PANAS Pilihan Raya Umum (PRU) kali 14 sedang nyata. Masyarakat berusia 21 tahun ke atas memang terlalu kepingin terlibat dalam politik, sekurang-kurangnya sebagai pengundi. Sebagian besar menganggap PRU satu pesta besar tetapi ada yang menaruh curiga mengenai nasib warga dan negara selepas PRU.
Buku Pilihan Raya Malaysia Antara demokrasi dan tuntutan Agama oleh Ustaz Idris Sulaiman, Ustaz Dr Fadhlan bin Othman dan Dato' Dr Fathul Bari bin Mat Jahya, setebal 254 kaca dengan harga RM30.00 diterbitkan oleh Almisykaat Enterprise, 2018.
Buku ini membicarakan teori hubungan antara rakyat terhadap pemerintah daripada ajaran al-Quran dan As-Sunnah, kewujudan sistem demokrasi berpilihan raya serta kewajiban untuk mengundi pemerintah dengan dalil agama, serta kaul ulama zaman silam.
Panel penulis telah mendedahkan sistem demokrasi berpilihanraya sebagai satu ancaman keamanan dan kelestarian pemerintahan Islam di Malaysia apabila masyarakat Melayu Islam berpecah kepada lima partai politik, sedangkan kaum bukan Islam sedang menyatu kuat dalam satu partai. Ini bermakna, sekalipun Masyarakat Melayu itu majoriti, tetapi dengan berpecah kepada lima parti yang saling bertelingkah, membayangkan kaum bukan Islam boleh berkuasa melalui PRU14 ini.
Panel penulis menjelaskan kedudukan pemerintah dan pembangkang dari sudut agama. Jelas, pembangkang tidak diperlukan dalam kehendak Allah dan rasul-Nya sebab jelas arahan ketaatan umah kepada pemerintah.
Umah juga sangat dilarang menjadi pembangkang atau pengkritik terbuka, dibimbang terjebak dalam perjuangan kaum.khawarij yang membantah pemerintah atas nama agama.
Seterusnya panel penulis secara terbuka mengatakan wajib umat Islam mengundi partai Barisan Nasional yang selama ini menjadi pemerintah atas nilaian agama. Hal ini, sekurang-kurangnya atas prinsip 'mengambil mudarat kecil daripada mudarat besar'.
Beruntung meneliti hujahan panel penulis buku ini kerna setiap hujahan disandarkan pada ayat al-Quran, al-Hadis atau kata-kata ulama zaman salaf. Mungkin buku ini menjengkelkan para pendukung demokrasi, tetapi buku ini nyata mula menggugat minda sebagian anak muda yang cenderung beragama dalam politik.