HARI-hari menghampiri 31 Ogos 2016, ada yang
mendakwa media penyiar kerajaan lebih mempertontonkan kejahatan dan keganasan
anggota komunis. Maka timbul pertanyaan, ‘negara kita dahulu dijajah oleh
British atau komunis?’
Peristiwa-peristiwa sejarah adalah juga
peristiwa-peristiwa politik. Yang
demikian menyebabkan peristiwa sejarah tidak terlepas daripada tafsiran
tertentu. Pengamal ideologi politik masa kini pasti melihat sejarah dari sudut
kepentingan ideologi partinya. Mana yang
menguntungkan atau menaikkan imej partinya, maka sejarah itu pasti diulang
sebut. Ada pula peristiwa sejarah yang boleh diguna untuk menjauhkan rakyat
daripada parti lawannya, maka peristiwa itu juga dijadikan bahan sejarah yang
mesti diketahui rakyat. Mudahnya, setiap penggiat politik masa kini berminat
peristiwa sejarah yang memihak kepada diri dan partainya.
Adakah negara kita dijajah atau sebagai
neger-negeri yang dinaungi oleh kuasa asing.
Lihatlah apa yang berlaku sejak tahun 1511 di Melaka. Sejak Portugal
menguasai Melaka, adakah Melaka sebuah negeri yang dinaungi Portugal dengan
mengekalkan sistem pemerintahan Kesultanan Melayu? Kita mengenang keagungan
tamadun Kesultanan Melayu Melaka, tetapi sejak tahun 1511, tiada apa lagi yang
dapat dirujuk atau dibanggakan sebagai khazanah tamadun Kesultanan Melayu
Melaka. Semua habis dan lenyap! Itulah
penjajahan Portugal di Melaka sehingga tahun 1841. Pengganti Portugal iaitu
Belanda dan seterusnya British (1824) tidak punya agenda memberi hak kepada
bangsa Melayu di Melaka sehingga kemerdekaan negara tahun 1957.
Pengambilan Pulau Pinang oleh Syarikat Hindia Timur
British (SHTI) melalui usaha licik Francis Light juga bukan menaungi, tetapi
penjajahan. Sultan Kedah kehilangan semua hak di Pulau Pinang dan Seberang
Perai, sekalipun dalam hal ehwal agama dan adat resam Melayu. Sejak tahun 1786,
Pulau Pinang terus dicorak sesuka hati oleh penjajah British. Malah Pulau pinang, Melaka dan Singapura pernah
diperintah terus oleh Pejabat Tanah Jajahan British di London mulai tahun
1867. Maksudnya negeri-negeri selat itu
merupakan sebagian daripada negara British waktu itu. Mujur perubahan politik
memihak kepada kita, maka Pulau Pinang dan Melaka menjadi sebagian Persekutuan
Malaysia. Pandang sejarah penjajahan British di Kepulauan Falkland, tidak jauh
dari Argentina. Sehingga hari ini Fakland menjadi sebagian wilayah negara British
sekalipun jauhnya ribuan kilometer dari London!
Begitu juga pemerintahan dinasti Brooke di Sarawak,
orang British itu menguasai sepenuhnya Sarawak seperti bapa kita menguasai
tanah seluas empat ekar di kampung. Suka hati bapa kita hendak menanam apa,
atau membina rumah apa pun. Begitulah
seluruh Sarawak menjadi hak selama 100 tahun kepada keluarga Brooke.
Bagaimana dengan kedudukan para raja atau sultan
yang kekal menjadi pemerintah negeri-negeri Melayu sekalipun ada yang menerima
Residen, Penasihat, Pegawai utama, Residen Jeneral dan Pesuruh Jaya Tinggi.
Jawatan-jawatan itu diwujudkan di beberapa negeri termasuk sewaktu
Negeri-negeri Melayu Bersekutu (1896) dan Persekutuan Tanah Melayu (1948). Kita
boleh merujuk isi utama Perjanjian Pangkor 1874 antara British dengan Raja
Abdullah dari Perak. Perjanjian itu
jelas mengiktiraf Raja Abdullah sebagai
Sultan Perak mulai tahun 1874 tetapi kuasa baginda hanya dalam hal-ehwal agama
Islam dan adat resam Melayu. Kuasa mentafsir
Perjanjian Pangkor pula ada pada Residen
British dan Gabenor Negeri-negeri Selat waktu itu, Sir Andrew Clarke.
Perjanjian Pangkor sangat penting sebagai doktrin duluan campur tangan British
di semua negeri yang beraja. Residen Birch kata, hak mengutip cukai adalah
kuasa pentadbiran Residen, bukan adat resam Melayu. Apabila Birch terus
mengutip cukai dan dibunuh oleh Dato Maharaja Lela (yang mengarahkan Sepuntum), dan akibatnya
Sultan Abdullah dibuang ke pulau Syachelles, Dato Maharaja Lela (dan
orang-orangnya) dihukum mati, ini bermakna mengikut Perjanjian Pangkor,
mengutip cukai dan memiliki hamba bukan adat resam Melayu. Sejak itu mudah difahami maksud agama Islam
dan adat resam Melayu. Agama Islam hanya merujuk hal ibadah dan perkahwinan
sementara adat resam ialah istiadat beraja serta majlis bersifat agama seperti
Isra Mikraj dan Maulud Nabi. Selepas
konflik pemahaman batas kuasa Sultan dan Residen (melalui pembunuhan Birch),
semua pegawai British dan raja-raja Melayu tahu dan sedar kuasa dan
batas-batasnya.
Benar raja Melayu terus bertakhta sebagai Ketua
Negeri, tetapi kuasanya hanya bidang ibadah agama dan adat istana dan sedikit
dalam kalangan orang Melayu. Sebab itulah British dengan mudah menggubal dasar
ekonomi yang menguntungkan mereka (sebaliknya merugikan raja dan bangsa
Melayu). Raja Melayu yang masih disembah
di tahkta seperti zaman sebelum Perjanjian Pangkor, tidak boleh menahan
penggunaan undang-undang British, perluasan Bahasa Inggeris dan tulisan
rumi. Malah semua raja hanya
memerhatikan saja negerinya dibolosi oleh ratusan ribu pekerja asing dalam
sektor ekonomi dagang yang sangat jelas
menyudutkan bangsa Melayu. Semua itu
kerja British sebagai pihak berkuasa.
Apabila dibentuk Persekutuan Tanah Melayu (1948),
perlembagaan menyebut kuasa tertinggi ialah Pesuruh Jaya British dan Majlis
Raja-raja Melayu. Hakikatnya yang bebas
berkuasa dan mengambil keputusan ialah Pesuruh Jaya British. Munasabahkah
sembilan orang raja menjadi pemerintah Tanah Melayu sekali gus! Maknyanya Majlis-Raja-raja hanya dimaklum
oleh Pesuruh Jaya British.
Begitulah perjalanan sejarah politik British di
Tanah Melayu serta Sarawak dan Sabah. Apabila negara merdeka, semua posisi
British dahulu diambil-alih oleh ahli-ahli politik parti yang memerintah.
Bolehlah disebut Perikatan dan Barisan Nasional. Kuasa raja-raja Melayu di
sembilan negeri atau Yang Dipertian Agong di peringkat Persekutuan, tidak
dikembalikan sepenuhnya seperti dinikmati selama 111 tahun zaman Kesultanan
Melayu Melaka. Namun semua rakyat
Malaysia reda begitu, teruskanlah.
Komunis itu penjajahkah? Oleh kerna zaman itu orang
tidak reda dengan ideologi komunis, maka melawan komunis sama juga melawan
penjajah. Sementelahan pula, kebanyakan anggota Partai Komunis Malaya adalah
bangsa asing , iaitu bangsa Cina (British,
Belanda, Siam dan Jepun juga bangsa asing), maka penggiat atau pengganas
komunis adalah sebagian daripada proses penjajahan. Maka betullah rakyat melawan PKM atau
penggiat komunis sebagai melawan penjajahan. Bangsa asing Cina waktu itu belum
diterima sebagai warga negara, maka betullah sentimen kebencian terhadap anasir
luar. Kita kena melihat sejarah daripada
perspektif zaman berkenaan, bukan zaman semasa kita hidup ini.
Salam Malaysia merdeka ke-59 dari hujung Sabah ke
Sarawak hingga ke hujung Perlis!