Pengikut

Selasa, Disember 24, 2013

ISLAM kata Hari Natal itu bid'ah

CATATAN ini sebagai kenang-kenangan adanya Hari Natal yang dikatakan sebagai hari lahirnya Jesus atau Nabi Isa putra Maryam. Demi akidah yang benar, muslim tidak akan merayakan Hari Natal, jadi catatan di bawah sebagai coretan mencari iktibar.


Ada yang melepaskan terus nama Jesus dan Kristian daripada pemikiran umat Islam dengan alasan nama-nama berkenaan tidak ada dalam al-Quran. Maka dikatakan umat Islam tidak perlu membuat kritikan atau pembetulan terhadap pemahaman mereka.

Sebenarnya, budaya manusia juga telah menyebabkan sesuatu istilah berubah sekalipun maksudnya sama. Nama Nabi Yusuf yang ada dalam al-Quran disebut sebagai Jusuh di Terengganu dan Joseph oleh sebagian bangsa Eropah. Nama Muhammad juga disebut disebut sebagai Mehmet di Turki dan Balkan, seperti juga Mamat kepada sebagian orang Melayu. Maka apa susahnya memahami Isa telah disebut sebagai Jesus!

Memang Kristian tidak menyatakan Jesus sebagai nabi sebagaimana muslim menyatakan Isa adalah seorang nabi. Namun perhatikan persamaan-persamaan pemahaman tentang peribadi Jesus oleh penganut Kristian dan Islam.  Mungkin catatan al-Quran tidak selari dengan pemahaman umat Kristian, tetapi  menjelaskan ada titik temunya.

Jika nama ibu Jesus disebut sebagai Maria oleh umat Kristian, maka dalam al-Quran ibu Nabi Isa ialah Maryam.  Ayat 45 surah Ali-Imran menjelaskan ibu nabi Isa. “(Ingatlah) Ketika para malaikat berkata. ‘wahai Maryam, sesungguhnya Allah menyambaikan khabar gembira kepada kamu tentang satu kalimat (firman) dari-Nya., namanya Al-Maseh Isa putra Maryam seorang terkemuka di dunia dan akhirat, dan termasuk orang-orang yang didekatkan’ (kepada Allah).”

Sekalipun secara umum kitab suci umat Kristian disebut Bible, tidak kurang pula yang menyatakan kitabnya sebagai Injil.  Malah ada yang menamakan kelompok mereka sebagai pengikut Injil.  Perkataan Injil tentulah merujuk kepada kitab nabi Isa yang memang jelas difahami oleh umat Islam. Ayat 48 surah Ali Imran, “Dan Dia mengajarkan kepadanya (Isa) kitab, hikmah, Taurat dan Injil.”

Dan yang paling utama ialah berkenaan kepercayaan bahawa Jesus mati dikayu salib. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran.  Kalaulah Jesus itu bukanlah Nabi Isa, buat apa Allah menerangkan yang sebenarnya dalam ayat 157 surah An-Nisa’, “dan (Kami hukum juga) kerna ucapan mereka, ‘sesungguhnya kami telah membunuh Al-Maseh Isa putra Maryam, Rasul Allah.’ Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi orang lain yang diserupakan sebagai Isa.  Sesungguhna mereka yang berselisih pendapat tentang (pembunuhan) Isa, selalu  dalam keraguan tentang yang dibunuh itu.  Mereka benar-benar tidak tahu (siapa yang dibunuh) melainkan  sangkaan belaka, jadi mereka tidak yakin telah membunuhnya.”

Oleh itu agama Kristian itu sebenarnya merupakan agama bid’ah.  Ajaran agama yang diada-adakan setelah ketiadaan Nabi Isa, malah menyalahi prinsip asas agama yang dibawa oleh Nabi Isa kepada kaum Yahudi.  Bid’ah ini bermaksud ‘rekaan baru dalam agama dengan tujuan untuk menambah kecintaan dan ketaatan kepada Allah’.  Mungkin akhirnya mereka berhujah bahawa tujuan mereka mengubah pemahaman agama daripada yang diajar oleh Nabi Isa semata-mata untuk menjadi manusia yang taat kepada Allah, namun apabila tatacara beragama tidak menepati yang diajarkan oleh para nabi, semua perkara baru dalam agama itu adalah kesesatan.

Contohnya, Nabi Isa tidak mengajar cara menyembah Allah dengan berkonsep kayu salib atau palang. Umat Islam boleh kata rekaan beribadah dengan menggunakan konsep kayu palang adalah bid’ah, maka itulah kesesatan. Oleh itu menjelaskan kebenaran Jesus atau Isa adalah sebagaian kerja dakwah Islam.


Kesesatan dalam beragama sangat sukar diperbetulkan kerna mereka yang terlibat sangat percaya apa yang dilakukan merupakan kebenaran agama.  Tidak mudah umat Kristian menerima hakikat bahawa Jesus tidak mati disalib. Juga sukar penganut Syiah menolak konsep imamah sebagai akidah agama. Penyembah berhala juga berkata cara ibadah mereka paling benar di sisi tuhan (kepercayaannya).  Pengamal bid’ah dalam kalangan umat Islam pun sama, walhal amalan bid’ah adalah kesesatan beragama.

Isnin, Disember 23, 2013

EMOSI rakyat sebab kos hidup, terpulang pada DAP!

PARA terakhir tulisan kolumnis Sinar Harian, Dr Ridhuan Tee Abdullah boleh dijadikan satu panduan besar kepada parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Tulisannya yang diberi tajuk ‘Jangan Sakiti Hati Melayu’ menyatakan perasaan orang Melayu yang selama ini memihak kepada Umno-BN pun sudah terguris dengan kenaikan kos hidup akibat kenaikan harga barangan.



Dia mengakhiri, “Ingatan saya kepada Umno BN, jangan biarkan hati Melayu semakin terluka.  Tidak mustahil Melayu akan beralih kepada  parti ultra kiasu.  Kempen mereka sedang berjalan. Jika satu hari nanti ultra kiasu  cenderung kepada Islam, saya bimbang ketika itu Umno sudah tidak relevan lagi, kerana mereka sudah ada Pas.  Hari ini Melayu masih bersama Umno kerana tawar hati dengan Pas bersama ultra kiasu, penentang Islam.”

Zaman sudah berubah dan pemikiran manusia pun berubah.  Kenaikan barangan akibat dasar-dasar kerajaan memang menjadikan rakyat panas hati.  Manusia dalam keadaan panas hati, akan melakukan tindakan segera sekurang-kurangnya untuk melepaskan kemarahannya.  Inilah peluang besar PR untuk menawan semua pengundi yang marah dengan kenaikan kos hidup.  Berdasarkan pandangan Dr Ridhuan Tee, orang Melayu akan segera mengundi PR jika DAP yang selama ini sangat dicurigai oleh majoriti Melayu berubah kepada Islam.  Bukan semestinya sebilangan pemimpin DAP memeluk Islam, cukuplah apa agenda Pas yang selama ini tersekat akibat tembok DAP dilonggarkan, pasti Melayu (yang selama ini mengundi BN) akan mengundi PR dalam PRU-14 nanti!

DAP boleh mengubah sikapnya yang dilihat antibudaya Melayu yang menolak memakai songkok dalam majlis diraja, berubah dengan berpakaian sut Melayu.  Jika ada anggota DAP hendak memasuki masjid, hendaklah bersifat seperti pelancong yang sentiasa sabar dan senyum dengan peraturan memasuki masjid. Jangan lagi ada anggota DAP yang bertindak agresif dengan laungan azan di mana-mana pun.  Dan yang paling penting, jangan menentang secara kasar hasrat Pas melaksanakan Hudud.  Gambaran DAP nanti akan melunakkan Melayu dan memudahkan orang Melayu mengundi Pas dengan syarat.  Syaratnya kemarahan orang Melayu akibat kerugian disebabkan banjir dan kenaikan harga barangan utama akibat dasar-dasar kerajaan BN berkekalan sehingga mereka memasuki pusat pengundian pada PRU-14.

Seseorang boleh mengubah pendirian politik dengan sebungkus roti, tidak perlukan bukti ilmiah berjela-jela. Siapa yang dapat menguasai emosi pengundi, dialah yang akan berjaya dalam politik.


Tulisan Dr Ridhuan Tee juga merupakan amaran terbuka kepada kerajana BN di Putrajaya sama ada bersedia untuk terus memerintah dengan memberikan keselesaan kepada rakyat terutama Melayu atau bersiap untuk mengemaskan semua barangan di semua kementerian.

Sebenarnya ini adalah zaman sukar kepada sesiapa pun yang berkuasa, termasuk PR di negeri-negeri yang dikuasainya.  Rakyat hanya mahu tahu yang selesa, tidak ada pengorbanan apa-apa.  Salahnya mereka yang memerintah sentiasa memberikan ikan untuk dimakan, bukan memberi pancing untuk rakyat memancing ikan. DAP Selangor pun sudah faham masalahnya di Selangor!

Khamis, Disember 19, 2013

AYUH baca Sirah Nabawiyah Ar-Rahiq al-Makhtum

SEMUA ada sejarahnya. Dengan mengetahui sejarahnya, jadilah sesuatu itu sangat bernilai. Nabi yang agung Muhammad Pesuruh Allah punya sejarah hidup dan perjuangannya. Mengetahui sejarah Nabi dan perjuangannya, tidak boleh hanya dengan duduk di hadapan seorang guru memasang telinga.  Selain berguru, yang lebih banyak ialah dengan membuat penyelidikan sendiri. Maka, bacalah sejarah Nabimu!


Syaikh Shafiyyurrahman Al-Mubarakfuri menghasilkan sebuah karya sejarah Nabi dan perjuangannya yang dikira lengkap.  Selama ini, kita mungkin hanya mengetahui siri peperangan dalam sejarah Nabi bermula dengan Perang Badar, kemudian Perang Uhud, Khandak dan pembukaan Makkah.  Buku Sirah Nabawiyah ini mencatatkan lebih daripada empat atau lima perang utama yang menjadi pengetahuan utama setiap muslim.

Misalnya, selain Perang Badar yang menyaksikan 313 tentara muslim mengalahkan 1000 tentera musyrikin Quraisy, ada Perang Badar kedua selepas Perang Uhud.  Perang Badar kedua memang dijanjikan oleh Abu Sufyan selaku ketua musyrikin Makkah. Dan Nabi telah membawa tentera jauh lebih besar daripada tentara Badar pertama.  Cuma, tidak berlaku pertempuran dalam Badar kedua, sebab Abu Sufyan memilih untuk mengelak perang dan membawa sejumlah besar tenteranya pulang ke Makkah.

Mungkin sebagian besar muslim hari ini membayangkan kehidupan Baginda Nabi s.a.w. di Madinah yang aman dan lebih senang, setelah melalui kepayahan hidup di Makkah.  Oh tidak rupanya. Madinah di kelilingi kabilah-kabilah yang masih belum memeluk Islam, maka sejumlah itulah musuh-musuh Nabi dan kaum muslimin di Madinah.  Di sana Baginda Nabi memimpin sendiri gerakan-gerakan mengertak atau memerangi kabilah berkenaan.  Maka tidak hairan apabila Baginda Nabi s.a.w. sangat berharap memenangi Perang Badar untuk menjadi senjata politik Madinah, menaikkan imej negara Madinah dan menggerunkan kabilah-kabilah yang bersikap permusuhan terhadap Madinah.

Antara perang atau penyerbuan yang paling rinci ialah tindakan terhadap semua kabilah Yahudi di Madinah.  Ulah kaum Yahudi tidak sempurna juga jika tidak diseret ulah kaum munafik bumiputera Madinah. Hampir semua sikap permusuhan Yahudi, di belakangnya ada peranan kaum munafik.  Malah ada waktunya Rasulullah mengambil kira juga permohonan maaf yang diajukan oleh kaum munafik terhadap kabilah Yahudi berkenaan.

Buku Sirah Nabawiyah Ar-Rahiq al-Makhthum dimulakan dengan penulis memberi gambaran geografi jazirah Arab dan kuasa-kuasa politik di sana.  Buku setebal 864 kaca diakhiri dengan babak Sifat dan Akhlak Baginda Nabi s.a.w. melalui kaca mata para sahabatnya. 

Yang lebih istimewa buku ini ialah terdapat komentar mengenai status peristiwa atau hadis, misalnya selepas usai Perang Uhud, Rasulullah memerintahkan Ali binAbi Talib untuk mengekori pasukan Makkah.  Kebimbangan Rasulullah ialah jika pasukan Makkah yang sudah melumpuhkan tentera muslim di Uhud tidak pulang ke Makkah sebaliknya menuju ke Madinah, sedangkan semua kekuatan pertahanan Madinah sudah kucar-kacir di Uhud.  Di situ Ali memberitahu bahawa pasukan musuh menuju ke Makkah.  Peristiwa ini terus diberi komentar sebagai dhaif dengan sekian jelah hujahannya.  Inilah keistimewaan buku ini, memberi ketepatan sumber sejarah.


Bacalah, sekalipun ada orang seakan curiga kepada orang awam membaca buku agama tanpa duduk menghadap seorang guru. Bacalah, kemudian berbicaralah dengan sejujurnya.

Isnin, Disember 16, 2013

BAGAIMANA imam solat sampai lima rakaat?

IMAM solat bisa saja tersilap.  Jika dalam solat Isyak, imam tersilap dan menamatkan solatnya pada rakaat ketiga, makmum mudah faham dan menambah satu rakaat lagi. Bagaimana jika imam tersilap sehingga menambah rakaat menjadi lima rakaat? Keadaan ini berlaku walaupun tidak selalu. Namun apabila berlaku makmum akan menjadi tiga golongan.


Pertama: Makmum menamatkan solatnya, bermakna keluar daripada berjamaah sebab imam masih dalam solat.

Kedua: Makmum terus duduk dalam tahiyat akhir sementara menunggu imam menghabiskan satu rakaat  dan dua sujud sahwinya.  Apabila imam memberi salam penamat solat, maka makmum golongan ini juga memberi salam menamatkan solatnya.

Ketiga: Makmum terus mengikuti imam membuat rakaat kelima.  Makmum golongan ini juga menuruti imam membuat dua sujud sahwi. Mereka mengikuti seratus peratus pergerakan imam sehingga tamat.

Daripada kes itu jelas tampat wujud tiga pendapat. Apa pun, hukum solat mereka tetap sah.  Sah, sama ada sebagai solat sendiri atau sah dalam solat berjamaah (bersama imam).  Cuma yang bisa dibicarakan ialah manakah yang sepatutnya diambil.

Saya cenderung memilih kaedah ketiga, iaitu mengikuti imam menghabiskan satu rakaatnya yang disangka rakaat keempat (sedangkan itu rakaat kelima).

Solat berjamaah ialah solat mengikuti imam. Dalam satu hadis Baginda Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya, “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti. Maka jika dia bertakbir, maka bertakbirlah kamu. Dan jika dia ruku’, maka ruku’lah kamu. Dan jika dia sujud, maka sujudlah kamu. Dan jika dia solat dengan berdiri, maka solatlah dengan berdiri.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ada satu lagi sabda Baginda Nabi yang diakhiri dengan, “Jika imam solat berdiri maka solatlah berdiri, dan jika imam solat secara duduk maka solatlah kamu semua secara duduk.” (Riwayat Al-Bukhari).

Dua hadis itu menjelaskan kewajiban makmum mengikuti apa saja pergerakan imam dalam solat.  Misal kata tiba-tiba imam cedera dan dia terpaksa duduk untuk sebagian solatnya (yang sepatutnya ada berdiri), maka makmum wajiblah mengikuti imam dengan duduk juga dalam semua bagian rakaat berkenaan.

Begitu juga bagi golongan yang berpendapat doa qunut dalam solat subuh itu tidak ada dalam sunah. Namun apabila imam membaca doa qunut dengan mengangkat tangan, maka makmum berkenaan wajib juga mengangkat tangan untuk doa qunutnya.  Semua ini tidak lain kerna menuruti hadis ‘makmum wajib menuruti imam’.

Ada satu lagi hadis nabi yang bisa diguna untuk menguatkan hujah bahawa makmum diminta mengikuti imam. Misalnya solat tarawih. Banyak juga orang berpendirian bahawa solat malam atau tarawih (Ramadan) itu maksimumnya 11 rakaat. Namun apabila mereka menjadi makmum kepada imam yang melakukan 23 rakaat, sangat bagus mengikuti imam sampai 23 rakaat.

Baginda Nabi s.a.w. mengatakan (maksudnya): “Siapa yang solat bersama imam sampai ia (imam) selesai, maka ditulis untuknya pahala qiyam satu malam penuh.” (Riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmidzi, Syeikh al-Albani dalam al-Irwa’ hadis no 447 mengatakan bahawa hadis ini sahih).

Mungkin pihak lain mempunyai hujah untuk menolak kaedah ketiga (sentiasa menuruti imam).  Terpulanglah pada pendirian dan pemikiran masing-masing, yang utama ialah kita kena faham bahawa setiap amal ibadah mestilah diketahui dalil atau hujahnya. Pilihlah mana dalil atau hujah yang kuat, iaitu yang paling menghampiri al-Qur’an dan Sunah Nabi s.a.w.


w.a.

Rabu, Disember 11, 2013

SEBUAH masjid bernama Masjid Muhammad Abdul Wahab

SEPATUTNYA sekarang sudah ada sebuah masjid yang dinamakan Masjid Muhammad Abdul Wahab.  Jika tidak ada negeri yang sanggup menamakan salah satu masjid yang bakal dibina, sepatutnya negeri Perlis mengambil inisiatif berkenaan.  Kalau masjid bereka bentuk tradisi Cina untuk membuka minda kaum Cina terhadap Islam, maka nama masjid Muhammad Abdul Wahab juga untuk membuka minda Melayu terhadap tokoh yang dimusuhi tanpa sebab-musabab!
Soalan: (17 Jun 2012)
Saya hendak bertanya tentang isu wahabi.
Jawapan Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Isu wahabi ini seperti cerita hantu “Jangan Pandang Belakang”. Tidak ada apa pun di belakang tetapi berasa sahaja seperti ada sesuatu. Ia sebenarnya ibarat satu hantu yang cuba ditakut-takutkan orang dengannya. Perkataan wahabi itu disandarkan pada nama Asy-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi rhm.
Asy-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab At-Tamimi rhm ini apa sejarah dan apa ceritanya? Beliau boleh dikatakan sebagai bapa kemerdekaan Saudi di mana hasil kerjasama beliau dengan Su’ud telah berjaya membentuk negara Saudi dengan menjadikan mazhab Hanbali sebagai mazhab utama dalam negara tersebut. Mazhab Hanbali ialah sandaran kepada Imam Ahmad bin Hanbal.
Setelah berjaya membentuk sebuah negara Saudi maka diletakkanlah mazhab Hanbali sebagai mazhab dalam negara Saudi sehingga ke hari ini. Muhammad bin Abdul Wahhab banyak menulis dan tulisan-tulisannya adalah tentang akidah, anti-syirik, anti-sihir, anti-tangkal, dan perkara-perkara yang mencacatkan akidah paling banyak yang ditulis. Antara tulisannya yang terkenal luas tersebar seperti Kitabut Tauhid, dan Ushulus Tsalatsah (Tiga dasar agama) yang dipetik daripada hadis Abdullah ibn Mas’ud RA,
من رضي بالله ربا وبالإسلام دينا وبمحمد نبيا وجبت له الجنة                                                                                
Maksudnya: “Barangsiapa yang redha Allah sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad sebagai Nabi, maka layaklah baginya Syurga.”(riwayat Imam Muslim)
Daripada itu beliau mengarang kitab Ushulus Tsalatsah (Tiga Landasan Utama) yang membahaskan bagaimana mengenal Allah, Rasul, dan Islam. Beliau juga menulis Kasyfu Asy-Syubuhat (Pembongkaran Syubhat-syubhat) yang membongkar kristianisasi dan triniti, tentang hak-hak wanita, memfokus juga pada isu-isu dalaman akidah dan sebagainya.
Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab ikon perpaduan di Arab Saudi
Beliau memiliki ramai musuh kerana apabila dibentuk negara Saudi sudah pasti berlaku banyak pertembungan dan peperangan, termasuk juga peperangan di antara ahli mazhab. Beliau bermazhab Hanbali, ada yang lain bermazhab Syafi’i, Hanafi dan Maliki. Di empat penjuru ka’bah mereka berpecah kepada 4 jamaah solat mengikut mazhab masing-masing. Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab melihat semua jemaah ini perlu disatukan dan menetapkan mazhab Hanbali sebagai mazhab rasmi negara. Sama seperti kita di Malaysia bermazhab Syafi’i.
Antara projek utama beliau ialah merobohkan kubur yang dibina lebih tinggi daripada yang asas, bukan membongkar kubur. Asas dalam hadis Nabi SAW, tinggi kubur hanya sejengkal daripada tanah dan diletakkan pada kepala kubur itu seketul batu sahaja sebagai tanda. Tetapi pada zaman itu kubur-kubur dihias. Sedangkan Nabi SAW telah mengutuskan Ali bin Abi Thalib RA dan Ali bin Abi Thalib mengutus Abul Hayyaj Al-Asadi untuk merobohkan mana-mana kubur yang tingginya melebihi sejengkal.
Maka Muhammad bin Abdul Wahab yang memahami hadis ini merobohkan kubur yang lebih tinggi. Orang yang tidak berpuas hati seperti golongan penyembah dan pemuja kubur menuduh beliau sebagai merobohkan kubur, walhal beliau bukan membongkar kubur ikut suka.
Beliau juga menyeru kepada mentaati pemerintah Islam yang sah, kerana itu beliau mempertahankan kerajaan Su’ud. Jadi disebabkan hal ini orang menjadi takut. Mereka menghentam dan mengeluarkan kata-kata yang keji dan dusta terhadap Muhammad bin Abdul Wahhab adalah juga kerana isu politik, selain daripada isu akidah.
Isu akidah adalah satu isu serius. Khususnya berlaku pertembungan antara golongan sufi dan Muhammad bin Abdul Wahab. Golongan sufi berpegang kuat dengan amalan seperti tahlil, nisfu sya’ban, Maulidurrasul, dan sebagainya. Muhammad bin Abdul Wahab tidak memperjuangkan isu-isu ini kerana penulisan beliau banyak menyentuh isu akidah. Namun pendekatan kerajaan Saudi pada hari ini mengambil langkah membahaskan isu bid’ah, isu hukum beramal dengan hadis lemah.
Memahami definisi bid’ah 
Sekarang kita bertengkar banyak isu-isu kecil berpunca daripada tidak selesainya takrifan apa itu bid’ah dan isu berhukum dengan hadis lemah adakah dibolehkan atau tidak. Jika diselesaikan dua isu ini, banyak isu lain akan selesai. Masalahnya sekarang takrif bid’ah hendak ikut takrif siapa?
Ada yang mengatakan hendak mengambil takrifan Imam Syafi’i. Baik, apa takrifan Imam Syafi’i tentang isu bid’ah?
“Bid’ah itu ada dua, apa yang bertepatan dengan as-sunnah itulah bid’ah yang terpuji, apa yang bercanggah dengan sunnah itulah bid’ah yang tercela.”
Ada yang mengatakan ingin mengambil takrifan bid’ah Imam Asy-Syathibi. Apa kata Imam Asy-Syathibi?
طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه
“Bid’ah itu adalah jalan yang direka cipta di dalam agama, penciptanya menganggap apa yang diciptanya itu sesuai dengan syariat, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.”
Ada yang berkata mahu mengambil takrifan Imam Al-Izz Abdis Salam yang mengkategorikan bid’ah kepadalima; wajib, sunat, makruh, haram, harus. Ada yang berkata hendak mengambil takrif Imam Nawawi, Ibnu Hajar, As-Suyuthi, dan lain-lain. Selagi isu ini tidak selesai nescaya banyak isu lain yang juga tidak akan selesai.
Walaupun kita berselisih, berbeza pendapat dan pandangan, janganlah sampai membawa kepada perpecahan. Perselisihan hendaklah diluruskan dengan etika dan adab, hormat menghormati antara satu dengan yang lain, barulah boleh hidup dalam harmoni. Perselisihan adalah perkara fitrah, Nabi sudah menyebutnya di dalam hadis, maksudnya:
“Barangsiapa yang hidup selepas kewafatanku akan melihat perselisihan yang banyak.” (riwayat Imam Abu Daud)
Kita berselisih dalam berpakaian, makanan, pilihan kasut, kenderaan, pilihan isteri, suami, begitu juga dalam agama ada juga yang kita berselisih. Ia tidak dapat dielakkan. Cuma hendaklah kita menggunakan kaedah yang betul agar dapat mengelakkan perpecahan, sebab semua perpecahan bermula daripada perselisihan, tetapi bukan semua perselisihan membawa kepada perpecahan.
Mengurus perselisihan agar tidak menjadi perpecahan
Bagaimana kita hendak menguruskan perselisihan antaranya adalah dengan cara hormat menghormati. Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pernah merobohkan kubur di Pulau Besar. Adakah JAIM wahabi kerana merobohkan kubur? Muhammad bin Abdul Wahab juga membuat perkara yang sama.
JAIS pernah menangkap Syiah. Gerakan Muhammad bin Abdul Wahab, gerakan Saudi yang dikatakan wahabi pada hari ini mereka melawan syiah habis-habisan. Syiah sangat membenci wahabi. Jadi adakah JAIS wahabi? Oleh itu janganlah kita mudah memberi label apabila melihat pihak lain menyamai tindakan di dalam beberapa perkara, melabelkan wahabi dan sebagainya. Ini semua cerita-cerita hantu.
Seperti yang saya katakan tadi, perselisihan adalah perselisihan. Bagaimana kita hendak meluruskan agar tidak membawa kepada perpecahan kerana perpecahan adalah suatu yang dibenci.

Sabtu, Disember 07, 2013

CACI-maki, hina, pukul, bunuh...imej baru muslim?

ADA pemuda dipukul hingga mati dalam masjid disebabkan dia mencuri wang tabung masjid. Ini memang berita. Sebenarnya sebelum ini pun sudah banyak berita pencopet dompet atau pencuri dibalasah oran yang marah.  Memang separuh mati jadinya. Pemuda yang mati dalam masjid dibelasah oleh siapa?  Sukar untuk dipercayai bahawa yang memukulnya ialah ahli jamaah solat subuh.  Orang yang bersusah payah melawan tidur dan mengharung kesejukan pagi untuk mendapat keredaan Allah di masjid menjadi hilang akal?  Seperti tidak mungkin.

Pemuda mati, ada empat disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksaan

Apakah golongan yang kerap ke masjid atau bertitel orang agama dianggap sebaik-baik manusia dalam masyarakat?  Saya pernah beranggapan demikian. Dalam budaya Melayu pun, orang agama berpangkat Imam, Bilal dan Ustaz merupakan antara ikon utama selain bomoh dan Penghulu.  Hari ini dengan adanya internet dan orang boleh menyerlahkan suaranya, terdedah juga sebagian perangai buruk yang dinamakan orang agama.

Masyarakat kita sebenarnya sangat sensitif dan mudah tersinggung.  Tersinggung ini biasa, tetapi menjadi marah kemudian memaki-hamun, lalu memukul orang yang dibenci memang menjadi masalah.  Dalam sistem demokrasi memang dibenarkan perbedaan pendapat dalam banyak hal.  Agama ini satu, itupun tidak dapat dibebaskan daripada mempunyai pelbagai tafsiran. 


Berlapang dada?  Orang yang menyuruh pihak lain berlapang dada pun tidak tahu berlapang dada. Ini ada beberapa contoh sikap agaresif orang agama yang lebih menyusahkan masyarakat, sebab dia membawa imej agama tetapi perwatakannya tidak boleh dijadikan ikutan umat.

'ustaz' yang suka memfitnah

kalau 'ustaz' boleh mencarut?

ayat orang agama

mujur saya dalam internet, kalau jumpa memang saya dipukulnya

Jadi fikirlah sendiri....

Khamis, Disember 05, 2013

SAMPAI dikata Ustaz Khinzir, tarbiyah mana?

HENDAK dikata apa lagi, Ustaz Kazim tidak mahu menjadi barisan pemimpin Umno. Dia tidak menjangka ditawarkan jawatan Majlis Tertinggi dan tidak pula sepantas kilat menolaknya.  Namun cukuplah dalam waktu yang singkat, antara pengumuman penawaran kepada Ustaz Kazim telah mendedahkan hati budi sebagian muslim terhadap muslim yang lain.





Barangkali Allah hendak menduga keimanan orang yang telah diberi gelaran ustaz, yang sangat dihormati oleh orang-orang Melayu.  Di situlah Sang Ustaz tersipu-sipu malu dengan mereka-reka cerita untuk memburukkan seseorang.

Barangkali Allah hendak menduga pengakuan mereka yang mengaku telah beriman dan hidup mati berjuang di jalan Allah, memberitahu sekian banyak orang bahawa dirinya berada dalam bahtera penyelamat.  Mereka tidak terlepas daripada gagal menyembunyikan sikap taksub kepada kabilah, kedengkian dan kebencian yang bersarang dalam hati.

Barangkali Allah hendak menjelaskan bahawa kita yang telah mendakwa sebagai muslim dan berharap orang lain mengikuti jalan kita sebaga muslim mestilah menuruti ajaran al-Quran dan Sunah.  Barangkali Allah hendak memberitahu kita yang selama ini kita perasan sendiri dan cepat bersangka buruk, dan malanglah sangka buruk itu disangka satu perjuangan Islam.

Ayat Allah ke-12 dalam surah al-Hujurat: “Wahai orang-orang beriman, jauhilah banyak buruk sangka, sungguh sebagian buruk sangka itu dosa dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan jangan antara kamu menggunjing (mengumpat) sebagian yang lain. (hingga akhir ayat).”

Akidah dan ibadah tidak menjadi milik mana-mana puak atau kabilah. Semoga kita terselamat daripada belitan syaitan yang menjadikan kesalahan kita sebagai amal makruf di sisi Allah.

w.a.

Ahad, Disember 01, 2013

PARTI Islam setelah konsert rock metal...

PARTI Islam Se-Malaysia (Pas) menarik untuk disorot, dijadikan objek bualan.  Bukanlah sejarah kehebatannya dalam politik, tetapi jenama dan perjuangannya yang meletakkan Islam.  Opps, bukan sahaja Islam dijadikan subjek, malah secara jelas dalam perlembagaan parti dinyatakan parti bepandukan al-Quran dan Hadis (Sunah).  Parti lawan Pas, Umno juga mendakwa parti Islam kerna dalam perlembagaannya dinyatakan ‘parti memperjuangkan Islam’.


Oleh itu orang yang berjiwa Islam atau bercita-cita melihat Islam dilaksana dalam semua ruang lingkup kehidupan, pastilah melihat Pas sebagai wadahnya.  Tambahan pula sepanjang perjuangan politiknya, Pas begitu vokal dalam membuktikan Umno hanya sebuah parti yang dianggotai orang Melayu. Bagi Pas Melayu jauh untuk dikaitkan dengan Islam.  Tidak hairan Pas berjaya menarik sejumlah orang yang berjiwa Islam, maksudnya yang keberatan melakukan kemaksiatan dan menyukai amalan agama.

Sebab itulah kerap sekali ahli, pendukung dan penyokong Pas meletakkan dasar dan ucapan para pemimpin parti sama seperti penetapan hukum agama. Pada tahun 1980-an dahulu, biasa saja apa yang dikatakan oleh pemimpin Pas sebagai satu hukum agama.  Mudahnya dengan konsep kepemimpinan ulama, peranan Dewan Ulamanya, Majlis Syuranya serta kewujudan jawatan Mursyidul Am sangat berjaya membentuk pemikiran orang bahawa apa yang dibawa oleh Pas adalah hukum agama.

Jika Haji Hadi Awang (waktu itu Naib Presiden Pas) berkata Pas mahu menghapuskan Hak-hak Istimewa Orang Melayu dalam Perlembagaan (1983) dengan alasan Islam tidak boleh membeda-bedakan antara Melayu dan bukan Melayu, tidak ada ahli Pas yang hampir semuanya Melayu membantahnya.  Kemudian apabila keluar ‘Amanat Haji Hadi’ yang menolak Perlembagaan Persekutuan (dikatakan perlembagaan penjajah), semua patuh.  Sampai ke tahap kalau berlawan dengan Umno yang didakwa mempertahankan Perlembagaan penjajah kafir, ditakdir mati, maka matinya mati Islam, anak muda Pas mana yang sanggup melepaskan ‘mati syahid’ (maksudnya mereka melawan Umno bermati-matian).  Kalau para pemimpin Pas memberi fatwa musik, konsert, hiburan dan sekutunya sebagai kerja ‘lagha’ atau maksiat kepada Allah telah dihazam dengan baik.  Sehingga ada pengulas pun memuji mudahnya perjuangan pas menanam kesetiaan kepada parti sebab apa yang menjadi hukum dalam agama juga menjadi hukum dalam Pas.

Kiranya Muktamar tahun 2013 yang baru boleh dijadikan satu titik tolak besar kepada Pas dan perjuangannya. Atas dasar Pas Untuk Semua dan mahu parti diterima semua golongan masyarakat khasnya anak muda, dalam Muktamar tahun ini diadakan satu konsert kumpulan rock.  Musiknya keras dan gayanya tentulah ‘sengit’.  Pelakunya tentulah berpakaian ketat seluar jeans lusuh dan berambut panjang.  Walhal sebelumnya pada bulan Ogos 2013 Pemuda Pas membuat bantahan keras Konsert Metalica kumpulan rock dari Amerika. Alasannya ialah music rock bukan budaya hiburan yang sesuai.  Kalaulah tidak kerana Pemuda Pas menerima hukum bahawa musik dan hiburan itu melalaikan umat daripada mengabdi kepada Allah, tentulah mereka ‘tak hingin’ membantah 100 paratus.

Maka November 2013 titik tolak baru.  Selepas ini Pas tidak akan membantah apa-apa jenis hiburan.  Dahulu zaman Amanat Haji Hadi jadi ‘akidah’ jangan sebutlah bab hiburan rock, musik dalam radio pun haram! Tambahan pula seorang ustaz yang sangat top sekarang sudah menjadi bintang filem pula. Kelak mesti gambarnya akan muncul dalam majalah Mangga dan digosipkan pula dalam ruang hiburan TV3.

Dalam situasi Pas yang sudah boleh mengundi orang bukan Islam sebagai pemimpin, menerima Perlembagaan Malaysia, melupakan Amanat Haji Hadi, menganjurkan pula konsert rock dan hiburan bermusik, Pas masih menuduh parti lawannya ‘menolak Islam’. Cukup menarik sebab pengikut tegarnya masih melihat ahli-ahli Umno sebagai menolak Islam atau munafik.

Pas berhak mengubah dasar atau pendekatannya. Saya pun tak nak salahkan.  Sepanjang perjuangan politiknya Pas senantiasa menekankan perjuangan hukum Islam. Sama ada zaman anti konsert rock/hiburan atau zaman menganjurkan konsert rock/hiburan orang akan melihat itulah sebenarnya hukum halal-haram Islam.  Maksudnya, orang awam akan faham hukum agama berubah-ubah, bukannya kekal seperti dalam kitab fikah.  Jadi orang ramai juga akan mendakwa, pada masa akan datang hukum juga akan berlainan.