Pengikut

Rabu, Disember 26, 2012

MANDI Safar tidak laku lagi......


DI Sabak Bernam, saya hanya mendengar ada orang melakukan Mandi Safar sewatu saya kecil.  Sekali itu sahaja saya mendengarnya dan selepas itu, yang didengar ialah kritikan oleh ahli agama bahawa amalan Mandi Safar adalah amalan khurafat dan syirik!.


Bukan mahu bersunat, Mandi Safar (2011) di Pulau Lingga

Dalam adat Melayu Nusantara, Mandi Safar ialah acara mandi ritual yang dikaitkan dengan agama Islam, berbaur dengan kepercayaan  Melayu kuno selain satu keseronokan berkarnival!  Ritual Mandi Safar hanya dilakukan pada hari Rabu terakhir bulan Safar tahun Hijriah.  Apa tujuannya?  Pengamalnya percaya bahawa bulan Safar lebih banyak membawa keburukan, maka mereka melakukan Mandi Safar sebagai ikhtiar menolak bala atau bencana keburukan  itu.  Kepercayaannya, dengan melaksanakan Mandi Safar di bilik mandi, parit, sungai atau tepi pantai dengan niat menolak bala bencana, maka Tuhan lebih mengkabulkan!

Ritual Mandi Safar tidak lagi popular di Tanah Melayu, tetapi masih diamalkan di pantai timur Sabah, khasnya dalam kalangan keturunan kaum yang datang dari Mindanao.  Namun di kepulauan Melayu lain wilayah Indonesia, Mandi Safar menjadi satu acara tahunan yang meriah, seperti meriahnya orang Melayu di Malaysia menyambut Maulidur Rasul.

 seorang imam membuat siraman Mandi Safar, membuang sial di Teluk Likas, Sabah.

Orang Melayu di kepulauan Riau Lingga dan Jambi misalnya, menjadikan Mandi Safar satu adat Melayu yang dilibati semua pihak.  Acara itu dimasukkan dalam kalendar sambutan adat tahunan.  Para Penghulu, Ketua  Desa, Imam, guru-guru serta kebanyakan ahli masyarakat akan menjayakannya.  Hari Rabu itu sangat istimewa.  Orang-orang kenamaan dalam majlis rasminya memakai pakaian sut Melayu seperti para kenamaan orang Melayu di sini menyambut Maulidur rasul.  Para kenamaan itu yang memulakan acara dengan menyiram mandi anak-anak atau yang lebih muda. Di pantai ada acara mandi beramai-ramai dengan niat menolak bala.

 Mandi Safar di sungai, salah satu adat di Indonesia

DI Pulau Lombok misalnya Mandi Safar disebut ‘Rebo Bontong’. Pengamalnya percaya mandi pada Rebo Bontong adalah sebagai penyucian, satu persiapan menyambut Maulidur rasul!  Masih dikaitkan dengan agama Islam!

Saya yakin kebanyakan orang Melayu dari Malaysia akan geleng kepala, sebagai tanda tidak setuju Mandi Safar dikaitkan dengan agama Islam, atau sebagai ikhtiar menolak bala bencana.  Tidak kurang pula yang memahaminya bahawa ritual mandi hari Rabu terakhir bulan Safar sebagai kias daripada ajaran Hindu yang melakukan mandi di Sungai Gangga, India, sebagai upacara penyucian jiwa!

Jika ustaz dari Tanah Melayu berdakwah kepada kalangan pengamal tegar Mandi Safar, pasti jawaban yang diterima ialah, “Mandi Safar merupakan adat Melayu turun-tenurun dan sudah diterima dengan baik oleh segenap ahli masyarakat.  Tidak perlu dipersoolkan lagi.”    Jika dihujah bahawa adat itu tidak ada dalam ajaran al-Quran dan sunah nabi, tentu jawab mereka, “Ini amalan baik untuk membersihkan diri.  Niatnya pun baik, satu usaha menghindari keburukan dan membuang sial.”  Atau mungkin jika cuba didakwah kepada imam masjid yang melakukan Mandi Safar, jawabnya boleh jadi begini, “Kamu wahabi, semua khurafat dan bid’ah”.

Begitulah apabila suatu adat yang sudah disulam elemen agama, menjadi satu kepercayaan kuat yang berakar umbi.  Sisi pandangan pengamal Mandi Safar sama dengan sisi pandangan para pengamal kenduri tahlil di Tanah Melayu!  Jika dkatakan tahlilan arwah sebagai unsur hindu yang jelas dalam kitab   Weda Smerti , biasa dijawab sebagai, “ini amalan yang sudah lama diamalkan masyarakat Melayu Islam, tidak perlu dipersoalkan lagi.”  Yang pasti orang agama kerap melabel ‘wahabi’ kepada yang menolak amalan adat kenduri arwah bertahlil.

Begitulah, kita perlu keluar daripada kelompok sendiri untuk melihat suasana dengan adil.  Sukar untuk kita mengadili sesuatu perkara jika kita berada dalam lingkungan sendiri.  Orang-orang yang tegar dengan Mandi Safar dan Kenduri arwah, jika berada dalam adat masyarakat lain yang tidak mengamalkan adat demikian, akan mudah terbuka mindanya melihat di mana benar-salah perkara itu.  

Selasa, Disember 25, 2012

UMNO dan Pas Pertahankan Perlembagaan negara


POLITIK ialah berkaitan dengan kuasa.  Partai politik ialah organisasi massa yang bercita-cita mendapatkan kuasa tertinggi dalam negara, melaksanakan pemerintahan.  Setiap partai politik mempunyai  dasar yang diperjuangkan seperti kebangsaannya, agama atau juga ideologi demakrasi dan sosialis. Di Malaysia, orang Melayu secara budaya dan undang-undang mesti beragama Islam.  Oleh itu, partai Melayu seperti Umno juga mendakwa memperjuangkan Islam.  Serpihan daripada Umno menjadi sebuah parti Islam (Pas) juga mendakwa memperjuangkan Islam.  Namun kedua-dua partai yang anggotanya Melayu beragama Islam tidak saling mesra, malah saling mengasah senjata perbedaan pendapat serta jurang pemisahan.

Jika dinilai mengikut acuan ajaran demokrasi liberal Barat, kemunculan banyak partai politik sangat diraikan sebagai tanda suburnya demokrasi.  Malah kepada Barat, semakin berbeda pendapat, semakin tulen demokrasi dan hak asasi manusia.  Tidak begitu, jika berdasarkan al-Quran.  Namun dasar al-Quran selama-lamanya sebagai prinsip yang sangat minoriti, berbanding  kehendak akal dan nafsu manusia.

Walaupun Umno pada asalnya ditubuhkan tidak bertujuan mewujudkan sebuah negara seperti yang diperintah oleh Rasulullah di Madinah dahulu, namun mereka yang menubuhkan Pas asalnya adalah mereka yang sama-sama menubuhkan Umno dan mengembangkannya sewaktu penjajahan British! Hanya apabila berlaku perselisihan akibat perebutan jawatan tertinggi dalam Umno, maka yang gagal dalam perebutan itu menubuhkan pula Pas.  Tidak ada rekod pula bahawa perebutan jawatan tertinggi dalam Umno dahulu berdasarkan prinsip mahu mengubah Umno sebagai partai Islam atau kekal sebagai partai Melayu sahaja.

Kecuali Pas dengan tegas memutuskan bahawa Umno sebagai kafir, maka secara hukum Pas wajib wujud untuk menyelamatkan akidah orang Melayu Islam.  Ada orang tidak faham ayat saya itu.  Maksudnya, Pas hanya berhak wujud sebagai organisasi Islam jika, dengan tegas dan yakin bahawa Umno adalah kafir.  Ini bermakna, jika Pas tidak percaya Umno kafir, maka secara hukum Pas tidak ada hak untuk wujud sebab kewujudan Pas ialah memecahkan kesatuan umat Islam yang berbangsa Melayu!  Selagi ahli-ahli Umno diiktiraf sebagai muslim, mereka tetap mendapat hak sebagai muslim daripada para muslim lain (termasuk ahli-ahli Pas). 

Orang kerap menyebut kelemahan umat Islam akibat tidak mahu kembali kepada ajaran al-Quran. Ya, al-Quran jelas mengharamkan perpecahan dan perselisihan sesama muslim.  Lihat ayat 103 surah Ali Imran, “Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah , dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahlu (zaman jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hati kamu sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedang (ketika itu) kamu berada di jurang api neraka. Lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.  Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kamu mendapat petunjuk.”

Perhatikan pula ayat 105 surah Ali Imran “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat.” 

Memahami ayat-ayat berkenaan bukan hanya ditujukan kepada Pas supaya menghentikan permusuhan terhadap muslim Umno, malah yang utama ialah Umno itu sendiri yang mesti membuktikan kejujurannya berdasarkan al-Quran.  Sebagai organisasi politik Melayu Islam yang paling dasar dan besar, parti itu wajib meletakkan dasar Islam dalam roh perjuangannya supaya menjadi satu pertubuhan orang Islam yang sangat berkesan.  Nama bersifat Melayu atau Inggeris tidak penting, yang utama ialah falsafah dan gerak kerjanya yang sangat hampir kepada al-Quran sekalipun tidak dapat menjadi 100 persen.

Bagi Pas, kajian menunjukkan penentangannya terhadap Umno ialah suatu yang mendasar dalam sebuah negara.  Oleh kerna Umno secara tegas menjaga Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Pas mendakwa pula perlembagaan itulah yang menjadi punca suasana yang tidak Islam dalam pemerintahan.  Maka tidak kaget, orang yang paling berpengaruh dalam Pas menyatakan,

“Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional  bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian, Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.

Secara prinsip, jika Umno mengubah perlembagaan negara kepada yang diingini oleh Pas maka Pas tidak menentang Umno.  Atau, jika Pas bersedia menerima perlembagaan negara seperti umno menerima dan mahu menjaganya, Pas tidak lagi menentang Umno.  Memang itulah prinsip berkaitan politik, iaitu berkaitan dengan dasar utama negara.  Jika Pas wujud hanya untuk memastikan perempuan muslim menutup aurat, tidak perlu ‘bertegang urat’ bab perlembagaan sebab tidak ada undang-undang yang melarang   perempuan muslim menutup aurat.  Tidak ada juga keputusan mahkamah yang melarang wanita menutup auratnya.  (Keputusan mahkamah berkaitan wanita berpurdah, tidak boleh disamakan dengan larangan menutup aurat berdasarkan pemahaman umum mengikut al-Quran dan Sunah).

Perubahan telah berlaku dalam Pas.  Sejak tahun 2008 secara rasmi pula Pas menerima Perlembagaan Persekutuan dan bersedia mempertahankannya bersama partai sekutunya iaitu PKR dan DAP.  Hal ini bermakna secara dasar, kerja mempertahankan Perlembagaan  Persekutuan  yang dilakukan Umno turut dilaksanakan juga oleh Pas.  Keputusan ini sepatutnya kian mendekatkan Pas terhadap Umno kerana secara prinsip bernegara, kedua-dua partai politik Melayu Islam ini menuju persamaan. 

Bagi saya, kecenderungan Pas yang begitu patut diraikan supaya ahli-ahli Pas yang selama ini menganggap ahli-ahli Umno sebagai tidak Islam tulen kerna menjaga ‘perlembagaan British kafir’, kian luntur dan lenyap.  Sekarang pun penceramah Pas tidak lagi membacakan ayat-ayat al-Quran yang bertema ‘mereka yang tidak melaksanakan hukum Allah sebagai kafir’.

Persahabatan Pas dengan PKR dan DAP juga kian mengendurkan kehendak Pas terhadap pelaksanaan sistem atau norma Islam.  Jika sebelum tahun 2008, Kelantan dan Terengganu di tangan Pas, telah mengkanunkan ‘hukum Hudud’, tetapi tidak di Kedah sekalipun Menteri Besarnya ulama Pas.  Di Kedah juga masih tidak diharamkan kedai judi ekor yang telah diharamkan di Kelantan sejak  1990.  Malah yang terbaru, Kelantan bersedia menggantung peraturan yang melarang wujudnya salun unisex.  Ini untuk memenuhi semangat kerjasama dengan PKR dan DAP.

Ternyata semangat kerjasama dengan partai bukan Islam menyebabkan Pas semakin menyamai Umno.  Walaupun benar tetap wujud pebedaan antara Umno dan Pas, tetapi perbedaan itu bukan pada perkara dasar seperti yang saya nyatakan di atas.  Soal isi perlembagaan partai, kewujudan Dewan Ulama dengan amalan tarbiyah seperti usrah, tamrin, muqayam, daurah serta istilah seperti muktamar, tahaluf siyasi dan sebagainya, itu semua memang sebagai tanda perbedaan dengan Umno.  Namun itu bukan dasar utama, dan NGO Islam lain juga biasa mempunyai konsep dan istilah sedemikian.

Kesimpulannya, dengan perubahan dasar penentangan Pas terhadap Umno akan membawa kepada kian kurangnya perselisihan antara umat dalam negara.  Mengurangkan perselisihan dan menuju kesatuan umah merupakan dasar mulia yang menepati dasar al-Quran.  Masalahnya, adakah para pemimpin kedua-dua parti bersedia untuk menjayakan titik temu sama ada secara sembunyi atau terang-terang.  Bimbang akal dan nafsu juga yang di hadapan, perpecahan yang haram tetap dijayakan di mana-mana!

Isnin, Disember 24, 2012

AES kelas Dunia Pertama, rakyat Dunia Ketiga


KITA sudah terlalu banyak mendengar kritikan ‘undang-undang yang tidak dikuatkuasakan tidak berguna apa-apa’.  Lihat saja undang-undang larangan merokok yang membawa denda penjara dan wang, siapakah yang istiqamah melaksanakannya?  Larangan remaja di bawah umur 18 tahun membeli rokok, siapakan pekedai dan remaja yang dikompaun atau didakwa di mahkamah?  Jika ada dua orang untuk tempoh setahun, senang cakap, tidak ada! 


Apa gunanya undang-undang jalan raya, kalau bukan untuk mensejahterakan semua pengguna jalan raya?  Tujuan undang-undang berkenaan, jika tidak dilaksanakan tidak akan mencapai tujuannya.  Maka, jalan raya terus menjadi ancaman maut untuk ahli keluarga kita, dan kemungkinan besar kita sendiri.  Masalahnya ialah sikap dan pemikiran rakyat yang masih tidak mampu menerima pendidikan perundang-undangan.  Rakyat hanya mahu senang dan selamat tetapi tidak mahu mematuhi peraturan untuk selamat.  Pemikiran yang pelik!

Jabatan Pengankutan Jalan (JPJ) telah bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan AES.  Tidak ada kritikan di mana kelemahan pelaksanaan AES sebagai pengawal pengguna jalan raya selama 24 jam sehari.  Saya tetap dengan pendirian bahawa antara ciri orang yang beriman (muslim) ialah patuh undang-undang jalan raya.  Tidak patuh undang-undang berkenaan, bermakna mengurangkan status keimanan kepada Allah.  Maka usaha membuat rakyat patuh undang-undang jalan raya adalah usaha mendidik rakyat dan menjadikan muslim kuat imannya.

Mengapa kerajaan ‘menangguhkan’ pelaksanaan AES?  Jawabannya ialah seperti yang pernah disebut oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri, ‘Rakyat Negara kita pemikirannya kelas Dunia Ketiga walaupun prasarana negara kelas Dunia Pertama’. Rakyat mahu kemajuan, tetapi tidak mahu maju dalam pemikiran.  AES ternyata menyentak pemikiran ‘kelas Dunia Ketiga’ yang tidak mahu dikawal oleh undang-undang.  Kebanyakan rakyat mahu menggunakan kenderaan sesuka hati di jalan raya yang selesa.  Jika ada jalan yang rosak, pantas mereka mengkritik kerajaan sebagai lembab dalam bertindak!

Apa pun inilah kehendak sebagian besar rakyat untuk memansuhkan terus kawalan automatik di jalan raya.  Jika ada Menteri Besar negeri yang melarang AES dipasang di negerinya, maka tentulah rakyat yang mahu bebas undang-undang segera menyokongnya.  Kemudian ada pula pegawai tingg negeri bertegas akan merobohkan kamera AES, betul-betul mahu merobohkannya seperti orang menebang pokok pisang!  Maka tentulah anak muda yang berdarah panas bersorak!  Yang pasti sistem demokrasi yang memberi peluang kepada rakyat menentukan apa yang sepatutnya pemerintah lakukan benar-benar diamalkan.  Mudah saja mesej rakyat, ‘kalau teruskan juga AES, kerajaan yang ada di Putrajaya akan turun selepas pilihan raya’. 

Begitulah, sebaik mana idea dan kerja pemimpin atau pemerintah, maka mereka mesti akur dengan kehendak rakyat sekalipun rakyatnya semua berfikiran ‘kelas Dunia Ketiga’.  Rakyat hanya tahu meminta yang terbaik untuknya  dan sangat mudah menyalahkan pihak yang memerintah jika berlaku apa-apa masalah dalam kehidupan.  Terus terang, ini bukanlah masyarakat madani yang selalu diwarwarkan sebagai masyarakat yang bertamadun tinggi! 

Jumaat, Disember 21, 2012

RAKYAT yang terdahulu zalim berbanding pemerintah!


CATATAN di bawah merupakan catatan seorang pendakwah iaitu HAFIZFIRDAUS yang asalnya bertajuk 'Rakyat oh rakyat'.  Catatan ini sangat bermanfaat untuk membuat pertimbangan adil terhadap pemerintah.

Saya teringat beberapa ketika yang lalu apabila bersembang-sembang santai dengan seorang rakan. Perbincangan kami pada mulanya umum, namun kemudian rakan saya melencong ke arah politik tanah air.

Kawan: “Hafiz, apa pandangan engkau tentang pemerintah negara kita ni?”

Saya: “OK saja. Ada kebaikan dan adalah kelemahan.”

Kawan: “Huh! Mana ada OK?” Lalu beliau dengan bersemangat menceritakan kelemahan-kelemahan pemerintah sekarang ini dari aspek penyalahgunaan wang negara, kezaliman dan tidak melaksanakan hukum Islam.

Lalu saya menjawab: “Oh, semua kelemahan tersebut adalah satu kelaziman.”

Kawan: “Maksudnya?” Saya: “Maksud saya, meski pun kita menukar pemerintah pada pilihanraya yang akan datang dan akan datang dan akan datang, pemerintah-pemerintah tersebut tetap akan memiliki kelemahan-kelemahan yang sama.”

Kawan: “Oh, saya sungguh tidak bersetuju!”

Saya: “Tak mengapa jika tidak bersetuju. Akan tetapi kamu kena sedar bahawa kelemahan yang sebenar terletak pada rakyat. Rakyat mahukan pemimpin yang sempurna namun mereka sendiri tidak sempurna. Rakyat mahukan pemimpin yang amanah dalam pengurusan harta negara, namun rakyat sendiri tidak amanah. Perhatikan betapa harta negara dan umum yang disalah guna dan dirosakkan oleh rakyat?
Rakyat mahukan pemimpin yang adil, namun rakyat sering kali zalim dalam menilai pemimpin. Rakyat mahukan perlaksanaan hukum Islam, namun rakyat sendiri tidak melaksanakannya dalam kehidupan harian mereka.”

Kawan: “Huh, pertama kali saya mendengar bahawa rakyat yang dipersalahkan dalam urusan pemerintahan negara!” 

Saya: “Bukan begitu. Apa yang benar ialah kita mahukan pemerintah dan rakyat, kedua-duanya memiliki sifat berilmu, amanah, bertanggungjawab, adil dan saling membantu. Lebih dari itu perhatikan bahawa pemerintah lahir daripada rakyat, dipilih oleh rakyat dan dibantu oleh rakyat. Siapa dan bagaimana pemerintah sesebuah negara sebenarnya adalah cerminan siapa dan bagaimana kebanyakan (majoriti) rakyat negara tersebut.”

Kawan: “Saya tetap tidak setuju. Saya yakin jika pemerintah adalah baik, maka rakyat akan gembira dan berpuas hati. Tiada bantahan, tiada rungutan, tiada demonstrasi.” 

Saya: “Baiklah. Setuju atau tidak jika saya katakan Rasulullah adalah seorang pemerintah yang terbaik?” Kawan: “Setuju. Oleh kerana itulah tidak siapa yang membantah pada zaman pemerintah baginda.”

Saya: “Baiklah, jika begitu perhatikan hadis berikut…” Lalu saya menyebut hadis berikut secara ringkas: Abu Sa’id al-Khudri berkata: Ketika kami berada di sisi Rasulullah yang sedang membahagikan (harta rampasan perang), tiba-tiba baginda didatangi seorang laki-laki dari Bani Tamim yang berkata: “Wahai Rasulullah! Berlaku adillah!” 

Rasulullah menjawab: “Celaka kamu, siapakah lagi yang akan berlaku adil kalau tidak aku yang berlaku adil. Sungguh, aku rugi (di sisi Allah) sekiranya aku tidak berlaku adil.”

Maka Umar bin al-Khaththab berkata: “Wahai Rasulullah, izinkanlah aku untuk menebas lehernya.” Rasulullah menjawab: “Tinggalkanlah dia, sesungguhnya dia memiliki sahabat-sahabat di mana salah seorang daripada kalian akan memandang remeh solatnya jika dibanding dengan solat mereka, puasanya terhadap puasa mereka. Mereka pandai membaca al-Qur`an namun tidak sampai melewati tenggorok mereka (yakni tidak difahami dan diamalkan). [Sebahagian hadis Shahih Muslim, no: 1765/1064]

Saya melanjutkan: “Perhatikan bagaimana ada orang yang tidak mengetahui hikmah di sebalik pembahagian harta rampasan perang yang berbeza-beza, lalu meminta Rasulullah bersikap adil. Dalam erti kata lain, dia memandang Rasulullah zalim dalam pembahagian harta. Orang ini pula bukan calang-calang orang. Ibadahnya mengalahi ibadah para sahabat yang lain. Dia juga membaca al-Qur’an, hanya dia tidak memahami dan mengamalkan al-Qur’an.”

Kawan: “Kesimpulan yang cuba engkau buat dari hadis tersebut?”

Saya: “Manusia lazimnya ada sikap suka merungut, tidak adil dalam menilai, dengki pada kelebihan orang lain, menyebarkan gosip berbau fitnah dan jahil dalam urusan pemerintahan. Pemerintah sebaik mana sekalipun, rungutan, tuduhan, kedengkian, fitnah dan kejahilan tetap akan wujud di kalangan rakyat.

Justeru dalam rangka kita inginkan pemerintah terbaik, kita juga mesti menjadi rakyat terbaik. Mana-mana pemerintah jua, dia tidak akan dapat melaksanakan tugasnya dengan baik jika rakyat tidak baik. 

Oleh itu usah sekadar fokus kepada mahukan pemerintah terbaik. Akan tetapi fokus juga kepada mahukan rakyat terbaik. Jangan asyik merungut Pemerintah oh pemerintah!, tetapi fokus juga kepada Rakyat oh rakyat!”


Ahad, Disember 16, 2012

UMNO-Pas bergasak, Islam pun terburai


SEBAGAI muslim tentu gembira apabila mengetahui peraturan-peraturan hidup manusia berlandaskan ajaran Islam.  Jika muslim faham bahawa Islam merupakan system hidup manusia, yang mensejahterakan semua manusia tanpa mengira agamanya, tentulah gembira jika ada mana-mana pihak berjaya melaksanakan peraturan Islam itu.  Sebab itulah, apabila membaca berita pesalah judi dihukum sebat di depan khalayak di Acheh, saya suka sebab itu akan mendidik orang agar jangan berjudi.  Tahun 2004, Dewan Bandaraya KL (DBKL) telah menyaman dua remaja yang melakukan sumbang moral di taman KLCC (dua remaja itu keturunan Cina), saya suka sebab undang-undang kecil DBKL itu untuk mengawal akhlak buruk manusia.  Oleh itu saya juga menyokong usaha pentadbiran Pas di Kelantan yang menguatkuasakan peraturan wanita tidak boleh mendandan atau menggunting rambut lelaki, bertujuan sama seperti undang-undang kecl DBKL.  Sebutlah usaha Exco kerajaan Selangor dahulu cuba mengawal penjualan arak secara terbuka di Selangor, juga saya setuju.


Apa yang saya mahu catatkan ialah Islam semakin dicabar oleh musuhnya di Malaysia, kerana kelemahan umat Islam sendiri.  Kelemahan umah pula akibat sangat ‘beriman’ dengan politik kepartaian atau semangat asabiyah yang sangat kukuh!

Lihat kes tahun 2004 apabila   DBKL menyaman sepasang remaja Cina yang berpelukan di taman awam.  Orang bukan Islam khasnya daripada DAP membalas dengan membuat demontrasi ‘berpelukan’ depan pejabat DBKL.  Apa tujuannya, kalau bukan mencabar pelaksanaan undang-undang DBKL. Oleh kerana DBKL di bawah pentadbiran yang dikuasai Umno, maka Pas hanya melihat peristiwa itu dan ‘suka’ sebab Umno sedang ditekan-tekan. Harapan Pas ialah imej DBKL yang ditadbir Umno akan rosak dan rakyat marah kepada Umno atau Barisan Nasional. 

Sekarang peristiwa yang sama berlaku di Kota Bharu apabila pelaksanaan larangan wanita menggunting rambut lelaki dicabar, seperti kes di KL tahun 2004.  Lelaki-lelaki Cina parti Gerakan dari Negeri Sembilan ke Kota Bharu semata-mata mahu rambutnya digunting oleh perempuan.  Tujuannya tidak lain, satu cabaran atau bantahan terbuka.  Misalnya, apa pihak berkuasa MBKB boleh buat!  Dalam kes ini Umno pun suka (lihat tulisan Dr Fuad Zarkashi) sebab Pas sedang ditekan-tekan dengan harapan orang akan melihat Pas lemah dan gagal mentadbir negeri.

Itulah dia, apabila umat Islam sudah mengamalkan asabiyah dalam politik, Islam dijadikan bahan untuk disalahkan sana-sini.  Kedua-dua parti, kerana hendak menjadi hero dalam masyarakat Melayu Islam sanggup membiarkan syiar Islam dilanyak oleh musuh-musuh Islam. Dalam kes di Kota Bharu, sepatutnya Umno menasihatkan ahli Gerakan itu agar tidak mencabar peraturan itu sebab pasti menyentuh sentimen umat Islam.  Peraturan di Kota Bharu itu pun dibuat tahun 1986, zaman Kelantan diperintah Barisan Nasional.  Kerajaan sekarang (Pas) hanya melaksanakannya. 

Kesan kes-kes pelaksanaan Islam walaupun kecil yang ditangguhkan atau dibatalkan atas desakan orang bukan Islam sebagai petunjuk lemahnya umat Islam walaupun secara populasi ada hampir 70 peratus daripada jumlah 28 juta penduduk. Ini juga menunjukkan apa juga pentadbiran bercirikan Islam mesti mendapat restu orang bukan Islam.  Keadaan ini satu pengalaman yang sangat teruk dan memalukan, jika kita masih mengatakan Islam adalah satu sistem hidup manusia!

Jika orang Islam, khasnya yang berkuasa seperti Umno dan Pas tidak mahu kembali bersatu seperti yang diwajibkan dalam al-Quran, kita pasti akan melihat banyak lagi ‘nilai atau ciri Islam’ dalam masyarakat yang terpaksa ditinggalkan atau dihapuskan kerana memenuhi kehendak orang bukan Islam.  Sudah ada yang mencabar suara azan pada subuh hari atas alasan menganggu orang tidur.  Sudah kedengaran juga pekerja Islam tidak dibenarkan solat Jumaat kerna mengambil waktu yang lebih daripada masa rehat biasa.

Peliknya, apabila orang hendak membela kes-kes ajaran Islam yang dicabar, orang melihat dahulu dari sudut politik Umno dan Pas.  Kalau yang kena Umno, pihak Pas membiarkannya sambil berharap Umno terus dalam kepayahan.  Begitu juga jika yang kena ialah Pas, Umno akan membalas sebagaimana Pas melakukannya.  Akhirnya, yang semakin susut ialah Islam itu sendiri.  Islam menjadi semakin sempit dalam masyarakat sehingga tulisan jawi pun sudah dianggap tulisan Islam dan menjadi ‘sulit’ kepada orang bukan Melayu Islam.  Dahulu, tidak ada masalah apa pun berkenaan tulisan jawi.  Dahulu banyak bayi orang bukan Islam dibela oleh orang Melayu, sekarang mana ada lagi? 

Tunggu apa lagi?

Rabu, Disember 12, 2012

APAKAH solat sahabat yang tidak disukai nabi s.a.w.?


BERAPA banyak orang telah memberi hujah, “amalan  yang  baik adalah ajaran agama dan diterima Allah”.  Hujah seperti ini selalu diberikan apabila sesetengah orang menyeru supaya ditinggalkan ‘amal ibadah’ yang tidak ada dalam sunah nabi s.a.w.  Terdapat satu hadis nabi yang sangat tepat menjelaskan maklum balas nabi s.a.w. terhadap beberapa orang sahabat baginda yang  berusaha melakukan amal salih berdasarkan hujah ‘amalan baik’.


Maksud hadis: “Sekelompok orang berkumpul membicarakan sesuatu. Lelaki pertama berkata, saya akan shalat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, saya akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, saya tidak akan menikah dengan wanita. Perkataan mereka ini sampai kepada Rasulullah SAW. Maka baginda berkata, kenapa ada orang-orang yang begini dan begitu?! Aku shalat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sahabat-sahabat nabi itu sebenarnya sangat mencintai kehidupan akhirat dan sangat mahu masuk syurga bersama nabi s.a.w..  Lalu mereka melihat amalan nabi untuk mencontohinya. Namun ada tambahan akal dan nafsunya di sana iaitu mereka beranggapan “Semua amalan itu dilakukan oleh nabi yang dijamin syurga, tetapi kita tidak dijamin syurga, maka tentulah kita wajib melakukan amalan lebih banyak daripada baginda nabi s.a.w.  Lalu  mereka solat tanpa henti dan puasa siang malam, sehingga ahli keluarga rasa keciwa kerna sahabat-sahabat itu mengabaikan tanggung jawabnya terhadap seisi keluarganya.  Akhirnya diketahui oleh baginda nabi s.a.w.

Jika diperhalusi, amalan sahabat nabi s.a.w. itu bukanlah suatu yang tidak ditunjukkan oleh nabi s.a.w. Mereka melakukan solat persis atau tepat sebagaimana yang dilakukan oleh baginda nabi s.a.w. Mereka bukan menggantikan lafaz al-Fatihah dengan syair-syair Arab!  Mereka rukuk dan sujud pun mengikuti cara nabi s.a.w. rukuk dan sujud! Mengapa amal mereka dikritik oleh nabi s.a.w.?

Yang berpuasa pun menepati seperti nabi s.a.w. berpuasa, iaitu tidak makan dan minum serta menjaga anggotanya daripada perbuatan yang boleh mengurangkan pahala puasa.  Cuma, akalnya digunakan sebagai hujah, iaitu lebih banyak berpuasa lebih baik kerna dirinya bukan seorang nabi.

Jawabnya, mereka melakukan amal yang tepat seperti nabi pun, tetapi masanya tidak seperti yang ditunjukkan oleh nabi s.a.w., maka itulah yang menyalahi sunah baginda s.a.w.  Bahawa baginda nabi s.a.w. solat malam tetapi baginda juga tidur, bukan solat sepanjang malam.  Begitu juga baginda nabi s.a.w. berpuasa, pada malamnya menunaikan tanggung jawab terhadap isterinya.

Ertinya, suatu amalan  ibadah yang tepat di sisi sunah ialah yang menepati petunjuk nabi s.a.w., bukanlah mengikut pendapat ‘asalkan baik itulah amalan yang diterima Allah’.  Bagaimana pula suatu yang didakwa amal ibadah dalam Islam, yang jelas terdapat susunan ayat-ayat al-Quran tetapi tidak ada dalam sunah nabi s.a.w.?  Berdasarkan pemahaman hadis di atas sahaja, pembaca sudah tahu bahawa hal itu pasti dikritik oleh nabi.  Sedangkan sahabat yang melakukan solat sepertinya tetapi tidak henti-henti pun dikritik atau tidak disukai oleh nabi, inikan pula ibadah yang disusun sendiri atas alasan ayat-ayat al-Quran adalah baik dan yang baik adalah agama!

Sungguh benar bahawa nabi s.a.w. telah wafat dan tidak mungkin baginda akan datang mengkritik ‘amal ibadah’ kita yang tidak diajarkan oleh baginda dahulu, namun baginda telah meninggalkan pusaka iaitu al-Quran dan sunah baginda yang berupa hadis-hadis sahih.  Generasi sahabat dan tabi’in (Salafus salih) pula merupakan generasi terbaik selepas zaman nabi s.a.w.  Mereka menjaga agama dengan tepat sebagaimana yang dilakukan oleh nabi s.a.w.  Sangat pantas bahawa generasi Salafus Salih selepas nabi itu menjadi ikutan kita yang saban tahun merayakan kelahiran nabi sebagai tanda sangat mencintai nabi s.a.w.

Khamis, Disember 06, 2012

ANGAN-angan beribadah ketika sakit


CATATAN peribadi saya.  Baru-baru ini saya menziarahi seorang rakan yang terkena serangan sakit angin ahmar.  Sudah sebulan dia hanya terbaring dan hanya bergantung kepada bantuan isteri dan anak-anak untuk makan, minum dan semua urusan hidup.  Meskipun mindanya masih berfungsi seperti sebelumnya, tetapi kudrat tenaganya ternyata membatasi apa kemahuan dalam mindanya.  Mulutnya berzikir kalimah-kalimah yang biasa.

Saya sebenarnya pernah berfikir untuk diri sendiri, misalnya apa yang akan dilakukan jika saya terbaring kerna sakit atau demam.  Bolehkah mengisi masa dengan membaca ayat-ayat al-Quran. Ketika saya dimasukkan dalam wad dahulu, tidaklah sebagaimana yang disangka. Dalam beg sebelum ke hospital, saya bawa sekali senashkah al-Quran untuk dibaca ketika baring sendirian.  Namun apabila sudah terbaring, walaupun waktu-waktu yang sakitnya tidak memeritkan, sudah juga hendak membaca al-Quran seperti biasa.  Tambahan pula, membaca al-Quran sambil berbaring sangat tidak menyelesakan.

Apabila saya melihat rakan saya itu agak sukar untuk berzikir ketika terlantar sakit di rumahnya, saya mencuba untuk menghafal ayat-ayat al-Quran sambil berbaring di atas tilam.  Walaupun ayat-ayat itu selama ini sudah lancar dalam hafalan, namun dalam kedudukan berbaring tidaklah sebaik halafan ketika duduk.  Jadi bagaimana dalam keadaan sakit atau demam dan terbaring, dapatkah hafalan al-Quran dilakukan dengan baik seperti biasa?

Nampaknya saya seperti perlu berlatih membaca al-Quran atau melafazkan hafalan dalam keadaan berbaring untuk menghadapi situasi yang tidak menyenangkan (jika ditakdirkan berlaku).  Ini termasuk saya membayangkan perlunya alat sokongan yang boleh diletakkan al-Quran (umpama rehal) yang boleh terbuka menghadap saya yang terbaring!

Manusia hanya merancang apa yang sepatutnya.

Selasa, Disember 04, 2012

TIADA persatuan bersifat asabiyah dalam Islam


SALAHKAH sekumpulan umat membuat persatuan berdasarkan kepentingan seperti bahasa, kegemaran, sejarah atau kehendak politik?  Islam meraikan amalan demokrasi asalkan masih melandasi prinsip ajaran dalam al-Quran.  Maka, tidak salah jika umah mahu membentuk dua atau tiga parti politik, asalkan semua aktiviti dan perjuangan parti tidak cenderung kepada amalan jahiliyah.  Yang salah ialah mengamalkan persatuan seperti cara orang Arab Jahiliyah berkabilah atau berpersatuan.

 foto hiasan

Yang dinamakan kabilah asabiyah dan menyalahi ajaran al-Quran ialah seperti hanya mementingkan ahli kabilahnya, dan menafikan kepentingan yang bukan ahli kabilahnya. Jika berlaku pertelingkahan antara dua ahli kabilah, ahli setiap kabilah akan membela ahli kabilahnya di samping memusuhi ahli kabilah yang dilawannya tanpa mengira isunya benar atau salah.  Misalnya, jika kabilah A bermusuh dengan kabilah B, anak cucu dalam kabilah A diasuh supaya memusuhi seluruh anggota kabilah B.  Segala sejarah dan asal-usul pertelingkahan antara kedua-dua kabilah akan diajarkan supaya permusuhan itu diwariskan kepada generasi seterusnya, dan perang kerana dendam wajib diteruskan.

Islam datang mendamaikan kabilah yang bermusuhan. Perang Basus di Madinah antara suku Aus dan Khazraj pada zaman jahiliyah tidak diteruskan setelah mereka menerima Islam.  Malah Allah menyatakan bahawa perpaduan dalam umah adalah nikmat sedangkan perpecahan merupakan dosa yang menempah azab neraka.

Maksud ayat 103 surah Ali Imran, “Dan berpegang teguhlah dengan tali Allah , dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahlu (zaman jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hati kamu sehingga dengan kurnia-Nya kamu menjadi bersaudara, sedang (ketika itu) kamu berada di jurang api neraka. Lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.  Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu agar kemu mendapat petunjuk.”

Perhatikan pula ayat 105 surah Ali Imran “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih setelah sampai kepada mereka keterangan yang jelas. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat azab yang berat.” 

Apakah tidak ada perbedaan-perbedaan kumpulan masyarakat Islam pada zaman hidupnya nabi s.a.w.?  Secara tradisinya pun wujud kabilah-kabilah Arab.  Dalam masyarakat Islam ada daripada Bani Hashim dan Bani Umayyah.  Di Madinah pula terdapat golongan Muhajirin dan Ansar.  Dalam Masyarakat Ansar telah bersejarah kabilah Aus dan Khazraj.  Setelah Makkah berjaya dikuasai oleh nabi s.a.w., berlaku Perang Hunain. Setelah tamat perang, berlaku sedikit salah faham mengenai pembahagian harta rampasan perang, bahawa Nabi s.a.w. melebihkan pembahagian kepada tentera Islam Makkah (baru memeluk Islam) berbanding tentera Islam dari Madinah. Perbedaan dalam kumpulan ada, tetapi mereka semua ‘dengar dan patuh’ terhadap wahyu Allah dan saling berlapang dada serta memaafkan.

Oleh kerna membentuk persatuan itu masih sah asalkan tidak bersifat kabilah jahiliyah, maka antara persatuan khasnya yang bersifat politik tidak boleh sama sekali melanggar ayat 103 dan 105 di atas.  Tidak ada alasan langsung untuk membentuk persatuan demi melawan persatuan lain sedangkan kedua-duanya masih muslim.

Ada yang berhujah, misalnya persatuan X tidak mengamalkan ajaran Islam yang sempurna, maka patut umah memasuki persatuan Y yang menjanjikan perjuangan dan amalan Islam yang sempurna.  Jika itu prinsipnya, jelas sudah memecah kesatuan umah sebab ‘berlaku gerakan mengajak masuk persatuan Y’ dan menolak dengan berusaha membuktikan persatuan X salah, sekalipun semua ahli persatuan X adalah muslim.  Dalam prinsip Ahli Sunah wal Jamaah, setiap orang yang mengucapkan dua kalimah syahadah mesti diterima sebagai muslim dan terjaga hak-haknya sesama muslim.  Soal dia melakukan dosa atau tidak, itu diserah kepada Allah.

Dalam keadaan wujud beberapa persatuan atau parti yang dianggotai oleh muslim tidak boleh sama sekali saling bertelingkah, apa lagi pertelingkahan hendak mendakwa kumpulannya sahaja yang Islam dan yang lain tidak sempurna.  Sejarahnya, puak Khawarij telah mengkafirkan sahabat Nabi s.a.w. seperti Saidina Ali bin Abi Talib, Muawiyah bin Abu Sufyan dan Amru al-As, sedangkan asalnya Khawarij membawa slogan yang sangat baik seperti ‘Tiada hukum selain kitabullah”. Sebab itu Khawarij tidak tergolong dalam Ahli Sunnah wal Jamaah yang menjadi prinsip pegangan akidah kita di Malaysia.

Rabu, November 28, 2012

UNDANG-undang Tuhan pun dilanggar inikan pula.....


DAHULU, apabila diterangkan bahawa kehidupan seseorang muslim adalah satu ibadah kepada Allah, terasa bahawa Islam memang satu sistem pengabdian hidup hamba kepada Tuhannya.  Bukan sahaja solat dan puasa sebagai ibadah, malah tidur dan makan juga ibadah.  Semua ini terkandung dalam maksud ayat 56 surah az-Zariat, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia, melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”

Menaiki kenderaan juga termasuk ibadah kepada Allah. Dan melihat statstik, setiap hari kira-kira 19 kematian akibat kemalangan di jalan raya, diharap kematian muslim akibat kemalangan itu kematian yang mulia di sisi Allah.  Zaman telah berubah, dan orang menunggang kenderaan ratus-ratus kilometer bukan hanya untuk sampai ke suatu tempat demi tujuan-tujuan tertentu pula.  Semakin banyak pula orang menunggang kenderaan hanya sebagai menghiburkan diri seperti orang bersantai di pinggir pantai untuk mendamaikan fikiran.


Lihat segolongan orang secara berbondong-bondong menunggang motorsikal kuasa tinggi di jalan-jalan raya, bolehkah perbuatan itu dimaksudkan sebagai satu ibadah kepada Allah juga?  Sebenarnya, termasuk juga yang menaiki kereta atau apa saja kenderaan, jika mematuhi peraturan atau adab-adabnya, jadilah pertualangan jauh dan dekat sebagai ibadah kepada Allah.

Namun, kelihatannya…. para penunggang motorsikal berkuasa tinggi dengan sengaja merancang untuk melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya.  Had kelajuan paling tinggi ialah 110 km/j, namun semua penunggang motorsikal berkuasa tinggi dengan jelas menunggang kenderaan itu jauh lebih laju daripada yang dihadkan.  Adakah itu termasuk ketaatan kepada Allah?

Ya, semua bahagian pada undang-undang jalan raya hasil rekaan manusia, tidak disebut had laju 90 km/j atau 110 km/j itu dalam mana-mana surah al-Quran!  Secara jelas pula, Allah menyatakan hukum atau undang-undang Qisas dalam ayat 178 surah al-Baqarah.  Oleh kerana hukum Qisas tidak dikanunkan sepenuhnya, maka ‘orang pandai’ membuat kesimpulan undang-undang Allah tidak dilaksanakan di negara kita.  Maka masyhurlah ayat ‘sedangkan undang-undang Allah pun dilanggar, maka apa lagi undang-undang manusia’.  Semua ini merujuk kepada pemikiran ‘tidak apa’ melanggar undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa, sebab pihak berkuasa didakwa mengabaikan undang-undang Allah.

Perhatikan pemikiran kita bab ibadah khusus seperti puasa.  Bukan main lagi semua mahu menjaga puasa supaya tidak ‘batal’, sehingga teliti sekali pertanyaan sama ada menangis itu membatalkan puasa atau tidak.  Ironisnya, tidak pula orang ‘meriah’ bertanya perkara-perkara yang membatalkan pahala ketika menunggang motorsikal atau menaiki kenderaan lain.  Ini sebagai gambaran, orang kita masih melihat kesucian atau keabsahan amal ibadah hanya ibadah khusus, bukan pada aktiviti kehidupan lain. Maka, orang akan pelik jika diberitahu, semakin banyak melanggar undang-undang jalan raya, semakin banyak pahala berkenderaan gugur hangus!

Allah mengiktiraf undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa(yang disebut undang-undang dunia), seperti yang termaktub dalam ayat 59 surah an-Nisa’ “Wahai orang-orang yang beriman, patuhi Allah, patuhi rasul dan patuhi ulil amri (pihak berkuasa) dalam kalangan kamu…..”  Oleh kerana undang-undang jalan raya dibuat oleh pihak berkuasa untuk menjamin kesejahteraan semua penggunanya, maka kepatuhan terhadap undang-undang itu termasuk perintah kepada ‘orang-orang yang beriman’.  Tidak ada dikotomi kepatuhan kepada Allah dan rasul dengan ulil amri di sini.  Itulah yang dikatakan sistem Islam yang kaffah atau menyeluruh di dunia, patuh dalam ibadah khusus dan keduniaan lain.

Untunglah yang menjaga adabnya di jalan raya demi mematuhi perintah dalam al-Quran dan rugilah yang dengan sengaja memandang undang-undang jalan raya sebagai remeh temeh kerna dibikin manusia (ulil amri).  Orang yang bersikap mematuhi undang-undang Allah (sebab tertera jelas dalam al-Quran) dan mengabaikan undang-undang keduniaan lain, dari sudut politiknya berfikiran ‘politik suku agama suku’.

Isnin, November 26, 2012

MASJID Melayu dan masjid Cina


MAKSUD ayat 13 surah al-Hujurat, “Wahai manusia, sungguh Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, agar kamu saling mengenal.  Sungguh, yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah maha mengetahui dan maha teliti.”

Oleh itu apa saja identiti sesuatu suku kaum atau bangsa asalkan tidak menyalahi dasar-dasar keimanan kepada Allah dalam al-Quran, diiktiraf untuk menjadi pengetahuan sesama manusia. Orang Melayu mempuyai tamadun dan budayanya, begitu juga kaum Cina di Malaysia.

Masjid yang bercirikan budaya Melayu tersergam di pecan Jerteh Terengganu.  Masjid ini dibina daripada kayu dan berwarna asli kayu seperti rumah-rumah orang Melayu zaman dahulu.




Masjid yang bercirikan budaya Cina pula sudah terbina di pecan Rantau Panjang, Kelantan.  Senibina bangunan dan reka bentuk dalamannya bercirikan seni bina Cina.






Saya teringat kata-kata guru Tamadun Islam, Mustafa Daud.  Katanya, Islam tidak ada seni bina yang khusus!  Prinsip seni bina Islam ialah ‘sejahtera’. Apa jenis reka bentuk sesebuah bangunan termasuk binaan masjid, mesti memberi kesejahteraan kepada orang yang berada di dalamnya.  Menurutnya lagi, kesejehtaraan itu juga boleh dirasai apabila sesiapa saja yang berada dalam bangunan itu (seperti masjid) tidak berasa panas dan menikmati pemandangan yang nyaman (maksud beliau, tidak menggerunkan perasaan seperti sesetengah reka bentuk rumah ibadah sesuatu agama).  Semua golongan manusia, sama ada kaya atau miskin, lelaki dan perempuan, dewasa dan kanak-kanak semuanya berasa selesa dan damai.  Itulah yang mesti ditunaikan oleh para pereka masjid, sama ada hendak berbentuk Arab, melayu, India atau Cina.

Ahad, November 25, 2012

ORANG-orang politik, bolehkah saling memaafkan?


AL-QUR’AN terlebih dahulu diwahyukan kepada manusia, berbanding gara-gara pemikiran demokrasi dan hak asasi manusia zaman Renaissance Eropah dahulu.  Oleh itu al-Quran tetap sebagai satu rujukan besar apabila berlaku apa juga aktiviti atau perubahan semua bidang manusia. Revolusi Perancis kurun ke-18 dikatakan asas pemikiran demokrasi, itu pun wajib dilihat kepada al-Quran, apakah pemikiran-pemikiran dari Eropah itu sesuai dengan dasar al-Quran.

foto sekadar hiasan

Hari ini pemikiran demokrasi dan hak asasi manusia nampaknya sangat subur, sehingga dengan mudah kita mendengar kalimah atau ayat “ini  hak kami dalam demokrasi” atau “ini hak-hak saya sebagai manusia merdeka”.  Kalau saja hak-hak yang baik memang sejajar dengan wahyu Allah, namun sudah biasa pula kedengaran orang berkata “hak kami membalas perbuatan mereka zaman lampau” atau “Jika mereka melakukannya dahulu, mengapa kami dilarang”. Ayat-ayat demikian lebih kepada balas dendam yang menghancurkan kerukunan yang menjadi keutamaan hidup bersandar wahyu.  Bukan Allah tidak tahu semua masalah manusia, tetapi Allah tetap memberi pilihan yang terbalik daripada kerakusan hawa nafsu.

Memang orang bersalah, dan perbuatan itu sangat merugikan pihak yang satu lagi.  Hari ini ayat “kami dizalimi” sangat meriah kerna lumrah sifat manusia hanya melihat apa keburukan orang dan keinginan-keinginan dirinya yang tidak tertunai.  Mudah orang mengatakan “dia zalim sebab hak saya tidak diberikan”.  Dengan meluasnya pasaran tidak puas hati, maka meluas juga perasaan merasa dizalimi dan tidak akan memberi maaf.  Akibatnya banyak aksi buruk manusia semata-mata kerna membelakangkan anjuran memberi maaf sekalipun dirinya sangat dirugikan.  Gejala membalas dendam (tidak memberi maaf) merupakan satu fitnah dalam masyarakat kerna membawa kehancuran kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.

Lihat beberapa ayat al-Quran yang menjelaskan keutamaan memberi maaf sekalipun nafsu manusia asalnya mahu membalas dendam terhadap pihak lain.

Maksud ayat 22 surah an-Nuur, “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kerabatnya, (iaitu) orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada.  Apakah kamu tidak suka Allah mengampunimu?  Dan Allah maha pengampun lagi maha penyayang.”

Ayat di atas turun sebagai respon sahabat Nabi s.a.w. iaitu Abu Bakr yang berjanji tidak akan memberi nahkah kepada Mitshah yang telah menyebarkan berita dusta berkenaan isteri Nabi s.a.w. iaitu A’isyah.  Bukan kepalang derita akibat berita dusta sehingga orang yang kuat iman seperti Abu Bakr mahu menghukum (membalas dendam) terhadap Mitshah.  Biarpun terbukti Mitshah itu bersalah, tetapi anjuran Allah ialah memaafkan, dan sebagai ganjaran di akhirat sana ialah keampunan Allah.  Jadi, soal memaafkan akibat dirugikan sangat berkait dengan keimanan terhadap balasan Hari Akhirat.  Di dunia, si pemaaf tidak mendapat keuntungan apa-apa, tetapi balasan baik yang besar di akhirat. Dan Abu Bakr berkata, “Demi Allah, sungguh aku mengharap keampunan Allah” (sumber hadis riwayat at-Tabarani).

Maksud ayat 126 surah an-Nahl, “Dan jika kamu membalas, balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan (kerugian) yang ditimpakan kepada kamu.  Tetapi jika kamu bersabar, sungguh itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang bersabar.”

Ayat itu Allah membenarkan juga untuk membalas kejahatan orang asalkan sama atau setimpal.  Namun Allah lebih menyukai ‘bersabar’ atau memberi maaf, tidak mengambil tindakan balas.  Bukan Allah tidak tahu orang yang dizalimi itu rugi, tetapi Allah membimbing manusia ke jalan damai.  Ada sifat manusia yang suka berlebih-lebih dalam mengambil tindakan, konon hendak membalas kejahatan tetapi nanti kerna amarah dan dendam lama, maka terjadilah berlebih-lebihkan dalam membalas kejahatan itu.  Maka itulah Allah lebih suka orang yang memberi maaf dan bersabar.

Ada satu lagi ayat, iaitu 149 surah an-Nisa, “Jika kamu menyatakan sesuatu kebajikan, menyembunyikannya atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sungguh Allah sangat pemaaf dan maha kuasa.”

Moga orang yang sedang berjuang dalam politik zaman demokrasi ini, yang sering menghalalkan tindakannya atas nama melawan kezaliman dapatlah merenung kembali ayat-ayat di atas dan jaminan Allah di akhirat kelak.  Ternyata, selama ini telah banyak fitnah dan marak api permusuhan gara-gara membalas kejahatan sesama muslim.

Selasa, November 20, 2012

MENGAMALKAN satu hadis abaikan hadis lain


TANPA disedari antara kita amat menjaga pengertian satu maksud hadis nabi dan menganggap hadis-hadis lain sebagai tidak begitu bernilai.  Hadis melarang berkata-kata ketika khatib berkhutbah sangat diingat-ingatkan kepada khalayak.  Hadis larangan melintasi orang solat dan solat dengan berhadangan (sutrah) bagai tidak diketahui, sebab banyak berlaku perlanggaran larangan Nabi s.a.w.  Walhal, semua aturan sunah itu untuk setempat iaitu masjid!

foto hiasan 

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda (artinya),

 “Barangsiapa yang berwudhu, lalu memperbagus wudhunya kemudian ia mendatangi (solat) Jumaat, kemudian (saat khutbah) ia betul-betul mendengarkan dan diam, maka dosanya antara Jum’at saat ini dan Jum’at sebelumnya ditambah tiga hari akan diampuni. Dan barangsiapa yang bermain-main dengan tongkat, maka ia benar-benar melakukan hal yang batil (lagi tercela) ” (HR. Muslim no. 857)

Daripada Abu Darda' r.a. dia berkata: "Nabi s.a.w. sedang berkhutbah kepada manusia, kemudian baginda membacakan sepotong ayat. Ketika itu aku berada di samping Ubay bin Kaab, maka bertanyakan kepadanya:"Wahai Ubay, bilakah ayat ini diturunkan?" Akan tetapi dia enggan berbicara denganku, maka aku mengulangi pertanyaanku dan dia masih enggan berbicara denganku, sehinggalah Nabi s.a.w. turun (dari mimbar). Kemudian Ubay mengatakan kepadaku: Engkau tidak memperoleh apa-apa pun dari (solat) Juma'atmu melainkan perkataan-perkataan yang sia-sia.  Selepas solat, aku menemui Nabi s.a.w. dan mengadukan kepadanya tentang peristiwa tadi. Lantas Baginda bersabda: Ubay benar, apabila engkau mendengar imam berkhutbah maka dengarlah dan diamlah sehingga habis dia khutbahnya" (HR Ahmad no 20780, Ibn Majah no 1111)

Begitu banyak orang melakukan solat sendirian (solat sunat) di masjid tanpa sutrah atau hadangan di depannya.  Tahu-tahu mereka berdiri dan bertakbir, walhal jelas Nabi s.a.w. melarang solat tanpa sutrah atau hadangan di hadapannya.  Kalau tidak mahu membawa hadangan seperti kayu atau kotak, carilah tempat yang berhadangan seperti tiang, dinding atau langsir. 

Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) berkata, Nabi s.a.w. bersabda (artinya):

“Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah.”

An-Nabi s.a.w. telah melarang seseorang yang hendak melaksanakan solat melainkan dengan menghadap sutrah. Oleh itu, mana mungkin beliau melakukan sesuatu yang beliau sendiri larang?” (Shahih Ibnu Khuzaimah, 2/27 -Al-Maktab al-Islami)

Nabi s.a.w. juga melarang sesiapa melintasi orang solat.  Jangan melewati di hadapan orang solat, hukumnya haram!

Ini maksud sabda Nabi s.a.w.

“Sekiranya seorang yang melalui di hdapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini”. Berkata perawi: “aku tidak tahu samada Nabi menyebut 40 hari atau bulan atau tahun" ( HR al-Bukhari)

Maksud sabda  Nabi s.a.w.  yang lain pula,

“Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah syaitan" ( HR al-Bukhari)

Kesimpulannya, jika beriman dengan hadis larangan berkata-kata sewaktu khatib berkhutbah, maka beriman juga dengan larangan bersolat tanpa sutrah.  Apa lagi larangan melintasi orang solat!