oleh: Hafiz Firdaus Abdullah
Salah satu kemudahan
dan nikmat Allah kepada kita ialah tayamum. Tayamum disebut dalam al-Qur’an,
dalam ayat 43 surah al-Nisa’ dan dalam ayat keenam surah al-Maidah. Allah Subhanahu
wa Ta'ala berfirman: Dan jika kamu sakit atau musafir atau
salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh
perempuan, sedang kamu tidak mendapat air, maka hendaklah kamu bertayamum
dengan tanah yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu
dengannya.
Setelah
mensyari’atkan tayamum, Allah mengakhiri ayat di atas dengan firman-Nya: Allah
tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia
berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya
kepada kamu, supaya kamu bersyukur. [al-Maidah 5:06]
Rangkap ayat yang
terakhir ini amatlah penting. Ia menjadi sumber motivasi kepada kita untuk
mempelajari tayamum dan mempraktikkannya. Ia seolah-olah sebuah hadiah daripada
Allah dan siapakah yang tidak inginkan hadiah daripada Tuhan sekalian alam? Ia
juga penting kerana apabila seseorang itu memahami tayamum sebagai satu
kemudahan dan nikmat daripada Allah, dia tidak akan menokok tambah
syarat-syarat yang akhirnya menjadikan tayamum satu kepayahan dan azab.
Sebab-Sebab Untuk
Tayamum
Ayat di atas
menerangkan tiga sebab yang melayakkan seseorang itu menerima hadiah “tayamum”
daripada Allah. Pertama, sakit. Kedua, musafir. Ketiga,
ketiadaan air untuk membersihkan diri daripada hadas kecil dan hadas besar.
Apabila Allah berfirman …kamu datang dari tempat buang air… maka ia
adalah kiasan untuk buang air kecil atau buang air besar. Ia juga disebut
sebagai hadas kecil. Apabila Allah berfirman …kamu sentuh perempuan… maka
ia adalah kiasan untuk hubungan seks suami dan isteri. Ia juga disebut sebagai
hadas besar. Berdasarkan kaedah qiyas (analogi), wanita yang berhenti
dari haid dan nifas serta sesiapa yang bermimpi basah boleh juga menyucikan
dirinya dengan tayamum jika tidak ada air untuk mandi wajib. Bahkan para ulama’
berkata, jika tidak ada air untuk memandikan jenazah, memadai dengan
mentayamumkannya.
Sebagai maklumat
lanjut, ingin dijelaskan bahawa terdapat perbezaan pendapat di kalangan para
ilmuan Islam tentang bertayamum ketika sakit dan musafir. Pendapat Pertama berkata,
seseorang yang sakit atau musafir hanya dibolehkan bertayamum jika ada halangan
menggunakan air. Ini adalah pendapat kebanyakan (jumhur) ilmuan Islam. Pendapat
Kedua berkata, seseorang yang sakit atau musafir memiliki pilihan untuk
terus bertayamum tanpa mengambil kira faktor air. Ini adalah pendapat beberapa
peneliti seperti Syaikh Shiddiq Hasan Khan dan Syaikh Yusuf al-Qaradhawi [Fikih
Thaharah, ms. 336-338].
Maksud “Kamu Tidak
Mendapat Air”
Di sini timbul
persoalan, apakah keadaan-keadaan yang termasuk dalam kategori “tidak mendapat
air” bagi melayakkan seseorang itu bertayamum? Jawapannya seperti berikut:
Pertama: Tidak
ada air berhampiran dengannya. Ini
berdasarkan hadis berikut: Abdullah ibn Umar berkata, Rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam baru selesai membuang air, lalu ada seseorang
bertemu dengan baginda dekat perigi (yang digelar) Jamal dan dia mengucapkan
salam kepada baginda. Namun baginda tidak menjawab salamnya sehinggalah baginda
menemui tembok lalu meletakkan kedua tangannya pada tembok tersebut dan
mengusap wajah serta kedua tangannya. Kemudian baru baginda menjawab salam
orang tersebut.[Shahih Sunan Abu Daud, no: 280/331]
Merupakan kebiasaan
Rasulullah untuk tidak menjawab salam apabila dalam keadaan hadas. Bagi
menyucikan dirinya daripada hadis kecil, baginda pergi ke tembok terdekat dan
bertayamum di sana. Berdasarkan hadis ini, kemudahan bertayamum adalah apabila
tidak ada air berdekatan. Jika ada air, berwudhu’lah. Jika tiada air,
bertayamumlah. Hadis di atas penting untuk diperhatikan kerana terdapat
sebahagian pihak yang memberat-beratkan tayamum dengan mensyaratkan usaha keras
mencari air, keadaan darurat dan menangguhkan solat hingga ke akhir waktu.
Padahal dalam hadis di atas, baginda tidak berusaha mencari air, tidak
mengalami apa-apa keadaan darurat dan tidak menangguhkan dirinya untuk
bertayamum.
Kedua: Cuaca
atau suhu air terlalu dingin atau terlalu panas. Ini berdasarkan hadis berikut: ‘Amr bin
al-‘Ash berkata saat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengutusnya pada
tahun Dzatu Salasil, Pada suatu malam yang sangat dingin saya mimpi basah, jika
saya mandi maka saya bimbang akan jatuh sakit. Maka sayapun bertayamum kemudian
solat Subuh berjamaah bersama sahabat-sahabatku. Saat kami menemui Rasulullah,
maka sayapun menuturkan hal itu kepada baginda. Baginda bertanya: “Wahai Amru,
apakah kamu solat bersama sahabat-sahabatmu sedangkan kamu dalam keadaan
junub?” Saya menjawab: “Benar. Wahai Rasulullah, saya mimpi basah pada malam
yang sangat dingin sekali, jika saya mandi saya bimbang akan jatuh sakit. Lalu
saya teringat firman Allah: ‘Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu’ [al-Nisa 4:29] Maka
sayapun bertayamum dan solat.” Rasulullah tertawa dan baginda tidak berkata
sesuatupun. [Musnad Ahmad, no: 17144/17812, sahih]
Dalam hadis di atas,
seorang sahabat memiliki air untuk mandi wajib. Akan tetapi disebabkan cuaca
yang terlalu dingin, dibimbangi ia akan membahayakan kesihatannya. Maka dia
bertayamum dan Rasulullah tidak berkata sesuatupun. Seandainya perbuatan beliau
bertayamum adalah salah, nescaya baginda akan segera menegur dan menyuruhnya
mandi wajib seperti biasa. Berdasarkan hadis ini, dibolehkan bertayamum jika
seseorang itu memiliki air namun cuaca atau suhu air adalah terlalu sejuk atau
terlalu panas sehingga dibimbangi akan membahayakan kesihatan.
Ketiga: Air
diperlukan untuk kepentingan lain.
Dibolehkan bertayamum jika seseorang itu memiliki air namun air itu sangat
diperlukan untuk kegunaan lain, seperti minuman. Ini kerana air amatlah penting
untuk pelbagai urusan manusia sehingga tanpanya boleh berlaku kehilangan nyawa.
Allah telah berfirman: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu’ [al-Nisa
4:29] Di antara belas kasih Allah kepada hambanya ialah dibolehkan bertayamum
dalam kes seperti ini.
http://hafizfirdaus.com/index.php/kolum-bulanan-mainmenu-110/daracom-mainmenu-121/cahaya-rohani-mainmenu-78/914-feb-2014-tayammum