seorang ahli gusti, baginda pernah mengangkat batu besar ketika menggali parit atau daya ingatannya yang cukup hebat. Rasulullah seorang manusia biasa tetapi terpeliharan akhlaknya sepanjang hayat. Semua itu tidak ada perkiraan telus kepada musuh.

Namun ada rakaman sejarah yang salah bahawa Rasulullah berkahwin dengan Saydatina A’isyah pada usia enam tahun yang juga diterima oleh umat Islam. Fakta salah inilah yang dipergunakan untuk menyorak Rasulullah, tetapi umat Islam membisu kerana mengatakan sumbernya dikatakan ‘sahih’. Sayang, muslim sunnah tidak dapat melihat perangkap musuh merosakkan imej dan maruah Rasulullah dan Saydatina A’isyah, sedangkan puteri Sayidina Abu Bakr itu berusia kira-kira 19 tahun sewaktu bernikah dengan Rasulullah!

Begitulah orang yang sedang membenci sesuatu akan melihat fakta dari sudut kebencian. Kemudian kerana dendam dan benci itu, lahirlah bahasa kasar dan tidak hormat sekalipun yang dihadapnya adalah manusia juga.

Mudah, untuk mencemooh dan mengeji sesuatu, berdirilah di luar lingkungan itu. Ah…, sama juga dengan semangat asabiyah zaman jahiliyah dahulu.

PUTERI mahu solat di masjid

catatan Kendedes

Sehabis solat maghrib saya mendapatkan puteri ct adah yang sudah berada di bagian belakang masjid yang wajahnya muram. Saya kaget, sedangkan asalnya sangat ceria untuk solat di masjid.

Setelah dipujuk, berceritalah puteri ini bahawa tadinya sesudah mula solat sebaik saja imam memulakan solatnya, maka dia dihampiri seorang yang menyuruhnya masuk dalam kawasan perempuan yang dilingkungi kain tebal gelap. Kerna ct adah baru tujuh tahun, anak perempuan lagi naïf maka dalam solat itu dia berundur jauh agar tidak diperintah masuk dalam kawasan khas bersama beberapa orang perempuan dewasa.

Kemudian pada solat isyaknya, saya membawa ct adah ke sebuah surau pula yang tidak jauh dari masjid berkenaan. Dan setelah selesai saolat Isyak pun dia muram juga. Tanpa banyak soal, saya tahu pengalaman sewaktu solat maghrib di masjid, berulang di surau pula.

Apa mula ceritanya ct adah, seorang puteri tujuh tahun mengikuti saya solat fardu di masjid dan surau?

Sebenarnya ct adah memang rapat sangat dengan saya sampai ke masjid pun nak ikut sejak pandai berjalan. Kalau saya ke kedai lagilah dia tak mahu lepas. Apabila sudah tahu sedikit sebanyak melakukan solat, saya pakaikan telekung tapi dia tidak mahu berada dalam wilayah makcik dan nenek yang dua tiga orang itu. Maka saya letakkan ct adah di tepi tabir gelap itu masih dalam kawasan lelaki. Sumpah, setakat maghrib dan isyak pada bulan bukan puasa ini tempat berdirinya ct adah tidak akan tercecah oleh jemaah lelaki. Saya pun tahu peraturan solat jemaah ini.

Tapi begitulah, apabila saya sudah masuk solat dalam saf pertama ada pakcik yang lewat datang melihat ct adah pakai telekung di tepi tabir gelap kawasan lelaki, terus diarah masuk ke dalam. Ooo, patutlah ct adah mengadu sedang berdiri solat terpaksa berundur jauh sampai ke pintu masuk!

Tidak mengapalah pakcik-pakcik yang berkenaan. Terima kasih kerna saya mendapat mesej sebenar cara pemikiran kaki masjid ini. Pakcik-pakcik ini juga tentulah telah berjaya membawa lebih banyak anak-anak perempuannya sejak kecil ke masjid dan surau sejak anak-anak mereka kecil hingga dah berkahwin kot…. Itulah andaian saya, sebab kalau tidak ada pengalaman baik mendidik anak perempuan ke masjid, tidak mungkin dia begitu berani menyalahkan tempat duduk ct adah budak berusia tujuh tahun itu.

Sabarlah ct adah, ayah kamu bukan ustaz, bukan ulama, bukan ajk masjid, bukan bilal, bukan imam, bukan ada rekod panjang membawa seribu anak-anak ke masjid saban waktu. Ayah kamu cuma ada cita-cita kecil mahu menjadikan kamu cintakan masjid sekalipun usia kamu mentah dan perempuan pula. Kalau bukan ayah kamu yang membawa kamu ke masjid, siapa yang hendak bawa?

Saya memeluk erat ct adah!
5 disember 2008

Khamis, Disember 04, 2008

TANGGANG pun kasihkan ibunya

TANPA ayah dan ibu, siapalah kita semua! Daripada mereka berdua, kita dilahirkan, dijaga dan dibesarkan. Kemudian lumrahnya orang mendewasa, kian jauh kembara dan cita-citanya. Namun seperti terbang bangau, ke belakang kerbau juga akhirnya. Itulah naluri yang dipilih oleh Allah kepada setiap insan, kecualilah dengan akal dan perasaannya naluri itu dihindari.


Kisah Tanggang atau Malin Kundang sudah sebati dengan budaya kehidupan Melayu. Jauh dan megah bagaimana pun Tanggang atau Malin, di sudut hatinya tetap kasih dan rindu pada ibu. Apa yang menyebabkan Tanggang atau Malin ‘berlagak sombong’ hanya dihasut oleh perasaan sahaja, sedang akal budinya tetap naluri kecintaan kepada ibu. Apa nak buat, perasaan telah mengalahkan akal budi, lalu jadilah nama-nama itu simbol kedurhakaan anak kepada orang tua.

Sekalipun naluri kecintaan kepada ayah dan ibu itu ada, namun Allah mantapkan dalam bentuk wahyu untuk dijadikan panduan hakiki peranan anak kepada ayah dan ibunya. Perhatikan maksud ayat 23 surah al-Isra’ “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu dan ayahmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang antara kedua-duanya atau kedua-duanya (sekali) sampai berumur lanjut janganlah kamu mengatakan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah (doa) ‘wahai Tuhanku, kasihilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku sewaktu kecil’.

Daripada ayat berkenaan dapat ditemui beberapa maklumat seperti:
1. Ketauhidan yang benar disandingkan dengan berbakti mulia kepada ayah dan ibu.
2. Tidak bisa sama sekali menyinggung perasaan ayah dan ibu sekalipun berbeda pendapat.
3. Allah mengharamkan anak-anak memilih perkataan kasar dan keji ketika berbicara dengan ayah dan ibu, sebaliknya Allah mewajibkan anak-anak memilih perkataan dan ayat yang mulia ketika berbicara dengan mereka.
4. Perintah Allah supaya anak-anak memuliakan ayah dan ibu (sebagaimana rakyat memuliakan rajanya).
5. Perintah Allah supaya anak-anak senantiasa kasihan terhadap ayah dan ibu, langsung berdoa agar Allah mengasihi mereka berdua.

Alangkah indahnya saranan alquran untuk anak-anak meladeni kedua-dua orang tuanya. Rugi besarlah jika kesempatan untuk mendampingi kedua-dua ibu dan ayah dipersia-siakan. Kelak, setelah kedua-duanya pergi menghadap Tuhannya, barulah anak-anak menyesali telah melalaikan hal yang sebenarnya bisa saja dilakukan sama ada secara langsung atau sebaliknya.

MENDAMBAKAN kasih orang tua

DUNIA semakin moden kerana perubahan dan berlaku juga perubahan sosial dalam keluarga. Misalnya dahulu 80 peratus negeri Selangor berstatus kedesaan, kini 80 peratus pula yang kebandaran. Kehidupan bandar dan ala-bandar memberi kesan kepada hubungan antar keluarga. Jika dahulu anak-anak membina rumah di sekitar rumah ibu bapa dan kedua-dua orang tua terjaga, hari ini sudah sebaliknya.

Banyaknya anak-anak terdidik di luar daerah akhirnya membawa mereka bertemu jodoh dengan orang yang jauh-jauh. Kemudian anak-anak pula bekerja di kawasan bandar kerana sijil dan pekerjaannya. Maka, kesannya ialah ibu bapa tertinggal berdua atau sendirian di desa. Hal ini sudah menjadi kebiasaan, tetapi tanggung jawab anak-anak kepada orang tua tidak pernah dilonggarkan kerana perubahan sosial ini.

Secara prinsip memang ibu bapa tidak akan menagih pengorbanan anak-anak pula untuk mendekati mereka pada hari tua. Kasih sayang ibu bapa kepada anak akan senantiasa reda dengan anak-anak sekalipun kehidupannya semakin ‘luka’ dan rasa rindu dengan anak-anak kian tebal. Kerana kasih diizinkan juga semua anak-anak mencari kehidupan di bandar-bandar untuk keselesaan mereka.

Ibu bapa, semakin tua kian seni jiwanya, bertambah-tambah mahukan perhatian dan kasih sayang daripada anak cucunya pula. Lantaran itu jika anak-anaknya semua telah berhijrah dan menjauh dari desa kelahiran, saban hujung minggu pasti mereka ternanti-nanti siapakah yang akan kembali ke desa sebagai penziarah.

Banyak cerita ibu bapa tidak mahu berhijrah ke bandar atau tempat kerja anak-anak. Kerana itulah ada yang sanggup hidup sendirian di desa menjaga ayam dan itik. Ada pula anak-anak tidak faham dengan kehendak orang tua ini dengan mengatakan ibu atau bapanya pula tidak faham keadaannya yang berjawatan di kota. Bagi anak ini wajib ibu atau bapanya turut sama tinggal di kota supaya terjaga kesihatan dan makan minumnya.

Bagi orang tua tidak sama sekali meninggalkan desa kelahiran selagi masih punya kemampuan berdikari dan kesihatan mental. Kedua-dua orang tua dilahirkan di desa, kemudian membesar sehingga tua dengan budaya desa yang mendarah daging. Oleh itu, tidak mungkin sama sekali kehidupan ini tiba-tiba direnggut untuk menjadi seperti burung dalam sangkar di tengah-tengah kota. Anak-anak mereka sendiri pun tidak akan selesa jika dijadikan ‘burung dalam sangkar’ di desa setelah membudaya dengan kehidupan kota, walaupun dahulu desa itulah tempatnya bermain lumpur dan mengejar haiwan ternak.

Apa-apa pun akhirnya si anak wajib pula menerima hakikat tanpa orang tuanya itu, tidak mungkin dirinya menerima keenakan hidup yang jauh lebih mewah berbanding kedua-dua orang tuanya di desa. Hari ini, tibalah masanya anak-anak berkorban pula untuk membelai, mendengar cerita dan celoteh orang tua di desa. Orang tua faham dunia baru anak-anak yang berpelajaran tinggi, tetapi masih mahu bermesra dengan anak cucu pada saat-saat penting! Maka, berapa pun jumlah anak yang dimiliki, mestilah ada yang mengalah demi menceriakan kehidupan orang tua di desa. Bagaimana memberi maksud ‘mengalah’ terpulanglah kepada kebijaksanaan anak-anak.