Pengikut

Selasa, September 22, 2015

SYAITAN, memang kamu setan!


SYAITAN tidak akan merayu imam masjid atau ahli agama ke sarang sundal, sekalipun memang syaitan tahu zina satu dosa besar yang boleh menyebabkan seseorang dihantar ke neraka. Syaitan tahu ada bahagian dalam kehidupan beragama itu yang boleh dijadikan dosa yang bakal menjadikan seseorang itu ke tempat siksaan paling sadis.  Dari sejelek-jelek dosa seperti berzina, meminum arak, syirikkan Allah sehingga yang tampak bagus seperti mempamerkan tubuh badan di khalayak dan membuat bid’ah agama, semua dalam pengetahuan dan perancangan rapi syaitan atau iblis.

Iblis telah berikrar dan pasti menunaikan ikrarnya. “Iblis menjawab, ‘beri tangguhlah saya sampai waktu mereka dibangkitkan’. Allah berfirman, ‘Sesungguhnya kamu termasuk yang diberi tangguh.’ ‘Kerna Engkau telah menghukum saya sesat, maka saya benar-benar akan (menghalangi) mereka daripada jalan Engkau yang lurus. Kemudian saya akan mendatangi mereka dari hadapan dan belakang, kanan dan kirinya.  Dan Engkau mendapati kebanyakan mereka tidak bersyukur (taat kepada-Mu).’ ” (maksud firman Allah ayat 14-17 surah Al-A’Araf)

Telah tegas dan sempurna peringatan Tuhan mengenai syaitan sebagai musuh utama manusia. “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka anggaplah mereka musuh (kamu), kerna sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (maksud firman Allah ayat 6 surah al Fathir)

Apa saja keburukan atau kejelekan adalah daripada syaitan.  Anak-anak yang malas belajar dan sekolah adalah kerna gangguan syaitan. Kelak anak-anak ini akan tercicir daripada sekolah, menjadi anak terbiar tanpa pengetahuan. Kebodohan mereka adalah atas usaha syaitan. Dengan kebodohan itu syaitan akan mendorongkan pula anak-anak itu (setelah besar) melakukan kerja-kerja jahat dan dosa. Mencuri dan menipu menjadi pekerjaan yang dipikirkan betul. Mencuri menjadi indah dengan panduan syaitan.

Syaitan pasti mempertahankan kesesatan beragama manusia termasuk yang melakukan syirik terhadap Allah.  Penyembah-penyembah berhala di kuil, tokong dan biara-biara sentiasa dijaga oleh syaitan agar istiqamah dengan kesesatannya. Sang manusia penyembah berhala dan musyrik itu tidak sadar kesesatannya, dan mereka merasakan keagamaan mereka benar dan indah. Tidak lain syaitan sentiasa memberi khabar palsu yang dilihat indah oleh manusia yang sudah disesatkan.

Tidak ada bedanya juga kepada ahli-ahli agama Islam, yang merasakan indah dan baik mempertahankan bid’ah.  Mereka sadar sedang melakukan bid’ah (perbuatan baru dalam agama) tetapi memberi khabar indah kepada orang lain dengan istilah keikhlasan kepada Allah dan hal-hal yang baik.

“Dan demikianlah berhala-berhala mereka (syaitan) menjadikan terasa indah bagi banyak orang musyrik membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka dan mengacaukan agama mereka sendiri.  Dan kalau Allah mengkehendaki, nescaya mereka tidak akan mengerjakannya.  Biarkanlah mereka bersama apa (kedustaan) yang mereka ada-adakan.” (Maksud firman Allah ayat 137 surah Al An’am)

Perkataan-perkataan yang indah juga dipilih supaya tidak dilihat haram atau dosa. Hubungan sulit menggantikan zina, faedah menggantikan riba, bid’ah hasanah menggantikan bid’ah, hak asasi berpolitik menggantikan perpecahan dan pelbagai lagi.


Demikianlah.

Selasa, September 15, 2015

MALAYSIA setiap 16 September



TANGGAL 16 September merupakan Hari Persekutuan Malaysia.  Negara persekutuan Malaysia terhasil  melalui gabungan empat wilayah iaitu Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada tanggal 16 September 1963. 

Gagasan Persekutuan Malaysia telah disebut awal oleh pemimpin Melayu, Dato Onn Jaafar pada jaman penjajahan British lagi.  Kemudian pada tahun 1961 Perdana Menteri Negara Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra telah menyebutnya semula di Singapura.  Rancangan Persekutuan Malaysia ialah Tanah Melayu, Singapura, Sabah, Sarawak dan Brunei.  Kemudian berlaku kemarahan oleh Parti Rakyat di Brunei dan Sultan Brunei menarik diri daripada menyertai Malaysia.

Persekutuan Malaysia

Yang paling mengesankan ialah Singapura. Pemimpin di Singapura  yang paling kuat menyokong Malaysia ialah Lee Kuan Yew.  Melalui proses pungutan suara di pulau itu, lebih 70 persen penduduk mahu Singapura menyertai Malaysia.  Di Sabah dan Sarawak, setelah melalui penyelidikan oleh Suruhan Jaya Cobbold dan Suruhan Jaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), majoriti besar penduduknya mahu menyertai Malaysia.  Namun Sabah dan Sarawak meminta beberapa kuasa autonomi untuk menjamin keutuhan negeri, lalu dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia.  Singapura tidak meminta apa-apa.

Maka tanggal 16 September 1963 telah rasmi negara besar Malaysia terhasil daripada kerelaan, pengorbanan dan tolak ansur empat wilayah: Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Perlembagaan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 telah dipersetujui menjadi asas penulisan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Cabaran pertama Malaysia ialah Konfrontasi Indonesia yang dilancarkan oleh Presiden Soekarno. Indonesia menuduh Malaysia merupakan negara penjajah baru apabila menguasai wilayah Singapura, Sabah dan Sarawak. Unit-unit tentara Indonesia telah digerakkan di sempadan Sabah, Sarawak termasuk ke Johor dan Selangor.  Komando tentera Indonesia juga didaratkan di Singapura, dan mereka terkorban!

Filipina juga membantah negara Malaysia dengan sebab Sabah dikatakan sebagai sebagian negara Filipina.  Alasan Filipina ialah timur Sabah dulunya dalam kuasa Kesultanan Sulu yang berpusat di Mindanao. Apabila Mindanao masuk Filipina, maka hukumnya Sabah mesti masuk Filipina.  Tantangan Filipina tidak gencar, hanya dengan suara.

Konfrontasi Indonesia tamat apabila Jeneral Soeharto menjadi Presiden Indonesia menggantikan Soekarno.  Tun Abdul Razak mewakili Malaysia dan Tun Adam Malik mewakili Indonesia menandatangani perjanjian tamat sengketa dua negara serumpun.

Singapura dipisahkan daripada Malaysia pada 15 Ogos 1965 disebabkan pemimpin di Singapura tidak memenuhi janji sewaktu membentuk Malaysia.  Jika dulunya Lee Kuan Yew menerima konsep perbedaan rakyat untuk peribumi dan bukan pribumi, setelah dalam Malaysia beliau kerap berteriak. Ini menjadi jalan permusuhan kaum. Tidak ada pilihan dari Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, maka Singapura dikeluarkan.  Mungkin semua sudah dalam rencana British dan Lee Kuan Yew sewaktu memulakan rancangan Malaysia. LKY menerima semua syarat untuk masuk Malaysia, kemudian berteriak-teriak untuk dibebaskan. Dengan itu beliau berjaya mempergunakan Malaysia untuk menaikkan diri sebagai salah seorang pemimpin sebuah negara.  Sejarah sedang mengadilinya.

Syukur kepada Tuhan, Malaysia terus berjaya sekalipun tetap menempuh cabaran.  Rakyat sudah faham, keutamaan adalah keselamatan dan kedaulatan negara. 


Terus maju Malaysia!

Selasa, September 08, 2015

ISLAM melarang beribadah di kuburan

beribadah di kuburan wali?
ANTARA kebimbangan Kanjeng Rasulullah s.a.w. terhadap umatnya adalah pemujaan kubur, terutama kubur orang-orang terkenal atau ahli agama yang sangat disanjungi sewaktu hidupnya.  Pemujaan ini tentulah menyembah kubur!  Itu ekstrim dan orang yang menyatakan ‘Tidak ada tuhan selain Allah ‘pasti tidak menyembah kubur!

Pemujaan kubur  juga berarti menjadikan kubur itu sangat istimewa, satu tempat yang sentiasa dikenang-kenang dan mesti diziarahi sebagai tanda sangat berarti dalam hidup atau kepercayaannya.   Penziarah akan duduk-duduk di sisi kuburan, membaca surah yasin, bertahlilan atau berwirid.  Bentuk ibadah itu dilakukan di atas kuburan itu kerna sangat yakin bahawa kuburan itu paling istimewa, dan dipercayai segala aktiviti keagamaan itu lebih disukai Allah ketimbang melakukan hal yang sama di rumah atau di masjid-masjid.

tilawatil qur'an di atas kubur?
Kemudian ditentu-tentukan hari berkumpul secara besar-besaran misalnya setahun sekali bertepatan hari lahir atau matinya.  Saat perkumpulan penziarah dalam gelombang besar, dirasakan jauh lebih afdal dan paling membawa rahmat Allah.  Dan akhirnya penziarah menjadi percaya ada keberkahan atau kebaikan-kebaikan dalam agama apabila berada dalam majlis besar-besaran di kuburan berkenaan.  Sesudah itu, mereka akan sanggup mati pula mempertahankan kuburan itu daripada ditutup atau mahu dipindahkan!  Apakah begitu ajaran Allah dan rasul-Nya?

Bahawa dahulu pada jaman jahiliyah ada orang alim bernama Al-Lata, berbakti memberi makanan kepada para jamaah haji. Kerna jasa dan sanjungan orang, kuburnya dijadikan tempat istimewa. Dibangunkan pula binaan yang bersesuaian dengan kehendak penziarah jaman itu. Lama-lama, berganti generasi, kubur itu dipuja dan dibuatkan pula patung sebagai tugu peringatan manusia bernama Al-Lata. Patung itu kemudiannya dipindahkan ke sisi Kaabah. Maka sempurnalah kesyirikan kepada Allah.

Bahawa Ibnu Abas r.a. berkata, “Rasulullah s.a.w. melaknat para wanita yang berziarah kubur dan orang-orang yang menjadikan kubur sebagai tempat ibadah, serta membuat penerangan di atasnya.” (HR Abu Dawud 3236, Ibnu Majah 1575, At-Tirmizi 320, An-Nasa’I 4/77 dan Ahmad 1/229)

Malah baginda Rasulullah s.a.w. juga bersabda (artinya), “Ya Allah, janganlah Engkau menjadikan kuburku sebagai berhala  yang disembah.  Alangkah murkanya Allah kepada orang yang menjadikan kubur-kubur orang salih sebagai tempat beribadah.” (Sahih, diriwayatkan oleh Imam Malik, Bazzar secara mausul dalam kitab Kasyful Atsar 440)

Membuat penerangan di kuburan pun dilarang Kanjeng Nabi s.a.w.  Hari ini banyaklah orang  berasa aneh jika setelah mengubur jenazah, lantas semua berdiri sebentar dan berdoa untuk keampunan si mati.  Setelah itu pulang.  Tidak, mereka tidak yakin sekadar itu, lalu mereka membaca surah Yasin, bertahlilan, berzikir dan membuat ucapan-ucapan pula di situ.  Ada ucapan memberitahu apa yang jenazah akan hadapi dan peringatan untuk manusia yang masih hidup.  Itulah yang dipercayai benar, walhal itulah yang dilarang oleh Kanjeng Nabi s.a.w.. 

Bukankah kita bersaksi Muhammad adalah Rasulullah?


Allahu ‘aklam

Isnin, September 07, 2015

SELAMAT Datang muslim ke Eropah


BANGSA Eropah senantiasa dalam perubahan!  Tanpa diduga kini, sebagian negara Eropah bersedia menerima pengungsi muslim dari Syria.  Bukankah sebelum ini sebagian negara Eropah seperti Perancis dan Jerman begitu pesimis dengan kehadiran masyarakat muslim sekalipun sudah menjadi rakyatnya.

Dahulu bangsa-bangsa Eropah bermusuhan, berperang  yang memakan korban puluhan juta. Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua dimulakan di Eropah.  Perang yang sangat mengesankandan merugikan itu tidaklah terlalu lama untuk dijadikan bahan sejarah sahaja, sebaliknya hampir semua negara di Eropah bersatu membentuk kesatuan.  Seakan-akan nasionaisme negara diketepikan untuk bersatu membentuk satu mata wang, satu pasaran tungal dan membuka sempadan negara kepada semua bangsa Eropah yang lain.  Keadaan itu membayangkan seperti benua itu tidak pernah dllanda perang paling  besar dalam sejarah manusia.

Sejarah hubungan Eropah dengan dunia Islam bukanlah sejarah indah. Perang Salib, jelas perlawanan antara Islam dan Kristian.  Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol ratusan tahun dahulu sebelum direbut kembali oleh kaum Kristian sebagian daripada sejarah tidak mesra antara Eropah dan dunia Islam.  Dendam Eropah terhadap Islam juga terbuka dengan pembunuhan kaum muslim di Bosnia oleh pengganas Serbia tahun 1990-an dahulu.

Hari ini Eropah membuka pintu yang luas kepada pengungsi atau penghijrah muslim!  Ini jelas sedang berlaku revolusi dalam pemikiran bangsa-bangsa di Eropah.  Dan perlu diingat juga bahawa rekod yang ada dan unjuran masa depan Islam adalah di Eropah. 30 tahun akan datang, kota-kota besar seperti London dan Paris bakal menjadi kota yang majoritinya muslim. Sama ada muslim yang berhijrah dari Asia atau daripada bangsa kulit putih sendiri.


Hanya bangsa yang berilmu sahaja yang sedia membuka minda untuk melakukan perubahan dalam hidup.  Bangsa Eropah tidak menoleh ke belakang untuk maju ke hadapan.  Zaman Gelap 1000 tahun dahulu, siri perang besar…cukup sebagai sempadan dan pengajaran.  Bangsa Asia… sebaliknya pula.  Persengketaan dan perselisihan menjadi agenda. Ada wilayah yang mahu merdeka sekalipun kecil sedangkan negara-negara Barat yang besar sedang membentuk kesatuan.