Pengikut

Selasa, Oktober 20, 2015

JIKA mahu barang tulen, tentulah mahu agama yang tulen

SUNGGUH banyak orang menyatakan kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sehingga berasa senang dan ‘bangga’ (mungkin saja) dengan menampal pelekat di kenderaan atau kereta.  Sungguh, saban tahun orang menyambut Maulidur Rasul atas sebab cinta kepada Nabi akhir jaman itu. Malah ada yang membuat majlis itu di luar Rabi’ul Awal, kerna katanya hari-hari mahu melahirkan cinta kepada seorang nabi, penutup nubuwah itu.


Allah pun telah mengesahkan yang Nabi Muhammad, Rasululullah s.a.w. itu satu ikutan yang benar. Maksud firman Allah, “Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada teladan yang baik bagimu, yaitu bagi orang yang mengharap Allah dan hari akhir serta banyak berdzikir kepada Allah.” (Al-Ahzab: 21)

Ayat 21 itu perlukisan Allah untuk menguatkan semangat para pejuang agama sewaktu perang Khandak atau al-Ahzab. Sebelumnya Allah mengkritik golongan yang takut dan berjiwa kerdil untuk berperang bersama nabi malah hanya mahu masuk ke dusun-dusun saja  dengan membiarkan Nabi dan pasukan yang beriman bertahan menghadapi kepungan 1000 tentara al-Ahzab. Maka itu Allah memuliakan Nabi dan memberi motivasi besar kepada pasukan (dan umah) perihal ketahanan mental, jiwa dan fisikal Nabi tatkala berdepan kesulitan. Ibnu Katsir menyatakan ayat itu menjadi dalil meneladani Rasulullah baik dalam ucapan, perbuatan atau pun sepak terjang kesehariannya.

Ayat itu pun kekal sebagai dalil mencintai Rasulullah.  Kata orang bercinta atau pacaran, orang yang dicintai itu umpama sehabis-habis yang diingat-ingat dan sangat dirnduinya. Mahu-mahunya seseorang itu akan berbaju sama warna dengan baju pacarnya, mahu mendengar suaranya di mana pun, mahu mengikuti ajakan kekasih hati kerna itu kemahuan kekasih…. dan mahu meninggalkan tabiatnya yang tidak disukai oleh sang kekasih!

Tidak dapat tidak, meneladani Rasulullah bermula dengan keimanan. Setelah mengakui ‘tiada tuhan (sesembahan) selain Allah’ maka pengakuan muslim ialah ‘Muhammad adalah Rasul (utusan) Allah’.  Pengakuan bahwa Nabi Muhammad adalah utusan Allah berarti, penerimaan sunah Rasulullah dalam kehidupan kita semua.  Setelah penerimaan dengan iman, maka wajib pula muslim mencari pengetahuan semua segi (sebaik-baiknya) kehidupan Rasulullah, terutama bab berakidah dan beribadah.  Tidak ada hak untuk mempersoal mengapa Rasulullah membuat itu dan ini, sementara tidak pula melakukan itu dan ini. Urusan agama adalah daripada Allah yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

Maksud firman Allah, “Wahai Rasulullah, sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu.” (sebagian ayat 67 surah al-Ma’idah)

Rasulullah tidak berdusta atau menyembunyikan seruan Allah yang mesti diketahui oleh hamba-hamba-Nya. Tuntas, Islam padat dan lengkap sebelum Rasulullah wafat.  Maksud firman Allah, “Pada hari ini Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, Aku telah cukukan nikmat-Ku dan Aku reda Islam menjadi agamamu.” (ayat 3 surah al-Ma’idah)

Mungkin kerna jaman Islam sudah lama dan melewati sejarah yang berliku-liku, maka banyaklah orang yang memahami daripada pelbagai sudut. Namun jangan pula dinafikan hak dan kehendak mereka yang mahu meneladani Rasulullah saja dalam akidah dan ibadahnya.   Sekalipun nanti kelihatan mereka yang hanya meneladani Rasulullah itu ‘hanya beramal itu dan ini saja, kok sedikit amat…’ biarlah kerna itu kefahaman mereka dalam meneladani Rasulullah.


Tentulah golongan yang meneladani Rasulullah benar-benar mahu menjaga ketulenan agama dan membuktikan kecintaan kepada nabi akhir jaman itu saat umah sudah banyak dan pelbagai ragamnya pula.

Sabtu, Oktober 03, 2015

TIDAK ada yang aminkan Tarhim sebelum Subuh


TARHIM dilaungkan dari menara-menara masjid sebelum dilaungkannya azan subuh. Tarhim adalah susunan ayat berupa doa kepada Allah. Daripada doa untuk kebaikan umah terhadap Sang Khalik sehinggalah berkenaan khalifah selepas kewafatan Rasulullah: Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali.  Jika Tarhim itu sebagai doa, mengapakah tidak ada orang mengaminkan bacaan Tahrim pada sebelum subuh itu?

Bacaan Tarhim yang berulang-ulang sebelum Subuh merupakan adat Melayu untuk menghiasi hening sebelum subuh.  Orang  pun tidak tahu Tarhim satu susunan doa, maka tidak ada orang yang mengaminkannya. Orang yang sedang beriktikaf dalam masjid pun tidak mengaminkannya.  Konon dengan laungan Tahrim, maka orang akan terbangun daripada tidur, kemudian akan ke masjid untuk shalat Subuh berjamaah. Jika itu tujuan membaca Tarhim, patut benar kandungannya diubah kepada ayat yang membangunkan manusia tidur.  Atau dibariskan doa-doa agar Allah menjadikan mereka yang mendengar Tarhim segera bangun.  Itu sepatutnya bisa dibuat sebab tarhim bukan aturan daripada Nabi, itu aturan kita sendiri.

Mengikut sunah Nabi s.a.w., memanggil orang ke masjid untuk solat ialah dengan azan. Dalam azan ada laungan ‘marilah shalat..marilah shalat’. Malah untuk membangunkan orang tidur, dalam azan subuh telah ada seruan ‘Shalat lebh baik daripad tidur’.

Dalam sejarah, ada kisah bagaimana Khalifah Usman menyedarkan orang yang dalam kesibukan untuk ke masjid. Itu terjadi di Madinah, pada hari Jumaat. Jaman belum ada jam dan pembesar suara, medium yang dipilih oleh Khalifah Usman adalah azan.  Maka beberapa waktu sebelum masuknya waktu zuhur pada hari Jumaat, seorang telah berdiri di tengah-tengah pasar Madinah, melaungkan azan. Tujuannya untuk menyedarkan manusia supaya bersiap ke masjid, kerna tidak lama lagi ada majlis Shalat Jumaat. Namun azan di pasar Madinah itu bukan azan syariat beribadah sebagaimana azan sesudah masuknya waktu-waktu shalat. 

Sepatutnya, jika tujuan Tarhim untuk menyedarkan manusia daripada tidur untuk segera ke masjid kerna tidak lama kemudian akan masuk waktu Subuh, mengapa tidak dilaungkan azan kira-kira 40 menit sebelum azan subuh yang sebenar?  Contoh di jaman sekarang pun ada dan semua ahli agama tahu, iaitu di masjid Madinah dan Masjidil Haram Makkah dilakukan begitu. Di beberapa masjid dalam negara juga melakukan hal yang sama. Pejabat-pejabat agama tidak harus hanya pandai menutup Tarhim saja, sebaliknya menggantikan dengan amalan sunah.


Jadi mau apa lagi kita ini?

Khamis, Oktober 01, 2015

KATA khutbah masjid: DAP menentang Islam!


MEMANG khutbah shalat iduladha di Pahang berbau politik kepartaian. Secara terang khatib membacakan teks yang menyebut nama-nama parti politik. DAP secara jelas didakwa menentang Islam. Teks khutbah ini merupakan satu contoh istimewa terhadap penggunaan mimbar masjid untuk politik. 

Ada dua sudut yang boleh dilihat dalam kasus ini. Pertama khutbah memang mengajak umah menuju kebaikan, iaitu meminta umah bersatu sikap dan pendirian terhadap isu Islam walaupun berbeda parti politik.  Teks khutbah menyebut ahli-ahli parti Pas, Umno, GHB dan PKR yang mmuslim patut bersatu.  Ini tidak menjadi isu politik sebab tidak ‘mencederakan’ mana-mana parti politik yang disebut itu.

Kedua, khutbah telah mencederakan DAP sebagai parti yang sedang giat mempromosikan parti kepada umat Islam. DAP didakwa menentang Islam. Ini telah mencederakan parti politik itu. Memang ada sebab DAP marah. Sebagai andaian, satu khutbah di Selangor yang menyebut Umno parti yang menggalakkan rasuah, tentulah pemimpin Umno menjadi marah sebab teks khutbah telah mencederakan parti Melayu itu.

Sebenarnya khutbah hari raya atau penggunaan masjid untuk  politik kepartaian itu bukan menghairankan mata. Semua parti Melayu/Islam secara sedar telah menggunakan masjid untuk meraih keuntungan politik.  Majlis-majlis penyampaian sumbangan  di masjid yang secara jelas banyak logo parti politik telah berlaku. Ceramah atau kuliah agama yang semua isinya sama seperti ceramah politik (tetapi tidak disebut nama parti dan ahli politiknya) lagi banyak berlaku.  Pernah dahulu polis tidak membenarkan perhimpunan politik tanpa permit, lalu perhimpunan itu dibawa ke dalam masjid. Dalam masjid itu 100 persen adalah ceramah politik. Sebut nama parti yang dibenci dan agungkan tokoh politik tertentu.  Itu berdasarkan pengalaman mata saya sendiri.

DAP juga telah mengunakan masjid untuk dilhat mesra orang Melayu apabila wakil-wakil rakyatnya memberi ucapan dalam masjid, walaupun bukan ceramah politik.  Sekilas ikan di air, orang tahu jantan betinanya.

Alah, isu DAP marahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan hilang begitu saja seperti isu wakil rakyat perempuan  DAP  memberi ucapan dalam masjid. Isu pemimpin parti tidak beragama Islam masuk beranda masjid tanpa membuka kasut pun tidak menjadi kudis.


Politik, apa saja boleh berlaku dan tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan sekalipun kelakuan itu tidak ada adab sopan langsung. Pemimpin politik merupakan orang yang tidak akan terus mempertahankan sikapnya. Mereka umpama lalang. Semua begitu, sama ada yang kepala botak, bersongkok, berserban, bertudung kepala atau yang suka berseluar pendek!