Pengikut

Jumaat, Oktober 29, 2010

PEMIKIRAN kita sama orang Afrika?

SEWAKTU menjadi Perdana Menteri Tun Abdullah mengatakan kemudahan hidup di negara adalah menyamai status dunia pertama, iaitu negara-negara maju tetapi pemikiran rakyat masih berada dalam kepompong dunia ketiga.  Mudahnya, apa juga kemajuan yang ada di Eropah, Amerika, Korea dan Jepun hampir semuanya sudah berada di  Malaysia, tetapi rakyat sebagai pengguna terlalu lambat untuk mengikuti arus kelajuan kemajuan.


Apabila negara-negara maju membina jalan raya yang tahan dan selamat penggunaannya, jurutera Malaysia pun menirunya agar negara kecil kita setaraf negara maju. Ya, kan Malaysia mahu dikenali sebagai negara maju pada tahun 2020. Tahan, lurus, dan enaknya jalan raya rupa-rupanya antara tempat mati utama.  Bayangkan kajian daripada International transport Forum di Perancis mendapati 24 orang daripada 100 ribu penduduk Malaysia mati kerana kemalangan di jalan raya! Bandingkan pula dengan di Britain iaitu 4 kematian bagi 100 ribu penduduknya.  Oh, jauh banget bedanya.  Oh ya, jangan lupa bahawa majoriti penduduk Malaysia beragama Islam yang dikatakan agama sempurna untuk menyelamatkan manusia dunia dan akhirat.  Kebanyakan penduduk Britain adalah beragama Kristian.  Ini bukan menuduh Islam salah, tetapi mahu penganutnya di Malaysia berfikir dengan betul dan jujur, kemudian membuktkan dakwaannya mengenai jaminan Islam itu!

Dalam politik pun kita berbangga dengan amalan demokrasi yang diimport dari Barat.  Kebanyakan orang melandaskan pemikiran dan kerjanya berdasarkan politik atau parti politik.  Di Amerika misalnya, menjadi perkara utama demokrasi berpolitik sebagai menguji kemampuan seseorang untuk menyerlahkan idea, dasar, pemikiran  dan tindakannya.  Apabila berlaku pilihanraya calon-calon bersedia untuk berdebat secara terbuka mengenai prinsip-prinsip yang diperjuangkannya.  Di Malaysia apa? Demokrasi politik adalah medan untuk melondehkan peribadi lawan masing-masing.  Lihat kempen politik di DUN Galas sekarang, sehingga calon Pas mencabar lawannya untuk berlumba lari dan lawan tarik tali!  Kah, kah, kah!  Ini sahajakah pendidikan politik yang diterima sejak negara merdeka?

Usaha kerajaan untuk mengembangkan pemikiran positif terhadap alam sekitar sangat bagus.  Melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerajaan berkempen supaya rakyat melakukan kitar semula.  Entah berapa juta ringgit dibelanjakan untuk membeli tong-tong sampah sebagai pusat pengumpulan kertas, plastik dan besi.  Apakah hasilnya kini? Hampas saja yang ada.  Kegagalan program kitar semula (yang sangat berjaya di negara-negara maju) merupakan terjemahan pemikiran bertaraf dunia ketiga seperti banyak negara di benua Afrika.  Sekali lagi disebut kebanyakan rakyat Malaysia adalah Islam yang mempunyai al Quran.  Banyak kali dibacakan ayat Allah menerangkan pembaziran adalah amalan syaitan. Dan semua orang Islam setuju dengan ayat ‘syaitan adalah musuh yang nyata’.

Orang Barat apabila berdebat ilmu, ilmu itulah yang didebatkan.  Kerana itu ilmuan mereka diberi geran kajian yang besar untuk meneroka apa saja disiplin ilmu.  Apa yang tidak dikaji oleh manusia dari Barat? Selain atas permukaan bumi, seolah-olah segala ceruk rantau dalam dasar laut pun sudah dikaji habis-habisan.  Di negara kita, kalau orang bercakap mengenai ilmu atau yang ilmiah sikit dan berbeda pendapat dengan kebiasaan, akan diserang peribadinya, bukan diserang idea dan pemikirannya.  Sama seperti dalam dunia politik, main serang peribadi. Sekurang-kurangnya seseorang akan ditanya: Awak siapa dan berani bercakap begitu?

Kita banyak retorik, cakap di kedai kopi saja…..

Sabtu, Oktober 23, 2010

HADIS lubang biawak untuk Umno dan Pas

KERAP dibacakan hadis ‘lubang biawak’ oleh para ustaz.  Saya sudah mendengarnya sejak remaja, khasnya apabila ustaz membicarakan mengenai akhlak orang muda yang compang-camping.  Berikut hadisnya.

Maksud sabda nabi s.a.w: Kalian akan mengikuti adat tradisi umat sebelum kamu sejangkal demi sejengkal. Sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak (pun), kamu akan mengikutinya juga.  Para sahabat nabi bertanya: Wahai Rasulullah, apakah mereka itu orang-orang yahudi dan Nasrani?  Jawab baginda Rasulullah: Kalau bukan mereka, siapa lagi?
(Hadis riwayat Abu Said al Khudri dalam Syaikh Salim Bin Ied al Hilali, Ensikopedi Larangaan Mengikut al Quran dan As Sunnah. Jld 1, ms. 269)

Tidak banyak yang mahu menyebut erti hadis ini bukan sekadar urusan agama dan akhlak. Maksud saya dalam soal ekonomi  dan politik, bukan sosial sahaja.  Budaya atau cara hidup sesuatu umat bukan hanya soal akidah (kepercayaan ketuhanan), agama dan bidang sosial.  Oleh itu rugilah kita jika tidak menyoroti soal yang lebih besar dalam tasawur Yahudi dan Nasrani yang juga menjadi ikutan kaum muslimin.


Hari ini bukan main ‘ganasnya’ kita satu kaum muslim berantakan.  Muslim yang memerintah dengan senang-senang dikritik secara terbuka, dibantah secara ganas dengan mengadakan demontrasi dan sebagainya.  Pihak muslim yang memerintah juga sama ganasnya terhadap muslim yang berada di luar kandang pemikiran politiknya. Demi menyelamatkan kuasa atau merebut kuasa, berantakan tak sudah.

Perdebatan, perkelahian, pertuduhan, pertengkaran, pulau-memulau, jatuh-menjatuh dan pelbagai perbuatan buruk (mereka tidak kata buruk) sesama muslim bukan wasiat Rasulullah dan para ulama salaf.  Lebih buruk kedua-dua pihak saling mendakwa golongan beriman dan pihak yang dipuji dalam al Quran manakala lawan muslim lainnya adalah seperti kaum munafik yang dikutuk Allah.

Alasan masing-masing sangat mudah: demi demokrasi dan hak asasi.

Siapakah yang menyuruh kita memakai amalan demokrasi dan hak asasi sehingga semua perbalahan dan perselisihan yang diharamkan oleh dalam al-Quran dikatakan halal dan dijadikan satu pesta, budaya dan cara hidup baru?  Islam tidak membuang demokrasi dan hak asasi, tetapi adakah demokrasi Islam dan hak kebebasan itu membenarkan permusuhan sehingga kekuatan umat menjadi bonyot? Bobrok! Bejat!

Jelas, demokrasi yang kita gunakan betul-betul diambil daripada amalan tradisi atau budaya ahli kitab iaitu Yahudi dan Nasrani.  Demokrasi Berparlimen di Malaysia berasaskan Britain, yang mengkanunkan dalam Perlembagaan Persekutuan tahun 1956.  Britain itu Nasrani dan ditunjangi Yahudi. Kerana kita muslim menerima cara ahli kitab ini, atas nama kebebasan dan demokrasi maka sesama muslim berantakan.  Pernah di kaca TV seorang wakil bukan Islam di hadapan wakil Pas dan Umno bertanya kepada kedua-duanya: Mengapa Pas dan Umno bermusuh-musuhan walaupun sesama parti Islam.  Tidak ada jawaban di depan wakil bukan Islam dalam forum itu.

Kalaupun benar sistem demokrasi berparlimen itu sudah dilembagakan, tidakkah para pemimpin umat sedar bahawa al-Quran dan Sunnah mengatasi birokrasi ciptaan Yahudi dan Nasrani itu.  Tidakkah soal perpaduan sesama umah demi kesatuan umah menjadi keutamaan berbanding persaingan untuk siapa paling berkuasa.

Benar, benarlah adat Yahudi dan Nasrani melalui sistem politik demokrasi berparlimen dituruti dengan setulusnya oleh kita kaum muslim.  Sekalipun sedar perbalahan itu haram, dikira maksud masuk lubang biawak…., entah apa yang difikir oleh para ulama muslim.  Sangat malang kepada umah pula apabila ada segelintir berstatus orang agama, atau ulama menjadi pemain dalam perbalahan dan membejatkan kesatuan umah.  Golongan ini sanggup ranapkan kesatuan umah demi demokrasi yang dibina oleh Yahudi dan Nasrani.

Maka syaitan pun tertawa sepuas-puasa hati.

Jumaat, Oktober 22, 2010

BUSANA muslimah?


BIARLAH foto bercerita kepada kita. Foto ini dikatakan menjadi isu, sensitif kepada muslim. Background kelihatan Islamic festival fashion, dan ada paparan kalimah muhammad dalam pelbagai dimensi pada pakaian peragawati.  Anda tahu menilainya.  

Cuba kita berfikir sama, pernahkah kita mengambil logo salib dan membuat pelbagai demensi sama ada atas nama sindir, sinis atau provokasi?

Rabu, Oktober 20, 2010

MENCARI si sombong






 MARI kita perhati satu maksud hadis Rasulullah.

"Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari kesombongan". Lalu seorang lelaki bertanya, "Sesungguhnya lelaki menyukai apabila baju dan sandalnya bagus (apakah ini kesombongan)?" Beliau menjawab: "Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan, kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia" [HR Muslim no. 131]


Sombong, antara budaya dan di sisi Tuhan.  Hadis di atas memberi dua pengertian.  Kebiasaan, apabila ada orang yang dikira sukar digauli meskipun sebelumnya mudah saja, maka akan ditakrif sebagai orang yang sombong. 

Kemudian, mengenai kesukaan golongan lelaki berpakaian cantik di khalayak juga menimbulkan sangkaan sebagai perilaku sombong.  Sangkaan itu ialah orang yang suka berpakaian bagus atau baru  dikira untuk menjadi tontonan dan akan mengeji mereka yang berpakaian kusam atau lama.  Itu yang ditanyakan oleh sahabat Rasulullah. Baginda nabi menolak anggapan itu, dengan mengesahkan perilaku lelaki berkenaan. Allah itu sifatnya indah dan menyukai keindahan.  Fahamlah, antara isi ajaran Islam ialah berpakaian bagus, yang berkualiti, yang indah dipandang mata.  Sebaliknya Islam tidak menyukai orang yang sengaja memakai pakaian kumal, bertampal-tampal dan semacam yang buruk kerana menganggap bencikan dunia dan cintakan akhirat, walhal dirinya mampu memiliki pakaian yang bagus dipandang mata.

Erti sombong di sisi Allah ialah menolak kebenaran dan meremahkan manusia.  Menolak kebenaran setelah dihidangkan dalil dan hujah yang sah di sisi Allah dan rasul-Nya, namun masih mencari helah dengan mengatakan: Jadi orang lain itu salahlah.  Kamu hebat sangatkah? Kamu hendak mengatakan perbuatan baginda raja tidak betul? Nenek moyang kita selama ini salah?

Setelah membuat dalih helah bersandarkan peribadi yang besar, hebat, jumlah yang besar, si sombong (si sisi Allah) akan menghina orang yang memaparkan dalil kebenaran.  Biasa kedengaran ayat-ayat:  Hidung masih keluar hingus, nak mengajar orang.  Baru belajar sebulan sudah hendak menegur orang tua.  Ayat-ayat ini semata-mata memandang rendah orang yang menyampaikan dakwah. 

Bukan semua yang berlawanan dengan kebiasaan itu salah, atau yang sedikit itu betul dan banyak salah.  Tidak kurang perkara yang besar adalah betul dan kecil sebagai salah.  Isunya ialah, benar atau salah di sisi Allah dan rasul-Nya, letakkan di timbangan Allah dan rasul-Nya.  Tinggi, hebat, hina dan papa kedana pun kita, letakkan pangkat itu di luar dan menyerah diri kepada Allah dan rasul-Nya.  Aahhhh..., ini yang susah, sebab kalau sudah hebat, ada pengaruh dan tinggi darjat akan malu jika diketahui ada cacatnya, walau benar di sisi Allah.

Sabtu, Oktober 16, 2010

MINORITI dalam majoriti

WALAUPUN kita hidup dalam dunia majoriti masyarakat muslim, namun diakui juga ada kalanya segelintir berada dalam lingkungan minoriti.  Dalam komuniti Melayu, ada keseragaman termasuk pemahaman hal agama.  Itu majoriti. Dalam majoriti beragama orang Melayu inilah, ada kalanya seseorang berstatus minoriti, tidak menyertai arus perdana yang majoriti.

gambar hiasan saja

Ada hal yang memang segelintir orang disahkan sebagai kumpulan minoriti tetapi kumpulan majoriti tadi tidak mengganggu apa-apa, malah mereka menerima ‘kemahiran’ puak minoriti meneruskan dunia hidup minoritinya. Misal, kerana pegangan kepada sunah, kumpulan minoriti kerap berulang-alik ke masjid untuk mendapatkan solat berjemaah kecuali dalam keadaan terpaksa (atas nama kelemahan diri).  Majoriti masyarakat muslim Melayu bukan bersama berulang-alik ke masjid,  namun majoriti itu sangat menghormati hak minoriti di masjid saban waktu.

Ada hal yang yang minoriti tetapi kedudukan mereka tidak diiktiraf oleh kumpulan majoriti.  Paling mudah ialah keputusan seseorang tidak menyertai acara-acara solat hajat sedangkan dalam budaya beragama masyarakat Melayu itulah antara  trademark sosialnya. Dalam hal ini nampaknya kumpulan majoriti tidak faham, kerana bagi mereka sesiapa saja antara ahli komuniti Melayu mesti menyertainya, kerana begitulah adatnya.  Maka seseorang menghujah mudah: jadi Tok Guru yang buat solat hajat itu salahlah?

Mengapa kita tidak belajar memahami pilihan yang orang lain seperti masyarakat majoriti memahami minoritinya sebagian kecil muslim dalam masjid.  Pada hari Isnin dan Khamis pula banyak menyertai golongan majoriti yang tidak berpuasa sunat, tetapi tidak membuat bandingan berkonflik kepada puak minoriti yang berpuasa sunat itu.  Berpuasa hari itu adalah sunah, ibadah yang menepati sunah. Meninggalkannya tidak pula berdosa.

Faktor utama masalah antara majoriti dan minoriti dalam satu komuniti masyarakat ialah pemahaman dan penerimaan.  Yang majoriti tak mahu solat di masjid, faham dan menerima hukum agama orang bersolat sendiri di rumah sebagai kecil nilainya.  Di masjid, entah berapa ribu kali penceramah menyeru orang supaya bersolat di masjid. Malah perli dan sindir pun berlaku juga agar kumpulan majoriti itu ke masjid.  Kumpuan yang di rumah faham, reda dan menerima dengan aman.  Itulah keanehahnya.

Bilakah yang majoriti akan faham kumpulan minoriti tidak mahu bersama ribuan insan yang melakukan solat hajat berjamaah. Kumpulan minoriti ini suka hal beribadah kepada Allah, namun mahukan dalil yang jelas. Tanpa dalil jelas, mereka meninggalkannya.  Meninggalkan solat hajat berjamaah itu adalah pilihan yang baik, dan menjaga sunah nabi. Itu pemahaman seseorang dan kumpulan minoriti. Hal ini menyamai seperti yang minoriti berada di masjid kerana sunah.

Harap, janganlah dibandingkan secara konflik: Siapa benar kamu yang tak ada digri agama dengan Tuan Guru?  Atau, kamu seorang tidak buat sedangkan semua orang buat, salahkah semua orang itu?  Cuba jejaki isu sebenar dengan kejujuran, bukan sentimen. Ini bukan diskusi politik.

Sabtu, Oktober 09, 2010

LARANGAN berniaga dalam masjid

KERANA menghargai sekolah dan hasrat psikologi anak yang akan menduduki peperiksaan, saya gagahkan juga pergi ke sekolah anak sejauh 100 km.  Sekolah mengadakan tazkirah untuk para calon peperiksaan  dan ibu bapa yang hadir sama. Hasrat tazkirah sebagai peringatan bagus, dilaksanakan dalam surau pun bagus.

Saya ingin mendengar tazkirah yang dapat meruntun jiwa anak muda, yang dapat menyebakkan rasa di dada ibu bapa supaya terasa benar ada tanggung jawab besar di hadapan.  Untuk itu, lazimnya isi tazkirah sangat menusuk kalbu.  Pengalaman saya, tidak kurang guru kaunseling atau yang kerap menjadi motivator berjaya mengalirkan air mata anak remaja walaupun tazkirahnya bukan di malam gelap.
 

Kesilapan pihak sekolah anak saya ialah tidak memberi tajuk atau garis panduan kepada ustaz yang dipilih. Masalah lain ialah ustaz ini bukan guru yang terdisiplin dalam bidang pendidikan, kerana itu tazkirah beliau untuk pendidikan (saya fikir bukan tazkirah tapi promosi diri dan dagangan) tidak jelas hujung pangkalnya.  Lebih sejam, surau menjadi hingar-bingar dengan ketawa kerana ustaz berlakon sebagai penyanyi dan penceramah.  Sebagai guru, saya tahu ke mana fokus wacana sama ada tulisan atau lisan. Maafkan saya.


Kemudian, ditambah 15 minit terakhir (menjadi sejam 15 minit), ustaz mempromosi barang dagangannya.  Oh, betul-betul di luar pintu surau sudah ada krewnya membuka gerai niaga.  Hilang segala rasa hormat dan percaya terhadap seorang bergelar ustaz yang katanya lulusan dari luar negara.  Cara yang digunakan selama lebih sejam betul-betul bagai pegawai pemasaran.  Selama sejam membentuk keyakinan terhadap khalayak, kemudian dia mengeluarkan prosuk jualannya. Nah, habis licin berkotak-kotak madu ukuran setengah liter.  CD ceramah beliau juga menjadi pilihan.

Kalau paman saya yang menjual ikan kering menggunakan masjid atau surau untuk melariskan dagangannya, pasti dikutuk masyarakat.  Kalau yang pakai serban membuat kerja ini, disanjung pula.

Mulia atau keji berniaga dalam masjid?  Lihat maksud sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh  Abu Hurairah (hadis sahih, diriwayatkan juga oleh Imam Tirmizi, Ad-Darimi dan Al Hakim): Jika engkau melihat seseorang berjual beli dalam masjid, maka katakan kepadanya ‘semoga Allah tidak memberi untung dari jual-belimu.’

Cukuplah peringatan Nabi sebagai haramnya melakukan perniagaan dalam masjid.  Perniagaan ini termasuklah membuat promosi, sekalipun pengambilan barang dan pembayarannya di luar dewan solat atau halaman masjid.  Janganlah seperti kaum Yahudi apabila Allah haramkan menangkap ikan pada hari Sabtu, mereka membuat perangkap ikan sehari sebelumnnya dan ikan yang  terperangkap pada hari sabtu diambil pada hari berikutnya. Taktik itu tetap salah dan mereka dihukum keras oleh Allah.

Semoga ada peringatan bersama, maka pilihannya kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

Jumaat, Oktober 08, 2010

AYAT 79 al-Wa'qiah haramkan sentuh al-Qur'an tanpa wuduk?

MENJADI kefahaman umum dan luas dalam kalangan umat Islam Nusantara menghukum haram jika dalam keadaan hadas besar atau kecil menyentuh al-Quran.  Dalam majalah SOLUSI isu 24 juga seorang ustaz menjawab soalan pembaca berkaitan hal ini.  Panel penjawab soalan itu telah memberikan pendapat-pendapat ulama mengenai pangharamannya. Antara petikan dalam kolumnya ialah pendapat ulama yang disertakan dalil al-Quran ayat 79 surah al-Wa’qiah sebagai sandaran utama pengharaman daripada Allah.  Ayat itu bermaksud: Tidak boleh menyentuhnya kecuali orang-orang yang suci.  Maksud ayat itu saya tulis tepat berdasarkan yang dicatat dalam majalah Solusi muka surat 43.

Ayat yang sama dalam Tafsir al-Azhar oleh Hamka ialah: Tidak dapat menyentuhnya kecuali orang-orang yang telah disucikan.

Ayat yang sama dalam Al-Quran dan Terjemahannya (Bahasa Indonesia) hadiah kepada semua jemaah haji tahun 2001 daripada Pelayan kedua Tanah Suci, Raja Fahd Ibd Abd al Aziz al Saudi: Tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan.


Benarkah maksud ayat berkenaan ialah Allah tidak memberi izin al-Quran disentuh (dipegang / dibawa ke mana-mana) kecuali seseorang itu suci daripada hadas. Erti mudah, mesti berwuduk barulah halal menyentuh al-Quran.

Terjemahan dalam majalah Solusi nampaknya seperti tepat untuk memberi faham bahawa Allah melarang (haramkan) al-Quran disentuh oleh orang tidak ada wuduk.  Tetapi terjemahan yang biasa ditemui dalam mana-mana edisi terjemahan Bahasa Melayu / Indonesia ialah frasa ayat orang-orang atau hamba-hamba yang DISUCIKAN. Perkataan disucikan ialah terjemahan daripada kalimah muthaharuun.  Jika diertikan orang berwuduk, tentulah terjemahannya ialah orang-orang yang menyucikan dirinya, iaitu kata kerja transitif. Manusia melakukannya sendiri.  Kalau erti disucikan, itu ialah kata kerja intransitive atau manusia diperlakukan, manusia disucikan (diwudukkan oleh siapa?)  Mungkin dianggap manusia muslim sudah suci zahir batin kerna beriman dengan Allah, maka orang kafir dilarang menyentuh al-Quran.  Jika itu pilihan erti sebenar, tidak pula boleh dikaitkan dengan dalil haram menyentuh al-Quran tanpa wuduk.

Dalam tafsir al-Azhar, Hamka ada mencatat mengenai sebab ayat 79 (dan ayat-ayat sebelumnya) diturunkan.  Beliau mencatat daripada Ibnu Zaid bahawa kaum kafir di Makkah menuduh al-Quran diturunkan kepada syaitan. Maka turunlah ayat ini (bermula ayat 75 hingga 79).  Kita lihat maksudnya:  Aku bersumpah dengan tempat beredarnya bintang-bintang. Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang sangat besar kalau kamu mengetahui.  Sesungguhnya al-Quran itu adalah bacaan yang sangat mulia.  Pada kitab yang terpelihara (di Lauhul Mahfuz).  Tidak menyentuhnya kecuali hamba-hamba yang disucikan.

Hamka mengatakan sumpah Allah sangat besar kerana mempertahankan kesucian al-Quran daripada tuduhan sudah disentuh oleh syaitan.  Sumpah itu dengan edaran bintang (selalunya bintang dijadikan petunjuk perjalanan malam/gelap).  Allah menyatakan al-Quran terjaga rapi (di Lauhul Mahfuz) dan hanya diberi hak kepada malaikat untuk menyentuhnya. Daripada Jibril, al-Quran dibawakan kepada Rasulullah. Malaikat adalah hamba-hamba Allah yang disucikan Allah, taat setiap detik.

Oleh itu ayat 79 patut dibaca bersama ayat-ayat sebelumnya untuk diketahui maksud sebenar.  Daripada itu tidaklah tepat ayat 79 dijadikan dalil haramnya orang dalam hadas memegang al-Quran. 

Wacana ini hanya membincangkan pemilihan ayat 79 surah al-Wa’qiah sebagai dalil berwuduk.  Mengenai adanya hadis-hadis lain sebagai jalan menguatkan hukum itu, tidak bermaksud dibincangkan di sini.  Isunya ialah pemilihan ayat alquran yang tidak tepat untuk sesuatu hujahan.
Wallahu aklam.

Isnin, Oktober 04, 2010

MAKA berduyun-duyunlah solat hajat....

YANG mudah ialah mengikut sahaja apa yang disarankan oleh seseorang.  Untuk menambah kepuasan yang diikuti itu betul, hanya perlu sandarkan kepada peribadi yang mempelawa kita melakukan itu dan ini.  Mudahnya, lihat siapa orangnya dan terimalah apa yang disarankan, kemungkinan betul sangat tinggi.

Itulah sangkaan atau kebenaran berdasarkan agakan.  Berapa banyak pendirian kita dalam hidup rupa-rupanya hanya bersandarkan sangkaan atau dugaan, bukan keputusan kita setelah melihat ketepatan berdasarkan hujah.  Begitulah entah berapa lama kita menerima sahaja tanpa membahas betul atau salahnya, walaupun apa yang kita terima itu terpaksa memakan kos wang ringgit.  Malah kadang-kadang setelah tahu perkara yang dilakukan tak berguna, tetapi kerana ada kos, dilihat sebagai perkiraan lain.  Mengkaji tabiat manusia, banyak juga manusia yang suka membayar sesuatu atau memilih yang tinggi bayarannya untuk dilihat sebagai bergaya.  Bergaya kerana dianggap kaya dan mewah.


Hal sangkaan, disangka betul dan sah…, lihat maksud firman Allah dalam surah Yunus ayat 36: Dan kebanyakan mereka tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan kebenaran (iktikad).  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

Berapa lama kita menyangka penerimaan beragama berdasarkan sangkaan, selama itulah kita tidak meletakkan agama berdasarkan ilmu.  Orang menyangka melakukan solat hajat ketika terlalu ingin mendapatkan sesuatu itu sebagai ajaran tulen agama, maka berduyun-duyunlah mereka melakukannya.  Mereka sangka Rasulullah dan para sahabatnya melakukan solat hajat berduyun-duyun.  Mereka sangka sebaik-baik penerimaan permohonan adalah dalam solat hajat yang meriah itu. 

Perhatikan cara solat hajat itu dilaksanakan sebagaimana yang diajarkan oleh si pengendali.  Setiap orang seperti mempunyai versinya tersendiri, tidak pernah membawakan dalil hadis-hadis Rasulullah, walhal antara maksud hadis nabi yang diketahui ialah: Solatlah kamu sebagaimana melihat aku solat. Hadis riwayat Bukhari.

Ada satu hadis (tarafnya tidak sahih) digunakan sebagai sandaran untuk melakukan solat hajat iaitu hadis riwayat Imam Ahmad bermaksud: Rasulullah bersabda ‘sesiapa berwuduk dan menyempurnakannya, kemudian mengerjakan solat dua rakaat dengan sempurna, apa saja yang dimintanya akan diberi oleh Allah baik cepat mahu pun lambat.

Dalam buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (2008) dicatatkan  mengenai ulama-ulama hadis yang menerangkan putusnya sanad hadis ini kerana ada perawi bernama  Yahya bin Abi Kathir (seorang tabi at-Tabi’en) meriwayatkan terus hadis itu daripada seorang sahabat nabi bernama Yususf bin Abdullah.  Sepatutnya untuk sanad yang bersambung mestilah ada seorang bertaraf Tabi’en antara Yahya  dan Yusuf.

Maka difahamilah, keadaan solat hajat ala-Malaysia tidak ada dilakukan oleh para generasi salaf iaitu dalam tempoh kira-kira 250 tahun selepas kewafatan Rasulullah.  Yang banyak difahami ialah solat sunat mutlak sebanyak dua rakaat, bukan dikhaskan namanya solat hajat.  Maka jelas solat sunat ini tidak dilakukan secara berjamaah.

Wallahu aklam.

Jumaat, Oktober 01, 2010

CARA urus: mahu syura atau diktator?

MENGURUS manusia tidak semudah mengurus sekandang kambing.  Oh, ada yang membuat analogi lebih ‘ganas’ menjaga sekandang kerbau lebih senang daripada menjaga seorang anak gadis.  Saya  tak campur tangan dengan analogi itu.


Sejak menjadi ketua NGO paling kecil di dunia, saya terpaksa berurusan dengan kerenah manusia. Manusia memang cerewat dan mahu dirinya menang saja.  Apabila dirinya mesti menang, mestilah ada pihak yang kalah atau rugi. Tak mengapa, saya pun faham itulah antara sifat manusia sejak dijanjikan kepada malaikat apabila Allah hendak menciptakan manusia yang tinggalnya di bumi.

Yang manusia tidak berapa tahu bahawa semua kehidupan mempunyai kosnya.  Mengurus manusia memerlukan kos, dan semakin rumit menyelesaikan urusan  berkenaan maka semakin tinggi kosnya.  Ini bererti semakin banyak kerumitan dan berulang-ulang, semakin tinggi kos yang ditanggung.  Kesilapan juga menelan kos. Semakin banyak kesilapan juga semakin banyak kosnya. Tidak bijak membuat keputusan juga menambah kos.  Oleh itu untuk mengurangkan kos, maka kurangkan  kerenah, kesilapan dan ambil satu keputusan mudah saja.

Dalam mengurus organisasi, bukan semua mahu bersetuju dengan syura.  Kerana sifat manusia yang tidak sama maka cara penerimaan hasil mesyuarat juga tidak sama.  Semakin lama hidup dalam dunia pengurusan manusia, semakin banyak menemui tindakan manusia yang tidak diputuskan dalam syura.  Apabila dicadang tidak perlu mengadakan syura kerana dalam sistem diktator pun urusan manusia boleh dilaksanakan, banyak yang mahukan syura, yang demokrasi dan sumbang saran idea.

Penilaian saya dalam pengurusan ini ialah:  Demokrasi atau mengadakan syura adalah satu pilihan bukan wajib.  Tidak semua manusia yang diurus pentingkan keindahan syura, sebaliknya mereka hanya mahukan hasilnya. Hasil yang tinggi kualitinya tidak semestinya produk syura, malah boleh  keputusan oleh seorang diktator.