Pengikut

Ahad, April 29, 2012

ISLAM daripada Allah, maka jangan berdusta dengan kalimah Islam


ENTAH berapa banyak orang menyarankan kembali kepada Islam apabila individu, masyarakat atau umah ditimpa masalah.  Sebut saja masalah keburukan sosial anak muda, ketinggalan ekonomi atau kemuncupan kuasa politik, pasti akan ada saranan supaya gunakan ajaran Islam untuk selesaikan masalah.  Seruan ajaran Islam seakan keramat, mudah menjadi penyejuk kemarahan dan kegelisahan.  Perkataan Islam juga mudah menarik minat masyarakat.  Malah orang yang sering menyeru kepada Islam juga mendapat manfaat peribadi apabila dianggap berperibadi mulia.  Mana mungkin orang yang menyeru kepada Islam, seorang yang bobrok peribadinya.

Islam itu satu agama dan sistem hidup.  Allah telah menyebut kalimah Islam dalam al-Quran serta mengesahkan satu agama yang sempurna.  Semua boleh lihat ayat 3 surah al-Ma’idah: “….Pada hari ini Aku sempurnakan agamamu untukmu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu dan Aku reda Islam menjadi agamamu.”

 Harap perbuatan seperti ini tidak dikaitkan atas nama Islam atau Allah

Oleh kerana Islam adalah satu rahmat kepada seluruhnya, maka semua mahu mendapat manfaat dengan Islam.  Lihatlah orang berniaga, mereka juga mempromosikan barangan yang halal termasuk sistem kewangan Islam.  Orang hendak mengubati pesakit juga awal-awal menyatakan kaedah rawatannya adalah secara Islam.  Orang hendak menjadi penguasa juga telah membawa mesej yang cara perjuangannya adalah menepati Islam. Bukan itu sahaja, malah mereka juga mendakwa amalan kekuasaannya nanti pasti kekuasaan Islam.  Anak-anak yang belajar dan mahu menduduki peperiksaan awam juga diberikan modul persediaan diri yang dikatakan secara Islam.

Kerana banyaknya seruan atas nama Islam dan begitu meluas pula kadang-kadang timbul pertanyaan mengapa setelah sekian lama dan banyaknya seruan atas nama Islam, masalah masih berlaku dan tidak surut pun.  Benar, sebagian yang menyatakan Islam berdasarkan ilmu dan kejujurannya, tetapi tidak kurang pula yang menjadikan istilah ‘Islam’ sebagai benteng dan senjata meneruskan cita-citanya.

Islam sebenarnya daripada Allah.  Seperti dalam ayat di atas bahawa Allah sendiri mengesahkan Islam sebagai agama yang sempurna. Maka sesiapa saja yang mendakwa itu Islam dan ini Islam sebenarnya mendakwa itu adalah kaedah atau sistem daripada Allah, bukan rekaan manusia biasa!  Walaupun tidak menyatakan dalil al-Quran untuk sesuatu penjelasan, apabila saja dikatakan Islam, pasti pautannya adalah Allah.  Oleh itu jika mendakwa itu Islam dan ini Islam sedangkan akhirnya berlawanan dengan prinsip al-Quran, maka sebenarnya individu berkenaan telah menjual nama Allah.  Orang seperti ini mengada-adakan kedustaan atas nama Allah untuk tujuan tertentu, mungkin dengan sedar atau sebaliknya.

Ada ancaman daripada Allah kepada sesiapa yang berani-berani mengada-adakan sesuatu yang disandarkan kepada Allah sedangkan hakikatnya tidak begitu.  Cuba lihat maksud ayat 33 surah al-Araf: “Katakanlah, Rabku (Tuhanku) hanya mengharamkan perbuatan keji, baik yang kelihatan atau tersembunyi, perbuatan  dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu, dan (mengharamkan perbuatan) mengada-adakan terhadap Allah apa saja yang tidak kamu ketahui.”

Kata Imam Ibn Qayyim, antara urutan itu, Allah menyebut sesuatu yang paling berat pengharamannya daripada semua itu, iaitu mengada-adakan atas nama-Nya tanpa ilmu.  Termasuk di dalamnya kebohongan yang terkait dengan seluruh asma sifat, perbuatan Allah, agama serta syariat-Nya.

Sebab itulah sebaik-baik tawaran Islam kepada sesiapa juga mestilah diberikan sandarannya daripada ayat al-Quran supaya jelas kedudukan di sisi Allah.  Hal ini juga untuk menambah keimanan kepada Allah dalam kehidupan seseorang serta meyakini bahawa apa yang sedang dilalui benar-benar daripada Allah, Tuhan yang maha berkuasa dan maha perkasa.


Jumaat, April 27, 2012

BUKU Pengajaran Shalat oleh A Hassan, 1977.


INILAH buku Pengajaran Shalat yang saya miliki mulai tahun 1987 ketika di Kuala Pilah.  Buku ini mengandungi teori dan praktik solat yang disertai dalil-dalil sahih. Kendatipun tajuk pada kulit buku sebagai pengajaran solat, namun kandungan buku ini merangkumi bab keimanan kepada Allah, Rukun Islam  dan urusan jenazah. 


Buku setebal  368 muka surat ini disusun oleh ulama ‘Kaum Muda’ yang terkenal pada zamannya iaitu A Hassan atau Hassan Bandung. Buku ini diterbitkan oleh Pustaka Abas Bandung di Melaka pada tahun 1977.  Tidak pasti, adakah Pustaka Abas Bandung ini masih wujud atau tidak.

Menariknya, semua pergerakan solat yang diajarkan dinyatakan dalil-dalil atau hadisnya oleh A Hassan.  Ini sangat sesuai dengan pemahaman penulis yang hanya menerima amal ibadah yang mempunyai dalil sahih, serta menolak sebarang amal ibadah tanpa dalil.

A Hassan merupakan pendiri Persatuan Islam (Persis) di Bangil Jawa Timur, satu gerakan pembaharuan atau tajdid dalam agama.

MUSIBAH yang menimpa orang agama


DAHULU tahun 70-an, remaja yang bersekolah agama di Tingkatan Tiga pun sudah diberi gelaran ustaz di desa-desa.  Belum tentu lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP), dan jika sampai ke Tingkatan Enam, lagilah tinggi penghormatan masyarakat desa kepadanya.  Merekalah yang akan menjadi imam di masjid atau mendepani apa juga majlis keagamaan.

Hari ini, tampak kelainan pandangan masyarakat.  Pelajar-pelajar Tingkatan Enam sekolah agama dan sekolah menengah kebangsaan dipandang sama sahaja.  Orang tidak memanggilnya ustaz atau ustazah!

Zaman berlalu dan pandangan masyarakat  pun berubah.  Mungkin ini antara pandangan dan suasana masyarakat.

Pertama: Pendidikan agama masyarakat semakin tinggi sehingga mereka sudah setaraf dengan pendidikan agama pelajar-pelajar sekolah agama.

Kedua: Pelajar-pelajar sekolah agama tidak memiliki watak ustaz dan ustazah yang diharapkan oleh anggota masyarakat.

Ketiga: Orang-orang agama juga terdedah dengan gejala social sebagaimana orang tidak berpendidikan agama, menyebabkan pelajar-pelajar agama dikira belum tentu kuat imannya di tengah-tengah masyarakat.

Keempat: Sekolah-sekolah agama sudah menerima sekian banyak mata pelajaran kemahiran keduniaan (akademik seperti Geografi, sejarah Sains dll) menyebabkan masyarakat menganggap pelajar-pelajar sekolah agama tidak ada bedanya dengan pelajar-pelajar sekolah menengah biasa.

Apa pun sebenarnya, harapan masyarakat terhadap orang agama tetap tinggi.  Setinggi mana dan berapa banyak pun harta seseorang, dia pasti tunduk hormat kepada imam atau ustaz, sekalipun imam itu pendapatannya di bawah garis kemiskinan.  Ini tidak lain kerana orang agama dilihat lebih mahir dalam urusan agama, sedangkan agama merupakan ‘hal suci’ dalam kehidupan.

Maka, jika ada orang agama yang tersasar jalan (sebab dia pun manusia biasa), maka dirinya menjadi berita, panjang dan lama untuk lenyap.  Kalau ada siri kes buruk melibatkan orang agama, ini merupakan petanda tidak baik terhadai imej orang agama sebab ceritanya seakan-akan bersiri pula.  Entah bila akan habis.  Yang terpalit sama ialah agama itu juga.

Besar pegangan agama, besar pula cobaan kepada dirinya.  Satu hadis diriwayatkan oleh Saad Abi Waqas,
     Dia (Saad) berkata: “Aku bertanya, wahai Rasulullah siapakah manusia yang paling berat cobaannya?”
   Baginda nabi menjawab, “Para nabi, lalu orang-orang yang mulia setelahnya.  Apabila agamanya kuat, maka cobaannya semakin berat.  Apabila terdapat sesuatu kelemahan dalam (pegangan) agamanya, maka dia akan diuji menurut kadar (pegangan) agamanya itu.  Tiada henti-hentinya cobaan menimpa hamba sampai ia bisa membuat orang berjalan di muka bumi dalam keadaan tanpa dosa.” (Riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya, melalui beberapa jalur periwayatan seperti Saad Abi Waqas.)

Ahad, April 22, 2012

JIKA miskin dan sakit cobaan Allah. Kaya, sihat dan ternama?


MAKSUD firman Allah ayat 155-157 surah al-Baqarah: “Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.  Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun’. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”



Dalam lingkungan ahli keluarga saya yang dekat dan jauh, ditemui macam-macam dugaan hidup yang meka alami.  Seorang ibu saudara saya yang hanya tinggal berdua dengan suaminya susah 10 tahun menjaga suaminya yang sakit.  Selama 10 tahun itulah dia setia menjaga suami yang sakitnya saban hari bertambah berat, dan kini lebih memerlukan penjagaan yang sangat rapi.  Saya hanya menumpang rasa kepayahan derita melalui pemandangan betapa sukarnya tanggungan fizikal dan mentalnya.  Bagi si suami yang kian lemah menderita kesakitan bertahun-tahun, tentulah terasa lama menanggung penderitaan.  Bayangkan penderitaan sakit fizikal yang semakin lemah, sedangkan kalau kita yang sihat ini sakit perut selama tujuh hari pun sudah terasa gelisah dan mahu segera penyakit itu keluar dari badan.

Sepupu ibu saya pula bukan sahaja menanggung derita kesihatannya semakin buruk, suaminya pula sudah semakin lemah kerana faktor usia dan penyakit lamanya.  Terasa berat cobaan dari Tuhan kerna selama hidupnya mereka bukanlah golongan yang menikmati kecukupan harta benda.  Kedua-duanya semakin lemah dan hanya mengharap tanggungan anak tunggal perempuannya.  Takdir Tuhan pula, si anak ini bukanlah berpendidikan tinggi yang membolehkannya mendapat pendapatan yang mampu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan. Ya Tuhan…

Demikianlah cobaan hidup kepada hamba-hamba-Nya. Cobaan yang mereka sedang rasai merupakan kepayahan dan kesakitan hidup.  Namun sebenarnya bukan hanya kepayahan harta benda dan kesakitan fizikal sebagai cobaan besar daripada Allah.  Mungkin ada yang kurang menyedari bahawa kemewahan dan kelegaan hidup juga sebagai cobaan besar daripada Allah.  Seperti maksud firman Allah ayat 28 surah al-Anfal: “Dan ketahuilah bahawa harta dan anak-anakmu itu hanya sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah pahala yang besar.”

Kekayaan yang melimpah ruah, anak-anak yang banyak serta berpendidikan tinggi kemudian menikmati kekayaan pula.  Setelah itu berbisan juga dengan orang yang mewah dan ternama, itu termasuk dalam cobaan Allah.  Cuma barangkali pemahaman manusia hanya melihat kemelaratan dan kesakitan sebagai cobaan kerana dirasakan hidup begitu amat payah sedangkan kemewahan dan kemasyhuran merupakan kenikmatan dan kejayaan hidup.  Banyak orang memberi pujian terhadap si kaya dan pandai kerana dimaksud itulah kejayaan hidupnya, bukan menyatakan kepadanya supaya beristirjak: Innaa lillahi wa inna lillahi raji’uun…..

Semoga Allah menjaga keimanan kita masa susah atau senang.

Jumaat, April 20, 2012

BUKIT bersejarah Kuala Selangor

SEWAKTU saya kecil ada cerita mengenai kehilangan pengantin dan keris yang dilarikan sang beruk di Kuala Selangor. Orang tua bercerita seperti pencerita sejarah yang unik dan misteri di atas bukit itu.  Hari ini Bukit Melawati merupakan bukit pelancongan di Kuala Selangor. Kepada pengunjung yang tidak mengetahui apa-apa sejarah Kuala Selangor, tidak ada nilainya kota batu dan susunan meriam purbanya.  Begitu juga barangan dalam musium seperti baju besi Bugis dan pistol lama.








Ahad, April 15, 2012

PENIAGA sesat akidah yang menyesatkan pelanggannya


DALAM filem Seniman Bujang Lapok ada babak Sudin yang menjampikan ‘batu hikmat’ kepada Ramli supaya mudah mendapatkan pinjaman.   Akhirnya apabila Ramli gagal mendapat pinjaman yang diinginkan, Sudin kesal dan melemparkan batu hikmat (dibeli dengan harga RM5.00, zaman hantaran mas kahwin RM200.00!) ke dalam longkang.



 Balang yang mengandungi objek segi empat

Sore 14 April 2012 di Pasar Malam di daerah Jengka Pahang, saya terjumpa seorang lelaki menjual batu-batu untuk dibuat cincin.  Terdapat tiga piring yang mengandungi batu-batu pelbagai warna. Ada yang ditulis ‘untuk bisnis’, ‘perkasihan’ dan ‘jaga diri’.  Berikut adalah antara dialog saya dengan penjual batu-batu hiasan cincin itu.

NMS

Penjual


NMS


Penjual


NMS

Penjual










NMS


Penjual

NMS

Penjual
Apa maksud jenis-jenis batu dalam piring ini Pak?

Ooo, jadi saudara tak tahu pasal batu.  Nanti kalau saya ceritakan banyak-banyak jadi tak percaya pula.

Memang tak tahu pasal batu.  Jadi yang dinamakan untuk bisnis apa?

Kalau memakai batu itu, ada rezekinya.  Akan menambah rezekinya.

Jadi batu ini ada kuasa?

Ya, ada kuasa…tapi bukan semua orang boleh memakai batu.  Ada batu sesuai untuk saya tidak kepada saudara.  (Penjual mengambil piring batu dan mendekatkan pada satu balang mengandungi air yang di dalamnya tergantung objek segi empat berwarna kuning)  Kalau itu berputar baru serasi namanya dan ada faedahnya.  (kemudian dia mendekatkan satu piring lagi dan mendekatkan pada balang berkenaan, dan memang objek yang tergantung itu berputar atau bergerak-gerak).  Nah, ini tanda serasi.  Tapi  batu ini serasi dengan saya.

Apa dalam benda itu Pak? (maksud saya benda segi empat yang tergantung)

Kitab qu’ran.  Kitab paling kecil.

Siapa yang menggerakkannya?

Ada khadamnya. Dia yang menggerakkan.
(Saya agak, mesti jin atau syaitan! Saya mengambil piring batu lain dan mendekatkan pada balang, tapi tak ada respon.  Saya ambil batu-batu lain untuk menguji lagi dan masih tidak menemukan batu yang boleh menggerakkannya.)
Kalau tidak ada yang serasi hari ini mungkin pada hari lain.

Kemudian saya hanya berdiri untuk terus memerhati dia bercakap dan berniaga.  Tidak lama kemudian datang seorang lelaki muda dan memilih batu.  Penjual pun menerangkan kepadanya sebagaimana dia lakukan kepada saya.  Dia mengeluarkan satu kotak kecil batu berwarna hijau dan menyuruh lelaki itu mendekatkan pada balang berair itu.  Dan kotak kecil yang dikatakan qur’an kecil itu bergoyang-goyang.  Lelaki itu mahu membelinya kerna percaya hikmat atau serasi batu itu pada dirinya.  Sebelum diserah kepada lelaki muda berkenaan, batu hijau yang dikatakan ‘jade’ itu dijampi, diusap beberapa kali, ditiup dan disapu minyak wangi. Harganya RM20.00!

Tidak lama datang dua perempuan muda kenalan lelaki muda tadi.  Mereka pun mahu mencuba kerna percaya apa yang diberitahu si lelaki muda tadi.  Tidak lama salah seorang perempuan itu, dia sudah mendapat batu yang dapat menggoyangkan objek dalam balang berair itu. Dan batu itu pun dijual kepadanya.

Yang saya hairan, mengapa usaha saya tetap gagal untuk mendapat batu hikmat dengan tanda objek itu bergoyang-goyang.  Mungkinkah si khadam jin atau iblis tahu minda saya sedang mengecam kerja-kerja bodoh itu?

Demikianlah babak perniagaan mistik batu.  Saya yakin penjual batu ini seorang penipu.  Dia menipu orang-orang yang bodoh tetapi ada keinginan macam-macam.  Si penjual, dengan bantuan makhluk halus memperdaya orang ramai dengan ‘batu serasi’ supaya pemakai batu itu kononnya akan maju perniagaannya, mudah mendapat pekerjaan atau jawatan tinggi, senantiasa bahagia rumah tangga atau selamat daripada gangguan orang lain.  Pokoknya si batu hikmat itulah yang akan membantu si pemakainya menjalani kehidupan yang bahagia dan mewah nanti!

Inilah perniagaan secara syirik (menyengutukan Allah) dan menyesatkan pula orang lain. Konon si peniaga tahu hal ghaib, iaitu faedah atau keuntungan setelah memiliki batu-batu hiasan cincin!

Maksud ayat 26-27 surah al Jin: “(Dialah Allah) Yang mengetahui hal ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu, kecuali kepada rasul yang diredai-Nya.  Maka seseungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (para malaikat) di depan dan belakangnya.”

Maksud ayat 59 surah al-An’am: “Dan pada sisi Allah kunci-kunci semua yang ghaib, tidak ada yang mengetahui kecuali Dia sendiri.  Dan Dia mengetahui apa yang ada di daratan dan lautan, dan tidak sehelai pun dauh yang gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir biji pun ke bumi dalam kegelapan dan tidak sesuatu yang basah atau kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauhul Mahfuz).”

Jadi, bagaimana seorang manusia penjual batu-batu hiasan cincin mengetahui nasib-nasib seseorang berdasarkan batu-batu yang akan dipegangnya?

Ahad, April 08, 2012

AHLI politik tidak belajar sejarah Perjanjian Pangkor 1874


Sejarah untuk diambil iktibar, untuk diikuti jika baik dan dijadikan teladan  dan sempadan jika buruk.  Al-Quran pun menyenaraikan sekian banyak peristiwa sejarah. Sama ada kepada manusia hari ini atau kepada mereka zaman Nabi, semua itu sejarah.  Contohnya kisah Nabi Musa bersama Bani Israel.  Semua itu adalah untuk dijadikan iktibar.

Jangan lupakan sejarah Perjanjian Pangkor 1874.  Apabila Sultan Ali mangkat, sepatutnya Raja Abdullah menjadi Sultan Perak, tetapi kerana masalah politik anak-anak raja dan pembesar, Raja Yusuf yang dilantik sebagai Sultan Perak. Perak sudah mempunyai Sultan, tetapi Raja Abdullah merasakan dia paling berhak dan mahu mengambil takhta.  Raja Abdullah sebenarnya lemah kerana sokongannya kecil, hanya di Hilir Perak.  Orang yang lemah dan mahu menjadi ketua, pasti memerlukan sokongan.  Orang yang menyokongnya pasti mahukan jaminan habuan daripadanya apabila dia berkuasa.  

Raja Abdullah yang lemah meminta bantuan British untuk menjadi Sultan Perak. Maka dibuat Perjanjian Pangkor antara Raja Abdullah dengan British.  Benar Raja Abdullah ditabal sebagai Sultan Perak, tetapi British yang lebih berkuasa kerana Raja Abdullah seorang yang lemah.  Setiap pihak yang menyokongnya mahukan habuan kerana menyokongnya.  Oleh kerana British adalah penyokongnya yang paling besar, maka British menetapkan apa saja yang mesti dilakukan oleh Raja Abdullah sebagai Sultan Perak. Janganlah hairan apabila Raja Abdullah menyesal dan berpakat mengusir British dari Perak. 

Raja Abdullah masih tidak percaya bahawa dirinya seorang Sultan yang lemah.  Lemah sebab disokong oleh sebagian kecil saja bangsa Melayu Perak.  Bangsa Melayu Perak waktu itu pula bukanlah tinggi ilmu, teknologi dan kuasa ekonominya.  Mereka jauh lebih lemah berbanding dengan kaum pendatang Cina yang jumlahnya lebih kecil dengan bangsa Melayu Perak.  Benar, Raja Abdullah dan segelintir Melayu Perak berjaya dalam misi menghapuskan Residen (jawatan seperti Menteri Besar) Birch, tetapi semua itu sebenarnya menambah musibah kepada dirinya.

Dalam mana-mana pengalaman sejarah, pihak yang kalah dalam pertikaian politik mesti kehilangan segala-galanya.  Pihak yang kalah akan dipaksa menerima apa saja perjanjian yang dipaksakan kepadanya.  Sejarah zaman moden misalnya menyaksikan Jerman terpaksa menerima semua syarat perjanjian yang dipaksakan oleh pihak yang mengalahkannya dalam Perang Dunia Pertama.  Itu juga berlaku terhadap Raja Abdullah dan bangsa Melayu Perak dahulu.  Apakah lagi harga diri dan saki-baki kuasa yang boleh dibanggakan kalau dirinya sendiri pun dibuang negeri? Kemudian apabila seorang lagi anak raja dilantik sebagai Sultan Perak oleh British yang menang, apa sebenarnya kuasa dan pengaruh yang ada?  Hanya duduk dan melihat semua tindakan pihak yang ‘membantunya’ melantik menjadi Sultan. Konon-konon ada status Ketua Negeri, apa kuasa banginda?

Hari ini Malaysia ada pemerintah.  Setiap negeri ada Menteri Besar dan Perdana Menteri peringkat Persekutuan Malaysia.  Namun pertikaian politik dalam negara adalah yang paling kritikal sejak 1957.  Walaupun krisis politik pernah berlaku sehingga mencetuskan rusuhan kaum 1969, tetapi bangsa Melayu yang jumlahnya hanya 60 peratus tidaklah terus ‘berperang’ untuk saling memusnahkan antara satu sama lain.  Hari ini, projek saling menjadi abu dan arang kepada bangsa Melayu (baca juga umat Islam) sangat rancak.  Setiap puak Melayu disokong oleh pihak lain sebagaimana dahulu puak Ghee Hin dan Hai San berpihak kepada mana-mana anak raja dalam krisis politik Melayu sebelum Perjanjian Pangkor.

Ahli-ahli politik hari ini memang ego seperti egonya Raja Abdullah yang sebenarnya lemah.  Hari ini pihak yang berkuasa sebenarnya lemah kerana mendapat sokongan minoriti bangsa Melayu.  Keadaan ini sama dengan kedudukan Raja Yusuf yang menjadi sultan Perak sebelum Perjanjian Pangkor 1874.  Lemahnya Raja Yusuf, terpaksa menerima keputusan perjanjian antara British dan Raja Abdullah yang membuang dirinya sebagai Sultan Perak!

Kita boleh melihat kuasa dan pengaruh pemimpin negara yang lemah sebab sokongan terhadapnya menyusut.  Kaum yang kecil pun boleh mendapat habuan tidak munasabah hanya apabila meminta (baca mengugut) kepada pemimpin.  Pada waktu yang sama seorang lelaki yang sebenarnya sangat lemah kemaruk hendak menjadi Perdana Menteri.  Lelaki ini sama saja dengan Raja Abdullah yang sangat percaya hanya dia paling layak menjadi Sultan Perak sebelum Perjanjian Pangkor.

Oleh kerana dia lemah (kerana masalah moral dan sokongan yang kecil) dan mahu menjadi PM, maka dia terpaksa meminta sokongan pelbagai pihak.  Sejarah sedang berulang, tetapi ahli-ahli politik tidak mahu belajar daripada sejarah.  Anak-anak muda pula kian lupa sejarah.  Mereka tidak tahu menggunakan ilmu sejarah dalam membina kehidupan.

Kita wajib faham, siapa yang kalah dalam politik akan kehilangan segala-galanya.  Kekalahan politik bukan sahaja kerana kalah pilihan raya, tetapi kalah kerana sentiasa diarah dan dipaksa melakukan apa saja oleh pihak yang menang.  Orang yang kalah, sekalipun kelihatan ada kuasa tetapi tidak ada apa-apa yang boleh dilakukannya.  Dia tidak bebas sebagaimana terbelenggunya tangan Raja Abdullah ketika menjadi Sultan Perak dahulu.

Sejarah untuk dijadikan iktibar, tetapi orang yang ego tidak mahu mengambil iktibar.