Pengikut

Jumaat, Ogos 29, 2014

MALAYSIA MERDEKA: Bendera kita dikibar di negara luar

Bendera Malaysia dikibar di Selatan Thai pada 31 Ogos tahun lepas
TANGGAL 31 Ogos akan muncul sebagai saksi kemerdekaan Malaysia sudah mencapai 57 tahun!  Semakin lama usia kemerdekaan semakin banyak orang yang terlibat mendapatkan kemerdekaan negara puluhan tahun dahulu, telah meninggal dunia. Maka semakin lama semakin banyak generasi yang kian terpisah jauh daripada zaman pancaroba penjajahan.  Akhirnya kelak tiada lagi orang sumber penting sebagai pencerita yang menceritakan pengalaman sebenar.  Kelak yang ada hanyalah pengetahuan melalui sumber kedua, iaitu melalui bahan audio visual.
 
Bendera Malaysia di Gaza Palestin
Sekarang ini pun semangat kemedekaan tidaklah begitu dirasai sangat kerana emosi generasi kini terhadap kemerdekaan kian luntur.  Jangan kaget jika anak muda mula berkata, “jika tidak merdeka tahun 1957, akhirnya pun merdeka juga!”

Apa pun cerita kemerdekaan, inilah negara yang sangat diperhatikan oleh banyak negara.  Apabila terdapat dua juta warga asing bekerja sebagai buruh kurang mahir di Malaysia, ini bermakna Malaysia menjadi sumber rezeki jutaan manusia lain di luar Malaysia.  Yakinlah mereka bekerja untuk menanggung kehidupan keluarga di negara asal. Katakan secara purata setiap orang pekerja asing ada tiga tanggungan di negara asal, bermakna Malaysia telah memberi makan kepada lapan juta orang.

Saya catatkan cerita kecil rasa syukur sebagai rakyat Malaysia.  Dalam minggu ini di masjid kampung saya dikunjungi dua pengutip derma dari Arab untuk membiayai pusat Tahfiz di Lahore Pakistan.  Seorang telah bercerita kepada saya mengenai Pakistan yang sebenarnya tidak banyak beda dengan kehidupan di Gaza.  Yang membedakannya hanyalah Gaza sering diserang sampai hancur, namun kemiskinan di Gaza dan Pakistan tidak banyak bedanya! 
 
Dua lelaki asing mencari dana di desa,
berfoto dengan ayah saya
Mereka melihat kehidupan rakyat di Malaysia sangat bertuah jika dibandingkan dengan rakyat Pakistan.  Sangat jauh bedanya.  Sebab itulah mereka berkelana ke seluruh pelosok Malaysia kerna yakin umat Islam Malaysia mampu menghulur derma untuk pembangunan madrasahnya.

Satu lagi bukti kemampuan rakyat Malaysia ialah mengenai bantuan kewangannya kepada umat manusia di Gaza. Tidak dinafikan bahawa nama Malaysia menjadi sebutan rakyat di Gaza kerna keperihatinan kita terhadap kehidupan rakyat di Gaza. Bendera kita dikibarkan bendera Palestin sebagai tanda keakraban antara dua negara.  Inilah Malaysia yang secara geografinya hanya sebuah negara kecil di kepulauan Asia Tenggara.  Malaysia dikelilingi negara jiran yang berpenduduk lebih 100 juta seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan tak lama lagi Filipina. Malaysia menampung sekadar 30 juta manusia termasuk dua juta warga asing.

Kalau pun kita tidak pernah ke luar negara untuk membanding kehidupan rakyat di sana dengan di Malaysia, cukuplah dengan melihat kebanjiran warga asing di sini sebagai tanda Malaysia menjadi tumpuan pencari makan. 

Jangan ingat juga bahawa negara ini tidak diintai oleh negara-negara asing untuk dilangkahi melalui apa cara sekalipun.  Malaysia pernah digoda untuk memenerima bantuan IMF sewaktu disabotaj krisis ekonomi tahun 1998. Mujur pemimpin negara cukup berani menolak ‘bantuan’ yang sebenarnya jerut terhadap setiap rakyat.

Imej-imej Malaysia juga sedang diganggu agar negara ini tidak megah di persada dunia. Lihatlah situasi yang melanda penerbangan MAS. Cukuplah dengan mengatakan jika  MAS jatuh maka kemungkinan satu demi satu pusat stratgik Malaysia akan terjejas sama.


Dirgahayu Malaysia. Semga Allah memelihara negara tercinta ini daripada sebarang usaha buruk dari dalam dan luar negara.

Khamis, Ogos 28, 2014

WAJIBKAH berhenti di lampu isyarat walhal lengang?


Soalan:

Apakah hukum melanggar lampu isyarat jalan ketika di laluan lain tiada kereta terutamanya ketika waktu lewat malam?

Jawapan:

Tidak dibenarkan melanggar lampu isyarat jalan sekalipun ketika jalan raya lengang dari kenderaan lain. Hal ini sedemikian kerana kemungkinan boleh berlaku kemalangan tetap wujud. Sekalipun kadang-kadang benar-benar anda selamat. Barangkali sahaja, anda menyangka kenderaan lain tiada di jalan raya ketika itu, namun sebenarnya pandangan anda yang terselindung. Berapa banyak kemalangan jalan raya yang berlaku disebabkan tidak perasan adanya kenderaan?

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pernah ditanya di dalam Liqa’ al-Bab al-Maftuh dengan soalan:

“Apakah dibenarkan melanggar lampu isyarat jalan jika tiada kenderaan pada arah lain? kerana mengamalkan kaedah usuliah ‘Sesuatu hukum itu bersama dengan Illahnya’? Beliau menjawab:

“Tidak dibenarkan melanggar lampu isyarat jalan. Ini kerana Allah SWT telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kamu semua kepada Allah dan taatilah kamu semua kepada Rasul dan juga ulil al-Amr dari kalangan kamu.”(al-Nisa’: 59)

Maka para pemerintah yang meletakkan tanda-tanda (jalan raya), tanda-tanda itu seperti berkata kepada orang ramai: “Berhenti!” ada pula tanda-tanda lain yang seperti berkata: “Senyap!” Dan wajib taat kepada pemerintah. Isyarat-isyarat seperti ini berada pada kedudukan sama seperti perintah lisan. Iaitulah seolah-olah pemerintah memerintahkan kamu: “Berdiri!”  atau: “Senyap!”, sedangkan pemerintah itu wajib ditaati. Tiada beza, ketika jalan lain kosong dari kenderaan atau ada kenderaan dan giliran laluan adalah untuknya. Saya pernah bertanya kepada Pengarah Lalu-Lintas di sini Arab Saudi dan beliau menjawab: “Isyarat-isyarat ini bukan bertujuan pengaturan (agar lalu-lintas berjalan lancar), akan tetapi ia bertujuan perintah supaya berhenti dan tegahan (dari terus bergerak). Jika demikian, maka ia tidak boleh diterapkan seperti yang ditanya oleh penyoal yang mengatakan bukankah sesuatu hukum itu mengikut illahnya, kewujudan atau ketiadaannya. Ini kerana isyarat tersebut adalah bertujuan arahan berhenti bukan bermaksud berhenti jika laluan sibuk. Sebaliknya maksud isyarat tersebut ialah berhenti. Oleh yang demikian, tidak dibenarkan seseorang melepasi isyarat berhenti tersebut. Selain itu kadang-kadang terjadi seseorang melihat laluan tidak sibuk. Tiba-tiba ada orang dari laluan lain darang dengan laju agar sempat mendapat isyarat boleh lalu (lampu hijau) seterusnya akan menyebabkan kemalangan seperti yang banyak berlaku. Oleh yang demikian kami berpandangan yang wajibnya adalah berhenti. Berhenti itu juga Alhamdulillah tidak lebih dari 3 minit, setelah itu akan dibenarkan anda melaluinya.” (Liqa’ al-Bab al-Maftuh bilangan 236. Atas talian: http://islamport.com/w/ftw/Web/2447/1635.htm)

Wallahu a’lam.

Isnin, Ogos 25, 2014

ISLAM mahukan ketertiban, demokrasi mahukan hingar-bingar

BENAR bahawa Islam itu sempurna. Dan kerna sifat sempurna itu, Islam tidak dapat dipisahkan dengan politik.  Politik adalah amanah pengurusan. Pengurusan apa juga dari sebuah keluarga, daerah, jabatan hinggalah sebuah negara.  Bahawa Nabi s.a.w. juga sangat jelas mengatakan bahawa setiap orang akan ditanya perihal amanahnya.

Allah pula telah mewajibkan seluruh kaum yang beriman kepada-Nya agar mentaati orang atau pihak yang diberi amanah menguruskan apa juga tugasan.  Anak mentaati ayah sebagai ketua keluarga. Pekerja mentaati majikan sebagai pengurus besarnya. Masyarakat desa mentaati Ketua Kampung. Rakyat mentaati penguasa paling besar dalam sebuah negeri. 

foto hiasan
Konsep ketaatan ini merupakan arahan Allah yang sangat jelas dalam al-Quran ayat 59 surah An-Nisa (maksudnya), “Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan rasul(-Nya), dan ulil amri (pemerintah) dalam kalangan kamu.  Kemudian jikalau kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan rasul-Nya (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian.  Yang demikian itu lebih utama (kepadamu) dan lebih baik akibatnya.”

Pantas saja orang melabrak apabila dibacakan ayat ini. “Pemerintah berbuat salah, apakah juga ditaati?”  Suara itu muncul kerna masyarakat sudah diasuh sekian lama oleh kaum Barat supaya bangun melawan pemerintah yang dikatakan berbuat salah atas nama demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

Allah tidak pernah memerintahkan manusia melakukan kejahatan atau mentaati seruan kejahatan. Bahawa sebab turunnya ayat al-Quran di atas juga jelas. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.  Daripada Ali bin Abi Talib, dia  mengatakan bahawa “Rasulullah  mengutus sepasukan askar yang diketuai oleh seorang daripada pihak Ansar.  Ketika sudah keluar, pemimpin pasukan itu marah disebabkan suatu hal dan dia berkata, ‘Bukankah Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan kalian mentaatiku?’

Ahli pasukan menjawab, ‘betul’.

Si ketua berkata lagi, “kumpulkanlah kayu pembakar untukku.”  Kemudian dia meminta api lalu membakar kayu itu seraya berkata, “Aku memaksa agar kalian masuk ke dalamnya.”

Nyaris-nyaris ahli pasukan itu masuk ke dalam api (kerana ketaatannya).

Maka seorang pemuda di   antara mereka berkata, “Sesungguhnya (jika kalian lari, maka) kalian lari menuju Rasulullah s.a.w. untuk menghindari api ini. Jangan kalian terburu-buru, sehingga kalian bertemu Rasulullah s.a.w.  Jika Rasulullah s.a.w. memerintahkan kalian masuk ke dalam api itu maka masuklah.”

Maka mereka pun kembali kepada Rasulullah s.a.w. dan mengkhabarkan peristiwa itu.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seandainya kalian masuk ke dalam api itu, pasti kalian tidak akan keluar lagi darinya selama-lamanya.  Ketaatan itu hanyalah (berlaku) pada yang makruf (kebaikan) sahaja.”

Kan jelas ketaatan hanya dalam hal yang halal. Kalau pemerintah memaksa kita melakukan yang haram, maka tidak ada ketaatan kepadanya.  Kemudian, apakah dengan tidak taat kepada yang haram maka Allah dan rasul-Nya membenarkan orang-orang yang diperintah melawan penguasa itu.  Mudahnya, apakah jika Ketua Kampung mengarahkan majlis rasminya disertai musik dan tari-menari antara lelaki dan perempuan, maka Ketua Kampung boleh dihalau dari jawatannya?

Diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin As-Syamit r.a., dia berkata, “Kami membai’ah Rasulullah supaya mendengar dan taat, pada waktu senang atau susah, waktu sulit atau mudah, dan pada waktu harus mengorbankan kepentingan peribadi (kerna memenuhi ketaatan itu).  (Kami berbai’ah kepada Rasulullah) agar kami tidak mencabut kepemimpinan (menyingkirkan pemimpin) daripada yang berhak memegangnya.”  Baginda Nabi bersabda, “(Taatlah) Kecuali apabila kalian melihat kekafiran yang jelas (pada pemimpin itu), sedang kalian pun memiliki dalil (bukti) daripada Allah.”  (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, akhlak muslim ialah mematuhi pemerintahnya, daripada pemerintah kecil hingga pemerintah besar sebuah negara.  Akan ada saja khilaf pemimpin, maka khilaf pemimpin tidak boleh ditaati.  Ada juga perintah pemimpin yang benar atau makruf tetapi masyarakat bawah tidak menyukainya.  Misalnya arahan ‘perintah berkurung’ demi keselamatan. Dengan perintah berkurung itu, sebagian orang tidak bisa bekerja dan berkurang pendapatan kewangannya.  Jadi dia marah, atau tidak suka.  Yang begitu, Rasulullah masih meminta muslim yang beriman bersabar dan mematuhinya.

Maksud sabda Nabi s.a.w. “Mendengar dan taat ada kewajiban seorang muslim, dalam keadaan suka atau terpaksa salama tidak diperintahkan berbuat maksiat.  Jika diperintahkan berbuat maksiat, tidak waji didengar dan dipatuhi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).


Hikmahnya, Islam sangat menjaga ketertiban dan suasana damai sekalipun memang ada saja yang tidak berpuas hati terhadap orang-orang yang menguasainya.  Hari ini masyarakat Islam berkecamuk, saling mencerca, berpartai-partai yang saling berlawanan dan melakukan demontrasi sebagai tanda amarah…, semua itu disebabkan sangat mematuhi kehendak ajaran demokrasi Barat dan meminggirkan ajaran Allah dan rasul-Nya dalam bab perhubungan antara yang dipimpin dengan pemimpin.

Isnin, Ogos 18, 2014

KEDAI elektrik milik jutawan Melayu

SAYA mungkin perkauman apabila resah melihat kurangnya premis perniagaan Melayu/Islam di kota-kota.  Dan apabila berada di Bandar Jengka yang hampir semua premis perniagaan di sana dimiliki oleh Melayu/Islam saya berasa syukur dan senang. Maafkanlah jika tuan-tuan tidak menyukai sikap saya.

Dahulu pada awal tahun 1990-an terdapat seorang anak muda dari Jengka yang mendapat ‘duit terpijak’ sebanyak satu juta ringgit melalui satu rancangan di TV. Tidak tahulah wang itu digunakan untuk membeli apa, namun khabarnya dia membuka perniagaan. Hari ini dia bersama saudaranya telah lama memiliki kedai barangan elektrik.  Tahniahlah, sebab mereka tidak mensia-siakan peluang perniagaan di sebuah bandar yang dikhaskan untuk anak-anak Melayu/Islam.


 Namun saya masih keciwa apabila melihat kedai elektriknya jika dibandingkan dengan kedai-kedai elektrik milik kaum Tionghua di mana-mana pun.  Bukanlah pertama kali ini saya membeli barangan elektrik di kedainya sekalipun sejak beberapa tahun dahulu saya sudah sedar mengenai ‘tidak syoknya’ kedai itu.  Tapi itulah, mungkin saya perkauman menyebabkan saya masih membayar kepadanya untuk mendapatkan jenis-jenis barangan elektrik.


Beberapa perkara yang pada pandangan saya sangat menyakitkan hati dan mata yang memandang. Pertama, susun atur barangan dalam kedai.  Di situlah barangan utama dipamerkan, disitulah kotak-kotak barangan stok dan kotak yang telah dibuka diletakkan.  Malah komponen barangan yang dibaiki juga diletakkan di mana ada ruang bahagian utama kedai.


Kedua, barangan utama yang dijual seperti TV, mesin basuh, kipas dan lain-lain memang berdebu.  Faham sajalah, jika susun atur barangan tidak tentu hala, bab debu tidak dihiraukannya.

Ketiga, tauke dan pembantu kedainya tidak kemaskini pengetahuan mengenai barangan yang dijual.  Mereka masih menggunakan sistem Astro lama yang menunjukkan gambar kabur apabila dipadankan dengan peralatan TV yang terkini.  Pembantunya pula seperti tidak mahir memulakan sistem TV yang saya pesan (saya membeli TV di sana).  Malah saya terpaksa ‘campur tangan’ meminta dia menukar beberapa set supaya mudah saya menggunakannya apabila dibawa pulang. Jangan haraplah dia menjadi pemudah cara kepada saya mengenai barangan baru dari kedainya.  Saya berkata sendiri, ‘tak mengapalah, saya boleh membetulkan settingnya nanti.’ Begitulah tebalnya ‘perkauman’ saya sehingga masih bertolak ansur di sana.



Catatan ini sepatutya dibaca sebagai satu teguran kepada peniaga Melayu/Islam agar berani bersaing dan kreatif untuk memajukan perniagaannya. Janganlah berfikir semua pelanggannya adalah berjiwa ‘perkauman’ Melayu/Islam seperti saya.  Satu masa mungkin saya akan berubah juga…, ke kedai Melayu/Islam lain yang mesra pelanggan dan ceria!

Ahad, Ogos 17, 2014

INDONESIA merdeka 69 tahun sahabat Malaysia

TANGGAL 17 Ogos tidak memberi erti besar kepada Malaysia, tetapi jiran Malaysia iaitu Indonesia merayakan Hari Nasionalnya. Untuk tahun 2014 ini Indonesia akan menyambut hari kemerdekaannya kali ke-69, hampir tujuh dekat negara kepulauan Indonesia mengekalkan kemerdekaannya.


Malaysia dan Indonesia mempunyai sempadan bersama yang bercantum  tanah di Borneo iaitu sepanjang sempadan antara Sabah, Sarawak di Malaysia dengan Kalimantan di Indonesia.  Malah  Kampung Haji Kuning di Pulau Sebatik, Tawau Sabah terbahagi kepada dua negara: Malaysia-Indonesia, tanpa sebarang pagar! Maka patut sangat kampung itu dijadikan contoh unik hubungan sihat antara dua negara serumpun yang bersahabat.

Bagi pelajar politik antara bangsa sangat sedar bahawa Indonesia merupakan negara yang paling akrab dengan Malaysia.  Hal ini dapat diketahui melalui berapa peristiwa sebagai penanda aras hubungan akrab dua negara.  Pertama, mana-mana pemimpin yang baru menjawat jawatan tertinggi kedua-dua negara pasti akan melawat negara jirannya yang akrab ini. Misalnya Lawatan pertama ke luar negara Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak ialah ke Indonesia pada 23 Disember 2009. Insya Allah Presiden baru Indonesia Jokowi akan melawat Malaysia dahulu sebelum ke negara-negara lain.

Keduanya, pada setiap tahun pasti ada pertemuan rasmi antara Perdana Menteri Malaysia dengan Presiden Indonesia untuk membincang atau menyelesaikan masalah antar dua negara. Presiden Indonsia akan ke Malaysia atau Perdana Menteri Malaysia akan ke Indonesia.

Sejarah hubungan Malaysia-Indonesia pun bukanlah tidak pernah diuji.  Paling hebat ialah pada zaman konfrontasi Indonnesia (ada dalam pelajaran sejarah Malaysia di semua sekolah menengah Malaysia) antara tahun 1963-65.   Selain itu hal-hal persempadanan dan tenaga kerja Indonesia di Malaysia mungkin pernah mencetuskan sedikit pergeseran, tetapi tidak pada peringkat rasmi dua kerajaan.  Pergeseran hanya peringkat sekelompok kecil anggota masyarakat.  Dan hal itu segera tuntas dengan kesabaran serta kematangan majority rakyat Malaysia dan Indonesia yang faham bahawa dua negara tidak boleh berkonflik.

Kematangan para pemimpin Malaysia-Indonesia dan rakyat dua negara ini merupakan anguerah Tuhan yang hasilnya rakyat Nusantara dapat hidup dalam aman pada saat beberapa negara yang tunjangnya rakyat beragama Islam di sana saling berbunuh-bunuhan dan berperang tanpa kesudahan.


Dirgahayu Indonesia pada 17 Augustus 2014, sebentar kemudian Hari Kemerdekaan Malaysia pula pada 31 Ogos 2014!

Khamis, Ogos 14, 2014

ISU MB Selangor mungkin lubuk dosa umpat dan dusta

GILA-gila jawatan Menteri Besat Selangor menyebabkan antara kita sebagai muslim mewah dengan cerita, seperti membesar-besarkan kebaikan atau membuka habis keburukan seseorang.  Insan berwibawa dalam agama seperti kehilangan suara atau sunyi daripada menasihati umah, walhal jelas di sana ada larangan daripada Allah dan rasul-Nya berkenaan umpat dan dusta.

foto hiasan

Maksud firman Allah ayat 12 surah Al-Hujuraat: “Wahai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka (buruk sangka), sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu menngumpat (menggunjing) sebagian yang lain. Sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya.  Dan bertaqwalah kepada Allah.  Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Menurut Ibnu Juraij r.a. ayat di atas diturunkan berkenaan orang ramai yang suka memperkatakan tabiat sahabat Nabi s.a.w. iaitu Salman al-Farisi yang suka tidur selepas makan. (Hadis Riwayat Ibn Munzir)

Secara sendirian boleh juga mengumpat orang dengan menolog, ulasannya sendiri terhadap seseorang yang diperhatikannya.  Berdua-duaan juga boleh mengumpat dengan berbicara hal orang lain sama ada baik atau keburukannya.  Dalam berkumpulan pun boleh mengumpat, dan tentulah bertambah cerita yang dapat dikongsikan. Dalam majlis ceramah besar-besar juga boleh menjadi majlis umpatan apabila sang penceramah memburuk-burukkan peribadi insan lain.  Selalunya dalam ceramah politik yang mendapat sorakan besar apabila penceramah sangat gencar bercerita kebejatan tokoh lain agar semua khalayak pendengar membenci tokoh berkenaan.  Tidakkah itu majlis dosa?

Maksud sabda Rasulullah s.a.w. “Jauhilah prasangka kerna prasangka adalah perkataan paling dusta. Janganlah kalian saling memata-matai (mencuri-curi), janganlah kalian mencuri informasi.  Janganlah bersaing (dengan tidak jujur).  Janganlah saling mendengki, jangan saling membenci dan jangan saling membelakangi.  Tetapi jadilah hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Malik, al-Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

Antara kita kadang sadar perbuatan menggunjing sebagai dosa, lantas mengatakan, “saya hanya menceritakan yang benar”.  Maka berceritalah dan didangar oranglah.

Mungkin hadis ini dapat memberi pemahaman kepada kita. Bahawa Nabi s.a.w melarang ‘ghibah’. Lalu baginda Nabi s.a.w. menjelaskan sebagai berikut: “Pembicaraan atau percakapanmu terhadap saudaramu yang  saudaramu tidak sukai’.  Lalu sahabat bertanya, ‘Bagaimana jika yang dibicarakan itu hal yang benar?’  Maka Nabi s.a.w. menjawab, ‘Jika yang kamu bicarakan itu ada padanya bererti kamu telah mengumpatnya dan jika yang dibicarkan itu tidak ada padanya, maka kamu berdusta.’ (Hadis Riwayat at-Tirmizi)


Memang suatu yang sukar apabila dalam masyarakat sudah terjebak dalam cerita-cerita orang. Tambahan pula semua media memberikan cerita untuk disambut oleh pemerhatinya.  Namun itu semua bukan berarti bahawa peringatan Allah dan rasul-Nya sudah lupus melainkan tetap menjadi sempadan antara orang yang mahu menjaga  atau menipiskan iman.  Sungguh Allah tidak lalai daripada perkara paling kecil yang kita lakukan. Semua ada balasan baik dan buruk di sisi-Nya.

Selasa, Ogos 05, 2014

KITA faham mencemarkan alam bukan dosa

BERITA-berita komuniti daerah dalam akhbar Sinar Harian 5 Ogos 2014 memaparkan sampah-sarap yang tidak diurus dengan baik, termasuk di Sabak Bernam.  Masalah kebejatan alam sekitar. Ini berita-berita yang tidak pernah beres. Ada lagi hal berkaitan alam sekitar di daerah Sabak Bernam yang tidak beres sebab tidak difikirkan bagaimana hendak membereskan masalah berkenaan.

Di Sabak Bernam

Umum tahu antara ekonomi di daerah ini ialah penanaman padi. Setiap musim panen petani terpaksa melupuskan jerami padi dengan membakarnya.  Pada saat petani riang dengan hasil panen ribuan ringgit, asap akibat pembakaran jerami padi di sawah-sawah ditanggung oleh semua penduduk yang ada, termasuk pengguna-pengguna jalan raya yang melewati daerah ini dari pekan Sekinchan sehingga Sabak.

Tidak banyak mauduk dakwah di sini memberi tumpuan mengenai melakukan pembakaran terbuka yang mencemarkan udara berminggu-minggu sebagai aktiviti mungkar yang di sisi Allah. Tazkirah atau ceramah agama lebih tertumpu kepada membanteras pendedahan aurat perempuan.  Tidak ada fokus dalam khutbah Jumaat mendedahkan kemungkaran-kemungkaran sekitar sekitar sebagai satu dosa yang pelakunya perlu bertaubat. Kalau mendedahkan aurat disaran bertaubat, diajar solat sunat taubat. Tidak ada guru agama yang mengajarkan masyarakat bertaubat disebabkan mencemarkan alam.

Begitulah pemahaman masyarakat kita mengenai contoh mungkar dan dosa. Tidak ada papan tanda mengatakan penyebaran sampah dan pembakaran terbuka sebagai dosa. Namun ada yang mengenai penutupan aurat. Papan tanda begitu bukan saja di kawasan masjid, malah pernah digantung kain rentang di kawasan perumahan sebagai tanda amaran kepada wanita yang mendedahkan aurat.

Kita jangan suka-suka berkata tentang sekularisme, pemisahan antara agama dengan dunia.  Mungkin kita yang berkopiah putih antara pengamal pemisahan agama dan dunia.  Sekurang-kurangnya lihatlah contoh di atas!

sawah yang sudah dibakar jeraminya
jerebu asap tempatan, bukan import
pembakaran jerami di sawah-sawah