Pengikut

Sabtu, Julai 27, 2013

SELAWAT NABI: Arab tidak buat, Melayu buat

SECARA santai, tercerita mengenai solat Tarawih di Makkah dan tanah air.  Bersoal-jawab pula, mengapa orang Nusantara membuat bacaan selawat ke atas nabi serta pujian kepada empat orang khalifah di celah-celah solat Tarawih, sedangkan di masjid Makkah dan Madinah tidak ada? Ada beberapa macam jawaban.  Antaranya, “Arab itu Wahabi”, “Itu cara orang Arab, cara Melayu lain sedikit” dan “perkara baik, bagus dilaksanakan”.

foto hiasan

Memang berselawat ke atas Nabi s.a.w. itu satu anjuran yang aula.  Bisa dilihat ayat 56 surah al-Ahzab. Maksudnya,  “sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah ke atas nabi dan ucapkanlah salam yang penuh penghormatan kepadanya.”

Oleh itu mengapa di Makkah dan Madinah tidak  melaksanakan seruan supaya berselawat di antara rakaat-rakaat Tarawih?  Orang Arab meninggalkan selawat dan orang Melayu melakukan selawat?

Apabila berselisih begitu, baliklah kepada ajaran yang asal iaitu al-Quran dan sunah Nabi s.a.w.  Lihat bagaimana Nabi s.a.w. dan para sahabat sesudah baginda melaksanakan solat Tarawih.  Oleh kerna di alam Melayu ini terkenal dengan jumlah 20 rakaat Tarawihnya yang menuruti solat Tarawih pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, maka lihat adakah Saidina Umar membawakan selawat-selawat seperti yang disebut oleh masyarakat Melayu kita.

Setakat ini tidak ada sesiapa yang mampu memberikan hadis menerangkan Nabi s.a.w. dan Saidina Umar memerintahkan diserukan selawat dicelah-celah solat Tarawih.  Sekalipun Saidina Umar itu sahabat Nabi yang terkenal cintanya kepada baginda Nabi s.a.w. tidak pula ada cerita beliau memulakan seruan-seruan selawat sebagaimana kita.  Jangan pula ada yang menuduh Saidina Umar tidak cinta nabi!  Jangan.

Ulama-ulama Arab memahami agama berdasarkan apa yang tertera dalam al-Quran dan Sunah Nabi s.a.w.  Jika ada contoh atau perintah, maka mereka laksanakan bersama masyarakat.  Mereka tidak memberi hujah atau alasan ‘perkara baik bagus dilaksanakan’.  Misalnya mereka menuruti dasar dalam hadis di bawah.

Maksud hadis: “Sekelompok orang berkumpul membicarakan sesuatu. Lelaki pertama berkata, saya akan shalat malam dan tidak tidur. Yang lain berkata, saya akan puasa dan tidak berbuka. Yang ketiga berkata, saya tidak akan menikah dengan wanita. Perkataan mereka ini sampai kepada Rasulullah SAW. Maka baginda berkata, kenapa ada orang-orang yang begini dan begitu? Aku shalat malam tapi juga tidur, aku puasa tapi juga berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku maka dia bukan daripada kalanganku.” (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis tersebut jelas sahabat Nabi s.a.w. melaksanakan solat pada waktu  yang tidak menepati seperti yang Nabi s.a.w. tunjukkan.  Maka Nabi s.a.w. tidak menyukainya.  Orang yang patuh sunah Nabi s.a.w., mudah memahaminya.  Mereka tidak mengubah syariat untuk disesuaikan dengan kehendak manusia.

Ulama-ulama Melayu (khasnya yang menyandang jawatan di pelbagai institusi Islam) pula agak inovatif iaitu membuat sedikit sebanyak perubahan atas alasan untuk disesuaikan dengan masyarakat.  Maka hasilnya seruan selawat dilaksanakan di celah-celah setiap dua rakaat Tarawih.  Ini boleh diertikan sebagai ‘syariat disesuaikan dengan masyarakat’.  Kita biasa mendengar ustaz atau ulama ini beralasan, “apa salahnya ruang yang ada diserukan kepada Jemaah untuk berselawat”.


Begitulah adanya…..

Khamis, Julai 25, 2013

NUZUL al-Qur'an: wahyu juga melariskan barang dagangan

SECARA rasmi di Malaysia, malam turunnya wahyu pertama di Gua Hira kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. telah dijadikan ingatan dan rakyatnya diberikan hari libur, cuti!  Sebenarnya sebagai peringatan bahawa al-Quran sebagai panduan hidup manusia, seluruh manusia, bukan hanya kepada muslim. Misalnya ayat 1 dan 2 surah al-Naml (maksudnya), “Tha Sin. Inilah ayat-ayat al-Quran, kitab yang jelas, petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”

Satu contoh berita gembira kepada orang-orang beriman, ayat 42 surah al-A’raf (maksudnya), “Dan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal kebajikan, Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kemampuannya.  Mereka itulah penghuni syurga, kekal di dalamnya.”

Berita yang mengerikan pun ada, sebagai amaran atau peringatan seperti ayat 145 surah an-Nisa’ (maksudnya), “Sungguh orang-orang munafik (ditempatkan) di tingkat paling bawah neraka.  Dan kamu tidak mendapat seseorang pun sebagai penolong.”

Antaranya al-Quran mengajar manusia supaya melakukan keadilan sekalipun emosinya rasa panas seperti ayat 8 surah al-Ma’idah (maksudnya), “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penegak keadilan kerna Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil.  Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil.  Berlaku adillah!  Kerna berlaku adil itu mendekati taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah maha teliti apa yang kamu kerjakan.”



Namun ada segelintir orang yang diberi pengetahuan membaca al-Quran dengan baik menggunakan ilmunya tidak sebagaimana yang disuruh Allah.  Sesuka hatinya sahaja menjadikan bacaan al-Quran sebagai bahan pelaris dagangan seperti dengan membuat iklan bahawa air yang dijualnya sudah dibacakan 30 juzuk al-Quran!  Sampai air oren bergas pun dilabel sebagai air penawar sakit yang didakwa sudah dibacakan ayat-ayat al-Quran.  Dengan iklan begitu, tentu menggamit muslim yang polos untuk membelinya. Dan kepada peniaganya, itu juga cara meningkatkan harga air yang dijual.  Tak mungkin baca-baca percuma…… 


Rabu, Julai 24, 2013

KITA mazhab Syafi'e mahu baca al-Quran atas kubur

TIDAK SAMPAI PAHALA BACAAN AL-QUR'AN KEPADA SI MATI?
July 22, 2013 at 7:00pm

Soalan:

Benarkah golongan yang digelar sebagai Wahabi mengatakan tidak sampai pahala bacaan al-Qur'an yang disedekah kepada si mati? 

Jawapan:

Soalan ini dapat dijawab dengan tiga poin berikut:

PERTAMA

Sebenarnya yang mengatakan tidak sampai pahala bacaan al-Qur'an yang dihadiahkan kepada si mati itu bukanlah golongan yang dilabel sebagai Wahabi sahaja akan tetapi ia juga merupakan pandangan jumhur (kebanyakan / majoriti) para ulamak bermazhab Syafie sendiri.

Dalam kitab الجمل الخازن   juz 4, ms. 236 dan kitab Syarh Muslim juz 1, ms. 90 Imam al-Nawai asy-Syafi’e rahimahullah menjelaskan:

واما قراءة القرآن فالمشهور من مذهب الشافعى انه لا تصل ثوابها إلى الميت

“Ada pun bacaan al-Qur’an maka pendapat yang masyhur dari kalangan yang bermazhab syafi’e bahawa tidak sampai pahala bacaan (al-Qur’an) yang dikirim kepada orang yang telah mati.”

Katanya lagi di dalam kitab al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab juz. 10, ms. 426:

واما قراءة القرآن وجعل ثوابها للميت واصلاة عنه ونحوها فذهب الشافعى والجمهور انها لا تلحق الميت، وكرر ذلك فى عدة مواضع فى شرح مسلم

“Adapun pembacaan al-Qur’an dan menghadiahkan pahalanya kepada orang mati, membayar solatnya dan sebagainya, maka menurut Imam asy-Syafi’e dan jumhur (kebanyakan / majoriti) ulamak Syafi’iyyah adalah tidak sampai kepada si mati. Penjelasan ini telah diulang-ulang di beberapa tempat dalam kitab Syarah Muslim….”

Sementara itu, Syeikh al-Haitsami asy-Syafi’e rahimahullah menyatakan di dalam kitabnya الفتاوى الكبرى الفقهية   seperti berikut:

الميت لا يقرأ على ما أطلقه المتقدمون من ان القراءة لا تصله اي الميت لان ثوابها للقارئ والثواب على عمل لا ينقل عن عامل ذلك العمل، قال تعالى: وان ليس للانسان الا ما سعى

“Orang yang sudah mati tidak boleh dibacakan al-Qur’an berdasarkan pendapat daripada para ulamak terdahulu, yakni bahawa bacaan al-Qur’an pahalanya tidak sampai kepada si mati kerana pahala bacaan itu hanya untuk pembaca. Pahala amalan juga tidak akan dipindah-pindahkan dari orang yang mengamalkannya (kepada orang lain) berdasarkan firman Allah: “Dan manusia tidak memperoleh pahala kecuali dari amalan yang dikerjakannya sendiri….”

Imam Muzani asy-Syafi’e rahimahullah berkata di dalam kitab هامش الام للشافعى juz. 7, ms. 269:

فأعلم رسول الله مثل ما اعلم الله من ان جناية كل امرئ عليه كما ان عمله له لا لغيره ولا عليه

“Rasulullah telah memberitahu sebagaimana Allah juga telah memberitahu bahawa dosa setiap orang harus dia tanggung sendiri sebagaimana pahala amal kebaikan juga untuk dirinya sendiri, bukan untuk orang lain…”

KEDUA

Tidak dinafikan di sana wujud perbezaan pandangan di kalangan para ulamak berkenaan persoalan ini. Maka sikap yang benar dalam menghadapi perselisihan ini ialah dengan kembali kepada al-Qur'an dan al-Sunnah Rasulullah yang sahih.

Berdasarkan ini, kita bertanya kembali kepada pihak yang memfitnah golongan Wahhabi, di manakah dalil daripada al-Qur'an dan al-Sunnah Nabi yang sahih yang menunjukkan bahawa disyariatkan memindahkan pahala bacaan al-Qur'an daripada orang yang hidup kepada orang yang telah mati?

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam juga pernah kehilangan isteri tercinta dan anak tersayang serta ribuan para sahabat yang gugur di medan jihad, apakah Rasulullah pernah mengirimkan pahala ayat-ayat tertentu di dalam al-Qur'an kepada mereka yang telah pergi meninggalkan baginda? Jika tidak, apakah:

1- Rasulullah tidak sayang kepada mereka semua?

2- Apakah Rasulullah jahil mengenai keutamaan menghadiahkan pahala kepada orang islam yang telah meninggal dunia hingga baginda tidak mengamalkannya dan tidak mengajarkannya kepada kaum muslimin?


KETIGA

Persoalan menarik untuk difikirkan bersama adalah, apakah adil apabila sebahagian besar para ulamak bermazhab Syafi'e yang berpendapat tidak sampai pahala bacaan al-Qur'an yang dihadiahkan kepada si mati tidak dikatakan sesat sementara para pendukung Sunnah Nabi yang berpegang kepada pandangan yang sama baru dikatakan sebagai sesat?

Wallahu a'lam.


Sabtu, Julai 20, 2013

MENCABAR ISLAM: Sampai bila kerajaan akan mengalah?

RAMADAN 2013 ini memang mencabar maruah muslim di Malaysia. Bukan disebabkan berperang dengan kaum penentang Islam, tetapi cabaran terhadap maruah dan keutuhan Islam serta majoriti muslim.

Awalnya dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi Melayu-Islam dijangka menjadi satu asset kekuatan bangsa Melayu-Islam, pada saat pakatan DAP, PKR dan Pas kian menguncup suara Melayu dan Islamnya.  Malangnya Melayu-Islam jadi kaget dengan sikap kerajaan yang begitu lunak kepada kehendak bukan Islam, sebaliknya mengeciwakan majoriti penduduk yang Melayu dan muslim.


Pertama, kerajaan sudah pun membawa Rang Undang-undang yang menentukan agama anak yang memeluk Islam membawa anak-anak mereka masuk Islam, maka pemimpin bukan Islam (baca mereka benci Islam), membantahnya.  Mereka memang membantah, tetapi kerajaan yang didomonasi Melayu-Islam mengalah pula!


Kedua, duta negara Katolik Vitican menyokong gerakan kaum Kristian untuk menggunakan kalimah Allah dalam keagamaan mereka.  Isu ini memang sensitif kepada umat Islam. Malangnya pihak kerajaan tidak berbuat apa-apa sebaik saja duta berkenaan berkata demikian. Berhari-hari kita melihat bantahan dan kemarahan disuarakan oleh NGO, sehingga timbul tanggapan kerajaan lemah dan meminta NGO bersuara. Begitu banyak Ahli Parlimen Islam dalam BN, hanya MP Kinabatangan yang bersuara lantang setelah lebih seminggu rakyat Melayu dan NGO mengecam di duta itu.  Mana MP Umno lain yang dikatakan memperjuangkan Islam?


Ketiga, yang paling meyakitkan hati bangsa Melayu-Islam apabila dua anak Cina Bukan Islam menyindir umat Islam yang berpuasa dengan iklan sup tulang babi halalnya.  Iklan mereka berlegar-legar dalam media, namun kerajaan masih berdiam diri. Bukan sahaja blogger dan aktivis Umno mengecam kelesuan kerajaan, malah seorang Mufti pun bertanya, “Adakah kerajaan sekarang terlalu lemah untuk mengambil tindakan”. 


Sekarang kerajaan sedang berdepan dengan satu cabaran daripada kaum bukan Islam apabila dua anak Cina berkenaan ditahan dalam penjara sementara menunggu tarikh bicara 23 Ogos 2013.  Mereka mahu kerajaan membebaskan dua pelaku berkenaan atas alasan ‘telah menjalani hukuman sebelum habis habis perbicaraan’.  Apakah kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri Melayu-Islam akan tunduk?  Jika kerajaan tunduk dengan desakan itu, kredibiliti kerajaan di mata bangsa Melayu-Islam pasti akan bertambah buruk.

Apa lagi yang keputusan kerajaan yang sedang dipertikaikan oleh bukan Islam? 

Pertama:  Kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) yang diwajibkan untuk semua kolej dan universiti mengajarkannya.  DAP sebuah parti yang memang jelas anti apa saja berbau Islam pantas menolaknya.

Kedua: Penambahan masa belajar Bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan) di sekolah rendah Cina juga sedang dibantah.  Baru soal menambah masa belajar bahasa Melayu, belum lagi untuk penstrukturan semula sistem sekolah vernakular yang tidak menyumbang perpaduan rakyat!

Mengapa kaum bukan Melayu (bukan Islam) begitu berani dan lantang menginjak maruah Islam  dan bangsa Melayu. Jawabnya ialah perpecahan politik bangsa Melayu-Islam. Ada kumpulan politik bangsa Melayu yang sentiasa menyokong suara bukan Melayu (suara bukan Islam) sebagai hak demokrasi.


Kepada ahli politik Melayu dalam BN, rugilah kamu bersikap penakut sedangkan sekarang telah jelas parti kamu disokong oleh bangsa Melayu. Bukan Melayu telah jelas tidak menyokong kamu, tetapi kamu masih memberi muka kepada puak yang menentang kamu!

Khamis, Julai 11, 2013

ISLAMFOBIA DAP bukan rahsia

ISLAMFOBIA! Itulah perkataan yang sesuai terhadap DAP yang didakwa sudahpun faham Islam dan budaya masyarakat Islam di Malaysia.  Hakikatnya, rahsia-rahsia yang dipendam sudah tidak dapat lagi dipendam, akhirnya meremukkan hati masyarakat Islam yang berada di sekelilingnya.  Dasar mereka bukan rahsia dengan menerima Islam tetapi menolak hukum Syariah. Jika Islam yang diajarkan kepada mereka hanya amalan solat di masjid dan berdoa, itulah yang mereka mahu dan sokong.

Ahli Parlimen Kepong terbuka mendakwa DAP hanya menerima Islam tetapi tidak hukum syariah atau Hudud.


Ahli Parlimen Taiping mahu negeri-negeri yang memberi kuasa kepada ibu atau bapa menentukan agama anak di bawah umur 18 tahun dipinda.  Maksudnya mereka mahu ibu atau bapa yang memeluk Islam tidak diberikuasa membawa anak mereka memeluk Islam.  Kalau bukan kebencian kepada Islam, apa lagi mahu dikata kepada orang seperti ini. 


Ahli Parlimen Kampar pula membantah (sebagai dasar DAP) subjek Tamadun Islam diwajibkan kepada semua pelajar di kolej dan university sama ada mereka Islam atau tidak.  Tamadun Islam pun mereka menolak, seolah-olah tamadun Islam itu satu pelajaran agama atau akidah.  Walhal selama ini murid dan pelajar Melayu Islam belajar tamadun Mesir, Mesopotamia, China dan India.  Mengapa DAP tidak membantah tamadun-tamadun berkenaan diajarkan disekolah?  Bukankah antara kandungan pelajaran Sejarah ialah mempelajari kemunculan agama Hindu, Buddha, Kristian, Islam dan ajaran falsafah di China?



Penentangan DAP terhadap kewajiban murid atau pelajar mempelajari Tamadun Islam bukan baru, malah sejak dahulu.  Kepada pembaca sila buka buku Sejarah Tingkatan Empat yang mengandungi sejarah kemunculan Islam sebagai salah satu tamadun dunia yang penting. Islam dari tanah Arab hingga mempengaruhi budaya dan pentadbiran Malaysia.  Oleh kerana Islam menjadi satu unsur penting di Malaysia, maka wajib semua rakyat faham sejarah dan kepentingan Islam dalam negara. Suka atau tidak, Islam sudah membudaya sejak tahun 1400 lagi.  Sejak itu Islam sudah menjadi nadi negara Melayu Islam, maka sesiapa yang baru mendarat di negara ini wajib faham keadaan ini, bukan mendesak sejarah ratusan tahun dipinda untuk memenuhi nafsu mereka yang benci Islam!

Isnin, Julai 08, 2013

MAHU tutup universiti sebab Wahabi?

PELIK, Jabatan Agama Islam Selangor membuat pendirian memusuhi aliran Islam yang disebut sebagai ‘Wahabi’.  Pertama jabatan itu mendakwa ‘wahabi’ boleh mengelirukan akidah dan kedua mahu sebuah universiti yang berpusat di Madinah dinyahkan dari Selangor!


Pendirian JAIS menyebut, “fahaman wahabi adalah fahaman yang boleh mengeliru dan membahayakan akidah serta memecahbelahkan masyarakat Islam…”.  Berkenaan bencinya kepada Universiti Madinah Antarabangsa (MEDIU), “Al-Madinah International University (MEDIU) dikellilingi oleh orang yang berfahaman wahabi dan sedang giat menanam serta menyemai unsur-unsur wahabi.  Sehubungan dengan itu jabatan ini berpendirian bahawa MEDIU sewajarnya diharamkan untuk beroperasi di negeri Selangor.”

Kebanyakan orang awam tidak tahu apa yang disebut sebagai Wahabi. Penceramah-penceramah juga tidak banyak yang membangkitkan Wahabi walaupun JAIS begitu bimbang sehingga mahu sebuah universiti ditutup.  Ada satu kumpulan yang nadi hayatnya bergantung kepada cerca dan maki-hamun kepada Wahabi, iaitu Ahbash. Untuk mengenalpasti yang dikatakan Ahbash, mereka sering bercakap ‘akidah ahli sunah wal-jamaah’ dan berslogankan ‘Allah wujud tak bertempat’.  Dari situlah mereka mendakwa orang yang tidak sefaham dengan mereka dalam mengenali sifat-sifat Allah dilabel Wahabi.  Kerana itulah, mereka mendakwa Wahabi tersesat akidah, terkeluar daripada Ahli Sunah wal-jamaah.

Bukan mudah orang dapat memahami maksud akidah yang difahami puak Ahbash.  Pemahaman akidah yang disampaikan penuh dengan laras bahasa falsafah.  Oleh kerana sukarnya orang memahami, akhirnya orang awam diajar supaya wajib menerima Sifat 20 sebagai satu-satunya cara belajar akidah.  Maka antara ciri mereka yang dikatakan Wahabi ialah menolak belajar akidah cara Sifat 20.  Sebab itulah agaknya Wahabi dikatakan ‘membahayakan akidah’. 

Antara mereka yang telah didakwa Wahabi ialah mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda, mantan MB Kelantan TG Nik Abdul Aziz disebabkan tidak mengamalkan Maulidur Rasul serta menolak Tahlil Arwah, Presiden Pas TG Hj Abdul Hadi Awang disebabkan menerima sifat Allah di langit seperti dalam al-Quran dan hadis, serta mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi disebabkan program Islam Hadhari.  Puak Ahbash mendakwa negeri Perlis mengamalkan ajaran Wahabi sepenuhnya.

Jauh daripada itu seorang terdakwa Ahbash tegar membuka blog dengan tajuk ‘Wahabi kafir’.  Facebooknya juga mempunyai banyak pengikut.

Akhirnya orang yang gemar mendakwa wahabi sebagai  amalan agama orang yang negatif berkisar pada ayat-ayat berikut:

Siapa solat subuh tidak membaca qunut, dia wahabi.
Siapa tidak mahu amalkan tahlil arwah dia wahabi.
Itulah yang JAIS dan mereka yang sefaham dengannya mengatakan Wahabi memecahbelahkan masyarakat Islam. Di Malaysia, punca besar perpecahan umah adalah politik. Jika  ada yang mendakwa perpecahan disebabkan orang berbeda pendapat dan dakwaan Wahabi, itu pembong besar!

Selain itu terdapat dua perkara yang telah diajarkan oleh guru-guru agama berkenaan Wahabi di Malaysia.
Pertama:  Sesiapa melakukan amal ibadah yang ada dalil tetapi tidak biasa diamalkan oleh majoriti umat Islam Malaysia, maka dia Wahabi. Contohnya jika berwuduk dengan menyapu semua bahagian kepala, bukan mencuitkan air di sebagian kecil kepala, dia Wahabi. Dalam al-Quran ayat 6 surah al-Ma’idah jelas perintah Allah mengajar agar menyapu kepala dengan air. Nabi s.a.w. juga jelas mengajarkan dengan cara menyapukan air dengan kedua-dua tangan dari dahi ke belakang dan membalikkan semua ke depan kepala.
Kedua:  Sesiapa meninggalkan amalan agama biasa umat Islam Malaysia  dengan alasan tiada dalil al-Quran dan Sunah, maka dia Wahabi. Contohnya meninggalkan amalan kenduri arwah dengan bacaan tahlil yang ada modul (susunan) ayat-ayat al-Quran tersendiri, sedangkan modul itu bukan susunan daripada Nabi s.a.w.


Atas sebab sangka buruk terhadap orang yang menjaga sunah nabi (dengan dituduh Wahabi sesat) maka malanglah sebuah institusi agama utama dalam negeri sanggup bertegas untuk mengharamkan sebuah universiti.  Sepatutnya sebuah institusi agama yang dihuni banyak ustaz dan ulama sanggup menjelaskan sesuatu isu agama berdasarkan sumber asal, al-Quran dan sunah.  Peliklah, jika bercakap hal agama, sandarannya ialah kata-kata orang pandai sahaja dan warisan amalan sejak dahulu-kala.  Susahkan golongan agama di jabatan agama memberikan dalil al-Quran dan sunah yang sahih sebagai penjelasan?

Rabu, Julai 03, 2013

SEJARAH Utusan Melayu yang panjang

ORANG tidak kenal nama syarikat tetapi akhbarnya. Akhbar Utusan Malaysia adalah salah satu produk syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.  Sejarahnya, bukanlah kemunculan akhbar Utusan Malaysia yang menjadi trade mark syarikat Utusan, tetapi akhbar Utusan Melayu tulisan Jawi pada tahun 1938 di Singapura.  Hari ini akhbar Utusan Melaysia dikaitkan dengan parti Umno dan sering menjadi sasaran cerca dan saman parti-parti pembangkang.  Hakikatnya, syarikat Utusan Melayu dan akhbarnya pada awal penubuhannya bukanlah ditubuhkan  untuk menjadi lidah mana-mana parti politik.


Itu antara kesimpulan sejarah syarikat Utusan Melayu sebagai pengeluar akhbar Melayu sejak tahun 1938.  Membaca buku ‘Di Depan Api Di Belakang Duri, kisah sejarah Utusan Melayu’ yang ditulis oleh Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) akan lebih memahami bahawa akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia memang tidak dapat dipisahkan daripada suara politik orang Melayu.

Buku yang diterbitkan pada tahun 2013 oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd setebal 512 muka surat juga membawa pembaca memahami sejarah politik di Singapura sehingga beberapa siri pergolakan politik negara.

Boleh dimudahkan bahawa Zam telah membahagikan zaman Utusan Melayu sebagai akhbar yang dipengaruhi pemikiran politik kiri sejak penubuhannya sehingga peristiwa mogok 1961, dan zaman selepas mogok.

Sebenarnya Utusan Melayu ditubuhkan atas semangat nasionalisme Melayu tulen, akibat pandangan rendah Melayu Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK).  Tahun 1930-an masyarakat Melayu keturunan Arab dan India (dulu disebut Keling) memandang rendah bangsa Melayu yang tulen.  Oleh kerana semua akhbar Melayu yang ada dimiliki oleh Melayu keturunan Arab dan Peranakan yang kaya maka seorang wartawan Warta Malaya, Yusuf Ishak telah membuat keputusan menubuhkan akhbar yang dipunyai oleh bangsa Melayu tulen (tiada darah campuran bangsa lain).  Setelah bersusah payah mencari dana daripada pembeli saham (tentunya Melayu tulen), maka terbitlah akhbar jawi Utusan Melayu dengan harga 10 sen senashkah.

Buku berkenaan juga mendedahkan watak dan pergerakan tokoh wartawan dan politik Tan Sri A Samad Ismail.  Zam telah mencatat A Samad sebagai wartawan Warta Malaya yang berpindah ke Utusan Melayu  dan menjadi sangat terkenal.  A Samad dicatatkan sebagai tokoh politik Melayu Raya yang aktif di Malaya, Singapura dan Indonesia.  A Samad juga berkawan dengan penguam Harry Lee Kuan Yew untuk sama-sama menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura. 

Utusan Melayu digambarkan menjadi sarang para wartawan dan pemikiran politik Melayu kiri.  Antara mereka ialah Said Zahari, Usman Awang, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam dan lain-lain.  Memang benar Utusan Melayu telah berjaya menggembleng tenaga seluruh rakyat Melayu melawan Malayan Union  dan penubuhan Umno, tetapi apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk tahun 1948, Utusan menentang pula  dan memperjuangkan politik yang berlawanan dengan dasar Umno.

Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur secara rasmi pada tahun 1958, dan pada tahun 1961 Said Zahari mengetuai pemogokan kerana membantah Utusan Melayu yang dikawal oleh Umno.  Sejak tamat mogok Utusan yang gagal, Utusan menjadi lebih cenderung menjadi suara Umno di samping mengekalkan kedudukan sebagai akhbar nasional.

Kata penulisnya, zaman selepas Pilihan Raya Umum 2008 merupakan zaman pancaroba bagi Utusan Melayu sebab akhbar Utusan Malaysia telah diserang bertubi-tubi oleh pakatan pembangkang.  Kempen pembangkang memboikot akhbar Utusan begitu hebat termasuk mempengaruhi langganan harian di negeri-negeri yang diperintah pakatan berkenaan, pembelian iklan oleh syarikat-syarikat besar dan tindakan-tindakan saman.

Namun sepanjang sejarah Utusan, semua Perdana Menteri Malaysia telah menunjukkan pendirian yang menyokong Utusan sebagai wahana penyebaran maklumat kerajaan.  Yang terbaru sikap prihatin DYMM Raja Muda Perak dan DYMM Sultan Selangor dianggap oleh semua warga Utusan sebagai satu sokongan moral dari peringkat atasan negara.


Utusan telah melahirkan tokoh yang hebat dalam sejarahnya.  Pengarang pertama Yusuf Ishak menjadi Presiden pertama Singapura, adiknya Aziz Ishak yang asalnya wartawan menjadi Menteri Pertanian pada zaman Tunku Abdul Rahman Putra.