Pengikut

Ahad, Mac 29, 2015

BUKAN takut hudud, tapi takut kesatuan Melayu-Islam

SUKA atau tidak politiklah yang mendomonasi pemikiran dan wacana dari simpang jalan, warung kopi hingga ke ruang lobi hotel.  Apabila kerajaan negeri Kelantan membawa Kanun Jenayah Syariah II 1993 ke Dewan Undangan Negeri untuk dipinda (2015) dan diperkenan oleh  Ketua Negeri (Tuanku Sultan Kelantan), maka satu dimensi baru dalam politik negara.


Persaingan tentulah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (Pas-DAP-PKR).  Biarlah berterus-terang mengenai BN dan PR, walaupun daripada kedua-duanya semua indah dan manis.  Sejak pilihan raya 1955 dahulu memang BN (dulu Perikatan) didominasi oleh Umno untuk meletakkan apa saja institusi Melayu dalam negara.  Sebutlah apa saja berkaitan bangsa Melayu: Raja Melayu, Bahasa Melayu, agama Islam, Kebudayaan Nasional-berteraskan kebudayaan Melayu, penubuhan MARA, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Felda, Felcra, Pernas, UDA dan pelbagai kouta yang meletakkan orang Melayu ke tempat yang utama.  Hujahnya ialah negara ini berasaskan ketamadunan Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) yang berterusan sehingga masuk zaman penjajahan. Oleh itu apabila negara merdeka, kelangsungan institusi Melayu merupakan sebagian penerusan warisan atau ketamadunan Melayu.

Orang Cina asalnya menerima semua konsep Ketuanan Melayu, sehinggalah konsep ini dipertikaikan oleh pemimpin Cina dari Singapura.  Apabila Singapura dikeluarkan (1965), maka gagasan Malaysian-Malaysia yang mahukan kesama-rataan rakyat tanpa rujukan kaum diteruskan oleh DAP.  Itu bukan rahsia.  Berpuluh-pupuh tahun Umno bekerja keras meyakinkan orang bukan Melayu dalam semua institusi khasnya pendidikan mengenai ketuanan Melayu dan penerimaan kaum bukan Melayu dalam negara Malaysia.

Pilihan raya tahun 2008 telah membuka paradigma baru pemikiran politik antara BN yang mahukan pengekalan ketuanan Melayu atau PR yang mahu membina konsep baru negara (seperti Malayan Union 1946) tanpa garis pemisah keturunan, agama dan sebagainya.

Kejayaan DAP mendapat sokongan hampir 90 peratus kaum Cina disebabkan faktor ‘tolakan’ dalam BN dan ‘tarikan’ dalam PR.  Tapi faktor tarikan dalam PR untuk membentuk Malaysia Baru ala-Malayan Union 1946 (MU1946) sangat kuat dengan sokongan parti Melayu seperti Pas dan politikus Melayu dalam PKR.  Oleh itu sangat jelas matlamat PR adalah Malaysia Baru ala-MU1946. Lihat kejelasan dalam PR seperti: Tidak ada parti yang mendominasi PR (sedangkan Umno-Melayu mendominasi BN).  Bagaimana jika Pas cuba mendominasi PR? Jawabnya mudah dan bukan rahsia iaitu DAP dan PKR tidak akan membiarkan keadaan itu berlaku. Jika Pas mendominasi PR, maka apa bedanya PR dengan BN?  Tidak sama sekali.

Oleh itu mudah difahami mengapa DAP-PKR tidak memberi ruang dan peluang Pas menjadi dominan dalam PR sebagaimana MCA-MIC dan parti-parti di Sabah-Sarawak membenarkan Umno mendominasi BN.  Kritikan DAP terhadap Pas dan Presidennya, bukan suatu yang tidak disengajakan (hanya timbul disebabkan Hudud), tetapi merupakan perancangan rapi untuk mempertahankan cita-cita Malaysia Baru ala-MU1946.

Bukanlah sangat Hudud ditentang oleh DAP kerana berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. DAP pun ada agenda melawan perlembagaan negara apabila mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan.  Bukanlah sangat Hudud akan menyebabkan bisnes orang Cina kehilangan pelanggan Melayu, sebab mereka tahu Hudud masih jauh perjalanannya (itu pun hanya di Kelantan).  Namun DAP (termasuk MCA dan Gerakan) sudah melihat Hudud sebagai jambatan baru yang menyebabkan orang Melayu-Islam bersatu dan bakal mendominasi politik negara.  Mudah untuk difahami, jika Umno-Pas berkesatuan, maka tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia seperti yang dilalui sejak tahun 1957 akan berterusan dan semakin kukuh.  Ruang untuk membina Malaysia Baru ala-MU1946 tertutup terus sebab orang Melayu dalam Umno-Pas memang kekal sama pendirian negara Malaysia berasaskan kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka yang berpaksikan Melayu dan Islam.

Peluang melaksanakan Malaysia Baru ala-MU1946 hanya berjaya jika Umno dan Pas dipisahkan. Seterusnya Pas dikekalkan dalam gagasan Malaysia Baru ala-MU1946 tetapi Pas bukan dominan dalam PR. Penulis yakin dalam PR tidak akan ada suara dominan Melayu-Islam sekalipun Pas parti yang sangat jelas berdasarkan Islam.

Lihat saja Lim Kit Siang terus mencadangkan gabungan semua ahli parlimen BN-PR agar menolak hudud dan membentuk Malaysia Baru. Prinsip yang ditawarkan ialah mempertahankan perlembagaan (tidak membenarkan hudud) dan Perdana Menteri baru. Ini satu lagi cara DAP mahu membendung kesatuan Umno-Pas (yang dimulakan atas jambatan hudud) dan mahu kerajaan baru (Perdana Menteri baru, bukan daripada Umno dan bukan DS Hadi Awang!).

Bola di kaki Umno dan Pas. Umno begitu lama berkuasa, memungkinkan terbiasa dengan kesalahan memerintah dan percaya tidak bakal kalah. Akhirnya sebagian orang Melayu sudah tidak peduli apa ketuanan Melayu. Lantaklah, nak jadi apa pun jadilah.  Ke mana arah sepakan bola politik Umno sekarang?

Pas mahukan Islam tetapi pengalamannya sangat pahit dalam PR.  Pas sedar dasar dan cita-cita PR untuk Malaysia Baru ala-MU1946 tidak memungkinkan dasar Islam yang dibawa akan dilaksanakan oleh PR. Pas pun sedar partinya tidak akan mengemudi PR sebagaimana Umno mengemudi BN puluhan tahun. Ke mana arah sepakan bola politik Pas sekarang?


Selasa, Mac 24, 2015

LARISNYA hudud dalam agama dan politik

HUDUD memang pasaran paling laris dalam agama dan politik. Terlalu lama didebatkan sama ada untuk mendapat keuntungan status sosial atau politik, atau sebagai bahan membenamkan nama seseorang. Abdul Naser Tun Rahman mempunyai nilaiannya sendiri, dan tentulah pandangannya itu disenangi sebelah pihak dan menjengkelkan bagi pihak satu lagi. Ini memang hukum dikotomi yang sudah puluhan tahun, malah sudah menjadi hukum fikah agama pula.

BILA Nabi SAW melaksanakan hudud, semua termasuk bukan Muslim setuju. Tetapi cadangan hudud Pas berlaku dalam keadaan caci mencaci, ugutan bunuh dan rogol, pengkhianatan terhadap rakan politik sendiri.

Bahkan seorang ulama Pas menggunakan alasan banjir sebagai bala Tuhan ke atas rakyat yang tidak sokong hudud! Perlukah ulama Pas muhasabah diri? Mengapa hanya ulama sahaja dibenarkan memimpin Pas? Murshidul Aam adalah ulama. Presiden pun ulama. Mengapa tidak Presiden seorang profesional yang cekap mentadbir masyarakat multikultural? Islam agama multikultural, maka secara rasionalnya kepimpinan pun perlu bersifat multikultural. Tetapi adakah bersifat rasional dan multikultural dilihat sebagai risiko bagi ulama Pas?

Perpecahan dalaman Pas tenat. Dr Hatta Ramli mempersoalkan mengapa ulama Pas berdiam diri apabila YB punya kereta dibakar dan YB dipukul bila mereka kritik ulama.  Sebenarnya ugutan-ugutan ini mudah ditepiskan jika ulama-ulama Pas sendiri turun padang dan membuka ruangan yang luas untuk rakyat multikultural berhujah tentang keadilan hudud.

Tunjukkan contoh akhlak ilmuwan. Bekas MB Perak Pas iaitu Datuk Seri Nizar berkata bahawa “bila Pas berkeseorangan, kita tak dapat tempat di hati pengundi bukan Melayu.”

Kalau hudud lebih hebat daripada sivil, bagi hujah. Jangan sekadar bagi amaran bahawa ini undang-undang Tuhan. Tak rasional. Maka dengar dan patuh sahaja. Kalau Islam bukan agama hujah, maka jangan menyesatkan agama lain yang menggunakan alasan yang sama bahawa jangan mempersoalkan Triniti atau mengapa paderi katolik tak boleh kahwin. Ini undang-undang Tuhan. Tak rasional. Dengar dan patuh sahaja. 

Sekularisme lahir akibat seorang saintis bernama Galileo yang berhujah berdasarkan fakta sains bahawa bumi dan planet-planet lain sepatutnya mengelilingi matahari (heliocentric), bukan sebaliknya.
Malangnya, gereja berkeras berpegang bahawa Tuhan sudah menetapkan matahari dan planet-planet lain yang mengelilingi bumi (geocentric). Ini undang-undang Tuhan. Tak rasional. Dengar dan patuh sahaja. Akhirnya, Galileo dikenakan hukuman ‘hudud’ iaitu dipenjara seumur hidup sehingga mati.

Adakah Islam sama seperti agama-agama lain? Kalau disamakan, jangan marah kalau sebahagian pihak pluralis mendakwa bahawa semua agama adalah sama kerana semua agama, ulama dan paderi tidak terbuka untuk hujah. Hanya guna pengaruh agama untuk memaksa rakyat agar dengar dan patuh.

Akhlak yang tidak rasional seperti ini sudah tentu akan memberi justifikasi kepada rakyat untuk juga bertindak secara tidak rasional. Akhlak yang tidak rasional tak kena hukuman hudud!

Pelbagai dalil dihafal ulama semasa PRU13 tentang halalnya tahaaluf siyaasi dengan DAP walaupun pelbagai pihak memberi amaran termasuk saudara seagama daripada Umno. Tetapi label ‘ABU’  (Asalkan Bukan Umno) tetap dilontarkan kepada Umno yang dilihat berusaha memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Sokonglah tak kisah sama ada liberalkah, ateiskah, asalkan bukan Umno. Melabel ABU tak kena hukuman hudud.

Sekarang yang sokong hudud ialah Umno Kelantan. Dicaci sebagai parti anti-Islam selama ini tetapi tetap sokong hudud Pas.  Syabas kepada Umno kerana membuka wacana kesatuan yang jauh lebih luas dari wacana ulama Pas yang bersifat tidak rasional. Jelas hanya Umno sahaja yang mampu menyatukan bangsa Melayu kerana bersifat tolak ansur yang tinggi walaupun terhadap parti yang mencacinya. Ulama Pas bersifat bermusuhan hatta pada rakan pakatannya sendiri!


Sebelum Nabi SAW melaksanakan hudud, beliau dikenali sebagai al-Amin (yang amanah). Adakah ulama Pas bersifat al-Amin atau bersifat terroris terhadap sesiapa yang mencabar kepimpinan ulama? Mengapa ramai yang tidak membenarkan calon lain mencabar Hj Hadi sebagai presiden? Ulama haram dicabar?

Mampukah ulama Pas meyakinkan rakyat tentang keadilan hudud melalui sifat keadilan dalam diri mereka?

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak

Sabtu, Mac 21, 2015

KEKASIH alam pencinta kelulut


TERNAK kelulut untuk madu!  Itulah yang unik di Min House Camp, Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan.  Mungkin ada yang sukar percaya kelulut yang begitu kecil dan membuat sarang di lubang-lubang kecil dapat menghasilkan ‘penawar’ seperti yang disebut dalam surah An-Nahl.  Terima kasih kepada Kak Yah selaku pengurus Min House Camp yang memberi ‘kuliah’ khas kepada saya berkenaan kelulut. Daripada kuliah itu, saya simpulkan bahwa penternakan kelulut bukan sahaja untuk penghasilan madu malah ada beberapa karenah (petanda) lain yang jarang diperhatikan.

Pertama: Orang yang menternak kelulut merupakan pencinta alam dan sangat menghargai kelestarian alam dan isinya sebagai anugerah Tuhan.  Nampak mudah untuk mengambil satu sarang kelulut dengan kuasaa kita sebagai manusia. Oh tidak rupanya. Satu kesalahan menebang pokok yang di batangnya ada sarang kelulut semata-mata untuk dibawa ke pusat penternakan. Lalu, dipastikan hanya pokok atau dahan yang dinilai sebagai sudah mati atau dalam proses pembuangan, jika ada sarang kelulutnya barulah boleh dipotong.

Tidak boleh dipotong dan terus dibawa ke tempat baru. Kita wajib menunggu semua kelulut masuk ke sarangnya supaya semua satu keluarga kelulut dapat dibawa pindah ke tempat yang kita inginkan. Jika sarang dipindahkan pada waktu siang, pasti ada ahli-ahli keluarga kelulut yang terpisah kerna belum pulang ke sarangnya. Tidak berperikemanusiaan jika kita membawa anak-anak kelulut dalam sarang sewaktu ibu-ibunya berpergian mencarikan makan untuk anak-anaknya. Maka kita mesti membawa pindah mereka pada waktu malam!

sarang kelulut dalam kotak papan yang tebal

Kedua: Tempat penternakan kelulut  pula mestilah sangat bersih daripada sebarang pencemaran. Kawasan itu mestilah terdapat cukup makanan kelulut seperti bunga-bungaan atau apa juga tumbuhan yang menghasilkan bunga.  Daripada bunga-bunga itulah kelulut mendapat madu sebagai makanan anak-anaknya.  Untuk memastikan udara bersih pastikan tempat itu bukan kawasan yang disembur racun serangga seperti ‘fogging’ semburan untuk membunuh nyamuk.  Juga bukan kawasan yang terdedah dengan pengapungan karbon monoksida daripada kenderaan bermotor.

Ketiga: Menternak kelulut adalah untuk manusia yang penyabar.  Mungkin ada yang mendakwa pengusaha kelulut mudah menjadi jutawan sebab madu seberat 230 gram dijual pada harga RM80.00.  Namun untuk mendapatkan madu seberat itu bukanlah mudah kerna ‘setor’ madu dalam sarang kelulut kecil, jauh lebih sedikit dibandingkan dengan setor madu lebah tualang misalnya.  Setiap sarang, selalunya akan diambil madunya tiga bulan sekali. Pengambil madu pula tidak boleh merosakkan sarangnya, jika mahu keluarga kelulut itu terus tinggal dalam kawasan yang disediakan.  Terlalu seni untuk melakukan kerja-kerja ini.

madu kelulut tulen yang dibotolkan seberat 230 gram

Keempat: Kita sebagai manusia sebenarnya ‘mencuri’ hak anak-anak kelulut. Seperti manusia mencuri susu pada lembu yang Tuhan sediakan untuk anak lembu, kita juga mencuri madu yang ibu-ibu kelulut sediakan untuk anak-anaknya. Oleh itu kita wajib tahu hak atau bahagian wajib madu untuk anak-anak kelulut berkenaan, dan mana yang kita sebagai manusia mahu mengambilnya.


Begitulah sebagaian yang dapat saya sampaikan. Rasa beruntung saya mengembara satu hari sejauh 460 kilometer dan sampai ke Min House Camp, menikmati penginapan dalam ‘hutan’ dan berguru hal yang sangat mengasyikkan.

Selain penernakan kelulut, Min House Camp merupakan tempat penginapan dan perkhemahan yang lengkap. Pembaca boleh menghubungi Pengurusnya, Kak Yah di talian 0139225440.

bengkel rumah kelulut

Sabtu, Mac 14, 2015

BARAT tetap membuli Malaysia-Indonesia


Negara-negara Barat tidak pernah berhenti daripada mahu dan menguasai apa saja yanga da di negara-negara Asia. Biarpun Malaysia dan Indonesia sudah merdeka, tetapi ada saja usaha negara Barat yang mahu menjadikan dua negara ini seperti negara yang tidak merdeka.

Mahkamah Indonesia sudah menjatuhi hukuman mati terhadap dua warga Australia kerna mengedar narkotik.  Setakat ini, kerajaan Australia (baca juga Amerika) bertungkus-lumus mahukan Indonesia tidak menembak dua penjenayah itu. Bagi negara Kanggaru itu, hukumlah apa saja kepada dua penjenayah itu, asalkan jangan ditembak di kayu sula! Isi tersiratnya ialah Australia tidak perduli jika Indonesia mahu menembak mati seberapa banyak penjenayah bangsa mana pun asalkan bukan bangsa Australia.

Di Malaysia, sebilangan ahli politik luar kerajaan sedang bertungkus-lumus mahu membebaskan tokoh politik pembangkang daripada sel penjara Sungai Buluh.  Bagi ahli-ahli politik berkenaan, bukanlah soal kesalahan jenayah yang dilakukan oleh tokoh itu, tetapi tokoh itu tidak boleh dipenjarakan atas sebab apa pun.  Maka berusahalah mereka, daripada membakar lilin pada gelap malam, berdemontrasi di jalanan, membotakkan kepala tanda marah (sedih?), menghina mahkamah dan hakim-hakimnya sehinggalah meminta kuasa besar dunia (Amerika) campur menekan Malaysia agar melepaskan si banduan itu! Kepada Amerika, umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Jadi Malaysia akan dibuli oleh Amerika kerna pintu sudah dibuka.

Bagusnya di Indonesia tidak ada antek atau ejen Australia yang membakar lilin di hadapan penjara Nusakambangan, buruknya di Malaysia ada antek Amerika di pintu masuk penjara Sungai Buluh.


Inilah penjajahan baru oleh kuasa Barat terhadap Asia. Ayuh Malaysia-Indonesia, bersatu melawan Barat!

Rabu, Mac 11, 2015

TIDAK ada selera terhadap ayat Tuhan


KITA mudah menerima hukum Tuhan bahwa bangkai dan babi itu haram dimakan. Sekalipun ayat al-Quran itu menyebut “Diharamkan  bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi dan (daging) haiwan yang disembelih bukan kerna Allah….” (Arti ayat 3 surah al-Ma’idah), kita tidak pernah berfikir panjang dan melakukan debat di sana-sini sebelum menerima hukum bahawa bangkai dan daging babi haram dimakan.  Bahkan, tidak pula ada yang berhelah cuba memakan kulit atau tulang babi dengan alasan yang diharamkan Allah ialah daging babi.  ‘Lahmal khinzir’ itu daging babi. Artinya yang Allah haramkan hanya dagingnya bukan bulu, kulit, tulang dan jeroan atau organ dalamannya.  Kita terima secara total, babi haram dimakan. Ini tanda keimanan terhadap perintah Tuhan. Dengar dan taat.

Namun begitu kita tidak semudah menerima pengharaman babi terhadap pengharaman berpuak-puak atau berparti-parti yang saling bertelingkah, berselisih pendapat malah saling berlawan untuk jatuh-menjatuh dalam kekuasaan pemerintahan.  Allah telah jelas mengharamkan perpecahan sesama muslim dalam ayat 103 surah Ali-Imran. “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan jangan kamu bercerai-berai. Dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (semasa zaman Jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hati kamu sehingga dengan karunia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedang kamu (ketika itu) berada di tepi jurang neraka.  Lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana…..)

Antara helah tidak mahu bersatu dan saling memaafkan antara satu sama lain ialah
‘kita bukanlah berperang yang saling bunuh-membunuh, kita hanya berbeda pendapat’
‘perbedaan pendapat dan pergerakan parti-parti tidak salah menurut undang-undang negara’
‘kita tidak akan bersatu bersama mereka sebelum mereka semua bertaubat dan menerima  hukum Allah’
'antara kita dan mereka punya sejarah hitam yang panjang. Hutang masa lalu belum dibayar’
Begitulah kita meletakkan syarat untuk mematuhi seruan ayat 103 surah Ali-Imran. 

Maka bolehlah dikatakan kita sebenarnya mudah menerima pengharaman bangkai dan babi disebabkan tidak ada selera nafsu terhadap bahan makanan itu.  Namun selera nafsu kita sangat banyak dan tinggi dalam berkumpulan yang bersaing mahu menjadi jagoan. Lantaran itulah menjadi debat panjang tidak berpenghujung bagaimana mahu menerima pengharaman Allah dalam ayat 103 di atas.

Sebalik selesa dengan ayat 3 al-Ma’idah dan berkecamuk dengan ayat 103 Ali Imran, ada ayat Tuhan yang mesti diperhatikan. Ayat 51 surah An-Nuur artinya, “Hanya ucapan orang-orang mukmin, apabila mereka diajak kepada Allah dan rasul-Nya agar rasul memutuskan (perkara) di antara mereka, lalu mereka berkata ‘kami dengar dan taat’.  Dan merekalah orang-orang yang beruntung.”

Soal sebenar ialah, Tuhan atau nafsu?


Wallahu ‘aklam

Ahad, Mac 08, 2015

BERDOSA dan bersedekah

foto hiasan
BERAPA banyak antara kita yang tidak sanggup melaksanakan kerja-kerja amal (yang bukan tugasan harian mendapatkan wang) kerna merasakan kita orang berdosa. Lalu antara kita itu memilih untuk menginfakkan atau mendermakan sejumlah wang sebagai tukaran tidak mahu menyertai kerja-kerja yang bukan dalam jadual mencari sesuap nasi itu.  Itulah yang dilakukan dengan harapan derma atau sedekahnya dapat menebus dirinya yang sentiasa berdosa.

Ohhh, telah berlaku pada zaman turunnya wahyu dahulu.  Ibnu Abas r.a. telah menerangkan bahawa Jadd bin Qais tidak mahu berjihad kerna (katanya) “sesungguhnya apabila melihat perempuan, aku tidak mampu mengendalikan perasaanku hingga terjerumus dalam fitnah (maksiat). Untuk itu aku aku akan menumbang hartaku saja untuk kepentingan jihad”. (Hadis riwayat Ibnu Jarir)


Ibbu Abas r.a. menjelaskan perkataan Jadd bin Qais itu menyebabkan turunnya ayat 53 surah At-Taubah (maksudnya) “Katakanlah  (Muhammad), “Infakanlah hartamu baik dengan suka rela atau dengan terpaksa, namun (infakmu) tidak akan diterima.  Sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang fasik.”

Mesejnya, bertaubatlah pada setiap saat kerna kita manusia sentiasa cuai lalu berdosa kepada Allah, dan bersedekalah. Dalam hadis itu, Jadd membiasakan dosa (tidak bertaubat) dan bersedekah untuk menebus dosa.

wallahu 'aklam

Ahad, Mac 01, 2015

IKUT al-Qur'an, parti kamu salah

SEMANGAT kepartaian begitu kuat dalam kalangan ahli-ahli partai politik, maka apabila mereka membaca ayat-ayat al-Quran bagi maksud pujian oleh Allah kepada yang beriman dan bertakwa, maka perasaan mereka gembira kerna percaya itulah diri mereka (yang dipuji Allah). Apabila menemukan ayat yang mencela golongan yang tidak bersama Allah, maka mereka percaya itulah golongan yang tidak bersama partainya.

foto hiasan

Ada juga ayat-ayat al-Quran yang pentaksub partai bisa fikirkan dalam-dalam, bahawa Allah mahu mereka (pentaksub partai) berfikir kebenaran yang di luar kalangannnya.  Misalnya jika yang dimusuhi selama puluhan tahun itu mengendurkan tindakan politiknya, maka cubalah membuka hati untuk jalan perdamaian. Maksud ayat 62 surah al-Anfal, “Tetapi jika mereka condong kepada perdamaian, maka terimalah dan bertawakal kepada Allah. Sungguh Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.” Orang partai Islam harus faham ‘jika partai Melayu condong kepada perdamaian maka terimalah…’.  Orang partai Melayu juga harus tahu ‘jika partai Islam condong kepada perdamaian maka terimalah…’.

Kerna sekian lama sudah diasuh dengan curiga dan dendam antara satu partai dengan partai lain, maka darjat kebimbangan adanya penipuan tinggi. Allah jugalah yang mengetahui, dan bergantung haraplah kepada Allah.  Maksud ayat 62 surah al-Anfal, “Dan jika mereka hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjadi pelindung) bagimu.  Dialah yang memberikan kekuatan kepadamu dengan pertolongan-Nya dan dengan dukungan orang-orang mukmin.”  Ahli-ahli partai masing-masing berlindunglah kepada Allah sebagai jalan tawakal, bimbang ditipu oleh lawannya (yang juga muslim!)

(Jika sudah sampai ke tahap itu mahu memahami agama, iaitu kebenaran hanya dalam kalangan partainya sahaja, maka itulah caranya memahami agama. Mujur masih ada juga jalan yang baik!)

Mesej sebenar ialah tidak bisa sama sekali ada perpecahan dalam kalangan umah. Berbilang partai politik dan saling bermusuhan antara satu sama lain, jelas bukan manhaj Islam, melainkan manhaj Barat. Memang diketahui dasar Barat yang di belakangnya Yahudi dan Nasrani akan menggunakan apa saja untuk mengalahkan umat Islam seluruh dunia. Sekarang jalan yang digunapakai ialah ‘demokrasi’.  Mereka pupuk demokrasi dan perbedaan pendapat (hak asasi bersuara), yang menyebabkan umat berpecah dan akhirnya hilang kekuatan.

Sebenarnya, awal-awal lagi telah ada dalam al-Quran mengenai buruknya perselisihan. Baru perselisihan pendapat pun sudah diharamkan oleh Allah, apalagi perpecahan antara partai dan apa  lagi peperangan antara muslim. Innalillahi wa inna ilaihi raaji’uun.

Allah melarang perselisihan (sebaliknya ikutilah Allah dan rasul-Nya) yang akibatnya umah jadi lemah. Maksud ayat 46 surah al-Anfal, “Dan taatilah Allah dan rasul-Nya dan jangan kamu berselisih, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan kekuatanmu hilang dan bersabarlah. Sungguh Allah bersama orang-orang yang bersabar.”

Telah jelas amaran Allah kepada muslim dalam negara. Kita berpecah dan saling berselisih antara partai politik (walaupun ahli-ahli partai muslim belaka), akibatnya kita gentar terhadap suara dan tindakan politik bukan Islam.  Saat kita kaum muslim begitu taksub dengan partai dan curiga untuk bersatu, mereka kaum bukan Islam semakin bertekad untuk bersatu.

Wajib kita melihat ini musibah untuk umah.  Eloklah pemimpin semua partai kembali ke jalan al-Quran dan Sunah, bersatu dan tawakal kepada Allah. Tidak perlulah kita rasa rendah diri untuk bersatu sedangkan kaum bukan Islam sedang berbangga dengan kesatuan mereka!