|
foto hanya hiasan |
KITA hidup dalam kebejatan sistem demokrasi!
Demokrasi berasal dari dunia Barat dan telah lama
dipaksakan kepada semua manusia satu dunia.
Konon dengan kekalahan ideologi komunis, maka sebaik-baik ideologi negara
dan masyarakat ialah demokrasi atau kebebasan rakyat! Demokrasi hanya mengiktiraf keputusan majoriti.
Tidak perduli yang majority itu yang terbaik atau terburuk! Sedangkan Al-Quran menyatakan majoriti atau kebanyakan itu dalam
kejahilan atau kesesatan. Lihat ayat 116 surah al-An’am (artinya), “Dan
jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan
menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang
mereka ikuti hanyalah persangkaan belaka dan mereka hanya berbuat kedustaan.”
Kerna kita meladeni demokrasi secara total, maka
ayat-ayat yang busuk sentiasa didengar telinga. Atas nama kebebasan bersuara
sebagai asas demokrasi, ayat fitnah, sangka buruk dan umpat menjadi pilihan
yang menyeronokkan masyarakat.
Majoritinya suka begitu, maka perlecehan begitu sudah diterima sebagai
terma biasa masyarakat. Namun perbuatan buruk tetap buruk di sisi Allah.
Atas nama kekebasan dalam demokrasi maka rakyat
diberi peluang menyatakan sikap dan fikiran masing-masing. Lihatlah betapa
lelahnya pemerintah meladeni ayat perlecehan orang awam, sedangkan orang awam
hanya melihat pemerintahan dari jauh dan sudutnya pun kecil amat. Namun orang
awam yang berlakon pintar hanya tahu mendebat dan mengkritik sedalam-dalamnya.
Pemerintah terbeban, lantas menggunakan masa yang lama untuk menjawab satu demi
satu kritikan berkenaan. Akhirnya tidak ada apa yang istimewa hasil debat dan
kritik itu. Habis masa dan modal hidup hanya berdebat atau soal jawab yang
tidak bermanfaat.
Tidak ada manusia atau pemimpin yang bersih seperti
para Nabi, lantaran itu Rasulullah menyuruh umat menutupi malu atau kelemahan
seseorang. Namun demokrasi memberi
seluas-luas peluang orang mendedahkan kesalahan atau aib semata-mata adanya hak
bersuara. Dalam politik, kerja
membongkar masalah peribadi orang adalah satu kerja wajib, tetapi agama sudah
lama menahan kerja keji begini. Oleh
kerna jaman sekarang orang sedang memuja demokrasi, maka gesaan orang kembali
kepada ketertiban beragama akhirnya dilihat seruan ke dunia kuno dan
ketinggalan jaman.
Akhirnya apa? Kita sebagai golongan beragama dan majoriti
dalam negara sedang berantakan dan bakal kehilangan kuasa pemerintahan. Bukan sukar menebak, setiap saat umah
berantakan, setiap waktu itulah ‘serigala’ sedang bersiap untuk menerkam. Dan bukan sukar untuk menelah, setiap kita
mengikat kesatuan, setiap itu juga ‘serigala’ menyusup dalam kesatuan agar umah
berpecah dan terburai. Walhal, di mana
wilayah umat Islam tertindas dan menderita seperti di Myanmar, Pattani,
Mindanao, Kashmir, Palestin dan lain-lain, kita di sini berhujah perlunya umat
Islam mempunyai kuasa pemerintahan di sana. “Itulah akibat umah tidak ada
kekuasaan”. Ironisnya dalam negara, kuasa orang Islam yang ada sedang dirong-rong
dan sudah ada yang rela hati menyerahkan kuasa negeri dan negara kepada yang
bukan Islam! Sadarkah?
Inilah kehebatan demokrasi dalam negara. Agama
sedang dijual untuk mendapatkan kuasa yang secebis, bangsa sedang diperleceh
oleh kerakusan segelintir pemimpin yang tidak pernah puas dengan sejarahnya
pernah berkuasa. Umah sedang dikelirukan
dengan pelbagai hujah.
Inilah kehebatan penjajah Barat terhadap negara
kita. British telah memberi kemerdekaan, tetapi British telah memasang api
dalam sekam agar baranya terus menyala dan membakar masyarakat kita. Akhirnya,
matlamat British ialah bangsa yang diberi kemerdekaan dahulu akan kembali
menjadi lemah dan diperbudakkan. Kita satu umah dan bangsa yang merdeka akan
diperbudakkan melalui sistem yang dipantau dari Barat. Kita kelihatan besar, tetapi dikalahkan dalam
banyak perkara.
Rupa-rupanya dalam demokrasi, puak minoriti bisa
menjadi majoriti apabila lawannya yang majoriti tadi dilemahkan dan
dipecah-pecahkan menjadi kumpulan-kumpulan minoriti yang saling berlawanan. Kelihatannya itu akan berlaku di negara kita.
Bersiap siaga menunggu saat itu.