Pengikut

Isnin, September 24, 2012

SUTRAH....sutrah...sutrah solatmu.


MELETAKKAN sutrah atau penghadang di hadapan tempat solat merupakan amalan sunah nabi s.a.w. yang kurang diambil perhatian sedangkan nabi s.a.w. memberi satu penegasan ‘janganlah...’.  Semoga kita dipermudahkan untuk mengamalkan sunah nabi s.a.w. sebagai tanda kecintaan kita kepada baginda.


(Maksud sabda) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda: “Janganlah kamu solat melainkan dengan menghadap sutrah dan jangan biarkan seorang pun melintas di hadapanmu (di antara dirinya dengan sutrah). Apabila orang tersebut tetap berkeras untuk melintas, maka halanglah dia kerana dia ditemani syaitan.” (Shahih Muslim, no. 506. Shahih Ibnu Khuzaimah, no. 800)

Imam Ibnu Khuzaimah rahimahullah (Wafat: 311H) meletakkan hadis ini dalam bab: “Larangan Solat Tanpa Menghadap Sutrah.”

Sutrah ialah penghalang atau sempadan antara orang yang solat dengan kawasan lain.  Contoh mudah ialah orang yang bersolat di hadapannya ada tiang atau almari. Tiang atau almari itu adalah sutrah. Maka sesiapa yang melintas di sebelah tiang atau almari, tidaklah menjadi kesalahan.  Yang menjadi kesalahan ialah melintas di kawasan antara tiang dan orang yang sedang solat.

Orang juga boleh dijadikan sutrah. Misalnya orang yang sedang duduk, baring atau berdiri menunaikan solat. Kita bersolat di belakang orang yang berdiri, maka orang yang berkenaan adalah sutrah solat kita.

Rabu, September 19, 2012

APABILA ahli politik bersedekah...


HADIS berkenaan dengan niat dalam amal merupakan hadis pertama dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam Nawawi.  Sungguh, pengajarannya amat penting dalam kehidupan beribadah kepada Allah kerna pemahamannya membawa arti sebenar sama ada amalan itu kerna Allah atau selain-Nya.

foto hanya untuk hiasan

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kemudian, tidak dapat disangkal lagi bahwa pemikiran orang kita sudah sangat kepada politik kepartaian.  Tidak mengira sama ada musim pilihan raya atau tidak, ada sahaja pergerakan bersifat politik.  Seakan-akan semua mahu dilihat untuk mendapatkan keuntungan politik dan melemahkan politik lawannya.  Sampai-sampai dipesankan kepada orang yang bakal dicalonkan dalam pilihan raya agar sentiasa menyantuni masyarakat, tidak lain agar dirinya dilihat dekat dan dikenali oleh ahli masyarakatnya.  Di sinilah kita hendak memakai maksud hadis bab niat itu.



Bayangkan saja, amal-amal salih yang asalnya dilaksanakan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah sudah diselewengkan untuk mendapat keuntungan politik pilihan raya.  Banyak amal yang baik seperti hadir kenduri-kendara, ziarah orang mati dan member sedekah yang diwar-warkan atau digembar-gemburkan, tidak lain bertujuan untuk memberitahu umum bahawa si pulan itu sangat prihatin kepada masyarakat.  Maka, diharap masyarakat akan memilih beliau sebagai Wakil Rakyat pada masa depan!

Jadi, apakah bedanya dengan maksud sabda nabi s.a.w. “Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”

.......Barangsiapa yang memberi bantuan kepada orang miskin semata-mata untuk memancing undi pilihan raya, maka itulah yang diperoleh!  Inilah perangkap syaitan kepada para dermawan yang berdiri atas nama politik. Hubaya-hubaya!

Kata guru agama saya di sekolah dahulu berkenaan bab keikhlasan.  Maaf saya catatkan agak kurang enak.  Kata beliau, “ikhlas ialah seperti kita membuang air besar, yang tidak lagi diingat-ingat atau disebut-sebut pada masa lain.  Diam dan berahsia tapi telah berlaku.”  Agak sukar orang-orang politik melakukan amal kepada masyarakat tanpa mengharap satu balasan sokongan dalam pemilihan jawatan.  

Rabu, September 12, 2012

MENCARI cinta Ramadan dalam Syawal



ENTAH berapa puluh kali kita mendengar ayat ‘Ramadan dinanti kehadirannya dan ditangisi pemergiannya’.  Berapa banyak pula orang menulis kepada rakan-rakannya menggambarkan betapa sedihnya saat Ramadan kian ke penghujungnya.  Cuba lihat semula catatan dalam SMS atau di facebook.

Apa ertinya kita memerlukan Ramadan, kalau bukan kerna cinta bulan yang dimuliakan itu.  Dan kini, Ramadan telah meninggalkan kita, tetapi adakah benar kita rasa seperti kerugian dengan pemergian Ramadan.  Kita sebenarnya perlu membuktikan kecintaan terhadap Ramadan ketika berada pada bulan-bulan selain Ramadan itu. 

Pada bulan Ramadan kita menjaga masa agar tidak terlepas solat berjamaah Isyak dan Subuh di masjid.  Cuba tanya diri kita sendiri, adakah sikap kita masih seperti pada bulan yang lalu itu.  Saya melihat  saat hujan pun, kaum wanita berlari-lari menuju ke masjid, inikan pula kaum lelaki! 

Kalau benar kita sangat sayang dan rindu Ramadan, buatlah seperti berada pada bulan Ramadan itu.  Mahu buat apa lagi?

Keadaan sekarang seolah-olah sayang dan rindu Ramadan hanya mainan bibir, seperti bait-bait kata anak muda bercinta. Demi cinta, laut dan badai diredah!  Sangat minoriti yang sanggup meredah hujan demi setia beribadah seperti masa Ramadan.

Adakah setelah Ramadan sudah tiada lagi fadilat atau jaminan kepada ahli ibadah?  Ya, adakah hanya pada Ramadan dilonggokkan segala jaminan pahala dan syurga?

Cuba perhatikan maksud-maksud hadis nabi s.a.w., jelas tanpa memberi perbedaan sama ada dalam Ramadan atau pada bulan-bulan lain.

“Sesungguhnya solat yang paling berat bagi mereka yang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh, kalaulah mereka tahu kelebihan kedua-duanya nescaya mereka akan datang melaksanakannya meskipun dalam keadaan merangkak.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Apa ertinya terpaksa merangkak untuk solat di masjid? Tentu kerna jaminan yang Allah akan berikan kepada yang melakukannya.  Sungguh, kita yakin jika pemerintah negeri memberi wang seribu ringgit kepada setiap yang solat  subuh berjamaah di masjid, pasti akan kelihatan orang yang asalnya uzur tetapi terpaksa bertongkat, berkerusi roda atau merangkak demi berjaya solat di masjid. Selesai solat terima seribu ringgit!  Tak sabar menanti subuh esok hari.

“Barangsiapa yang solat Isyak secara berjamaah seumpama bangun mengerjakan qiam separuh malam dan barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjamaah seumpama dia solat keseluruhan malam”. (HR Muslim)

Jumaat, September 07, 2012

SHALAT apa lagi selepas tarawih?


RAMADAN telah berlalu, dan muslim menjalani kehidupan biasa iaitu makan dan minum pada siang hari selama sebelas bulan akan datang.  Insya Allah, jika diizinkan bertemulah dengan Ramadan akan datang.  Apa yang dilalui pada Ramadan lalu selain berpuasa selama sebulan? Jawabnya ialah solat tarawih.  Masyarakat kita membedakan antara solat tarawih dan solat malam (qiamullail), walhal petunjuk sunah tidak ada perbedaan antara kedua-duanya.  Solat tarawih itu ialah solat malam.  Perhatikan apa yang dikhabarkan oleh isteri nabi s.a.w. 


Daripada Abi Salamah bin Abd Rahman, bahawa dia bertanya kepada Aisyah (semoga Allah meredainya) bagaimanakah solat Rasulullah s.a.w. pada malam Ramadan? Maka berkatalah Aisyah: “Baginda tidak menambah lebih daripada sebelas rakaat, sama ada pada bulan Ramadhan atau bulan-bulan lain.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Ini berarti solat malam itulah solat yang disebut tarawih pada bulan Ramadan.  Oleh kerna pemahaman masyarakat bahwa solat malam dan tarawih itu berbeda, maka sebagian yang melazimi solat tarawih telah meninggalkan solat tarawih kerna Ramadan telah tamat.  Bagi mereka yang memahami bahwa solat tarawih itu adalah solat malam, mereka meneruskan solat malam (tarawih) itu 11 rakaat pada setiap malam.

Allah tidak membedakan seruan untuk solat malam itu untuk bulan Ramadan atau selainnya.  Sangat jelas dalam firmannya itu.

Maksud surah Al-Isra’:79  “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah solat tahajud padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” 

Maksud surah As-Sajadah:15 “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.” 

Maksud surah As-Sajadah: 16  “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka."

Maksud sabda-sabda  nabi s.a.w. yang lain ialah:

“Solat yang paling baik selepas solat fardhu ialah solat (tahajud) pada tengah malam.” (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Abi Hurairah (semoga Allah meredhainya), beliau berkata: “Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Apabila berlalu setengah malam atau dua pertiga malam, turunlah Allah Yang Maha Tinggi ke langit dunia seraya berfirman: “Adakah sesiapa yang meminta untuk diberi (Aku perkenankan permintaannya), adakah sesiapa yang berdoa untuk dimakbulkan (Aku makbulkan doanya), adakah sesiapa yang beristighfar untuk diberi ampun kepadanya (Aku ampunkannya)”, sehinggalah terbit fajar.” (Hadis riwayat Muslim).