ISLAM tidak
melarang muslim menyertai apa juga persatuan berdasarkan bangsa atau partai politik. Malah Allah telah mengiktiraf kepelbagaian
suku kaum dalam surah al-Hujurat. Yang
dilarang ialah fanatisme suku kaum dengan melakukan kezaliman terhadap suku
kaum selainnya. Sebenarnya, kezaliman
atau tidak adil itulah yang menjadi teras keharaman dalam berpersatuan atau
berpartai.
Zaman Arab
Jahiliah tidak ada partai politik berteraskan ideologi, tetapi lumrah
pembentukan kabilah berdasar kaum yang memang jelas untuk merebut
kekuasaan. Maka tidak sukar untuk mencari
perbandingan antara kegiatan berkabilah zaman Jahiliyah dengan berpartai
politik zaman demokrasi kini. Dalam Sirah Ibnu Hisyam tercatat persaingan
sengit antara kabilah Bani Abdul Manaf bin Qusai dengan Bani Abdudaar bin Qusai
untuk melayani para Jemaah haji di Makkah.
Begitu juga sangat jelas permusuhan antara sesama Arab di Yastrib iaitu
kabilah Aus dengan Khazraj.
Persoalan
dasar dalam asabiyah yang diharamkan dalam Islam bukan menyertai kabilah atau
partai, tetapi fanatisme atau ketaatan membabi-buta terhadap kabilah atau
partai. Sangat jelas dalam system berkabilah
Arab Jahiliyah ialah setiap anggota kabilah mesti mempertahankan anggotanya
tanpa mengira mereka benar atau salah.
Anggota kabilah sanggup berperang dan mati demi anggota kabilahnya! Kabilah-kabilah Arab juga bergabung membentuk
pakatan dan menjadi tangung jawab satu kabilah membela kabilah lain yang
bergabung dengan kabilahnya. Ini dapat
dibuktikan dalam Perjanjiah Hudaibiyah, pihak Makkah dan Madinah bebas menerima
mana-mana kabilah yang mahu menyertainya.
Oleh kerna
Islam itu agama persaudaraan dan membawa kesejahteraan, agama ini tidaklah
melarang fitrah setiap manusia yang suka dengan suku kaumnya sendiri. Bahawa Nabi s.a.w. daripada Bani Hasyim dan
mendapat manfaat daripada amalan asabiyah berkabilah ini. Abu Talib bin Abdul Mutalib merupakan tokoh
besar dalam kabilah Bani Hasyim merupakan pembela Nabi Muhammad sekalipun
beliau tidak mengakui kerasulan ponakannya, Muhammad bin Abdullah. Apabila Abu Talib meninggal dunia, hilanglah
pembela utama Nabi s.a.w.
Berpartai
politik pada zaman moden demi mengisi ruang demokrasi masih tidak salah seperti
kedudukan Nabi dalam budaya berkabilah Arab.
Namun fanatisme terhadap partai merupakan amalan jahiliyah yang dibenci
Nabi s.a.w. sehingga baginda menyebut sesiapa yang mati dalam usaha fanatisme
kabilah atau partai, matinya mati jahiliyah, mati bukan dalam iman! Maksud
sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, “Barangsiapa
berjuang di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan kerna kesukuan dan menyeru
kepada kesukuan, serta tolong menolong atas dasar kesukuan maka bila dia
terbunuh dan mati, matinya seperti jahiliyah”. ( HR. Muslim )
Permusuhan
antara muslim yang berdasarkan membela suku kaumnya, juga satu bentuk asabiyah. Ini telah berlaku dahulu. Dari Jabir
bin Abdillah r.a., dikatakan, "Kami pernah berperang bersama Nabi Muhammad
s.a.w. kemudian salah seorang daripada kaum Muhajirin menolak salah seorang
daripada kaum Ansar. Orang Anshar tersebut berkata, 'Wahai orang-orang Ansar!'
Orang muhajirin pun berkata, 'Wahai orang-orang Muhajirin!' Lalu Rasulullah saw
berkata, 'Ada apa dengan panggilan jahiliyah tersebut?' Mereka berkata, 'Wahai
Rasulullah sesungguhnya salah seorang daripada kaum Muhajirin menolak salah
seorang daripada kaum Ansar.' Kemudian Rasulullah saw bersabda, 'Tinggalkanlah
panggilan jahiliyah tersebut kerna ia berbau busuk'." (HR Muslim). Sehingga Nabi s.a.w. sangat tegas menyatakan "Bukan
dari golongan kami siapa saja yang mengajak kepada asabiyah, bukan pula daripada
golongan kami orang yang berperang kerna asabiyah, dan tidak juga termasuk golongan
kami orang yang mati kerna asabiyah." (HR Abu Dawud). Wailah bin al-Aqsa pernah bertanya kepada
Rasulullah s.a.w., "Apakah yang dimaksud dengan asabiyah itu?" Maka
jawab Rasulullah s.a.w., "Kamu membela golonganmu pada kezaliman."
(HR Abu Dawud).
Perhatikanlah perjalanan dan
semangat fanatisme dalam parti-parti politik hari ini. Tidak jauh bedanya dengan semangat kesukuan
Arab jahiliyah dahulu, walhal partai-partai itu didukung oleh muslim. Kerna mempertahankan partainya dalam
perebutan kuasa, misalnya partai A sentiasa
mencerca partai B. Apa saja kelemahan
anggota atau peribadi ahli parti B akan dihebohkan dan dibesar-besarkan supaya
parti A hilang sokongan. Jika ada
anggota parti A yang melakukan kesalahan, akan disembunyikan dan dibela atas
kewajaran tertentu. Kepada anggota
partai B yang berpaling tadah kepada partai A akan diraikan sebagai tetamu
istimewa. Sebaliknya jika anggota parti
A yang menyeberang ke parti B, pasti dicerca dan dibongkar segala kebusukannya
yang selama ini disembunyikan. Begitu
juga apa yang dilakkan oleh partai B terhadap mushnya, partai A.
Jika perbuatan
seperti di atas bukan asabiyah yang diharamkan oleh Islam, mahu dikatakan apa
lagi. Bukan soal partai itu Islam atau
tidak, soalnya ialah kezaliman dalam berpartai politik sesama muslim.