Pengikut

Rabu, Januari 27, 2010

TAUHID atau falsafah? (bahagian 1)

KALAU pembaca ingat, saya telah menulis mengenai wafatnya Kiyai Haji Ihsan yang juga mengajarkan tafsir al-Quran selama 27 tahun di masjid kampung saya. Tempatnya kini diganti seorang ustaz lain, dan saya baru mengikuti kelas pengajian tauhid daripadanya.

Saya cuba berlaku adil, cuba meletakkan diri (level pemikiran dan pemahaman) bersama khalayak lain sebagai penduduk kampung juga. Agaknya kerana itu saya terpaksa bertungkus lumus dalam usaha memahami ayat-ayat melayu klasik daripada kitab kuning selain penerangan ustaz berkenaan yang sangat susah difahami. Dalam menerangkan permulaan sifat Allah daripada kajian klasik Sifat 20 yang popular itu, kami seperti sedang belajar ilmu falsafah, bukannya ilmu tauhid! Jadi, orang-orang kampung yang tahap pendidikannya relatif rendah ini sedang belajar ilmu falsafah.


Ustaz ini mengakui sukarnya hendak memahami penerangan ilmu tauhid ketika membahas antara adanya Allah yang lawannya tiada. Pusing-pusing dia menerangkan falsafah itu. Kalau saya letakkan kembali diri saya yang mendapat pendidikan lebih tinggi sedikit berbanding generasi ayah dan abang saya di kampung pun, saya masih terkial-kial memahaminya, bagaimana mereka. Sebagai guru, saya tahu adalah mudah memahamkan cerpen karya Azizi Abdullah yang penceritaannya secara mudah berbanding memahami karya tinggi A Samad Said. Bandingannya, ustaz tadi seperti sedang mengajarkan tauhid alafalsafah seperti memahami penulisan Sasterawan A Samad Said.
Suatu yang tidak munasabah langsung apabila bab tauhid sebagai pintu masuk Islam difahami begitu rumit. Ustaz ini sendiri mengakui ada seorang mualaf Cina yang pening atau ‘bengong’ apabila mendengar penerangan konsep Allah itu ada yang lawannya tiada. Katanya, si mualaf marah dan bertanya dengan tegas, “Haji, sebenarnya Allah itu ada atau tiada?”
Ohooo, patutlah dikatakan ilmu agama itu susah dan tinggi. Maaf ini ayat salah yang menyesatkan dunia pendidikan. Akidah Islam itu sebenarnya mudah, kerana itu orang mudah masuk Islam. Kalau mengajarkan tauhid secara falsafah itulah yang susah sehingga ada yang tidak faham tapi hendak juga mempelajarinya, lalu jadilah ‘gila isim’. Pulang ke rumah, ketawa sendiri-sendiri!
Semua ini satu lagi bukti orang agama tidak kreatif dan jumud. Antara mereka tidak dapat membedakan antara teks wahyu yang kekal tak boleh diusik dengan kaedah pengajaran yang direka bersesuaian dengan kehendak semasa. Pengajaran tauhid cara Sifat 20 hanyalah satu kaedah 1000 tahun dahulu dalam usaha menghadapi pemikiran asing, teori-teori falsafah yang ada di kota Baghdad. Itu hanya metodologi, bukan teks wahyu! Metodologi wajib diubah untuk disesuaikan khalayak semasa.
Oleh kerana ada yang sangat jumud, cepat menghukum sesat dan kafir pula kepada yang menolak metodologi Sifat 20 dalam pengajaran tauhid. Tinggalkan sajalah orang seperti ini dalam kepompong pemikiran kunonya.
Ada kaedah mempelajari tauhid seperti Tauhid Rubibiyah, Tauhid Uluhiyah dan Tauhid Asma wa-Sifat jauh lebih mudah untuk pelbagai peringkat intelek khalayaknya. Yang ini pun satu kaedah atau metodologi, yang jika khalayak susah menyebutnya maka perlu diubah juga demi pemahaman mengenal Allah dan sifat-sifat-Nya. Pendidikan, yang penting ialah pemahaman dan penerimaan isi, bukan kaedah penyampaiannya.

Sabtu, Januari 23, 2010

BERKABUNG? Inalillah..

Dari www.al-ahkam.net

1. Apakah hukum menetapkan pakaian tertetntu seperti baju hitam/songkok berlilit dll sbg tanda berkabung atas kematian seseorang?

2. Apakah tindakan yang munasabah bagi saya penjawat awam yang diwajibkan memakai pakaian sedemikian atas kematian pembesar negeri saya?

jawapan:
Amalan perkabungan hanya khas bagi wanita sahaja, sebagaimana difahami dalam hadis ini.
Maksudnya: Tidak halal bagi seseorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat berkabung atas kematian seseorang, kecuali ke atas suami selama empat bulan sepuluh malam.  Direkod oleh Bukhari (no: 5334), dan Muslim (no: 1487).

Manakala kaum lelaki, tidak disyariatkan berkabung atas kematian. Perkara ini disepakati oleh ulama. Kita boleh lihat dalam kitab-kitab feqah klasik dan moden yang membahaskan hukum berkabung, ulama hanya membahaskan tentang perkabungan wanita.

Cuma, ada segelintir ulama yang mengisyaratkan kepada keharusan berkabung bagi lelaki, dalam tempoh tiga hari sahaja. Contohnya dalam kitab al-Inshaf 6/279 dan Matolib Uli al-Nuha 1/924.  Itupun, hanya bagi individu yang ditimpa musibah kematian dari kalangan saudara maranya sahaja.

Manakala, adat berkabung atas kematian pemimpin, dengan cara seperti merendahkan bendera, memakai pakaian serba hitam, songkok berlilit dan seumpamanya, ia satu perkara yang tidak ada asas dalam syarak dan tidak didapati sumbernya dalam agama, dan perbuatan salaf. Malahan, ketika wafat pemimpin paling agung, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sahabat tidak melakukan perkabungan seumpama ini.

Ini menunjukkan ia tidak syar'ie. Dan lebih dibimbangi amalan umpama ini diceduk daripada adat masyarakat bukan Islam. Sedangkan kita dilarang meniru adat mereka.


Fatwa Shaikh Muhammad Bin Soleh al-Uthaimin rahimahullah:
Soalan :  Apakah boleh memakai pakaian hitam untuk berkabung di atas kematian seseorang khususnya apabila orang tersebut suami ?
Jawapan:
Memakai pakaian hitam ketika terjadi musibah merupakan syi’ar yang bathil yang tidak ada asalnya dalam Islam. Seseorang ketika terjadi musibah hendaklah melakukan apa yang disyariatkan. Dia boleh mengucapkan :
Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun. Allahuma jurnii fii musiibatii wakhluflii khairan minha..

Ertinya : “Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan benar-benar kepada-Nya kami akan kembali. Ya, ALLAH berilah aku balasan (pahala) di dalam musibahku dan berilah aku ganti yang lebih baik dari musibah tersebut. ”
Bila dia mengucapkan kalimat itu dengan rasa iman dan mengharapkan pahala maka ALLAH Ta’ala akan memberinya balasan atas musibah yang menimpa dan akan mengganti musibah tersebut dengan hal yang lebih baik darinya.

Sungguh pernah terjadi pada Ummu Salamah Radhiallahu Ta’ala ‘anha ketika beliau mendapatkan kematian Abu Salamah Radhiallahu Ta’ala ‘anhu yang merupakan suaminya sendiri yang juga merupakan anak pakciknya dan orang yang dicintainya. Lalu Ummu Salamah mengucapkan doa tersebut, beliau mengatakan : “Saya berkata dalam hati, apa ada orang yang lebih baik dari Abu Salamah.”

Setelah selesai masa iddahnya, beliau dipinang oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang lebih baik baginya daripada Abu Salamah Radhiallahu Ta’ala ‘anhu. Demikianlah, setiap orang yang mengucapkan kalimat tersebut dengan iman dan mengharapkan pahala, maka ALLAH Ta’ala akan memberi pahala atas musibahnya dan menggantinya dengan hal yang lebih baik darinya.

Adapun memakai pakaian tertentu seperti pakaian hitam dan sejenisnya, maka ini tidak ada asalnya dan merupakan perkara yang bathil dan tercela. ( Fatawa Nur’alad Darb Karya Asy-Syaikh Ibnu Utsaimin hal. 76).

Rabu, Januari 20, 2010

BACALAH di masjid

PADA zaman ini tiada masjid dijadikan tempat bermesyuarat untuk pentadbiran negara atau sebagai pusat pengurusan ekonomi. Pada zaman Rasulullah mentadbir negara Madinah, kerana keadaan masih mudah maka kebanyakan pengurusan negara dan pengadilan, selain ibadah dilakukan di masjid. Lantaran contoh itulah banyak pihak mengakui peranan masjid sangat luas. Hal itu hanya tinggal kenangan kerana perubahan masa.


Lalu fungsi masjid pada hari ini hanya sebagai urusan ibadah khusus dan pusat keilmuan. Pusat keilmuan juga telah disempitkan kepada hanya ilmu-ilmu akidah dan ibadah. Sebagai pusat ibadah umah, ya masjid tidak lepas daripada peranannya. Bagaimanapun dalam hal menyediakan tempat mencari ilmu, didapati banyak masjid hanya mengatur ruang untuk penceramah dalam masjid.
Sekalipun wahyu pertama kepada Rasulullah dahulu ialah seruan membaca, sangat sedikit pengurusan masjid peka dan menyediakan tempat pembacaan yang kondusif dan mesra pelanggan.
Berdasarkan pengalaman menggunakan beberapa buah masjid, antara masjid yang menyediakan ruang bacaan di tempat yang sangat strategik kepada pengguna masjid ialah Masjid Makmuriah Sg Besar Selangor dan Masjid Sultan Hishamudin pekan Sabak Bernam Selangor. Masjid di pekan Bestari Jaya juga mempunyai rak buku di tempat terbuka.

Selain itu masjid-masjid yang saya temui hanya menyediakan koleksi al-Quran dan surah-surah Yasin. Masjid di kampung saya mempunyai rak buku yang mewah dan eksklusif tetapi tidak digunakan oleh pengunjung masjid. Bukannya orang tidak mahu membaca terjemahan al-Quran dan koleksi hadis sebelum solat Jumaat, tetapi kedudukannya dilihat mewah itulah yang menyebabkan ada kitab yang belum dibuka oleh sesiapa saja.
Sekali lagi kita memerlukan daya pemikiran kritis dan kreatif dalam pengurusan, apa lagi pengurusan masjid. Zaman berubah dan orang kerap bercakap mengenai Islam yang syumul, namun masjid masih perlahan mengikuti perubahan ini.

Isnin, Januari 18, 2010

INILAH cara masjidku

SEBELUM pilihan raya tahun 2008, sewaktu ngobrol-ngobrol bersama rakan yang berkecenderungan politik, dia mengatakan masjid sepatutnya dibenarkan bebas membahas sebarang keilmuan. Dia sebagai aktivis parti Islam mempunyai satu visi yang ditanggung dan diperjuangkan. Dia bercakap terhadap saya sewaktu kami membicarakan aliran pemikiran yang saya perjuangkan. Mungkin dia mengambil hati saya yang memilih pendekatan minoriti.

Apabila parti Islam bersama gabungannya memerintah Selangor, sahabat-sahabat dalam web www.al-fikrah.net meramalkan perkembangan yang baik untuk aliran sunah atau manhaj salaf. Tambahan pula di selangor yang memegang kuasa terhadap urusan agama dan adat resam Melayu ialah orang daripada parti yang berjuang atas asas al-Quran dan sunah.


Apa yang berlaku tidaklah sebagaimana yang ditanggung dan diperjuangkan. Di mana-mana pun ahli politik tetap bermain politik untuk meraih kuasa dan mengekalkannya. Sehingga kini, bukanlah suatu yang mudah untuk melihat wacana ilmu yang berlawanan dengan pemikiran Islam arus perdana. Mudahnya, pengurusan masjid untuk pemahaman agama dan adat tidak dibuka untuk percambahan minda.
Perubahan apa di masjid setelah bertukarnya kerajaan yang memerintah? Para penceramah yang dahulunya tidak mendapat tempat kerana perbedaan parti politik, kali ini mudah mendapat ruang untuk berceramah. Dengan bersangka baik, isi ceramahnya juga tidak banyak berubah daripada membicarakan hal akidah dan ibadah khusus sahaja. Ustaz, sama ada yang berada dalam parti Islam atau Melayu datang dari sekolah yang sama, maka pemikirannya juga sama.
Majlis agama Islam yang dikuasai oleh exco dari parti Islam nampaknya masih kedekut mengeluarkan tauliah untuk penceramah yang tidak sebulu dengannya. Kalau dalam hal akidah dan ibadah pun ada pilih kasih (pemberian tauliah), jangan haraplah ada tauliah untuk para peguam, doktor dan pakar kaunseling untuk memberi kuliah maghrib di surau dan masjid. Maksud saya para profesionalis itu akan memberi ilmu berkaitan bidang ilmunya, bukan peguam bercakap hal akidah dan ibadah!
Asalnya saya menjangka akan wujud percambahan ilmu di masjid apabila pejuang-pejuang kesyumulan Islam berkuasa, tetapi tidak berlaku. Membuka ruang kesejagatan ilmu (selain ilmu ibadah khusus) tidak menjadi dasar pentadbiran agama dan masjid, maka jika ada masjid melakukan anjakan paradigma sebegitu, hanyalah inisiatif individu terpencil.
Oleh itu kekal begitu sajalah konsep dan pengembangan ilmu di masjid-masjid sama ada negeri itu diperintah oleh parti Islam atau Melayu. Kalau ditanyakan kepada orang politik, garam pun akan dijadikan manisan! Garam tetap masin dan masjid hanya untuk bersolat dan ceramah fardu ain. Pusing kanan kiri, itu sajalah.


Jumaat, Januari 15, 2010

APABILA Islam dijadikan adat resam


(foto masjid hanya hiasan)
BENARLAH kata orang, kalau masjid dirobohkan, orang yang tidak solat pun akan menyingsing lengan! Maka apabila kalimah Allah hendak digunakan oleh penganut Kristian, yang selama ini tidak perduli apa seruan Allah dalam al-Quran pun marah besar. Orang bukan Islam pun faham perangai orang Islam ini, sebab itu apabila majalah Al Islam membuat tinjauan mengenai sebuah masjid yang dikatakan tidak menyenangkan penduduk bukan Islam, mereka sangat keberatan untuk bersuara. Mereka tahu orang Islam sangat sensitif dalam bab agama, tambahan jika orang bukan Islam turut bercakap hal Islam.

Tidak ada ayat al-Quran atau Sunah nabi yang mengajar muslim menjadi begitu sensitif dan bersifat pekak badak. Teruklah jika Islam mengajar umatnya supaya cakapnya sahaja yang mesti didengar oleh orang bukan Islam, sementara orang bukan Islam akan diherdik dan dikutuk jika meluahkan sesuatu yang menjadi masalahnya kerana aktiviti orang Islam.
Berapa banyak masjid dan surau sudah tidak perduli hak kerehatan dan ketenangan kawasan kejiranan dengan melaungkan bacaan al-Quran dan ceramah selain azan. Tahun lepas saya menjaga pelajar menduduki peperiksaan, terasa malu dengan pelajar-pelajar bukan Islam apabila masjid sebelah sekolah mula menguatkan suara bacaan al-Quran 15 minit sebelum azan Asar. Ada yang memandang muka saya tanda tidak puas hati, tetapi apa saya boleh buat. Sekarang pun hari-hari ada masjid yang menguatkan bacaan al-Quran 20 minit sebelum azan Zuhur sedangkan ratusan murid dua buah sekolah sedang belajar.
Satu ketika dahulu akhbar harian menyiarkan rintihan orang Islam sendiri mengenai isu ini. Kebanyakan yang menyuarakan terasa sangat bimbang pihak pengurusan masjid akan mengecop atau menganggap yang tidak setuju ceramah dan bacaan al-Quran dipancarkan secara terbuka, sebagai anti-Islam. Tidak suka bacaan al-Quran? Tidak mahu dengar ceramah agama? Itulah ayat yang kerap disimpulkan sampai dari corong radio.
Mengapa hal-hal ini terjadi? Jawabnya kerana kejahilan masyarakat untuk membedakan antara ajaran agama dengan adat beragama. Penghormatan masyarakat awam terhadap institusi Islam seperti masjid dan sekolah agama, serta pengurus-pengurusnya menjadikan cara mengurus agama seperti ajaran agama sendiri. Asal saja yang berkaitan agama, anggapannya itulah agama. Maka yang selama ini tidak perduli siapakan Allah, apakah maksud wahyu-wahyu Allah, fungsi masjid dan maksud ibadah, menjadi marah-marah jika kaedah pengurusan agama dikritik.
Islam sudah dilembagakan sebagai adat, dan tidak boleh diusik sekalipun yang adat itu menyalahi ajaran al-Quran dan sunah. Islam menjadi hak mutlak bangsa Melayu sehingga orang bukan Islam tidak dibenarkan beraktiviti dalam masjid dan dikecam kerana membaca al-Quran. Yang daripada adat kuno seperti bertahlil arwah pun telah diadatkan sebagai ajaran Islam. Semua itu termasuk menguatkan ceramah agama satu kilometer dari masjid dianggap ajaran Islam dan wajib dipertahankan. Sebagian besar muslim di Malaysia menjadi sensitif jika bab ini dikritik. Golongan ini gagal membedakan antara ajaran Islam dengan pengurusan agama yang sudah menjadi adat resam Melayu.
Tidak keget wujud manusia menggunakan agama untuk kepentingan kewangan, mencari status sosial yang tinggi atau untuk melindungi kebejatan akhlak sendiri. Orang biasa payah menyedari hal ini berlaku kerana selama ini kita diajar berbaik sangka atas apa saja jika dikaitkan dengan agama.

Isnin, Januari 11, 2010

SAYA tetap muslim!

SAMPAI waktunya seseorang mesti berani mengisytiharkan mengapa dirinya menjadi seorang muslim! Ya, memang apabila ditanya oleh sesiapa, dengan mudah kita menjawab sebagai muslim, penganut Islam. Dengan ilmu dan kekuatan hujah, seseorang muslim dapat menjelaskan mengapa dirinya seorang muslim.


Apa ertinya kita menegaskan sebagai seorang muslim? Hal ini bermakna kita telah dapat membuat perbandingan antara beberapa agama yang sangat hampir dengan diri dan kehidupan, akhirnya kita mampu menyatakan bahawa tidak lain Islam adalah pilihan terbaik. Ini bukanlah bererti mahu menyinggung perasaan penganut agama lain, tetapi atas prinsip ilmu dan hujah maka keputusan menetapkan diri sebagai muslim dipilih kerana kekuatan ilmu dan hujah tadi. Islam tidak tertegak kerana emosi, paksaan dan ikut-ikutan membabi buta. Sebab itu sangat jelas al-Quran surah 2:256 menyatakan Allah tidak memaksa seseorang memeluk Islam, kerana kebenaran dan kepalsuan sudah terbentang di hadapan. Nah, apa lagi pilihlah!


Pada saya agama yang paling hampir akidahnya terhadap akidah Islam ialah Kristian. Sebenarnya setiap kali membaca al-Quran akan ditemui banyak ayat yang menerangkan perihal Ahli Kitab iaitu penganut agama Nasrani (Kristian) dan Yahudi. Mahu tidak mahu, sebagai pembaca al-Quran kian diruntun keinginan untuk mengetahui mengenai Kristian yang banyak dicatat dalam al-Quran.


Banyak sumber mengenai agama Kristian sama ada hasil tulisan seseorang muslim dan penganut Kristian sendiri. Saya pun punya rakan rapat seorang aktivis kristian yang telah ‘mewakafkan kehidupannya’ untuk agama Kristian. Hak dia untuk menerangkan aktiviti keagamaannya dan mendakwah saya. Takkan saya tidak dapat mengesan laras bahasanya sama ada sekadar memberi informasi atau satu gaya pujukan. Tetapi beberapa lama sebelumnya saya sudah memiliki dan membaca kitab Kristian yang disebut ‘Alkitab Berita Baik’. Itulah Bible yang mengandungi Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru.


Pengalaman saya, mendengar ucapan atau membaca info keagamaan Kristian memang menarik hati. Tidak ada kupasan mubalighnya yang mengajak kita melakukan kerja jahat, semuanya indah. Namun pada saya lain sekali jika mentelaah Alkitab Berita Baik itu. Saya mengambil prinsip bahawa Al-Kitab Berita Baik adalah kitab suci! Sebuah kitab suci yang didakwa wahyu Allah tentulah tidak akan terdapat kalimah atau ayat-ayat yang menyentak pembacanya.


Saya meminta maaf kepada pembaca Kristian bahawa dalam Alkitab Berita Baik saya dikejutkan dengan cerita porno Nabi Lut berzina dengan dua anak gadisnya (Kejadian 19: 30-38). Kemudian jika dalam al-Quran dicatat mengenai lelaki Yahudi bernama Samiri yang menghasut kaum Yahudi untuk menyembah patung anak lembu, dalam Bible Alkitab Berita Baik yang dicatat sebagai penyeru kaum Yahudi menyembah patung anak lembu ialah Nabi Harun, sepupunya Nabi Musa itu! (Keluaran 32:2-25)


Saya masih meneruskan pembacaan Alkitab Berita Baik semata-mata untuk mengetahui kandungannya dan mencari keabsahan ayat al-Quran yang menerangkan bahawa tangan manusia mencemar kandungan Taurat dan Injil! (al-Quran surah 2:79)


Maka, saya berani membaca Bible Alkitab Berita Baik itu sebagai menambah jurang antara kebenaran al-Quran dan kesamaran Bible Alkitab Berita Baik. Untuk beriman pada ayat Allah yang memberitahu hanya Islam agama yang diredai Allah (al-Quran surah 2:19), kita wajib membuat bandingan dengan yang lain.

Jumaat, Januari 08, 2010

KRISTIAN di Malaysia ahli kitab?



(Rencana ini disunting ejaan dan nahu bahasanya untuk disesuaikan dengan kandungan  blog ini)

Komentar oleh Ramdan Kari. 

Salam bahagia kepada semua, sekadar berkongsi information dengan sahabat kita, walaupun saya bukan (berilmu seperti-ed) Ust Zahruddin. 
Soalan yang pernah saya kemukakan kepada salah seorang anggota ahli fatwa Eropah yang berada di UK, namanya Syeikh Abdullah Judai (ulama dari Basrah, Iraq) kebetulan hadir ke kelasnya. Dia jawab: untuk mengenali ahli kitab, kita boleh tentukan melalui beberapa ciri. Antaranya ialah kita melihat dari segi umum iaitu hari perayaan mereka. kesimpulanya di Britain majoriti rakyat Britain meraikan perayaan krismas. Oleh itu mereka boleh digelar ahli kitab meskipun mereka kurang berpegang pada agama mereka (tapi jawapan yg diberikan kurang memuaskan, kerana ianya terlalu umum). Meskipun begitu, berdasarkan pengamatan saya, ada beberapa hujah yang boleh  kita pertimbangkan dari sudut berikut
1- Ahli kitab masih wujud pada zaman kita
1.1 Nas al-Quran telah menjelaskan perkara tersebut dalam banyak bab seperti perkahwinan dan makanan, oleh itu jika kita nafikan akan kepupusan ahli kitab seolah-olah ayat al-Quran yang berkaitan dengan ahli kitab tidak sesuai hingga  akhir zaman. Keadaan ini bertentangan dengan ciri-ciri al-Quran yang berkekalan sehingga hari Qiamat.
1.2 Allah mengetahui apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Sebagai contoh di beberapa negara Eropah yang padanya terdapat penganut agama Islam, jika mereka ingin berkahwin seakan-akan mustahil untuk mendapatkan calon muslim atau muslimah. Justeru itu mereka diberi kelonggaran untuk berkahwin dengan ahli kitab. Jika kita nafikan akan kewujudan ahli kitab, maka apakah jalan penyelasaian terhadap mereka ini?  Manakah lebih baik berkahwin dengan ahli kitab yang tidak mengamalkan amalan mereka dengan sepenuhnya atau berzina. (dar`ul mafsadah, jalbul maslahah) tolak keburukan, bawa kebaikan.
2- Ahli kitab tidak wujud lagi
2.1- Mereka (yang mendakwa penganut Kristian - ed) tidak mengamalkan ajaran mereka. Jika mereka masih mengamalkan agama, sememangnya ajaran mereka sudah terpesong. Kita pernah terbaca mengenai pengumpulan kitab mereka, (ada perubahan-ed) dari 400 hingga 4 biji. Kita sudah boleh memahami hakikat sebenar ajaran mereka.
Sekadar pandangan ringkas daripada saya.  Insya Allah Ustaz Zahruddin boleh bagi ulasan lagi. 
JAWAPAN UST ZAHARUDDIN
Assalamualaikum,
Ulama semasa berbeza pandangan dalam menentukan status ahli kitab ini pada zaman ini.
1) AHLI KITAB WUJUD HARI INI
Ia adalah pandangan kumpulan majoriti ulama semasa termasuk Yusuf al-Qaradawi (diambil dalam fatwa beliau berkenaan boleh makan daging di negara yang majoriti Kristian dan Yahudi, bagaimanapun dalam fatwa beliau berkenaan kahwin dengan ahli kitab, beliau meletakkan syarat agar disemak terlebih dahulu sama ada wanita itu betul-betul Kristian dan Yahudi atau hakikatnya athies), Syeikh Ramadan al-Buti, Dr Wahbah Az-Zuhayli dan lain-lain menyatakan bahawa mereka dianggap ahli kitab selagi mana mereka percaya kepada Allah SWT.


2) STATUS AHLI KITAB HARI INI DIPERTIKAI
Manakala kumpulan minoriti menolak pandangan di atas. Menurut mereka, untuk digelar ahli kitab, sesorang Yahudi dan Nasrani (Kristian) itu mestilah berpegang teguh dengan ajaran agama samawi masing-masing. Jika mereka berpegang dengan ajaran palsu hari ini dicampur pula dengan tidak mengendahkan hal ehwal hukum agama mereka, tidaklah layak digelar Ahli KItab lagi. 
Kumpulan ini berpegang kepada athar dari Sayyidina Ali yang menyebut tentang Yahudi Bani Taghlib dengan katanya :
إنهم لم يأخذوا من النصرانية إلا شرب الخمر وأكل الخنزير
Ertinya: "Mereka tidak mengambil apa-apa dari ajaran Nasrani kecuali untuk minum arak dan memakan babi" ( Rujuk : Al-Majmu' oleh Imam An-Nawawi, 9/74)
Hal ini bermakna Sayyidina Ali r.a seolah-olah tidak setuju dengan pengiktirafan ahli kitab kepada mereka yang tidak berpegang dgn sepenuhnya.
Ia juga berdasarkan athar,
عن نافع مولى ابن عمر: أنه كان إذا سُئِل عن نكاح النصرانية واليهودية، قال: إن الله حرم المشركات على المؤمنات، ولا أعلم من الإشراك شيئًا أكبر من أن تقول المرأة: ربها عيسى، وهو عبد من عباد الله (انظر: البخاري مع الفتح "9/416" حديث "5285" باب قول الله تعالى: (ولا تُنْكِحُوا المشركاتِ حتى يُؤْمِنَّ..) من كتاب الطلاق، وانظر: تفسير ابن كثير "1/258"، ط الحلبي. وتفسير القرطبي "3/68" ط. دار الكتب).
Ertinya: Ibn Umar ditanya berkenaan hukum berkahwin dengan ahli kitab Nasrani dan Yahudi, maka dia berkata : "Sesungguhnya Allah mengharamkan berkahwin dengan kaum wanita musyrik, dan tidak kuketahui syirik yang terbesar daripada seorang wanita berkata: ‘Tuhannya Isa, dan dia pula hamba dari hambar Allah’” ( Rujuk Fath al-Bari, haditth no 5285).
Justeru, ini menunjukkan bahawa kristian yang mempercayai triniti seolah-olah telah terkeluar dari ajaran kelas ahli Kitab iaitu nasrani kerana kekarutan mereka. Tambahan pula penganut Kristian pada zaman ini yang kebanyakkan adalah atheis yang hanya nama sahaja Kristian tetapi tiada berpegang dengan ajarannnya.
Kesimpulan saya
Jika berpegang penuh dengan segala ajaran agama Yahudi dan Nasrani itu dianggap syarat untuk digelar ahli kitab, maka ramai pula nanti umat Islam yang tidak layak digelar ‘Muslim', kerana pegangan mereka yang amat longgar. Kerana inilah majoriti ulama berpendapat, syarat utamanya untuk diterima sebagai ahli kitab dan terpakai semua hukum ahli kitab di dalam quran adalah PERCAYA kepada kewujudan Allah (sebagaimana Al-Qaradawi yang meletakkan syarat, asalkan jangan atheis atau komunis - iaitu yang tidak percaya tuhan). 
Justeru ahli kitab yang percaya triniti dan lain-lain itu tetap dianggap ahli kitab berdasarkan firman Allah yang menggelarkan mereka  dengan nama AHLI KITAB walaupun mereka telah menyeleweng dalam aqidah mereka iaitu:
يا أهل الكتاب لا تغلوا في دينكم ولا تقولوا على الله إلا الحق، إنما المسيح عيسى بن مريم رسول الله وكلمته ألقاها إلى مريم وروح منه، فآمنوا بالله ورسله، ولا تقولوا: ثلاثة، انتهوا خيرا لكم إنما الله إله واحد، سبحانه أن يكون له ولد، له ما في السموات وما في الأرض، وكفى بالله وكيلا}النساء:171
Ertinya: "Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu melampau-lampau dalam agamamu, dan janganlah mengatakan tetang Allah kecuali yang benar, Sesungguhnya Al-Masih Isa anak Maryam itu adalah rasulullah, dan ia diletakkan kepada Maryam dan ruhnya datang dari Allah, maka berimanlah dengan Allah dan rasul-rasul-Nya, janganlah kamu mengatakan "tiga", tamatkanlah dakwaan itu lebih baik bagimu, sesungguhnya Allah itu esa, maha suci Allah dari mempunyai anak....( An-Nisa : 171)  


Wallahu a'lam.
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
19 Ramadhan 1427 H (12 Oktober 2006)

Jumaat, Januari 01, 2010

ALLAH di sisi Islam dan Kristian



DEBAT penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian pasti timbul lagi setelah mahkamah Tinggi memberi keizinan kepada mereka.  Ada satu lagi ruang keputusan yang muktamad iaitu Mahkamah Persekutuan! Di negara-negara lain hal seperti ini tak perlu masuk mahkamah.  Tapi inilah Malaysia yang unik.  Keislaman di Malaysia tak sama sekalipun dengan Indonesia.

Malu juga apabila orang Islam di Malaysia sangat lemah akidah dan imannya.  Apabila orang Kristian menggunakan kalimah Allah seperti orang Islam dianggap pasti orang Islam akan keliru. Keliru seperti, manakah yang benar? Allah berdasarkan agama Islam atau Kristian.

Susah sangatkah hendak membedakan ketauhidan antara Islam dan Kristian?  Dalam Islam Tuhan hanya satu, Dialah Allah yang tidak dapat disamakan dengan apa juga.  Dia dengan kebesarannya sendiri.  Allah dalam akidah muslim tidak punya anak atau keluarga seperti manusia.

Dalam akidah Kristian Allah itu juga Isa al-Maseh.  Mereka kata Nabi Isa itu Jesus, satu jelmaan Allah kepada manusia untuk menebus dosa manusia yang pernah dilakukan oleh Nabi Adam dan Hawa dahulu.  Dalam Islam Nabi Isa sama seperti nabi-nabi Allah yang lain.  Nabi Isa makan dan minum, kemudian mendapat wahyu untuk membimbing manusia mengesakan Allah.  Dalam Islam tidak ada dosa dan pahala yang boleh diwariskan kepada sesiapa, sedangkan dalam Kristian dosa Nabi Adam itu diwariskan kepada semua manusia.  Kan ada beda yang sangat jelas.

Adakah  umat Islam awam di Malaysia begitu tolol sampai tidak dapat membedakan antara Allah yang tunggal dalam ajaran Islam, dengan Allah yang menyamar menjadi manusia dalam ajaran Kristian?  Kecuali bab dosa warisan dalam Kristian dengan kepercayaan pahala warisan dalam adat umat Islam.  Kirim atau wariskan pahala itu bukan ajaran prinsip Islam (al-Quran) tetapi adat resam saja.  Agaknya ini yang nanti akan mengelirukan umat Islam sebab ada juga persamaan antara Kristian dengan adat Islam nenek moyang.  Jadinya nanti, masuk Islam atau Kristian tak jauh bedanya!

Kalau nanti akhirnya memang disahkan oleh undang-undang bahawa penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah merujuk Tuhan dalam kepercayaannya, apa akan jadi?

Hemat saya, itu tidak mengapa kerana semua itu fitrah manusia.  Fitrah manusia makan dan minum, dalam ketuhanan manusia menerima Allah sebagai Tuhan.  Aduh, banyak kali dicatat hal ini dalam al-Quran, sampai-sampai semua roh manusia membuat akujanji bahawa Allah adalah Tuhan pencipta (surah al-A’raf: 172).  Ini memudahkan dakwah.

Selama  ini ada masalah seperti: Tuhan kami tak sama dengan Tuhan kamu, jaga Tuhan sendiri-sendiri sudahlah! Oh ya, kalaulah semua mengatakan Tuhannya Allah, maka pendakwah mudah menjelaskan ketauhidan serta sifat-sifat Allah yang benar, yang ada dalam al-Quran dan sunah.  Kalau berdebat pun mudah sebab fokusnya satu iaitu ketuhanan Allah, Allah yang itulah, yang diterima oleh semua penganut agama. Maka hujah siapa yang hebat dialah betul.  Debatlah sampai lumpuh dan terpinga-pinga minda mereka.

Melalui dakwah atau debat sifat-sifat Allah ini akhirnya kita termasuk yang bukan Islam ini (Kristian) mesti memilih sifat-sifat Allah yang sahih, benar dan tidak ada tokok tambah (bid’ah).  Selama ini umat Islam faham ketauhidan Allah dalam Kristian sudah dicemar dengan bid’ah.

Kasimpulannya, umat Islam wajib bersedia dengan perkembangan ini. Tidak kagetlah…, ini zaman global dan dunia yang sangat berubah dengan pantas.  Maka terima saja kemungkinan kaum Kristian di Malaysia menggunakan kalimah Allah.  Orang dahulu kata, ‘biarkan, biarkan, Si Luncai terjun dengan labu-labunya!’