Pengikut

Ahad, Mei 29, 2011

BERZIKIR, berdoa secara perlahan sahih daripada Nabi s.a.w.


Oleh: Ibnu Idris

SUDAH menjadi kebiasaan, imam dan makmum berwirid beramai-ramai dengan suara yang lantang dan kuat. Seolah-olah ia merupakan satu perkara yang wajib ataupun kesempurnaan solat.  Jika tidak dilakukan demikian dianggap sebagai satu perkara aib, terutama bagi imam itu sendiri yang seolah-olah tidak tahu hendak berdoa.

Oleh yang demikian masjid dan surau sudah menjadi seperti majlis nasyid. Ada di antaranya menjadi bising sehingga mengganggu jemaah yang sedang sembahyang, sedang masbuk dan di antaranya baru hendak bersembahyang. Seolah-olah mereka tidak menghirau orang masbuk yang sedang bersolat atau orang baru datang untuk bersolat.

Kadang-kadang kita melihat imam dan makmum terus juga berwirid dengan suara lantang sehinggalah tamat. Inilah satu-satunya perbuatan yang sangat tercela dan perlu dihentikan. Nabi Muhammad dan para sahabatnya tidak membaca wirid itu secara beramai-ramai dengan suara keras dan terus-menerus pada setiap lepas solat, tidak pula membaca doa dengan suara yang keras dan diaminkan oleh makmum pada tiap-tiap selepas bersolat.

Nabi dan para sahabat hanya membaca wirid dengan suara kuat dan lantang sewaktu mengajar makmum. Kita sekarang, para makmum sudah menjangkau usia lebih daripada 60 tahun takkanlah, tak tahu membaca doa dan berwirid? Ada baiknya semuanya ini dibuat sendirian. Allah lebih suka kalau hamba-Nya meminta doa sendiri terus kepada-Nya tanpa menerusi sesiapa pun.
Asy-Syaikh Ali Mahfuz berkata: Antara bidaah-bidaah yang makruh ialah menamatkan solat dengan cara mengangkat suara beramai-ramai di dalam masjid terus-menerus, sehingga orang awam beriktikad bahawa itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan solat dan dia adalah sunah yang mesti dilakukan, padahal ia sunat dilakukan sendiri dan secara senyap-senyap.

Cara seperti ini adalah bidaah yang tidak dikenal pada zaman Rasulullah dan pada masa sahabat. Cara ini telah dijadikan satu syair yang dilakukan selepas solat jemaah. Kebanyakan para ulama telah menegaskan tentang makruhnya mengada-adakan syair dalam agama. Pada hal Allah sudah berfirman dalam surah al-A'raf ayat 55 yang maksudnya:

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan cara merendahkan diri dan dengan suara perlahan, sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang melampau batas".

Dan doa dengan cara begini (dengan suara lantang) bukanlah daripada perbuatan Rasulullah, bukan perkataannya dan bukan pula perakuannya. Hal ini telah dinukilkan daripada kitab al-Ibada. Ibnu Hajar al-Haitimi di dalam kitab al-Fatwanya berkata: "Berkata az-Zarkasyi: "Menurut sunah ialah memperlahankan suara pada semua zikir kecuali Talbiah". Dan al-Auzi berkata asy-Syafie mengagungkan hadis-hadis yang menyatakan dengan suara keras itu ialah terhadap orang-orang yang mengajar.

Disebutkan dalam kitab al-Abad: Dan disunatkan berzikir dan berdoa secara perlahan dan dikeraskan suara dengan bacaan zikir dan doa selepas salam. Imam mengajar orang-orang mukmin dan apabila mereka telah belajar maka hendaklah diperlahankan.

Ada hadis yang menyebutkan tentang mengeraskan suara dengan zikir iaitu hadis riwayat Ibnu Abbas:
"Bahawasanya mengangkat suara dengan zikir sewaktu orang ramai selesai solat fardu adalah dilakukan pada zaman Rasulullah. Berkata Ibnu Abbas lagi: "Aku mengetahuinya setelah mereka selesai solat fardu itu apabila aku mendengarnya." Hadis riwayat Bokhari.

Hadis ini ditujukan kepada keperluan mengajar zikir yakni nabi dan para sahabat pernah mengeraskan suara membaca zikir buat sementara waktu sahaja, bukan terus-menerus secara tetap. Mereka lakukan demikian itu untuk maksud mengajar zikir kepada para hadirin. Demikian ditegaskan oleh asy-Syafie seperti yang dinukilkan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitab al-Majmuk. 

Al-Imam Ibnul Qayyim pula berkata: "Imam berdoa sesudah salam dari solat sambil menghadap kiblat atau menghadap makmum tidak pernah dikerjakan oleh nabi yang bertindak sebagai imam dan tidak ada pula sesuatu riwayat yang menyuruh kita mengerjakan demikian." Masalah ini telah dinukil dari kitab Zadul-Ma’ad"

Pendek kata, tidak ada ulama muktabar yang membolehkan kita terus menerus membaca zikir dan doa bersama-sama secara lantang selepas tiap-tiap solat jemaah kerana jelas bertentangan dengan sunah. Yang berlaku di depan mata kepala kita, semua masjid dan surau, imam-imam yang mengimamkan solat jemaah, akan membaca doa dan berzikir kuat-kuat sehingga dua kilometer kita dapat mendengar menerusi pembesar suara.

Mereka ikut siapa sebenarnya?

Sumber: Utusan Malaysia (8 Jun 2006)

Selasa, Mei 24, 2011

PENJAJAHAN British adalah peperangan terhadap Islam


MUNGKIN seseorang berminat untuk mengkaji sumbangan penjajahan terhadap kemajuan negara kita.  Memang, jika dibandingkan segala aspek dalam zaman kerajaan Melayu feudal dengan zaman penjajahan British, akan ditemui banyak sumbangan British terhadap aspek kehidupan kita.  Namun jangan mudah melupakan mengenai tujuan sebenar kuasa Barat termasuk British datang ke Timur dan menjajah negara kita.


Siapakah yang berjaya menafikan bahawa penjajahan kuasa Barat terhadap dunia Islam bukan siri Perang Salib yang pernah tercetus di Asia Barat zaman Sultan Salahuddin al-Ayubi kurun ke-8 dahulu?  Perjuangan kaum salib untuk menakluk Baitul Maqdis tidak akan terhenti.  Lihatlah apabila kaum salib berpeluang menewaskan kaum muslim dari Sepanyol kurun ke-15, mereka tidak memberi ruang dan peluang apa-apa melainkan mati atau berambus keluar dari Sepanyol.  Apakah itu bukan kerana kebencian dan dendam kaum salib terhadap muslim?

Kemudian, bermulalah penjelajahan dan penjajahan kuasa Barat terhadap kota-kota umat Islam di Timur. Dimulai dengan Portugal yang berjaya mengalahkan kerajaan Melayu Islam Melaka (1511), maka datang pula Belanda dan British.  Ya, mereka menjajah negara muslim.  Penjajahan adalah peperangan untuk melemahkan muslim dalam semua aspek.  Mereka telah belajar dari sejarah bahawa dengan kekuatan muslim, maka mereka berada dalam kekalahan.

Sila fahami bahawa kemasukan orang-orang Cina dan India ke Tanah Melayu pada zaman British merupakan agenda penjajahan untuk melemahkan kuasa Islam di negara kita.  Lihatlah, daripada penduduk yang 100 peratus muslim, hari ini muslim di negara kita tinggal 60 peratus.  Kemudian, sebelum memberi kemerdekaan, British mewasiatkan sistem Barat dalam pemerintahan negara kita atas alasan keadilan dan demokrasi.  Sistem Barat ini jugalah yang menyebabkan kekuatan  dan imej muslim tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya atas alasan ‘negara majmuk’ dan ‘hak-hak asasi’ kaum lain yang bukan muslim.

Lihatlah hari ini susahnya kerajaan negeri yang diketuai oleh muslim hendak memansuhkan kedai judi yang asalnya bertujuan memberi peluang berjudi kepada kaum bukan Islam itu.  Akhirnya banyak muslim terperangkap untuk sama berjudi dengan nonmuslim.  Hari ini pula negara kita diiktiraf sebagai pengguna alkohol atau arak yang ke-10 terbanyak di dunia.  Adakah jika negara kita 100 peratus muslim, maka ruang dan peluang perniagaan arak terbuka dan meningkat sebagaimana sekarang?  Tidak, tetapi atas nama ‘hak bukan Islam’ perniagaan arak dibenarkan dan Malaysia tidak boleh lagi terlepas daripada arak sekalipun jelas arak merupakan minuman haram dalam Islam. 

British mempusakakan sistem demokrasi dan menetapkan cara-cara memilih kerajaan melalui pilihan raya.  Sistem berpilihan raya ini sudah dimaktubkan dalam perlembagaan negara (lihat Perkara 113 perlembagaan Persekutuan).  Melalui sistem ini jelas rancangan British untuk melemahkan kekuasaan Islam di negara hanya 60 peratus muslim.  Dengan pilihan rayalah, dibentuk parti-parti politik.  Maka umat Islam ada pun berpecah atas nama hak bersuara, demokrasi dan peraturan pilihan raya.  Jika zaman kesultanan Melayu dahulu, bagai tidak mungkin kuasa Islam dapat diambil oleh bukan Islam, tetapi dengan demokrasi Barat, orang bukan Islam (dan parti orang bukan Islam) boleh membentuk kerajaan, untuk memerintah orang Islam pula.

Semakin lama negara merdeka, semakin tertekan umat Islam di negara yang dahulunya 100 peratus Islam.  Azan pun sudah dipertikaikan oleh golongan yang asalnya dibawa masuk oleh penjajah.  Penguatkuasaan terhadap amalan tidak bermoral yang salah kepada umat Islam seperti ‘berdua-duaan’ dan ‘memakai pakaian mendedahkan aurat’ di khalayak awam pun sudah dituduh sebagai melanggar kebebasan hak asasi.  Terlalu banyak suara orang bukan Islam yang dengan sengaja mahu melemahkan hak dan budaya Islam, walhal jumlah mereka hanya 40 peratus.  Hari ini jumlah 60 peratus, seperti minoriti dan sering mengalah kepada golongan yang dihantar oleh penjajah British.

Dalam bab makanan bertambah hinanya umat Islam. Sepatutnya jumlah muslim yang besar menyebabkan mudahnya mendapatkan makanan halal, tetapi sebaliknya berlaku. Saki-baki kaum salib telah meneroka pembuatan makanan dan di situlah mereka mencampurkan bahan yang jelas haram kepada umat Islam.  Terbaru, tepung untuk membuat kek sudah diadun dengan unsur babi. Untuk apa?  Tidak lain sebagai menghina umat Islam yang masih majoriti tetapi telah dikalahkan dalam banyak bidang.

Lebih malang apabila para pemimpin muslim berpura-pura tidak sedar agenda Barat terhadap Islam di Malaysia.  Atas nama kebebasan, hak asasi, demokrasi, persamaan hak dan segala macam ‘perkataan indah’, mereka membuka ruang yang banyak untuk saki baki kaum salib bergerak dan bersuara.  Lebih teruk, untuk melaksanakan apa saja elemen Islam dalam masyarakat, mereka bertanya dahulu kepada kaum tinggalan British itu.

Ahad, Mei 22, 2011

MENJENGAH puasanya orang miskin


KEPADA umat Islam, puasa sudah jelas sebagai ibadah khusus.  Puasa yang wajib sebulan pada Ramadan dan juga puasa-puasa sunat.  Tidak salah mencari hikmah-hikmah puasa untuk lebih memahami mengapa puasa ini menjadi salah satu ibadah khusus.  Antara yang sering disebutkan oleh para uztaz atau ilmuan ialah merasai sendiri ‘penanggungan orang-orang yang kurang pemilikan harta’ sehingga untuk membeli makanan pun tidak kecukupan.  Maka, apabila orang yang senantiasa kecukupan harta untuk membeli makanan berpuasa, dapatlah dirinya merasa jerih payahnya meneruskan kehidupan dengan rasa lapar dahaga sambil terus bekerja mencari sesuap nasi.

Saya  mencatat pengalaman berpuasa sunat dengan sedikit kelainan untuk mencari hikmah itu.  Puasa sunat sebenarnya lebih mencabar, kerna pada waktu itu orang lain tidak berpuasa, yang menyebabkan godaan untuk makan minum itu lebih hebat berbanding puasa Ramadan. 

Saya mulakan sahur dengan hanya makan nasi tanpa lauk dan sayur pada sebelum subuh.  Saya juga hanya minum air sejuk.  Saat itulah terasa nikmatnya bersahur yang tersedia menu istimewa.  Menelan nasi sahaja dengan air sejuk, memeritkan untuk sekali-sekala, tetapi bagi insan yang sudah biasa kerna kemiskinan,  memakan nasi kosong begitu pun sudah menjadi satu nikmat besar!

Pada waktu berbuka puasa, saya hanya memakan sebuku ‘roti benggali’ yang tawar dan meminum air sejuk juga.  Oleh kerana sudah dahaga dan lapar, berbuka puasa hari itu tetap indah dan seronok kerana dapat menghilangkan dahaga.  Maka begitu jugalah agaknya dengana keluarga miskin yang hanya mampu menyediakan menu asas untuk makan sehari-harian.

Sebenarnya pengalaman berpuasa dengan sahur dan berbukanya yang sangat mudah, bagi saya masih tidak dapat menimbulkan satu perasaan yang besar hari-hari seterusnya.  Maksud saya, perasaan sepenanggungan itu tidak mendalam dan besar, kerana dalam pemikiran saya tidak diganggu masalah kurang bekalan makanan di rumah.  Sekalipun berpuasa secara orang miskin, tetapi minda saya tidak membohongi bahawa di rumah saya masih ada stok beras, lauk, buah-buahan dan bahan minum yang lazat sebagaimana hari-hari biasa.

Apa pun, saya sudah melalui pengalaman makan sebagai orang yang tidak kecukupan untuk sehari itu.  Moga-moga yang sehari itu ada sedikit pengajaran dalam hidup.

Rabu, Mei 18, 2011

MARAH yang menjadi gedung fitnah


FITNAH yang difahami oleh masyarakat Melayu bukanlah sama seperti maksud fitnah dalam al-Quran. Maksud fitnah dalam al-Quran ialah bencana seperti permusuhan dan peperangan, tetapi erti fitnah dalam masyarakat Timur ialah tuduhan buruk atau sangkaan buruk yang tidak dapat dibuktikan.

Fitnah atau sangkaan buruk muncul kerana perasaan benci yang dalam.  Sebaliknya, kalau perasaan berkasih-sayang, pasti antara sesama kita akan bersangka baik dan melindungi orang yang kita sayangi daripada keceluparan lidah kita.  Kerana benci, mudah sahaja perasaan menjadi marah dan mudah pula pemikiran buruk membuat pelbagai andaian buruk semata-mata untuk memuaskan perasaan marah itu.


Perselisihan bisa saja berlaku di mana-mana. Dari ruang makan dalam sebuah rumah antara suami-isteri hinggalah ke Majlis Parlimen antara ahli-ahli politik.  Semakin dalam jurang perbedaan pendapat, semakin terbuka untuk membuat sangkaan buruk kepada orang yang tidak disukai.  Menambah-nambah sangkaan buruk terhadap orang yang dibenci, bertambah seronoklah perasaan hingga apabila melihat orang yang dibenci hidup merana dan sengsara, itulah kepuasan kepada yang lawannya.  Pada dirinya, itu bukanlah satu fitnah, tetapi satu perkara yang diduga dan disahkan.  Sebab itulah seseorang yang membuat tuduhan-tuduhan tidak merasakan dirinya sedang memfitnah atau melemahkan peribadi orang yang dibenci.  Baginya, tindakan itu dianggap suci untuk menyelamatkan orang lain daripada terpengaruh dengan perangai buruknya.

Benarkan orang yang dikatakan buruk itu sesungguhnya buruk atau keji, dan yang menyatakan orang itu buruk adalah manusia yang sangat terpuji?  Ini bukan mengkritik tindakan ahli-ahli politik yang senantiasa mempunyai musuh, yang sangat terbuka dengan agenda tuduhan-tuduhan.  Antara suami isteri, atau dalam sebuah keluarga pun terdedah kepada andaian yang membawa tuduhan, yang asasnya ialah ‘kebencian’ terhadap seseorang.  Seorang isteri yang sudah lesu menyayangi suaminya akan terdedah untuk buruk sangka terhadap aktiviti suaminya di luar rumah.  Andaian-andaian tertentu  itulah yang membawa fitnah terhadap suaminya.  Begitu jugalah sebaliknya si suami kepada isteri.

Antara pendukung aliran agama juga terdedah kepada perbuatan buruk sangka.  Puncanya perasaan benci terhadap orang-orang yang tidak sefahaman dalam beragama.  Timbul perasaan megah atau bangga dalam diri sendiri, menganggap orang lain sebagai bebal, jahil dan sengaja tidak mahu mengikut alirannya yang sangat dipercayai benar atau sah.  Maka timbullah pelbagai andaian buruk atau fitnah sesama orang yang memperjuangkan agama.

Apakah kedudukan fitnah atau buruk sangka di sisi Allah?  Satu maksud firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 12  sangat jelas mengenainya. “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah banyak prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu dosa, dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan jangan antara kamu mengunjing (mengumpat) sebagian yang lain.  Apakah ada antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?  Tentu kamu merasa jijik.  Dan bertakwalah kepada Allah,  sungguh Allah maha penerima taubat dan penyayang.”

Kita semua akan kembali kepada-Nya.  Kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat sana.


Sabtu, Mei 14, 2011

AKIBAT saf solat bengkok dan tidak rapat


SOALAN:
SAYA ingin mendapatkan penjelasan berkenaan peraturan susunan saf yang betul semasa solat jemaah seperti solat Jumaat. Saya perhatikan walaupun masih ada ruang di dalam dewan masjid atau kawasan bangunan masjid, ramai yang lebih suka berada di luar masjid dan kawasan bangunan masjid seperti di tepi longkang, jalan, pagar tempat letak kereta dan lain-lain yang jauh dan terputus dari saf dalam masjid.
Bukan sahaja saf demikian tidak bersambungan dari saf-saf lain tetapi juga syak dan tidak pasti kebersihannya tempat-tempat demikian. Juga adakah pahala berjemaah diperoleh dengan keadaan saf sedemikian?

JAWAPAN:
Persoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sekeliling kita.

Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata. Lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil peduli berkenaan hal ini. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah SAW dan athar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.

Daripada Anas bin Malik sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: luruskan saf-saf kamu, sesungguhnya meluruskan saf itu sebahagian dari kesempurnaan solat. (riwayat al-Bukhari, Kitab: Azan, Bab: Iqamah al-solah min tamam al-solah, no:723, Muslim, Kitab: al-solah, bab: taswiyah al-sufuf wa iqamatiha… no:973).

Hadis yang lain daripada Anas bin Malik: adalah Rasulullah SAW memalingkan wajah baginda ke arah kami (menoleh ke arah kami) sebelum baginda bertakbir seraya berkata: luruskan dan betulkan saf kalian. (al-Bukhari, Kitab:Azan, Bab: Taswiyah al-sufuf…,no:718, Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah al-sufuf…, no:975).

Dalam hadis yang lain, daripada al-Nu’man bin Bashir telah berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskannya (saf). Pada suatu hari ketika baginda keluar solat bersama kami sedang baginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan dadanya mengereng dari saf, lantaran baginda bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu.” (Muslim, Kitab: al-Solah, Bab:Taswiyah al-Sufuf…, no:978, Abu Daud, Kitab: al-Solah, bab: Taswiyah al-Sufuf, No: 663, al-Tarmidzi, Kitab: al-Solah, Bab: Ma ja fi iqamati al-Saf, no: 227.)

Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan”. (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi sohih al-Bukhari, jld: 2, hlm: 443)

Pendapat ini juga dipersetujui oleh Imam al-Nawawi. Beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika bersaf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati”.

Sementara Qadi Iyyadh menafsirkannya dengan mengatakan, “Allah akan mengubah hati mereka secara fizikal, sebagaimana di dalam riwayat lain (Allah akan mengubah wajah mereka)”. Hal itu merupakan ancaman yang berat dari Allah. Sebagaimana Dia mengancam orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (iktidal), maka Allah akan mengubah wajahnya menjadi wajah keldai.

Imam al-Kirmani menyimpulkan, “Akibat dari pertentangan dan perbezaan di dalam saf, boleh menimbulkan perubahan anggota atau tujuan atau juga perbezaan balasan dengan memberikan balasan yang sempurna bagi mereka yang meluruskan saf dan memberikan balasan keburukan bagi mereka yang tidak meluruskan safnya”.

Hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm, merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan solat. Kerana menyempurnakan solat itu wajib, sedang kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajipan.

Juga lafaz ‘amr (perintah) dalam hadis di atas menunjukkan wajib. Selain itu, Rasulullah s.a.w. setiap kali akan memulakan solat (berjemaah), selalu menghadap kepada jemaah dan memerintahkan untuk meluruskan saf, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.

Umar bin Khattab r.a. pernah memukul Abu Uthman al-Nahdi kerana keluar dari barisan solatnya. Juga Bilal pernah melakukan hal yang sama, seperti yang dikatakan oleh Suwaid bin Ghaflah bahawa Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu yang diwajibkan. (Ibn Hajar al-Asqalaniy, Fathu a-Bari fi Syarhi sohih al-Bukhari, jld: 2, hlm:447).

Anas r.a. ketika tiba di kota Madinah ditanya, “Apa yang engkau ingkari dari perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?” Dia menjawab, “Tidak ada perbuatan kalian yang aku ingkari kecuali ketika kalian tidak meluruskan saf-saf kalian”. (al-Bukhari, no: 724)

Berdasarkan hadis-hadis di atas jelas bahawa kesempurnaan solat bergantung kepada kesempurnaan saf dalam solat. Solat yang ditunaikan tanpa meneliti kepada kelurusan saf serta tautannya dengan saf-saf yang lain akan menyebabkan hilangnya fadilat solat berjemaah.

Yang paling malang ialah Allah SWT memalingkan wajahnya daripada golongan yang tidak mempedulikan kesempurnaan saf. Sedangkan solat itu ditunaikan untuk menghadap Allah SWT, komunikasi seorang hamba kepada penciptanya secara langsung, tapi malangnya Allah memalingkan Rahmat dan Kasih sayang-Nya.
Sekiranya saf yang dibentuk terputus dari imam tanpa sebarang punca atau alasan syarie, maka solat jemaahnya tidak sah. Lebih-lebih lagi masih ada ruang yang diisi di dalam dewan solat atau yang boleh menggabungkan antara saf-saf dalam masjid atau surau.

Adapun solat mesti dilaksanakan di tempat yang bersih, kerana salah satu syarat sah solat ialah mendirikan solat di tempat yang bersih dari najis. Masalahnya sekarang orang datang solat seperti melepaskan batuk di tangga, datang lewat, duduk tepi kereta atau longkang, bila iqamat mereka solat di mana dia suka dan senang untuk dia keluar. Mereka yang datang betul-betul untuk solat tidak akan buat begitu.

(sumber: utusan.com.my )

Khamis, Mei 12, 2011

PERKAUMAN merosakkan Islam


KISAHNYA seorang pegawai pendidikan di sebuah sekolah berorientasikan agama (Islam) yang ditugaskan mengurus pasukan sukan yang kesemuanya berketurunan Cina, bukan beragama Islam.  Menurutnya, dia terasa rugi dan bagai tidak ada nilai apa-apa jika membuat perbelanjaan yang lebih daripada poket peribadinya kerana memberi sesuatu kepada orang bukan Islam.  Mudahnya untuk memahami pemahaman pegawai ini ialah: Menyumbang tenaga, pemikiran dan wang/harta kepada orang bukan Islam adalah sia-sia, tidak ada nilai. Pendek kata, Allah tidak memandang pengorbanan seseorang muslim kepada orang bukan Islam!


Pemahaman ini bukanlah terpencil, malah sejak saya kanak-kanak lagi sudah mendengar fahaman ini.  Guru saya yang mengajar sejarah di Tingkatan Enam dulu pun pernah berfatwa boleh mengambil apa juga barang milik kaum Cina! Ada satu peristiwa sebuah kereta Nissan 130Y yang dipandu seorang lelaki Cina terbabas di hadapan sekolah, guru sejarah ini antara yang bersama pelajar-pelajar (yang tidak berakhlak) mengopak kereta itu dan mengambil apa sahaja barang yang boleh dibawa keluar. Waktu itu si pemandu sudah bergegas ke balai polis untuk membuat laporan hal kemalangannya.

Pemahaman seperti di atas merupakan cetusan perkauman atau nasionalisme.  Jiwa perkauman yang membenci bangsa/kaum lain, yang dianggap menjadi ancaman kaumnya menyebabkan mereka lupa mengenai keluasan dan keadilan Islam yang dijamin oleh Allah. Entah siapalah guru agamanya yang mengajarkan supaya tidak berbakti kepada orang bukan Islam, kerana kalau terpaksa atas nama kerja pun dianggap sebagai sia-sia. Agaknya kalau dalam tugas yang (kononnya) terpaksa dan ditakdir mati, maka mati katak sahaja nilainya.

Lihatlah jaminan Allah kepada muslim yang bersosialisasi dengan orang bukan Islam.  Semuanya tidak sia-sia.

Surah al-Mumtahanah ayat 8, (maksudnya) “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.”

Sesungguhnya mereka yang bertindak kerana perkauman dan dilabelkan pula sebagai Islam, nyata member imej buruk Islam kepada masyarakat bukan Islam.  Pada waktu yang lain, kita yang Islam mahu dilayan yang adil dan berkualiti oleh orang bukan Islam, tetapi kita yang Islam melayan secara sambil lewa terhadap bukan Islam.

Eloklah yang berpemikiran salah ini bertaubat, dengan tidak menganggap ini hal remeh-temeh atau khilafiah!

Selasa, Mei 10, 2011

MANA hadiah untuk yang patuh undang-undang?


ORANG yang menunggang motorsikal ada yang memakai topi keledar kerana mematuhi undang-undang, dan ada yang tidak memakainya sebagai menganggap perkara remeh-temeh.  Kedua-dua orang ini tidak terlibat dalam mana-mana kemalangan yang boleh membuktikan antara faedah memakai topi keledar dan risiko tidak memakainya.  Di mana lagi bukti faedah si pemakai topi keledar?


Di mana-mana ada peraturan atau undang-undang, dan hakikatnya tidak semua manusia telah dan sedang mematuhi semua peraturan.  Di balik hakikat tidak semua mematuhi peraturan, tidak pula semua yang melanggar peraturan itu dikenakan hukuman!  Malah ayat yang biasa didengar ialah ‘sedangkan hukum Allah pun dilanggar, inikan pula hukum manusia’.  Ayat ini menggambarkan ada segolongan manusia yang secara sedar melanggar undang-undang itu dengan alasan ada undang-undang yang lebih hebat pun tidak dihiraukan oleh manusia.

Perhatikan pengguna-pengguna jalan raya yang banyak ingkar peraturan had laju, tetapi ada juga yang mematuhinya.  Sekolah juga ada peraturan untuk murid-muridnya.  Banyak murid yang patuh, tetapi masih ada yang sengaja melanggar paraturan.  Jika ada hukuman untuk yang melanggar undang-undang, sepatutnya mesti ada habuan atau hadiah kepada yang mematuhi undang-undang.  Dalam kehidupan manusia, yang sangat berguna ialah memenuhi kehendak peraturan tetapi malangnya tidak ada peruntukan dalam undang-undang memberi hadiah kepada yang patuh undang-undang.  Itulah dunia yang sangat terbatas kemampuannya.  Dunia hanya mampu menghukum pesalah, tetapi tidak upaya memberi hadiah kepada yang tidak bersalah.

Di mana lagi ada keadilan yang hakiki terhadap persoalan di atas?  Siapa yang tidak percaya keagungan Allah dan kekayaan-Nya untuk memberi balasan di akhirat kelak, dia akan merana dan merasa rugi sepanjang masa.  Kepada yang beriman kepada hari akhirat, yang yakin bahawa Allah akan membalas semua kebaikan di dunia (yang tidak dihiraukan di dunia), mereka senantiasa gembira dan menunggu hari pembalasan yang sangat adil.

Lihat maksud firman Allah dalam surah Luqman ayat 16: (Kata Luqman) Wahai anakku, sesungguhnya, jika ada (suatu perbuatan) sekalipun seberat biji sawi serta ia (perbuatan itu) tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, nescaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah maha halus, lagi maha teliti.

Kesimpulannya, akidah dan keimanan yang kukuh berjaya mengawal tingkah laku manusia sekalipun dalam urusan yan sangat keduniaan. Apabila Allah menyatakan hidup manusia untuk mengabdi kepada-Nya, maka seluruh kehidupannya adalah dalam bidang ketaatan kepada-Nya, termasuk semasa bekerja, belajar, beriadah, melancong dan sebagainya.  Selalunya orang hanya digambarkan amal salih hanya yang ada kaitan dengan ibadah atau agama, tetapi dalam Islam semua hal dalam perhitungan Allah.

Isnin, Mei 09, 2011

FIR'AUN orang pertama tidak percaya Allah di langit


Oleh: Muhammad asrie Sobri, Jabatan Mufti Perlis

ALLAH berfirman dalam al-Quran surah Ghafir ayat 36-37:
وَقَالَ فِرْعَوْنُ يَا هَامَانُ ابْنِ لِي صَرْحًا لَعَلِّي أَبْلُغُ الْأَسْبَابَ (36) أَسْبَابَ السَّمَاوَاتِ فَأَطَّلِعَ إِلَى إِلَهِ مُوسَى وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ كَاذِبًا وَكَذَلِكَ زُيِّنَ لِفِرْعَوْنَ سُوءُ عَمَلِهِ وَصُدَّ عَنِ السَّبِيلِ وَمَا كَيْدُ فِرْعَوْنَ إِلَّا فِي تَبَابٍ (37)
Maksudnya: Dan Firaun pula berkata: Hai Haman! Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya) (Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta! Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik, serta dia dihalangi dari jalan yang benar dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan.

Persoalan:
Kenapakah Fir'aun –Laknat ALLAH atasnya- hendak membina bangunan tinggi supaya dia boleh mencapai pintu-pintu langit sambil mendakwa Musa a.s berdusta? Apakah perkara yang Fir'aun tuduh Musa a.s berdusta akannya sehingga Fir'aun perlu naik ke langit untuk membuktikan kepada kaumnya yang Musa a.s berdusta? Apakah yang Musa a.s beritahu kepada Fir'aun sehingga dia begitu berang dan mendakwa Musa a.s dusta dan dia perlu naik ke langit untuk mempercayai kata-kata Musa a.s itu?
Jawab Imam Ahli Tafsir, Imam Al-Tabari (rh) [w.310 H]:
وقوله: (وَإِنِّي لأظُنُّهُ كَاذِبًا) يقول: وإني لأظنّ موسى كاذبا فيما يقول ويدّعي من أن له في السماء ربا أرسله إلينا.
Maksudnya: "dan firman-Nya (berkenaan kata-kata Fir'aun): " dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!", maksud katanya (Fir'aun) adalah: "dan sesungguhnya aku percaya Musa ini pendusta dalam apa yang dia katakana dan dakwakan BAHAWA DIA MEMPUNYAI TUHAN DI LANGIT YANG MENGUTUSNYA"
[Rujuk: Tafsir al-Tabari, juz 21 m.s 387, Tahqiq: Ahmad Syakir, cet Muassasah al-Risalah, cet Pertama, lihat juga: Tafsir ayat 38 Surah al-Qasas].

Kata Imam Abul Hasan al-Asy'ari (rh) [w.324 H] dalam kitab beliau, al-Ibanah:
كذب موسى عليه السلام في قوله: إن الله سبحانه فوق السماوات
Maksudnya: "Dia (Fir'aun) mendustakan Musa a.s berkenaan perkataan baginda: Bahawa ALLAH s.wt berada di atas langit".

Maka sejarah mencatatkan bahawa, makhluk pertama yang ingkar keberadaan ALLAH di atas Arasy di atas langit ketujuh adalah: Fir'aun –Laknat ALLAH atasnya-

Kata al-Imam Ibn al-Qayyim (rh) dalam Nuniah beliau:
فإمام كل معطل في نفسه ... فرعون مع نمرود مع هامان
Maksudnya: "Maka Imam setiap Mu'attil itu pada dirinya adalah Fir'aun bersama Namrud dan juga Haman"

Oleh itu, ketahuilah wahai setiap muslim dan muslimah, Tuhan kamu; ALLAH itu Maha Tinggi, Tinggi pada Kemuliaan-Nya, Kekuasaan-Nya, dan ZAT-NYA kerana Dia meninggi di atas Arasy di atas langit ketujuh dengan ketinggian yang layak bagi zat-Nya tidak menyamai Makhluk sedikit pun .