Pengikut

Ahad, Disember 28, 2014

TRAGEDI NURHAYATI lambang pengorbanan agung guru

MEREDAH gelora yang di hadapannya maut, itulah pilihan seorang guru perempuan Nurhayati Sulong. Dan dia maut dalam usaha menyelamatkan srip jawaban murid dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan November lepas. SALUT dan DOA kepada Nurhayati. Bagi guru, sangat besar erti skrip jawaban SPM. Itu adalah khazanah negara, sebab itulah sekalipun di pintu maut, seorang guru rela meredah jalan maut mendapatkan khazanah itu! Sama seperti sang tentera di medan perang.

semoga Allah mengampunidan merahmati kamu Norhayati!


KEMAMAN - Guru, Nurhayati Sulong sanggup bergadai nyawa berpatah balik ke rumahnya dalam keadaan banjir yang semakin buruk semata-mata untuk mengambil kertas peperiksaan SPM yang belum diselesaikan.
   
Dan dalam perjalanan semula ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Geliga, Nurhayati, 37, maut bila bot yang dinaikinya terbalik dihanyutkan arus deras Rabu lalu.
   
Suami Nurhayati, Suhaimi Awang, 37, turut terkorban dalam tragedi itu yang berlaku bila bot berkenaan karam selepas terperangkap dalam pusaran air di Kampung Che Akob, di sini.
   
Tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir lain bersama mereka selamat.     
   
Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman cukup terharu dengan tragedi itu.
   
"Saya amat merasa tersentuh dengan apa yang berlaku kerana saya dapat maklumat Allahyarham Cikgu Nurhayati ini, dia pulang ke rumah semata-mata hanya untuk mengambil kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang masih belum selesai ditanda.
   
"Ini satu pengorbanan yang sangat besar. Dia seorang guru yang hebat. Tanpa memikirkan keselamatan diri, beliau tetap nak balik mengambil kertas soalan SPM," katanya.
   
Menteri Besar bercakap kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Kemaman selepas menziarahi jenazah Suhaimi hari ini.
   
Sebagai menghargai khidmat bakti pasangan itu, Ahmad Razif berkata pihaknya akan menjaga segala kebajikan dan pendidikan serta akan mengambil keenam-enam anak mangsa sebagai anak angkat kerajaan negeri.
   
Mereka ialah Nor Syafiqah Syahira, 12; Nor Izah Insyirah, 11; Muhammad Ifran Irshad, 9; Nur Intisar Iedihar, 6; Muhammad Aqil Amsyar, 4; serta anak bongsu Nor Adifa Arissa, yang merupakan bayi berusia 4 bulan.
   
"Bantuan khas kepada anggota keluarga mangsa akan kita putuskan sebaik selesai urusan pengkebumian," kata Ahmad Razif.
   
Mayat Nurhayati ditemui tersangkut pada ranting kayu kira-kira 4.25 petang semalam kira-kira 700 meter dari tempat bot mereka terbalik manakala mayat suaminya pula ditemukan kira-kira pukul 12.20 tengah hari ini kira-kira 10 meter dari lokasi isteri.
   
Dalam pada itu ibu kepada Suhaimi, Zariah Awang Jusoh, 70, berkata beliau sedih mengenangkan hasrat Allahyarham yang tidak kesampaian.
   
Mereka sekeluarga sepatutnya menyertai 'reunion' Sekolah Menengah Agama Al Falah Kemaman pada Khamis lepas dan bercuti di Johor pada Jumaat (semalam), kata Zariah.  - Bernama

JIKA Sabak Bernam dilanda banjir

BANJIR besar di Malaya! Inna lillahi raa ji'uun. Mendengar jerit payahnya saudara mara di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Perlis dan Johor pada hujung Disember 2014 ini, saya hanya mampu berdoa semoga Allah memberi kekuatan iman dan semangat kepada semua pihak yang terlibat.  Sepanjang berbelas tahun saya tinggal di Pekan dan Kuantan Pahang dahulu, dua kali saya berpengalaman merasai jerit-payah kerna banjir. 


sabak bernam di utara Selangor

jika begini....

Kata paman saya, Bukit Rangin di Kuantan bukan kawasan banjir. Di situlah saya menetap. Tahun 2001 tempat itu dilanda banjir. Kebetulan saya pindah ke Sabak Bernam tahun 2009. Dan tahun 2013 perumahan yang sama dilanda banjir lebih besar. Kini sekeliling Bukit Rangin sudah dibanjiri air.

Di Pekan Pahang terdahulu, saya disengat ikan keli sampai saya mendapat rawatan di hospital. Gara-gara banjir juga.

Hari ini sekalipun di Sabak Bernam tidak dalam wilayah banjir, kebimbangan tetap ada.  Telah menjadi bahan berfikir sekarang dalam kalangan saudara-mara dan teman-teman, jika Sabak Bernam dilanda banjir seperti di Pekan, Kuantan dan Kota Bharu..... ke mana penduduk hendak dipindahkan. Sabak Bernam yang terletak di utara Selangor adalah kawasan tanah pamah tanpa satu bukit pun. Jika orang datang dari arah Kelang atau Kuala Lumpur, mereka hanya melihat satu bukit di Kuala Selangor: Bukit Malawati.  Kawasan yang dikatakan lebih tinggi berhampiran Sabak Bernam ialah di Hulu Selangor (misalnya Felda Gedangsa) dan Ijok. 

Jarak antara pekan Sabak-Gedangsa sudah lebih 70km. Antara Sabak-Ijok lebh 90km. Tidak munasabah langsung. Katakan pilihan untuk mengungsi atau berpindah ke Gedangsa, juga bukan pilihan sebab selama ini jalan di Sungai Panjang untuk ke sana kerap dinaiki air banjir sekalipun bukan dalam musim banjir seperti ini. Jalan ini kerap ditutup. Jika berlaku banjir di Sabak Bernam, logiknya jalan ke Gedangsa juga pasti tutup!

Ya Tuhan.... ini hanya fikiran manusia lemah. Semoga Allah tidak menguji hamba-hamba-Nya yang tidak tahan dengan ujian.

Kepada yang sekarang ini dalam kepayahan akibat banjir, semoga semua menjadi pahala dan pembasuh dosa di sisi-Nya.

Ya ALlah, ampuni kami semua. Pasti ada mesej daripada-Mu. Semoga kami mengerti.

Sabtu, Disember 27, 2014

ORANG Malaysia gerem banget di Bandung


KOTA Bandung di Jawa Barat menjadi tumpuan pelancong dari Malaysia. Apa yang mereka cari di sana? Sudah berkali-kali difahamkan tidak ada menu mi bandung dan air bandung sebagaimana popularnya makanan itu di Malaysia.  Air bandung sebagaimana di Malaysia disebut es campur di kota Bandung.  Es campur di Malaysia kan ABC! Berbeda sama sekali.

Bandung adalah kota orang kreatif, tetapi pelancong Malaysia hanya melihat produk kreativiti berkaitan pakaian.  Saya tanyakan sahabat-sahabat adakah mereka mahu menikmati persembahan orkestra angklung di Saung Angklung Udjo di Bandung Timur. Di sana ada pusat pembuatan angklung sampailah kepada persembahan angklung untuk umum.  Meraka tertawa, tidak mahu. Musik berasaskan buluh atau bambu bukanlah satu tradisi kami di Sabak Bernam. Seingat saya hanya pada tahun 1976 sebuah sekolah rendah di Tebuk Pulai, Sabak Bernam mempunyai pasukan lengkap memainkan angklung sehingga menjadi sebagian program bersama Jamal Mohamad dalam rancangan popular di RTM “Rancangan Kanak-kanak”.



Oleh itu pelancong Malaysia bersedia untuk mengunjungi Pasar Baru yang menjual pelbagai jenis pakaian.  Selain itu mereka mesti ke Jalan Cibaduyut untuk membeli barangan kulit seperti tali pinggang, tas tangan, dompet, kasut dan jaket.  Boleh lagi ke Chempalas untuk menambah pembelian dan koleksi pakaian.  Kemudian satu yang mesti dikunjungi ialah Toko Tiga, pusat jualan pakaian jeans.

Mengapa pelancong Malaysia siap berbelanja hal-hal pakaian di Bandung? Jawabnya, harganya memang lebih murah dibandingkan di mana-mana kota di Malaysia. Orang Sabak Bernam, Selangor jika mahu berbelanja pakaian batik dan songket  akan ke negeri Kelantan dan Terengganu. Namun, pasar-pasar di Kelantan dan Terengganu pun tidak dapat menandingi harga rendah di Bandung.  Maksudnya, setiap pelancong Malaysia mesti cekap atau pantas membuat perbandingan harga pakaian di Bandung dengan mana-mana kedai atau toko di Malaysia.

Ya memang harga seluar jeans tulen lebih rendah di Toko Tiga berbanding di Malaysia. RM100 lebih murah untuk seluar dan jaket!  Penggemar jeans memang geram banget di Bandung!  Mudah kata, semua jenis pakaian memang jauh lebih murah di Bandung berbanding di Pasar Siti Khadijah (Kelantan) dan Pasar Payang (Terengganu) pun.

Bahasa juga memainkan peranan penting dalam soal tawar menawar.  Untungnya saya mudah berbahasa Jawa walaupun kebanyakan orang Bandung adalah Sunda.  Mereka tidak tahu berbahasa Jawa, tetapi dengan saya memulakan bicara dan menyulami kata dengan istilah Jawa, satu kelebihan mendapatkan harga istimewa. Ini diakui sendiri oleh teman saya. Dengan ngomong jawa, saya berjaya membeli sebungkus jajan berharga Rp10,000 dan dia terpaksa menerima harga Rp15,000 (dia tak membelinya).

Oh ya ada yang lebih murah selain di pasar-pasar dalam kota Bandung. Namun ada risiko atau pilihan terhad.  Misalnya kaos oblong  atau T-Shirt leher bulat dibeli pada harga Rp30,000 hingga Rp35,000 di dalam kota, tetapi pada hari akhir pelancong hendak pulang, penjual jalanan di hadapan hotel bersedia menjual kaos oblong itu Rp20,000 sehelai. Barangan seperti dompet dan tali pinggang pun harganya ditawarkan lebih murah pada saat akhir, apa lagi apabila bas sudah dihidupkan enjinnya. Hebatkan!

Tempat lawatan yang tidak berasaskan shopping dan sudi dikunjungi ialah Tangkuban Parahu yang tingginya lebih 1800 meter dari aras laut.  Namun sekarang kos ke gunung itu agak mahal berbanding sebelum ini.  Tangkuban Parahu dilawati hanya berasaskan lagenda cinta Sang Kuriang kepada ibunya Dayang Sumbi. Cinta mahu kahwin!

Kos seorang ke Tangkuban Parahu termasuk  kenderaan van turun-naik ke bahagian bawah berhampiran kawah ialah Rp300,000. Bukan ada apa sangat pun di Tangkuban Parahu, hanya kawah gunung berapi yang masih mengeluarkan asap.  Bau belerang di sana, dan pelancong dinasihatkan menyediakan penutup hidung seperti waktu jerebu!

Ada yang kapok atau tak mahu lagi ke Tangkuban Parahu. Pemandangan memang indah dan lebih dingin berbanding di dalam kota. Namun aksi penjual cenderamata di Tangkuban Parahu memang agak ekstrim (maaf ya warga mukim Bandung). Turun saja dari van pelancong pasti akan ditemani seorang yang sudi untuk bercerita tentang Tangkuban Parahu termasuk mengambilkan foto-foto anda dengan menggunakan kamera anda sendiri.  Ke mana pelancong pergi dia pasti diekori sehingga barang yang mahu dijualnya dibeli.  Jika pelancong mahu ‘bebas’ belilah barangan dia walaupun agak mahal. Selepas itu pelancong hanya ditawar secara biasa-biasa oleh mana-mana penjual cenderamata. Ingat tu….!


Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan. Berjalanlah di muka bumi melihat anugerah Tuhan kepada hamba-hamba-Nya.




Jumaat, Disember 26, 2014

JAKARTA-Bandung 12 jam, jalan macet total


MELIHAT sebagian wajah Indonesia!  Itulah yang dapat disimpuikan sepanjang perjalanan dari Jakarta ke Bandung melewati Gadog-Bogor-Cianjur.  Ada pilihan lain untuk ke Bandung dengan lebuh raya yang nyaman dan tidak memakan waktu. Namun hanya ada satu jalan untuk ke Puncak, itulah jalan lama yang di kiri kanannya memaparkan sebagian wajah Indonesia, negara paling banyak penduduk muslim di dunia.






Sebelum berada di jalan lama, kita melewati lebuh raya. Dari situ boleh terlihat pemandangan sebagian kediaman penduduk kelas bawah Jakarta.  Mereka tinggal di kawasan setinggan atau perkumuhan.  Asal ada tanah yang tidak digenangi air, di situlah penduduk membuat petempatan. Oleh kerna lebuh rayanya lebih tinggi berbanding dengan perumahan tersebut, dapatlah dilihat keragaman bentuk rumah rakyat marhaen.  Yang sangat jelas di situ banyak masjid dan surau yang tampat dibina lebih indah berbanding rumah-rumah penduduk.

Rumah penduduk dan premis perniagaan ada di sepanjang perjalanan ke Puncak.  Paling banyak ialah rumah makan masakan Padang atau Minangkabau.  Hotel atau rumah penginapan untuk yang bertualangan di sini juga mudah ditemukan di mana-mana.

Menurut pemandu bas yang membawa kami, jalan macet atau jammed pada hujung minggu. Sakalipun kami melaluinya pada hari Isnin (22 Disember 2014), tanpa diduga sepanjang perjalanan macet.  Bayangkan, perjalanan dari Jakarta ke Bandung (kira-kira 180km) dengan rencana untuk istirahat sebentar di Puncak yang dijangka selama lima jam menjadi 12 jam!  Kami bergerak dari Masjid Istiqlal jam 11 pagi hanya sampai di Puncak jam 8.00 malam. Tambahan pula dari Gadog, hujan sepanjang jalan maka kami tidak dapat menikmati pemandangan indah di Puncak sebagaimana yang dirancang. Hanya makan dan solat.

Sehingga ke Gadog, semua rakan dalam rombongan masih bisa positif melihat pemandangan kehidupan warga Indonesia sebagai informasi. Pengalaman dan informasi secara langsung. Namun apabila hari sudah gelap, dan pergerakan bas masih seperti kura-kura, sebagian rakan sudah mula mengeluh kerna begitu lama dalam perjalanan.



Namun sepanjang itulah dapat dibuktikan bahawa Indonesia memang mempunyai penduduk sebanyak kira-kira 250 juta jiwa. Jalan raya padat dan motorsikal begitu banyak sekali. Ini sudah dilihat di Jakarta seawal pagi ketika mereka keluar mencari rezeki harian.  Kenderaan yang banyak dengan hampir semua buatan dari Jepun dan banyaknya yang model terbaru menggambarkan kuasa beli rakyat di Indonesia juga tidaklah jauh bedanya dengan rakyat di Malaysia. Toyota Vios terbaru dan Nissan Almera dijadikan teksi sedangkan di Malaysia menjadi sebagian kenderaan golongan menengah kerna harganya lebih tinggi berbanding kebanyakan kereta nasional Proton Saga dan Perodua Myvi.  Proton Exora juga ditemui di Indonesia.

Tidak ada masalah untuk makan di Indonesia. Sebelum ini ada yang memberi gambaran sukar mendapatkan makanan halal kerna sebagian warga pribuminya yang bukan muslim mengusahakan makanan. Hakikatnya rumah makan ala-Padang Sumatera Barat ada di mana-mana. Indonesia adalah negara penduduk muslim terbanyak di dunia. Di mana-mana ditemui papan tanda masjid dan pesantren atau pusat pendidikan  Islam.  Seperti di Malaysia yang mudah mencari musalla atau tempat solat, begitu juga di sini.

Di Bogor juga ditemui perkampungan Arab.  Di pinggir jalan itu tokok-toko perniagaan ditulis dalam Bahasa Arab.  Jadi saya teringat catatan dalam buku Ayah (Buya Hamka) oleh Irfan Hamka. Penulis buku itu menemui pemuda Arab yang bertugas di Kedutaan Indonesia di Baghdad tahun 1965 adalah pria Arab kelahiran Bogor. Ya di perkampungan Arab Bogor itulah.


Jalan ke Puncak-Cianjur senantiasa menanjak semenjak dari Gadog.  Sesampai di Puncak saat masih hujan, memang dingin sekali. Takdir Tuhan, kami tidak dapat menikmati keindahan alam di Puncak, salah satu tumpuan para wisata dalam dan luar negara di sini.

Rabu, Disember 17, 2014

APA itu rasuah?

RASUAH salah satu cara mendapatkan harta atau wang secara salah.  Allah telah menyebut kes ini secara jelas dalam al-Quran ayat 188 surah al-Baqarah (maksusnya), “Dan janganlah kamu makan harta dengan jalan yang batil/salah dan (janganlah) kamu menyuap harta itu kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui.”

(Daripada sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia - SPRM)

Apa itu rasuah?

Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.
Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:
 Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) ASPRM 2009]
 Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) ASPRM 2009]
 Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 ASPRM 2009]
 Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 ASPRM 2009]
Berdasarkan Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) (Akta 694), hukuman yang dikenakan terhadap empat kesalahan rasuah tersebut adalah :
Penjara : Tidak melebihi 20 tahun dan;  
Denda : Tidak kurang lima (5) kali ganda suapan atau RM10, 000 ; mana yang lebih tinggi.  

Gagal melapor rasuah
Gagal melapor pemberian, janji atau tawaran rasuah

Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009

DENDA : Tidak lebih RM100,000  

PENJARA : Tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali  

Gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan
Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009

DENDA : Tidak lebih RM10,000

PENJARA : Tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali
Anda dilindungi
Masyarakat tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan PEMBERI MAKLUMAT adalah dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan.

PEMBERI MAKLUMAT adalah orang yang membuat pendedahan tentang jenayah rasuah berdasarkan pengetahuannya. Mereka dilindungi di bawah Seksyen 65 Akta SPRM 2009.
PEMBERI MAKLUMAT boleh dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
PEMBERI MAKLUMAT yang menjadi SAKSI bagi sesuatu kes rasuah dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009.


Sabtu, Disember 13, 2014

PABILA berzina suatu keindahan

ADA orang berbangga dengan kejayaannya mendapatkan wang dengan cara yang salah. Teman-temannya pun memuji-muji keberanian dan kepintarannya itu.  Maka nampaklah perbuatannya mendapatkan wang secara haram cara mencuri atau menipu sebagai indah.

Ada orang berbangga kerna memiliki pacar yang cantik atau ganteng.  Teman-teman pun memuji-mujinya sebagai pasangan yang cocok. Teman-teman pun bertambah gembira apabila kedua-dua dapat berdampingan dengan rapat, sentuh-menyentuh ketika berfoto.  Malah mereka berdua juga berbangga bahwa keluarga masing-masing sangat merestui perhubungan itu. Maka mereka berdua sering kelihatan di mana-mana dengan berpimpinan tangan.  Semakin banyak yang tersenyum, semakin berbangga, walhal perhubungan kedua-duanya adalah menyalahi hukum agama kerna tidak ada hubungan pernikahan.

Ada orang menjadi terkenal dan megah kerna dapat menghimpun beribu-ribu pendengar pidatonya.  Semakin dia mendedahkan kecurangan orang-orang ternama, semakin dia dipuja kerna dikatakan lelaki hebat dan berani.  Hakikatnya dia seorang pengumpat dan berdosa besar.  Namun dia dan pengikutnya mendakwa kerja mendedahkan kecurangan dan kebejatan orang berkenaan adalah kerja mulia.

Malah ada orang berzina dan berbangga dengan perbuatannya. Yang mendengarnya pun tertawa dan memuji-muji pula. Indah kenangan itu!

Mengapa kerja-kerja buruk dan berdosa di sisi Allah dilihat sebagai satu aktiviti cantik, indah, mulia dan berseni?  Tidak lain jawabannya ialah syaitan yang menghias semua perbuatan dosa itu sebagai indah dan cantik supaya mereka berterusan dalam dosa.  Bani Adam berterusan dalam maksiat atau dosa merupakan tujuan besar syaitan atau iblis supaya mereka dijerumuskan dalam neraka jahanam kelak.

Maksud firman Allah dalam ayat 39 surah al-Hijr, “Dia (iblis) berkata, ‘Tuhanku, oleh kerna Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan menjadikan (kejahatan/kemaksiatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya.”

Ayat 43 surah al-An’am, “…..Bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menjadika terasa indah bagi mereka apa yang dikerjakan.”

Jadi, kerja-kerja syaitan menyesatkan manusia di bumi merupakan satu kerja terancang atau konspirasi terhebatnya. Ini bukan kebetulan atau tidak kesengajaan


Ayat 44 surah Maryam, “… Sungguh, syaitan itu durhaka kepada Tuhan Yang Maka Pengasih.” 

Jumaat, Disember 05, 2014

BUKU Irfan Hamka kisah Buya Hamka

Irfan Hamka menulis kisah ayahnya

NAMA ulama besar, Hamka tidak perlu diperkenalkan kepada umat seluruh Nusantara. Putera Minang kelahiran Danau Maninjau Sumetera Barat menjadi ulama milik Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura.

Saya menghabiskan pembacaan sebagian kisah hidup Buya Hamka melalui pena anak lelaki Buya iaitu Irfan Hamka, buku berjudul AYAH Kisah Buya Hamka masa muda, dewasa, menjadi ulama, sastrawan, politis, kepala rumah tangga, sampai ajal menjemputnya. Buku setebal 323 halaman diterbitkan Republika Penerbit, Jakarta.

Irfan Hamka, usia 70 tahun saat menulis buku itu tahun 2013. Anak kelima Buya Hamka daripada 12 beradik.  Dua saudaranya wafat sewaktu kecil, yang 10 terus mendewasa dan mewariskan zuriat Buya Hamka. Catatan Irfan sangat bersahaja tetapi mengesankan pembaca yang sedia mengetahui besarnya nama Buya Hamka. Maka Irfan Hamka berjaya menimbulkan kisah-kisah balik tabir yang suka, duka, dramatik dan melankolik.

Sejujurnya pembaca tidak teranggap buku AYAH oleh putra Buya Hamka sebagai projek menambah agungkan nama ulama besar dari Indonesia.  Ini beliau singgung sendiri dan menampilkan kebesaran jiwa Buya Hamka sebagai contoh manusia pemaaf kepada yang memusuhinya. Irfan memberikan kita cerita balik tabir Buya Hamka menerima permintaan Sastrawan prokomunis Prammoedya Ananta Toer agar bakal menantunya (asalnya belum muslim) belajar agama daripada Buya Hamka. Walhal sebelumnya Pram dalam koran/akhbar membabat nama Buya Hamka sebagai pencuri karya dari Perancis untuk novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk. 

Kemudian umum tahu dalamnya pertelingkahan antara Buya Hamka dengan Moh Yamin. Buya Hamka mahukan dasar Islam untuk Indonesia sedangkan Moh Yamin mewakili Presiden Soekarno mahukan Pancasila. Apabila Buya Hamka menyatakan ‘ambil Pancasila membawa ke neraka’ itu merupakan kemuncak permusuhan politik kedua-duanya. Namun saat akhir ketika Moh Yamin sakit dan sakarat, dia meminta Buya Hamka di sisinya. Buya Hamka berjiwa besar dan memimpin kalimah tauhid di kuping Moh Yamin sambil tangan mereka berdua bergenggaman. Jelasnya Moh Yamin wafat dalam bimbingan tauhid Buya Hamka.

Yang ketiga, Buya Hamka mengeluarkan fatwa haram muslim menyambut Hari Natal Kristian, yang tidak sejalan dengan Presiden Soekarno. Sampai-sampai Buya Hamka meletak jawatan daripada ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI). Malah pada zaman itu Partai Komunis Indonesia (PKI) turut berpengaruh sehingga mudah saja maksud PKI agar Buya Hamka ditahan atas tuduhan merancang pembunhan Bapak Presiden! Tanpa pengadilah Buya Hamka dipenjara lebih dua tahun. Pada  zaman Presiden Soeharto, Buya Hamka dilepaskan dan ulama ini memenuhi wasiat besar mantan Presiden Soekarno: mengimami solat jenazahnya.  Maka Buya Hamka menjadi imam solat jenazah Soekarno.

Selain itu kehidupan Buya Hamka sewaktu remaja yang berkelana je Jawa dan Makkah semata-mata mahu mendalami agama dan Bahasa Arab, juga disorot kehebatan Buya Hamka sebagai pemimpin pejuang kemerdekaan Sumatera Barat dan pengamal silat.

Membanggakan pengkagum Buya Hamka, tokoh ini tidak pun memiliki segulung diploma atau ijazah dalam agama sekalipun beliau bergelar ulama dan dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Al-Azhar.  Malah Buya Hamka menebarkan ilmu dan pemikirannya dalam 10 jilid Tafsir Al-Azhar, satu tafsir al-Quran yang berjiwa Melayu Nusantara atau tafsir yang sejadi dengan umah Nusantara.

Pengajaran prinsip sebagai ulama, kata Buya Hamka yang dirakam  Irfan Hamka, “kita sebagai ulama telah menjual diri kepada Allah semata.  Ulama yang menjual diri kepada Allah, tidak  bisa dijual lagi kepada pihak mana pun.”  Satu lagi, “Ulama ibarat kue bika (kuih bingka). Dari bawah dipanggang api dari atas pun dibakar api. Begitu juga ulama, dari bawah oleh umat dari atas oleh pemerintah.”

Betapa pun tekanan dan penghormatan daripada mana-mana pihak, Buya Hamka tidak goyah. Tidak sejalan dengan pemerintah sehingga membawa penahanannya, tidaklah Buya Hamka menjadi pemuka menentang pemerintah. Dia umpama Imam Ahmad bin Hanbal, diam dan sabar dalam penjara.

Berbaik dengan pemerintah sehingga ditawar sebagai Duta Besar ke Arab Saudi, dia masih menolak dengan aman dan dihormati pemerintah. 

Namun buku AYAH tidak dapat membekas dalam jiwa pembaca jika sebelumnya tidak terdahulu mengenal karya-karya Buya Hamka. Pembaca akan seperti membaca cerita seseorang yang tidak ada tapaknya dalam diri. Kosong dan hampa!  Maka antara keindahan membaca AYAH disebabkan sudah mengetahui kehebatan Buya Hamka, putera terbilang Nusantara.


Buya Hamka meninggal dunia pada 24 Julai 1981.  Semoga Allah mengampuni dan merahmati Buya Hamka serta  seluruh keluarganya.

Rabu, Disember 03, 2014

MELAYU dan Pas mesti dilemah-pecahkan

PADA hemat saya, negara dan bangsa kita tidak pernah terlepas daripada konspirasi Barat yang bertujuan melemahkan apa juga kekuatan yang ada.  Tujuan Barat hanyalah untuk menguntungkan negara yang terbabit dan dunia Barat amnya. Semua dilakukan demi kepentingannya  untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.  Jika telah tahu agenda Yahudi dan Nasrani (Barat), apa yang berlaku sepanjang sejarah bukan kebetulan.  Oleh itu kita boleh menduga  kemungkinan besar yang berlaku pada masa depan.

Sewaktu Parameswara membuka kota Melaka tahun 1400, Eropah sedang berubah menuju zaman Renaissance atau kebangkitan semula. Selama 100 tahun dalam zaman Melaka, selama itu juga bangsa-bangsa Eropah sangat tekun membuat kajian mengenai masa depan bangsanya dan keadaan dunia. Perkembangan ilmu di Melaka masih dalam hal tasauf agama, tetapi Eropah sedang maju dalam sains dan teknologi. Semua ilmu yang ada dalam dunia Islam dibawa ke Eropah untuk dijadikan kajian dan perancangan.

Portugal dan Sepanyol jelas mendapat manfaat warisan tamadun Islam Andalusia. Dendam terhadap Islam menyebabkan Melaka dijajah tahun 1511, manakala hampir seluruh kepulauan Filipina dikristiankan. Barat tahu pentingnya Selat Melaka pada setiap zaman dan masa depan. Sejarah zaman Srivijaya, Majapahit, Melaka, Johor dan Acheh jelas memberi petunjuk bahawa Selat Melaka menjadi laluan ekonomi dan politik dunia. Selat Melaka umpama satu terusan anugerah Tuhan.  

Untuk menguasai lautan Atlantik dan Pasifik Amerika terpaksa membuat Terusan Panama. Begitu juga untuk menguasai Laut Mediteranean dan Lautan Hindi, British terpaksa membuat Terusan Suez (1868) di Mesir. Oleh itu Selat Melaka wajib dipegang oleh Barat! Selat Melaka anugerah Tuhan, siapa dapat dia juara dunia.

Kemudian pakar mereka melihat siapa dan apa tasawur penduduk Tanah Melayu.  Ini penting untuk menguasai Selat Melaka, jalan ekonomi dan politik Timur-Barat. Barat ada fakulti kajian Timur, dan lahirlah banyak orientalis yang mahir semua hal Nusantara. Orang Melayu pun tidak sebijak R.O. Winsted, Frank Swettenham, Stamford Raffles dan Snouck Huroundje dalam dunia Melayu Nusantara.

Strategiknya, bukan Sumatera yang utama tetapi Tanah Melayu!  Sebab itu dalam pertikaian British-Belanda berkaitan pengambilan Singapura, British sudah nekad akan berperang dengan Belanda jika gagal menguasai Singapura.

Barat berpakat memecahkan Melayu kepada dua wilayah: Pengaruh British-Belanda tahun 1824.  Maka akhirnya Melayu terpecah dua negara, Malaysia-Indonesia.  Dua negara mesti akan menjaga kepentingan masing-masing, dan tentulah akan berlaku konflik antara kedua-duanya.

Zaman penjajahan British menguasai Tanah Melayu yang penduduknya Melayu 100 peratus beragama Islam. British sudah faham budaya dan sejarah Islam di Asia Barat, dan pengalaman Perang Salib. Membiarkan wujud sebuah negara yang penduduknya 100 peratus muslim sangat bahaya. Islam dan Kristian-Barat tidak pernah berkompromi.  Maka British memasukkan ratusan ribu warga asing bukan Islam dari India dan China atas nama keperluan ekonomi.  British tahu tidak semua pekerja asing itu akan kembali ke negara asal, maka pastilah penduduk Islam di Tanah Melayu tidak lagi 100 peratus! Hari ini Melayu-Islam sebanyak 70 peratus penduduk Malaysia.

Setelah Melayu dan Islam disusutkan peratusannya, cara untuk melemahkan baki kuasa Melayu-Islam ialah dengan cara memasukkan ajaran demokrasi liberal.  Bukanlah kebetulan apabila British meluluskan sebuah parti atas nama Islam (1951), Parti Islam Se-Tanah Melayu (Pas) sebab British telah faham masalah dalam Malayan Union (1946) dengan bangsa Melayu yang bersatu. Tambahan pula Islam sangat sensitif kepada bangsa Melayu. British melihat masa depan Pas cerah untuk berkembang meraih sokongan bangsa Melayu atas nama kesucian agama. Pengaruh kuasa Melayu-Islam yang 70 peratus pun dipecah dua.  Bukanlah kebetulan apabila Umno dan Pas terus bertelagah dan masing-masing pula berebut sokongan kaum bukan Melayu (wakil tamadun Barat) untuk berkuasa.

Apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR ditubuhkan pada tahun 1999) mula berkembang, sebagian ahli politik bukan Melayu daripada MCA, Gerakan dan MIC memasukinya. Mengapa mereka tidak memilih DAP? Jawabnya mudah, iaitu kaum bukan Melayu tidak mahu PKR dikuasai sepenuhnya oleh Melayu-Islam. Dan kaum bukan Melayu yang berfikir ala-Barat juga tidak mahu menjadikan Pakatan Rakyat (PR menggabungkan PKR, DAP dan Pas)  seperti Barisan Nasional (BN) yang didominasi Melayu-Islam.  Sebab itulah suara dan kerja untuk meletakkan Pas menjadi dominan dalam PR pasti disekat.  Ini bukan kebetulan, melainkan satu strategi hebat.

Sekarang berlaku perpecahan dalam Pas. Separuh ahli Pas kekal setia dalam PR dan separuh lagi akan mengasingkan diri. Tidak dalam PR, tidak dalam BN! Apakah ini kebetulan? Tidak, selagi ada baki kekuatan Melayu-Islam semua akan dirongrong. Matlamat akhirnya ialah PR akan memerintah Malaysia dengan tidak menjadikan Pas (Melayu-Islam) satu parti dominan seperti Umno dalam BN.


PR menjadi parti politik yang distrategikan untuk menyamai kepentingan Barat disebabkan BN sentiasa dalam status-quo kaum Melayu-Islamnya yang dianggap usang. Lagi pula masa depan politik dan kuasa dunia bukan seperti acuan BN, tetapi PR yang sangat liberal-demokratik. BN sudah lama memerintah Malaysia, maka dunia Barat melihat PR sebagai pilihan baru. Oleh itu tasawur PR dipastikan tidak menyamai BN.  Ini bukan kebetulan, tapi satu strategi kuasa Barat dalam neokononialisme!

Selamat berjaya bangsaku, muslimku!

Selasa, Disember 02, 2014

BID'AHKAH solat Subuh tiga rakaat?

CATATAN pagi yang dingin. Gara-gara kenduri arwah yang sangat perlu dan popular dikatakan bid’ah atau sesat kerna didakwa tidak ada dalam sunah Nabi s.a.w.  Seorang sahabat memasukkan sebagian ucapan seorang ulama, yang marah-marah dikatakan kenduri arwah sebagai bid’ah. Marah-marah lagi terhadap orang yang menyatakan ha itu jadi sesat.  Beberapa teman menyambut, “hal baik, apa salahnya? Apa sesatnya?”

Saya Cuma mahu menjadikan bahan fikir. 

Kita terima dulu hujahan bahawa kenduri arwah itu kebaikan. Di dalamnya berkumpul orang yang mencari reda Allah. Mereka diketuai oleh yang paling alim dalam agama. Mereka membacakan susunan ayat-ayat al-Quran, bukan jampi serapah!  Mereka berdoa kepada Tuhan dan akhirnya menjamu sedikit rezeki yang Allah berikan kepada hamba-hamba-Nya. 

Hukumnya apa? Katanya tidak wajib sebab tidak diperintahkan supaya buat. Memang tidak ada dalam al-Quran dan Sunah Nabi s.a.w., tetapi semua kandungan kenduri itu penuh kebajikan, maka hukumnya sunat. Catatan si ulama, “jika tidak mahu kenduri arwah jangan menghukum bid’ah dan sesat, bukan perkara wajib pun.”

Banyak memberi ‘like’ terhadap hujah ini.

Yang ini sebagai bahan fikir dan perbandingan. Bahan berfikir untuk menentukan kebenaran hujah. Hmmm, selama ratusan tahun di negeri kita orang solat subuh dua rakaat.  Katakan kita bertualangan ke negeri lain dan menemui masyarakat muslimnya solat subuh tiga rakaat. Kerna tak tahan di hati, maka dikatakan “tidak boleh menambah satu rakat lagi dalam subuh, tetap dua.  Jangan bikin bid’ah.”

Masyarakat muslim negeri itu pun memberitahu bahawa penambahan satu rakaat dalam subuh adalah baik, semua bacaannya sama seperti rakaat lain dalam solat.  Tujuannya pun untuk mencari reda Allah. Menambah satu rakaat untuk lebih dekat kepada Allah pada saat pagi yang hening!  Apa salahkah, bid’ahkah atau sesatkah?

Sepatutnya, apabila orang menerima hujah kenduri arwah itu bagus dan sunat sebab hal baik di sisi agama, orang yang sama mestilah menerima tambahan satu rakaat dalam solat subuh sebagai baik dan sunat.  Jika orang meminta jangan marah dengan kenduri arwah itu, maka orang pun jangan marah dengan tambahan satu rakaat dalam solat subuh!

Rupa-rupanya urusan ibadah dalam agama bukan memenuhi kehendak akal pikiran, perasaan dan adat resam masyarakat. Bukan sekadar mewarisi ibadah daripada nenek-moyang, namun kerna ada prinsipnya.

Urusan ibadah perlukan dalil daripada al-Quran dan hadis sahih.  Suka tak suka, jika sudah terang ada suruhan, buatlah. Suka tak suka jika tidak ada suruhan atau contoh, tak perlu buatlah.  Ibadah bukan memenuhi kehendak akal, perasaan dan adat resam.

Sebagai contoh, dalam bab berwuduk ada babnya yang dianjurkan menyapu bahagian atas kasut atau sarung kaki sebagai ganti membasuh kaki. Menyapu atas kasut, bukannya membasuh tapak kasut!  Itulah yang Rasulullah tunjukkan kepada umatnya. Suka tak suka, kita terima, walaupun kehendak akal, perasaan dan adat resam…. yang wajib dibasuh ialah tapak kasut. Semua sedia maklum hal tapak kasut.

Kata Saidina Ali r.a. “Apabila agama hanya berlandaskan akal belaka, tentu bagian bawah khuf (kasut) lebih berhak untuk diusap daripada atasnya.  Sesungguhnya aku melihat Rasulullah mengusap khuf pada  bagian atasnya.” (HR Abu Dawud dengan sanad yang hasan/baik)

(Untuk rekod, ada sebilangan umat Islam di China yang menunakan solat Jumaat tidak sebagaimana cara di Makkah, Madinah dan Nusantara. Dan telah ada orang kita yang sampai ke sana dan terperangkap dalam cara mereka!)


Wallahu aklam