Pengikut

Jumaat, Februari 08, 2019

ULASAN buku Para Sahabat menurut akidah Ahli Sunah


Penulis, Dr.  Muhammad bin Abdullah al Wahibiy
Penterjemah,  Abdul Wahab bin Bustami al-Banjari
Penerbit, Perniagaan Jahabesra, Johor Bahru. 
Tahun,  2011
Muka surat,  126
Harga RM 8.90

SAHABAT satu gelaran istimewa kepada orang-orang yang bersama Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam . Sahabat bukanlah kawan atau teman.  Sahabat Rasulullah diertikan sebagai muslim yang hidup pada zaman Rasulullah seperti berjumpa,  mendengar suara baginda walau hanya seketika.  Keistimewaan orang yang digelar Sahabat Rasulullah ini diberikan oleh Allah subhanallahu taala dan dijamin syurga, selain tidak boleh diperlekehkan. Malah jika sejarah merakam para Sahabat terlibat dalam perselisihan sesama mereka,  umat Islam dilarang mempersoalkan atau membicarakannya kerana mereka adalah sebaik-baik manusia selepas Rasulullah, Allah telah mengatur perjalanan hidup para sahabat sesuai dengan jaminan dan keredaan-Nya. 

Buku Para Sahabat Menurut Akidah Ahli Sunah wal Jamaah,  membicarakan hak keistimewaan,  jaminan Allah dan  apa sikap setiap muslim terhadap para Sahabat. Istimewanya para Sahabat ini Allah rakamkan dalam al-Quran surah al-Fath ayat 48, bahawa Allah reda terhadap orang-orang mukmin yang berjanji setia kepada Rasulullah di bawah pohon. Ini merujuk Perjanjian Ridhwan di Hudaibiah untuk berperang bersama Rasulullah walau pun tidak berkelengkapan perang. Rasulullah menyebut dalam hadis riwayat Imam Muslim,  bahawa Sahabat yang berjanji di bawah pohon itu tidak akan masuk neraka. 

Terdapat juga taraf kekananan para Sahabat Rasulullah,  misalnya yang utama ialah mereka yang awal memeluk Islam di Makkah. Ini dibuktikan daripada hadis al-Bukhari dan Muslim,  Rasulullah melarang Khalid al-Walid mencela Abdul Rahman bin Auf,  walhal kedua-duanya adalah sahabat Rasulullah.  Diketahui bahawa Khalid al-Walid memeluk Islam setelah pembukaan kota Makkah,  malah Khalid pernah menjadi pemimpin kaum kafir menyerang umat Islam di Madinah. 

Allah dan rasul-Nya juga memberi keistimewaan kepada para Sahabat yang pada zaman Madinah. Dalam hadis al-Bukhari,  Rasulullah menyatakan salah satu tanda keimanan muslim ialah mencintai golongan Ansar dan munafiklah sesiapa yang membenci Ansar.  Golongan Ansar merupakan pembantu Rasulullah dan muslim dari Makkah,  yang mereka tidak mengharap apa-apa keuntungan duniawi daripada pengorbanannya. 

Menurut kajian ulama Ahli Sunah wal Jamaah, termasuk dalam akidah yang sahih memuliakan para Sahabat Rasulullah disebabkan Allah dan rasul-Nya telah memberi keredaan kepada golongan Sahabat. Apabila Allah subhanallahu taala telah mengiktiraf kemuliaan Sahabat,  maka sesiapa yang ingkar bermakna mengingkari Allah. 

Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyah mengatakan,  mereka yang mengatakan sebahagian besar Sahabat telah murtad,  maka mereka yang berkata demikian nyata telah kufur sebab berlawanan dengan jaminan Allah terhadap para Sahabat Rasulullah. 

Berdasarkan surah al-Fath ayat 29 yang bermaksud,  "Muhammad ialah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya," Imam Malik menetapkan sebagai kufur orang yang membenci para Sahabat Rasulullah. 

Telah berlaku perang antara Sahabat pada zaman Khalifah Ali,  seperti Perang Siffin dan Perang Jamal. Rasulullah telah membayangkan awal berlakunya perselisihan antara para Sahabat baginda,  malah antara Sahabat yang dijamin syurga. Dalam hadis riwayat ath-Tabrani,  Rasulullah meminta umat menahan lidah daripada mempersoalkan Sahabat-sahabat baginda, sama seperti baginda melarang persoalkan qada dan qadar. 

Penulis mengutip catatan daripada kitab Minhajus Sunnah (6/254) supaya umat Islam memohonkan keampunan kepada para Sahabat Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam. 

Rabu, Februari 06, 2019

KEPADA tukang troll

Foto hiasan

Oleh Dr Kamilin Jamilin

Ada dari kalangan kita yang seakan gembira mempersenda mana-mana tokoh figura yang tidak digemari tanpa kita sedari perilaku tersebut sebahagian dari sukhriyyah (cemuhan) yang ditegah agama.

Pelbagai posting, gambar troll yang muncul.

Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٞ مِّن قَوۡمٍ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak mencemuh (merendah-rendahkan) puak yang lain…” [al-Hujurat: 11].

Walau sejengkel mana sekalipun sikap seseorang itu pada pandangan kita, walau serapuh mana pun ucapannya di pendengaran kita, walau sejelek mana sekalipun perasaan kita terhadapnya, tiada kelonggaran buat kita untuk memperlekeh mana-mana individu muslim dengan editan foto atau video yang buruk lagi menghina.

Editan sedemikian hanyalah menambah ‘perisa’ buruk terhadap insan tersebut, sedangkan perbuatan menambah ‘perisa’ yang tidak wujud pada seseorang juga tidak kurang dahsyat akibatnya dari menambah ‘perisa’ dalam agama yang tercinta.

Firman Allah SWT:
وَٱلَّذِينَ يُؤۡذُونَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِ بِغَيۡرِ مَا ٱكۡتَسَبُواْ فَقَدِ ٱحۡتَمَلُواْ بُهۡتَٰنٗا وَإِثۡمٗا مُّبِينٗا ٥٨
“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata!” [al-Ahzab: 58].

Lalu barangkali ramai yang akan berguling-guling membacanya. Tidak kurang pula yang akan mencerca dan mengutuk di belakang insan yang dipersendakan itu.

Kesemua ini sama sekali menyanggahi sunnah dan agama yang kita perjuangkan. Bahkan akan memberi impak negatif terhadap seruan dakwah yang kita laungkan, bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.

Bukanlah sunnah itu sekadar menentang bidaah atau sekadar penampilan. Sikap dan tutur kata juga sebahagian dari tuntutan yang wajib disunnahkan.
Walau pada insan tersebut banyak kekurangan atau kelompongan, agama tetap tidak mengizinkan kita mencalar maruahnya sebagai muslim yang beriman.

Tatkala ‘Aisyah RA sekadar mengisyaratkan tentang fizikal madunya Safiyyah RA yang rendah, Nabi SAW menegurnya seraya berkata: “Kamu telah mengatakan sesuatu yang jikalau ia bercampur dengan air lautan, nescaya ia akan berubah!” [riwayat Abu Dawud].

Moga kelak kita di akhirat, kita tidak termasuk dari kalangan orang-orang yang berkata:
يَٰحَسۡرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِي جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّٰخِرِينَ ٥٦
“Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajibanku terhadap Allah serta aku telah menjadi daripada orang-orang yang sungguh memperolok- olokkan (orang).” [al-Zumar: 56].

Selasa, Februari 05, 2019

ULASAN buku Fanatik Mazhab Kesan Kepada Pemikiran Umat


Penulis,  Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Penerbit,  Karya Bestari Sdn Bhd, Shah Alam
Tahun 2007
Muka surat 39
Harga RM3.00

Penulis seorang sarjana berkelayakan Phd dalam hadis juga seorang Mufti di Perlis,  sangat menyedari ketaksuban sebahagian umat Islam telah menimbulkan kesan kesan negatif. Sesuai dengan kedudukan penulis sebagai mufti negeri Perlis yang undang-undang tubuhnya tidak terikat dengan sebarang mazhab fikah,  telah menulis buku  kecil tapi sangat penting.

Penulis telah memulakan mukadimahnya dengan mencatat ayat 8 surah al-Maidah berkenaan kebenaran dan keadilan tidak boleh disembunyikan disebabkan kecintaan seseorang kepada kaum atau kumpulannya. Beliau mengomentari pandangan Prof Dr Muhammad Raft Uthman bahawa seseorang tidak boleh berpegang kepada sesuatu pandangan sedangkan dia tahu pandangan itu lemah atau tidak sahih (ms 2).

Penulis juga mengutip pandangan Dr Said Ramadan al-Buti yang mengatakan tiada dalil syarak yang mewajibkan muqallid beriltizam secara berterusan dalam taklidnya kepada sesuatu mazhab fikah. Malah penulis  menguatkan hujah dengan menggunakan ayat 43 surah an-Nahl yang bermaksud, "maka bertanyalah kamu kepada ahli zikir jika kamu tidak mengetahui.

Antara kesan fanatik mazhab kepada pemikiran umat ialah menyebabkan al-Quran dan Sunnah dipinggirkan.  Hal ini disebabkan pengikut mazhab lebih mengutamakan mazhab beragama sekali pun dalam hal berkenaan pendapat mazhabnya berlawanan dengan nas al-Quran dan Sunnah.

Kesan kedua ialah menyempitkan ruang hukum dan ijtihad. Menurut penulis,  para intelektual dalam sesuatu mazhab hanya akan berijtihad yang sesuai dengan dasar mazhab yang dianuti. Beliau memberi contoh hukum taharah dalam mazhab Syafie dan kehalalan haiwan lsun dalam mazhab Hanafi yang agak membebankan (ms 26).

Kesan ketiga ialah enggan mendengar pendapat lain dan bersikap keras.  Penulis memberi contoh ada segolongan konservatif di Nusantara yang menganggap sesiapa yang tidak bermazhab Syafie dihukum sesat.

Buku kecil ini sesuai dijadikan bacaan ringan tetapi membaqa mesej yang sangat mendalam kepada keintelektualan umah dalam negara.