Pengikut

Rabu, Oktober 23, 2013

HUDUD: Mimpi pun susah dapat

BERITA Negara Brunei Darussalam mahu melaksanakan Hudud menjadi bualan baru pencinta Hudud di Malaysia.  Di Malaysia, hudud hanya dijadikan umpan, dilambung sana-sini. Orang-orang yang bencikan hudud jangan bimbang dengan apa yang berlaku di Brunei.  Hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia.  Hudud hanya akan dijadikan bahan mendakwa dirinya paling beriman kepada Allah atau si pulan paling munafik.

Mengapa hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia?

Pertama:  Sistem demokrasi yang diamalkan menyebabkan hudud tidak akan dilaksanakan.  Melalui sistem ini parti yang mahu melaksanakan hudud mesti menguasai dua pertiga kekuasaan di Parlimen. Tidak ada satu parti pun yang dapat berbuat demikian. Malah parti yang mahu melaksanakan hudud kini mesti mengampu para pembenci hudud untuk menambah kemenangan di kawasan pembenci hudud.

Kedua: Parti-parti politik yang membenci hudud sedang mengikat kemas setiap parti yang berhasrat melaksanakan hudud.  Pas  sedang diikat kemas oleh DAP dan PKR supaya tidak lagi berangan-angan mahukan hudud.  MCA dalam BN pula sering memberi amaran supaya parti Umno (Melayu-Islam) agar tidak membuat hubungan dengan Pas.  Sekerat beras pun MCA tidak akan membenarkan adanya hubungan Umno-Pas.  Oleh kerana Umno dan Pas sedang diikat dalam kandang yang berbeda, maka suara Melayu-Islam menjadi kecil.  Akhirnya, untuk apa-apa pun Umno kena ambil kira kehendak MCA. Pas pun kena ambil kira kehendak DAP dan PKR.


Oleh itu, kita baca sajalah berita negara Islam lain melaksnakan hudud. Kita ada kawan lain yang lebih penting.

POLIGAMI orang kaget, rasuah...biasalah

ORANG lebih kaget jika seseorang tokoh mendedahkan dia mengamalkan poligami berbanding mengamalkan rasuah!  Maka orang tidak hairan sangat apabila seorang tokoh melepaskan rahsianya memberi rasuah demi politik pada masa lalu.  Rasuah sudah menjadi rahsia umum rakyat.  Mujur juga Malaysia masih malu-malu kucing meminta rasuah secara terbuka. Di negara jiran, agensi kerajaannya terang-terang meminta bayaran tambahan kepada pelancong walaupun semua bayaran wajib sudah dilaksanakan.  Rakyat Malaysia yang menjadi pelancong di sana pulang membawa cerita rakyat di sana yang ‘berlapang dada’ dengan rasuah.


Rasuah tetap haram walaupun sudah menjadi rahsia umum atau budaya.  Haram dan dosa tidak boleh dihapuskan dengan semua orang berpakat-pakat menukar nama rasuah kepada ‘sedekah berharap’ misalnya.  Allah haramkannya dalam ayat 188 surah al-Baqarah (maksudnya), “Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan batil, dan (janganlah) kamu menyuap harta kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain dengan jalan dosa, padalah kamu mengetahui.”

Punca rasuah bukan pendapatan kecil. Yang minta rasuah sedang bergaji besar. Mereka minta rasuah bukan RM50.00 tetapi sampai setengah juta ringgit.  Yang berjawatan kecil sebagai penguatkuasa bolehlah berkongsi-kongsi dan sebulan dapatlah RM500.00.  Apakah mereka tidak sedar perbuatan itu haram dan berdosa? Sedar!

Rasuah sebagian kesan daripada rakyat yang tidak perdulikan undang-undang.  Lihatlah bagaimana merdekanya rakyat tidak patuh undang-undang jalan raya.  Mereka tahu semua itu salah, tetapi semua mahu cepat dan mudah. Anak-anak sentiasa dilatih tidak patuh undang-undang, dengan menungang motorsikal tanpa lesen dan topi keledar.  Yang dewasa menunjukkan masa-masa memakai topi keledar hanya ketika ada penguat kuasa.  Ini bukan diajarkan oleh orang buta huruf, tetapi pemegang diploma dan jazah malah ketua-ketua agama yang membaca wahyu Allah.

Orang-orang yang begitu bertekad membenci rasuah pun nampaknya cuba juga mengelak cukai pendapatan dan cukai impot barang.  Cuba lihat pelancong dalam negara di Langkawi (misalnya), mereka yang terdidik tinggi termasuk yang faham agama juga memilih cara ‘bagaimana hendak mengelak cukai’.  Mengelak cukai bermakna mencuri wang negara.

‘Sekecil-kecil’ perbuatan membuang sampah pun, masih memerlukan penguatkuasa untuk memastikan kawasan bersih.  Papan tanda larangan merokok di masjid, termasuk penjelasan dalam khutbah Jumaat, tidak berkesan mendidik orang meninggalkan tabiat merokok di kawasan masjid!

Murid-murid di sekolah pula berbangga jika dapat melakukan perbuatan yang melanggar peraturan. Tidak menjadi ‘hero’ jika patuh undang-undang.  Termasuk juga kepada pengikut parti politik yang tidak berkuasa, mereka diasuh agar melawan undang-undang sebagai tanda berjuang.

Tidak hairanlah rasuah berleluasa. Bukan masalah agama tidak dapat mengawal nafsu makan rasuah, tetapi orang agama pun pandai membelit hukum jika ada kepentingan perut mereka.  Lihat saja adat kenduri arwah yang jelas berlawanan dengan banyak ayat al-Quran, malah Imam Syafie sebagai Imam mazhab juga melarangnya, namun atas nama yang halal seperti ‘bid’ah hasanah’ , ‘khilafiyah’ dan ‘berlapang dada’ maka perut mereka kenyang percuma setiap ada kematian dan majlis mengenang kematian.

Selagi rakyat tidak dapat menjalani kehidupan berpandu undang-undang tanpa pengawasan  penguatkuasa, jangan haraplah rasuah akan dapat dibanteras.  Masalah rasuah hanya salah satu akibat rakyat diasuh melanggar banyak peraturan atau undang-undang.  Apa lagi pada zaman orang berkempen tentang hak-hak asasi manusia dan amalan liberalisme.

Sebenarnya Islam dapat membendung rasuah dan masalah lain, tetapi cara Islam itu difahami nyata memberi kesan baik atau gagal.  Setakat belajar tauhid kaedah sifat 20 yang dikatakan akidah sebagai paksi perbuatan manusia – gagal. Akidah mesti difahami berdasarkan syahadah ‘Tiada tuhan melainkan Allah dan menerima Muhammad sebagai pesuruh-Nya’. Setiap muslim wajib memahami penerimaan Allah sebagai Tuhan bermakna menolak kepentingan lain yang berlawanan dengan-Nya.  Yang berlaku dalam pendidikan akidah ialah membincangkan sifat Allah berbulan-bulan dengan bahasa alafalsafah.  Hendak faham pun susah.  Itulah berpuluh-puluh tahun.  Pembelajaran cara ini tidak membawa pemahaman Islam sebagai satu cara hidup, melainkan Islam sebagai tanda nama sahaja.


Akibatnya, rasuah sebenarnya salah satu daripada banyaknya masalah dalam umah.

Sabtu, Oktober 19, 2013

PENGHINA Nabi sudah muslim, pasangan Bak Kut Teh bila?

daripada akhbar Sinar Harian
DAHULU menghina Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w., sekarang sudah selesai menunaikan ibadah haji.  Ertinya, dia sudah beragama Islam, yang pernah dikatanista. Itulah Si Arnold Fandor pembikin filem di Belanda . Dengan memeluk Islam (bertaubat), maka dia dikasihi semua  muslim yang dulu zaman dia mengeji Rasulullah dia dibenci  semua muslim yang beriman. 

Di Malaysia kita ada pasangan keturunan Cina yang telah menghina Islam pada bulan Ramadan.  Setelah melalui sebagian proses undang-undang, Vivian si perempuan diberitakan sangat menyesal terjebak dalam kontroversi yang menakutkan.  Sebelumnya, dia tidak pernah membayangkan derita batin akibat tindakannya.  Moga-moga Allah beri hidayah kepada pasangan yang pernah menyakitkan hati muslim pada bulan Ramadan yang lalu, sebagaimana Arnold Fandor mendapat hidayah.

Harap pasangan bak kut teh itu sudah membaca kisah Arnold Fandor yang jiwanya tenang setelah memeluk Islam.


 RIYADH - Seorang penerbit filem Belanda yang memeluk Islam setelah mencetuskan kontroversi apabila menerbitkan filem yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. berasa tenang dapat mengerjakan ibadat haji ketika ini.
  
Arnold Fandor dalam wawancara dengan akhbar Okaz Arab Saudi menceritakan bagaimana beliau mendapat ketenangan jiwa setelah memeluk Islam kira-kira
setahun lalu, menyebabkan beliau bertaubat di atas segala dosanya.
  
Fandor yang bersedia untuk melontar di Jamrah bagi melengkapkan rukun hajinya, semasa diwawancara berkata beliau merasakan hatinya menjerit kegembiraan ketika menunaikan haji.
    
”Di dalam hati saya kini merasai ketenangan. Setiap kali saya berdoa saya akan mengelap air mata apabila mengenangkan dosa-dosa saya yang lalu dan bertaubat.
  
"Kini saya akan berkhidmat dan berusaha di dalam menghasilkan filem dan produk yang dapat menaikkan Islam serta yang mencerminkan kehebatan pencipta dan keperibadian akhlak mulia Rasulullah S.A.W. selepas pulang daripada haji,” beliau dipetik sebagai berkata dalam akhbar itu semalam.

Sambil tersenyum, Fandor menyatakan beliau merasakan satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan ketika menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
  
Air matanya tidak henti-henti mengalir, menurut akhbar itu.
  
"Pada mulanya, terdapat kesulitan yang dihadapi oleh saya pada peringkat awal saya memeluk Islam kerana saya bukan datang daripada keluarga Islam dan membesar di persekitaran Islam.
  
"Walau bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat saya untuk belajar dengan lebih mendalam berkenaan agama yang agung ini.
  
“Saya berasa teruja untuk mendalami dan mengetahui tentang Islam. Lalu saya membaca banyak tentang Islam sehinggalah ia meresap ke dalam hati saya dan fikiran saya mengatakan bahawa agama Islam membawa satu mesej yang besar dan mulia.

"Kemudian perasaan tersebut semakin kuat sehingga hati saya terbuka lalu saya membuat keputusan untuk memeluk Islam. Sekarang saya bersyukur dan merasa amat bahagia serta memiliki ketenangan jiwa.
  
"Sebelum memeluk Islam, saya hanya membayangkan bahawa hidup ini hanya untuk menyedut udara sahaja.
  
"Saya dapati tidak ada ketenangan yang sempurna sehinggalah saya menziarahi makam Rasulullah SAW dan ketika itulah saya berhasrat untuk menerbitkan filem berkenaan keperibadian baginda yang mulia,” katanya.
  
Fandor berkata ini kali pertama beliau mengerjakan haji dan kali kedua menjejakkan kaki ke Tanah Suci selepas melakukan umrah pada Februari lepas.
   
Katanya selepas selesai menyempurnakan urusan haji, beliau bercadang meluangkan masa beberapa hari di Madinah al-Munawwarah kerana beliau berasa amat selesa dan aman untuk membaca al-Quran dan kitab-kitab agama di Masjid Nabawi.  - Bernama

Rabu, Oktober 16, 2013

MEREKA mahu umat Islam percaya Allah ada anak lelaki!

DESAKAN pemimpin Kristian Katolik agar kalimah Allah disebut dalam media dan amalan beragama mereka adalah isu besar dalam kalangan umat Islam Malaysia.  Debat boleh atau tidaknya kaum Kristian menggunakan kalimah itu bukan hanya di kedai kopi malah sudah ke Mahkamah Rayuan (mungkin ke Mahkamah Persekutuan pula).


Orang Melayu yang menyokong desakan kepemimpinan gereja Katolik Malaysia pun bukan hanya dalam kalangan yang ‘tidak faham agama’ malah termasuk yang mendakwa pejuang Islam.  Mereka pun sedia dengan hujah sejarah agama sejak zaman sebelum kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. lagi.  Ya, bukalah al-Quran, tentu kita dapat menemuinya.  Orang yang menidakkan keinginan gereja Katolik pun ada hujahnya.  Setakat ini, berdasarkan undang-undang, gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam media (termasuk dalam kefahaman beragama) mereka.

Jika gereja Katolik tetap mahu menggunakan kalimah Allah untuk merujuk Tuhan yang disembah dalam keyakinan beragama mereka, maka bersedialah untuk menerima kritikan daripada penganut Islam.  Kritikan itu bukanlah baru, malah Allah swt. sendiri sudah menyampaikannya kepada gereja (dalam al-Quran disebut kaum Nasrani). Isu utama yang menyebabkan kemurkaan Allah ialah pihak gereja mendakwa Allah mempunyai anak.  Mereka mendakwa Nabi Isa a.s. adalah Anak Allah! Dalam kitab mereka sekarang tidak disebut Nabi Isa tetapi Jesus.  Tidak lain Jesus itu adalah Nabi Isa yang disebut dalam al-Quran. 

Maksud surah al-Baqarah ayat 116, “Dan mereka berkata ‘Allah mempunyai anak’. Mahasuci Allah, bahkan milik-Nya apa yang ada di langit dan bumi.  Semua tunduk kepada-Nya.”

Bagaimana gereja boleh mendakwa Allah sebagai Tuhan yang berkuasa sepenuhnya ke atas seluruh alam boleh menjadi ‘kerdil’ seperti manusia dengan mempunyai seorang anak? Tuhan yang sifatnya tidak sama dengan makhluk perlukan bantuan seorang anak? Akal manusia yang waras pun dengan mudah menafikannya.  Mereka telah mencabar keagungan Allah.  Inilah cabaran manusia yang paling ganas, sehingga Allah mengatakan langit pun hampir pecah disebabkan keceluparan manusia yang beragama Nasrani (baca Kristian apa mazhab pun).

Maksud surah Maryam ayat 88-92,  “Dan mereka (Nasrani) berkata ‘Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.  Sungguh kamu (Nasrani) telah mendatangkan satu perkara yang sangat mungkar.  Hampir-hampir langit pecah kerna ucapan itu, (yang lain) bumi terbelah dan gunung-ganang runtuh kerna mereka mendakwa (Allah) Yang Maha Pemurah mempunyai anak.  Dan tidak mungkin (Allah) Yang Maha Pengasih mempunyai anak’ ”.

Penyokong gereja Katolik juga mendakwa penganut agama itu ada hak atas nama ‘kebebasan beragama’ yang dijamin dalam perlembagaan.  Yalah, itu tafsiran yang diguna pakai untuk mendakyah apa juga agama kepada umat Islam.  Umat Islam jangan kagetlah, sebab peringatan Allah sudah lama ada dalam al-Quran.  Kaum Kristian dan Yahudi tidak akan rela atau senyum reda jika kita masih mentauhidkan Allah sebagai Tuhan.  Mereka mahu kita mengatakan Allah seperti yang mereka faham iaitu Allah ada anak lelaki bernama Isa atau Jesus.  Oleh  itu mereka sedang berusaha supaya kalimah Allah diguna dalam keagamaan Kristian supaya sebagian umat Islam di Malaysia dapat menerima fahaman mereka bahawa Allah ada anak lelaki! 

Maksud surah al-Baqarah ayat 120, “Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Nabi Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka.”  Kata Ibnu Abas r.a. kaum Yahudi di Madinah dan Nasrani Najran mengharap agar Rasulullah s.a.w. solat menghadap ke kiblat mereka.  Harapan mereka semakin tipis apabila Allah mengubah arah kiblat muslimin ke arah Kaabah (di Makkah). Dan mereka pun putus asa.  Lihat Tafsir Ibnu Katsir.  Dalam bab menghadap kiblat sewaktu menyembah Tuhan pun mereka mahu muslim ikut cara mereka.


Kesimpulannya, umat Islam kena faham yang gereja Katolik mempunyai misi terhadap umat Islam.  Dan umat Islam mesti bersedia mempertahankan tauhid yang benar, termasuk cara berdebat atau berhujah dengan mereka berkenaan sifat Allah Yang Maha Berkuasa tanpa bantuan apa-apa, sedangkan mereka telah mengubah sifat Allah itu dengan perlukan bantuan seorang anak yang lemah bernama manusia!

Ahad, Oktober 13, 2013

BERPUASALAH pada 9 Zulhijah

CATATAN seorang sahabat untuk disebarkan kepada pencinta sunah nabi s.a.w.

Hari 'Arafah ini memiliki keutamaan yang besar dan keberkahan yang melimpah. Di antaranya ialah:

1. Allah menghapuskan dosa-dosa orang yang berpuasa pada hari itu selama dua tahun.

"Sesungguhnya Rasulullah saw pernah ditanya mengenai puasa pada 'Arafah, kemudian beliau menjawab, "Ia dapat menghapuskan dosa-dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang." - Hadis Riwayat Muslim.


Syarah hadis di atas:
"Bahawa Allah akan membimbingnya untuk tidak terjerumus ke dalam dosa-dosa, kemudian menghapus untuk menyesuaikan susunan kata-kata dengan ungkapan 'tahun yang telah lalu', dan jika pada tahun akan datang orang tersebut melakukan dosa, maka ia akan dibimbing untuk melakukan sesuatu (yang baik) yang boleh menghapus dosanya."
- Syaikh Muhammad bin Ismail Al-'Amir Ash-Shan'ani, Kitab Subulus As-Salam Syarh Bulughul Maram.


2. Ramainya orang yang dibebaskan Allah pada hari itu dari api Neraka, mendekatnya Allah ke langit dunia, dan Allah membangga-banggakan jamaah haji di kalangan Malaikat.

Rasulullah saw bersabda,

"Tidak ada hari yang di dalamnya Allah lebih banyak membebaskan hamba-Nya dari api neraka daripada hari 'Arafah. Sesungguhnya Dia (yakni Allah) mendekat, kemudian membangga-banggakan mereka (jamaah haji) di hadapan para Malaikat, kemudian berfirman: 'Apa yang mereka inginkan?" - Hadis Riwayat Muslim.

Rasulullah saw bersabda lagi,

"Pada hari 'Arafah, Allah turun ke langit dunia, lalu Dia membangga-banggakan mereka (jamaah haji) di jadapan para Malaikat, kemudian Allah berfirman, 'Perhatikanlah hamba-hamba-Ku, mereka mendatangi-Ku dalam keadaan kusut dan berdebu serta berjemur di bawah matahari, dari segenap penjuru yang jauh. Aku persaksikan kepada kalian bahawa Aku telah mengampuni mereka..." - Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban.

Selasa, Oktober 08, 2013

YB Exco Selangor mampir di Masjid Al-Abrar Batu 2 Sepintas

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Negeri Selangor YB Ustaz Sallehen Mukhyi mampir seketika di Masjid Al-Abrar Batu 2 Sepintas, Sabak Bernam selepas Maghrib tadi dan menyampaikan sedikit taklimat kepada ahli Jemaah masjid.  Antara perkara yang dinyatakan ialah beliau dalam perancangan untuk membawa draf enakmen kod etika pakaian muslim untuk dibahas dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri.  Tujuan kod etika pakaian muslim ini sebagai garis panduan pakaian muslim di Selangor.

Di bawah tanggung jawabnya, usaha sedang dibuat untuk membangunkan pusat makanan halal di Pulau Indah.  Menurutnya, pusat ini diharap dapat disertai juga usahawan makanan daripada kaum Tionghua beragama Islam selain kaum Melayu.  Menurut YB Ustaz, usaha ini lebih kepada strategi dakwah kepada masyarakat bukan Islam, khasnya kaum Tionghua.

Beliau juga menyatakan usaha sedang dibuat untuk membina sebuah masjid reka bentuk tradisi Cina seperti masjid Cina di Rantau Panjang Kelantan.  Tujuan pembinaan masjid ini sebagai jalan dakwah kepada masyarakat Tionghua dan tempatnya ialah di Petaling Jaya.  Kedudukan yang tepat kerna di sana merupakan kawasan yang majoriti penduduknya keturunan Tionghua.

Selain itu beliau memaklumkan Kolej Universiti Islam Selangor akan menawarkan Diploma Tahfiz yang tidak dikenakan bayaran.  Perancangan seterusnya ialah beliau akan mengusahakan penubuhan Biasiswa Sultan Sharafuddin Idris Shah (Baginda Sultan Selangor) untuk penuntut-penuntut Diploma Tahfiz berkenaan.  Matlamat projek ini ialah untuk melahirkan Hafiz al-Quran dan sekaligus sebagai pentafsir al-Quran.

Terdapat satu perkembangan dakwah hebat yang sedang berlaku telah dikhabarkan kepada ahli Jemaah, namun saya fikir baik dirahsiakan supaya tidak menjadi kontroversi. YB Ustaz pun menyatakan perkara ini walaupun hebat tidak diwar-warkan supaya tidak menimbulkan masalah lain.


Dalam sesi pertanyaan, ayah saya bertanya mengenai perkembangan ajaran Syiah di Selangor.  Menurut YB Ustaz, dalam undang-undang di Selangor telah ada peruntukan bahawa hanya akidah Ahlus Sunah Wal Jamaah dijadikan pegangan beragama Islam.  Oleh itu katanya tidak perlu dibuat pindaan Enakmen atau satu undang-undang baru anti-Syiah.

Isnin, Oktober 07, 2013

TAMAN Pertanian Kuantan sudah hilang seri

LIMA tahun sebelum ini saya kerap mengunjungi Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di Kuantan.  Sama  ada menguruskan remaja yang mengikuti perkhemahan atau berrekreasi bersama keluarga.  Kebetulan juga waktu itu paman saya merupakan  kakitangan Jabatan Pertanian Pahang yang ditugaskan menjaga Taman Pertanian ini, maka beliau memberi peluang kepada saya meneroka labih jauh di sana.

Taman Pertanian ini dikendalikan oleh Jabatan Pertanian Negeri Pahang. Selain tapak perkhemahan yang boleh digunakan oleh pelbagai pihak, ladang buah-buahan seperti rambutan, cempedak, durian, manggis dan lain-lain masih mengeluarkan hasil apabila tiba musimnya.

produk baru: Laman pertandingan suara burung

Chalet sebagai penginapan juga disediakan di bahagian hadapan taman ini.  Dahulu, sebuah kolam dipenuhi pelbagai jenis ikan dan menjadi kegemaran pengunjung ke sana.

Hari ini, saya kaget melihat apa yang ada di taman ini.  Selain ladang-ladang yang masih mengeluarkan hasil, nampaknya kawasan tapak perkhemahan yang menjadi punca kedatangan pengunjung sudah kehilangan serinya.  Limpahan air sungai telah menenggelami beberapa kawasan tapak perkhemahan termasuk pondok aktiviti untuk ceramah atau dewan makan.  Namun tapak perkhemahan yang tinggi masih digunakan. 

Jalan utama ke tapak perkhemahan juga sudah musnah ditenggelami air.  Selain itu kawasan tepi kolam ikan memang sudah tidak ada serinya lagi.


Sayanglah, taman pertanian ini kehilangan seri pada saat bandar Kuantan sedang dimodenkan.  Sebagian fungsi Bandar Kuantan sudah dipindahkan ke Indera Mahkota kerana bandar Kuantan semakin sesak.  Pejabat imigresen, mahkamah dan stesen bas bukan lagi di tengah-tengah Kuantan, sebaliknya di Indera Mahkota.  Taman Pertanian Sultan Ahmad Shah juga di Indera Mahkota.  Sekali lagi, sangat kontradik keadaan taman pertanian berkenaan.

Jalan utama ke tapak perkhemahan tidak boleh dilalui

Tapak perkhemahan kedua di kawasan rendah yg bermasalah

Jalan di sekitar kolam sudah tidak dijaga

Antara chalet yang sudah diabaikan

pagar di tepi kolam yang sudah musnah

Kolam ikan ini dikatakan cetek akibat pembinaan UIAM Kuantan

Khamis, Oktober 03, 2013

TERJEMAHAN sejadi al-Quran dalam Bahasa Melayu

MAJORITI besar orang Nusantara tidak faham bahasa Arab, maka untuk memahami al-Quran mesti melalui terjemahan bahasa Melayu.  Hari ini terjemahan al-Quran bahasa Melayu boleh didapati di mana-mana, dan masyarakat Nusantara yang tidak faham bahasa Arab telah mendapat manfaat yang banyak hasil daripada kerja-kerja penterjemahan oleh ulama atau ahli ilmu.

terjemahan sejadi al-Quran

Hasil terjemahan yang terbaik ialah terjemahan sejadi.  Siapa yang belajar konsep penterjemahan dalam bahasa apa pun di dunia mesti mengetahui terjemahan sejadi.  Terjemahan sejadi ialah terjemahan daripada bahasa asing ke dalam bahasa sasaran dengan menjadikan hasil terjemahan itu hidup dalam budaya masyarakat sasaran.  Sebagi contoh, al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab di tanah Arab, tetapi melalui terjemahan sejadi ke dalam bahasa Melayu, para pembaca terjemahan itu merasakan seolah-olah wahyu diturunkan dalam budaya masyarakat Melayu.

Ada sekumpulan orang agama membuat tuduhan tidak senonoh terhadap pembacaan terjemahan al-Quran.  Tidak diketahui sama ada mereka jahil dalam konsep terjemahan, atau sengaja mempopularkan diri dengan mendakwa ‘kesesatan’ kepada sesiapa yang memahami sebagian ayat sifat Allah dalam al-Quran.

Mereka mendakwa terjemahan ‘istawa atau istiwa’ kepada ‘bersemayam’ merupakan penyelewengan akidah. Dakwanya lagi, bahawa ‘semayam’ bermaksud ‘duduk’ yang membawa pengertian Allah duduk seperti makhluk.  Oleh itu membaca terjemahan (contoh ayat 5 surah Taha) “Yang Maha Pengasih, yang bersemayam di atas Arasy” sebagai kesesatan akidah.  Namun perlu diingat pada setiap perkataan  semayam yang diguna sebagai menggantikan kalimah ‘istawa’ diberikan nota kaki “sifat Allah yang wajib diimani, sesuai dengan kebesaran dan kesucian-Nya”.

“Sesuai dengan kebesaran Allah dan kesucian-Nya” bermakna sifat Allah yang ‘bersemayam’ bukanlah seperti raja yang duduk di atas singgah sana.  Sebab itu dinyatakan “semayam sesuai dengan kebesaran Allah dan kesucian-Nya”.  Allah telah menjelaskan dasar memahami ayat sifat Allah yang Dia sendiri nyatakan dalam al-Quran seperti bersemayam di Arasy, wajah dan tangan Allah dengan memberikan penegasan pada ayat 11 surah as-Syura bermaksud, “Allah tidak menyamai apa juga”.  Jika sudah begitu dasarnya, maka muslim tidak akan membayangkan sifat Allah bersemayam itu seperti bersemayam seorang raja.

Mengapa dipilih istilah ‘bersemayam’ bukannya ‘duduk’?  Inilah yang dikatakan terjemahan sejadi dalam budaya bahasa sasaran.  Dalam budaya Melayu, gambaran duduk yang paling mulia ialah raja duduk bersemayam sebagai tanda berkedudukan tinggi dan berdaulat dalam pemerintahannya.  Perkataan duduk biasa diguna oleh rakyat jelata.  Oleh itu penterjemah memilih ‘semayam’ sebagai satu sifat keberadaan yang tertinggi, sesuai dengan kedudukan Allah sebagai penguasa alam.

Membaca Allah bersemayam di atas Arasy tidak merosakkan akdah sebab minda telah diasuh dengan prinsip bahawa Allah tidak sama dengan apa juga.  Allah tidak sama dengan apa yang akal manusia gambarkan.  Biar satu billion manusia memberi satu billion gambaran sifat Allah, semua tertolak sebab Allah sudah menyatakan ‘Allah tidak menyamai apa juga’.  Maka dengan menyebut Allah bersemayam di atas Arasy, mungkin hanya satu daripada satu billion gambaran manusia tentang Dia, yang semuanya tidak menyamai sifat raja bersemayam.

Jika tidak mahu menggunakan perkataan ‘bersemayam’ yang dikatakan menyamai sifat makhluk, sebenarnya tidak ada perkataan apa pun daripada semua bahasa di dunia untuk menggantikan kalimah istiwa, sebab semua terjemahan berkenaan mestilah dalam gambaran akal manusia. Sangat tidak memberi faedah kepada pembaca sasaran apabila ayat sifat Allah tidak berani diterjemah.  Lalu, adakah orang akan memahami isi kandungan al-Quran?

Atas matlamat terjemahan al-Quran untuk memberi kefahaman kepada bangsa sasaran (bukan Arab) maka dipilih perkataan yang sesuai dan sejadi tetapi diberi tanda (nota) bahawa sifat berkenaan hanya sesuai dengan kebesaran Allah, iaitu tidak mungkin menyamai sifat manusia atau mana-mana makhluk.


Wallahu aklam

Rabu, Oktober 02, 2013

TONGKAT RM15 ribu - tak percaya

SAYA tidak kaget dengan kesanggupan seseorang membeli satu barang yang hanya untuk disimpan berharga RM satu juta!  Banyak orang, maka banyak sikap dan pemikirannya. Telah banyak berlaku barang yang kepada seseorang biasa tidak ada nilai tetapi telah dibeli oleh seseorang dengan nilai tinggi yang tidak masuk akal. 
Ulama melelong tongkatnya - hanya hiasan
Yang saya kaget ialah apabila orang kuat beragama bertindak seperti orang kapitalis di Eropah mengenai barangan lelong.  Mengapa kaget?  Selama ini hampir semua pengajian agama yang saya lalui, pemberi ilmu mengkritik perbelanjaan yang membazir.  Terlalu banyak contoh yang diberikan oleh para Tuan Guru, ustaz, ustazah atau penceramah termasuk pakar motivasi.  Mudahnya, buat apa membeli sekotak mancis yang pernah dimiliki seorang penyanyi dengan harga RM10,000.00.  Terus terang,  tidak ada guru-guru agama saya memberi lampu hijau untuk anak-anak muridnya berbelanja begitu sekalipun punya pendapatan bulanan puluhan ribu sebulan.

Kepada saya aneh apabila seorang ulama melelong tongkatnya sehingga berharga RM15,000.00. Pembeli itu membeli tongkat kayu seorang ulama semata-mata kecintaannya kepada ulama berkenaan.  Dan ulama itu sendiri yang melelong tongkatnya.

Maka selepas ini orang agama janganlah mengkritik artis melelong berus gigi atau baju dalamnya sehingga bernilai ratusan ribu. Ada manusia yang mencintai artis berkenaan sanggup membayar harganya.  Seperti pembeli tongkat ulama yang tidak pun mahu menggunakan tongkat itu sebab dia masih gagah, pembeli berus gigi dan baju dalam artis pun bukan mahu menggunakannya.  Apa pun pembelian tetap dengan pembayaran.  Kalau ikut apa yang kerap saya dengar, sah pembelian itu satu pembaziran.  Selama ini orang agama tidak mengiktiraf pembelian seperti itu, sangat membazir.

Bagaimana jika untuk menderma?  Jika niat untuk menderma, beri sajalah duit puluhan ribu itu tanpa mendapat balasan apa-apa.  Itulah yang selama ini difahamkan kepada saya.  Beli, tetap beli sekalipun diselindung dengan perkataan takwa, iaitu derma.

Saya teringat kritikan Ustaz Mahmud Mat, penceramah terkenal di Pahang semasa saya di Kuantan dulu.  Dia mengkritik orang muda belanja beribu ringgit membeli ekzos kereta, semata-mata kepuasan diri dan mahu dilihat keretanya cantik – lain daripada yang lain.

Membeli tongkat kayu yang pernah digunakan oleh ulama juga kepuasan diri.  Membeli baju dalam artis juga untuk kepuasan diri.


Jadi, saya tertanya-tanya apa sebenarnya maksud ‘memadai’ dalam perbelanjaan.

Selasa, Oktober 01, 2013

ALLAH wujud tidak bertempat - Muktazilah

Oleh: Abu Syu’aib (www.al-ahkam.net)

Secara umumnya di Malaysia mazhab yang diikuti dalam fiqh ialah mazhab al-Syafie sementara mazhab di dalam beraqidah ialah aqidah yang disebut sebagai al-‘Asyairah yang disandarkan namanya kepada Imam Abul Hassan al-Asy’ari.

Namun adakah kita mengenali siapakah sebenarnya tokoh ini serta apakah aqidah yang sebenarnya yang dibawa oleh beliau. Dan adakah aqidah al-Imam al-Syafie ialah aqidah al-Asya’irah? Kebanyakkan umat Islam yang mengakui beraqidah dengan aqidah yang disandarkan kepada Abu Hassan al-Asy’ari tidak mengetahui iktiqad yang sebenar yang dipegang oleh beliau. Adakah aqidah yang menta’wil sifat-sifat Allah seperti sifat “Istiwa’ “yang dita’wil (diubah) menjadi Istaula (berkuasa) atau aqidah yang dibawa oleh para salafus soleh iaitu mengimani sifat yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t. sendiri tentang diri-Nya dan apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. tentang sifat-sifat Allah tanpa ta’wil (mengubah) takyif (tanya bagaimanakah) juga tidak tasybih (menyamakan) tidak juga ta’thil (menafikannya).

Sejarah ringkas Imam Abul Hassan al-Asy’ari

Secara ringkas nama beliau ialah Ali bin Ismail bin Abi Basyar bin Ishak, Abu al-Hassan dari keturunan sahabat nabi Abu Musa al-Asy’ari r.a. Beliau dilahirkan pada tahun 260 H dan sebahagiannya menyebut 270 H. Masa kecil dan mudanya dihabiskan di kota Basrah. Kota yang pada masa itu sebagai pusat kaum muktazilah dan tidak dapat dielakkan beliau terpengaruh dengannya.

Seperti yang ditulis oleh para ulama’ dalam kitab-kitab mereka menyatakan bahawa Imam Abu Hassan al-Asy’ari telah melalui beberapa peringkat aqidah seperti berikut :
aqidah Muktazilah yang kemudiannya bertaubat daripadanya. Beliau mendalami ilmu kalam dan pemikiran muktazilah dari ayah tirinya Abu Ali al-Jubbaie.

Seterusnya selepas keluarnya dari aqidah Muktazilah beliau telah mengisbatkan sifat al-Aqliyyah yang tujuh iaitu Hayat, Ilmu, Qudrat, Iradat, Sami’, Basar, Kalam. Beliau juga masih menta’wil (mengubah) sifat-sifat khabariah yang disebutkan di dalam al-Quran seperti muka, dua tangan, tapak kaki, betis dan lain-lain. Di dalam peringkat kedua ini beliau mengikut metod atau cara Ibnu Kullab 240 H.

Pada akhir hayatnya beliau kembali kepada aqidah ahlu Sunnah wal Jamaah iaitu mengisbatkan semua sifat dengan tidak menentukan kaifiyat dan tidak mentasbihkan (menyamakan) sifat-sifat Allah dengan makhluk, iaitu mengikut jalan Salafus Soleh.

Al-Imam Al-Subki (771 H) di dalam “al-Tabaqat al-Syafieyyah al-Kubra” halaman 347 menyatakan Imam Abu Hassan al-Asy’ari pada mulanya berguru dengan Abu Ali al-Jubbai dan mengikutnya dalam aqidah Muktazilah. Beliau berpegang dengan mazhab Muktazilah selama 40 tahun sehingga beliau menjadi seorang Imam dalam Muktazilah. Tatkala Allah mengkehendaki untuk menolong agama-Nya maka Allah menerangkan hatinya untuk mengikuti kebenaran. Kemudian beliau duduk di dalam rumahnya selama 15 hari. Selepas itu beliau keluar ke masjid Jami’ dan naik ke atas mimbar lalu berkata: “Wahai sekalian manusia aku telah menghilangkan diri dari kamu seketika, aku telah mengkaji sekian banyak dalil tetapi aku tidak merajihkan (melihat dalil yang tepat) sesuatu pun. Aku pun memohon petunjuk daripada Allah untuk memberiku hidayah kepada iktiqad (pegangan) yang telah aku tuliskan di dalam buku-bukuku ini. Dan aku telah meninggalkan kesemuanya apa yang telah aku beraqidah dahulunya (muktazilah) seperti mana aku menanggalkan jubahku ini”. Maka beliaupun menanggalkan jubahnya lalu dibuangnya. Setelah itu beliau telah mempertahankan apa yang telah beliau tulis mengikut mazhab ahli Sunnah wal Jamaah.

Al-Imam Ibn Kathir (774 H) di dalam “al-Bidayah wa al-Nihayah” jilid 11 halaman 139 menukilkan dari Ibn Khalikan menyatakan bahawa Abu Hassan al-Asy’ari pernah duduk di dalam majlis syeikh Abi Ishaq al-Marwazi, dan Imam al-Asy’ari adalah muktazilah kemudian dia telah bertaubat daripadanya di atas mimbar Jami’ al-Basrah sambil menyebutkan keburukan dan kesalahan muktazilah.

Aqidah dan pendirian al-Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari “di manakah Allah”

Di sini kita akan lihat apakah aqidah sebenar yang dipegang oleh beliau. Adakah aqidahnya menyatakan Allah wujud tidak bertempat? Adakah beliau mentakwil sifat-sifat Allah seperti yang didakwa oleh sebahagian pihak yang menisbahkan diri mereka kepada Imam al-Asy’ari. Adakah aqidah “Allah berada di mana-mana atau Allah wujud tidak bertempat” merupakan Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah atau Aqidah Muktazilah?

Di dalam Kitabnya al-Ibanah an Usuli al-Diyanah halaman 14, Imam Abul Hassan sendiri menyatakan tentang aqidahnya:
“Pendapat kami dan agama yang kami berpegang dengannya ialah berpegang teguh dengan kitab Tuhan kami dan Sunnah nabi kami a.s. dan apa yang diriwayatkan daripada sahabat-sahabat , tabi’in serta imam-imam hadith. Juga berpegang dengan apa yang dibawa oleh Abu Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal, mudah-mudahan Allah terangkan wajahnya dan mengangkat darjatnya serta memperbanyakkan pahalanya. (kerana pada waktu itu Imam Muhammad bin Hanbal terkenal sebagai Imam ahlu al-Sunnah wal Jamaah). Dan kami menyalahi (tidak bersetuju) perkataan yang menyalahi perkataan beliau. Kerana beliau adalah Imam yang utama, pemimpin yang sempurna yang Allah menerangkannya dengan kebenaran dan mengangkat kesesatan, menegaskan manhaj dan membanteras bid’ah dan membanteras penyimpangan yang dilakukan orang-orang sesat serta keraguan yang disebarkan oleh mereka yang ragu-ragu”.

Daripada kata-kata beliau kita mengetahui bahawasanya beliau pada aqidahnya ialah aqidah Ahlu Sunnah wal Jamaah sepertimana Imam yang diikutinya iaitu Imam Ahmad bin Hanbal. Apakah aqidah Imam Ahmad terhadap persoalan di mana Allah.
وقال الإمام أحمد بن حنبل رحمه الله في كتاب الرد على الجهمية مما جمعه ورواه عبد الله ابنه عنه. (باب بيان ما أنكرت الجهمية أن يكون الله على العرش). قلت لهم: أنكرتم أن يكون الله على العرش، وقد قال: ]الرحمن على العرش استوى[ (طه:5)؟ فقالوا: هو تحت الأرض السابعة، كما هو على العرش وفي السموات وفي الأرض. فقلنا: قد عرف المسلمون أماكن كثيرة ليس فيها من عظمة الرب شيء، أجسامكم، وأجوافكم، والحشوش، والأماكن القذرة، ليس فيها من عظمته شيء، وقد أخبرنا عزوجل أنه في السماء، فقال تعالى: ] أأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الأرض فإذا هي تمور (16) أم أمنتم من في السماء أن يرسل عليكم حاسبا[ الملك:16-17. ] إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح يرفعه[ فاطر: 10. ]إني مُتَوَفِّيْكَ وَرَافِعُكَ إلَيَّ[ آل عمران:55. ]بل رَّفَعَهُ اللهُ إلَيْهِ[ النساء:158. ]يخافون ربهم من فوقهم[ النحل:50. فقد أخبر سبحانه أنه في السماء.
Maksudnya:
Imam Ahmad bin Hanbal berkata di dalam kitab yang mengkritik kelompok Jahmiyyah (menafikan sifat bagi Allah) yang dihimpun dan diriwayatkan oleh anaknya Abdullah darinya: (Bab pada menerangkan pengingkaran kelompok Jahmiyyah terhadap sifat Istiwa‘ Allah di atas Arasy-Nya.) Aku (Imam Ahmad) berkata kepada mereka (jahmiyyah): ”Kamu telah mengingkari bahawasanya Allah itu beristiwa‘ di atas Arasy-Nya?” Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud “Al-Rahman beristiwa‘ di atas Arasy” surah Thoha:5. Lalu mereka berkata (Jahmiyyah): “Dia yakni Allah di bawah 7 lapisan bumi, sepertimana Dia di atas Arasy juga berada di langit dan di bumi”.
Imam Ahmad berkata: orang-orang Islam mengetahui di sana terdapat banyak tempat yang tidak sedikitpun melambangkan keagungan Allah, seperti di dalam jasad-jasad kamu, tempat-tempat kotor dan sebagainya. Allah s.w.t. telah menyatakan tentang dirinya kepada kita iaitu di langit, Allah berfirman seperti yang dinyatakan di atas surah al-Mulk: 16-17, surah al-Fathir:10, surah Ali Imran: 5, surah al-Nisa‘ :158, dan surah al-Nahl:50, semuanya menyatakan Maha Suci Allah berada di atas langit-Nya.

Maka begitulah aqidah Imam Abu al-Hassan seperti yang dinyatakan di dalam kitab-kitabnya bahawasanya Allah itu di atas langit-Nya beristiwa’ di atas Arasy.

Beliau berkata di dalam Kitabnya (الإبانة عن أصول الديانة) al-Ibanah an Usuli al-Diyanah halaman 15-16:
“Dan sesungguhnya Allah beristiwa’ di atas Arasy-Nya sepertimana yang difirmankan oleh Allah surah Thoha ayat 5 yang bermaksud: Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy”

Beliau tidak mentakwilkannya (mengubah kepada makna lain) kepada Istaula atau Qahara yang membawa maksud berkuasa seperti mana golongan Asya’irah mengubahnya. Mereka menyatakan Allah di mana-mana dan sebahagiannya memperjuangkan Allah wujud tidak bertempat yang kedua-duanya adalah aqidah Muktazilah, yang beliau telah bertaubat daripadanya.

Beliau juga menjelaskan aqidah ahli sunnah wal jammah yang telah diijmakkan oleh para ulamak di dalam kitabnya (رسالة إلى أهل الثغر) “Risalatun Ila Ahli al-Thaghar” halaman 232:
الإجماع التاسع : وأنه تعالى فوق سمواته على عرشه دون أرضه، وقد دل على ذلك بقوله: ] أأمنتم من في السماء أن يخسف بكم الأرض[ وقال ] إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح يرفعه[ وقال ] الرحمن على العرش استوى[ وليس استواءه على العرش استيلاء كما قال أهل القدر.

Maksudnya: Ijmak yang ke sembilan: “Sesungguhnya Allah Ta’ala di atas langit-langit-Nya di atas Arasy-Nya bukan di bumi, dalil menunjukkan yang demikian itu firman Allah surah al Mulk ayat 16 yang bermaksud: Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang dilangit bahawa dia akan melenyapkan bumi bersama kamu sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang? Dan firman Allah surah Fathir ayat 10 bermaksud “Kepadanyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh dinaikkan-Nya. Dan firman Allah surah Thoha ayat 5 yang bermaksud: Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy”. Dan bukanlah yang dimaksudkan dengan Istiwa’ itu Istila’ (berkuasa) seperti  yang dikatakan ahli Qadar.(Qadariyyah)

Kenyataan Imam Abu al-Hassan al-Asy’ari bahawasanya aqidah Allah berada di mana-mana atau Allah wujud tanpa bertempat ialah aqidah Muktazilah .
Ini seperti yang disebut olehnya sendiri di dalam kitabnya (مقالات الإسلاميين والختلاف المصلين) “Maqalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musollin” jilid 1. halaman 236:
اختلف المعتزلة في ذلك، فقال قائلون: البارئ بكل مكان، بمعنى أنه مدبر لكل مكان...والقائلون بهذا القول جمهور المعتزلة أبو هزيل والجعفراني والإسكافي ومحمد بن عبد الوهاب الجبائي. وقال قائلون: البارئ لا في مكان، بل هو على ما لم يزل. وهو قول هشام الفوطي وعباد بن سليمان وأبي زفر وغيرهم من المعتزلة. وقالت المعتزلة في قول الله عزوجل (طه: 5) ]الرحمن على العرش استوى[ يعني استولى.
Maksudnya:
Muktazilah telah bercanggah pendapat dalam masalah ini. Berkata sebahagiannya (iaitu) Allah berada di mana-mana bermaksud mentadbir di setiap tempat. Pendapat ini dipegang oleh jumhur Muktazilah, Abu Huzail, al-Ja’farani, al-Iskafi dan Muhammad bin Abdul Wahab al-Jubbaie. Sebahagian pula berkata Allah tidak bertempat. Pendapat ini ialah pendapat Hisyam al-Fuwathi, Abbad bin Sulaiman, Abi Zufar dan yang lainnya di kalangan muktazilah. Muktazilah berpendapat perkataan Istiwa’ di dalam Firman Allah surah Thoha ayat 5 yang bermaksud Al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy ialah bermaksud Istaula iaitu berkuasa.
Begitulah secara ringkas tentang aqidah Imam Abu Hassan al-Asy’ari yang dapat dinyatakan di sini, semoga apa yang dinyatakan di sini dapat membuka minda kita untuk mempelajari dan mendalami aqidah yang sahih yang berpandukan kepada al-Quran dan Sunnah nabi s.a.w.

tamat