Tanggal 26 Februari 2010 Jumaat yang bersamaan dengan 12 Rabiul Awal 1431 Hijriyah, masyarakat kontemporari bercuti kerana Maulidurrasul. Beberapa kelompok lain merayakannya dalam bentuk ritual menyamai ibadah khusus seperti berselawat, membaca alquran dan berdoa. Kesempatan sambutan ini sekarang dimasukkan pula seperti perlawanan sukan, aktiviti sosial dan lain-lain. Yang akan berterusan untuk beberapa hari atau minggu ialah ceramah maulidurrasul di masjid dan surau-surau. Semuanya atas hujah memperingati junjungan besar Nabi Muhammad. Waktu inilah mulut penceramah mudah dan murah menyeru manusia mengamalkan sunah nabi!
Antara ayat al-Quran yang kerap digunakan untuk mengingat terhadap peribadi dan sejarah Rasulullah Muhammad bin Abdulllah ialah dua ayat berkenaan (maksudnya):
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut nama Allah." (QS. 33:21)
"Katakanlah: Taatilah Allah dan Rasul-Nya, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir (yang ingkar)." (QS. 3:31-32)
Sungguh mulia untuk mengakui Muhammad sebagai nabi utusan Allah dan mengamalkan pula ajarannya. Tambah hebat jika berpegang teguh dengan ajaran Rasulullah ini, dan jika ada kecaman atau ugutan, tidak berpaling lagi! Namun tidak mudah menemui wacana atau hujahan penjelasan mengenai sunah dan hal yang menyalahi sunah. Mustahil tidak ada perkara yang menyalahi sunah dalam masyarakat yang mengamalkan agama hanya kerana taqlid atau ikut-ikutan.
Menyeru muslim mengikuti sunah sangat mudah dengan menghujah supaya menutup aurat, bersolat berjemaah di masjid dan berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis. Hal ini pun tidak berani dikupas dengan jujur mengenai contoh nabi bersolat sekalipun ada satu hadis nabi yang masyhur antaranya yang bermaksud: Solatlah kamu sebagaimana melihat aku bersolat! Apabila ada pihak yang mahu menuruti cara nabi bersolat dan berzikir dengan betul, maka dikecam pula sebagai menyalahi amalan biasa umat Islam.
Perhatikan, pihak yang mahu melaksanakan sunah ini dikecam kerana berlawanan amalan biasa umat Islam. Hal ini bermakna sudah berlaku pertentangan antara sunah nabi dengan amalan biasa umat Islam. Contoh kecil: Mengikut sunah nabi, cara berzikir dan berdoa selepas solat ialah secara senyap dan dilakukan sendiri-sendiri walhal amalan biasa umat Islam ialah dilakukan secara kuat dan beramai-ramai. Sebenarnya, sempena maulidurrasul yang para penceramah maulid ini menyeru cintai nabi, mereka mahu muslim mengikuti sunah nabi atau amalan biasa masyarakat Islam? Ada lagi contoh seperti ini akan ditemui jika dikaji dengan jujur.
Jika dalam bab makanan, begitu hebat ahli agama kita mengkaji dan menyatakan pendirian jelas serta contoh-contoh makanan yang halal dan haram, mengapa tidak ada kesungguhan antara amalan sunah dan yang menyalahi sunah? Lawan kepada sunah ialah bid’ah. Istilah bid’ah ini sebenarnya sedaya upaya tidak dibincangkan secara telus dan jujur dalam kalangan ahli agama atau dalam majlis pengajian agama. Untuk mengelak daripada terperangkap dengan konsep bid’ah (antisunah) ini masyarakat muslim diajak menerima konsep nilai-nilai baik dalam semua amalan agama yang diakui tidak ada contoh daripada sunah nabi. Oleh kerana pada nilaian akal konsep nilai-nilai baik ini diterima, maka orang awam dengan mudah menjadikan apa juga amalan-amalan agama yang bukan bersumberkan daripada sunah nabi itu sebagai amalan biasa masyarakat Islam turun-temurun, dan dikatakan pula amalan sunah nabi! Akhirnya berlakulah beberapa hal pertentangan antara kehendak sunah dengan amalan biasa masyarakat Islam ini.
Memang berlaku banyak perselisihan apabila dibuka perbincangan. Hal ini bukan hanya dalam bab agama, malah dalam semua hal kehidupan. Namun dalam dunia akademik yang jujur mencari kebenaran, perbincangan memang sangat dialu-alukan. Malangnya dalam masyarakat muslim kita, perbincangan untuk mencari kebenaran sunah dan kebatilah antisunah sentiasa ditutup.
"Sesungguhnya sesiapa yang hidup daripada kamu selepasku, dia pasti akan melihat banyak perselisihan. Oleh itu, mestilah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khulafaurrasyidin yang terpimpin. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah dengan geraham-geraham kamu. Hindarilah perkara-perkara baru (dalam urusan ugama) kerana semua perkara baru (dalam agama) itu bid'ah dan semua bid'ah itu adalah sesat." (Riwayat Tirmizi juz 2 ms.92, Abu Daud juz 2 ms.279).