Pengikut

Isnin, Jun 30, 2008

POLITIK, innalillah....

APA hendak jadi politik Malaysia? Tuduhan dan skandal dalam kalangan ahli politik muslim. Innalillahiraajiuun…….

Maka penulis bersetuju Tuan Mufti Dr Asri yang mengutip ungkapan Ulama Turki Badiuzaman Said Nursi yang mengatakan “berlindung daripada syaitan dan politik”.

Akhirnya seks dijadikan alat dalam perjalanan politik negara. Dahulu ada Ketua Menteri yang dituduh merogol perawana kecil. Maka terpaksalah dia melepaskan jawatan Ketua Menteri itu. Sampai sekarang tidak ada pula kes itu sampai ke tangga mahkamah. Maknanya cukupkan dengan dia diundurkan daripada berpolitik.

Kemudian ada juga seorang Menteri Besar yang diakui berwatak baik tetapi dibuang daripada jawatannya itu kerana tuduhan skandal dengan wanita. Dikatakan Pak Menteri Besar itu punya anak luar nikah! Ah, tidak ada aduan untuk disahkan di Mahkamah Syariah. Pak Menteri faham bahawa musuhnya mahu supaya dia berundur daripada jawatannya.

Yang paling sadis setakat ini ialah tuduhan Pembesar negara berzina dengan isteri orang. Aduhai, diusung tilam, segala bulu dan lendir. Setelah berlama-lama bercerita hal bulu dan lendir, mahkamah tidak berminat meneruskan kes. Cukuplah di sini sayang! Agaknya cukuplah untuk memberi malu segala peribadi tokoh politik berkenaan.

Kemudian, berentetan pula kes sodomi yang berpanjang-panjang pula dalam mahkamah. Wal hasil mahmakah juga mengatakan tertuduh tidak bersalah. Perkataan liwat asalnya sangat tabu, tetapi dengan permainan media dan ahli politik anak-anak telah membuka kamus dan membincangkan perkataan itu di kantin-kantin sekolah. Terima kasihlah ahli-ahli politik muslim!

Sebelumnya pun pernah seorang tokoh yang hebat dan lantang suaranya ditangkap atas tuduhan berdua-duaan dalam kamar hotel. Mahkamah juga telah memadamkan kesnya. Tokoh ini terselamat daripada badai yang menganga.

Sekarang satu dunia melihat bagaimana ahli-ahli politik Melayu Muslim di Malaysia sedang gentayangan dalam dongeng seks haram! Untuk menambah hebat ada pula ancaman bunuh terhadap tokoh berkenaan. Semua ini bagai sedang melengkapkan skrip percaturan politik paling hebat dalam sejarah Malaysia moden yang di celah-celahnya ada pula kaitan dengan pembunuhan model tanpa nisan.

Entah berapa banyak cerita dijaja, ditambah dan diperpanjangkan untuk menjadikan enak dan menarik khalayak. Jika semua cerita ini betul pun, Rasulullah sudah berpesan agar tidak menghebahkan keaiban sesama muslim. Kalau sesiapa yang melindung keaiban saudaranya, nanti Allah akan melindung keaibannya di Padang Mahsyar. Kalaulah semua skadal seks itu hanya rekaan untuk memalukan dan menjatuhkan kedudukan seseorang, alangklah kejinya akhlak berkenaan. Maka siapa pula di luar lingkungan yang menjadi mata rantai perjalanan fitnah ini?

Enak, memang enak menjual cerita aib seseorang. Tambahan cerita ini adalah cerita seks yang memang menjadi bahan tarikan. Samalah seperti enaknya mengambil wang haram yang mudah dan banyak. Enak…, ya enak. Tapi awas!

Yang belum enak ialah memakan sate khinzir!

Jumaat, Jun 27, 2008

SERBAN vs topi keledar

LAGI isu serban dengan undang-undang. Kali ini pelajar sekolah pondok disaman oleh polis kerana menunggang motorsikal dengan berserban, iaitu tidak memakai topi keledar. Beberapa waktu terdahulu isu yang menjadi kes mahkamah murid-murid yang berserban dibuang sekolah atas alasan tidak menepati pakaian seragam sekolah kerajaan Malaysia.

Isu pelajar berserban disaman ini pun akan dijaja atas tema undang-undang jalan raya yang antisunah nabi dan pro-Sikh! Maka sekali lagi akan diseret pula kalimah ‘undang-undang dunia’ yang mengalahkan ‘undang-undang Allah’. Begitukah?

Istilah berserban itu memang difahami dengan cara memakainya yang berlilit itu. Ulasan ahli hadis tempatan Drs Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris dalam bukunya “Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu” (Kuala Lumpur, al Hidayah Publisher, 1996, rujuk muka surat 194-200) ialah tidak ada satu pun hadis yang sah atau sahih mengenai pemakaian serban atau fadilat berserban. Itu kata pakar hadis. Maka yang tidak pakar mengenai status hadis, kenalah menerima pendapat pakar.

Lupakan dahulu dari sudut budaya dan sejarah Arab kurun ke-7, zaman Rasulullah. Budaya Melayu dan Islam bukan antiserban. Jika pakar hadis mengatakan tidak ada hadis sahih mengenai kelebihan pahala berserban, bukan bererti muslim tidak boleh berserban. Itu jelas, penulis pun tidak berpendirian antiserban. Oleh kerana berserban adalah satu budaya atau adat sahaja, maka penggunaannya mestilah tidak sampai menghalang penggunaan teknologi zaman terkini.

Jika orang faham muslim wajib taat kepada Allah, kemudian rasul dan kemudian lagi ialah ulil amri (pemerintah), tentu dapat menerima pelaksanaan undang-undang jalan raya yang antaranya wajib memakai topi keledar. Penerimaan wajib bertopi ini masih dalam hal taat ulil amri yang diperintahkan Allah. Tambahan pula berserban itu hanya budaya, bukan satu hukum wajib atau sunat. Mudahnya, tanggalkan pakaian adat berserban dan pakailah topi keledar pada saat memerlukan pemakaian topi keledar. Pada saat hendak berserban, pakailah serban itu. Tiada halangan apa-apa.

Ulil amri sudah menunaikan amanah menjaga keselamatan rakyatnya di jalan raya dengan mewajibkan pemakaian topi keledar. Ulil amri sedar bahawa topi keledar ialah salah satu keperluan wajib penunggang motorsikal, sebab itu diwujudkan undang-undang mengenainya. Memang kalau tidak memakai topi keledar pun motorsikal boleh ditunggang. Sama juga tentera boleh saja tidak memakai topi besi ketika bertempur. Mana mungkin senjata tidak dapat diledakkan jika tentera yang mengendalikan senjata tidak bertopi besi, namun fahamkah mengapa tentera memakai topi besi ketika bertempur? Kalau muslim faham logik tentera bertopi besi ketika bertempur, harap fahamlah ulil amri mahu rakyatnya memakai topi keledar ketika menunggang motorsikal.

Isunya di sini ialah anggapan berlaku konflik antara sunah nabi berserban dengan undang-undang dunia yang dianggap tidak mengatasi sunah berserban. Lantaran itulah pelajar sekolah pondok yang yakin melakukan sunah nabi sepatutnya mengatasi undang-undang dunia jalan raya! Senang cakap berserban dikaitkan hal nabi, dekat dengan Allah tetapi topi keledar dianggap bukan sunah, tidak berpahala dan hal dunia. Mereka faham, hal nabi dan Allah pasti mengatasi hal remeh-temeh topi keledar. Sebab itulah golongan ini tidak perduli akta yang dikatakan ‘hal dunia’ semata-mata.

Di luar kes ini banyak yang berfahaman demikian. Sebab itulah perlu ada pemeriksaan taraf hadis dan usaha tajdid sepanjang waktu agar pemahaman Islam benar-benar seperti yang dikehendaki oleh alquran dan sunah. Islam pula tidak dilihat kaku dan terasing daripada kemajuan sains dan teknologi. Pemahaman yang salah atau kurang tepat tetapi dikatakan sebagai inti ajaran Islam tidak membantu memajukan Islam sebagai cara hidup yang sesuai sepanjang zaman. Isu konflik serban dan topi keledar ini satu contoh yang boleh dieksploitasi bahawa Islam ketinggalan zaman.

wa

Selasa, Jun 24, 2008

MENCARI dukun digital

SEPANJANG hidup entah berapa kali saya kehilangan barang. Barang hilang kerana kecurian tentulah membuat hati geram dan keciwa, namun lama-kelamaan saya akur dengan kejadian itu. Semasa tinggal di Kedah akhir tahun 80-an ada rakan kehilangan sebuah motorsikal. Selain membuat laporan polis, ikhtiarnya ialah mengadu kepada dukun atau bomoh. Entah berapa orang, tapi pasti bukan seorang. Dia sangat tekun mengikuti ramalan dukun. Akhirnya motorsikalnya ditemui oleh pihak polis di tepi jalan agak jauh juga dari bandar Alor Setar.

Setelah bekerja sehingga kini, tiga kali rumah yang saya diami diceroboh pencuri. Saya hanya buat laporan polis, tetapi ada juga rakan sekerja mencadangkan agar mengadu kepada dukun untuk mengetahui kedudukan barang berharga yang hilang. Namun saya menolaknya atas prinsisp tidak percaya ramalan sang dukun.

Pernah satu ketika dulu, ipar saya kehilangan beg tangan yang di dalamnya ada wang dan sedikit barang kemas. Tidak lama kemudian saya dan keluarga diajak oleh seseorang yang rapat dengan keluarga isteri menaiki van. Katanya, “ikut sajalah…” tanpa memberitahu apa tujuan dan ke mana arah tuju.

Rupa-rupanya seseorang itu membawa kami ke rumah seorang dukun kenalannya untuk menilik atau mengkhabarkan di mana barang kemas yang hilang itu. Saya diberitahu sang dukun hanya memberitahu ciri fizikal pencurinya yang dikatakan bertubuh gempal dan berbaju merah. Tidak ada yang lain. Alahai…, berapa ramai manusia bertubuh gempal dan berbaju merah dalam kampung itu?

Kalau dikumpul cerita-cerita dukun membaca jampi mentera untuk dalam usaha mendapatkan semula barang hilang, belum pernah seorang dukun dapat memberikan nama pencuri, alamat lengkap dan nombor kad pengenalannya! Pada saya itulah asas hendak menangkap pencuri dan mendapatkan barang yang hilang.

Jika seseorang yang dikatakan bomoh sekadar memberitahu barang curian masih ada di sebuah bandar, pencurinya lelaki dan dikatakan tidak dapat menjual atau mengguna barang itu, saya pun boleh cakap.

Lihat apa masalah polis yang masih gagal menangkap pembunuh Nurin sekalipun sudah mendapat gambar lelaki dan motorsikalnya. Masalahnya ialah tidak dapat mengesan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan membawa beg berisi mayat Nurin. Mana perginya sekumpulan dukun yang sebelum itu mengunjungi keluarga malang itu? Polis mahu nombor pendaftaran kenderaan, nama penculik dan pembunuh serta nombor kad pengenalannya. Tanpa data itu, jangan cakaplah fakta-fakta hebat hanya kerana asap kemenyan.

Anehnya, sekalipun dukun tidak dapat memberikan data yang saintifik masih ada masyarakat yang mencarinya. Ada permintaan ada penawaran, itulah teori ekonomi. Saya mungkin percaya kaedah dukun mencari penjenayah jika dukun dapat mengemaskini perkhidmatannya. Misalnya untuk mengesan barang curi dukun mesti memberi tahu secara jelas di mana barang itu. Misalnya dalam rumah nombor 8 lorong 23, dalam almari bilik belakang rumah itu. Data penting seperti nombor kad penegenalan atau nombor kenderaan jangan lupa. Satu lagi mana-mana dukun yang dapat memberikan jenis darah penjenayah atau data DNAnya tentu akan menerima bayaran paling tinggi daripada pihak polis!

Setakat ini ilmu sains, teknologi moden dan kaedah saintifik lebih terbukti sah dan halal di sisi Islam berbanding ramalan kabur tak tentu hala.

(Tulisan ini sebagai respon rencana adat berbomoh yang disiar dalam Majalah I bulan Jun 2008)

Sabtu, Jun 21, 2008

HANTU yang seksi

ORANG Melayu mana yang tidak pernah mendengar cerita hantu? Ada kajian oleh intelektual mengenai kepercayaan mistik di kalangan orang-orang Melayu. Hasilnya, hampir semua orang Melayu termasuk yang bergelar saintis percaya mengenai alam mistik, hantu dan perbomohan. Maka janganlah hairan dengan larisnya filem dan drama hantu sekarang. Kelak, pada tahun 2020 pun, cerita dan filem hantu tetap laris.

Jika begitu, ertinya orang agama pun percaya dengan konsep hantu yang melingkungi orang-orang tidak terdidik? Ya, asal mereka manusia Melayu yang sudah bergelumang dengan budaya hantu sejak anak-anak. Oleh kerana ada orang agama dan saintis yang dipangaruhi minda hantu tentulah selain daripada mereka padat cerita hantu pada fakulti mindanya. Jadi bolehlah dianggap hantu telah menyumbang pembentukan tasawur Melayu.

Prinsip hantu yang mereka faham ialah keupayaan hantu menjelma dalam pelbagai. Malangnya minda mereka beku dan tidak mampu menafsir penjelmaan hantu secara kreatif. Kalau mereka pandai tentu mereka akan mengatakan begini:

Jika hantu boleh menjelma sebagai wanita tua dan hodoh, tentu hantu dapat menjelma sebagai wanita cantik dan seksi.

Jika hantu boleh terbang dan menghuni kawasan perkuburan, tentu hantu boleh duduk di stadium dan berjalan-jalan di kawasan perumahan mewah atau di tengah-tengah kesibukan kota. Tidak mustahil juga hantu memandu kereta mewah.

Jika selama ini hantu dikatakan suka suasana gelap, siapa yang dapat menghalang hantu daripada aktif semasa keadaan cerah atau siang hari.

Sebenarnya tidak ada undang-undang untuk hantu mesti menjerit dan ketawa pada waktu malam. Jika diterima bahawa hantu hanya menakut-nakutkan orang, modus operandinya tidak perlu sama sejak zaman sebelum merdeka. Apa yang penting orang akan takut kepada hantu. Maka hantu tentu telah mempunyai beberapa pelan untuk dilaksanakan supaya manusia terus takut kepadanya. Kalau pelan A gagal, hantu ada pelan B dan pelan C!

Anda boleh ketawa sepuas-puasnya dengan tulisan ini. Atau anda kepingin tahu pendirian saya mengenai hantu.

Kalau hantu ialah gambaran satu makhluk yang buruk, hodoh dan menakutkan orang. Saya belum pernah diketemukan dengan hantu. Lebih baik saya tidak percaya kewujudan hantu.

Kalau hantu ialah iblis yang disebut dalam alquran, yang berjanji kepada Allah untuk mengganggu manusia, ya saya terima dan percaya hantu ada. Sebab janji iblis ialah mengganggu anak Adam. Mungkin iblis menjelma dalam bentuk ‘hantu’.


Takutkah saya kepada hantu? Maaf, persepsi umum ialah masyarakat Jawa lebih mantap pemahamannya mengenai dunia hantu dan perdukunan. Sila datang ke Tanah Jawa dan lihat orang menjual susuk di tepi-tepi jalan seperti orang menjual burger di Malaysia! Rajin-rajinlah bertanya mengenai penunggu sesuatu kawasan di sana, mantap sekali ceritanya! Kalau tidak begitu, tidaklah ada namanya Kejawen. Saya kan manusia Jawa…

Apabila membaca cerita penciptaan Adam dalam surah albaqarah, jelaslah Allah mengiktiraf kehebatan manusia berbanding makhluk lain seperti malaikat dan iblis. Baiklah, andaikan kita fahami hantu hasil penjelmaan iblis yang kerjanya mengganggu atau merosakkan anak Adam.

Oleh kerana saya manusia keturunan Nabi Adam itu, tentulah saya lebih hebat berbanding makhluk lain. Ya, Allah tidak bersembunyi mengistiharkan manusia sebagai sebaik-baik apa yang Allah ciptakan. Rujuk surah At Tiin ayat 4.

Nah…, kalau begitu pantas sekali saya dihormati oleh hantu-hantu yang gelandangan dan gentayangan itu. Lagi pun saya tidak (atau belum) pernah diketemukan dengan apa yang dinyatakan sebagai hantu. Sekurang-kurangnya makhluk itu mesti memperkenalkan kepada saya, “saya hantu, ngerti ngak?” Oooo, ya terima kasih.

Saya sedang mendidik diri supaya terus berani. Jika saya benar-benar berani, maka ketakutan dalam diri saya akan melupus. Jika saya mengumpul ketakutan, pasti keberanian saya pula semakin menguncup.

Dengan premis begitu, jika saya terus menjadi manusia berani, maka apa yang dinamakan hantu semakin takut terhadap saya. Jika saya kian takut, bererti apa yang dinamakan hantu semakin berani terhadap saya.

Apa pilhan saya?

Rabu, Jun 18, 2008

RAYUAN Mohd Idris dan Nadia Syatila

BAYANGKAN seorang kanak-kanak berusia tiga tahun sentiasa menangis dan mengerang kerana ditimpa sakit bengkak hati atau ‘bibliary atresia’. Dan bayangkan lagi bayi malang ini tidak boleh diberi ubat lagi kerana dibimbangi ubat yang akan memberi kesan lebih buruk pada hatinya yang membengkak. Lalu begitu sajalah adik Nor Nadia Syatila bt Mohd Idris sementara menunggu nasib baiknya agar dilakukan pembedahan pemindahan hati ayahnya kepada dirinya.

Ayah Nadia, Encik Mohd Idris b Yaacob 41 tahun bekerja sebagai penoreh getah di Kuala Krau Temerloh dengan pendapatan kira-kira RM450 sebulan tidak mampu menyediakan kos pembedahan bernilai RM32,000. Mohd Idris sendiri telah bersedia untuk diambil sebahagian hatinya yang akan digunakan oleh anak kesayangannya Nadia, cuma masalah kewangan yang menunda pemindahan hati ini.
Mohd Idris b Yaacob nombor kad pengenalan 690906-06-5099 dan isterinya Noor Aziah bt Mohamad nombor kad pengenalan 700209-06-5030 beralamat Kampung Baru Paya Luas, Kuala Krau 28050 Temerloh Pahang merayu kepada para dermawan dan orang ramai bersama-sama menyelamatkan adik Nadia yang sedang menderita sakit bengkak hati. Orang ramai yang ingin menderma untuk pembedahan ini boleh menderma melalui Bank Simpanan Nasional nombor akaun 0610529000098723 atas nama Noor Aziah bt Mohamad. Mohd Idris boleh dihubungi melalui nombor telefon 019-9331036.

Untuk rekod, kisah penderitaan adik Nadia dan rayuan Mohd Idris meminta bantuan kewangan daripada orang ramai pernah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian Pahang pada 25 Julai 2007.

Selasa, Jun 17, 2008

ARAB yang strategik

Makkah di tengah-tengah jazirah Arab dan tanah Arab terletak di Asia Barat atau Timur Tengah. Apabila membaca sejarah bahawa Rasulullah mendapat wahyu di Makkah atau wilayah Arab ada yang bertanya apa istimewanya Arab. Misalnya mengapa Allah tidak memilih Negara China sebagai tempat diturunkan wahyu sedangkan pada abad ke-7 itu penduduk China sudah begitu banyak, berganda-ganda berbanding penduduk jazirah Arab.

Walaupun tidak dijelaskan dalam alquran mengenai pemilihan lokasi wahyu diturunkan tidak di Eropah atau China, namun kita digalakkan berfikir mengenai kejadian yang berlaku. Dalam alquran sendiri Allah begitu menggalakkan manusia berfikir supaya mencapai kemajuan. Selain matlamat berfikit untuk membuka rahsia, hakikatnya ialah untuk membuktikan betapa hebatnya Allah dalam melakukan perancangan dan penciptaan.

Jika dikaji dari sudut geografi, mestilah kita wajib mengetahui secara kasar wilayah-wilayah dunia seperti kedudukan Afrika, Asia dan Eropah. Jazirah Arab sebenarnya terletak di persimpangan penting antara tiga benua: Asia, Afrika dan Eropah. Persimpangan ini satu tempat yang strategik dalam perhubungan antara bangsa. Umpama membuka pusat perniagaan, persimpangan jalan merupakan tempai strategik kerana menjadi tumpuan dan laluan utama pelanggan. Begitulah Jazirah Arab.

Malah sewaktu wahyu diturunkan pada zaman Rasulullah, Jazirah Arab merupakan wilayah di tengah-tengah pertelagahan dua kuasa besar dunia iaitu Sasan (Parsi) dan Rom. Suasana politik waktu itu menjadikan Jazirah Arab bertambah penting dilihat dari sudut perhubungan antara bangsa.

Bagaimana lokasi China atau Eropah? China terletak di timur benua Asia, bukan dalam jalur laluan utama antara bangsa. Banyaknya manusia menghuni China kerana mudahnya mendapat sumber makanan atau pusat pertanian. Untuk mengubungi Afrika dan Eropah, penduduk China terpaksa menempuh perjalanan laut dan darat yang jauh. Eropah pula terletak di utara bumi, juga bukan dalam wilayah strategik seperti Jazirah Arab. Mudahnya, bukan pilihan baik membuka pusat perniagaan di hujung jalan mati!

Telah terbukkti apabila Islam diperjuangkan dan didakwahkan ke luar Jazirah Arab. Pada zaman Saiyidina Umar, Mesir yang terletak di utara Afrika telah menerima Islam atas usaha gigih umat yang dipimpin oleh Amru al As. Empayar Sasan di timur Jazirah Arab pula dapat dikuasai Islam juga pada zaman Umar. Ertinya Mesir menjadi pintu penerokaan Islam ke Afrika dan Iran sebagai pintu masuk ke benua Asia.

Walaupun sepatutnya Islam memasuki Eropah melalui wilayah Anatolia atau Turki kerana itulah jalan pintas ke Eropah dari Arab, namun kekuasaan Rom di sana menyebabkan Islam sampai melalui Sepanyol, jalan yang jauh setelah menguasai seluruh Afrika Utara. Hal ini berlaku pada abad ke-8 di bawah kukuasaan Bani Umayyah. Atas faktor kekuatan kerajaan Usmaniyyah dan kelemahan kerajaan Rom Timur atau Byzantin, maka pada kurun ke-15 akhirnya kota Konstantinopel dikuasai Islam. Pembukaan kota utama Rom Timur menjadi pintu masuk Islam ke Eropah. Penguasaan wilayah Balkan di Eropah oleh kerajaan Usmaniyyah menjadikan Islam salah satu penentu tuju arah Eropah. Malah patokan politik kerajaan Turki Usmaniyyah ialah di wilayah Eropah yang dikuasainya, bukan di Arab atau Afrika. Ini samalah difahami kekuatan politik Malaysia dicorakkan oleh Semenanjung Tanah Melayu, bukan Sabah dan Sarawak!

Sepanjang sejarah bermula pada zaman Khulafa ar Rasyidin menuju zaman Bani Umayyah, Bani Abasiyyah dan seterusnya Usmaniyyah melangkapkan teori lokasi yang strategik Islam bermula di Jazirah Arab.

Sehingga hari ini wilayah Asia Barat merupakan kawasan perebutan pengaruh mana-mana kuasa besar dunia. Keadaan ini ditambah dengan takdir Allah menjadikan bumi Arab digenangi minyak yang banyak, faktor terpenting negara-negara maju mahu menguasai wilayah berkenaan.

Kedudukan geografi yang strategik dan adanya minyak merupakan perancangan Allah terhadap dakwah Islam. Kebanyakan pengkaji mungkin bersetuju bahawa pada zaman moden ini lokasi strategik persimpangan benua sudah bukan faktor kerana kemajuan teknologi, namun faktor minyak di Arab tetap menjadikan Arab sebagai fokus manusia seluruh dunia. Apabila harga minyak melambung tinggi, fokus manusia sedunia ialah Arab! Wah, bertambah kaya negara-negara Arab, negaranya umat Islam. Dan bertambah pendapatan negara Arab Saudi, negara yang menjaga dua tanah suci Makkah dan Madinah!

Inilah rahsia perancangan Allah, menjadikan wilayah Arab, orang Arab dan Islam sebagai fokus utama manusia sedunia sejak zaman wahyu pertama kurun ke-7 hinggalah zaman kenaikan harga minyak kurun ke-21. Fokus manusia sedunia penting supaya manusia melihat dan meneliti apa saja yang ada di Tanah Arab, yang penting Islam. Dalam manusia sedunia melihat faktor minyak di Arab, saban tahun dua juta manusia berhimpun di Makkah menunaikan haji.

Hal ini hampir menyamai peristiwa umrah tahun ke tujuh Hijrah setelah Perjanjian Hudaibiyah tahun ke enam Hijrah. Dalam kerakusan dan ego Arab Makkah mahu melawan Islam, akhirnya mereka dipaksa menyaksikan ribuan orang Islam dari Madinah melakukan kerja-kerja haji dan umrah di Makkah, wal hal waktu itu Makkah belum lagi dikuasai oleh Rasulullah. Siapa yang dapat menahan semua manusia sedunia hari ini daripada menyaksikan kebudayaan dan tamadun Islam di Arab pada saat mereka membenci Islam? Punca mereka terpaksa melihat Arab dan Islam sekarang ialah mereka mahu melihat minyak di Arab.

Satu perkara yang penting difikirkan ialah keazaman Kerajaan Arab Saudi melaksanakan Islam berdasarkan alquran dan sunah yang bersih daripada pengaruh Yunani, Parsi, India dan Melayu-Jawa juga dalam perancangan Allah dalam membuktikan ketulenan Islam di wilayah asalnya Islam diwahyukan kepada rasul akhir zaman. Patut sangat umat Islam di luar Arab yang bertaburan di serata dunia yang antara mereka membawa Islam yang sudah ada percantuman dengan adat budaya setempat, melihat ketulenan akidah dan ibadah Islam di Arab sana.


Isnin, Jun 16, 2008

RAHSIA kejayaan tamadun Islam

(Nota dialog di bawah pernah saya gunakan untuk memberi kefahaman kepada pelajar bukan Islam bagaimana tamadun Islam berkembang dengan pantas)

Soal: Zaman Jahiliah, bangsa Arab sangat teruk selama 300 tahun, tetapi apabila menerima Islam mereka begitu cepat mencapai kemajuan. Apa rahsianya?

Jawab: Bangsa Arab berubah daripada manusia biasa kepada manusia yang patuh perintah Tuhan, Allah. Ikut perintah Allah, manusia menjadi berani sampai berani mati kerana ada jaminan (guarantee) daripada Allah. Misal, kalau kita membeli satu barang yang ada guarantee, kita berani guna dengan lasak. Jadi, masyarakat Islam yang awal sangat lasak sebab ada guarantee. Macam ada insurans, luka atau mati dapat pampasan.

Soal: Apa guarantee Tuhan?

Jawab: Dalam ajaran Islam, hidup bukan di dunia saja. Hidup ini sementara, yang kekal ialah di akhirat, satu kehidupan semula selepas mati di dunia. Oleh itu ajaran Islam suruh penganutnya merebut peluang kejayaan hidup di akhirat. Allah beri guarantee manusia yang percayakan Allah dan mengikut perintah-Nya, Allah akan beri kejayaan atau untung besar di akhirat, sangat lebih baik daripada di dunia ini.

Soal: Boleh terangkan suasana kejayaan di akhirat?

Jawab: Hidup di syurga, sangat menyeronokkan dan zaman di sana tidak berakhir atau kekal! Kalau di dunia kita kena berusaha untuk mendapatkan sesuatu, di syurga tuhan sediakan percuma saja. Minta, Tuhan terus beri. Mintalah apa-apa, mesti dapat. Tiada ada perkara buruk, kotor dan jahat di sana. Kalau apa yang kita mahu tuhan terus beri, maka tak adalah jenayah! Itu gambaran kecil saja.

Soal: Apa kaitan dengan kejayaan tamadun yang pantas di dunia?

Jawab: Pertama: Dalam Islam ada konsep pahala (akaun baik) kerana melakukan kebaikan dan dosa (akaun jahat) kerana melakukan kejahatan. Maksud baik dan jahat kena ikut al Qur’an, bukan maksud yang manusia cakap. OK, untuk masuk syurga Allah kena banyak dapat pahala, jangan sesekali buat dosa. OK kalau tak sengaja membuat dosa, cepat-cepat bertaubat. Berbuat baik dapat pahala dan hilangkan dosa juga! Itulah tuhan yang sangat pengasih kepada manusia.


Kedua: Percayakan Allah adalah kebaikan paling besar. Pahalanya besar. Patuhlah semua perintah Allah, banyaklah pahala. Allah perintah cari ilmu, pergilah belajar! Perintah jangan bergaduh, kita berkasih-sayanglah! Perintah Allah supaya jujur, terus tak menipu! Perintah Allah supaya hormati wanita, terus wanita disama taraf dengan lelaki! Perintah jangan minum arak dan berjudi, terus berhenti! Itu semua asas perintah menjadi masyarakat yang berkualiti. Masyarakat berkualiti menjadi penggerak tamadun.

Soal: Takkan itu saja? Tamadun adalah perkara besar.

Jawab: Islam adalah satu sistem hidup, bukan agama semata-mata. Selama 23 tahun Tuhan Allah turunkan al Quran kepada Nabi Muhammad. Dalam al Qur’an ada bab pemerintahan negara, undang-undang, hubungan antara bangsa, sistem ekonomi, sistem sosial, pendidikan termasuk sains! Jadi orang-orang Islam amalkan ajaran al Qur’an, mereka membentuk tamadun Islam. Kembali kepada konsep asal, ikut ajaran al Qur’an ertinya mendapat pahala besar yang sangat berguna untuk masuk syurga Allah kelak.

Soal: Kalau buat jahat atau buat kerosakan di dunia bagaimana?

Jawab: Tak dapat pahala, tapi dapat dosa. Banyak membuat kemusnahan seperti mencemar alam akan berdosa, nanti akan masuk neraka. Kalau percayakan Allah adalah Tuhan yang satu, Tuhan yang hebat, manusia mesti tak mahu masuk neraka, mesti mahu masuk syurga. Di dunia sudah merasa aman, di akhirat nanti lagi aman.

Ahad, Jun 15, 2008

PENDAKWAH yang berdosa




Saya sering ditujah oleh bisikan-bisikan yang timbul sendiri di dalam otak yang terbatas ini. Apa bisikan itu? Bisikan itu sering mempersoalkan kewajaran kita mengajak manusia kepada Allah sedangkan diri kita masih lagi bergelumang dengan dosa.


Apatah lagi dengan ayat-ayat Al-Quran berikut, ia menjadi satu tusukan tajam, mahu sahaja berhenti mengajak manusia. Masakan tidak? Penat lelah kita itu hanya menimbulkan dosa dan menambah peluang mendapat azab di neraka. Apakah ayat-ayat al-Quran itu? Mari kita lihat:


أَتَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ أَنْفُسَكُمْ وَأَنْتُمْ تَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلا تَعْقِلُون
Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaktian, sedang kamu melupakan diri (kewajipan) mu sendiri, padahal kamu membaca Al Kitab ? Maka tidaklah kamu berfikir? Surah al-Baqarah 2:44


Hadith dari Sahih Muslim: A man will be brought on the Day of Judgment and cast into Hell. He will go around in Hell like a donkey in a grinding mill. The denizens of Hell will gather around him and say: “O so-and-so! Didn't you use to enjoin us to what is right and prohibit us from what is wrong? ” That man will say: “I used to order you to do good but I myself never used to do it, and I used to forbid you from doing wrong while I myself used to do it.” [Sahîh Muslim]

Apakah maksud sebenarnya ayat dan hadith di atas ini? Apakah ia melarang manusia yang berdosa daripada menyeru manusia yang lain kepada kebaikan? Komiti Unit Pengkajian Fatwa Islamtoday yang dipengerusikan oleh Shaikh Abdul Wahab at-Turayri telah cuba menyimpulkan kekusutan dan kekeliruan tentang hal ini. Berdasarkan pembacaan ke atas hasil kajian mereka, dapat disimpulkan bahawa:


1) Mereka yang mahu mengajak manusia kepada Allah, atau erti kata lain berdakwah hendaklah memperbaiki cara hidup mereka ke tahap hidup beragama yang terbaik mengikut kemampuan mereka.

2) Orang Islam yang terjebak dengan maksiat, masih bertanggungjawab menyeru orang lain kepada Allah kerana dakwah itu sendiri adalah tugas setiap individu kepada Allah.

3) Ayat dan hadith di atas bukan berisi larangan kepada pelaku maksiat untuk berdakwah, sebaliknya ia adalah satu amaran kepada mereka yang bersifat talam dua muka. Dosa yang mereka hadapi ialah kerana tidak berusaha melakukan apa yang mereka seru kepada orang lain, dan bukannya dosa kerana menyeru manusia kepada Allah.

4) Ayat dan hadith di atas di atas merupakan larangan melakukan perbuatan dosa walaupun pelaku itu mengetahui perihal hukum perbuatan itu. Dan ia bukan bermaksud melarang pelaku dosa atau maksiat daripada berdakwah.

5) Setiap Muslim mempunyai kewajipan untuk mematuhi ajaran Islam dan meninggalkan larangan. Di samping itu, kita juga mempunyai tugas mengajak manusia yang lain kepada kebenaran. Kegagalan melaksanakan salah satu daripadanya tidak bermaksud terus tidak melakukan kedua-duanya.

6) Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan kecuali yang Ma;sum iaitu Rasulullah SAW, maka, sekiranya kesempurnaan adalah kriteria mengajak manusia kepada kebenaran, nescaya tiada manusia yang layak melaksanakan tugas berdakwah ini.

Rabu, Jun 11, 2008

TAFSIR al Quran 27 tahun

SIAPA yang sanggup belajar tafsir selama 27 tahun? Kalau pengajian tafsir alquran ini secara sambilan tentulah ada yang sanggup. Dan inilah yang telah berlaku kepada kelas pengajian atau tafsir alquran di Masjid al Abrar Batu 2 Sepintas, Sabak Bernam Selangor.




Seingat saya Kiyai Haji Ihsan seorang guru pondok di kepondokan Panchang Bedena Sungai Besar Selangor melulakan kelas tafsirnya setiap hari Selasa malam selepas solat Maghrib pada tahun 1981. Ketika itu saya di Tingkatan Empat. Beliau membuka kitab Tafsir al Furqan buah tangan A Hassan atau Hassan Bandung. Namun tidaklah bererti Kiyai Haji Ihsan berpendirian seperti Hassan Bandung dalam penentuan hukum-hukum ibadah dan fikah. Kitab tafsir itu yang ringkas hanya sebagai panduan kepada beliau dan khalayak pengajiannya. Selainnya beliau akan membuka atau menafsir berdasarkan beberapa kitab yang dipelajarinya sewaktu di pesantrenan di Tanah Jawa dahulu.

Baru-baru ini saya kembali ke desa dan hadir ke kelas pengajian Kiyai Ihsan, rupa-rupanya kelas tafir alquran itu telah tamat awal tahun ini. Ini bererti kelas tafsir alquran itu dijalaninya selama kira-kira 27 tahun dari surah Fatihah, al Baqarah seterusnya sehingga surah terakhir.

Tidak kurang yang menjadi imam masjid dan mereka yang setia menjadi muridnya di masjid berkenaan telah kembali ke rahmatullah. Yang dahulu muda sekarang sudah tua, dan saya juga yang dahulu mengikuti kelasnya sekarang sudah menginjak usia dewasa. Ayah saya juga kian renta dan masih setia menghadiri kelas Kiyai haji Ihsan ini. Bapak Kiyai ini juga sudah putih sebagian besar rambutnya sekalipun tubuhnya masih agam.

Khalayaknya tidaklah begitu banyak, dalam lingkungan 50 orang setiap sesi pengajiannya. Namun cukuplah 50 orang itu bagi sebuah desa yang penduduknya bukan bermain-main dengan pena, buku dan mesin kira. Lainlah kalau di Bangi atau Gombak yang dikatakan bandar keilmuan, tentu kelas-kelas tafsir mempunyai ratusan muridnya, begitu?

Salut untuk Kiyai Haji Ihsan yang saban minggu sekadar menunggang motorsikal Honda cup sejauh lapan kilometer dari rumahnya ke Masjid Abrar itu. Dan salut juga kepada penduduk desa yang setia menjadi penagih ilmu itu. Semoga semua bermanfaat dan menjadi nilai penting dalam kehidupan.

PANDANGLAH yang miskin

APABILA harga minyak petrol dan disel naik memang menjadi isu. Daripada RM1.92 kepada RM2.70 menjadi isu dan tafsiran lain pula. Apa pun perkara sudah berlaku dan sebagai orang biasa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menurunkan semula harga minyak. Kata orang. Hidup mesti diteruskan juga.




Semua yang bersekolah faham kesan kenaikan harga bahan bakar. Kenaikan harga minyak ini bererti kenaikan harga barangan harian lain, sebab barang-barang ini hari-hari naik kenderaan. Kenderaan digerakkan oleh minyak. Kos-kos perkhidmatan seperti tambang bas juga akan naik.

Dipendekkan cerita kenaikan harga minyak akan membawa kesan kejatuhan pendapatan sebenar seseorang, kecuali mereka peniaga yang segera memindahkan beban kenaikan itu kepada pengguna lain.

Umumnya jika sebelum ini seseorang mempunyai lebihan dan dapat menabung RM200 sebulan, kini tiada tabungan lagi untuk meneruskan gaya hidup sebelum kenaikan harga minyak.

Jika ada sebuah keluarga yang sebelumnya hanya hidup ‘paras hidung’, maksudnya pendapatannya sama dengan perbelanjaannya, setelah kenaikan harga minyak keluarga ini akan menanggung belanjawan defisit. Perbelanjaannya melebihi pendapatan. Jika keluarga ini tidak punya ikhtiar untuk menambah pendapatan agar kembali pada hidup ‘paras hidung’ bimbang mereka akan tercebur dalam kancah hutang. Pilihan lain ialah mengurangkan kualiti hidup yang pernah dinikmati.

Kalau kita tidak mudah lupa bahawa semua harta adalah milik Allah dan Dia berhak untuk memberi atau mangambil daripada hamba-hamba-Nya, perasaan gusar kerana kesan kenaikan harga minyak akan cepat mereda. Melalui jalan kemusnahan seperti banjir dan kebakaran, Allah mengambil semula pinjaman harta. Antara cara Allah menyusutkan pemilikan harga daripada manusia ialah dengan merendahkan pendapatan benar, iaitu mengurangkan pendapatan dengan cara kenaikan harga-harga barangan.

Kesan-kesan kenaikan harga barangan yang tentunya ada antara hamba-hamba-Nya jatuh miskin sebagian daripada qada dan qadar ketentuan-Nya. Kenaikan pendapatan pun qada dan qadar-Nya. Maka janganlah cepat melatah apabila ada ulama mengatakan miskin sebagian daripada takdir Allah. Bukalah mata, melihat kesan kemelesetan ekonomi tahun 1998 dan kesan kenaikan harga minyak sekarang. Ada manusia yang tiba-tiba menjadi miskin dan muflis di luar kawalannya. Inilah takdir yang datang. Sebab itulah ayat-ayat dalam alquran yang meminta manusia kaya memerhatikan dan mengambil berat manusia miskin tetap relevan. Pembahagian hasil zakat kepada lapan asnaf yang antaranya orang miskin sebagai bukti ayat-ayat Allah tetap hidup sepanjang zaman. Takdir Allah untuk mewujudkan manusia miskin dan kaya dengan kuasa-Nya tetap ada.

Namun jangan lupa masih banyak keluarga yang tidak terjejas dengan sebarang kenaikan harga barang sekarang. Mereka golongan terselamat daripada ancaman inflasi. Mereka masih meneruskan citra mewah yang selama ini dilalui.

Secara umum sesiapa pun tidak boleh dilarang meneruskan kehidupan mewah hasil usahanya yang bersih atau halal. Cuma ketika berhadapan dengan golongan yang hidup paras hidung atau miskin, membawa watak hidup mewah akan mengguris hati mereka yang kehidupannya tertekan. Sekalipun orang kaya membayar zakat kepada golongan miskin untuk meredakan perasaan dukanya, tetapi hari ini pengagihan zakat sudah dilaksanakan oleh agensi, bukan oleh si pemberi zakat atau si kaya tadi. Oleh itu hubungan peribadi antara si kaya yang memberi zakat dengan si miskin si penerima zakat sudah tidak dirasai.

Bayangkan ketika orang kaya membayar secangkir teh di hotel berharga RM5.00, si miskin terpaksa berpeluh tiga jam mengelap lantai untuk mendapatkan wang harga secangkir teh si kaya. Orang kaya dengan mudah menjadikan makanan sebagai sisa dan sampah kerana berlebihan, kemudian si miskin yang bekerja mengumpul sampah mengalir air mata kerana melihat makanan sudah tersisa dalam tong!

Orang sering memberikan maksud cubaan hidup kepada golongan miskin, walhal kekayaan juga cubaan hidup. Orang-orang kaya yang tidak terjejas kehidupannya pada zaman paceklik ini harap kenang dan rasailah kekelumit perasaan dan naluri hidup golongan bawahan.

Isnin, Jun 09, 2008

UNTUK siapa dunia ini?

DUNIA ini untuk siapa, orang-orang beriman atau yang kufur? Berapa banyak mereka yang mengaku beriman yang begitu ketara banyak dan kukuhnya amal ibadah siang dan malam tetapi sangat mencurigai dunia dan isinya. Tidak salah mencurigai dunia demi menjaga kelangsungan amal salih, tetapi memandang dunia dengan pandangan kosong bagai dunia tidak berguna, itu bukan prinsip Islam yang diwahyukan kepada manusia.

Mudah difahami bahawa dunia dan segala isinya adalah hak mutlak Allah. Kemudian menjadi hak Allah hendak menyerahkan urusan pentadbran dunia kepada siapa. Daripada begitu banyak makhluk yang Allah ciptakan di atas dunia ini, manusia dipilih sebagai pengurusnya.

Kemudian antara sekian banyak manusia itu, siapakah yang paling layak menguasai dan mentadbir dunia ini. Allah menjelaskan dalam surah an-Anbiya ayat 105 sebagai berikut, “Dan sungguh telah Kami tulis dalam Zabur dan sesudah (Kami catat dalam) Lauh Mahfuz, bahawa bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang salih”. Maksud yang sama bahawa dunia ini dipusakakan kepada manusia yang beriman atau taat perintah Allah ada dalam surah al Araf ayat 128 dan an-Nuur ayat 55.

Salahlah pemahaman jika ada mereka yang mengaku beriman, bertakwa dan bercita-cita mendapat keredaan Allah tetapi mengasingkan diri daripada urusan dunia. Mereka membiarkan dunia ditadbir urus oleh orang-orang yang dianggap serakah atau kufur. Akhirnya mereka hanya menjadi pemerhati dan pengkritik manusia yang didakwa sudah ditakluk dunia dan isinya. Kedengaran lagi suara yang mengatakan pengaruh dunia yang memusnahkan manusia daripada keredaan Allah.

Secara kasar menarik pandangan dan contoh kehidupan yang cuba dibawa. Muslim yang sangat menjaga ibadah khusus siang dan malam, mulutnya tidak henti daripada memuji-muji Allah. Oleh kerana perwatakan ini dilihat sangat kudus maka menjadi pandangan umum begitulah contoh manusia yang dikasihi Allah, hamba-hamba Allah yang salih. Muslim awam akan menghampiri golongan ini untuk mempelajari kaedah menjadi hamba Tuhan yang baik. Pandangan hidup begini bukan tamat di serambi masjid sahaja namun dibawa ke lapangan lain dan memberi kesan-kesan tertentu.

Telah menjadi satu pandangan umum bahawa hamba-hamba Allah yang dikatakan salih itu ialah ahli ibadah khusus sekalipun gagal atau takut menempuh ilmu keduniaan yang kian rumit. Berapa banyak muslim yang sempurna dalam ibadah, akhlak dan sangat berketrampilan ilmu dunia tidak digambarkan sebagai hamba-hamba Allah yang salih, hamba-hamba Allah yang sedang mentadbir dan mewarisi dunia. Sehingga akhirnya ada muslim yang hebat ilmu keduniaannya terpaksa berpakaian ala-Arab (jubah dan serban) untuk merasa dirinya semakin dekat dengan Allah.

Secara kasar begitulah pandangan yang terbentuk akibat pemisahan ibadah dengan urusan keduniaan. Pandangan ini bukan dijaja oleh penjajah Eropah yang dikatakan musuh dunia Islam sejak zaman Portugal di Melaka tahun 1511. Pembentukan pandangan pemisahan agama dan dunia telah berlaku sejak kurun ke-13 sebelum kejatuhan kota Baghdad pada 1258 masehi.

Kemasukan Islam ke Nusantara ini sebenarnya setelah kejatuhan keagungan tamadun Islam di Damsyik, Andalusia dan Baghdad. Kita sering memuji ketamadunan Islam zaman silam bahawa muslim mentadbir dan menguasai dunia dengan Islam. Namun sebagian kita pula masih mencari jalan sama ada hendak menjadi hamba Allah yang menguasai dunia atau ilmu ibadah khusus saja. Ada ahli-ahli agama (baca ahli ibadah khusus) menyindir muslim yang berilmu dalam sains tulen, matematik, sains kemanusiaan dan pelbagai disiplin ilmu sebagai pemilik ilmu yang belum sempurna. Mereka mengatakan duduk beriktikaf di masjid atau berzikir (melafaz kalimah-kalimah memuji Allah) jauh lebih bernilai di sisi Allah berbanding mencari kekayaan dunia yang fana!

Janganlah antara kita masih hairan mengapa muslim yang mempunyai sejarah ‘hamba-hamba Allah yang salih menguasai dunia’ masih ketinggalan dalam hal keduniaan yang sepatutnya dikuasainya. Di mana-mana dunia Islam, muslim sedang berkecamuk antara memahami Islam yang menyeru kepada menguasai dunia atau Islam hanya di atas sejadah. Di negara kita ini masih banyak yang membacakan hadis palsu larangan membicarakan hal dunia dalam masjid, walhal pada zaman Rasulullah masjid sudah menjadi urusan ibadah khusus dan urusan keduniaan.

Mari kita kira: Jika di sebuah mukim ada 20 buah masjid, berapakah yang mengadakan kuliah hal kesihatan, undang-undang dan kepenggunaan untuk dimasukkan dalam kuliah Maghrib dan Subuh selain hal-hal akidah dan ibadah khusus pada setiap minggu?

Jika sebuah masjid itu sudah berusia 20 tahun, berapa ratus kali kuliah-kuliah hal pengurusan keduniaan diberikan supaya khalayak atau jemaah masjid hebat dalam pengurusan dan penguasaan kehidupan atau dunianya?

Mengambil contoh masjid penting kerana rumah Allah itu dianggap pusat Islam dalam mana-mana wilayah, dan hanya mereka yang dilihat berilmu Islam diberi wewenang dalam pengurusan masjid.


Sabtu, Jun 07, 2008

TAAT ulil amri

KERAP saya mendengar daripada pemberi tazkirah supaya kita taat kepada Allah dan rasul-Nya. Maksudnya ialah apa-apa yang diperintahkan oleh Allah dan Muhammad Rasulullah ikutlah, dan apa-apa larangan daripada Allah dan Rasulullah jangan ikutlah. Lalu untuk menambah faham khalayak mengenai ketaatan yang mendekatkan kepada darjat taqwa itu, diberikan contoh supaya menunaikan solat, sedekah, berpuasa, berzakat, menunaikan haji dan berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.

Berbuat baik kepada ibu bapa tentulah daripada maksud beberapa hadis Rasulullah, sehingga diketemukan pesanan rasul itu agar berbakti kepada ibu berkali-kali. Ungkapan klise ialah ‘syurga di telapak kaki ibu’.

Barangkali kerana sudah menjadi budaya pemahaman taat kepada Allah dan rasul itu dilafazkan di masjid dan surau, maka khalayak lebih memahami urusan ibadah khusus sebaik ukuran menjadikan manusia taqwa: darjat paling hampir kepada Allah! Maka jangan hairanlah jika contoh manusia bertaqwa yang diberikan ialah watak manusia yang berjubah, berserban, yang lebih banyak kelihatan di masjid dan banyak sekali solatnya. Tidurnya sedikit kerana pada tengah malam individu itu membuat qiamullail dan siangnya berpuasa sunat. Itu bagus, tapi oleh kerana Islam itu menyeluruh (bukan hanya dalam masjid dan urusan ibadah khusus) maka taqwa itu juga dilihat menyeluruh dan meluas dalam semua ruang kehidupan manusia.

Kalau ditelusuri erti maksud surah an Nisa ayat 59 yang meminta muslim taat kepada Allah, rasul-Nya dan Ulil Amri (pemerintah) bermaksud ketaatan bukan hanya dalam ibadah khusus. Jika Allah mengarahkan muslim taat juga kepada pemerintah, ini bererti ketaatan muslim untuk membentuk taqwa juga dinilai melalui lapangan kehidupan berumah tangga, berpekerjaan, riadah dan pelbagai muamalah.

Tanpa mengabaikan tuntutan ibadah yang wajib dan sunat yang sedia difahami, apa yang dinamakan ibadah umum seperti aktiviti kehidupan merupakan pelengkap kepada kesempurnaan Islam sebagai cara hidup muslim. Maksud ketaatan yang membawa ke darjat taqwa tidak terhenti pada fizikal yang berjubah, berjanggut dan berserban, tetapi melebar bagaimana seorang mematuhi undang-undang atau peraturan hidup yang disediakan oleh pemerintah. Tidak diterima akal seseorang yang kelihatan warak di masjid dan ahli qiamullail tetapi cuai dalam kerjaya dan kerap pula ponteng tugas yang diamanahkan semata-mata untuk menunaikan solat dhuha. Kalau dia faham bahawa hidup sebagai ibadah, bererti setiap langkah sama ada di masjid, ladang atau kedai perniagaannya juga ibadah kepada Allah.

Dengan menunaikan kewajiban ibadah khsusus, seorang akauntan yang jujur, seorang pesawah yang polos sekalipun tidak berjubah berserban dalam hidupnya berhak mendapat penilaian menghampiri taqwa di sisi Allah. Seorang penunggang motorsikal yang mematuhi peraturan jalan raya termasuk memakai topi keledar berhak dilihat lebih taat perintah Allah berbanding penunggang motorsikal yang berserban saja! Pemakaian topi keledar adalah peraturan oleh pemerintah untuk keselamatan rakyatnya, sedangkan serban tidak sekukuh topi keledar. Tidak ada konflik antara serban dan topi keledar. Hanya yang tidak faham sunah akan memilih serban menggantikan topi keledar itu.

Oleh kerana Allah tidak meletakkan semua peraturan kehidupan dunia dalam alquran dan sunah rasul-Nya, maka pemerintah diberi autoriti untuk mengurus negara. Mengurus negara bererti membuat perancangan, melaksanakan dan mengenakan peraturan demi keadilan, kesejahteraan dan apa-apa kebaikan yang tidak lari daripada prinsip-prinsip asas alquran dan sunah. Dengan sebab itu Allah mewajibkan muslim mentaati pemerintah yang secara jelas menetapkan suasana kehidupan yang tidak lari daripada prinsip wahyu. Maka difahami ketaatan dalam hal ini membawa erti pengabdian atau penerimaan perintah Allah sekalipun melalui jalan patuh kepada pemerintahan.


Rabu, Jun 04, 2008

HANYA undang-undang dunia

SEJAK dahulu namun tidaklah kerap didengar ungkapan ‘itu semua undang-undang dunia’ atau ‘itu dunia semata-mata’. Ungkapan-ungkapan yang dimaksudkan itu sebenarnya mendalam dan merupakan luahan pemikiran pengucapnya.

Sekali imbas pengucapnya seperti begitu prihatin dan serius dengan masalah dunia dan membanding hal-hal dunia dengan akhirat yang kekal abadi. Tentu kerana keciwa dengan hal dunia yang dirasakan membawa keburukan dan tidak abadi, lalu pemikirannya dialih kepada hal akhirat yang lebih adil, bahagia dan kekal selama-lamanya.

Namun begitu, mengalihkan pemikiran sehingga mengatakan ‘itu semua undang-undang dunia’ bukanlah satu penyelesaian terhadap krisis dalam diri yang dialami. Ungkapan ini merupakan sebagian pelarian daripada masalah keyakinan untuk hidup nyaman di alam maya ini.

Jika ‘itu semua undang-undang dunia’ adakah undang-undang akhirat yang digunapakai di dunia? 1000 tahun alam akhirat menyamai sehari atas dunia. Di akhirat, Allah menyediakan kemudahan kepada manusia tanpa manusia perlu bekerja (alam syurga) sedangkan di dunia manusia perlu bekerja untuk merasai nikmat itu. Si pengucap sebenarnya bermain-main dengan ilusi.

Misalnya apabila diketemukan isu undang-undang jalan raya, pindaan akta atau undang-undang semasa, akan didengar bahawa ‘itulah undang-undang ciptaan manusia’ yang bila-bila masa diubah suai. Atau ada yang lebih pesimis terus mengatakan bahawa undang-undang Allah pun diubah lagikan pula undang-undang dunia.

Sebenarnya mereka yang cepat mengatakan demikian telah memahami syariah Islam sebagai satu persepsi saja. Pemahamannya ialah alquran dan sunah ditulis dengan lengkap secara harfiah untuk mentadbir dunia sejak zaman wahyu turun sehingga kiamat. Baginya seperti dalam alquran atau hadis-hadis sahih telah tercatat juga peraturan jalan raya yang di dalamnya ada dicatat garisan berkembar, lampu trafik berwarna merah, kuning dan hijau. Atau mereka percaya ada peraturan secara harfiah mengenai kawalan pembalakan dan mengurus sungai daripada pencemaran. Lebih dahsyat barangkali jika ada yang percaya ayat alquran menetapkan warna pakaian seragam murid-murid sekolah!

Bagi mereka yang memperjuangkan hukum Allah sering berhujah alquran menetapkan hukuman potong tangan kepada pencuri, sebat 100 kali kepada penzina juga kepada peminum arak. Memang ada beberapa hukuman lain yang dikhaskan oleh Allah, namun di luar alquran (selain hukum-hukum berkenaan) banyak lagi ditemui permasalahan hidup. Lantaran kehidupan dunia sangat rencam dan luas, maka permasalahan yang memerlukan kawalan undang-undang juga luas. Zaman juga berubah kerana perubahan daya akal dan kreativiti manusia. Maka keperluan terhadap undang-undang dunia juga tetap mengalami perubahan. Jika kita memahami peranan keduniaan sebagai wasilah dalam menuju keredaan Allah, tidak timbul sindiran ‘ah.., itu hanya undang-undang dunia!”

Alquran dan sunah telah menetapkan hal-hal akidah dan ibadah khusus sebagai kekal tidak berubah sekalipun zaman dan budaya manusia berubah. Namun dalam hal keduniaan, alquran dan sunah siap memberikan dasar-dasar kepada pembentukan hukum. Misalnya soal keadilan dan kebersihan adalah asas yang akan ditafsir untuk dilaksanakan, dijadikan undang-undang. Daripada asas keadilan itulah pemerintah menggubal ‘undang-undang dunia’ seperti had laju di jalan raya, akta mencegah rasuah, akta mengenai alam sekitar, akta percukaian dan mengenai kerajaan tempatan (dan lain-lainnya). Sebab itulah alquran meraikan kreativiti dan ijtihad manusia demi kelangsungan hidup manusia yang adil dan sejahtera.

Banyak yang faham ijtihad hanya dalam hal ibadah. Patutlah ijtihad dikatakan sudah ditutup sebab hal ibadah khusus tidak bisa diubah-ubah, cukup. Dunia yang berubah dan perlukan ijtihad. Maka ijtihad terhadap pengurusan dunia (ulil amri) sangat terbuka dan luas. Hendak mengutip zakat pun perlu keputusan ijtihad. Misalnya dibenarkan sebuah syarikat pengutip zakat yang asalnya disebut amil dan bersifat individu. Kerana dunia berubah dan manusia semakin banyak, pemerintah melantik syarikat-syarikat untuk mengutip zakat daripada muslim. Tidakkah syarikat yang selalu dikaitkan dengan perniagaan adalah ‘urusan dunia’.

Kalaulah kita semua dapat memahami bahawa alquran dan sunah telah memberikan asas-asas lengkap kepada manusia untuk berijtihad mengurus dunia, kita tidak akan rendah diri dengan dunia dan konon mengharap bonus besar di akhirat saja. Islam itu ‘kaffah’ (menyeluruh) maka urusan dunia berdasarkan ijtihad diiktiraf oleh Allah. Oleh itu urusan dunia yang terjelma daripada ijtihad masih merangkumi erti ‘Aku (Allah) menjadikan jin dan manusia untuk mereka mengabdi kepada-Ku’: surah az Zariat ayat 56.


Ahad, Jun 01, 2008

Di balik tuduhan

TUDUHAN ialah sangkaan, dan tuduhan ini mestilah dibuktikan. Selalunya tuduhan ialah terhadap perkara yang salah atau kotor. Misalnya seseorang dituduh mengedar dadah atau disangka menjadi pencuri. Tidak ada pengertian tuduhan terhadap kebaikan seperti seseorang dituduh menderma RM100.00. Hal-hal kebaikan kurang diperdulikan sebagai perlunya pembuktian kecuali atas sebab-sebab tertentu.

Tujuan tuduhan sangat jelas iaitu memberi citra buruk kepada pelakunya dengan harapan dia mengaku kesalahannya. Tuduhan juga untuk melemahkan citra atau menafikan apa saja yang dibawa, diucapakan atau dijual. Malah kadang-kadang tuduhan terhadap peribadi dicipta agar masyarakat tidak percaya apa-apa yang cuba dibawa oleh si tertuduh.

Lihat sunah Rasulullah, sewaktu berdakwah di Makkah bagaimana baginda dituduh sebagai ahli sihir atau orang gila. Apa yang Rasulullah bawa ialah akidah dan syariat Islam yang berasal daripada Allah. Tiba-tiba masyarakat terancam dengan maksud wahyu-wahyu Allah. Maksud terancam itu ialah apa saja perbuatan sembrono mereka sudah dinilai salah oleh Allah melalui lidah Rasulullah.

Sifat manusia yang cenderung pada kebenaran menerima kritikan Allah terhadap akidah dan perbuatan masyarakat Makkah waktu itu. Hanya kerana sombong dan merasa terjejas kedudukannya, akhirnya mereka menolak saranan wahyu. Kebanyakan mereka tidak mengkritik maksud wahyu-wahyu Allah kerana faham dan sedar semua itu kebenaran. Mereka mengalihkan isu wahyu kepada pembawanya, Muhammad Rasulullah.

Setelah mereka tidak mempunyai hujah membidas atau melemahkan kebenaran wahyu, pilihan yang ada ialah menuduh Muhammad Rasulullah sebagai gila. Dengan tuduhan gila sangat diharap apa-apa yang disampaikan oleh Muhammad Rasulullah sebagai salah juga. Strateginya ialah orang gila tidak boleh dipercayai! Maka kata-kata ’orang gila’ adalah perkataan karut.

Sekarang perhatikan di sekeliling kita semua dan kaitkan dengan dakwah kepada alquran dan sunah. Seperti Arab Jahiliyah yang menolak kebenaran wahyu, ada masyarakat kita menolak seruan alquran kerana mempertahankan korupsi yang diubah lafaznya sebagai hadiah. Ada yang menolak pengharaman penggunjingan kerana dianggap sebagai muzakarah. Ada yang membenci pakaian menutup aurat atas nama peredaran zaman.

Golongan yang menolak tuntutan menutup aurat berhujah bahawa dunia moden memerlukan wanita yang terpaksa mendedahkan aurat seperti dalam sukan. Gesaan supaya wanita-wanita mematuhi seruan Allah dalam surah An-Nur ayat 31 didiamkan. Namun supaya masyarakat menolak seruan dakwah ini penentang akan menuduh pandakwah sebagai berfahaman sempit, melampau dan berunsur keganasan seperti puak Taliban. Jelas ada unsur meruntuhkan keperibadian pendakwah sebagai jumud, kolot dan ganas.

Kemudian sekarang ini muncul idea menuduh pendakwah sebagai berfahaman sesat kerana dakwahnya yang mengajak masyarakat kembali kepada ajaran alquran dan sunah tidak dapat diterima. Seperti penolakan etika pakaian berdasarkan alquran, golongan adat tradisional juga menolak seruan memisahkan agama dengan adat. Kepada golongan proadat tradisional, agama bergabung adat dan begitu juga sebaliknya. Tidak ada pemisahan antara agama dan adat.

Oleh kerana pemikiran golongan ’beragama beradat’ telah lama dan mantap kerana dukungan institusi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu, mereka tidak percaya bahawa sebagian daripada amalan yang difahami sebagai agama sebenarnya menyalahi alquran dan sunah. Sekalipun dalam hati mereka menerima kebenaran alquran dan sunah, namun kerana kepentingan sebagai pemimpin, ketua adat, mempertahankan amalan nenek moyang, kehendak masyarakat dan sebagainya, akhirnya kebenaran yang diterima itu diasingkan.

Demi mengelak seruan alquran dan sunah tadi dari terus bergema, maka dituduh para pendakwah sebagai wahabi dan akidahnya sesat. Menuduh seseorang atau penyeru sebagai sesat diharap mendapat sokongan masyarakat kerana istilah sesat sangat menggerunkan. Para penentang dakwah tajdid mesti menggambarkan mereka berwajah Islam supaya mendapat sokongan masyarakat, sebab itu diadakan seminar, ceramah dan forum di masjid atas nama menyelamatkan akidah.

Kononnya mereka menerangkan pembawaan akidah pendakwah sebagai sesat tetapi berdasarkan tafsiran akal dan adat yang dicop atas nama Islam. Mereka tidak membicarakan akidah yang dikatakan sesat dengan memadankan dengan ayat-ayat alquran dan sunah. Kebanyakannya sengaja diputarbelit seperti ceramah parti politik yang membuat persepsi parti lawannya sebagai hitam dan salah. Bayangkan sampai ke tahap itu kalimah akidah dibolak-balik seperti tafsiran dalam politik mencari pengaruh dan pengundi.

Ada sebagian masyarakat yang percaya dan membentuk pemikiran Islamnya seperti pemikiran politik berparti. Walhal, berakidah dan menerima syariat Islam mestilah diterima secara khusus, berdasarkan hujah bukan secara persepsi atau pandangan umum sahaja. Cara seperti itu sangat antiilmu dan kebenaran.

Semua ini menjelaskan mengapa setelah kita menjadi Islam masih berdoa kepada Allah agar terus memberi petunjuk. Syaitan tidak berhenti merongrong keimanan, malah akan menarik dan mewujudkan perasaan syak terhadap alquran dan sunah. Moga-moga Allah terus memberi hidayah kepada kita untuk menguatkan penerimaan dan pemahaman terhadap akidah dan syariat berdasarkan sumber asal iaitu alquran dan sunah.