Pengikut

Rabu, November 21, 2007

mengapa sembah hyang?

MENGAPA Melayu muslim sembahyang? Banyak tidak dapat menjawab soalan mengenai siapakah hyang. Namun sebutan ‘sembahyang’ kerap diguna dalam memberi maksud bentuk ibadah khusus terhadap Allah, Tuhan yang satu. Sekalipun hyang bukan Allah, namun sembahyang bukanlah menyembah hyang sebab pemahaman hyang bukanlah Allah sebagaimana difahami dalam akidah muslim.

Bangsa Melayu Nusantara memeluk Islam tidak sezaman dengan pengislaman bangsa-bangsa Arab, Afrika atau Andalusia. Secara mudah, kerancakan proses Islamisasi di Nusantara pada abad ke-13 hingga 17. Pada masa itu kemunculan pusat-pusat kebudayaan Islam seperti Pasai, Melaka, Acheh, Brunei, Sulu, Pattani, Demak dan Riau (sekadar beberapa nama).

Sebelum wahyu pertama diturunkan di Makkah (610M), Melayu Nusantara sudah menganut animisme, kemudian agama Buddha dan Hindu. Sebagaimana tamadun dunia yang lain merakam animisme sebagai satu anutan agama, kepercayaan ini juga sangat kuat kepada bangsa Melayu. Animisme bangsa Melayu mempercayai roh nenek moyang sangat mempengaruhi orang yang hidup. Roh nenek moyang disebut ‘poyang’ atau ‘hyang’. Pemujaan atau menjaga roh hyang adalah rutin beragama zaman pra-Buddha Hindu.

Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1990) dalam Pemikiran Umat Islam di Nusantara, hyang yang asalnya dikaitkan dengan roh nenek moyang sebenarnya diperkuat dengan maksud dewa. Maka timbul istilah ‘sembahyang’ bermaksud menyembah hyang atau menyembah dewa. Kahyangan (kayangan) pula bererti tempat dewa-dewa.


Penerimaan agama Buddha dan Hindu tidak menghapuskan konsep penjagaan roh nenek moyang atau hyang kepada waris-warisnya. Sangking kuatnya pegangan animisme, konsep ketuhanan dalam Buddha-Hindu seperti terpaksa menerima konsep pemujaan roh nenek moyang ini. Buddha-Hindu pula menambah konsep ‘dewaraja’ yang menggambarkan raja-raja di Nusantara adalah titisan dewa-dewa. Kesatuan pemujaan roh nenek moyang dengan dewaraja tembah menguatkan pegangan bangsa Melayu dahulu berkenaan penyembahan hyang. Menyembah hyang bukan saja memuja roh nenek moyang, malah roh raja-raja yang juga berketurunan para dewa.

Hari ini banyak candi zaman silam dikesan ada di Nusantara, termasuk yang besar seperti Angkor di Kemboja dan Borobudur di Jawa Indonesia. Candi bererti ‘nisan’ sebagai makam roh. Candi-candi kecil ada di merata tempat termasuk di Lembah Bujang Kedah. Misalnya Candi Borobudur disiapkan dalam tempoh 75 tahun sebagai pusat pemujaan 10 roh raja kerajaan Sailendra. Di Jawa banyak lagi candi yang dikhaskan untuk ajaran Hindu seperti Prambanan warisan kerajaan Majapahit. Perlu diketahui kerajaan-kerajaan Buddha-Hindu di Nusantara telah berkembang dan bertahan bermula kurun ke-7 hingga ke-14.

Masa yang begitu lama sejak zaman animisme kemudian memasuki zaman Buddha-Hindu, bangsa Melayu seperti sudah sebati dengan konsep pemujaan roh dan dewa. Menerima agama Islam bukanlah bermakna bangsa Melayu Nusantara meninggalkan sepenuhnya tradisi zaman silam. Sistem sosial berkasta dalam ajaran Hindu sekurang-kurangnya masih diterjemah dalam bentuk ‘golongan pemerintah’ dan ‘golongan diperintah’.

Dalam arus kemodernan hari ini pun, masih kedapatan antara kumpulan dalam bangsa Melayu yang sangat prihatin tentang hidupnya kerana percaya dalam perhatian roh-roh hyang selain percaya juga ‘Allah yang Maha Mengetahui’. Malah dipercayai roh menempati sesuatu objek, lalu objek-objek berkenaan mempunyai roh atau semangat. Biasa didengar misalnya tanah sawah, busut besar, pokok dan waktu malam dianggap mempunyai semangatnya tersendiri. Di sana ditambah lagi dengan pemujaan semangat objek berkenaan.

Ada sesetengah kiyai dulu dan sekarang mempunyai ilmu kebatinan yang bersifat luar biasa. Mereka mendakwa dapat berhubungan dengan roh atau hyang. Guru agama yang kebal dan pakar ilmu mistik menjadi sebagian budaya beragama, dan sebagian masyarakat Nusantara menerima unsur itu sebagai salah satu keistimewaan kiyai atau Islam. Sukar kepada orang biasa mahu membedakan antara ilmu sihir atau karomah seorang wali kerana pelakunya menggambarkan imej guru agama yang warak dan zuhud. Jika ada kubur pemimpin atau kiyai yang terus dipuja, tidak lain merupakan lanjutan tradisi pemujaan hyang sejak zaman animisme lagi.

Tahun 70-an dahulu masih kedengaran pesan orang tua-tua supaya jangan membuat sayur berkuah sewaktu kenduri arwah kerana akan memberi kesan buruk terhadap arwah dalam kubur atau roh si mati.

Proses Islamisasi di Nusantara juga merupakan proses evolusi. Tidak ada catatan wujudnya ‘perang akidah’ sebagaimana Perang Badar pada zaman Rasulullah. Para pendakwah dari luar (Arab, Parsi dan India), termasuk pendakwah tempatan seperti ‘Wali Songo’ mengambil jalan halus dan tidak berkonfrontasi dengan sistem sedia ada. Sebahagian amalan tradisi zaman silam telah diadaptasikan dengan Islam, atau ditambah sebagaimana dikehendaki dalam agama. Sebab itu istilah ‘sembahyang’ terus digunakan untuk memberi maksud solat, iaitu menyembah Allah Yang Esa.

Maka timbul perselisihan hujah sesuatu amalan itu berasal daripada tradisi Buddha-Hindu atau adat biasa. Antara amalan yang masih didebatkan antara ulama dan budayawan ialah tepung tawar, merenjis air mawar, persandingan pengantin dan memasang pelita pada malam hari raya.

Ulama-ulama sunah pula bertikai dengan ulama-ulama tradisional mengenai kesahihan amalan tawasul kepada roh orang mati (roh nenek moyang atau poyang atau hyang) dan hal-hal kenduri arwah. Konsep ‘memuja roh atau hyang’ mungkin lebih lunak disebut sebagai ‘mengingati arwah’ terus menjadi pilihan masyarakat kerana berjaya diserlahkan dalam bentuk ritual islam. Sekalipun dihukum sunat, namun seakan wajib kerana difahami perlunya orang hidup meneruskan hubungan dengan roh atau hyang.

Kesimpulannya, adaptasi amalan tradisi pra-Islam dengan bacaan selawat, doa, ratib serta wirid menambah kuat kepercayaan orang biasa bahawa itu adalah amalan Islam dan sunah Nabi s.a.w., tambahan pula didukung kuat oleh institusi agama dan kuasa politik.

Jahil sejarah tradisi bangsa, ketidakfahaman mengenai adat tradisi dan ibadah, menggambarkan akan berterusnya tasawur bangsa Melayu dalam beragama. Tasawur ini masih tidak terjejas sekalipun al Quran dan Sunah menjadi janji pegangan. Telah jelas dalam surah al Baqarah ayat 2 (maksudnya) “Kitab (al Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada mereka yang bertakwa”. Satu lagi dalam surah al Israa ayat 36 (maksudnya) “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabnya.”

3 ulasan:

  1. Jadi.. Tuan memaksudkan sembahyang seerti ngan sembah"hyang" le ye?

    Saya amat cetek ilmu, tapi satu saja yang saya hendak tanya: betul ke sembahyang membawa erti yang sama ngan sembah"hyang?

    sebab terdapat perbezaan antara keduanya. terdapat 'h' berganda pada sembah"hyang" manakala sembahyang tidak. Apabila dilakukan secara lisan (sebut ler~) memang berbeza bunyi dan sebutannya... Betul tak?

    BalasPadam
  2. Saya juga seorang yg berilmu cetek tentang agama,
    tp sy rasa ingin beri pendapat pada "Tanpa Nama",

    sebaiknya gunalah istilah "solat"
    kerana istilah digunakan dalam al-Quran.
    Jd tiada keraguan dalam istilah solat..

    Sebagai umat Islam Melayu, sy juga merasa kekok menggunakan istilah tersebut, kerana dari kecil diasuh menggunakan istilah "sembahyang"

    Sy sedang melembutkan lidah sy untuk terus menggunakan istilah "solat" agar tiada lg keraguan. Moga ALLAH memberi rahmat kepada kita semua..


    -Secebis pendapat dari Hamba ALLAH-

    BalasPadam
  3. maknanya perkataan puasa ganti dgn "saum".. jgan sebut puasa.
    dlm urdu, namaz = solat = sembahyang.. bukan sembahHyang.
    sembahyangMahaEsa la weiii..
    mempersembahkan amalan pada ALLAH,

    BalasPadam