Pengikut

Ahad, Disember 25, 2011

25 Disember: BAGI mereka, asalkan bukan Islam


UMAT Kristian di Malaysia hanya kira-kira 9 persen, tetapi umumnya mereka kebetulan menguasai ekonomi dan politik masyarakat bukan Islam.  Oleh itu pada setiap 25 Disember kelihatan satu perayaan agama yang dianut oleh bilangan yang besar, sebenarnya amat minoriti. Di kota-kota, anak-anak muda keturunan Cina termasuk yang masih bersekolah seperti berbangga dapat menunjukkan tanda salib pada rantai lehernya.

Saya teringat pengalaman mendengar cerita dilema seorang remaja bawah umur 18 tahun memilih agama.  Remaja ini secara sembunyi-sembunyi menukar pegangan agamanya daripada Buddha kepada Islam.  Oleh kerana dia sedaya upaya melaksanakan  juga ajaran Islam di rumahnya, maka tidak lama kemudian keluarganya mengetahui rahsia besar itu.  Seperti yang dia duga, semua seisi keluarga dan saudara maranya tidak setuju.

Keluarganya memberi nasihat bahawa jika tidak mahu lagi menganut Buddha, boleh pilih Kristian asalkan bukan Islam!

Soalnya mengapa kebanyakan orang Cina jika mahu menukar agama (daripada yang asal), pilihannya ialah Kristian, iaitu bukan Islam.  Secara umum pengetahuan dan pemahaman beragama masyarakat berdasarkan adat budaya dan persekitaran.  Apa yang dilakukan oleh penganut agama dan sering dilihat dalam media, itulah gambaran agama yang difahami.  Bukan sahaja itulah cara orang  bukan Islam mengetahui Islam, malah dalam kalangan umat Islam pun norma masyarakat Islam dijadikan sumber utama pengetahuan agamanya.

Oleh itu sama ada Islam atau Kristian, masyarakat bukan Islam lebih didorong oleh persepsi terhadap kedua-dua agama untuk membuat penilaian.  Daripada sekadar persepsi itulah, mereka mudah menerima Kristian berbanding Islam.  Kerap didengar bagaimana sulitnya kehidupan sosial seseorang yang baru memeluk Islam (dalam lingkungan keluarganya), tetapi tidak kepada penganut baru Kristian.

Merujuk kepada kehidupan seorang Islam, seorang remaja bukan Islam keturunan Cina berkata yang dirinya tidak suka kepada banyaknya peraturan dalam hidup.  Sedia dimaklumi bahawa memang banyak peraturan dalam hidup muslim berbanding umat Kristian.  Kerana longgarnya peraturan dalam Kristian itulah menyebabkan penganut Buddha dan Hindu (misalnya) lebih mudah menerima Kristian berbanding Islam.

Dalam berpakaian, tidak ada beda etikanya antara penganut Kristian dengan agama Buddha dan Hindu (misalnya).  Tetapi apabila seseorang memilih Islam sebagai agama barunya, dia sendiri sedar bahawa ada etika berpakaian dalam Islam.  Begitu juga soal makanan, jelas Islam mengharamkan arak, daging babi dan daging haiwan yang tidak disembelih secara Islam.  Bagi umat Kristian, soal makanan tidak ada bedanya dengan amalan pemakanan dan prinsip dalam agama Hindu dan Buddha.

Contoh, gereja sendiri yang membenarkan paderinya berkahwin sesama lelaki menggambarkan apa saja kehendak penganut agama itu boleh dikira sah atau halal!  Jika perkahwinan sesama jenis pun disahkan dalam Kristian, perzinaan bukan suatu hal asing, sekalipun dalam kitab Bible melarang perbuatan itu.

Oleh yang demikian, dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang tidak Kristian, Islam dilihat lebih rigid atau tidak ada toleransi sebagaimana Kristian.  Maka, tidak hairanlah generasi muda mereka tampak lebih mendekati Kristian jika mereka mahu menukar agama, yang mungkin sekadar mahu keluar daripada norma lama dalam beragama.

Islam semakin jelas satu-satunya agama yang terang hukum-hakamnya.  Al-Quran jauh lebih mudah dan jelas difahami berbanding Bible.  Konsep ketuhanan dalam Islam juga lebih jelas difahami berbanding Triniti Kristian.  Justeru, yang memilih Islam merupakan orang yang telah menggunakan akalnya dengan betul, bukan menuruti kehendak perasaan dan keinginan peribadi yang salah.

Jumaat, Disember 23, 2011

Sabtu, Disember 17, 2011

MENGHITUNG zikir dengan jari-jemari


TIDAK ada perselisihan bahawa selepas solat fardu, ada zikir-zikir yang dibaca dan hukumnya sunat.  Oleh itu, duduk diam seketika sambil mulut melafazkan zikir-zikir yang sahih daripada Nabi s.a.w. adalah sunah. 


Antara zikir yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. ialah seperti dalam hadis berikut. Maksud sabda Nabi s.a.w. “Adakah kamu ingin aku beritahu kamu suau perkara yang mana jika kamau melakukannnya nescaya kamu mampu menandingi orang sebelum kamu, dan tidak seorang pun mengetahui siapa yang terlebih baik selepas itu, dan kamu sebaik-baik daripada seluruh yang berada semasa denganmu kecuali sesiapa yang beramal seperti amalan tadi juga iaitu bertasbih, bertahmid dan bertakbir sejurus selepas solat 33 kali.” (Riwayat al-Bukhari da Muslim)

Bertasbih ialah lafaz ‘Subhanallah’, bertahmid ialah lafaz ‘Alhamdulillah’ dan bertakbir ialah ‘Allahuakbar’. Setiap satu kalimah zikir ialah 33 kali.

Bagaimanakah kita mengira zikir-zikir berkenaan? Terpulanglah kepada orang lain bagaimana cara zikir itu dikira, namun ada satu hadis Nabi s.a.w. “Daripada Abdullah bin Amru berkata, “Aku Nampak Rasulullah s.a.w. mengira tasbih dengan menggunakan tangannya’ dan baginda Rasulullah juga bersabda (maksudnya) wahai seluruh wanita, kiralah dengan menggunakan jari-jemarimu kerna ia (jari-jemari) akan ditanya dan diminta berkata-kata (di akhirat sebagai saksi).” (Riwayat al-tatmizi dan dianggap sahih oleh Al-Albani).

Eloklah apabila kita mengetahui adanya sunah nabi, maka dituruti sunah berkenaan.  Mungkin orang yang mengira zikir dengan menggunakan biji-biji tasbih belum mengetahui hadis nabi di atas.  Apa pun diharap, kita telah mempunyai dalil untuk berzikir.

Ahad, Disember 11, 2011

DIRGAHAYU Sultan Selangor, Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah


DIRGAHAYU Tuanku Sultan Selangor DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.  Hari ini 11 Disember 2011 disyitiharkan hari Keputeraan baginda yang ke-66.  Baginda Sultan Sharafuddin Idris  Shah menaiki takhta Sultan Selangor pada tahun 21 November 2001.

Sejarah Kesultanan Selangor merupakan sebagian daripada sejarah kepahlawanan putera-putera Raja Bugis yang berasal dari Makassar, Sulawesi Indonesia.  Sejarah dan peranan Bugis di Tanah Melayu bermula apabila Tuanku Sultan Sulaiman di Johor meminta bantuan Raja Bugis untuk mengalahkan Raja Kechil dari Siak Sumatera yang mengancam kedaulatan Johor. 

Berdasarkan karya yang ditulis oleh putera Bugis Raja Ali Haji (pujangga Pulau Penyengat, Riau) iaitu Tuhfat al-Nafis, Raja Tanah Bugis Datu Ratu Upu Tandari Bureng Daeng Rilak telah menghantar lima puteranya  bersama angkatan perang.  Lima puteranya ialah Daeng Parani, Daeng Menabon, Daeng Marewah, Daeng Chelak dan Daeng Kumasi.  Kejayaan putera-putera Bugis menyebabkan Sultan Johor mewujudkan  jawatan Yam Tuan Muda (penjawat kedua penting selepas Sultan) diberi kepada Daeng Merewah.  Putera-putera Raja Bugis ini telah berkahwin dengan puteri-puteri Raja Johor.  Misalnya Daeng Parani berkahwin dengan Tengku tengah, melahirkan Daeng Kemboja. Daeng Chelak telah berkahwin dengan adinda Sultan Sulaiman iaitu Tengku Mandak.  Daripada perkahwinan ini lahirlah Raja Lumu dan Raja Haji.

Jawatan Yam Tuan Muda memang dimonopoli oleh putera Bugis.  Yam Tuan Muda I ialah Daeng Marewah, Yam Tuan Muda II ialah Daeng Chelak, Yam Tuan Muda III ialah Daeng Kemboja (anak Daeng Parani), Yam Tuan Muda IV ialah Raja Haji (Marhum Ketapang).

Sultan Selangor pertama ialah Raja Lumu ibni Daeng Chelak ibni Daeng Rilak, bergelar Sultan Salehuddin Shah (1756-1778). 
Sultan Selangor kedua ialah Sultan Ibrahim Shah (1778-1826),
Sultan Selangor ketiga ialah Sultan Muhammad Shah (1826-1857),
Sultan Selangor keempat ialah Sultan Abdul Samad (1778-1898),
Sultan Selangor kelima ialah Sultan Alauddin Sulaiman Shah (1898-1938)
Sultan Selangor keenam ialah Sultan Sultan Hishamuddin Alam Shah (1938-1942)
Sultan Selangor ketujuh ialah Sultan Musa Ghiyatuddin Riayat Shah (1942-1945)
Sultan Hishamuddin Alam Shah dimasyhurkan semula sebagai Sultan  Selangor (1945-1960)
Sultan Selangor kelapan ialah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (1960-2001)
Sultan Selangor kesembilan ialah Sultan Sharafuddin Idris Shah (2001-sekarang)

"MIKROFON adalah bid'ah..."

“MIKROFON adalah bid’ah sebab itu benda baru yang tidak digunakan oleh Nabi s.a.w.”  Itu adalah penjelasan Tuan  Guru yang mengajar agama kepada kami warga desa setiap malam Rabu.  Beliau menyatakan ayat itu sebagai penjelasan kepada maksud bid’ah hasanah.  Sebelumnya beliau juga membacakan hadis nabi yang bermaksud “Sesungguhnya sebaik-baik  ucapan adalah Kitabullah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (as-Sunah).  Seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bid’ah), dan setiap yang diada-adakan adalah sesat.” (Riwayat Muslim).

Daripada itu kami faham  banyaklah bid’ah seperti kereta, komputer, dapur gas dan segala macam benda atau perkara yang tidak ada pada zaman nabi tetapi semua itu ada pada hari ini.


Izinkan saya berbeda pendapat dengan beliau mengenai maksud bid’ah.  Saya merujuk buku Bid’ah Hasanah Tokok Tambah Amalan Rasulullah (2008), oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus.  Penjelasan bid’ah dalam buku berkenaan juga tidak berbeda dengan apa yang saya pelajari di Maahad Ittiba us Sunnah Kuala Pilah pada tahun 1980-an dahulu.

Mudahnya maksud bid’ah ialah perkara baru, yang tidak ada pada zaman nabi maka dibuat oleh orang zaman setelahnya.  Sebab itulah ada yang menyatakan mikrofon dan komputer adalah bid’ah.  Oleh kerna benda-benda baru itu sangat diperlukan dalam hidup tetapi ada konflik apabila menggunakannya kerana benda baru itu sesat, maka benda-benda baru itu dilabel sebagai bid'ah hasanah!  Begitulah yang difahamkan kepada kami.


Ada pendapat lain yang dirasakan lebih tepat mengenai maksud bid'ah yang Nabi s.a.w. sebut sebagai amalan sesat dan tidak berguna satu sen pun di sisi Allah.  Bid'ah ialah rekaan baru dalam agama sahaja, bukan hal keduniaan.  Rekaan baru ibadah ini dilakukan semata-mata untuk lebih bertaqarub atau mendekatkan diri kepada Allah.  Misalnnya seseorang menambah rakaat dalam solat Subuh (akal mengatakan ini bagus) untuk menambah martabat beribadah kepada Allah.

Menurut Imam as-Syatibi dalam kitab al-I’tisom, "bid’ah merupakan jalan yang direka-reka dalam urusan agama (bukan keduniaan seperti mikrofon-penulis) yang menyerupai syariah.  Tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdi diri kepada Allah s.w.t. "  

Hal bid’ah sebagai amalan baru dalam agama yang sia-sia dan bukan hal keduniaan seperti peralatan hidup (keduniaan) boleh dilihat dalam hadis di bawah.

Menurut A’isyah isteri Rasulullah s.a.w bahawa baginda nabi bersabda (maksudnya) “Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami (agama) perkara yang tidak terdapat padanya, maka ia tertolak. (Riwayat al-Bukhari)

Maksud sabda Nabi s.a.w “Jika sesuatu itu termasuk urusan dunia kamu maka uruslah ia.  Jika ia merupakan urusan agama kamu, maka rujuklah kepadaku.” (Riwayat Ibn Majah)

Lagi maksud sabda Nabi s.a.w menurut Anas bin Malik. “Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu.” (Riwayat Muslim).

Oleh itu mudah difahami  urusan dunia seperti mikrofon itu urusan dunia yang dibenarkan ada dan menjadi keperluan manusia.  Kita boleh meneroka sejauh mungkin ilmu keduniaan (bukan dalam kesesatan di sisi Allah), tetapi urusan agama wajib dirujuk kepada Nabi s.a.w.   dan tidak boleh ditokok-tambah.  Tokok tambah agama itulah bid'ah yang sesat, yang membawa ke neraka. Maknanya, hal agama tidak boleh diteroka berdasarkan R&D sebagaimana urusan sains dan teknologi.

Contoh bid’ah, saya turunkan apa yang ditulis oleh Ustaz Zaharuddin  Abd. Rahman dalam buku Formula solat sempurna (2008), mengenai pembacaan niat sebelum solat, “Usalli fardhal………lillaahi ta’ala.”  Bacaan "usalli...." sebelum solat jelas amalan agama bukan hal dunia.  Kata Zaharuddin (ms 32) “Bagi mereka yang mengamalkan ‘lafaz niat’ janganlah tersilap sangka bahawa ia adalah kewajiban.  Adapun tentang anggapan bahawa amalan itu sebagai bidaah, maka penulis (Zaharuddin) bersama Syeikh Atiyyah Saqar tidak bersetuju dalam menganggapnya bidaah kerana ia ialah suatu perbuatan sebelum bermulanya solat, iaitu di luar solat.  Bidaah ini ialah mencipta ibadah yang terkeji. Maka dalam lafaz niat ini, ia  dilakukan sebelum solat bermula.  Namun ia boleh menjadi kesalahan atau bidaah jika terdapat individu yang mengatakannya wajib atau kemestian dan batal solat tanpa lafaz niat.”

Wallahu aklam.

Rabu, Disember 07, 2011

IBLIS jadikan dosa suatu yang indah kepada manusia


SEMUA muslim sejak kecil sudah diajar bahawa wujudnya makhluk halus yang kerjanya hanya menghasut manusia supaya melakukan kerja-kerja jahat.  Erti kata lain perlakuan salah atau dosa manusia sebenarnya didorong oleh hasutan makhluk yang disebut iblis atau syaitan.  Dan semua kita sudah pun sedia maklum bagaimana iblis telah menghasut Hawa dan Nabi Adam di syurga agar melanggar peraturan Allah di sana.  Akibatnya Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari situ dan dihantar ke bumi.


Iblis pula telah bersumpah di hadapan Allah untuk menyesatkan kehidupan beragama manusia, atau apa saja kelakuaan yang akhirnya menjerumuskan seseorang manusia itu ke lembah dosa, supaya di akhirat kelak manusia itu dibakar api neraka.  Itulah cita-cita utama iblis atau syaitan.

 (Foto hanya hiasan)

Maksud surah al-Hijr:39 “Ia (iblis) berkata ‘Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan menjadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”

Sebagai Tuhan Yang Maha Pengasih, Allah telah memberi peringatan agar waspada dengan amal buruk atau kejahatan kerna itu merupakan hasutan iblis atau syaitan.  Maksud surah al-Baqarah:208 “..dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.  Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu.”  Pada ayat 168 surah yang sama pun Allah sudah menjelaskan yang syaitan itu musuh utama  manusia.

Hal ini berarti setiap saat kehidupan manusia, sama ada mereka muslim atau beragama lain sentiasa berhadapan dengan bisikan atau rayuan iblis supaya manusia menjauhi kehidupan yang di perintahkan oleh Allah s.w.t. Sekalipun sebagian besar manusia telah ingkar dengan keesaan Allah dan memilih Tuhan-tuhan palsu yang dirayukan oleh iblis, namun makhluk itu tetap mengawal mereka daripada memikirkan hal kebenaran akidah atau memastikan sepanjang kehidupannya mesti dalam keingkaran terhadap keesaan Allah.

Bagi manusia yang berakidah Islam, iblis atau syaitan tetap mencari ruang untuk seseorang muslim itu melanggar peraturan Allah supaya mereka berdosa dan akibatnya disiksa dalam neraka di akhirat  kelak.

Kelicikan iblis untuk menyesatkan umat manusia tidak terbatas terhadap hal-hal yang sedia dimaklumi mengenai perbuatan jahat atau keji seperti mencuri, menipu, berzina atau memakan makanan yang haram.  Tipu daya iblis sangat hebat sehingga manusia yang sudah dalam genggamannya, apabila melakukan perbuatan yang menyalahi peraturan Allah akan merasakan betapa baik dan indahnya perlakuan salah mereka.  Orang-orang seperti ini, jika didakwahi supaya kembali ke jalan Allah (jalan al-Quran dan sunah rasul), mereka akan menolaknya dengan alasan-alasan yang sangat munasabah (rasional) berdasarkan budaya hidup semasa.

Maksud surah al-An’am:43 “Bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menjadikan terasa indah bagi apa yang mereka selalu kerjakan.”

Contoh pertama, lihatlah bagaimana kumpulan manusia yang mendakwa bahawa Nabi Isa adalah Allah.  Mereka menguatkan hujah bahawa itulah kebenaran akidah di sisi Allah dengan mengatakan kasih sayang Allah kepada manusia yang sanggup menjelma sebagai Nabi Isa demi menyelamatkan seluruh manusia daripada dosa asal iaitu dosa Nabi Adam dan Hawa.  Iblis memperindah pegangan salah akidah mereka hingga sangat sukar menerima kebenaran bahawa Nabi Isa hanyalah seorang manusia biasa yang dipilih sebagai rasul sebagaimana rasul-rasul yang lain.

Kedua, pelaku-pelaku maksiat seperti mereka yang terlibat dalam pergaulan bebas juga telah mendapat bimbingan iblis untuk memberi hujah betapa indahnya percintaan dan rayuan asmara lelaki dan perempuan.  Kata-kata putis lelaki terhadap kekasihnya dikarang dengan bahasa yang menyebabkan si wanita sangat ingin bertemu dengan si lelaki.  Itulah iblis yang menjadikan indah perbuatan salah yang dilakukan manusia.

Begitu juga Iblis telah menjadikan orang-orang yang mendedahkan auratnya dalam bidang hiburan dan sukan sebagai indah, walhal perbuatan itu buruk di sisi Allah. Perhatikan mereka mendapat pujian dan harta benda yang banyak, dan ini sangat menggembirakan iblis yang menjadi mentornya.

Ketiga, di sisi lain bahawa iblis tidak akan merayu seseorang ahli agama untuk melanggani arak atau pelacur di kelab-kelab malam.  Iblis tahu ahli agama sudah mantap pertahanannya dengan mengatakan arak, pergaulan bebas, judi, narkotik dan rokok sebagai perkerjaan iblis (dosa).  Oleh itu  iblis akan membuat hasutan dalam bidang agama yang sangat ditekuninya.  Iblis akan memuji kehebatan ilmu dan hujah ahli agama berkenaan sehingga orang itu menganggap dirinya sahaja yang benar dan manusia lain sebenarnya jahil.

Seperkara lain, iblis sangat bijak memesongkan ahli-ahli agama melalui jalan agama juga.  Seperti paderi-paderi Kristen yang dipesongkan akidahnya sehingga sesat dan kufur, sebagian ahli-ahli agama muslim dipesongkan amalan agamanya melalui amalan bid’ah. Ada ahli agama yang membuat amalan baru dalam beribadah (untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah), yang tidak ada petunjuk daripada Allah dan rasul-Nya dan iblis berjaya menggambarkan diri mereka sebagai hamba yang salih kerna perbuatan bid’ahnya Inilah pekerjaan iblis yang menjadikan kesalahan atau dosa dirasakan indah dalam kehidupan, walhal semua itu  kesesatan yang dimurkai Allah.

Maksud surah Muhammad:14 “Maka apakah orang yang berpegang pada keterangan yang datang dari Tuhannya sama dengan orang yang dijadikan terasa indah baginya perbuatan buruknya dan mengikuti keinginannya?”

Semua tipu daya iblis hanya bertujuan untuk menjerumuskan manusia ke dalam neraka. Hubaya-hubayalah kita yang menyedarinya!

Ahad, Disember 04, 2011

SAAT bangsa kulit putih bersatu, muslim berpecah-belah


MEMANG sedang berlaku krisis politik antara Iran dengan Britain.  Sama ada ini hanya lakonan atau benar-benar konflik Asia-Eropah, kurang pasti sebab namanya pun krisis politik. Politik bukan boleh dibuat satu ketetapan seperti ketetapan mahkamah. Di balik suatu isu politik, beribu-ribu perkara rahsia berlaku berkaitan dengannya.

Yang menarik untuk difikirkan oleh umat Islam ialah mengenai bersatunya dunia Eropah dalam mengharungi arus globalisasi.  Apabila Britain memanggil dutanya di Tehran pulang ke London, negara Perancis, Jerman, Belanda dan Itali juga memanggil pulang duta-duta mereka dari Tehran.  Negara-negara berkenaan bertindak demikian kerana menyokong Britain berhadapan dengan Iran.  Soal EU akan menambah sekatan ekonomi dan kewangan Iran, itu sudah pasti!

Ironis situasi ini ialah negara-negara Eropah merupakan pencetus dua peperangan moden yang membunuh berpuluh-puluh juta jiwa. Kerna semangat nasionalisme yang menyengat Jerman menyerang Perancis dan Belanda, selain bermusuh dengan Britain dalam Perang Dunia Pertama.  Dalam Perang Dunia kedua pula Britain bersama Perancis melawan Jerman dan Itali.  Bukanlah lama sangat jarak antara tahun 2011 ini dengan 1939-45 itu!  Namun sekarang Britain, Perancis, Jerman dan Itali boleh menggembleng tenaga untuk bersama-sama mengunggulkan bangsa kulit putih Eropah.  Kesatuan Eropah (EU) itu sendiri merupakan bukti yang bangsa Eropah boleh melupakan konflik berdarah jutaan jiwa untuk rasional mengenai cabaran masa depan.  Bolehkah orang yang mendakwa Islam sebagai agama kesatuan berfikir dan bergerak menyamai bangsa Eropah itu.

Di Malaysia, jumlah umat Islam daripada 28 juta penduduk ialah 61.3 peratus. Yang lain seperti Kristian hanya 9.2 peratus manakala Hindu lagi kecil iaitu 6.3 peratus. Dengan peratus penganut agama terbesar sepatutnya umat Islam gagah dan disegani oleh semua penganut agama lain.  Dengan kedudukan ‘Islam sebagai Persekutuan’ dalam Perlembagaan, 9 orang Sultan sebagai ketua Agama Islam negeri masing-masing, setiap negeri ada Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam, adanya Jakim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, ratusan sekolah berorientasikan Islam, dan segala macam institusi Islam sepatutnya kedudukan Islam dan umatnya sangat gagah.  Nah, mengapa umat Islam mengeluh sekarang?

Jawabnya, kita utamakan hawa nafsu dan tinggalkan wahyu Allah.  Seruan Allah dalam al-Quran surah al-Hujurat sangat menarik dan menginsafkan tetapi itu hanya hiasan bacaan.  Apabila berdepan dengan kepentingan politik, ketepikan surah al-Hujurat itu.

Ini bukan bermakna bangsa-bangsa di Eropah menghayati surah al-Hujurat dalam al-Quran.  Sebenarnya seruan al-Quran merupakan seruan fitrah manusia yang dijadikan oleh Allah.  Maka tidak hairan bahawa bersatu padu sesama bangsa atau agama merupakan fitrah.  Fitrah itulah yang menjadi asas kesatuan di Eropah, kemudian faktor rasional mereka menghadapi ancaman dari Amerika, Russia dan China.  Maka bangsa-bangsa yang asalnya berbunuh-bunuhan menjadi seperti tidak ada sejarah perang yang maha sengit.

Yang kita satu bangsa dan satu agama bagaimana? Sekalipun antara negeri-negeri Melayu yang dahulunya pernah berperang (misalnya perang Kelantan-Terengganu atau Kedah-Selangor) bukanlah menjadi trauma orang zaman sekarang berbanding Perang Dunia itu. Fitrahnya sama seperti bangsa-bangsa Eropah, malah setiap rumah muslim terdapat kitab wahyu Tuhan yang menyeru perpaduan dan mengharamkan perpecahan.  Pelik betul….. Cukuplah itu.

Sabtu, Disember 03, 2011

TIDAK ada arahan pihak berkuasa mengenai tutup aurat


DARI jauh saya diberitahu ada ahli keluarga yang tinggal di asrama melanggar peraturan asrama sekolahnya.  Ada lebih 10 orang pelajar perempuan yang diminta supaya terus pulang ke rumah sebaik sahaja tamat menduduki peperiksan.  Maka bergegaslah ahli-ahli keluarga mereka sekalipun jauhnya dari rumah ke sekolah itu ada yang melebihi 300 kilometer, demi mematuhi arahan Tuan Pengetua sekolah berkenaan untuk mengambil anaknya sepantas mungkin.  Saya bersetuju kerana faham itu adalah hak dia atas nama jawatan berkenaan.


Jika alasan pihak sekolah berkenaan bahawa perbuatan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar berkenaan boleh mendatangkan bahaya, maka saya pun setuju 100 peratus.  Bersyukurlah adanya seorang penjawat awam yang sangat bertanggung jawab.  Maklumlah, zaman sekarang ada sedikit hal sahaja akan berpanjangan ke mahkamah.

Saya sebenarnya tahu juga bahawa di sekolah itu ada segelintir pelajar perempuannya yang muslim tidak memakai jilbab (orang kampung saya kata tudung kepala).  Sayang sekali dengan kuasa dan pengaruh jawatan sebagai penjawat awam yang begitu tinggi tidak digunakan untuk mendakwah anak-anak bangsa muslim agar memakai jilbab.  Kalau ada yang berkata sebenarnya tidak ada Pekeliling Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar muslim berjilbab, itu pun saya setuju.  Sama juga tidak ada pekeliling daripada kementerian berkenaan mengenai larangan mengumpat dan berdusta di kawasan sekolah atau asrama.  Jika pelajar perempuan dibenarkan bersifat ‘free hair’ atas alasan ‘tidak ada pekeliling’, maka adakah dibiarkan jika ada budaya mengumpat dan berdusta dalam kalangan pelajar-pelajar?

Sebagai muslim, peluang untuk menyampaikan kebenaran Islam terbuka luas.  Peluang mendakwahkan ajaran al-Quran dan sunnah kepada pelajar-pelajar lebih  terbuka luas sebab alam persekolahan adalah alam pendidikan.  Pendidikan adalah proses pembinaan insan.  Nak bina insan jadi apa? Tidak ada jawaban lain, selain ‘membina insan beriman kepada Allah dan rasul-Nya’.

Jika tidak ada pekeliling pun, dalam al-Quran telah jelas mengenai kewajiban menutup aurat dan melabuhkan pakaian (Surah an-Nuur:31).  “Dan katakanlah kepada para perempuan beriman agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) kecuali yang terbiasa terlihat.  Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya dan janganlah menampakkan (auratnya) kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, ayah mentua mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak tiri lelaki mereka, atau adik-beradik lelaki mereka, atau anak-anak saudara yang lelaki, atau perempuan sesama muslim mereka, atau hamba sahaya (lelaki) mereka, atau pelayan tua di rumah mereka yang tidak bernafsu (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum faham aurat perempuan.  (hingga akhir ayat)”

Kalau dibuka hadis nabi, kita akan menemui pula amaran (sebenarnya bahaya) kepada orang yang mampu melaksanakan perintah Allah tetapi sengaja buat-buat tidak faham.

Begitulah keciciran antara kita memahami bahaya.  Apabila ada perbuatan yang disangka akan mendatangkan bahawa seperti kecederaan atau kematian, maka kita sangat sibuk menanganinya.  Walhal bahaya sebenarnya adalah ‘balasan buruk’ di akhirat sana.  Dalam kita begitu menyatakan beriman kepada Hari Akhirat, kita masih gagal berusaha menghindarkan anak-anak kita daripada dilahap bahaya di akhirat sana.

Maafkan saya kerana menulis hal remeh-temeh ini. Sesetengah orang tidak kisah bab ini sebab dikatakan masalah ranting, bukan perkara pokok dalam agama. Beberapa tahun lalu ada orang besar mengatakan soal jilbab perempuan (tutup aurat) adalah hal kecil yang tidak perlu dibesar-besarkan.  Oh, mungkin Tuan Pengetua yang saya maksudkan berfahaman demikian.  Tak apalah, sama-sama kita berfikir sebab ‘pencungkil gigi’ pun perkara kecil dalam hidup tetapi ada kilang pembuatnya.