Pengikut

Isnin, Julai 21, 2014

BOLEHKAH perempuan dalam haid membaca al-Qur'an?

KATA seorang ustaz di kaca TV (lebih-kurangnya begini), “Perempuan-perempuan yang sudah putus haid sepatutnya lebih bersyukur kepada Allah sebab sekarang mereka sudah boleh melakukan amal ibadah tanpa ada sekatan, tidak seperti pada zaman didatangi haid.”  Makna lain daripada ayat berkenaan ialah: Perempuan yang didatangi haid rugi kerana tidak dapat beribadah (mendapat pahala ibadah di sisi Allah) sebagaimana para lelaki yang dapat berterusan mendapat pahala ibadah.

hanya hiasan

Rasa rugi itu bertambah tebal apabila berada dalam 10 hari terakhir Ramadan yang salah satu malamnya adalah Malam al-Qadr. Pada malam itu pahala amal ibadah akan diganda-ganda oleh Allah swt. Betapa ruginya menjadi perempuan dalam haid tanpa boleh melakukan satu pun amal ibadah khusus kepada Allah!  Begitukah?

Bagi larangan beribadah kepada perempuan dalam seperti solat, berpuasa dan tawaf di Baitullah memang sudah jelas dalilnya. Namun larangan membaca al-Quran kepada perempuan haid tidak ada!   Jika tidak ada, maka membaca al-Quran adalah satu amalan yang sama kedudukannya kepada lelaki atau perempuan sama ada semasa haid atau tidak.

Catatan ini merupakan pilihan lain daripada kefahaman biasa bahawa ‘haram dan berdosa perempuan haid memegang al-Quran dan membacanya’.

Mengapa perempuan dalam haid boleh membaca al-Quran sebagaimana dia bukan dalam haid. Jawabnya mudah, tidak ada larangan khusus daripada Allah dan rasul-Nya.  Selama ini kita diberikan hujah ayat 79 surah Al-Waqi’ah (maksudnya) “Tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan.” Secara harfiah ayat berkenaan seperti ditujukan kepada kita, namun jika diteliti lebih mendalam ayat berkenaan tiada ada kaitan dengan kita sama sama berwuduk atau tidak, atau dalam junub atau tidak. Ayat berkenaan merupakan sumpah Allah bahawa al-Quran di Lauh Mahfuz terpelihara daripada syaitan.

Ayat 75-82 surah al-Waqi’ah: “Maka Aku bersumpah dengan beredarya bintang-bintang.  Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar jika kamu mengetahui. Sungguh al-Quran ini adalah bacaan yang mulia, pada kitab yang terpelihara (Lauhul Mahfuz), tidak menyentuhnya kecuali orang-orang yang disucikan.  Diturunkan daripada Rabb (Tuhan) semesta alam. Maka apakah kamu menganggap al-Quran ini perkara remeh? Kamu (mengganti) rezeki dengan mendustakan (Allah).”

Siapakah yang mentafsirkan bahawa ‘orang-orang yang disucikan' adalah para malaikat (bukan manusia)? Antara para sahabat nabi yang berfahaman demikian ialah Ibnu Abas, Anas bin Malik, Mujahid, Ikrimah, Sa’id bin Jubair, Adh-Dhahak, Abusy Sya’tsa, Jabir bin Zaid, Abu Nahik, As-Suddi dan Abdurrahman bin Zaid. Sila lihat Tafsir Ibn Katsir bagi ayat berkenaan.

Maka ayat 79 surah al-Waqi’ah itu tidak dapat dijadikan dalil haramnya orang dalam hadas menyentuh al-Quran. 

Ada juga hadis yang membawa maksud “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.” (Riwayat At-Tarmizi dan Al-Baihaki) Hadis ini dinyatakan hadis daif oleh ahlul hadis seperti Al-Bukhari dan dan Al-Baihaki.

Kata Imam Ibn Taimiyah dalam Majmu al-Fatawa: Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah s.a.w., maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi s.a.w. akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satu pun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi s.a.w.. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid pada zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.

Sebagai nota tambahan: Al-Quran pada zaman Nabi s.a.w. tidaklah sama maksudnya seperti pada hari ini. Pada zaman itu yang disebut al-Quran merupakan rangkaian ayat yanag tertulis pada kertas, kain dan sebagainya termasuk yang dihafal para sahabat.  Hari ini maksud al-Quran ialah sebuah mushaf atau naskhah 30 juzuk. Tidak ada riwayat yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. mengarahkan sahabat yang akan menulis wahyu supaya bersuci daripada hadas dahulu sebelum mencatat wahyu-wahyu berkenaan.  Lagi pula tujuan al-Quran diturunkan atas bumi ini sebagai panduan hidup manusia. Oleh itu secara logiknya pula, tidak mungkin ada sekatan untuk manusia membaca (termasuk menyentuhnya) demi memahami kandungannya.

w.a.

Khamis, Julai 17, 2014

KATA Imam: Ruh bersenang-lenang dengan kiriman pahala yang melimpah-ruah

CATATAN ini sebagai rekod rujukan saya (boleh juga digunakan oleh orang lain). Hari ini 17 Julai 2014 di sebuah masjid dalam daerah Sabak Bernam diadakan sambutan Nuzul al-Quran. Pihak masjid dengan beberapa institusi tempatan telah bekerjasama menjayakan program ini.  Maka diundanglah sekian banyak penuntut tahfiz untuk membaca al-Quran  sebanyak 30 juz dan pahalanya dihadiahkan kepada para arwah terpilih yang warisnya membayar sekian puluh ringgit untuk seorang arwah.

Selepas solat Maghrib diadakan ceramah berkenaan kepentingan al-Quran dalam hidup. Kesimpulannya, penceramah mengajak semua hadirin menjadikan al-Quran sebagai panduan yang sebenarnya supaya kehidupan rakyat di Malaysia menjadi aman sejahtera seperti kehidupan zaman terdahulu.

Imam masjid selaku pengerusi membuat ulasan dengan memberikan dalil begitu bermanfaatnya sebanyak 30 juzuk al-Quran yang pahala bacaannya itu sudah dihadiahkan kepada arwah-arwah terpilih.  Beliau memberikan dalil mimpi orang alim. Katanya, Si Alim bermimpi berada di alam barzakh dan memerhatikan semua yang ada di sana sedang mengutip sesuatu kecuali seorang lelaki yang bersantai saja.  Maka Si Alim mendatangi lelaki yang sedang bersantai untuk mendapat informasi. Lalu si lelaki yang bersantai itu memberitahu si Alim bahawa semua orang sedang mengutip pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan oleh orang-orang yang masih hidup. Dan dia tidak mengutip pahala bersama ahli kubur lain kerana sepanjang berada di alam barzakh dia sentiasa mendapat kiriman pahala bacaan al-Quran daripada anak lelakinya yang bekerja di pasar.  Kata Imam masjid, Si Alim terjaga dari mimpi dan bergegas ke pasar. Si Alim mendapati seorang lelaki sambil berjualan, mulutnya tidak henti membaca ayat al-Quran. Dia dikatakan sentiasa mengirim pahala kepada arwah bapanya!

Demikianlah dalil oleh Imam Masjid bahawa pahala bacaan al-Quran oleh orang hidup sangat bermanfaat kepada arwah-arwah sehingga dia mengatakan bahawa para arwah yang mendapat kiriman pahala bacaan al-Quran sedang bersenang lenang kerana pahala yang melimpah-ruah.

Komen saya:

Mimpi orang biasa seperti kita atau imam masjid sekalipun tidak boleh dijadikan dalil atau hujah berkenaan alam ruh. Ruh bukanlah perkara yang dapat dinyatakan secara fizikal. Malah alam kubur yang dikira paling dekat dengan kita yang masih hidup pun masih tidak dapat dibuktikan secara fizikal berkenaan soal-jawab malaikat, nyaman atau siksanya dalam kubur. Allah yang Maha Mengetahui hal ruh atau kehidupan orang mati. Lihat firman-Nya dalam surah Al-Israa’ ayat 85 (maksudnya), “Dan mereka bertanya kamu (Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, ‘ruh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit’.”  Menurut Abdullah bin Abbas r.a., ayat berkenaan diturunkan setelah sekelompok kaum Yahudi bertanya kepada Rasulullah berkenaan ruh.

Tidak ada riwayat bahawa baginda Nabi s.a.w. melakukan bacaan al-Quran sama ada sendiri atau berjamaah bersama para sahabat kemudian pahalanya dikirimkan kepada arwah keluarga baginda. Walhal peringatan tentang kematian yang berhadapan dengan keadilan neraca Allah, tentang syurga dan neraka Allah sangat jelas dalam al-Quran.  Rasulullah sangat bersedih dengan kematian ahli keluarganya seperti isteri baginda, sepatutnya baginda Nabi paling hebat memberi contoh bagaimana membaca al-Quran untuk dikirimkan pahalanya kepada ruh isteri baginda.  Ini tidak berlaku.

Cara sebagian ahli agama kita melakukan ibadah untuk orang mati sedangkan baginda Nabi tidak melakukannya seolah-olah mendakwa Rasulullah tidak menyampaikan ajaran Islam dengan sebenarnya.  Bab mengirim pahala kepada orang mati Rasulullah tidak ajar, (adakah) mujur ulama Melayu dapat mengesan ketirisan Nabi dalam menyampaikan Islam! Begitukah?

Nanti ada tukang hujah berkata: "Nabi tidak larang, maka boleh buat."
Jawabnya begini: "Sila azan dan iqamah untuk solat tahajud atau tarawih, tidak ada larangan khusus daripada Nabi untuk hal itu."

Walhal baginda Nabi telah melarang melakukan ibadah baru yang direka-reka sendiri, maksudnya ibadah yang tidak ditunjukkan oleh baginda Nabi tetapi  orang membuatnya juga. Maksud hadis daripada Aisyah r.a. Nabi bersabda (maksudnya), “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami (hal agama) perkara yang tidak ada padanya, maka ia (rekaan agama) tertolak.” (Riwayat Al-Bukhari).


Al-Quran pula sangat jelas mengatakan seseorang hanya menerima atau menanggung kebaikan dan keburukan diri sendiri. Ayat 38-39 surah Al-Najm (maksudnya), “Sesungguhnya seseorang tidak memikul dosa perbuatan orang lain dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan apa yang diusahakannya.”  Boleh juga rujuk ayat 46 surah al-Fusilat.

Isnin, Julai 14, 2014

HARAP Xinjiang tidak menjadi Pattani

DI kota Beijing negara China, umat Islam tidak dilarang menunaikan ibadah khusus seperti solat berjamaah dan berpuasa. Malah di wilayah lain bahagian selatan dan timur tidak ada larangan terhadap muslim melakukan ibadah dan menunjukkan imej sebagai muslim.


pemuda bangsa Uigur dari Xinjiang nomor dua dan empat dari kiri

Namun di wilayah Xinjiang umat Islam sangat dicurigai malah jelas ada usaha pihak berkuasa China mahu melenyapkan muslim dari sana.  Larangan beribadah terhadap umat Islam di Xinjiang adalah benar, dan jika kenyataan rasmi kerajaan China sama ada di Kuala Lumpur atau di Beijing menafikan situasi di Xinjiang adalah dusta. Komunis memang anti Islam!

Kebetulan sewaktu saya dan rakan-rakan di Beijing, bertemu dengan beberapa pemuda muslim dari Xinjiang yang gigih berdagang manisan kepada pelancong.  Mereka meminta kami mendoakan kesejahteraan dan keselamatan muslim di wilayah Xinjiang.  Menurutnya, bukan sahaja umat Islam tidak dibenarkan solat di masjid, malah lelaki juga dilarang menyimpan janggut. Muslimah memang dilarang memakai jilbab, sama seperti di Perancis sekarang dan Turki suatu ketika sebelum ini. Sangat ironis kerna pemerintah komunis yang sangat kejam di China menuduh kaum muslim di Xinjiang sebagai pengganas.

Mengapa diskriminasi di Xinjiang dan tidak di Beijing? Jawabnya ada kaitan dengan gerakan politik di Xinjiang yang menjurus ke arah kemerdekaan daripada pemerintahan di Beijing. Semoga Allah melindungi umat Islam di Xinjiang. 

Kini di mana-mana muslim tinggal sebagai minoriti di negara kaum kafir, sedang menderita umpama di Palestin, Myanmar, Thailand dan Filipina.  Tahun 1990-an dahulu di Bosnia yang dikatakan medan penghapusan kaum (oleh puak Ateis/Kristian Serbia) paling teruk sejak Perang Dunia Kedua.

Sabtu, Julai 05, 2014

SUTRAH menghindari dosa dalam masjid

MALAM-malam pada bulan Ramadan di masjid dan surau memang banyak orang melakukan ibadah, terutamanya solat malam atau tarawih. Maka menjadi kebiasaan juga banyak orang melakukan solat sunat selain solat berjamaah di masjid.  Barapa orang sangatlah yang memastikan solatnya menghadap sutrah. Dan berapa orang sangatlah yang tidak berjalan di hadapan orang yang sedang solat itu.

sutrah di hadapan orang solat

Sutrah ialah penghadang di hadapan orang bersolat.  Misalnya ada orang solat menghadap dan mendekat ke arah tiang masjid.  Sebenarnya dia menjadikan tiang sebagai sutrah.  Ada pandangan lain misalnya seseorang bersolat yang ada rehal di hadapannya. Rehal itulah sutrah atau penghadang dia solat.  Selain benda mati seperti tiang dan rehal, orang yang duduk atau sedang solat juga boleh dijadikan sebagai sutrah.

Apa pentingnya sutrah?

Pertama, meletakkan sutrah adalah sunah Nabi s.a.w..  Oleh kerna baginda Nabi s.a.w. memerintahkan supaya kita meniru cara baginda melakukan solat maka meletakkan sutrah atau mendekati sutrah adalah sebagian cara solat Nabi s.a.w.

Maksud sabda Nabi s.a.w., “Janganlah engkau solat kecuali menghadap sutrah.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Solat menghadap sutrah sebenarnya menyelamatkan orang lain daripada berdosa berjalan di hadapannya.  Mungkin kerna jahil bab ini maka banyak orang berjalan di hadapan orang solat. Namun jika kita yang ada sedikit ilmu solat meletakkan sutrah maka orang yang melintasi di balik sutrah itu pasti tidak menanggung dosa.

Maksud sabda Nabi s.a.w. , “Seandainya orang yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik baginya dari lalu di depan orang yang shalat.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Walaupun hadis tidak menjelaskan maksud 40 itu, namun para ulama faham bahawa ada ancaman dosa di sana.

Adakah garisan saf di masjid merupakan sutrah?  Sebenarnya contoh daripada hadis memberitahu bahawa sutrah adalah benda yang meninggi, bukannya satu gambar sama rata dengan tanah atau lantai.

Dalam hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim ada menceritakan tentang fizikal sutrah.  hadis riwayat Bukhari dan Muslim, “Apabila Baginda solat di padang pasir dan tidak ada suatu pun yang boleh dijadikan sutrah, Baginda memacakkan tombak di hadapannya. Lalu Baginda solat menghadap tombak tersebut dan para sahabat bermakmum di belakang Baginda.”

Apabila kita bersolat, hendaklah mendekati sutrah. Maksudnya, apabila bersujud, dekatlah kepala kita dengan sutrah itu.  Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya, “Jika seseorang dari kalian melakukan solat menghadap sutrah, maka hendaklah dia dekat kepadanya, jangan sampai syaitan membatalkan solatnya.” (Sahih. Abu Dawud)


Semoga diamalkan salah satu sunah Nabi ini.