Pengikut

Jumaat, Jun 29, 2012

WAHABI atau ulama sultan yang bencikan Khilafah Turki Usmaniyyah?


Di negara ini istilah ‘wahabi’ telah berjaya dijadikan satu momokan atau memberi gambaran buruk dalam hal agama.  Jika seseorang itu tidak disukai pemahaman agamanya, jalan paling mudah untuk menjauhkan masyarakat kepadanya ialah memberi label atau gelaran ‘dia wahabi’.  Di samping memberi gelaran ‘wahabi’, orang itu akan memberi apa saja maksud mereka yang dilabel wahabi.  Maka tidak hairan jika sudah banyak orang membuat kesimpulan Kejatuhan Khilafah Turki Usmaniyyah adalah disebabkan pemberontakan kaum ‘wahabi’ di semenanjung Hijaz.  Tidak ada sekolah yang mengajarkan sejarah Turki Usmaniyyah secara lengkap menyebabkan apa saja yang dikhabarkan mengenai kerajaan Islam itu diterima bulat-bulat, tambahan pula jika yang mengatakan hal khilafah Turki Usmaniyyah itu orang yang berwatak agama atau ‘lebai’.


Di sekolah anak-anak hanya didedahkan mengenai perkembangan Khilafah Turki Usmaniyyah dan sumbangannya.  Kalaulah anak-anak dapat berfikir apabila mendapati wilayah pemerintahan khilafah Turki itu meliputi utara benua Afrika, Mesir, pesisir timur jazirah Arab, lembangan sungai Diljah dan Furat serta wilayah Balkan di Eropah, nescaya pecahlah pembohongan sesetengah ‘lebai’ bahawa keluasan wilayah itu hancur hanya disebabkan oleh satu puak di padang pasir jazirah Arab atau Hijaz!

Pembohongan bahawa ‘wahabi’ yang meruntuhkan Khilafah Turki Usmaniyyah telah dijawab dengan tuntas dan ilmiah oleh Ibnu Ahmadain al-Barlisi dalam bukunya ‘Kejatuhan KERAJAAN Turki Uthmaniyyah: Suatu Analisa Ke Atas Peranan Gerakan “Wahhabiyyah” terbitan Jahabesra (2011) Johor Bahru.  Penulis telah mendedahkan peristiwa sebenar pergolakan di Hijaz yang mungkin dijadikan hujah bahawa itulah faktor besar kejatuhan Khilafah Turki Usmaniyyah.  Namun penulis juga telah mendedahkan bukti-bukti ketaatan kaum’wahabi’ (atau Muwahidun) terhadap Sultan Turki di Istanbul.

Suka saya memaparkan hasil kajian penulis yang selama ini disorokkan oleh pembenci ‘wahabi’ demi meracun pemikiran orang yang bersih mencari kebenaran agama.  Misalnya gerakan wakil Sultan Turki di Mesir, Muhammad Ali Pasya jauh lebih dahsyat sebagai pemberontak sebenar terhadap Turki Usmaniyyah.  Kuasa Muhammad Ali Pasya sangat kuat di Mesir sehingga beliau bersama anaknya Ibrahim Pasya menyerang  wilayah Syam pada tahun 1831. Setelah itu Muhammad Ali Pasya meneruskan penaklukannya (dalam wilayah Turki Usmaniyyah) hingga ke Anatolia!  Sultan Mahmud II (1808-1839) terpaksa mengemis bantuan kuasa-kuasa Eropah untuk menyelamatkan kuasanya di Istanbul (muka surat 153).  Mengapa pemberontakan Muhammad Ali Pasya tidak diceritakan kepada orang ramai sebagai satu sebab besar yang menjadikan Khilafah Turki terpaksa sujud kepada kuasa Eropah? Keturunan Muhammad Ali Pasya inilah yang menjadi raja di Mesir sehingga zaman Raja Farouk digilingkan oleh Gamal Abdul Nasser.

Fakta Turki Usmaniyyah memihak kepada Jerman dan Austria dalam Perang Dunia Pertama (1914-1919) memang diajar di sekolah menengah.  Jelas dalam sejarah bahawa persekutuan Turki-Jerman-Austria kalah tersungkur kepada kuasa Eropah yang lain.  Dari situ cukup menjadi bukti bahawa yang mencincang Khilafah Turki Usmaniyah adalah kuasa British dan Perancis, bukannya puak ‘wahabi’ di Hijaz!  Namun orang lebih percaya bicara orang berkopiah walaupun pembohong!

Ibnu Ahmadain al-Barlisi mendedahkan pula pakatan Muhammad Ali Pasya dengan Perancis dalam penaklukan Perancis ke atas Algeria, walhal Algeria adalah wilayah kekuasaan Khilafah Turki Usmaniyyah.  Pelik tapi benar bahawa wizurai Khilafah Turki Usmaniyyah di Mesir iaitu Muhammad Ali Pasya membiarkan saja Perancis menakluk Algeria (muka surat 149).

Penulis juga mendedahkan perkara yang tidak banyak diketahui orang mengenai sikap sullan-sultan Melayu serta para ulama yang bernaung di bawah istana, khasnya ulama-ulama pondok yang menyerang pemikiran dan idea ‘kaum muda’ di Tanah Melayu.  Pada masa Perang Dunia Pertama, British berkuasa penuh di Tanah Melayu.  British juga sedang berperang dengan kerajaan khilafah Turki Usmaniyyah di Eropah. Jadi apakah sikap pemimpin agama di Tanah Melayu, sokong Turki atau British?

Bukan sahaja Sultan Kelantan telah menulis surat kepada alim ulamanya supaya menyebelahi kerajaan British, malah melarang rakyat menunjukkan perasaan cinta kepada Turki Usmaniyyah.  Tidak boleh menolong kerajaan Turki Usmaniyyah juga. Sahibus Samahah Mufti Kelantan sewaktu Perang Dunia Pertama juga memihak kepada British yang menghancurkan Khilafah Turki Usmaniyyah (muka surat 245).  Majalah Pengasuh yang menjadi suara ulama  menyerang ‘kaum muda’ juga mencatat “bahwa berbahagialah negeri Kelantan ini mendapat penaungan di bawah panji-panji Great Britain, dan semenjak ia duduk di bawah bayangan perintahnya terlebih aman dan limpah makmur keadaannya” (muka surat 247).

Sewaktu British berperang dengan Turki Usmaniyyah itulah Sembilan raja-raja Melayu telah menghadiahkan sebuah kapal perang (HMS Malaya) bernilai $22,000.000.00 kepada kerajaan British (muka surat 247).  Untuk apa? Untuk berperang dalam PD1 termasuk memusnahkan Turki Usmaniyyah.  Pemikir Melayu Za’aba pun menyindir perbuatan berkenaan. 

Eloklah buku ini dibaca oleh anak-anak muda di sekolah dan universiti sebagai memberi maklumat yang ilmiah dan adil terhadap ayat-ayat retorik yang tujuannya memesongkan pemikiran umah.  Sila membaca buku ini kepada yang berani menerima maklumat.

Khamis, Jun 21, 2012

ARAB jahiliyah lebih faham tauhid banding kita?


ABU Talib bin Abdul Mutalib, adalah paman Rasulullah yang tidak memeluk Islam sekalipun sebagian besar hidupnya digunakan untuk mendewasakan dan mempertahankan segala aktiviti anak saudaranya.  Kepada kita yang hidup dalam lingkungan semua keluarga muslim mungkin masih tertanya-tanya apakah sebabnya seorang yang sangat mengetahui peribadi Rasulullah tidak mahu menyatakan keimanan sebagaimana orang arab yang lain.


Dalam kehidupan kita, sejahat-jahat seseorang pun jika lahir daripada keluarga muslim dia tidak segan silu mengakui seorang muslim dan berani melafazkan ‘laa ilaaha illallaah’.  Bukan sahaja tahu melafazkan kalimah berkenaan, malah dapat memberikan maksudnya dalam bahasa Melayu ‘Tidak ada Tuhan selain Allah’.

Nabi s.a.w. telah mendakwahkan kepada orang-orang Arab Makkah (maksudnya), “Katakanlah tidak ada ilah (tuhan) yang berhak diibadahi selain Allah, nescaya kalian akan beruntung.” (Riwayat Imam Ahmad) Jawaban daripada mereka seperti yang dirakan dalam al-Quran surah As-Syad ayat 5 (maksudnya), “Mengapa dia menjadikan ilah-ilah itu Ilah yang satu sahaja?  Sesungguhnya ini benar-benar suatu hal yang sangat menghairankan.”

Nabi s.a.w. juga telah berpesan kepada  Abu Talib saat ajal maut hampir kepada pamannya itu, “Wahai pamanku, katakanlah ‘ Tidak ada ilah yang berhak diibadahi (disembah) selain Allah, satu kalimat yang dengannya aku dapat berhujah (membela) untukmu di sisi Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Namun teman-teman Abu Talib yang duduk di sisi lelaki berpengaruh dalam Bani Hashim itu berkata, “Apakah kamu sudah tidak menyukai lagi agama Abdul Mutalib?”  Maka Abu Talib tidak jadi hendak mengucapkan kalimah yang dapat dijadikan pembelaan di akhirat kelak.

Bagi kita zaman ini, mudah berfikir….’apalah yang memberatkan untuk orang Arab itu melafazkan ‘Laa ilaaha illallaah’ sekalipun pada saat akhir dalam hidup, walhal mereka tahu bahawa yang mengajarkan kalimah itu adalah lelaki yang mereka sendiri amat percayai, seorang yang sentiasa berkata benar.

Kata penulis kitab ‘At-Tanbihat al-Mukhtasar Syarh al-Wajibat al-Mutahatimat al-Ma’rifah ‘alaa kulli muslim wa muslimat’ (Hal-hal yang wajib diketahui setiap muslim), Syeikh Ibrahim bin Asy-Syeikh Syalih bin Ahmad al-Khuraisyi  ‘ketika bahasa Arab fush-ha (baku) sudah tidak banyak diketahui dan tidak diketahui lagi maknanya, orang-orang pun mengucapkan kalimat itu tanpa mengetahui maknanya sehingga mereka akan terjerumus dalam hal yang bertentangan dengannya  sehingga dia sendiri tidak mengetahuinya.’

Hal ini bermakna   orang-orang Arab seperti Abu Talib sangat mengetahui makna ‘Laa ilaaha illalaah’.  Oleh itu mereka tidak sanggup melafazkannya kerna tuntutan seseorang yang melafazkannya bererti mesti membuang segala pengabdian dan tujuan hidup kecuali hanya kepada Allah swt. Yang itu sangat berlawanan dengan pemahaman tauhid jahiliyah mereka.

Nampaknya, orang-orang Arab jahiliyah itu lebih faham tuntutan sebenar kalimat tauhid itu berbanding bangsa Arab dan Melayu zaman sekarang.  Kita paling mudah melafazkan kalimah tauhid itu sehingga tatkala kaget kerna sesuatu hal, akan terlepas ayat ‘Laa ilaaha illallaah’.  Malah para imam sering membimbing orang melafazkan kalimah berkenaan ratusan kali setiap habis solat atau sewaktu kenduri tahlil.

Sekalipun kita mudah melafazkan ratusan kali tahlil itu dalam sehari, namun sikap, peribadi dan tingkah laku kita tidak banyak bedanya dengan kumpulan manusia yang tidak mahu mengakui ‘Tiada ilah yang diibadahi (disembah) melainkan Allah’.  Hal ini sebagai penjelasan bahawa kita tidak begitu memahami maksud yang sepatutnya apabila berikrar bahawa ‘Tiada ilah yang disembah melainkan Allah’.

Ahad, Jun 17, 2012

PERANG Salib di Nusantara....


SAYA tidak pernah mendengar ucapan (ceramah/kuliah) mana-mana orang agama yang berlapang dada dengan sikap dan tindakan kaum Yahudi dan Nasrani terhadap kita kaum muslimin. Semua mengingatkan mengenai keburukan niat dan perancangan kaum berkenaan.  Hal ini sangat jelas sebab Allah sudah menyatakan dalam al-Quran. Antaranya ayat 109 al-Baqarah: “Banyak antara Ahli Kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu setelah beriman menjadi kafir semula, kerana rasa dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran jelas bagi mereka.”

Dahulu agak kerap saya mendengar dan membaca cerita  bahawa kaum Yahudi dan Nasrani memang mahu menjauhkan muslim daripada kebenaran al-Quran.  Misalnya dikatakan PM British William Ewart Goldstone (1892-1894) memegang al-Quran dalam Dewan Parlimen Britain dengan mengatakan, “Umat Islam tidak dapat dikalahkan jika masih berpegang kepada buku ini.”

 PM British Gladstone

Kita juga diajar adanya Perang Salib di Asia Barat antara Islam dan Kristian (abad ke-11-13M).  Proses penjajahan Eropah (abad ke-16-18M) terhadap dunia Islam (termasuk Nusantara) juga difahami sebagai lanjutan Perang Salib itu. Antara sebab tentera Portugal menjatuhkan kota Islam Melaka (tahun 1511M) adalah demi agama (God-Kristian), kekayaan (Gold) dan Kemasyhuran (Glory). Setiap wilayah Islam yang dijajah kaum Nasrani Eropah pasti dikembangkan agama Kristian dan budaya mereka, termasuklah di Malaysia dan Indonesia.

Bangsa-bangsa Eropah bukan  ‘cuba jaya’ dalam proses penjajahan, melainkan merancang dengan rapi supaya kejayaan Islam di Eropah (Andalusia dan Usmaniyah) tidak berulang lagi di mana-mana pun bahagian dunia.  Di Eropah, biasa mereka membuka fakulti kajian Timur (Oriental) semasa zaman penjajahan  untuk mengetahui segala-galanya mengenai bangsa-bangsa Asia yang ditakluk.  Sebab itulah, orang seperti RO Winsted, Willkinson, Stamford Rafles, Frank Swetenham di Tanah Melayu termasuk Snouck Hurgronje di Hindia Belanda (Indonesia) fasih berbahasa Melayu dan memahami tulisan jawi.

Apa kuasa Barat buat kepada bangsa Melayu?  Belanda dan British pecahkan wilayah Melayu Islam secara terancang tahun 1824.  Maka, aliran sejarah itu munculkan negara Malaysia dan Indonesia.  Politik negara Melayu pun berpecah seperti terbentuknya beberapa negara Arab walaupun sama bahasa, budaya dan agama.  Konspirasi kedua di Tanah Melayu ialah jangan jadikan muslim majoriti 100 peratus sebab dengan majoriti penuh kehendak mereka terhadap Islam sangat kuat.  Maka British membawa masuk kaum imigran bukan Islam.  Mereka berjaya menjadikan muslim di Malaysia hari ini kepada 61 peratus sahaja.  Sekarang, dengan muslim menjadi pemerintah pun tidak ada agenda Islam yang dapat dilaksanakan sepenuhnya atas alasan ‘ambil hati’ 39 peratus bukan Islam sebagai warga negara.

Bagaimana lagi mahu menjadikan 61 peratus muslim supaya menjadi kecil? British (baca konspirasi Yahudi-Nasrani) mewariskan sistem demokrasi dalam sistem politik negara kita.  Sebelum diberi kemerdekaan tahun 1957, British telah memecahkan Melayu Islam kepada dua puak iaitu Umno dan Pas.  Maka dengan 61 peratus dipecah dia, tinggallah 30 peratus sahaja kuasa berkerajaan kepada Melayu Islam. Menjeritlah sekuat mana satu pihak mahukan ketuanan Melayu, tidak mungkin terjadi sebab dia hanya ada 30 kuasa pemerintahan. Menjeritlah sekuat mana pun satu pihak mahukan negara Islam, tidak mungkin berjaya sebab paling kuat pengaruh politiknya pun 30 peratus sahaja.

Sejak merdeka dahulu pun pihak Barat sering memberi perangsang kepada negara kita (melalui Komanwel British misalnya) agar kita menyuburkan demokrasi ala-Barat itu.  Kalau pun ulama-ulama kita sedar apa yang telah dilakukan terhadap kita, mereka hanya berkata-kata di mimbar masjid.  Tidak ada apa yang boleh dilakukan selepas itu.  Malah sebagian yang digelar ulama pun telah terperangkap dalam sistem yang dipasang oleh Yahudi-Nasrani.  Mereka pula menjadi pejuang mempertahankan satu pihaknya dan memusuhi pihak lain, benar-benar atas nama demokrasi! 

Kes kedai  judi adalah contoh mudah perihal lemahnya umat Islam dalam sistem yang dibuat oleh Yahudi Nasrani.  Katakan benar Umno silap memberi lesen judi atau terpaksa menunaikan kehendak orang bukan Islam.  Kemudian Pas marah-marah dan berjanji akan menghapuskannya. Apabila sudah berkuasa seperti Umno, Pas pun tak mampu menutup kedai judi walau sehari (kecuali di Kelantan yang dikuasai sebelum kerjasama dengan bukan Islam).  Pas pun terpaksa melayan kehendak bukan Islam, ambil hati demi undi dalam sistem tajaan Yahudi-Nasrani.  Jadi, mahu apa lagi?

Kalau pun sekarang Yahudi  Nasrani berhenti daripada kerja-kerja melemahkan dan memusnahkan umat Islam, tak mengapa sebab  jalan yang mereka tinggalkan kepada umat Islam sekarang sudah boleh dilalui sendiri oleh semua umat Islam.  Yahudi Nasrani sedang santai-santai menunggu berita hancur luluhnya umah.

Kita boleh berubah, tetapi kebanyakannya tidak mahu.  Jadi nak buat apa?

Rabu, Jun 13, 2012

ADAKAH Nabi Adam pada zaman Paleolitik?


SEMASA  saya bersekolah rendah dahulu di Darjah Empat ada mata pelajaran Tawarikh (zaman sekarang disebut Sejarah).  Antara kandungan isi buku berkenaan ialah bab Agama Kristian. Di muka pertama bab itu dipaparkan lukisan wajah ‘Nabi Isa’ yang dikatakan pengasas agama Kristian.  Tidak tahulah, sama ada penukaran buku tawarikh seterusnya memang kerana perubahan kurikulum Sejarah atau ada bantahan daripada umat Islam yang sedar mengenai kesalahan berkenaan.

Hari ini mata pelajaran Sejarah merupakan mata pelajaran wajib dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Khabarnya pada peringkat SPM akan diwajibkan pula lulus mata pelajaran Sejarah sebagai syarat mendapat sijil SPM!


Antara kandungan mata pelajaran Sejarah di Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat ialah mengenai sejarah manusia.  Dalam buku teks sejarah,  sejarah manusia dimulakan mengikut zaman iaitu zaman Paleolitik, kemudiannya Mesolitik, Neolitik dan Logam.  Zaman permulaan manusia hidup dicatat sebagai zaman Paleolitik iaitu zaman manusia hanya bercawat dan ilmu hidupnya sangat minimum.  Mereka dikatakan tidak ada pemahaman agama kecuali apa yang dinamakan anamisme, manakala ekonominya hanya mengutip buah-buah.  Mereka berteduh di bawah pokok besar atau dalam gua dalam kumpulan-kumpulan nomad  yang keci kira-kira lima orang.  Nampaknya kehidupan manusia zaman itu lebih baik sedikit daripada kehidupan haiwan jenis beruk. Inilah gambaran kehidupan manusia yang awal diajarkan kepada murid-murid Tingkatan satu (diulang secara ringkas di Tingkatan Empat).

Al-Quran mengajarkan manusia adalah sebaik-baik makhluk yang dicipta oleh Allah.  Sekalipun kita sering memberi gambaran yang baik tak berbuat dosa adalah malaikat, Allah rakamkan ‘sebaik-baik ciptaan’ adalah manusia.  Boleh lihat maksud ayat 4 surah At-Tiin: “Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”  Mungkin itu dihujah sebagai sebaik-baik fizikal makhluk.  Namun di sisi penciptanya, manusia adalah makhluk yang berilmu (pengetahuan).  Kita boleh perhatikan maksud ayat 31 surah al-Baqarah: “Dan Dia ajarkan Adam nama-nama (benda) semuanya, kemudian Dia melihat kepada para malaikat seraya berfirman ‘Sebutkan kepada-Ku semua nama (benda) ini, jika kamu yang benar.”  Begitulah Sang Pencipta manusia mengajar ilmu kepada manusia yang awal iaitu Nabi Adam.

Jika ilmu sejarah (mengikut sains Barat) mengatakan manusia zaman awal (Paleolitik) tidak ada pegangan agama sebagaimana pemahaman agama hari ini (sekurang-kurangnya jika tidak dirujuk kepada Islam, mungkin boleh Yahudi atau Kristian).  Maksud mudah ialah manusia zaman itu tidak mengenal Tuhan sebagai pencipta (tauhid Rububiyah).

Al-Quran menjelaskan manusia pertama iaitu Adam seorang manusia yang tahu siapa Tuhannya. Adam patuh dengan arahan Allah dalam syurga sehingga dia (dan Hawa) terlaku salah akibat hasutan syaitan. Kerna itu Adam dihantar ke bumi, tetapi Allah menerima permintaan taubat Adam. Lihat maksud ayat 36-37 al-baqarah: “Lalu syaitan memperdaya kedua-duanya dari syurga sehingga kedua-duanya dikeluarkan dari (segala kenikmatan) ketika kedua-duanya berada di sana.  Dan Kami berfirman ‘Turunlah kamu, sebagian kamu menjadi musuh bagi yang lain.  Dan kamu ada tempat tinggal dan kesenangan di bumi sampai waktu yang ditentukan.  Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, lalu Dia pun menerima taubatnya. Sungguh Allah Maha Penerima taubat, Maha Penyayang.”

Apakah penulis buku sejarah untuk murid-murid tidak tahu bahawa manusia pertama dan kedua ialah Adam dan Hawa? Mustahil tidak tahu.  Mengapa pula mereka tidak mencatat sejarah manusia bermula  dengan Adam dan hawa?

Saya menduga, inilah hasil kompromi pendidikan supaya tidak terlihat ada unsur indoktrinasi Islam terhadap anak-anak bukan Islam di Malaysia.  Hanya untuk menjaga ‘hati dan perasaan’ kaum bukan Islam, fakta sejarah manusia yang jelas diabaikan.   Oleh itu pengajaran sejarah manusia di sekolah-sekolah memenuhi kehendak penyembah berhala atau yang tidak percaya mana-mana agama, bukan penganut Islam mahupun Kristian. 

Tidakkah pemahaman bahawa manusia yang awal itu seperti haiwan tidak mencederakan akidah?  Sedangkan jelas menurut al-Quran, manusia yang paling awal ialah Adam.  Adam seorang yang berilmu dan menerima Allah sebagai Tuhannya.

Ahad, Jun 10, 2012

CARI wang dengan bayaran baca Al-Quran sudah bermula


SEMAKIN dekat pada Ramadan, ada persiapannya. sudah menjadi kebiasaan pula, projek pada bulan Ramadan ialah mengumpul dana melalui perniagaan bacaan al-Quran.  Pengalaman tahun lepas, masjid di tempat saya tinggal mengenakan caj RM10.00 untuk dibacakan tahlil seorang arwah.  Dua tahun lepas parti Islam di desa saya juga mencari wang dengan cara ini. Tidak pasti sama ada orang kita sudah mewah atau percaya pahala boleh dibeli seumpama membeli sayur di pasar!  Pasaran perniagaan pahala untuk orang mati nampaknya lumayan untuk bulan Ramadan.


Mungkin ini antara ramalan sahaja kerna berada pada bulan Ramadan.  Membaca al-Quran pada bulan Ramadan sebagai satu ibadah tidak dapat disangkal lagi. Namun menjadikan bacaan al-Quran sebagai satu perniagaan?  Kemudian, mendakwa bacaan al-Quran itu pahalanya boleh dipindahkan kepada orang mati?

Saya pernah ‘diserang’ dengan label wahabi dan macam-macam apabila menyatakan pembacaan al-Quran atau bacaan modul tahlil untuk arwah sebagai adat Melayu sahaja, bukan daripada Islam. Antara yang mengecam tulisan saya ialah orang yang mengajar agama di masjid sewaktu orang beriktikaf hari Jumaat.  Saya  hanya memberikan ayat-ayat al-Quran untuk mereka memadankan semua pemahaman mereka mengenai pemindahan pahala itu atau (sekarang) perniagaan pahala.  Nampaknya tidak ada seorang pun yang sudi memberi penjelasan: Sama ada pemahaman saya salah sebab tidak percaya pahala boleh dipindahkan kepada roh orang mati atau pemahaman mereka betul walaupun sekian banyak ayat al-Quran tidak sama dengan pemahaman mereka.

Ini antara ayat al-Quran yang jelas memberitahu bahawa setiap amal sama ada baik atau buruk adalah milik sendiri dan tidak boleh diagih-agih kepada orang lain.

Maksud surah at-Tur:16 “Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan atas apa yang kamu usahakan.”  Ayat 21 pula “Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan)  mereka.  Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Maksud surah Fusilat:46 “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Maksud surah an-Najm:38-39 “Bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain.  Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”

Ini pula satu hadis maksud satu hadis nabi berkaitan juga.  Adakah nabi s.a.w. memberi lampu hijau kepada mencari wang dengan membaca al-Quran?

Rasulullah SAW bersabda: “ Bacalah Al-Quran dan berdoalah memohon pertolongan dari Allah Ta’ala setelah membacanya, sebelum datang suatu kelompok manusia yang membaca Al-Quran kemudiannya mereka meminta-minta upah dari manusia kerana bacaan mereka. ( Riwayat Imam Ahmad dan At-Tabarani).

Rabu, Jun 06, 2012

BERAGAMA kerna budaya dan adat masyarakat


KEPADA kira-kira 20 orang remaja yang dikira cerdas mindanya saya bertanya begini, “sekiranya ayah dan ibu anda bukan seorang muslim, adakah anda sekarang seorang muslim?”  Hampir semua memberi jawaban yang serupa iaitu ‘bukan muslim’.  Ketika ditanya sebab utama keadaan demikian, mereka menjawab ‘ikut ibu bapa’.

Keadaan di atas adalah kebiasaan sepanjang sejarah.  Mudah bicara, suasana di sekitar sangat mempengaruhi pembentukan kepercayaan, sikap dan pemikiran seseorang.  Sejak kecil seseorang akan diasuh atau memerhatikan seluruh ruang kehidupan keluarga dan masyarakatnya, maka di situlah dia mendapat pengetahuan dan pendidikan.  Jika seseorang melihat ayah dan ibunya solat lima kali sehari, maka terdidiklah dia dengan amalan solat lima kali.  Jika keluarganya kerap mengadakan kenduri arwah untuk mengenang orang-orang yang telah mati, maka dia akan mewarisi budaya  dan adat sedemikian.

Tidak dapat tidak, faktor kebiasaan menjadi dasar pembentukan pemahaman seseorang mengenai agamanya.  Pergilah sekolah dan membaca banyak buku pun, apabila pulang ke pangkuan masyarakatnya budaya dan adatnya menjadi pilihan berbanding segama ilmu yang dikira berlawanan dengan budaya dan adat.  Malah, menjadi perkara biasa pula guru-guru agama akan mengajar agama yang bersesuaian dengan kebiasaan budaya beragama di sana.  Semua ini untuk mengelak berlakunya percanggahan.

Daripada penjelasan di atas, diharap mudah memahami mengapa sukar untuk menukar pendirian keagamaan seseorang kepada yang lain.  Remaja-remaja yang bukan muslim sekalipun tidak begitu memahami agama yang dianuti ibu bapanya, tidaklah begitu mudah untuk menerima Islam sebagai agamanya dengan sekali-dua penjelasan. Faktor yang paling kuat mereka menolak Islam ialah ‘tidak mahu keluar daripada lingkungan budaya dan adat hidup selama ini’.

Dalam kehidupan beragama anak-anak muslim pun begitu juga.  Apa yang selama ini mereka warisi dan pelajari (secara informal) daripada keluarga dan masyarakatnya sangat sukar untuk dikikis sekalipun diberikan fakta dan hujah mengapa sepatutnya perlu diubah.

Baru-baru ini saya diminta menjadi pemudah cara kepada kem pendidikan solat untuk anak-anak berumur 11 dan 12 tahun.  Kalaulah saya terus mahu menerapkan cara wuduk dan solat berdasarkan sunah yang sahih (malah saya siap membawa buku-buku kecil sifat wuduk dan solat nabi), tentulah anak-anak akan menjadi keliru besar dalam waktu yang singkat itu.  Saya cuma mahu mengubah pemikiran mengutamakan yang wajib agar mereka dapat terus beribadah dengan senang, bukan melihat ibadah suatu yang agak berat kerana susunan (tertib) dalam ibadah itu yang agak berat kepada anak-anak. 

Dalam sekumpulan kecil, saya mendapati ada yang telah hafal doa qunut tetapi tidak hafal bacaan tasyahud awal hingga akhir.  Kecuali untuk solat fardu, mereka sebenarnya tidak begitu dapat menghafal lafaz niat solat lain dalam bahasa Arab sebagaimana yang tertera dalam teks buku ajaran solat yang dibekalkan (selama ini, itulah yang mahu diamalkan).  Mereka juga tidak dapat meletakkan niat dalam bahasa Melayu sewaktu sedang melafazkan ‘takbiratul ihram’.  Misalnya sewaktu melafazkan ‘Allahuakbar’ mereka tidak berjaya sama sekali memasukkan niat ‘sahaja aku solat fardu zuhur empat rakaat kerana mengikuti imam kerana Allah Ta’ala’.  Jika diuji untuk lafaz niat solat jamak dan qasar yang jarang dilakukan memang semua gagal.  Kegagalan-kegagalan ini telah membentuk pendapat kepada mereka bahawa solat tidak sah apabila niatnya tidak sempurna sebagaimana yanag diajarkan.  Sebab itu selama masih anak-anak, selagi tidak berjaya sempurna bab-bab niat solat, mereka akan kuat beranggapan solatnya masih tidak berjaya.  Solat hanya sebagai ikut-ikutan. 

Walaupun saya tidak mengatakan apa yang mereka pelajari daripada ibu bapa dan budaya masyarakat itu tidak menepati sunah nabi, sukar juga untuk mengubah set minda bahawa permulaan solat itu dengan lafaz ‘Allahuakbar’ tanpa ada niat apa-apa di baliknya! Begitulah kuatnya pengaruh sekitaran yang sudah dilembagakan atau dijadikan satu peraturan beribadah.

Begitulah pemikiran agama yang kita warisi daripada ibu bapa dan ahli masyarakat.  Mesej saya ialah: Jika dalam kalangan kita yang muslim pun masih sukar hendak mengutamakan apa yang terkandung dalam alquran dan sunah atas alasan ‘beza’ dengan masyarakatnya, janganlah cepat menghukum remaja-remaja bukan Islam sebagai tidak tahu kebenaran beragama jika tidak mahu memilih Islam.