Pengikut

Rabu, November 30, 2011

BOLEHKAH menjadi kristian dengan membaca Bible?


BARU-baru ini seorang pemimpin mendedahkan adanya alat elektronik yang digunakan untuk mengumandangkan bacaan Bible.  Dan katanya seruan demikian sangat cenderung  membawa orang Islam meninggalkan agamanya dan memilih Kristian!


Saya memang percaya adanya gerakan Kristian untuk mencari penganut-penganut baru termasuk daripada kalangan umat Islam.  Namun melalui pengalaman berdialog kecil mengenai kitab Bible dengan seorang rakan (yang aktif dalam gerakan Kristian), saya membuat kesimpulan begini:  Seorang tidak akan masuk kristian dengan membaca sebuah Bible, tetapi boleh masuk Kristian dengan cara pendakwah agama berkenaan memperkenalkan ajaran agama itu.

Sebenarnya kitab Bible jauh lebih rumit untuk difahami sebagai ajaran asas agama, berbanding mudahnya memahami ajaran Islam melalui pembacaan al-Quran.  Kerumitan Bible difahami berdasarkan criteria mudah seperti berikut (berbanding dengan membaca al-Quran)

Pertama:  Pertentangan fakta berlaku dengan ketara dalam Bible seperti dalam bab anak Nabi Ibrahim.  Dalam kejadian 16:15 “Kemudian Hagar (Hajar) melahirkan seorang anak lelaki, lalu Abram (Abraham/Ibrahim) menamakan dia Ismael.”  Namun dalam Kejadian 22:2 dikatakan Ishak anak tunggal Nabi Ibrahim. “Allah berfirman, ‘pergilah ke tanah Moria dengan Ishakmu yang tunggal, yang sangat kau kasihi.”


Kedua:  Bible yang didakwa wahyu Tuhan mengandungi ayat-ayat yang menerangkan hal-hal seksual secara terbuka sebagaimana sebuah roman sastera picisan.  Perkataan ‘hilang perawan’ dan ‘meraba buah dada’ mudah ditemui.  

Kidung Agung 7:1-3 “Alangkah cantiknya engkau hai gadis. Manisnya kakimu dengan dengan sandal itu. Lengkung pahamu seperti perhiasan, karya tangan seniman. Pusatmu seperti cawan bulat yang tidak pernah kehabisan wain campur.  Perutmu seperti timbunan gandum yang dikelilingi bunga bakung.  Buah dadamu seperti dua anak rusa…”

Yehekeil 23:21 “Hai Oholiba, engkau ingin mengulangi kecabulanmu pada masa mudamu di Mesir.  Di sana kaum lelaki meraba-raba buah dadamu dan engkau hilang keperawananmu.”

Ketiga: sejarah para nabi dicatatkan sebagai manusia yang jahat atau keji seperti berbogel, berzina dan menyuruh orang menyembah berhala.

Nabi Nuh yang mabuk dan telanjang! Kejadian 9:21 “Setelah Nuh minum wainnya, dia menjadi mabuk.  Dia menanggalkan semua pakaiannya lalu berbaring telanjang di dalam khemahnya.”

Cerita Nabi Lut berzina dengan dua orang anak perempuannya sendiri boleh dibaca dalam Kejadian 19:30-38.

Nabi Harun yang menjadi pembantu Nabi Musa pula dikatakan menyuruh Bani Israel menyembah patung anak lembu (sapi).  Ini dibuktikan dalam Keluaran 32: 1-6.  Antaranya, “Harun mmengambil anting-anting itu, memleburkan semuanya lalu mencurahkan emas itu dalam acuan, dan membuat sebuah patung lembu (sapi) jantan.”

Itu belum dijelaskan mengenai ajaran-ajaran asas dalam Bible yang sepatutnya menjadi amalan meluas para penganut Kristian seperti tidak menyembah berhala, tidak meminum arak, tidak memakan babi, tidak melakukan perceraian dan kewajiban bersunat, namun perkara asas itu tidak diamalkan oleh mereka.

Sekarang ini sudah ada kitab Bible dalam Bahasa Melayu.  Saya yakin akan sampai masanya kitab berbahasa Melayu ini akan diberikan kepada orang Melayu dengan tujuan menyebarkan ajaran Bible (ajaran Kristian?). Berdasarkan tulisan dan rakaman dialog antara Almarhum Syeikh Ahmad Deedat (pendakwah dari Afrika Selatan) dengan paderi-paderi, mereka tidak mampu pun menjelaskan maksud ‘kitab suci Bible’ apabila terdapat pertentangan fakta atau perkataan cabul.

Isnin, November 28, 2011

AMAL baik dan buruk tanggungan sendiri


“APA yang saya kerjakan tentulah upahnya saya yang dapat.  Apa yang kamu laksanakan tentulah hasilnya kamu yang merasai.  Adalah suatu yang pelik apabila kamu yang melakukan kerja, hasilnya saya yang menikmatinya!” Begitulah fitrah kehidupan manusia.

Pahala dan dosa menjadi penentu nasib seseorang di akhirat kelak.  Semua tercatat dalam buku amalan masing-masing.  Sesiapa yang pahalanya (amal kebajikan) banyak baiklah balasannya, sesiapa yang dosanya (amal keji) banyak buruklah balasannya.


Seseorang tidak menanggung dosa orang lain, dan tidak pula menerima pahala daripada amal kebajikan yang tidak dilakukannya.  Prinsip ‘sendiri buat sendiri tanggung’ meliputi semua orang tidak mengira zaman. Prinsip ini terus berlaku  antara orang-orang yang masih hidup atau antara orang hidup terhadap orang mati.  Prinsip ini juga berlaku antara mereka  orang yang telah mati. .  Prinsip al-Quran sangat mudah difahami berkaitan hal ini. 

Maksud surah at-Tur:16 “Sesungguhnya kamu hanya diberi balasan atas apa yang kamu usahakan.”  Ayat 21 pula “Kami tidak mengurangi sedikit pun pahala amal (kebajikan)  mereka.  Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.”

Maksud surah Fusilat:46 “Barang siapa mengerjakan kebajikan maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa berbuat jahat maka (dosanya) menjadi tanggungan dirinya sendiri.  Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hamba-Nya.”

Maksud surah an-Najm:38-39 “Bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain.  Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.”

Maksud surah al-Qasas;90 “Dan barang siapa membawa kejahatan, maka disungkurkan wajah mereka ke dalam neraka. Kamu tidak diberi balasan, melainkan (setimpal) dengan apa yang telah kamu kerjakan.”

Maksud surah al-Isra:15 “Barang siapa berbuat sesuai dengan petunjuk (Allah), maka sesungguhnya itu untuk (keselamatan) dirinya sendiri, dan barang siapa tersesat maka sesungguhnya (kerugian) itu bagi dirinya sendiri.  Dan seseorang yang berdosa tidak dapat memikul dosa orang lain, tetapi Kami tidak akan menyiksa (seseorang/kaum) sebelum Kami mengutus seorang rasul.”

Maksud surah Fatir:18 “Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.  Dan jika seseorang yang dibebani berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul bebannya itu, tidak akan dipikulkan sedikit pun meski (yang dipanggilnya) kaum kerabatnya.”

Maksud surah al-Baqarah:48 “Dan takutlah kamu pada hari (ketika) tidak seorang pun dapat membela orang lain sedikit pun.  Sedangkan syafaat dan tebusan apa pun daripadanya tidak diterima dan mereka tidak akan ditolong.” 

Maksud surah al-Baqarah:141 “Itulah umat yang telah lalu.  Baginya apa yang telah mereka usahakan dan bagimu apa yang telah kamu usahakan.  Dan kamu tidak akan diminta (tanggung jawab) tentang apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Maksud surah al-Baqarah:281 “Dan takutlah pada hari (ketika) kamu semua dikembalikan kepada Allah. Kemudian setiap orang diberi balasan yang sempurna sesuai dengan apa yang telah dilakukannya, dan mereka tidak dizalimi (dirugikan).”

Itulah beberapa ayat Allah sebagai pegangan hidup muslim untuk penentuan nasib selepas mati.  Ayat-ayat Allah dalam al-Quran begitu mudah difahami sama ada oleh yang berpelajaran tinggi atau rendah.

Maksud surah al-Qamar:17 (dan 22) “Dan sungguh, telah Kami mudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pelajaran?”

Semoga orang-orang yang mengambil pelajaran tidak akan berangan-angan bahawa kelak setelah kematiannya dia akan ditolong melalui kiriman pahala atau dosanya akan ditanggung (atau dibersihkan) pula oleh orang-orang yang masih hidup. Wallahuaklam.

Isnin, November 21, 2011

BANGSA Arab jahiliah yang bertamadun


HARI ini 21 November merupakan hari pertama peperiksaan STPM 2011.  Saya teringat kembali sewaktu menduduki SPTM dahulu dan sangat meminati subjek sejarah.  Yang sejarah Islam lagi saya suka, sampai sekarang masih menjadi pentelaah sejarah Islam.

Dalam buku-buku, digambarkan bangsa Arab Jahiliah sebagai bangsa Arab yang mundur selain jahil agamanya. Maksud mundur itu diertikan sebagai kurangnya kemajuan kebendaan, pemikiran, ekonomi dan lain-lain berbanding tamadun Rom dan Parsi, zaman itu. Penulis-penulis atau sesekali penceramah agama (sebenarnya jarang ceramah agama di masjid membicarakan topik sejarah secara khusus) menyatakan hikmah Allah memilih bangsa Arab yang jahil dan mundur supaya menjadi bukti bahawa Islam merupakan  satu sistem hidup roh dan fizikal yang mesti digunakan untuk menjayakan hidup manusia.

Dalam buku sejarah di sekolah-sekolah memberitahu bermulanya zaman Arab Jahiliah ialah pecahnya empangan el-Maarib di Yaman tahun 300M.  Keruntuhan empangan itu sebagai titik mula kemunduran tamadun Arab sehingga turunnya wahyu pertama di Makkah tahun 610M.  Ini menggambarkan betapa ‘teruk’nya kehidupan bangsa Arab sebelum Islam yang difahamkan kepada anak-anak muslim dan pembaca sejarah Islam.  Benarkah begitu?

Satu sifat ayat al-Quran ialah menggunakan contoh semasa (zaman turunnya wahyu-wahyu) sebagai perbandingan supaya maksud wahyu benar-benar difahami oleh bangsa yang menerima wahyu, iaitu Arab di Makkah atau semenanjung  Hijaz.  Misalnya,  Allah membuat contoh haiwan unta sebagai bahan fikir manusia sebab wahyu turun di bumi Arab.  Biar orang Arab faham Islam dahulu dengan perumpamaan itu.  Justeru fahamlah mengapa contoh haiwan beruang khutub atau ikan salmon tidak dijadikan contoh dalam al-Qur’an.

Oleh itu, memahami sebagian ayat-ayat al-Quran sebenarnya dapat memberi gambaran budaya dan tamadun bangsa Arab jahiliah itu sendiri.

Maksud surah Ali Imran: 14 “Dihiaskan kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini hawa nafsu iatu perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang banyak, emas  dan perak, kuda-kuda peliharaan, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih, haiwan-haiwan ternak serta kebun-kebun.  Semuanya itu kesenangan hidup di dunia dan ingatlah pada sisi Allah, ada tempat kembali yang sebaik-baiknya iaitu syurga.”

Tersirat maksud ayat di atas ialah kekayaan, kemewahan dan pencapaian tamadun bangsa Arab yang sangat menyenangkan orang zaman itu.  Bagi Allah, semua kesenangan itu tidak abadi, dan syurga Allah adalah jauh lebih baik.

Maksud surah al-Kahfi: 32-33 “Dan berikanlah mereka itu satu perumpamaan: Dua orang lelaki, Kami adakan salah seorangnya dua bidang kebun anggur dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pokok-pokok tamar serta Kami jadikan antara kedua-duanya  jenis-jenis tanaman yang lain.  Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya dan tidak mengurangi sedikit pun daripada hasil itu dan Kami juga mengalirkan di antara kedua-dua (kebun) itu sebatang sungai.”

Tentulah tidak berguna perumpamaan seperti ayat di atas kepada bangsa Arab yang tidak mereka ketahui.  Oleh itu sangat jelas rakaman al-Quran mengenai kemajuan sektor pertanian bangsa Arab Jahiliah zaman itu.

Timbul persoalan apabila kita sering diberitahu bahawa wahyu ditulis di atas tulang haiwan, batu atau kulit haiwan.  Tidak adakah kertas pada zaman nabi sedangkan bangsa Mesir purba zaman Fir’aun (Arab juga) sudah membuat kertas daripada pokok papyrus!  Jawabnya ada kertas berdasarkan firman Allah juga.

Maksud surah al-An’am:7 “Dan kalau kami turunkan kepadamu (wahai  Muhammad) sebuah kitab yang tertulis pada kertas, lalu mereka memegangnya dengan tangan mereka.”

Hal ini menggambarkan kertas merupakan bahan untuk ditulis yang biasa difahami oleh bangsa Arab.  Orang-orang Arab itu mempersoalkan mengapa wahyu hanya diucapkan oleh Nabi Muhammad, bukan dalam bentuk catatan di atas kertas. 

Satu lagi bukti kemajuan bangsa Arab itu mengenai tekstil dicatat dalam maksud surah al-A’raf:40 “Dan mereka tidak sekali-kali akan masuk ke syurga sehingga unta dapat masuk ke (melalui) lubang jarum.”

Jarum hanya untuk menjahit pakaian.  Dan jarum sudah dikenal biasa oleh masyarakat Arab zaman itu.  Ini gambaran tekstil merupakan sebagian keperluan biasa kepada manusia yang bertamadun. 

Semua kekayaan material boleh saja hasil industri tempatan atau diimport dari negara-negara luar, khasnya wilayah jiran seperti Rom dan Parsi.   Oleh itu, tidak tepatlah jika muslim diberi gambaran mundurnya tamadun material dan lemahnya mental masyarakat Arab zaman sebelum Islam, hasil membesar-besarkan akhlak jahiliah seperti perhambaan, perompakan, penindasan, rasuah dan penyembahan berhala.

Khamis, November 17, 2011

IBADAH: berhujahkan 'perkara itu baik'


BUKAN semua orang tahu dalil al-Quran dan Sunah berkenaan ibadah yang dilakukan.  Sama ada untuk mempertahankan pendiriannya atau sebagai orang yang mengajarkan agama kepada orang lain, agak biasa juga kita mendengar alasan ‘perkara yang baik’.  Misalnya, untuk mengajarkan orang lain supaya banyak membaca al-Quran atau solat berjamaah di masjid, supaya mudah difahami akan diberikan hujah: ‘perbuatan itu merupakan perkara yang baik’.

Ayat: ‘Perkara yang baik’ merupakan hujahan akal fikiran manusia.  Hujah ini selalunya digunakan dalam urusan keduniaan seperti membina jalan tar menggantikan jalan tanah merah.  Alasan menggantikan jalan tanah merah dengan jalan tar ialah ‘perkara yang baik’.  Kita juga boleh menggunakan hujah ‘perkara yang baik’ dalam hal keduniaan lain seperti menggunakan komputer, kereta, kad kredit, pembungkus plastik dan lain-lain.

Agama atau urusan ibadah khusus bukanlah urusan dunia.  Bab ibadah, sesuatu amalan itu mestilah atas perintah khusus daripada Allah dan penjelasan oleh rasul-Nya.  Tanpa sumber al-Quran dan sunah nabi, tidak ada sesiapa pun boleh mereka cipta suatu amalan agama aatas hujah perkara yang baik.

Diriwayatkan daripada Saiyidina Ali r.a. bahawa dia berkata ‘jikalau agama itu dengan akal, nescaya sebelah bawah kasut lebih utama disapu daripada sebelah atasnya, dan Rasulullah s.a.w. kulihat telah menyapu yang sebelah atas khufnya’. (Riwayat oleh Abu Dawud dengan sanad hasan)

Maksud perkataan Saiyidina Ali  ‘jika agama berlandaskan akal tentulah yang mesti dibasuh ialah tapak kasut’ kerana tapak kasutlah yang mesti terkena kotoran apabila dipakai manusia.  Dalam hal berwuduk, Saiyidina Ali melihat Rasulullah menyapukan air ke atas kasut.  Oleh kerana menyapukan air di atas kasut dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., maka perbuatan itu merupakan petunjuk ibadah.  Dengan memakai kasut yang sudah disapu air wuduk tadi, Rasulullah s.a.w. melakukan solat. 

Akal manusia akan berhujah bahawa tapak kasut kotor dan tidak boleh dipakai untuk solat.  Akal manusia menambah hujah bahawa jika hendak solat memakai kasut maka pastikan tapak kasut dibersihkan daripada semua kotoran sebagaimana ketika berwuduk seseorang membasuh kakinya sehingga ke buku lali.  Namun hujah akal manusia demikian tertolak dengan petunjuk yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Cuba kita lihat contoh lain.  Membaca al-Quran merupakan amal baik dan pembacanya akan diberi ganjaran (pahala).  Sepatutnya dengan hujah ‘perkara yang baik’ seseorang boleh saja membaca sebanyak mana ayat al-Quran sewaktu rukuk atau sujud dalam solat.  Namun hakikatnya tidak ada petunjuk dalam solat Rasulullah yang baginda membaca al-Quran sewaktu rukuk dan sujud, maka tidak ada guru fardu ain berani membolehkan dibaca mana-mana ayat al-Quran pada pergerakan solat yang dimaksudkan itu.

Contoh kedua mengenai solat berjamaah.  Tidak ada siapa pun yang berani mengatakan solat berjamaah itu buruk.  Sekalipun orang yang melakukan solat berjamaah hanya peratusan kecil, orang tetap mengatakan solat berjamaah sangat baik dan hukumnya sunat yang sangat dituntut.  Malah, ada sebagian ulama mengatakan solat berjamaah itu wajib.  Hujah akal bahawa solat berjamaah sebagai sangat baik hanya boleh dilakukan pada solat fardu dan beberapa solat sunat seperti tarawih dan tahajud kerana ada petunjuk daripada nabi s.a.w.

Tidak ada orang yang berani mengajak orang-orang yang solat rawatib atau solat sunat sebelum / sesudah solat fardu itu dilakukan secara berjamaah sekalipun seseorang itu kuat mengatakan solat berjamaah itu sangat baik.  Orang tidak melakukan solat sunat rawatib secara berjamaah kerana tidak ada petunjuk daripada Rasulullah s.a.w., maka kekal sejak zaman nabi dahulu hingga kini solat sunat itu dilakukan secara sendiri-sendiri.

Begitulah hal-hal agama yang merupakan taufiqiyah atau petunjuk daripada al-Quran dan sunah nabi.  Tanpa dalil daripada dua sumber berkenaan, muslim dilarang melakukan suatu bentuk amal ibadah baru sekalipun pada pendapat akal manusia hal itu sangat baik dilakukan.  

Ahad, November 13, 2011

BELAJAR agama: berguru atau tidak?


BERAPA banyak orang mengatakan ‘belajar agama dengan berguru’ atau ‘belajar agama tanpa berguru pasti sesat’.  Nasihat ini menggambarkan pentingnya berguru iaitu mendengar atau mengambil maklumat daripada orang yang lebih tinggi ilmunya.  Maksud firman Allah dalam surah an-nahl: 41 ‘…maka bertanyalah kepada orang yang punya pengetahuan, jika kamu tidak mengetahui.”

Namun perhatikan pula berapa banyak orang telah tersesat jalan mencari agama hasil menghadap guru pula.  Lihat mereka yang menyeru orang mati untuk menguatkan iman, menambah kantung kewanngan dan menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan.  Ada kumpulan lain telah menerima seorang manusia sebagai ketua eksekutif kerajaan langit.  Mereka percaya guru mereka naik dan turun langit.  Ada pula sekumpulan manusia yang percaya mendapat jaminan syurga kerna percaya guru mereka adalah seorang nabi untuk kaumnya.  Perkara ini berlaku pada kurun ke-21, bukan zaman para nabi dan rasul masih diutus kepada manusia oleh Allah swt.

Adakah semua mereka belajar agama dengan  memahami perkara demikian hasil membaca buku agama? Saya katakan tidak ada buku berkenaan memuja roh seorang guru agama dijual di pasaran untuk diamalkan oleh orang ramai.  Tidak ada booklet yang dijual kepada orang awam untuk orang awam membaca ajaran kerajaan langit itu.  Semua mereka mendapat maklumat berkenaan hasil berguru.  Mereka duduk menghadap guru dan mendengar apa ajarannya!  Maka saya katakan, orang yang sesat dalam beragama itu juga hasil belajar ‘agama’ daripada orang yang dipanggil sebagai guru.  Maka jangan cepat melatah dengan mendakwa ‘orang yang belajar agama tanpa berguru pasti akan tersesat’.

Siapakah guru-guru yang menyesatkan akidah agama orang awam?  Mereka bukanlah orang yang penampilannya sebagai eksekutif sesebuah firma perniagaan, yang bertali leher dan berpakaian ala-Barat.  Orang yang dipanggil guru atau syeikh itu adalah orang yang berwatak orang ada ilmu agama.  ‘Guru-guru’ itu berkopiah, berserban, berjubah, berjanggut dan sering solat di masjid dan ada yang tangannya tidak terlepas daripada memegang biji-biji tasbih.  Mulut mereka basah menyebut kalimah Allah, Islam, pahala, dosa, syurga dan neraka.  Siapakah orang awam yang tidak tergoda dengan orang seperti ini? Tentulah pemikiran orang awam mengatakan semua orang yang berwatak begitu adalah orang yang tinggi ilmu agamanya. Kepada orang awam, wajiblah berguru kepada kepada orang sepertinya dalam hal agama.

Memang kita wajib belajar agama dengan orang yang tinggi ilmu agamanya.  Dengarlah nasihat daripada mereka.  Ada hadnya.  Al-Quran tidak pernah menyarankan agar kita mengosongkan pemikiran, kemudian menerima bulat-bulat apa yang dinasihatkan oleh orang lain (termasuk yang kita terima tinggi ilmu agamanya).  Hal ini kerna tidak ada manusia yang sempurna.  Allah masih menyuruh kita menggunakan akal fikiran dalam mencari kebenaran.  Apa lagi zaman ini, naskhah-naskhah al-Quran yang lengkap pelbagai bahasa serta buku-buku hadis ada di merata dunia, maka eloklah gabungkan antara duduk berguru dengan membaca.

Allah ada menjelaskan mengenai panduan dalam belajar agama.  Perhatikan mana yang disarankan dan mana yang diharamkan.  Maksud ayat 7 surah Ali Imran, “Dialah yang menurunkan kitab (al-Quran) kepadamu (Muhammad).  Di antaranya ada ayat-ayat yang muhkamat, itulah pokok-pokok kitab (al-Quran) dan yang lain mutasyabihat.  Adapun orang-orang yang hatinya condong pada kesesatan, mereka mengikuti yang mutasyabihat untuk mencari-cari fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya kecuali Allah.  Dan orang-orang yang ilmunya mendalam berkata: ‘Kami beriman kepadanya (al-Quran), semua dari sisi Tuhan kami.’  Tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang yang berakal.”
(Nota: ayat muhkamat adalah ayat yang jelas maksudnya, mudah difahami maksudnya. Ayat mutasyabihat adalah ayat yang sukar difahami, hanya Allah yang mengetahui dengan tepat)

Sabtu, November 12, 2011

HABITAT anak-anak adalah masyarakat


BARU-BARU ini saya mengikuti ceramah (pendedahan) oleh seorang pegawai penguatkuasa kesalahan syariah negeri Selangor.  Beliau bercakap dengan fakta mengenai statistic kes melibatkan remaja atau anak muda muslim yang melanggar undang-undang jenayah syariah di sebuah daerah yang paling tidak banyak bangunan tinggi di Selangor!  Ya, sangat membimbangkan gejala yang melanda anak muda.


Analogi yang menarik perhatian saya. Katanya, “Jika semua lelaki muslim di daerah ini menunaikan solat Jumaat, pasti 47 buah masjid yang ada akan melimpah ruah (saya fahamkan sampai ke halaman tempat letak kereta).  Malangnya ada sebuah dua masjid di kampung yang terpaksa dibuat kiraan setiap hari Jumaat untuk menentukan cukup syarat 40 orang yang hadir.”

Dalam enakmen janayah syariah negeri, antara yang dimaksudkan jenayah syariah ialah tidak solat, meminum arak, zina, berdua-duaan (lelaki dan perempuan) bukan mahram, mendedahkan aurat, tidak puasa dan lain-lain lagi.

Saya ada pengalaman tak baik perihal anak muda lelaki perempuan.  Kira-kira jam 5.30 pagi di sebatang jalan desa, sewaktu menghala ke surau saya kaget dengan benda atau ‘apa’ di tengah jalan.  Setelah disorot dengan lampu motorsikal dan diamati, sepasang remaja ‘tidur’ berpelukan di atas jalan!  Apabila saya ceritakan kepada rakan di desa, dia juga pernah menemui sepasang manusia yang sedang membuat ‘projek’ di atas jalan desa jam 1.00 pagi!

Mengapa anak-anak jadi begitu?  Ada ibu bapa menghantar surat layang kepada menteri dan mendakwa guru-guru telah gagal mendidik anak-anak di sekolah.  Surat ini dibacakan oleh pegawai pendidikan dalam majlis ceramah yang saya hadiri itu.  Guru-guru pula kerap menyatakan masalah murid-murid (jika ada) selalunya bermula dari rumah.

Saya segera teringat satu tulisan oleh pengarang dalam akhbar utama.  Beliau tidak sembunyi mengkritik sikap ibu bapa yang menggalakkan anak-anak melanggar banyak peraturan yang sepatutnya anak-anak diperingatkan agar mematuhinya.  Contoh mudah katanya ialah perihal anak-anak yang tidak mempunyai lesen memandu menunggang motorsikal.  Tidak ada ibu bapa yang jahil bahawa anak-anak (tidak berlesen) tidak boleh menunggang motorsikal kerna menyalahi undang-undang negara.   Namun, ibu bapalah yang mengajar anak-anak melanggar saja undang-undang itu.

Ya, saya setuju dengan hujahan si pengarang akhbar itu.  Kata bidalan Melayu ‘lulus jarum lulus kelindan’ ertinya apabila kita berikan satu jalan kepada seseorang maka siapa yang di belakangnya pasti akan mengekori semua perilaku orang di hadapan sekali.  Sekali anak-anak diberi ayat ‘Boleh naik motorsikal itu, bukan ada polis di sini….’ Ini bermakna peraturan atau undang-undang lain boleh saja diabaikan.  Ibu bapa nak marah apa jika anak-anak tidak solat (melanggar syariat Allah) sedangkan anak-anak telah diasuh dengan ayat ‘…tidak ada polis di sini (nampak).’ Ibu bapa mengajarkan bahawa, jika tidak ada penguatkuasa anak-anak boleh langgar peraturan.  Mana penguatkuasa mampu membuat tangkapan dan dakwaan terhadap semua pesalah syariah?

Kalau pun negeri tidak mengkanunkan undang-undang syariah, peraturan agama telah jelas dalam al-Quran dan Sunah.  Maknanya, prinsip syariah tetap satu peraturan sama ada dikanunkan sebagai enakmen negeri atau masih dalam sumber yang asal iaitu alquran dan sunah.

Sebab itulah ibu bapa tidak boleh memandang mudah soal pelanggaran peraturan oleh anak-anak.  Anak-anak pasti melihat dan memahami bahawa ibu bapa adalah contoh terbaik dalam kehidupannya.  Kalau pun ada ibu bapa tidak bercakap supaya undang-undang diabaikan, tetapi anak-anak akan melihat perilaku sang ayah (misalnya) yang tidak perduli peraturan atau undang-undang. Maka anak-anak telah mempunyai contoh dalam perlakuannya.

Sekolah?  Saya berpendapat bahawa sekolah telah menjadi pulau yang asing dalam mempertahankan kemurnian akhlak anak-anak.  Sebelum anak-anak ke sekolah, mereka telah diasuh oleh ibu bapanya.  Apabila anak-anak ke sekolah dan diberikan nilai-nilai yang baru, anak-anak akan keliru buat sementara, tetapi kebanyakan mereka akan kembali kepada ‘habitatnya’ iaitu masyarakat.

Baik dan mulia masyarakat tempat anak-anak itu lahir dan membesar, maka baiklah perilaku anak-anak itu.

Jumaat, November 11, 2011

PENJELASAN tentang zikir munajat


Berkenaan persoalan Zikir Munajat. Penulis perturunkan di sini keputusan daripada Panel Kajian Aqidah Bah. Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (sekarang JAKIM) kali ke-7/1996 yang bermesyuarat pada 24 dan 25 Ogos 1996. Mesyuarat telah memutuskan bahawa zikir berkenaan mengandungi kalimah-kalimah yang bertentangan dengan konsep Islam. Di antaranya mengenai konsep Nur Muhammad. Mesyuarat bersetuju zikir berkenaan tidak diamalkan dan tidak disiarkan di media massa. 

Oleh yang demikian mesyuarat bersetuju supaya rangkap zikir berkenaan diubahsuai seperti berikut:-

حسبي ربي جل الله ما في قلبي غير الله 
kepada
حسبي الله لا إله إلا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم

نور محمد صلى الله
kepada
نبي محمد صلى الله

dan dibuang
ليس لها من دون الله كاشفة

Ulasan:

Penulis berpandangan Panel Aqidah berpendapat bahawa terdapat nas yang lebih baik yang ma'thur untuk diamalkan berbanding ucapan yang ada di dalam Zikir Munajat. Oleh kerana itu 'hasbi rabbi..' ditukar kepada 'hasbiyallah...' kerana 'hasbiyallah..' zikir yang dianjurkan oleh al-Qur'an dalam surah al-Taubah ayat 129.

Ucapan 'Nur Muhammad Sallallah' juga didapati tidak jelas kerana menisbahkan salawat kepada 'nur' bukan kepada nabi. Ia dibimbangi mempunyai unsur-unsur doktrin 'Nur Muhammad' yang menyeleweng daripada aqidah Islam. Oleh itu, ditukarkan kepada 'Nabi Muhammad Sallallah'. 

Manakala ucapan 'laisa laha min dunillahi kasyifah' juga meragukan kerana tidak diketahui apa yang dimaksudnya dengan ucapan itu. Sedangkan 'laisa laha min dunillahi kasyifah' adalah ayat al-Qur'an di dalam surah al-Najm ayat 58. Para mufassirin bersepakat bahawa ayat ini membicarakan soal hari Qiyamat yakni "Tidak ada yang akan menyatakan terjadinya hari itu (hari Qiyamah) selain Allah". 

Bagaimanapun, keputusan Panel Aqidah JAKIM ini bukanlah keputusan fatwa yang mengikat mana-mana pihak, tetapi ia adalah nasihat dan penjelasan mereka kepada masyarakat awam berkenaan zikir tersebut. Wallahu a'lam. 

Selasa, November 08, 2011

PANAS dan hujan: mati dan hidup semula


SEPERTI biasa, bulan November dan Disember merupakan musim hujan.  Jika hujan berlebihan, maka boleh berlaku banjir.  Dalam al-Quran, Allah menyebut juga hal hujan sebagai bahan berfikir kepada manusia.  Manusia diminta berfikir mengenai hujan yang menyirami bumi dan seterusnya menumbuhkan tumbuh-tumbuhan.  Yang menarik, sebenarnya Allah mahu manusia berfikir bagaimana Allah membiarkan bumi kering tandus sehingga tumbuhan mati, kemudian Allah menurunkan hujan lalu Dia menumbuhkan pelbagai jenis tumbuhan. Begitulah kuasa Allah mematikan makhluk dan menghidupkan semula sebagaimana asalnya!


Maksud surah al-Haj: 63 “Tidakkah  engkau memerhatikan bahawa Allah menurunkan air (hujan) dari langit, sehingga bumi menjadi hijau? Sungguh, Allah Maha Halus, Maha Mengetahui.”

Maksud surah an-Nahl; 11 “Dengan air (hujan) itu, Dia menumbuhkan untukmu tanam-tanaman, zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan.  Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berfikir.”

Maksud surah al-Haj:5 “….Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah kami turunkan air (hujan) di atasnya, hiduplah bumi itu dan menjadi subur dan menumbuhkan pelbagai jenis pasangan tumbuhan yang indah.”

Antara yang diminta manusia (kita) berfikir ada dalam ayat ke-6 surah al-Haj “Yang demikian itu kerna sesungguhnya Allah, Dialah yang hak (benar), dan sungguh Dialah yang menghidupkan segala yang telah mati, dan sungguh Dia Maha Kuasa atas segala-galanya.”

Banyak manusia beragama percaya adanya kehidupan lain setelah kematian di dunia ini.  Ada yang percaya roh mereka akan menyatu bersama Tuhan.  Namun kepercayaan mereka tidak sama seperti yang Allah maksudkan.  Bahawa semua manusia akan dihidupkan semula seperti asalnya (kehidupan di dunia) tetapi untuk menerima pembalasan daripada apa-apa yang diusahakan selama hidup di dunia ini.  Konsep kebangkitan semula sebagai manusia yang akan menerima pembalasan inilah yang mereka tidak percaya.

Maksud surah asy-syaffat: 16-18 “Apabila kami telah mati,  menjadi tanah dan tulang-tulang, apakah benar kami akan dibangkitkan kembali?  Dan apakah nenek-moyang kami yang terdahulu (akan dibangkitkan pula)?  Katakanlah (wahai Muhammad) ‘Ya, dan kamu akan terhina.”

Demikianlah Allah memberi pengajaran atau hujah untuk manusia berfikir mengenai hujan yang diturunkan ke bumi.  Sepanjang manusia hidup entah berapa kali menyaksikan beberapa wilayah yang suatu musim menjadi kering kontang kemudian menghijau pula.  Cuma yang belum disaksikan ialah manusia yang mati dan daripada tulang-tulang yang hampir hancur itu hidup menjadi manusia biasa seperti dirinya.

Allah mengajak manusia berfikir dengan contoh yang diberikan.

Isnin, November 07, 2011

ALLAH yang hebat pun berhujah kepada manusia


APABILA ayat pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. berkenaan ‘baca’ atau iqra, maka banyak ilmuan memberi erti pentingnya ilmu dalam Islam.  Baca itulah permulaan mendalami ilmu, dan Islam adalah agama yang berteraskan ilmu.  Ilmu itu menjadi dalil atau hujah kepada sesuatu pemikiran atau tindakan seseorang.

Banyak kali kita diperdengarkan mengenai kisah penghuni gua atau pemuda-pemuda yang ditidurkan dalam gua oleh Allah selama 309 tahun.  Kisah ini Allah rakamkan sebagai wahyu dalam al-Quran selain nama surah al-Kahfi.  Pada zamannya, pemuda-pemuda ini adalah orang-orang yang beriman kepada Allah. Untuk mengelakkan diri daripada musuh, mereka pergi ke sebuah gua dan Allah tidurkan mereka di sana.  Cerita mereka ke gua menjadi cerita turun-temurun dalam masyarakatnya.  Ini umpama cerita lagenda dan mitos dalam masyarakat orang Melayu yang diwarisi oleh semua generasi seperti cerita Hang Tuah.  Tapi rencana pendek ini bukan hendak menyamakan kisah pemuda al-kahfi dengan Hang Tuah. Cerita pemuda tidur itu sentiasa dalam ingatan penduduk negeri berkenaan sehingga semua pemuda itu dijagakan  daripada tidurnya, supaya masyarakat itu dapat memahami kronologi kisah pemuda al-Kahfi.

Kemudian berlaku debat antara dua pihak dalam masyarakat mengenai wujud atau tidak kebangkitan semula manusia, maknanya adakah selepas mati di dunia ini manusia terus lenyap atau dihidupkan semula.  Takdir Allah, semua pemuda itu terjaga daripada tidurnya yang panjang (tetapi mereka hanya merasa tidur yang sebentar).  Maknanya Allah memberi ilmu atau berhujah bahawa mudah saja Allah menidurkan manusia begitu lama (seumpama mati) dan kemudian membangkitkan semula.

Allah yang menjadikan sekian banyak manusia yang diperintahkan supaya beribadah (taat) atau menjadi hamba-Nya (maksud surah as-Zariat: 56, Dan tidak Aku menjadikan jin dan manusia kecuali supaya mereka beribadah kepada-Ku).  Allah tidak membiarkan mereka hidup mencari sendiri bagaimana hendak menjadi hamba Tuhan.  Sebab itulah Allah memilih dalam kalangan mereka Rasul atau Nabi untuk menyampaikan ilmu atau berhujah mengajak manusia beriman kepada Allah (mengabdi atau menjadi hamba-Nya). 

Maksud firmah Allah dalam surah al-Isra:15 “Tidaklah Kami menyiksa (mengazab) sesiapa pun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul.”

Para rasul dan nabi akan mengajarkan akidah dan berhujah terhadap manusia. Setelah itu barulah Allah akan menilai sama ada manusia itu beriman atau menolak hujah.  Dan kepada yang menolak hujah, Allah akan memberi balasan buruk kelak!

Lihat bagaimana Nabi Ibrahim berhujah dengan kaumnya di Babylon (Iraq) mengenai ketuhanan.  Setelah didakwah berkali-kali agar tidak menyembah batu berhala yang tidak boleh berbuat apa-apa, baginda memecahkan pula berhala-berhala kecil itu, dan ditinggalkan satu berhala besar dengan kapak di sisinya.  Ini cara Nabi Ibrahim berhujah untuk memecah pemikiran jumud kaumnya.  Baginda meminta kaumnya bertanya kepada si berhala yang ada kapak itu?  Nah, semua terkesima, mengakui si berhala besar itu hanya batu yang tidak boleh berbuat apa-apa!  Itulah hujah namanya!  Tidak ada seorang pun yang selama ini mempertahankan berhala sebagai Tuhan dapat membidas semula hujah Nabi Ibrahim.  Bukankah itu pengajaran dalam beragama?

Kesimpulannya, Islam ditegakkan dengan kekuatan hujah.  Untuk mempunyai hujah yang kuat, kita diseru mencari ilmu.  Kisah debat Nabi Ibrahim dengan kaumnya menjadi iktibar supaya kita tidak menjadi seperti kaumnya yang kehabisan hujah membela pendirian salahnya, tetapi memilih untuk menghukum orang yang berhujah dengan baik.

Sabtu, November 05, 2011

IDULADHA lebih indah dan mendamaikan jiwa


SALAM Iduladha, yang biasa disebut Hari Raya Kurban kerna disunatkan menyembelih haiwan kurban.  Ternyata Iduladha lebih besar berbanding idulfitri, tetapi kerna adat dan budaya yang  lebih membesarkan idulfitri, maka kemeriahan dan ‘countdown’  hari raya ini tidak seperti idulfitri.  Tidak ada pesta jualan kuih-muih dan pakaian pelbagai corak. Tidak ada agenda besar keluarga pulang ke desa, malah ada anak muda yang terus di perantauan tanpa rasa bingung kerna tidak bersama keluarga pada pagi hari raya!


Idulfitri itu sekalipun meriahnya tampak lebih besar, tetapi banyak yang menjurus ‘keterlaluan’ dalam beradat berbudaya.  Asalnya sepanjang Ramadan berpuasa dengan diajar berhemat belanja, namun dengan idulfitri seakan-akan dimuntahkan segala yang terbenam  sewaktu Ramadan.  Selama sebulan (Syawal) tak henti jamuan makan di rumah tetangga, taulan, tempat kerja, partai politik dan segala macam kesempatan.

Bagi saya, indah dan meriahlah sambutan Iduladha ini.  Kita tetap membuat jamuan agak besar (lebih daripada jamuan hari-hari), ada perkumpulan sanak saudara, dan yang penting terbebas daripada pembaziran pesta makanan, pakaian dan letusan mercun serta bunga api.  Nikmatilah, kebesaran, kedamaian dan keindahan Iduladha!

Khamis, November 03, 2011

SALAM berjawab, tapi pulanglah.....


ADA satu peristiwa benar berlaku dalam kalangan orang yang sudah akrab bagai adik-beradik sehingga antara kedua-dua keluarga ini secara tidak sedar memberi kebebasan keluar masuk rumah masing-masing.  Satu masa A memberhentikan kereta dan terus masuk ke rumah B teman akrabnya.  A terus saja ke dapur seperti biasa dan membuka peti sejuk, tetapi tiba-tiba dia merasa ada kelainan.  A sangat terkejut apabila mendapati dia tersalah rumah, rupa-rupanya dia memasuki rumah sebelah kepada rumah B!  Biarlah pengalaman itu dirasai oleh A sahaja, bukan berulang kepada orang lain pula.


Islam mengatur hidup manusia supaya dalam keharmonian dan hormat-menghormati.  Dalam bab hendak bertamu ke rumah seseorang termasuk saudara-mara, Allah memberi panduan yang jelas seperti dalam surah an-Nur ayat 27 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.  Yang demikian itu lebih baik bagimu agar kamu (sentiasa) ingat.”

Kebiasaan kita ialah mengucapkan salam, “Assalamualaikum” di hadapan rumah.  Namun kita perlu ingat bahawa sekalipun ucapan salam itu dijawab dengan jelas oleh orang di dalam rumah, bukanlah itu bererti yang kita dibenarkan masuk ke dalam rumahnya. Antara jawaban salam dan keizinan memasuki rumah adalah dua perkara yang berbeda.  Untuk memasuki rumah seseorang mestilah ada keizinan seperti ucapan “silalah masuk ke rumah”.

Bukan semua orang bersedia menerima tetamu yang berada di hadapan pintu pagar rumahnya.  Adalah menjadi haknya untuk menerima tetamu atau tidak, maka janganlah kita berburuk sangka pula kepadanya. 

Maksud firman Allah ayat 28 surah an-Nur, “Dan jika kamu tidak menemui seorang pun di dalamnya, janganlah kamu masuk sebelum mendapat izin.  Dan jika dikatakan kepada kamu ‘pulanglah’ maka hendaklah kamu pulang.  Itu lebih suci bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Maka jelaslah antara orang yang mengetahui pengajaran Allah dengan orang yang cuba bertamu sekadar menurut adat resam.  Orang yang bertamu berdasarkan adat akan mengucapkan salam berkali-kali sehinggalah dia mendengar salamnya dijawab.  Dan orang berkenaan tidak mahu meninggalkan pintu rumah orang berkenaan sehinggalah pintu rumah itu dibuka kerana menganggap jawaban salam itu sebagai tanda ‘kewajiban’ tuan rumah membuka pintu dan melayaninya.

Eloklah bertamu berdasarkan pengajaran al-Quran.

Selasa, November 01, 2011

USAP atas kasut mudahkan berwuduk


AJARAN Islam mudah diamalkan, dan terdapat kelonggaran-kelonggaran bagaimana hendak melaksanakannya.  Misalnya, seseorang yang sakit boleh melakukan solat sambil duduk atau berbaring sahaja.  Dalam berwuduk juga ada cara yang memudahkan berdasarkan keadaan dan kedudukan seseorang.


Misalnya, orang yang bekerja sebagai anggota pasukan keselamatan, penguatkuasa atau mereka yang bekerja dengan memakai kasut yang diikat dengan rapi (memerlukan masa untuk membuka dan memakainya, juga disebut kasut but panjang).  Mengikut kaedah  biasa berwuduk, wajiblah membasuh kedua-dua belah kaki. Oleh itu setiap kali hendak berwuduk mereka mesti membuka kasut (apa juga yang difahami seperti kasut) untuk membasahkan kaki.  Berdasarkan hadis-hadis nabi s.a.w., terdapat kelonggaran yang sangat memudahkan kepada golongan seperti ini. Mereka tidak perlu membuka kasut, cukuplah menyapukan air sekali di atas kasut yang dipakai, kemudian terus solat dengan memakai kasut berkenaan. Misalnya perhatikan maksud-maksud hadis di bawah.

Pertama: Diriwayatkan daripada Saiyidina Ali r.a. bahawa dia berkata ‘jikalau agama itu dengan akal, nescaya sebelah bawah kasut lebih utama disapu daripada sebelah atasnya, dan Rasulullah s.a.w. kulihat telah telah menyapu yang sebelah atas khufnya’. (Riwayat oleh Abu Dawud dengan sanad hasan)

Kedua: Diriwayatkan daripada syafwan bin ‘Asal, dia berkata: Adalah nabi s.a.w. memerintahkan kami agar jangan menanggalkan kasut ketika dalam musafir selama tiga hari tiga malam melainkan dalam keadaan junub, akan tetapi daripada membuang air besar, membuang air kecil dan tidur (kami  membukanya). (Riwayat oleh Nasa’I dan Turmizi. Lafaz hadis ini juga diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah. Tirmizi dan Ibn Khuzaimah mengatakan hadis itu sahih).

Ketiga: Dan daripada Saiyidina Ali bin Abi Talib r.a., katanya nabi s.a.w. memberikan peluang bagi orang yang musafir tiga hari dan tiga malam, dan sehari semalam bagi yang bukan musafir dalam menyapu di atas dua khufnya.” (Riwayat oleh Imam Muslim)

Keempat: Dan telah diriwayatkan oleh Abi Bakrah r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda (nabi s.a.w.) memberi kemudahan bagi yang musafir itu tiga hari tiga malam dan bagi orang yang bermukim sehari semalam.  Apabila dia bersuci padahal sedang memakai khufnya, maka hendaklah ia menyapukan (air) di atas kedua-duanya.”  (Riwayatkan oleh Al-Daraqutni, dan Ibn Khuzaimah mengatakan hadis ini sahih).

Kelima: Diriwayatkan daripada Thauban r.a. katanya Rasulullah s.a.w. mengutu tentera kecil, maka disuruhnya mereka menyapu air wuduk di atas ‘asaibnya iaitu serban-serban mereka dan tasakhin iaitu khuf.’ (Riwayat oleh Imam Ahmad dan Abu Dawud. Imam Hakim mengatakan hadis ini sahih).

Keenam: “Diriwayatkan daripada sayyidina Umar r.a. secara mauquf, dan daripada Anas secara marfu’ iaitu yang diangkatkan daripada nabi s.a.w. ‘Apabila seorang daripada kamu mengambil wuduk, padahal sedang memakai khuf maka hendaklah sapu (air) kedua-duanya, lalu solatlah dengannya, dan janganlah dicabut jika dia mahu melainkan kerna junub.’ (Riwayat oleh Daruqutni dan Hakim, kedua-duanya mengatakan sahih).

Demikianlah kelonggaran terhadap orang berwuduk yang boleh hanya menyapu air sekali sahaja di atas kedua-dua kasutnya.  Daripada kata-kata Saiyidina Ali r.a., jelaslah agama bukan berdasarkan akal kerana logik akal, yang wajib disapu adalah bahagian tapak yang telah memijak pelbagai benda termasuk kotoran.  Kemudian, dengan memakai kasut itulah solat ditunaikan, malah nabi s.a.w. memberi peluang terus berwuduk dengan berkasut selama tiga hari bagi yang musafir.