foto hanya hiasan |
SETIAP muslim yang melakukan amal ibadah tentulah
sangat mengharap mendapat ganjaran yang menjadi harta di akhirat kelak. Namun bagaimana jika, di sana kelak si
pengamal mendapati akaun amalannya tidak sebagaimana yang disangka banyak atau
tiada langsung? Sungguh
mendukacitakan. Daripada al-Quran dan
hadis sahih ada penjelasan perihal amalan-amalan yang hilang begitu saja. Maka kita wajiblah kita berwaspada.
Pertama: Amal ibadah atau kebajikan yang disekutukan
dengan yang lain, maka amal ini hanyut begitu saja. Misalnya seseorang yang
melakukan ibadah umrah, dan juga mencari keseronokan di kota suci Makkah. Atau dia sendiri mengatakan, “esok-esok
ketika semua pembinaan di Makkah selesai barulah saya pergi berumrah, sekarang
pemandangan pun tidak cantik.”
Maksud firman
Allah ayat 110 surah al-Kahfi, “….Maka sesiapa mengharap pertemuan dengan
Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan kebajikan dan janganlah dia
mempersekutukan dengan sesuatu pun dalam beribadah kepada Tuhannya.”
Kedua:
Amal ibadah yang asalnya dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunah Nabi
s.a.w., namun akhirnya tidak berguna di sisi Allah. Ini berlaku apabila si
pelaku entah disebabkan apa, dia mengungkit-ungkit amal. Mungkin dia mahu
membuktikan telah melakukan amal sebagai pembelaan diri daripada kata-kata orang lain.
Maksud firman Allah ayat 262 surah al-Baqarah, “Orang
yang menginfakkan hartanya di jalan Allah, kemudian tidak mengiringi apa yang
diinfakkan itu dengan menyebut-nyebut atau menyakiti (perasaan penerima),
mereka memperolah pahala di sis Tuhan mereka.
Tidak ada rasa takut pada mereka, dan tidak bersedih hati.”
Ketiga:
Amal ibadah yang dilakukan berdasarkan rekaan, bukan mencontohi sunah Nabi
s.a.w., maka amalan itu tiada nilai di
sisi Tuhan. Tiada hujah ‘amalan itu sangat baik’, kerna baginda
Nabi s.a.w. jelas mengatakan amal yang tidak daripadanya, maka tertolak.
Maksud sabda Rasulullah s.a.w., “Sesiapa
yang beramal dengan sesuatu amalan yang
tidak di atas petunjuk kita, maka amal itu ditolak.” (Hadis sahih riwayat Al- Bukhari)
Keempat:
Amal kerna riya atau untuk mendapat pujian manusia. Amal itu tertolak di sisi
Allah.
Maksud firman Allah ayat 264 surah al-Baqarah, “…. Orang
yang menginfakkan hartanya kerna riya (dipamer) kepada manusia dan dia tidak
beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Perumpamaannya (orang itu) seperti batu yang licin yang di atasnya ada
debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu licin
lagi. Mereka tidak memperoleh apa pun
daripada apa yang dikerjakan. Dan Allah
tidak memberi petunjuk kepada orang yang kafir.”
Wallahu ‘aklam