PADA setiap bulan Rabi’ul Awal, kebanyakan muslim
akan meerayakan hari kelahiran baginda Nabi s.a.w. Di balik banyaknya orang merayakan maulidur
rasul, tidak kurang pula yang membantah perayaan itu dengan hujah perayaan itu bukanlah
ajaran asal Islam. Debat atau dialog
Maulidur rasul bagai tidak ada sudahnya sebab masing-masing punya pengikut yang
akan mempertahankan sikap dan pendirian sampai bila-bila.
Dalam debat mahu atau tidak kepada Maulidur rasul,
yang nyata tidak dibantah-bantah oleh kedua-dua pihak ialah kewajiban mencintai
Rasul atau Nabi Muhammad s.a.w. Hujah
wajib cinta atau taat kepada Junjungan Nabi s.a.w. pula sangat jelas dalam
al-Quran ayat 24 surah At- Taubah (maksudnya): “Katakanlah: ‘Jika
bapak-bapak, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta
kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatir kerugiannya, dan
tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan
Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah
mendatangkan keputusan-Nya.’ Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang yang fasik.”
Ayat 80 surah An-Nisa’ pula, “Sesiapa yang
mentaati Rasul, sesungguhnya ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa yang
berpaling (dari ketaatan itu), maka Kami tidak mengutusmu untuk menjadi
pemelihara bagi mereka.”
Di situ Allah nyata memberi amaran keras jika
meninggalkan Allah dan rasul-Nya disebabkan lebih mencintai ibu bapa,
anak-anak, isteri, kaum keluarga atau harta kekayaan. Maksudnya, jika kecintaan kepada yang disebutkan
itu menyebabkan tidak taat kepada Allah dan rasul-Nya, ya Awas! (Dan barangkali kita memang selalu tewas
kerna meletakkan cinta kepada Allah dan
rasul-Nya entah nombor berapa.)
Baginda Nabi s.a.w. sendiri meminta setiap muslim
lebih mencintai baginda berbanding yang lain, termasuk peribadi muslim itu sendiri. Mudahnya, wajib lebih mencintai Nabi s.a.w.
berbanding diri sendiri. Dan ini
dilakukan oleh para sahabat baginda.
Maksud sabda Nabi s.a.w. “Salah seorang di
antara kalian tidak akan beriman sampai aku lebih dia cintai daripada anaknya,
orang tuanya bahkan seluruh manusia.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Ini pula kata Saidina Abu Bakr r.a. “Tidaklah aku biarkan satupun yang
Rasulullah s.a.w. amalkan kecuali aku mengamalkannya kerna aku takut jika
meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.” (HR. Abu Daud).
Nyata sekali sahabat baginda itu membuktikan rasa
cinta kepada Nabi s.a.w. dengan melaksanakan apa yang dilakukan oleh Nabi
s.a.w. Bagi kita yang sudah ditinggalkan
lama oleh Nabi dan para sahabatnya, juga tetap diwajibkan melaksanakan
kewajiban taat kepada Allah dan rasul-Nya, termasuk menunaikan apa yang disebut
oleh Nabi s.a.w., iaitu ‘tidak beriman dia sehingga lebih mencintai Nabi
berbanding yang lain’
Kalaulah Allah dan Nabi-Nya tidak lagi diutamakan
dalam kecintaan para muslim, pasti Islam tidak berdiri kukuh atau tulen lagi. Kehendak-kehendak ibu bapa, anak-anak, isteri
dan ahli masyarakat dalam beragama lebih diutamakan berbanding kehendak Allah
dan rasul-Nya. Setiap zaman dan generasi
manusia ada kehendak-kehendaknya sendiri yang pasti tidak sama dengan kehendak
Allah dan rasul-Nya. Kehendak-kehendak
setiap generasi pula berbeda-beda bagi setiap wilayah atau negara. Maka pasti sudah lama agama Allah ini musnah,
dan sumber utama agama berpindah daripada al-Quran dan as-Sunnah kepada
orang-orang yang berpengaruh dalam masyarakat!
Sebab itulah, baginda Nabi s.a.w. berwanti-wanti
agar mengamalkan sunah baginda nabi dalam beragama. Lihat sabda baginda “Berpegang teguhlah
dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ur rasyidin yang mendapatkan petunjuk (dalam
ilmu dan amal). Pegang teguhlah sunnah tersebut dengan gigi
geraham kalian.” (HR. Abu Daud, At Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu
Hibban).
Sunah nabi itu pula ialah amalan ibadah yanag jelas
daripada nabi dan yang menyalahi sunah ialah amalan yang dikatakan agama, walhal
jelas pula tidak ada contoh daripada baginda Nabi s.a.w. Amalan yang tidak ada contoh daripada nabi,
jelas tidak berguna di sisi Allah biar betapa hebat dan indah sekali sifat dan
banyak pelakunya. Maksud sabda nabi, “Barangsiapa
melakukan suatu amalan yang bukan ajaran kami, maka amalan tersebut tertolak.” (HR.
Muslim).
Semoga mulai bulan Rabi’ul Awal tahun ini, semakin
kita sedar kewajiban taat atau cinta kepada Allah dan rasul-Nya.