Pengikut

Rabu, Oktober 29, 2008

SOLAT jamak tanpa kembara

DALAM satu musim perkhemahan pelajar-pelajar sekolah menengah pada pertengahan tahun, penulis perhatikan penganjur tidak berapa perduli mengenai kewajiban menunaikan solat. Perkhemahan ini dianjurkan oleh orang-orang terdidik sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Master, semuanya muslim. Dalam beberapa kesempatan penulis perhatikan mereka menunaikan solat dan yang perempuannya menutup aurat.

Penulis katakan urusan solat tidak berapa diperdulikan kerana aaktiviti yang dilaksanakan sebelum masuk waktu zuhur dan berakhir setelah memasuki zon Asar. Ertinya pelajar-pelajar telah meninggalkan solat zuhur kerana menyertai aktiviti pada masa berkenaan.

Asalnya penulis sudah memberi penjelasan kepada kumpulan pelajar yang penulis bawa supaya berniat untuk menjamak solat zuhur dan asar pada waktu asar kelak. Sekilas itu juga beberapa pelajar kaget dan menunjukkan wajah tidak percaya. Sekalipun penulis mengatakan Rasulullah pernah menjamak solat zuhur dan asar di Madinah juga, mereka tidak percaya. Yalah…, mana ada pendedahan seperti ini untuk anak-anak di sekolah sekalipun berdepan dengan masalah menunaikan solat dalam kesibukan. Maka akhirnya, terlepaslah solat zuhur atau memang ada antara mereka yang tidak perduli pun sama ada solat atau tidak!

Apabila hal ini penulis bincangkan dengan salah seorang penganjur, sama seperti respon pelajar tadi yang tidak percaya solat boleh dijamak untuk aktiviti perkhemahan.

Daripada situ nampaknya anak-anak sekolah dan guru-guru tidak mempunyai ilmu dan kaedah memastikan solat tetap dilakukan sempurna sekalipun menjalankan aktiviti yang padat dan meletihkan. Barangkali (anggapan kosong), mereka lebih rasakan masih lebih baik tidak solat daripada melakukan solat jamak. Atau pilihan yang ada sekalipun tidak ada dalam sunah ialah mengqada solat.

Perhatikan sunah Rasulullah mengenai solat jamak sekalipun baginda tidak melakukan kembara atau safar. Hadis-hadis sahih di bawah semuanya diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab Sahih Muslim.

1. Daripada Ibnu Abbas katanya : Rasulullah pernah menjamak solat zuhur dan asar di Madinah, tidak pada waktu takut (perang atau dalam bahaya) dan tidak pula dalam perjalanan. Kata Abu Zubair, dia menanyakan hal itu kepada Sa’id, katanya (Abu ZUbair): Kenapa Rasulullah sampai berbuat demikian? Jawab Said: Aku pernah bertanya seperti itu kepada Ibnu Abbas, maka jawab Ibnu Abbas: Baginda ingin untuk tidak menyulitkan umatnya. (hadis no. 667)

2. Daripada Mu’az bin Jabal katanya: Ketika terjadi perang Tabuk, Rasulullah menjamak solat zuhur dengan asar dan solat maghrib dengan isyak. Lalu kutanyakan kepada baginda mengapa dilakukan demikian. Baginda Rasulullah melakukan demikian kerana tidak mahu menyulitkan umatnya. (hadis no. 669)

3. Daripada Ibnu Abbas katanya: Ketika Rasulullah berada di Madinah baginda pernah menjamak solat zuhur dengan asar dan solat mangrib dengan isyak tidak pada saat perang dan tidak pula ketika hujan. Waki’ bertanya kepada Ibnu Abbas: Apa sebabnya Nabi berbuat demikian? Jawab Ibnu Abbas: Supaya tidak menyulitkan umatnya. (hadis no. 670)

Demikian contoh daripada sunah Rasulullah bagaimana solat-solat fardu lima waktu tetap ditunaikan sekalipun bukan dalam perjalanan (tambah-tambahlah tidak sampai 2 marhalah). Semua itu menjadi contoh kepada umatnya untuk terus menunaikan solat tanda pengabdian mutlak kepada Allah tanpa mengira keadaan dan suasana.

Kepada yang pekat bertaklid dengan amalan nenek moyang memang terasa ngeri mendengar solat jamak bukan untuk musafir. Malangnya nenek moyang pula jahil dan tidak mempunyai apa-apa hujah melainkan berkata “orang lain tidak buat begitu”. Guru-guru agama di sekolah pula tidak kreatif dan tanggung jawab menyampaikan pengajaran berdasarkan sunah nabi, maka besarlah peratusan anak-anak yang memilih tidak solat kerana sibuk atau tidak sempat sekalipun pada waktu aman dan senggang mereka menunaikan solat dengan baik sekali.

Selasa, Oktober 28, 2008

HUBAYA-hubaya dengan hadis palsu

SEMUA umat Islam terutama yang beriman sangat mencintai Rasulullah, kerana itu sesiapa yang sayangkan Rasulullah akan berusaha menjaga dan mengamalkan sunah Rasulullah. Menjaga sunah Rasulullah bererti sangat meneliti sesuatu perkara ibadah supaya tidak terpesong daripada sunah baginda, dan sangat sensitif pula dengan perbuatan menjual nama Rasulullah kekasih Allah yang terpuji oleh pihak tidak bertanggung jawab. Misalnya, kerap didengar pihak tidak bertanggung jawab mengutip derma dengan menunjukkan nama menteri-menteri sekian, sedangkan itu satu penipuan menggunakan nama YB Menteri. Maka begitulah juga perbuatan mengatakan suatu ajaran dan petunjuk, kononnya daripada Rasulullah sebenarnya ayat yang direka sendiri.

Atas tanggung jawab menjaga sunah dan kemurnian ajaran Islam SS Mufti Perlis telah menerangkan bahaya terhadap Islam melalui perbuatan menyebarkan dan menggunakan hadis-hadis palsu. Hadis palsu bermakna sesuatu perkataan atau pengajaran yang disandarkan kepada Rasulullah Muhammad bin Abdullah s.a.w. sedangkan hakikatnya hanya satu rekaan. Hadis-hadis palsu direka dan digunakan dengan meluas untuk pihak berkenaan melariskan pemikiran atau barangan yang dijual. Maklumlah, apabila hendak menjual sesuatu idea berkaitan dengan ibadah tentulah umah lebih mudah menerima jika disebut daripada sunah Rasulullah. Begitu juga jika hendak menjual serban atau kain batik, tentulah pembeli tidak berfikir panjang apabila diberitakan barangan yang dijualnya ada kaitan dengan nabi akhir zaman!

Berikut ialah pautan terhadap ulasan SS Mufti Perlis mengenai bahawa penyebaran hadis palsu.

http://drmaza.com/home/?p=477#more-477

Penulis hendak menurunkan beberapa contoh hadis palsu yang menjadi kepercayaan dan pegangan sebagian umat Islam. Antara ciri hadis palsu yang mudah dikenalpasti ialah matan atau isinya berlawanan denan maksud alquran.

Dalam buku Ahli Sunnah dan Wujudiah-Bathiniah (1999) oleh Abdul Fatah Haron Ibrahim terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terdapat pembongkaran oleh penulis buku ini mengenai penggunaaan hadis palsu oleh golongan tarekat sufi yang sesat. Berikut beberapa contoh hadis palsu yang dipegang oleh golongan tarekat yang sesat, jauh tersasar daripada ajaran alquran dan sunnah.

1. Konon Rasulullah bersabda (maksudnya): Mula pertama Allah jadikan ialah Nur Nabimu hai Jabir. Maka Allah jadikan daripada Nur itu segala sesuatu dan engkau adalah daripada sesuatu itu. (ms 117)
Hadis ini menyalahi maksud zahir alquran surah Ar-Rahman: 14-15 dan surah Fusilat: 9-12.

2. Konon Rasululah bersabda: Aku telah menjadi nabi, sedangkan Adam (nabi Adam) di antara roh dan jasad. (ms 127)

3. Konon Rasulullah bersabda: Aku hamba Allah dan nabi terakhir, sedangkan Adam masih lagi dalam bentuk tanah. (ms 127)

4. Konon Rasulullah bersabda: Aku daripada Allah dan sekalian alam daripadaku. (ms 129)

Dalam bab pemakaian serban sangat kerap dibacakan hadis-hadis yang konon mempunyai darjat-darjat terpuji kepada si pemakainya, sehingga ada yang berbalah dengan undang-undang, tidak mahu memakai topi keledar atau sanggup dibuang sekolah kerana mempertahankan serban. Antara hadis palsu bab serban seperti berikut:

1. Al-Khatib, Ibnu Adiy dan Al-Hakim mentakhrijkan daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah bersabda: Hendaklah kamu berserban nescaya bertambah kesantunan kamu.
Kata Ibnu Jauzi, hadis ini palsu kerana dalam sanadnya ada Said bin Salam dan Ubaidah. Kata Imam Ahmad bin Hanbal, Said bin Salam adalah pendusta. Mananaka Imam Daraquthni menyatakan Said itu meriwayatkan hadis yang batil.

2. As Syaukani menyebut dalam kitab Al Fawaid bahawa Rasulullah bersabda: Satu solat dengan berserban menyamai 10,000 kebajikan.
Kata Imam As Syaukani bahawa hadis ini adalah palsu.

3. Ibnu Jauzi menyebutkan daripada riwayat Abu Mansur Al Qazzaz, dari jalan Yahya bin Syabib, dari Anas bin Malik bahawa Rasulullah bersabda: Bahawa Allah mempunyai para malaikat yang ditugaskan di pintu-pintu masjid jamik pada hari Jumaat. Mereka beristighfar kepada orang yang memakai serban putih.
Kata Al-Khatib bahawa Yahya bin Syabib meriwayatkan hadis batil daripada Humaid Ath-Thawil dan lain-lain. Al-Bani juga menolak hadis ini.

Hadis-hadis bab serban dicungkil daripada Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu (1996) oleh Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris, Kuala Lumpur: Al-Hidayah. Menurut Drs Abdul Ghani Azmi, tidak ada satu pun hadis yang sahih mengenai serban yang dikatakan mempunyai kelebihan pahala atau istimewa di sisi Allah dan rasul-Nya. Memakai serban hanya sebagai sunah adat.

Penafsiran sunah adat kepada penulis ialah budaya pemakaian bangsa berkenaan.

Ahad, Oktober 26, 2008

MARI menggosok gigi

Oleh Abu Usamah
http://al-fikrah.net/Forums/viewtopic/p=20842.html#20842

Waktu-waktu yang disuruh kita menggosok gigi.
1) Ketika bangun daripada tidur. Ini berdasarkan hadis dari Hudzaifah RA dia berkata :عن حذيفة؛ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان إذا قام من الليل يشوص فاه بالسواكAdalah Rasulullah SAW apabila bangun daripada tidur di waktu malam, Baginda SAW membersihkan mulutnya dengan bersiwak (gosok gigi). (Sahih Muslim:255)

2) Setiap kali hendak berwudhu. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:لولا أن أشق على أمتي لأمرتهم بالسواك عند كل وضوء"Kalau aku tidak khuatir menyusahkan umatku, nescaya aku akan perintahkan untuk menggosok gigi setiap kali berwudhu.” (Di riwayat di dalam al-Bukhari tanpa sanad. Ibn Khuzaimah mengsahihkannya di dalam Sahih Ibn Khuzaimah:140)

3) Setiap kali hendak solat. Dari Abu Hurairah ra,Rasulullah SAW bersabda:"لولا أن أشق على المؤمنين (وفي حديث زهير، على أمتي) لأمرتهم بالسواك عند كل صلاة"Kalau aku tidak khuatir menyusahkan orang beriman atau umatku, nescaya akan aku perintahkan untuk menggosok gigi setiap kali bersolat. (Muslim:252)

4) Ketika hendak masuk ke rumah. Dari Aisyah RA, beliau berkata:عن عائشة؛ أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل بيته بدأ بالسواكRasulullah SAW apabila hendak masuk ke dalam rumahnya, baginda SAW akan memulakan dengan menggosok gigi. (Muslim:253)

5) Di saat mulut mula berbau, kekuningan, selepas makan dan minum dan lain-lain. Ini kerana bersiwak (menggosok gigi dianjurkan untuk menjaga kebersihan dan kesihatan.

6) Ketika hendak membaca al-Quran. Ini berdasarkan riwayat daripada Ali bin Abi Talib RA, Rasulullah SAW bersabda:وعن علي رضي الله عنه أنه أمر بالسواك وقال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:إن العبد إذا تسوك ثم قام يصلي قام الملك خلفه فيستمع لقراءته فيدنو منه أو كلمة نحوها حتى يضع فاه على فيه فما يخرج من فيه شيء من القرآن إلا صار في جوف الملك فطهروا أفواهكم للقرآنSesungguhnya, apabila seorang hamba menggosok gigi, kemudian mendirikan solat, maka seorang malaikat berdiri di belakangnya dan mendengar bacaannya. Kemudian malaikat itu mendekatinya (kata perawi: atau menyatakan kalimat yang serupa) lalu meletakkan mulutnya ke mulut orang tersebut sehingga tiada ayat-ayat al-Quran yang keluar dari mulutnya kecuali akan masuk ke dalam perut-perut malaikat. Oleh yang demikian, sucikanlah mulut kamu bila hendak membaca al-Quran. (Di riwayatkan oleh al-Bazzar dengan sanad yang baik. Al-Albani menyatakan ia hasan sahih, lihat Sahih at-Targhib wa at-tarhib:215)

Jumaat, Oktober 24, 2008

MENGAPA bayi Melayu dibuang?

DALAM diskusi tidak formal dengan remaja-remaja prauniversiti memang menemukan beberapa pemikiran. Berbual dengan anak-anak muda keturunan Tionghua, Punjabi dan India dapat melihat budaya daripada sudut tradisional dan moden. Asalnya hanya isu percintaan, kemudian sejara jujur mengupas mengenai pergaulan dan seks.

Maka hasil wacana ini seperti berikut:

Pertama: Masyarakat Tionghua sedang mengalami perubahan budaya dan tanggapan mengenai kehidupan moden. Tidak semua sedia menerima pergaulan bebas remaja lelaki dan perempuan sebagai sah, tetapi ada keluarga yang sedia menerima anak lelakinya membawa teman wanitanya tidur bersama dalam rumah. Seperti rakan saya yang mengakui isterinya tidak melarang dia menonton video lucah asalkan dirinya tidak terlibat dalam seks di luar. Ada juga remaja lelaki Tionghua yang dibenarkan menonton video lucah di rumah.

Sekalipun banyak berpegang kepada tradisi tidak menerima seks di luar perkahwinan, namun masyarakat ini bertanggungjawab menerima ‘musibah’ seperti anak gadis yang hamil. Keluarga tidak mencemuh, membuat tekanan psikologi atau menghalau gadis ini, malah memberi bantuan termasuk memastikan kesihatannya terjamin.

Pegangan ini adalah antara sebab pembuangan bayi itu tidak ditemui daripada kalangan remaja Tionghua.

Kedua: Masyarakat Melayu juga sedang berubah, tidak kira di desa atau bandar. Yang kuat berpegang kepada nilai Islam dan adat pasti mengawal pergaulan anak-anak muda. Yang sedang menerima perubahan untuk kelihatan moden dan moderate, sedang merelakan anak-anak mereka bergaul agak bebas. Pakaian anak-anak gadis dan teruna mereka bagai tiada bedanya, dan percintaan mereka dalam pengetahuan orang tua.

Melayu yang dalam perubahan ini, sekalipun berlapang dada dalam hal pergaulan antara teruna dan gadis, namun tetap tidak menerima seks di luar perkahwinan. Pesanan orang tua golongan ini ialah: Berkawan saja, jangan buat kerja tak senonoh! Kerja tak senonoh ialah zina. Secara tidak langsung sikap ini menimbulkan konflik kepada anak-anak muda mereka yang mendapat ruang kebebasan. Misalnya si gadis dibenarkan berpeleseran dengan teman lelakinya sehingga jauh malam, dan ditakdir gadis hamil. ‘Hamil tanpa nikah’ merupakan episod sangat ngeri yang sedia difahami oleh anak-anak muda dan masyarakat Melayu sama ada mereka yang 'berlapang dada’ atau yang masih mengikat diri dengan nilai Islam.

Lantaran masyarakat Melayu mempunyai pandangan umum yang serupa mengenai kehamilan luar nikah menyebabkan gadis-gadis Melayu yang terlajak ini tidak menerima layanan baik seperti gadis-gadis Tionghua. Hal inilah yang menjadi punca kebanyakan bayi yang ‘dibuang’ adalah daripada keturunan Melayu.

Ketiga: Masyarakat Punjabi seperti juga masyarakat Melayu yang banyak berpegang kepada ajaran agama (Sikh) dan budaya asal. Oleh kerana populasinya kecil dan masyarakatnya lebih terurus oleh agama dan budaya, maka tidak kedengaran remaja-remaja mereka bertindak seperti remaja Melayu membuang bayi yang tidak diudang dalam hidup.

Kesimpulannya, masyarakat Melayu yang cuba moderate dalam menilai pergaulan antara lelaki dan perempuan sebenarnya tidak jujur. Mereka menerima budaya Barat dalam pergaulan bebas tetapi tidak terbuka dengan kehamilan gadis di luar nikah. Mereka patut jujur seperti masyarakat Tionghua yang membenarkan pergaulan bebas, dan apabila ada kesan daripada hal itu keluarganya bertanggungjawab secara positif dan membina.

Yang terbaik ialah mengikut landasan alquran dan sunah dalam sosialisasi. Dalam hal seks, kerap sangat diungkapkan ‘Islam melarang hal-hal yang mendekati zina’. Menerima dan memahami maksud ‘hal-hal yang mendekati zina’ sepatutnya menjadi teras. Apakah dia? Pakaian tidak menutup aurat, pergaulan bebas, menonton video lucah, membaca cerita lucah adalah antara erti ‘hal-hal yang mendekati zina’.

Rabu, Oktober 22, 2008

SERUAN syirik dan judi

SEJAK pertengahan tahun lepas sehingga kini pada setiap bulan penulis mendapat kiriman iklan dari utara, iaitu Kedah dan Perlis. Iklan ini luar biasa kerana pengirimnya ialah ‘usahawan’ nasib menggunakan nama Tok Guru dari Wat Buddha, ditujukan khusus kepada nama penulis. Ertinya penulis diajak menggunakan khidmat Tok Guru dari wat Buddha ini bagi mendapatkan nombor ramalan (nombor ekor) terbaik supaya penulis menjadi jutawan dengan segera.

Dalam sebuah web yang membuka forum juga pernah dibangkitkan mengenai surat-surat iklan seperti yang penulis terima. Penulis sendiri pernah cuba menghubungi nombor berkenaan untuk bertanya mengapa nama penulis menjadi pilihannya. Pihak di sebelah sana hanya meminta maaf dan mengatakan tersalah hantar.

Kebanyakan surat iklan ini menggunakan contoh mereka yang berjaya melalui cara ini, termasuk nama-nama orang Melayu yang tentunya Islam. Maka penulis tidak hairan, nama penulis menjadi salah satu sasaran untuk diseret dalam lembah syirik dan noda perjudian ini.

Kemudian penulis berbual dengan rakan yang beragama Buddha mengenai hal ini. Ada satu maklumat yang memang menyeronokkan kepada yang percaya kaedah ini. Ertinya, untuk menjadi jutawan dengan cara berjudi, khidmat peramal seperti ini seperti sangat diperlukan. Memang sebagian yang mengadu nasib kepada Tok Guru ini ialah manusia Melayu yang dikatakan muslim. Yalah, siapa yang tidak keluar air liur apabila ada bukti orang mendapatkan nombor dari wat ini kemudian membeli nombor itu dengan harga RM20.00 lantas mendapat RM2.5 juta! Daripada terima rasuah sekitar RM5,000 tetapi berdepan dengan undang-undang, kan nampak lebih afdal mendatangi pakar di wat!

Mengejutkan juga apabila rakan memberitahu bahawa antara yang mengadu nasib kepada Tok Guru Buddha ini ialah tokoh politik besar dalam negara. Katanya, tokoh ini tidak mahukan nombor judi, tetapi mahukan khidmat jaminan kejayaan dalam politik. Ah, ini samalah dengan cerita ahli-ahli politik mencari bomoh untuk mencari aura dan gempak baru kerana saingan sengit. Tidak masuk akal, tetapi memang syaitan senantiasa menjadikan kejelikan tampak indah.

Kepada muslim, menggunakan khidmat seperti ini sudah jelas dosa besar, syirik kepada Allah kerana percaya ada makhluk yang menguasai hal-hal ghaib. Kemudian terjebak pula dengan perjudian, yang memang larangan keras dalam Islam. Hal ini merupakan kesan kemelesetan akidah kerana tidak memahami syahadah yang dilafaz serta hal-hal yang membatalkannya. Sekalipun orang Melayu digezetkan melalui undang-undang bahawa mesti beragama Islam, namun cara ini langsung tidak ada jaminan selamat daripada syirik atau murtad tanpa disedari. Namun di atas kertas, berasa lega kerana dikenali sebagai muslim, kemudian mengaminkan doa untuk mendapat balasan baik di akhirat kelak.

SHAMSIAH Fakeh yang baru

TANPA dirancang berita kewafatan pejuang Shamsiah Fakeh diterbitkan dalam blog-blog yang cenderung kepada partai pembangkang, termasuk Pas. Melihat sejarah Shamsiah Fakeh dan perjuangan Pas, menjadi menarik apabila peristiwa ini berlaku. Sekali lagi membuktikan bahawa nilaian sejarah bisa berubah seperti kata orang, sekali ombak menghempas sekali pantai berubah!

Berpuluh-puluh tahun termasuk dalam khutbah Jumaat seluruh negara dahulu komunisme dikecam dan dihitam segelap-gelapnya, sehingga komunisme mudah sangat dijadikan satu alasan untuk seseorang disimpan dalam kurungan tanpa bicara. Selama itu juga nama Shamsiah Fakeh diletakan dalam barisan nama-nama perancang dan penggiat komunis iaitu Partai Komunis Malaya (PKM). Ya benar asalnya Shamsiah belajar di sekolah berasaskan alquran dan sunah, petah berbahasa Arab dan hafal ayat-ayat alquran. Nama ‘Fakeh’ dihujung nama Shamsiah bukan sekadar nama, melainkan ada nilai pada keluarganya.

Sukar untuk memisahkan nama Shamsiah Fakeh daripada PKM, seperti juga payahnya mengikis komunisme daripada dakwaan antiagama atau anti-Tuhan. Maka hiduplah nama Shamsiah bersama gerombolan komunis, sehingga wartawan Majalah Dewan Masyarakat tidak dapat menyiapkan (baca menerbitkan hasil selidikan) untuk persembahan terakhir mengenai Shamsiah kerana suatu pendedahan diri Shamsiah dari sisi yang bukan antikomunis. Pihak KDN sendiri yang mengarahkan hal itu.

Mengapa ada aktivis Pas meletakkan nama Shamsiah dalam blog mereka sebagai satu penghormatan: Pejuang! Agaknya Shamsiah dahulu menjadi ketua Angkatan Wanita Sedar (Awas), dan Awas itu sayap wanita kepada PKMM. PKMM pula pernah dipimpin oleh Dr Burhanuddin Helmi, dan Dr Burhanuddin pernah memimpin Pas. Itulah logik paling mudah. Itu zaman awal Shamsiah, tetapi zaman selepasnya Shamsiah membina imej sebagai tokoh dalam PKM, yang komunisme itu…

Wacana ini tidak menghukum Shamsiah. Secara peribadi penulis sangat menghormati Shamsiah Fakeh sekalipun namanya dibariskan bersama Chin Peng. Wacana ini sekadar menerobos minda anak-anak muda pasca merdeka, tambahan pula sejak runtuhnya Tembok Berlin tahun 1990.

Sesungguhnya secara fitrah, mereka yang aktif dalam politik kepartaian tetap mempunyai rasa indah berkasih sayang kepada manusia lain yang bukan daripada kandang politiknya. Penerimaan Shamsiah sebagai satu ikon, secara simbolik bahawa permusuhan atau mengecop nama-nama buruk kepada musuh-musuh politik sebenarnya hanya lakonan. Jadi tolonglah jangan percaya kalau kelihatan orang-orang Pas seperti menghukum busuk watak-watak dalam Umno, begitu juga kalau orang-orang Umno berbuat demikian terhadap orang-orang Pas. Namun oleh kerana semuanya diucapkan, terasa juga di hati. Akhirnya jadilah seperti para pejuang yang cintakan Islam yang menerima dengan jujur nama Shamsiah Fakeh mantan anggota Rejimen ke-10 PKM itu. Masa yang mengubah nuansa.

Isnin, Oktober 20, 2008

BELASUNGKAWA: Shamsiah Fakeh wafat

BELANGSUNGKAW! Seorang pejuang atau nasionalis yanag penuh kontorversi Shamsiah Fakeh wafat hari ini 20 Oktober 2008 dalam usia 84 tahun. Sejarahnya Shamsiah adalah anak kelahiran Kuala Pilah dan belajar di High Islamic School Kuala Pilah. Sekolah ini bukan sekolah British atau sekolah pondok tetapi sistem madrasah yang didirikan oleh golongan pencinta alquran dan sunnah. Sekolah itu hari ini telah menjadi Maahad Ittiba As Sunnah (MIS) di Kuala Pilah.

Majalah Dewan Masyarakat pernah menjejak sejarah Shamsiah sewaktu tokoh ini masih di China pada tahun awal 1990-an. Antara sumber utama jejak pejuang ini ialah Ustaz Hashim Abd Ghani, pemimpin keluarga sunnah di Kuala Pilah. Mengikut Ustaz Hashim, beliau pernah mengikut Shamsiah berpindah ke Bagan Serai (1946) dalam usaha Shamsiah mengobarkan semangat melawan penjajah. Kemudian Shamsiah memasuki Partai Kebangsaan Melayu Malaya(PKMM) sewaktu di Kelang.

Sejarah yang diajarkan kepada anak-anak muda ialah Shamsiah adalah anggota Rejimen ke-10 Partai Komunis Malaya. Kerna keterlibatannya dalam PKM barangkali, penghijrahannya ke China (Guangzhao) berlaku. Mengejutkan apabila Shamsiah masih mengekalkan warisan bangsa iaitu tulisan jawi kepada keluarga termasuk anak cucunya di sana.

Persoalannya yang kerap dimainkan ialah menjadi ahli PKM adalah komunis. Komunis bererti ateis, anti agama atau tidak percaya kepada Tuhan. Benarkan orang-orang Melayu seperti Musa Ahmad, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan beberapa nama lain yang terdakwa sebagai anggota PKM adalah ateis juga? Inilah kontoversinya!

Penulis teringat catatan dalam media mengenai pengakuan Kapten Najmuddin daripada Kagat yang mengatakan lebih kurang : Saya mencarinya dalam hutan tetapi menemuinya di hadapan kaabah. Siapa yang dicari kapten? Rashid Maidin!

Sabtu, Oktober 18, 2008

TAULADAN sifat solat nabi (III)

PENULIS membuat ringkasan berkenaan bacaan-bacaan surah yang dibaca oleh Rasulullah dalam solat fardu. Maklumat ini penulis turunkan daripada buku ‘Sifat-sifat solat Nabi’ Dr Aidh Abdullah al Qarni (Pengarang buku La Tahzan).

Bacaan dalam Solat Subuh

Dalam hadis diriwayatkan oleh Muslim, daripada Amru bin Haris (maksudnya): “Bahawa dia pernah mendengar Nabi s.a.w. dalam solat fajar (subuh) membaca surah At-Takwir dan surah Qaf.”

Satu lagi hadis riwayat Muslim, daripada Jabir bin Samurah: “Sesungguhnya Nabi dalam solat fajar biasa membaca ‘qaaf, wal qur’anil majid.. (surah al-Qaf). Dan solat fajar selalu ringan.”

Disebutkan dalam Sunan Abi Dawud, kata seorang lelaki daripada suku Juhaihah: “Bahawa dia pernah mendengar Nabi dalam solat fajar membaca surah az-Zalzalah pada setiap rakaatnya. Tetapi dia tidak pasti adakah Rasulullah lupa atau sengaja berbuat demikian.”

Bacaan dalam Solat Zuhur dan Asar

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Qatadah berkata (maksudnya): “Dalam dua rakaat pertama solat zuhur, Rasulullah biasa membaca fatihatul kitab dan dua surah. Beliau memanjangkan surah pada rakaat pertama dan memendekkan pada rakaat kedua. Kadangkala beliau memperdengarkan bacaan satu ayat. Dalam solat Asar beliau biasa membaca fatihatul kitab dan dua surah, beliau memanjangkan rakaat pertamanya. Sedangkan dalam solat subuh beliau biasa memanjangkan rakaat yang pertama dan memendekkan rakaat kedua.”

Daripada keterangan di atasn diketahui bahawa menjadi sunah memanjangkan lebih pada rakaat pertama berbanding rakaat kedua. Khabar daripada Abu Qatadah ini bererti Rasulullah membaca secara nyaring dalam solat Zuhur dan Asar, namun dalam hadis-hadis lain Rasulullah tidak menjaharkan bacaan dalam Zuhur dan Asar. Maka diketahui bahawa apa yang disampaikan oleh Abu Qatadah merupakan cara Rasulullah mengajar para sahabat tentang bacaan dalam solat berkenaan.

Diceritakan oleh sahabat Abu Said al-Khudri bahawa: “Kami telah memperkirakan lamanya Rasulullah berdiri dalam solat zuhur dan asar. Maka menurut perkiraan kami, lamamya beliau berdiri dalam dua rakaat pertama dari solat zuhur adalah sekitar bacaan ‘alif, lam, mim, tanzil…’ (as-sajadah). Dan menurut perkiraan kami, lamanya beliau berdiri dalam dua rakaat terakhir adalah sekitar pertengahan dari yang tadi (dua rakaat pertama). Demikian pula, lamanya beliau berdiri dalam dua rakaat pertama solat asar adalah sekitar berdirinya beliau dalam dua rakaat terakhir solat asar dan setengah daripada dua rakaat yang pertama.”

Cerita yang dibawa oleh sahabat berkenaan menjelaskan Rasulullah tidak membaca dengan kuat dalam solat zuhur dan asar, selain mencari pengukur berapa lama berdirinya Rasulullah berdasarkan andaian bacaan dalam surah.

Bacaan dalam solat Maghrib

Hadis riwayat oleh Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Abbas (maksudnya): “Sesungguhnya ibu al-Fadhal pernah mendengar Ibnu Abbas ketika membaca ‘wal mursalati ‘urfaa..(al-mursalat), maka dia memberi komentar, ‘wahai anakku, demi Allah bacaan surahmu telah mengingatkan diriku bahawa itulah surah terakhir yang aku dengar daripada Rasulullah, dan beliau baca dalam solat Maghrib.”

Hadis riwayat Bukhari daripada Marwan al-Hakam berkata (maksudnya): “Zaid bin Tsabit berkata “mengapa kamu dalam solat maghrib membaca surah-surah yang sangat pendek, walhal aku pernah mendengar Nabi membaca dua surah yang paling panjang.”

Hadis riwayat Bukhari dan Musim, daripada Jubair bin Muth’im (maksudnya): “Aku pernah mendengar Rasulullah dalam solat maghrib membaca surah at-Thur.”

Bacaan dalam solat Isyak

Pada masa pemerintahan Umar al-Khatab penduduk Kufah (di Iraq) membuat pengaduan kepada khalifah mengenai Gabenor Kufah iaitu Abu Ishak (sahabat Nabi), didakwa tidak memperelokkan solatnya. Ketika bertemu, Umar bertanya, ‘Wahai Abu Ishak, mereka mendakwa engkau tidak membaguskan solat.’ Jawaban Abu Ishak ialah, ‘Demi Allah aku telah mengimami solat mereka sebagaimana solatnya Rasulullah, dan aku tidak pernah mengurangi sedikitpun. Dalam solat Isyak aku memanjangkan pada dua rakaat pertama dan memendekkan dua rakaat terakhir.’ Umar kemudian berkata, ‘Itulah yang mereka adukan kepadaku wahai Abu Ishak.’

Dalam riwayat Muslim, daripada Jabir (maksudnya): “Bahawa Nabi pernah bersabda kepada Muadz bin Jabal ketika (untuk) mengimami kaumnya untuk solat Isyak, ‘bacalah wasy syamsi wa dhuha haa.. (asy-Syam), wadh dhuha…(ad-Dhuha), wal laili idza yagh sya.. (al-Lail) dan sabbihisma rabbikal a’laa..(al-A’la).”

Khamis, Oktober 16, 2008

TAULADAN sifat solat nabi (II)

KEPADA sesiapa yang senantiasa menjaga solat berjemaah, pasti akan mengukur waktu kehidupannya dengan waktu-waktu solat. Maka di mana juga seseorang itu berada senantiasa mengintai-intai di manakah masjid atau musolla supaya dapat mengerjakan solat fardu secara berjemaah. Lantaran itu akan ditemui pula pelbagai lapisan hidup, segenap umur dan darjat sosial ahli jemaah solat. Maka tidak terkecuali juga daripada melihat bagaimana para jemaah menunaikan solat fardu itu. Melihat kepelbagaian fesyen melaksanakan solat bukan hanya kerana banyaknya manusia di Makkah, cukup juga di dalam negara.

Perhatikan ada imam yang begitu kuat membaca ‘usalli…’ sebelum bertakbir. Malah ada pula yang begitu penjang takbirnya, mungkin mindanya sedang memahamkan segala perbuatan solat itu. Pernah juga penulis temui seorang bergelar ‘ustaz’ tidak berani menjadi imam kerana dia tidak pernah berjaya bertakbir masuk solat sekali sahaja, sebaliknya beberapa kali. Selalunya apabila imam sudah hampir habis membaca fatihah barulah dia berjaya meletakkan tangannya di dada. Anehnya apabila terpaksa menjadi imam, dapat pula dia bertakbir sekali sahaja!

Bagaimanakah Rasulullah masuk dalam solat? Hadis riwayat muslim, sabda Rasulullah (maksudnya): “Apabila engkau mahu mendirikan solat, hendaklah engkau sempurnakan wudhu, kemudian engkau menghadap kiblat, lalu engkau bertakbir.”

Tidak ada satu pun hadis memberi contoh bahawa lafaz niat diucapkan oleh Rasulullah dan para sahabat apabila hampir memulakan solat. Tambah tidak ditemui langsung mana-mana sumber bahawa sewaktu bertakbir mindanya mesti membayangkan pekerjaan solat yang sedang dilakukannya. Penulis menyemak dalam buku fardu ain sekolah rendah, memang ditemui pengajaran lafaz niat tetapi tidak ada untuk membayangkan segala rukun dan pekerjaan solat sewaktu takbir pertama masuk solat. Hairan, bagaimana perkara ini dititikberatkan sehingga menjadi gangguan utama untuk bersolat.

Sebagai pendidik, penulis kerap menemui alasan remaja tidak menunaikan solat dengan alasan tidak tahu lafaz niat dan tidak hafal bacaan qunut subuh. Tidak ada alasan sunah untuk mewajibkan niat dilafazkan terutama dalam bahasa Arab, kemudian membayangkan pekerjaan solat dalam takbirnya. Jelas, kecuali mereka yang mahu memberi dalil akal.

Bagaimana hadis niat amal? Hadis riwayat Bukhari, sabda Rasulullah (bermaksud): “tidak (sah) amal-amal, melainkan beserta dengan niat.”

Hadis di atas tidak ada kena-mengena dengan lafaz niat ketika ibadah khusus seperti solat, puasa dan zakat. Rasulullah melafazkan hadis itu di Madinah apabila diberitahu bahawa antara muhajirin yang berhijrah ke Madinah ada yang bukan kerana menyahut seruan Allah dan rasul-Nya, tetapi untuk berkahwin dengan seorang perempuan. Sambungan hadis di atas ialah: “Lantaran itu sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, maka pahala hijrahnya ialah kerana Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia, dia mendapat dunia itu, atau sesiapa berhijrah kerana perempuan maka dia akan mendapat mengahwini perempuan itu. Ganjaran hijrahnya itu menurut niat dia berhijrah.”

Solat yang diajarkan oleh nabi begitu mudah dilaksanakan, tetapi apabila sampai di Nusantara ada tukang tokok tambah sehingga orang awam pula dipaksa menerima tambahan-tambahan ini. Maka sangat terpuji apabila pengajaran solat ini dirujuk berdasarkan sunah nabi, bukan sekadar melihat bagaimana orang-orang lain bersolat. Kepada yang mengajarkan solat pula wajiblah mengajarkan sifat-sifat solat nabi dengan rujukan yang sahih kerana di sanalah ditemui yang asal.

Selasa, Oktober 14, 2008

TAULADAN sifat solat nabi (I)

SEBAGAI makmum solat tentulah banyak imam solat yang telah mengetuai kita dalam solat fardu. Kerana sudah lama maka banyak pula pengalaman sebagai makmum sehingga bisa menduga pergerakan imam-imam berkenaan atau mengenai kadar kelajuan pergerakan solatnya!

Pengalaman penulis menjadi makmum, telah menemui seorang imam solat yang pergerakannya penulis anggap pantas amat. Misalnya kalau solat Maghrib dan Isyak, apabila sampai rakaat ketiga pergerakan makmum sudah bercelaru ada yang sudah dapat mengejar pergerakan imam dan sebagian lagi masih belum habis bacaan fatihahnya. Kalau menemuinya dalam tasyahud akhir, penulis baru saja hendak berselawat imam sudah memberi salam. Hal ini sudah dirundingkan, namun masih tidak ada perubahan.

Tidak dinafikan bahawa Rasulullah pernah memberi saran agar imam mempermudahkan solat kerana mengingat makmum di belakangnya.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyebut sabda Rasulullah (bermaksud): “Apabila seseorang kamu mengimami manusia, maka hendaklah dia meringankan solat kerana antara mereka ada yang kecil dan yang tua, ada yang lemah, ada yang sakit. Apabila dia bersolat sendiri, hendaklah ia solat betapa ia kehendaki.”

Hadis riwayat Buhkari dan Muslim menceritakan Anas bin Malik, seorang sahabat Rasulullah pula berkata (maksudnya): “Tidak pernah saya solat di belakang imam yang lebih ringan, lebih sempurna solatnya daripada solat Rasulullah.”

Biarpun Rasulullah telah memberi saran agar mempermudah solat, namun bukan bererti kadar panjang-pendeknya solat dalam kehendak imam solat. Jikalau kadar panjang-pendek hayat solat ditentukan oleh akal kita sendiri, maka hadis di bawah tidak berguna.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Rasulullah (bermaksud): “solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.”

Oleh itu, sekalipun ada saran mempermudahkan (memendekkan hayat) solat, solat Rasulullah tetap menjadi panduan. Perhatikan kata sahabat Rasulullah Anas bin Malik (maksudnya): “Bahawa aku berupaya benar bersolat sebagaimana solatnya Rasulullah.”

Hadis riwayat Muslim, kata Tasbit r.a. (maksudnya): “Maka adalah Anas (bin Malik) membuat yang tidak pernah aku melihat sekalian kamu membaca. Anas, apabila mengangkat kepala dari rukuk, tegak berdiri beliau sehingga orang mengatakan beliau telah lupa, dan beliau mengangkat kepala dari sujud, dan duduk sehingga orang mengatakan beliau telah lupa.”

Demikian kadar lamanya berdiri iktidal dan duduk antara dua sujud Anas bin Malik yang mendakwa sangat mencontohi solatnya Rasulullah.

Perihal kadar lamanya solat nabi sewaktu duduk, rukuk dan sebaginya ada panduan satu hadis nabi. Hadis riwayat Muslim, daripada Al Barra bin Azib katanya (maksud): “Saya perhatikan benar-benar solat yang engkau kerjakan bersama Muhammad s.a.w., maka saya dapati berdirinya, rukuknya, iktidalnya sesudah rukuk, sujudnya, duduk antara dua sujudnya, sujudnya, duduk antara salamnya dan bangun perginya, hampir-hampir bersamaan.”

Kalaulah akal masih mahu berhujah bahawa hayat solat yang dicontohkan di atas tidak mungkin dilakukan oleh manusia zaman kini, tidak adakah keinginan untuk meniru separuh daripada hayat solat Rasulullah supaya wujud rasa ketenangan dalam solat?

Solat merupakan tali penghubung antara manusia dengan Allah, maka wajiblah hamba itu merasakan ketenangan dan khsusuk melakukan ibadah penyerahan kepada Tuhannya. Kalaulah solat tidak lagi diertikan seperti itu, jadilah melakukan solat sekadar keperluan teknikal: cukup syarat, asal sah. Ya sudah!

Sabtu, Oktober 11, 2008

MERAPATKAN saf kerana sunah

ANTARA kesempurnaan solat berjemaah ialah merapatkan diri antara seseorang jemaah dengan orang-orang di kiri dan kanannya. Semuanya berdiri dalam satu barisan atau saf yang lurus. Hari ini hampir semua masjid mempunyai garisan untuk meluruskan saf, tetapi masalah besar lain ialah tidak rapatnya antara seseorang dengan seseorang yang lain.

Saf yang rapat hanya dapat dilaksanakan apabila ahli jemaah mempunyai ilmu bahawa merapatkan saf merupakan perintah Rasulullah dan sunah baginda. Pengalaman berjemaah sepanjang Ramadan di masjid menemukan ruang-ruang kosong, menggambarkan mereka masih jahil memenuhi sunah solat ini. Kadang-kadang pada musim bukan Ramadan pun ada lagi yang berjemaah tetapi tidak tersusun dengan rapi. Pernah seorang yang tidak mahu merapatkan bahu dengan ahli lain dengan mengatakan ruang masjid masih luas, maka dia mahu ruang udara dan tidak mahu berhimpit-himpit! Ada yang mencari ‘corner lot’ yang lebih luas.

Merapatkan saf tidak ada kaitan dengan ruang masjid yang masih luas atau sudah sesak. Biarpun jemaahnya hanya 10 orang, saf wajib diluruskan dan dirapatkan, kerana itu sunah nabi.

Hadis riwayat Bukhari menceritakan sahabat nabi, Nu’man bin Basyir berkata (maksudnya): “Aku melihat sendiri bahawa seseorang daripada kita semua saling merapatkan tumit antara seseorang dengan kawannya.”

Seterusnya, daripada Humaid, daripada Anas bin Malik, daripada Nabi s.a.w., baginda bersabda (maksudnya): “Dirikanlah saf-saf kamu semua dengan rata, sebab sesungguhnya aku dapat melihat kamu semua dari belakangku.” Anas melanjutkan kata: “Seseorang daripada kita menyentuhkan bahunya dengan bahu kawannya, juga kakinya dengan kaki kawannya iaitu sangat rapat sekali pada waktu berdiri dalam saf dan tidak ada tempat longgar.”

Oleh itu kepada sesiapa yang telah mempunyai ilmu, wajib pula melaksanakan dan menyampaikan kepada mereka yang kurang faham. Sekurang-kurangnya apabila berdiri segera merapatkan diri ke arah imam berdiri dan menarik kawan-kawannya yang masih ada ruang atau renggang.

Imam juga mempunyai peranan memastikan saf itu lurus dan rapat sebagaimana yang dicontohkan oleh baginda Nabi s.a.w. Seorang sahabat Al Bara’ah bin Azib berkata (maksudnya): “Nabi s.a.w. mendatangi sudut-sudut barisan dan menyamaratakan dada-dada ahli jemaah serta bahu-bahunya sambil berkata: Jangan kamu maju mundur yang menyebabkan hati kamu juga maju dan mundur. Bahawa Allah dan para malaikat berselawat ke atas ahli saf yang pertama.”

TIADA usap muka selesai solat

Banyak orang apabila selesai memberi salam ke kiri setelah solat akan mengusap muka dengan tangan kanan. Oleh kerana tidak ada standard khusus cara mengusap muka, maka ada banyak fesyen cara mengusap muka itu. Bagaimana pun biarlah diteliti sumber yang dijadikan sandaran untuk mengusap muka selepas solat, sama ada sahih atau tidak.

1. At Thabarani meriwayatkan daripada Anas katanya (maksud), “Adalah rasulullah apabila selesai solat, baginda menyapu dahinya dengan tapak tangan kanannya dan kemudian baginda bersabda: Asy hadu allaa ilaa ha illallaah…”

Menurut pentahqiq ilmu hadis Nasharuddin al Bani, hadis di atas sangat daif (lemah). Hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibnu Sam’un daripada Salam al Madaini daripada Zaid al Ammi daripada Anas. Pengkritik hadis mendapati Salam al Madaini sebagai pembohong dan Zaid al Ammi pula dikatakan sangat lemah.

2. Abu Nu'im meriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, "Adalah Rasulullah apabila selesai solatnya baginda menyapu dahinya dengan telapak tangan kanannya kemudian melalukan atas mukanya sampai ke janggut dan baginda bersabda, bismillahil lazi…"

Menurut Al Bani, hadis di atas adalah maudhu (palsu). Yang dituduh menciptanya ialah Dawud al Muhabbar sebagai pembohong. Hadis ini ada melalui riwayat lain seperti Al Bazzar daripada Jabir daripada Fadhl bin Isa Ar Raqasyi. Kata pentahqiq hadis Ibnu Hajar al Asyqalani, hadis itu mungkar kerana melalui Fadhl bin Isa. Fadhl dikategorkan mungkar.

Sumber: Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris, Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu, 1996, Kuala Lumpur: Al Hidayah Publisher, muka surat 309-311.

Apabila sesuatu yang dikatakan hadis itu sebenarnya palsu, maka pasti bukan daripada Rasulullah. Oleh itu tidak bisa sama sekali meneruskan kaedan ibadah itu yang sebelumnya disangka sunah. Justeru, kewajiban muslim ialah menolak hadis palsu kerana haram berdusta atas nama Rasulullah. Kesimpulannya, setelah selesai memberi salam ke kanan dan kiri, tidak perlu mengusap wajah dengan tangan seperti banyak dilakukan orang itu.

Penulis menurunkan pengalaman seorang ustaz, mantan Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang. Suatu ketika dalam kuliahnya beliau mempertahankan mengusap muka kerana ada hadisnya (tentulah hadis di atas). Kira-kira tiga bulan kemudian sehingga kini, penulis perhatikan beliau tidak lagi mengusap muka setelah selesai solat iaitu memberi salam ke kiri. Tentulah beliau telah mengetahui hadis yang selama ini dipegang sebenarnya hadis palsu, dan beliau menolak hadis palsu ini.

Jumaat, Oktober 10, 2008

SANTUNI anak-anak di masjid

PUTERA saya pernah mengadu dan mengeluh dilayan seperti kanak-kanak kecil apabila solat berjemaah di masjid. Penulis membawa putera ini ke masjid sejak kecil lagi supaya masjid menjadi salah satu destinasi kepadanya sebagai muslim. Sekalipun semasa berusia 14 tahun, bersekolah menengah dia kerap dihalang berada dalam saf bersama orang dewasa atas alasan masih kanak-kanak (belum baligh).

Sekarang pun imam kadang-kadang akan memaling ke belakang untuk melihat kalau-kalau ada anak-anak menyusup masuk ke dalam saf dewasa. Kemudian beliau akan mengarahkan mana anak-anak ke satu saf asing paling belakang. Alasan imam ialah mana-mana yang belum mencapai 15 tahun belum baligh, maka dianggap masih anak-anak hingusan!

Lebih malang penulis yang pernah melihat putera penulis ditolak ke saf lain oleh seorang dewasa yang masbuk (lewat hadir) sewaktu bersolat jemaah hanya kerana tubuhnya kecil dan dianggap anak hingusan itu! Penulis tahu, hanya mampu bersabar dan berdoa saja.

Mendidik perlu dari kecil atau melentur buluh biar dari rebung. Kerana itulah penulis membawa putera dan anak-anak menakan ke masjid untuk melatih mereka. Sampai sekarang pun, kerap penulis menarik anak-anak di masjid untuk berada dalam saf orang dewasa, demi memenuhkan ruang yang ada.

Penulis mempunyai alasan daripada sunah nabi untuk berfikiran dan bertindak demikian. Berikut bukti sunah nabi untuk mengetahui kedudukan anak-anak dalam solat jemaah bersama orang dewasa.
Daripada Ibn Abbas katanya: "Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu (saya) belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah s.a.w. sedang solat dengan tidak menghadap dinding. Kemudian saya melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorangpun tidak membantah saya."

Kalau sudah sah ada petunjuk daripada sunah mengenai anak-anak yang bisa saja disusun dalam saf orang dewasa, maka sekarang pandang pula daripada sudut pendidikan. Penulis dapati anak-anak yang dibawa dalam saf orang dewasa merasa disantuni dengan baik dan mereka sangat berterima kasih kerna dihargai. Maka kesannya, mereka lebih berdisiplin semasa bersolat sekalipun mungkin masih dalam pembelajaran. Kesantunan orang dewasa kepada anak-anak sangat mengesankan dan anak-anak ini menjadi manja dengan orang dewasa yang kerap ke masjid. Inilah kesan dakwah terhadap anak-anak untuk mewarisi sunah berjemaaha di masjid.

Mungkin ada insan yang bertanya kembali mengenai sah atau tidak solat orang dewasa kerana tersentuh anak-anak yang dikatakan belum berkhatan itu. Pemahaman ‘batal’ solat kerana kes ini sepatutnya tidak timbul jika selama ini tidak ditemui hadis sahih yang mengatakan batal solat orang dewasa itu. Kita tidak mahulah mengatakan itu sah dan yang lain batal hanya kerana pandangan orang dahulu, bukan nas sahih.

Memang ada satu dua hadis yang menjadi sebab imam menyusun saf kanak-kanak terasing daripada saf orang dewasa. Misalnya hadis riwayat Imam Ahmad bermaksud:

"Bahawa Nabi s.a.w. menyamakan antara rakaat yang empat dalam ukuran bacaan dan berdiri. Baginda menjadikan rakaat pertama lebih panjang, supaya para makmum dapat menyusul. Beliau letakkan orang lelaki di depan anak-anak (anak-anak di belakang mereka), di belakang anak-anak barulah orang-orang perempuan.”

Hadis berkenaan memberi maksud jelas saf anak-anak di belakang kerana jumlah mereka banyak. Maka jika hanya dua atau tiga anak-anak, lebih baik diserap dalam saf dewasa sebab bukan menjadi kesalahan anak-anak bersolat bersama orang dewasa. Lagi pula seperti dicatat, tarbiyah dan pelayanan terhadap anak-anak pasti menyenangkan jiwa anak-anak dalam masjid.

wa

Selasa, Oktober 07, 2008

SOLAT berjemaah bukan hanya sunat (II)

SEMUA empat mazhab fikah tidak memberi kelonggaran para muslim meninggalkan solat berjemaah di masjid sebagaimana yang diamalkan oleh kebanyakan muslim pada hari ini. Kebanyakan muslim yang bersantai di rumah sekalipun mendengar seruan azan kerana berpegang pada prinsip solat berjemaah adalah fardu kifayah. Fardu kifayah ini difahami mereka sebagai jika ada dua orang sahaja menunaikan solat berjemaah di masjid, maka muslim lain dalam kariah itu terselamat daripada dibebani dosa meninggalkan berjemaah! Alangkah murahnya nilai solat berjemaah di mata mereka. Mereka gembira dengan hasil pemikiran dangkal mengenai sunah ini.

Penulis menurunkan beberapa hadis lain sebagai penilaian adil terhadap tuntutan solat berjemaah ini berdasarkan sunah Rasulullah. Kalau selama ini dalam maulidur rasul kita kerap diseru supaya mengikuti sunah Rasulullah, maka penulis menyumbang pengetahuan untuk berkongsi sunah nabi ini.

Hadis satu: Riwayat Abu Dawud, Abu Hatim dan Ibnu Hibban daripada Ibnu Abbas dalam Taisirul Wusyul 2:264 kitab As Solah oleh Ibnu Qayyim.

Maksud sabda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang mendengar seruan (azan) serta tidak ada uzur yang menghalangi dia memenuhi seruan itu, tidaklah diterima daripadanya solat yang dia kerjakan. Sahabat bertanya: Apakah maksud uzur itu? Jawab Nabi: Takut atau sakit.”

Hadis kedua: Riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawud daripada Ibnu Ummi Makhtum. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Muslim dan An-Nasa’I dalam Taisirul Wusyul 2: 266)

Maksud kata Ummi Makhtum: “Ya Rasulullah, saya seorang yang kabur mata lagi jauh rumah dari masjid dan saya tidak mempunyai seorang penuntun yang sesuai. Maka adakah kelonggaran untuk saya solat di rumah? Nabi s.a.w. bertanya pula: Apakah engkau mendengar azan? Aku (Ummi Makhtum) menjawab: Ya, saya mendengarnya. Maka sabda Nabi s.a.w.: Saya tidak mendapat kelapangan (kelonggaran) untuk engkau bersolat di rumah.”

Hadis ketiga: Riwayat Imam Ahmad dan At-Tabrani daripada Ibnu Umar dalam Mifthanul Khathabal: 162)

Maksud sabda Nabi s.a.w.: “Apabila engkau mendengar azan, maka penuhilah seruannya, perkenankanlah walaupun dengan jalan merangkak.”

Maksud alquran surah albaqarah:43 pula bermaksud, “Dan kamu dirikanlah solat, keluarkanlah zakat dan rukuklah kamu berserta orang-orang yang rukuk.”

Telah sempurna nas alquran dan sunah mengenai tuntutan menunaikan solat berjemaah di masjid. Ada yang berjemaah di rumah dengan isteri dan anak-anak. Hal ini tidak ada petunjuk daripada sunah. Kalaulah berjemaah di rumah satu sunah nabi, pastilah ada petunjuknya kerana tidak mungkin hal ibadah yang penting ini ada yang dirahsiakan daripada pengetahuan umah. Dan bukan sifat nabi menjadi perahsia!

Hadis kedua di atas menceritakan kedudukan OKU iaitu Ummi Makhtum yang dianggap buta meminta kelonggaran tidak hadir berjemaah di masjid, namun tidak diizinkan oleh Rasulullah. Subhanallah.., malu besarlah muslim yang bukan OKU punya kenderaan besar dan mewah, cukup kelengkapan untuk ke masjid masih berleka-leka di atas kerusi empuk di rumahnya. Hendak berhujah apa lagi? Fardu kifayah, orang lain sudah buat aku tak payah!

SOLAT berjemaah bukan hanya sunat (I)

BERJEMAAH untuk solat fardu lima waktu sehari merupakan sunah yang sangat diberatkan oleh semua aliran mazhab fikah. Ertinya, semua muslim sebenarnya mempunyai tanggung jawab untuk melaksanakan solat berjemaah untuk setiap waktu solat. Dalam sirah baginda Rasulullah juga tidak pernah diberitakan baginda solat fardu sendirian sekalipun dalam keadaan safar (kembara) atau sewaktu gering. Malah diceritakan dalam satu hadis sewaktu baginda sakit, para sahabat menunggu baginda untuk berjemaah solat Isyak, sehinggalah kerana kesakitan itu baginda Rasulullah meminta Saydina Abu Bakar menjadi imam. Sewaktu Abu Bakar menjadi imam itu, Rasulullah bersusah payah dalam berpapah untuk solat di sisi Abu Bakar.

Perhatikan ancaman daripada Rasulullah kepada muslim yang bersikap tidak endah dengan seruan azan dari masjid atau musalla.

Daripada A'raj, daripada Abu Hurairah mendengar (maksud) Sabda Rasulullah saw, “Demi zat yang jiwaku dalam genggaman-Nya, nescaya aku berhasrat sekali untuk menyuruh mencari kayu api bakar dan setelah siap dikumpulkan, lalu aku menyuruh bersolat, terus dibunyikan azan untuk solat tadi. Selanjutnya aku hendak berpaling untuk meneliti orang-orang yang sengaja meninggalkan solat berjemaah, kemudian aku bakar sahaja rumah-rumah mereka itu.

- Ada sambungannya yang menerangkan orang memilih makanan berbanding solat jemaah.
(Hadis Riwayat Bukhari, hadis 603 bab wajibnya solat berjemaah)

Diharap mereka yang membuat mazhab sendiri dengan mengatakan hanya sunat dan tidak ada niat atau usaha untuk berjemaah setiap waktu mula menilai kembali pendirian hawa nafsunya. Imam Syafie dan para ulama Syafieyah juga tidak pernah memberi kelonggaran kepada muslim untuk bersantai di rumah, restoran, gerai makanan atau tepi-tepi jalan dengan hujah solat berjemaah itu hanya sunat. Mudah dan biasa hari ini yang mengaku muslim, mendakwa bermazhab Syafie kemudian tidak perduli pada seruan azan untuk bersegera ke masjid.

Penulis turunkan pula maksud ayat pertama surah al-Anbiya “Telah hampir kepada manusia hari menghitung segala amalan mereka, namun mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripada hari perhitungan itu).”

Marilah kembali kepada seruan alquran dan sunah sebagai bukti keimanan kepada Allah dan kecintaan kepada junjungan Rasulullah saw.

Jumaat, Oktober 03, 2008

KESATUAN umah tapi hari raya tidak sama

PADA hari Selasa lepas, ketika penulis dan keluarga sedang mempersiap untuk menerima kehadiran satu Syawal pada hari Rabu, adik penulis menelefon dari Scotland mengatakan bungkusan pakaian dan kuih daripada kami baru saja diterima sewaktu mereka bersiap-siap hendak menunaikan solat Eid. Dia memberitahu kami bahawa mereka di sana berpuasa 29 hari, maknanya berhari raya pada hari Selasa.

Cerita kita di Malaysia masih berpuasa dan saudara-saudara di Indonesia dan Singapura sedang berhari raya bukan cerita baru, malah terus menjadi satu budaya menerima kehadiran satu Syawal kepada setiap generasi. Ertinya sejak kecil penulis sudah diasuh menerima sahaja perbedaan hari pertama sambutan hari raya. Kita diasuh mentaati keputusan pemerintah menetapkan bermulanya satu Ramadan dan satu Syawal. Kemudian apabila mendengar khutbah Eid, tahulah haramnya berpuasa pada hari raya pertama ini. Apabila pulang dan bertanya kepada yang lebih dewasa mengenai haramnya berpuasa sedangkan di negara jiran sudah hari raya, jawabnya taat saja keputusan pemerintah. Sekali lagi kita diasuh bahawa haramnya (berdosa) puasa satu Syawal ditetapkan oleh pemerintah!

Memang surah an-Nisa ayat 59 meminta kita mematuhi keputusan pemerintah, kalau berbeda pendapat carilah kebenaran daripada alquran. Masih ada ruang di mana hendak diletakkan kepatuhan kepada pemerintah.

Mari lihat kuasa menetapkan hal-hal ibadah dalam negara Malaysia kita. Negara Persekutuan Malaysia telah menetapkan kuasa hal Islam (ibadah) diserahkan kepada pemerintah negeri-negeri. Oleh itu negeri yang kecil seperti Melaka dan Perlis tetap mempunyai wewenang menetapkan sendiri tarikh permulaan puasa dan hari raya. Dan situasi ini pernah berlaku apabila Perak dan Johor berhari raya sedangkan negeri-negeri lain dalam Malaysia sedang mencukupkan puasa 30 hari Ramadan.

Maka dari sudut undang-undang, Melaka misalnya masih berhak menetapkan permulaan hari puasa dan hari raya sekalipun semua negeri berbeda keputusan. Ya, sekalipun seluruh Malaysia menggunakan kalendar yang sama, menerima siang dan malam serupa, namun kerana wewenang pemerintah menyebabkan satu Syawalnya berbeda dengan negeri-negeri lain. Seperti kes di Perak dan Johor pada tahun 1980-an, muslim di Perak dan Johor dianggap berdosa jika mengikuti saudara mara di negeri-negeri lain yang masih berpuasa. Bagi muslim yang tinggal di luar Perak dan Johor itu dan berhari raya seperti muslim di Perak dan Johor, maka dianggap sudah meninggalkan sehari berpuasa dan wajib membayarnya kelak, puasa atau fidyah!

Persamaan sambutan serentak hari raya seluruh Malaysia bukan kerana kuasa menetapkan permulaan Ramadan dan Syawal itu sudah menjadi hak pemerintah pusat di Putrajaya, tetapi kerana peranan dan kesedaran pemerintah di negeri-negeri dan persekutuan.


Tidakkah para pemerintah negara-negara muslim malu terhadap yang bukan Islam mengenai perbedaan permulaan puasa dan hari raya? Penulis sebagai muslim mengakui malu kalau ada yang bertanya: Dalam hal menetapkan puasa dan hari raya, di mana contoh kesatuan muslim yang diwar-warkan itu? Kita kerap berbangga sebagai satu umah yang bersaudara, berkiblat satu fokus (kaabah), berhaji di satu tempat, dengan satu kitab alquran yang bersumber satu bahasa saja (Arab) dan pelbagai yang dikatakan kesatuan. Namun kita malu membicarakan kesatuan umah untuk permulaan puasa dan hari raya.

Kalau 14 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) dalam Malaysia akhirnya dapat sepakat menetapkan tarikh bersama, apa yang menyusahkan seluruh 10 negara Asean menetapkan hal yang sama. Kemudian, apa yang menjadi masalah jika Persidangan Negara-negara Islam (OIC) pula yang menetapkan satu tarikh saja dan diterima pakai seluruh dunia. Soal satu tarikh yang tepat dan diterima pakai seluruh dunia tidak akan menjejaskan pentadbiran sesebuah negara. Sebenarnya inilah salah satu cabaran apabila membina negara-negara berdasarkan status 'negara bangsa', tetapi setiap pemimpin muslim seluruh dunia wajib faham hal ibadah yang tidak patut ada perbedaan.

Soal mahu kaedah melihat anak bulan atau berdasarkan kiraan, itu bukan soalnya buat masa ini kerana yang utama ialah kesepakatan untuk seluruh dunia. Muslim seluruh dunia tidak faham mengapa para pemerintah negara-negara Islam tidak melaksanakan persefahaman ini. Tidak ada kuasa besar yang akan campur tangan atau bimbang menjadikan kemerosotan ekonomi. Soal ini juga tidak akan menjatuhkan sesebuah parti atau raja yang memerintah. Tidak tahu lagi apa sebab yang dikandung begitu lama.