PARTI-parti politik memang kerjanya saling
bertelingkah berebut-rebut kuasa. Di desa parti politik mengatur strategi
supaya masjid, badan khairat kematian, persatuan kenduri-kendara dapat
dikuasainya. Dipastikan ahli-ahlinya memegang kuasa pengurusan institusi-institusi
berkenaan. Di peringkat negeri dan negara memanglah, semua parti membentuk
strategi untuk berkuasa melalui pilihan
raya. Tidak boleh menang bersendirian, parti-parti membentuk gabungan besar
untuk menang berkuasa.
Organisasi-organisasi bukan kerajaan (NGO) juga ditubuhkan oleh
parti-parti politik untuk melebarkan pengaruhnya dalam masyarakat. Tujuan NGO
seperti ini untuk membentuk ‘pandangan umum’ supaya menyokong parti politik
tertentu.
|
foto hiasan |
Ada parti yang berasakan ideologi, agama dan bangsa.
Semua ahli parti berkenaan mendakwa partinya sahaja yang betul, parti lain
salah atau sial. Namun parti yang didakwa betul boleh bekerjasama dengan parti
yang didakwa salah untuk mencapai satu matlamat. Kerukunan dalam gabungan parti-parti dijaga,
tetapi ada kalanya berlaku juga pertelingkahan besar dalam gabungan itu.
Apabila tibanya musim pilihan raya, pertelingkahan sesama ahli dalam parti
dihentikan sebaliknya semua kudrat digunakan untuk menonjolkan imej baik parti
dan memburukan parti-parti yang didakwa musuh.
Apakah keributan parti-parti politik berebut kuasa
hanya ada pada zaman moden yang berideologikan demokrasi? Sebagai umat Islam, semua telah mendengar
atau membaca sejarah. Pada zaman Arab
Jahiliah, bangsa Arab sudah terlebih dahulu membentuk pelbagai parti atau
kabilah untuk berkuasa di tempat-tempat strategik. Kota Makkah merupakan kota paling stratagik
yang menjadi tumpuan para pemimpin kabilah Arab. Kabilah yang kuat atau hebat,
kabilah itulah yang berkuasa di Makkah dan menjaga Kaabah.
Imej-imej penting juga menjadi rebutan di Makkah
untuk menaikkan maruah kabilah masing-masing.
Misalnya telah berlaku banjir di Makkah sewaktu umur Nabi 35 tahun. Batu
hitam atau Hajar aswad yang terletak di salah satu penjuru Kaabah telah
tertanggal dan hanyut. Oleh itu, para ketua kabilah berebut-rebut mahu
memasangkan semula hajar aswad di tempat asal.
Hampir saja mencetuskan pergaduhan atau peperangan. Menjadi pandangan
umum waktu itu kabilah yang berjaya menguasai imej (seperti Kaabah dan hajar
aswad) begitu tinggi maruah dan kewibawaannya. Kabilah berkenaan boleh menjadi
pemimpin kepada kabilah-kabilah yang kecil dalam satu barisan atau pakatan
kabilah-kabilah!
Sebenarnya ciri-ciri kabilah pada zaman Arab
Jahiliah dahulu sama seperti parti-parti politik zaman moden. Jika kabilah Arab Jahiliah mementingkan wala
atau ketaatan ahli, maka ahli-ahli parti politik juga diwajibkan memberi wala
kepada pemimpin parti. Jika ahli kabilah
Arab Jahiliah diminta berkorban atau berjuang untuk kepentingan kabilah
(seperti berperang, membuat sabotaj dan mengumpul dana untuk berperang), ahli
parti politik juga diminta mengorbankan apa yg dimiliki seperti masa dan harta
untuk perjuangan parti dalam pilihan raya.
Kabilah Aus dan Khazraj telah lama bertelingkah dan
berperang sebelum didamaikan oleh Nabi s.a.w., sebenarnya parti-parti orang
Islam di negara kita juga sudah berpuluh-puluh tahun ‘bertempur’ dalam medan
pilihan raya. Jika zaman Arab Jahiliah
para kabilah berperang yang mengorbankan nyawa dan harta, pada zaman demokrasi
parti-parti tidaklah berperang berbunuh-bunuh. Perang parti ialah perang mulut,
membuat sabotaj, membuat demontrasi atau sedikit rusuhan…. Asalkan tidak
berbunuh-bunuh. Namun asas permusuhan
antara kabilah kerna berebut kuasa sama saja dengan asas permusuhan parti-parti
politik.
Jika ditelusuri sejarah kebanyakan kabilah Arab
Jahiliah asalnya daripada satu punca. Misalnya kabilah Bani Hashim dan kabilah
Bani Umayah adalah keturunan Qusai bin Kilab. Namun kerna menjaga ketokohan
dalam keluarga, misalnya ketokohan Umayah maka keturunannya wajib menjaga nama
keluarga Umayah. Parti-parti di negara
kita pun asalnya daripada satu bangsa yang satu agama: Melayu-Islam. Asalnya
satu parti iaitu Umno. Kemudian ada pemimpin yang keciwa dalam Umno lalu
menubuhkan Pas dan PKR. Daripada Pas muncul pula Berjasa, Hamim dan
Pasma. Semuanya kerana pemimpin yang
tidak boleh berehat dan mahu terus dipuja sebagai pemimpin, bukanlah sebab
idelogi sangat. Dalam berkabilah dan
berparti peranan pemimpin menjadi tonggak, ke mana arah ahli-ahli kabilah dan
parti hendak dibawa.
Begitulah, janganlah menganggap parti yang ditulis
agama atau bangsa didakwa suci dan
selainnya adalah salah dan sial. Eloklah
berlaku jujur mengakui bahawa persengketaan parti-parti politik zaman demokrasi
ini tidak jauh bedanya dengan yang berlaku pada zaman Arab Jahiliyah.
Berdasarkan sejarah zaman Nabi s.a.w., berkabilah
tidaklah salah atau haram. Jika haram, tentulah baginda Nabi s.a.w.
mengharamkan kabilah Aus dan Khazraj.
Tentu Nabi s.a.w. tidak menyebut golongan Ansar dan Muhajirin. Tentu Nabi s.a.w. tidak menyebut ‘Bani Hashim
haram memakan harta sedekah’. Malah Nabi
menggelar pula satu golongan yang istimewa misalnya ‘Ahli Badar’ iaitu tentera
yang berperang di medan Badar.
Maka berbilang parti politik juga tidak salah atau
haram. Jika 17 juta bangsa Melayu-Islam hendak ada 20 parti politik pun bukan
haram atau berdosa.
Yang diharamkan dalam Islam ialah persengketaan
sesama Islam sama ada antara seorang dengan seorang yang lain. Sama ada antara
satu ahli rumah dengan ahli rumah yang lain. Sama ada antara satu kampung
dengan kampung yang lain. Sama ada antara parti Umno dengan Pas. Sama ada
antara Pas dengan PKR!
Persengketaan itu ditandai dengan tidak bekerjasama
dalam isu besar. Saling memboikot atau berkomplot berlawan antara satu sama lain. Misalnya empat kabilah Arab sanggup berperang untuk
mendapatkan hak memasang hajar aswad. Sebenarnya perang zaman Arab Jahiliyah
banyak yang difokuskan kerana harta. Rompak sana rompak sini. Umno dan Pas pun bersengketa
soal agihan harta negara. Ironisnya, jika empat kabilah bersetuju damai untuk
sama-sama membawa hajar aswad ke sisi Kaabah, Umno dan Pas tidak mahu mencari
titik temu dan damai.
Guru-guru agama selalu mengatakan dua kuasa besar
zaman pra-Islam iaitu Rom dan Parsi sering membuli bangsa Arab kerana berpecah
dan sering berperang antara kabilah-kabilah, bangsa Melayu-Islam juga sedang
dibuli oleh parti-parti bukan Islam disebabkan persengketaan antara parti-parti
Melayu-Islam.
Kita diajar bahawa ‘sejarah adalah guru yang
berkesan’ malangnya nafsu serakah tidak mahu bersekolah menghadap guru.