Pengikut

Ahad, Mac 23, 2008

EMEL 11: Semayam lagi..bosan.

SAYA hanya hendak menjawab yang paling asas dalam emel antisalafi. Itupun setelah mengenalpasti betapa kelirunya dia dalam memahami wahyu dan pewahyuan. Antisalafi tidak akan faham apa yang saya tulis kerana memang dia bukan jenis yang hendak faham. Tulisan ini untuk menerangkan bagaimana kebodohan akan tersebar dan cuba dipaksakan kepada masyarakat. Maka saya rasa terpanggil untuk menangkis kerja-kerja yang menyusahkan umah dalam memahami agama.

Setelah semua hujah saya tidak sedikitpun mampu dijawab akhirnya dia mencabar saya memberi dalil atau bukti firman Allah yang menyebut “Allah bersemayam di Arasy”. Pembaca kena faham kehendak antisalafi ini. Maksud dia ialah beri bukti yang mutlak (bukan bermaksud) “Allah bersemayam di Arasy”. Saya istighfar dahulu sebab tidak terfikir ke tahap itu dia mencari helah dalam usaha mendakwa saya salah. Memang tidak ada sebaris pun ayat sebegitu dalam alquran sebab semua ayat alquran dalam bahasa Arab sedangkan “Allah bersemayam di Arasy” adalah terjemahan dalam bahasa Melayu. Saya minta maaf kerana hendak menulis ayat Arab dalam tulisan rumi. Antisalafi seolah-olah menuduh saya membaca ayat 4 surah as-Sajdah seperti ini: “Allaahul lazii khalaqas samaawaati wal ardhi wamaa baina humaa fii sittati ayyamin tsummas semayam alal arsy.”

Antisalafi memarahi saya pandai-pandai menukar kalimah astawa kepada semayam. Seolah-olahnya saya membaca alquran seperti yang saya catat. Lucu benar! Kamus Dewan memang memberi erti ‘semayam’ sebagai ‘duduk’. Namun budaya Melayu memberi hak yang berbeda kepada kata ‘semayam’ dan ‘duduk’.

Kita orang Nusantara terpaksa membuat terjemahan alquran daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Semua kalimah Arab yang mempunyai erti dalam bahasa Melayu mesti diterjemah ke bahasa Melayu supaya alquran yang difahami oleh bangsa Arab dapat difahami bersama oleh bangsa Melayu. Mana-mana perkataan Arab yang tidak ada dalam istilah Melayu akan terus dikekalkan dan diterima sebagai istilah pinjaman dalam Bahasa Melayu.

Kembali kepada ayat 4 surah as-Sajdah; Tsummas tawaa alal Arsy, Kalimah tsumma (kemudian) astawa (semayam) ala (atas) Arsy (Arsy) juga. Kalau diterjemah secara harfiah menjadi ‘kemudian bersemayam atas Arasy. Terjemahan permulaan ayat berkenaan ialah “Allah yang menciptakan langit dan bumi, serta antara kedua-duanya, kemudian Dia bersemayam di Arasy". Terjemahan ini sudah dijadikan terjemahan sejadi. Terjemahaan sejadi inilah yang menjadikan terjemahan alquran benar-benar hidup dalam kalangan bangsa Melayu sehingga dirasakan seperti Allah berfirman itu dalam Bahasa Melayu, sebab alquran telah dibumikan di Nusantara. Insya Allah saya akan menulis apakah erti membumikan alquran.

Semua kitab terjemahan alquran bahasa Melayu mencatat semayam sebagai ganti astawa / istiwa. Perkataan ‘semayam’ merupakan semulia-mulia perkataan untuk dipadankan dengan kalimah astawa. Penterjemahan ‘astawa’ kepada ‘semayam’ ini sebagai usaha memberi kefahaman kepada pembaca Melayu. Namun semua muslim sudah diikat dengan ayat 11 surah Syura dan ayat 4 surah al-Ikhlas yang mengatakan ‘Allah tidak sebanding atau setara dengan apa-apa’, maka membaca terjemahan ini: ‘Allah bersemayam di Arasy’ tidak langsung membayangkan Allah duduk seperti seorang raja di singgahsana. Kita orang Melayu seperti ulama salaf telah sedia maklum erti astawa / semayam (dengan kebesaraan Allah yang tersendiri). Kalau hal ini masih didebatkan, itu terpulanglah.

Perkara ini sudah beres sejak ratusan tahun lalu, tidak berbangkit pun. Cuma apabila ada orang macam antisalafi belajar di Jordan dan mengkaji akidah manhaj Muktazilah, bertemulah dengan frasa ayat “Allah wujud tanpa bertempat” maka bermulalah dikatakan orang Melayu menukar kalimah ‘astawa’ dengan ‘semayam’ yang ertinya duduk. Kepada golongan ini duduk bererti Allah duduk seperti manusia. Membayangkan Allah seperti manusia sudah menyamai kepercayaan bangsa Yahudi. Yahudi kafir maka siapa yang berkata Allah semayam (duduk) di Arasy, kafirlah seperti Yahudi itu. Pembaca boleh memeriksa semula contoh emel dia yang lepas-lepas.

Orang yang membayangan Allah duduk seperti manusia memang dia ‘mujasimah’ atau yang membayangkan Allah berjisim seperti manusia. Namun pemahaman akidah kita dari kecil pun tidak pernah diajar oleh ibu bapa atau guru-guru bahawa Allah dibayangkan seperti raja yang duduk di singgah sana. Guru dan ibu bapa secara mudah menerangkan ‘Allah tidak sama seperti apa yang dibayangkan oleh otak kita’. Ini menyamai prinsip ayat 11 surah syura dan ayat 4 surah al-Ikhlas.

Kadang saya seperti menyesal menulis hal ini kerana hanya pengulangan, tetapi mungkin ini akan menambah maklumat kepada pembaca lain. Sebarang kritikan, mestilah berdasarkan mana-mana tulisan saya yang tertera bukan andaian bahawa saya telah berkata dan menulis sesuatu sedangkan saya tidak terlibat langsung dengan wacana itu. Pembetulan terhadap tulisan ini amat saya hargai.

Wa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan