Inilah ikon orang agama yang dinanti-nantikan oleh Malaysia. Umum sudah penat mendengar para ulama dan ustaz mengkritik hiburan sebagai merosakkan dan haram, namun jarang sekali suara mereka bertukar kepada alternatif yang dikritik itu. Mudahnya ialah: Jangan cakap tak serupa bikin, cakap mahu serupa bikinlah.
Lirik lagu itu pula tidak dikhaskan kepada genre nasyid, tentu untuk penyanyi seumpama Mawi, M Nasir, Ramli Sarip, Jay Jay dan seumpamanya. Dr Asri sendiri telah berkali-kali menyatakan lagu yang baik bukan semestinya dilahirkan oleh kumpulan nasyid. Secara peribadi, saya memang kepingin Dr Asri melihat Komposer M Nasir dan penyanyi Ramli Sarip sebagai rakan perjuangan Islam melalui bidang hiburan.
Ada yang kaget dengan perkembangan terbaru Dr Asri. Ya, kepada mereka yang sekular, yang melihat Islam ialah hak para ulama dan artis sebagai mirip jahiliyyah. Jangan pandang secular hanya kepada manusia yang tidak berpendidikan agama tetapi kering jiwa Islamnya, lihat sama orang agama yang menolak Islam dalam dunia pelbagai.
Kontroversi? Mula-mula begitulah seperti pandangan Dr Asri yang mahu para penguatkuasa khalwat tidak mengintai-intai pasangan kemudian menyerbu. Nah, berita terbaru di Selangor ada rumah dipecah pegawai agama kerana mengesyaki pasangan itu tidak bernikah. Siapa malu? Pengkritik Dr Asri sedang malu kerana kes ini.
Pengkritik Dr Asri sedang mengambil kesempatan untuk memperlekeh peribadi Mufti ini dengan mengatakan seorang Mufti bersekongkol dengan dunia jahiliyah, hal muzik yang banyak haramnya.
Jangan kaget sangat, kerana Ulama tersohor dahulu Prof Buya Hamka juga dikritik kerana menulis sebuah roman (novel) percintaan Di Bawah Lindungan Kaabah! Waktu itu, “Ah, masa ulama kok menulis cerita percintaan orang muda.” Hari ini seorang Mufti meneruskan kerja dakwah melalui seni kerana dia percaya ada kekuatan dan kesanggupan di sana. Samalah kekuatan Buya Hamka, setelah Di Bawah Lindungan Kaabah, muncul pula Merantau ke Deli dan Tenggelamnya Kapal Ven Der Wicjk.
Apa lagi? Inilah mesej kepada anak-anak muda di sekolah-sekolah agama agar melihat dunia dengan citra Islam. Anak-anak muda yang dikatakan istiqamah dengan Islam dan dakwah wajib membuka minda bahawa ruang dakwah sangat luas dan jalannya bukan singkat. Jangan abaikan manusia dalam dunia hiburan kerana mereka adalah hamba Allah juga seperti kita.
Lagi, dunia hiduran adalah sebagian daripada rutin kehidupan kita termasuk anak-anak muda beristiqamah dengan Islam, termasuk juga ulama, ustaz dan para keluarganya. Bohonglah kalau ulama dan ustaz tidak pernah menonton drama dan filem di kaca TV.
Kesimpulannya, perjalanan dakwah Dr Asri akan menempuh dunia baru yang membuka mata khalayak. Semuanya atas nama menyampaikan Islam yang sejahtera. Di sinilah kreativiti dakwah dijelmakan satu persatu. Citra ulama seperti beliaulah yang sedang dicari-cari. Maka sesiapa juga yang melihat cara Dr Asri ada kebijaksanaan, wajib menyokongnya dan mengkritik untuk membetulkan jalan dakwah itu. Mengkritik untuk mundur dan memusnahkan kerja-kerja Islahnya bukan cara yang bijak. Cubalah buka minda dengan penuh kejujuran.