ORANG kampung sudah
berubah! Dahulu asal namanya
orang kampong ekonominya hanya dalam bidang pertanian, tidak ada yang
mengusahakan produk hiliran hasil kampong.
Malah perniagaan peraih hasil pertanian juga diusahakan oleh orang luar,
yang akhirnya menjadi tauke besar di kampung.
Dasar kerajaan yang menekankan pembangunan ekonomi
desa ialah memastikan ekonomi desa tidak menjadi satu tanda aras
kemiskinan. Oleh sebab itu melalui
Jabatan Pertanian, usaha dilakukan untuk melahirkan usahawan desa, walaupun
skala pengeluarannya kecil.
Puan Rosmilah Mohd Nor, 56 tahun yang tinggal di
Batu 4 Sepintas, Sabak Bernam Selangor telah lama menyahut seruan kerajaan agar
masyarakat desa terlibat dalam bidang pengeluaran produk hiliran desa. Hari ini syarikat Reti Enterprise yang
dimiliki oleh Rosmilah Mohd Nor merupakan salah satu contoh kejayaan Industri
Kecil dan Sederhana (IKS). Rosmilah
hanya menjadikan ekonomi yang disebut ‘ekonomi tradisional’ menjana ekonomi
desa lebih baik daripada dahulu.
Rosmilah lebih terkenal sebagai pengeluar makanan
ringan seperti kerepek. Membuat kerepek
yang pelbagai jenis merupakan pengembangan ekonomi tradisional, yang pasarannya
bersifat tempatan. Produk kerepek Rosmilah seperti kerepek bawang, ubi masin,
ubi kuning dan termasuk beberapa jenis kerepek pisang menjadi kegemaran
penduduk daerah Sabak Bernam hingga ke Teluk Intan. Pelbagai kerepek keluaran Reti Enterprise
sebenarnya telah memenuhi selesa penduduk desa.
Jika dahulu, ahli keluarga akan membuat sendiri kerepek untuk dimakan,
hari ini sudah ada usahawan yang menjadikan pembuatan kerepek sebagai satu industri
desa.
Menurut wanita keturunan Jawa ini, kejayaan membuat
dan menjual kerepek ini terhasil melalui bantuan Jabatan Pertanian. Begitu banyak bantuan dan khidmat nasihat
jabatan itu, sehingga Rosmilah merasa malu untuk meminta apa-apa lagi bantuan
daripada jabatan berkenaan. Namun pihak
Jabatan Pertanian sentiasa memantau perkembangan usaha-usaha Rosmilah dalam
mengembangkan ekonomi membuat kerepek.
Menurut Rosmilah lagi, pasaran kerepeknya tidak
pernah tepu. Malah sentiasa mendapat permintaan baru. Selain membuat kerepek, Rosmilah juga membuat
kuih-kuih tradisional seperti bahulu.
Syarikatnya tidak dapat memenuhi permintaan terutama apabila menghampiri
ketibaan Hari Raya! Dengan bantuan 10
orang pekerja, kerja-kerja membuat kerepek dan bahulu terus berjalan tanpa
henti. Ertinya, kejayaan Rosmilah telah
memberi manfaat ekonomi kepada beberapa orang kampong, khasnya kaum wanita yang
mendapat pendapatan sampingan.
Rosmilah juga mengusahakan homestay di
desanya. Baginya, ini merupakan
pelengkap kejayaan dalam industri membuat kerepek. Orang luar akan datang, bukan sekadar
menginap di homestay miliknya, malah mereka merupakan parasan baru semua
produknya.
Kepada yang berminat untuk mendapakan produk kerepek,
bahulu dan perkhidmatan homestay di Kampung Batu 4 Sepintas, Sabak Bernam
Selangor, boleh menghubungi beliau melalui nombor 03-32163385 atau 019-3766298.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan