Pengikut

Sabtu, September 28, 2013

TIDAK ada ruang LGBT sekalipun ada desakan


KUALA LUMPUR, 28 September 2013 - Kerajaan tidak akan bertoleransi atau menyokong peruntukan dalam konvensyen antarabangsa berkaitan hak asasi manusia yang tidak bermoral dan bertentangan dengan undang-undang, etika, nilai agama dan budaya di negara ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, ini termasuk isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

"Sehubungan itu sebelum menyertai mana-mana konvensyen antarabangsa berkaitan, kajian menyeluruh dan terperinci perlu dibuat bagi memastikan semua peruntukan boleh dilaksana melalui perundangan negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2013 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab celahan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang ingin tahu alasan Malaysia tidak komited dalam mematuhi beberapa konvensyen bersabit hak asasi manusia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pada masa yang sama kata Hamzah, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pematuhan prinsip hak asasi manusia bersabit golongan seperti kanak-kanak, wanita, orang kurang upaya, orang asli dan golongan lemah. (Bernama)

Khamis, September 26, 2013

BELASUNGKAWA: Ustaz Azizan Abdul Razak ke Rahmatullah

Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak
MANTAN Menteri Besar Kedah pertama bukan daripada Umno, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah kembali ke Rahmatullah pada jam 11.00 pagi tanggal 26 September 2013.   Diucapkan takziah kepada ahli keluarganya yang tinggal.  Semoga Allah mengampuni semua dosa dan merahmati almarhum.

Almarhum Ustaz Azizan merupakan pemimpin Pas pertama menerima anugerah bergelar Tan Sri daripada kerajaan Malaysia dalam situasi dirinya dalam Pas.  Selalunya penerima anugerah Tan Sri hadir daripada pemimpin parti yang memerintah di peringkat Persekutuan.  Mudahnya, tanpa masuk Umno, Ustaz Azizan telah dianugerahi gelaran Tan Sri.

Mantan Presiden Pas  Asri Muda juga bergelar Tan Sri, namun gelarannya diterima setelah beliau menjadi ahli Umno.  Seorang lagi tokoh Pas yang menerima gelaran Datuk tanpa melalui parti yang memerintah ialah mantan Presiden Pas almarhum Datuk Haji Fadzil Mohd Noor.  Maksudnya, Haji Fadzil Mohd Noor menerima gelaran Datuk daripada baginda Sultan Kedah sewaktu pas masih sebagai pembangkang di Kedah.

Salut untuk almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor dan Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kerna ketokohan mereka berjaya merentasi batas partai politik.

Sabtu, September 21, 2013

PEREDARAN matahari-bintang, manusia kaya-miskin semua kerja Tuhan

PADA bulan Ogos yang lalu, saya dan rakan-rakan membuat lawatan ke Langkawi. Dalam jadual pulangnya, dijangka akan berada di Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar pada jam 10.00 pagi.  Maka sebaik saja solat subuh semua sudah berkemas untuk menaiki feri yang awal ke Kuala Perlis.  Malangnya, feri yang dapat dinaiki pada pukul 10.00 pagi, dan setelah itu dan ini, hampir jam 1.00 tengah hari baru sampai di kolej berkenaan.  Begitu juga ketika di bandar Alor Setar, tiba-tiba bas yang hendak dinaiki untuk pulang, rosak.  Akhirnya hampir jam 6.30 sore barulah bas boleh bergerak ke Selangor.

Ustaz Abdullah (berkopiah) bersama-sama menolak bas

Semasa menunggu bas dibaiki, seorang sahabat saya Ustaz Abdullah menyataan ‘ada hikmah yang kita tidak tahu mengapa Allah lewatkan perjalanan balik’.  Saya bersetuju dengannya.  Ustaz menambah, “bukan semua yang manusia mahukan Allah beri. Mubin, kau nak jadi jutawan, orang lain pun nak jadi jutawan, tetapi bukan semua dapat.”  Alhamdulillah, walaupun ustaz hanya bercakap dengan saya, namun semua sahabat dan rakan tidak ada yang merungut-rungut disebabkan kelewatan bas bergerak, jauh daripada jadual asal. 

Ya, Allah memberi hak manusia berusaha. Ayat 11 surah ar-Ra’d, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan mereka sendiri.”  Namun perlu ingat bahawa Allah yang menetapkan segala-galanya supaya kehidupan ini sempurna.  Allah membanyakkan dan mengurangkan rezeki seseorang sebagai salah satu cara pengurusan kehidupan supaya seimbang sebagaimana yang dinikmati sekarang. Ayat 26 surah Ar-Ra’d, “Allah melapangkan rezeki sesiapa yang Dia kehendaki dan membatasi (bagi sesiapa yang Dia kehendaki).”

Bagaimana Allah menambah rezeki seseorang? Mudah saja bagi Allah dan begitu juga mudah saja jika Allah mahu mengurangkan rezeki seseorang. Sebagaimana Allah mengatur perjalanan planet dan bintang supaya seimbang, maka begitu jugalah Dia mengatur perjalanan hidup manusia.  Adanya manusia yang kaya, sederhana kaya dan miskin, merupakan keseimbangan hidup.  Ayat 2 surah ar-Ra’d, “Allah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy.  Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar menurut waktu yang ditentukan.  Dia mengatur urusan (makhluk-Nya) dan menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), agar kamu yakin akan pertemuan dengan Tuhannya.”

Allah mengatur urusan makhluknya, termasuk manusia. Manusia berfikir dan berusaha, Allah menetapkan apa yang patut di sisi-Nya.  Pemerintah tidak mahu ada rakyat miskin, negara maju seperti Amerika dan Jerman pun tetap ada rakyatnya yang dikategori miskin.  Dahulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan menyatakan ‘kemiskinan adalah takdir’ bukan bermakna manusia tidak perlu berusaha.  Tidak ada manusia yang mahu miskin atau kesempitan wang ringgit, tetapi Allah menetapkan begitu. 

Jika anda mewah wang ringgit dan berasa kasihan dengan orang yang dikatakan miskin, cuba salami perasaan dan pemikiran mereka. Adakah mereka saban hari mengeluh dan mencerca nasib yang diterima?  Anda melihat anak-anak mereka ketawa. Semua ahli keluarganya gembira dan tidak menyumpah seranah sekalipun kereta mewah lalu-lalang di hadapan rumah mereka.  Siapa yang menjadikan jiwa mereka tetap tenteram sekalipun mata orang kaya melihat dengan penuh kasihan belas?  Tidak lain Dia ialah Allah, Tuhan yang mengatur kehidupan ini.

Maka janganlah berpura-pura tidak faham apabila orang mendapat hadiah satu juta ringgit, itu juga ditetapkan Allah sebagaimana ada orang kecurian wang satu juta.  Dalam kehidupan, berniaga ada untung dan rugi. Itu juga yang diuruskan Allah.


Apakah kenaikan harga barang dalam kehidupan bukan suatu yang disusun oleh Allah? Atau bab kenaikan harga barang bukan dalam pengaturan Allah terhadap manusia di bumi?  Kerana memenuhi nafsu amarah, jangan sampai mendakwa Allah tak berkuasa dalam bab kenaikan harga gula-gula!

Selasa, September 17, 2013

PENDIDIKAN Tasik Kenyir

IMPIAN meneroka Tasik Kenyir terlaksana. Tanggal 14-16 September saya dan sekumpulan rakan-rakan termasuk anak-anak bertualang ke Tasik Kenyir di Terengganu.  Bertualangan ratusan kilometer dan bermukim sementara di rumah bot Tasik Kenyir sebenarnya sebagian meneroka kehidupan dan mentarbiyah diri.  Tasik Kenyir sebagai alat untuk semua peserta melaksanakan persahabatan, penerimaan yang lebih dan kurang dan sejauh mana setia pada persetujuan.

salah satu lanskap Tasik Kenyir buah tangan saya
Setiap manusia ada kecenderungan tersendiri yang menjadi salah satu pengenalan peribadi.  Tinggal bersama dalam sebuah bot terapung-apung, beredar dari satu tempat ke tempat lain menyerlahkan peribadi kita dan pemikiran setiap rakan.  Ada sahabat kita yang suka bergurau senda, maka yang tidak suka sikap bergurau senda kenalah bersabar.  Ada yang sukakan lagu, maka yang tak sukakan lagu kenalah bersabar.  Ada yang tidak suka makan itu dan ini, maka yang tidak cerewat bab makanan kenalah bersabar menghadapi kerenah.

Anak-anak generasi masa depan tidak kekok untuk solat berjamaah sekalipun dalam tidak selesa sebuah bot. Mereka sedang terasuh bagaimana solat sepanjang kembara. Tidak ada rungutan pakaian yang terkena tanah atau bau hamis ikan untuk melalaikan solat. Tidak!  Inilah pemikiran generasi masa depan yang tidak mencari alasan meninggalkan solatnya.

di atas rumah bot
Begitu juga sepanjang perjalanan pergi dan pulang, semuanya dibuat persetujuan bersama, sama ada hendak berhenti atau memilih jalan lain.  Dengan itu tidak ada rungutan tidak puas hati terhadap sahabat-sahabat lain.  Apabila sudah setuju mengikuti jalan untuk perjalanan, sekalipun menempuh jalan yang sukar, hati mestilah lapang dada menerima keadaan kerna semua sudah dipersetujui bersama pada asalnya.


Semoga Allah mengampuni dan memberkati kehidupan semua peserta bertualangan ke Tasik Kenyir. Sekalipun semua tampak indah, namun semua itu juga dugaan Allah swt kepada setiap peserta.

Rabu, September 11, 2013

"PENGAMPU, penjilat, bodoh, bangang dan syaitan..."

banyak kebaikan dan keburukan
bermula dari mulut
APABILA perkara benar yang bukan daripada puak kita dinafikan, sah itulah fahaman asabiyah atau perkauman yang dicela dalam Islam.  Tidak lain itu merupakan salah satu pemikiran wajib berpolitik sejak zaman Arab jahiliyah hinggalah pada zaman sekarang yang terasnya demokrasi jahiliyah Barat.

Apakah salah dan asabiyah menubuhkan persatuan (NGO) atau parti berdasarkan kaum tertentu? Jawabnya tidak!  Sama ada persatuan sosial berasaskan kaum, parti berteraskan bangsa atau sebuah negara bangsa moden bukanlah satu kesalahan asabiyah.  Soal pengenalan etnik, kaum dan bangsa telah Allah sahkan dalam surah al-Hujurat ayat 13 (Allah menjadikan manusia berbangsa-bangsa untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain).

Malah pada zaman Nabi s.a.w. banyak kabilah Arab yang berdasarkan keturunan seseorang yang mulia seperti Bani Adnan, Bani Hashim, Bani Abdul Manaf dan lain-lain.  Ketika di Madinah pula terdapat dua pihak umat Islam iatu kaum Muhajirin dan Ansar.  Tentulah setiap kabilah atau pihak yang dinamakan itu dan ini mempunyai ciri-ciri khas.  Misalnya kaum Ansar merupakan penduduk Arab suku Aus dan Khazraj sebagai bumiputera Madinah, sementara kaum Muhajirin merupakan masyarakat Islam (kebanyakannya berbangsa Arab) yang lahir di luar Madinah.  Tidak ada masalah apa-apa dengan tertentuknya kumpulan itu atas nama suku dan bangsa.  Yang salah dan asabiyah ialah fanatik, pertelingkahan dan permusuhan atas nama kumpulan-kumpulan.

Pada zaman moden ini Barat memperkenalkan pertubuhan atau parti-parti politik.  Konsep berparti politik mengikut peraturan Barat menyamai ciri berkalibah zaman Arab, malah lebih teruk takrifannya.  Dalam demokrasi Barat, jika berlaku perbedaan pendapat yang sangat jelas barulah dimaksudkan mengamalkan demokrasi tulen. Misalnya beberapa parti bergabung dalam satu pakatan dikatakan kurang demokratik sebab kebebasan bersuara dan menetapkan pendirian semakin kecil.

Sebab itu jika dbacakan ayat al-Quran supaya parti-parti politik orang Islam bergabung, penganut demokrasi Barat akan menentang dengan dalil ‘demokrasi membenarkan perbedaan pendapat dan sikap’.  Biarpun parti itu separa Islam atau bertemakan ajaran al-Quran dan hadis sekalipun jika memilih jalan atau manhaj ‘berlawan’ dengan parti-parti lain yang dianggotai juga orang Islam, hal itu berlawanan dengan seruan Allah dalam surah al-Hujurat ayat 10,11 dan 12.  Allah beri panduan supaya damaikan pertelingkahan antara dua pihak Islam yang bermusuh, Allah haramkan menghina sesama orang Islam dan Allah haramkan bersangka buruk kepada muslim lain!

Tampak mulia dan takwa bagaimana pun seseorang, jika menjadi penggiat parti politik dan mengikut prinsip demokrasi Barat, dirinya ternoda dalam lumpur asabiyah jahiliah.  Dia pasti akan memutar pendirian lawannya supaya pendirian lawannya kelihatan salah atau palsu.  Dia tidak akan mengakui kebenaran yang datang daripada pihak lawannya. Dia pasti membuat 1001 penafsiran yang buruk daripada semua ayat yang dikeluarkan oleh parti yang tidak disukainya.  Namun dengan cara itulah dirinya popular dan menjadi pujaan pengikutnya yang sudah masak diresapi virus asabiyah.

Lihatlah yang terbaru apabila seorang ahli agama sebuah parti membacakan ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi sebagai ketentuan takdir Allah untuk meredakan kegelisahan rakyat mengenai kenaikan harga barang, maka disoraklah oleh penentang ahli agama itu.  Mereka bukan menentang secara ilmiah dengan memberikan dalil-dalil al-Quran dan hadis lain sebagai bidasan hujah ahli agama tersebut, sebaliknya dibuat cercaan dan hinaan peribadi.  Perkataan bodoh, syaitan, pengampu, penjilat  dan 1001 perkataan yang hina sudah diberikan kepada ustaz berkenaan.  Kalau selama ini mereka mengatakan demokrasi itu murni dengan membenarkan perbedaan pendapat, tentulah penghinaan itu bukan pun murni.  Penghinaan itulah kesukaan syaitan.  Apa nak buat, sebab demokrasi bukan ada ukuran syaitan atau malaikat, maka orang yang dikatakan tak henti solat pun melepaskan kata-kata hina demi demokrasi sebagai akidahnya.


Kesimpulannya, jika kita mendakwa beriman dengan Allah dan memperjuangkan Islam berjuanglah dengan manhaj (kaedah) yang Allah telah tentukan.

Ahad, September 08, 2013

TERKEJUT: Akidah dan harga barang yang meningkat

oleh: Fathul Bari Mat Jahaya

DALAM dunia ini, tidak ada yang gembira jika terpaksa bayar lebih untuk satu produk yang sama. Tidak ada yang suka harta berkurang sedangkan pekerjaan dan tanggungan kian bertambah.

Semua orang suka kesenangan, keuntungan, rezeki yang lapang, bonus, hadiah, serta pulangan lumayan dari apa yang dibelanjakan. Namun tidak semua harapan itu terealisasi di alam nyata. Realitinya manusia sering diuji dengan perkara yang dibenci.

Dunia bukan syurga yang semuanya ideal. Manusia yang sedar tahu bahawa dunia dicipta sebagai tempat ujian dan mereka melaluinya dengan cara yang Penciptanya redai.

Ini kerana setiap ujian datang daripada ALLAH tidak secara langsung tetapi melalui pelbagai wasilah, sama ada melalui teman rapat, keluarga, pemimpin, orang kaya, dan sebagainya. Buktinya adalah firman ALLAH, “Dan kami jadikan sebahagian kamu ujian bagi sebahagian yang lain, adakah kamu bersabar. Dan Tuhanmu Maha Melihat.” (Al-Furqan: 20)

Kenaikan harga barang adalah ujian dalam bentuk kesusahan dan bukan kenikmatan. Ia bukan suatu disukai dan diraikan, ia adalah azab, penderitaan bagi orang miskin.

Seseorang memiliki akidah lurus sentiasa mengaitkan apa yang terjadi, baik nikmat mahupun azab kepada ALLAH. Hal ini ditunjukkan dalam satu peristiwa di mana harga barang di pasar Madinah menjadi mahal pada zaman Nabi. Anas bin Malik ra. berkata, “Harga barang menjadi mahal pada zaman Nabi SAW, lalu mereka (para sahabat) berkata, ‘Wahai Rasulullah, harga telah mahal maka tetapkanlah harga untuk kami.’”

Para sahabat meminta supaya Baginda menetapkan harga supaya orang miskin dapat membeli dengan harga mampu milik. Namun mungkin kita tidak sangka Baginda enggan memenuhi permintaan itu antaranya kerana bimbang menzalimi peniaga.

Jawab Baginda, “Sesungguhnya ALLAH, Dialah yang menetapkan harga itu. Dialah ALLAH yang melapangkan, Dialah ALLAH yang menyempitkan, Dialah ALLAH yang memberi rezeki. Sungguh aku berharap aku bertemu ALLAH SWT dalam keadaan tidak ada seorang pun dari kalian yang menuntutku dalam kezaliman terhadap darah mahupun kezaliman terhadap harta.” (Sahih. Abu Daud)

Banyak pelajaran yang boleh dipetik dari hadis yang mulia ini. Pelajaran terpenting adalah akidah; iaitu beriman setiap yang terjadi adalah qadarullah (ketetapan ALLAH). Ini adalah rukun Iman keenam. Tindakan menyalahkan peniaga, kerajaan, pengundi adalah menyalahi akidah suci ini.
Islam melarang keras umatnya berkalau-kalau, contohnya “kalau parti itu memerintah tentu harga barang tidak naik”, kerana ucapan ini membuka pintu syaitan merosak akidah manusia.

Siapa yang mengetahui kecuali ALLAH? Boleh jadi musibah lebih besar terjadi sekiranya hal itu berlaku. Oleh itu Islam mengajar apabila berdepan situasi yang tidak disukai untuk mengucapkan Qaddarallah wama syaa-a fa’al (ALLAH telah menetapkan dan Dia berbuat apa yang dikehendakiNya).

Perintah ini sejajar dengan hadis kenaikan harga tadi, juga sabit dalam sabda Nabi, “Jika suatu musibah menimpamu, jangan kamu berkata: ‘Kalau aku lakukan begini tentu akan jadi begini dan begini’. Tetapi ucapkanlah, Qaddarallah wama syaa-a fa’al, kerana ‘kalau’ membuka pintu syaitan. (Riwayat Muslim)

Di samping itu, menjadi kewajipan atas manusia untuk beriman bahawa yang meluaskan dan menyempitkan rezeki adalah ALLAH semata, dalam erti kata turun naik harga barang tidak mempengaruhi rezeki. Ini sebagaimana firman ALLAH, “ALLAH meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang Dia kehendaki.” (Al-Ra’d: 26)

Sabda Nabi SAW, “Jika kamu bertawakal kepada ALLAH dengan tawakal yang sebenar pasti ALLAH memberi kamu rezeki sepertimana Dia memberi burung rezeki. Burung pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petangnya dalam keadaan kenyang.” (Sahih. Al-Tirmizi)

Bukanlah rezeki menjadi luas dan sempit kerana manusia, bukan juga yang memberi rezeki itu kerajaan atau diri sendiri, sebaliknya semua daripada ALLAH. Naik dan turun harga barang juga daripada ALLAH. “Segala nikmat yang ada padamu dari ALLAH, kemudian apabila kamu ditimpa kesusahan, kepadaNyalah kamu meminta pertolongan.” (Al-Nahl: 53)

Kita juga dituntut memperbanyakkan syukur, sedekah dan istighfar yang dengannya ALLAH akan tambahkan nikmat dan rezeki. Jika kita melakukannya dengan cara yang benar dan sabar, sesungguhnya ALLAH tidak memungkiri janji.


Jumaat, September 06, 2013

KAN bagus komuniti Cina fasih Bahasa Melayu

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) menjadi panas seketika disebabkan bantahan NGO perkauman Cina, Dong Zong. PPPM menyeluruh, bukan hanya aspek bahasa di sekolah Cina dan Tamil. Setakat ini Kementerian Pendidikan tidak tunduk terhadap apa juga desakan agar penambahan masa belajar Bahasa Melayu tidak dilaksanakan. Bagus begitu.

Seperti kata Dr Ridhuan Tee, “Ini Malaysia, bukan Taiwan.”  Kenyataan begitu pun bukan bererti angkuh tetapi Malaysia perlu tegas dalam melaksanakan dasar untuk kebaikan seluruh rakyat.  Sudah 56 tahun merdeka hampir semua komuniti Cina yang ada telah bersekolah di Malaysia, malangnya pertuturan bahasa kebangsaannya sangat rendah kualitinya.  Orang Bangladesh dan Vietnam yang baru enam bulan di Malaysia pun tuturan Bahasa Melayunya lebih bagus.  Bukan soal tidak mampu belajar dan bertutur dengan baik, tetapi mereka sengaja tidak mahu dengan harapan terus terpisah daripada arus perdana.

Saya agak pelik dengan senyapnya NGO atau parti yang mendakwa sebagai jamaah dakwah dalam hal ini.  Memang pendakwah agak melupakan aspek bahasa Melayu, mereka kata bukan Bahasa Arab pun!  Saya tak lupa kata guru bahasa saya Prof Awang Sariyan (kini Pengarah DBP) bahawa penggunaan bahasa yang betul memudahkan penyampaian dakwah. 

Hakikatnya sejarah, tradisi dan budaya Islam semua dalam Bahasa Melayu.  Memisahkan kaum Cina daripada Bahasa Melayu bermakna menyukarkan penyampaian seruan Islam.  Kita boleh membina masjid reka bentuk budaya Cina, tetapi tidak banyak pendakwah yang mampu berdialog dalam bahasa Mandarin.  Kalau pun ada seorang dua yang berjaya meyakinkan komuniti itu dengan Islam, semua rujukan dan sahabat Islam adalah  dalam budaya Melayu.  Kita kerap menafikan masuk Islam bukan bererti masuk Melayu, namun hampir semua sumber rujukan untuk Islam dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.  Akhirnya mencari sumber Melayu juga.


Maka patut benar usaha kerajaan memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu untuk generasi muda Cina dilihat sebagai meluaskan sasaran dakwah Islamiah.  Apabila kelak komuniti Cina sudah bagus Bahasa Melayunya seperti  masyarakat Tionghua di Indonesia, sangat mudah para pendakwah Melayu ini berdialog dengan mereka.