Pengikut

Jumaat, Mac 28, 2008

DIALOG dan debat

APAKAH dialog dan perdebatan? Secara umum wacana ini bersifat keilmuan dan ditunaikan secara tanggung jawab. Dialog adalah perbincangan sekurang-kurangnya antara dua pihak. Tidak semestinya dialog berlaku dalam suasana berbeda pendapat yang saling memberi informasi dan hujah. Dialog bisa saja dalam suasana sependapat, dan ini bermakna saling memberi sumbangan maklumat. Dapatlah dikatakan dialog sebagai forum yang menemukan kepelbagaian.

Perdebatan pula jelas lebih radikal dan menjurus perbincangan antara dua atau beberapa pihak yang berbeda pendapat. Setiap pihak mempunyai hujah dan akan mempertahankan hujah-hujahnya. Selalunya dalam perdebatan, setiap pihak akan mematahkan hujah lawan atau membuktikan hujah lawan sebagai salah, kemudian pematah hujah akan mengemukakan syor daripada pihaknya untuk diguna pakai. Perdebatan ini kerap berlaku dalam Dewan Rakyat antara pihak-pihak yang berlawanan.

Sama ada dialog atau perdebatan, kedua-dua wacana ini merupakan aktiviti ilmiah dalam memantap pemikiran dan membina ketrampilan minda. Wacana ilmu ini satu kerja mulia yang diguna pakai dalam mana-mana institusi pendidikan. Di luar gelanggang kolej dan universiti juga kerap ditemui wacana berkenaan dan selalunya dikerumuni oleh khalayak yang sangat cintakan ilmu dan keberkesanan hujah. Hanya mereka yang ketandusan ilmu dan bobrok daya keintelektualannya akan melarikan diri daripada keunggulan wacana ilmiah ini.

Bisakah dialog dan perdebatan berlaku secara individu? Bunyinya bagai aneh, namun seseorang yang jujur dalam menemukan ilmu, akan berlaku jujur membina dialog atau perdebatan dalam diri sendiri. Misalnya jika seseorang mengkaji system demokrasi, dia wajib mempelajari system-sistem lain yang pernah diguna atau sedang digunakan. Kita sukar membuktikan kebaikan sistem demokrasi tanpa membandingkan dengan sistem Islam, feudal dan komunisme.

Dalam memahami Islam yang disandar kepada alquran dan sunah, kerap kita temui ayat mengenai akidah yahudi dan nasrani. Tidak cukup dengan membaca ayat itu untuk mengetahui apakah sebenarnya ‘ahli-ahli kitab’ itu, melainkan terus terjun mendalami agama mereka untuk mengetahui lanjutan kehendak alquran. Mempelajari dan mengetahui siapa ahli kitab itu akan membentuk kemantapan kepercayaan mengapa kita memilih Islam. Dalam apa-apa juga ilmu pengkajian, orang yang hanya memegang aliran atau ilmu sepihak akan dianggap syok sendiri. Ini akan membantuk sikap fanatik atau taksub, suatu hal yang tidak dianjurkan oleh Islam.

Hari ini dunia ilmu bukan hanya berpusat di Barat. Seperti juga mempelajari Islam, bukan hanya dari dunia Arab atau India. Ilmu sudah bersifat sejagat dan dunia menjadi satu perkampungan yang besar. Janganlah menganggap mendapat ijazah Islam dari universiti Barat dianggap belajar daripada orientalis. Fatwa-fatwa fikah juga bukan semestinya sah hanya jika dikeluarkan oleh ulama dari Arab. Saya meminjam huraian oleh Buya Hamka dalam Tafsir al Azhar ketika membahas ijtihad. Antaranya Buya Hamka menjelaskan sosio budaya dan masa telah melatari fatwa. Misalnya, ulama Arab yang tidak mengetahui sawah padi di Nusantara lebih cenderung mengharamkan belut yang dilihatnya seperti ular, tetapi tidak pada ulama Nusantara yang saban hari bergelumang dengan hasil sawah.

Erti kepada wacana ini ialah ilmu adalah pelbagai dan melakukan dialog merupakan pertembungan pendapat yang sihat dalam usaha memahami dunia yang kepelbagaian. Keengganan membuka minda untuk melihat ilmu di luar kandangnya akan menjadikan seseorang atau pihak berkenaan dikurung sindrom syok sendiri. Dirinya sahaja yang betul dan semua di luar dari kandangnya salah dan tolol. Inilah kemandulan dan malapetaka jika kaedah sepihak dianut oleh banyak manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan