DAHULU, apabila diterangkan bahawa kehidupan
seseorang muslim adalah satu ibadah kepada Allah, terasa bahawa Islam memang
satu sistem pengabdian hidup hamba kepada Tuhannya. Bukan sahaja solat dan puasa sebagai ibadah,
malah tidur dan makan juga ibadah. Semua
ini terkandung dalam maksud ayat 56 surah az-Zariat, “Aku tidak
menciptakan jin dan manusia, melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.”
Menaiki kenderaan juga termasuk ibadah kepada
Allah. Dan melihat statstik, setiap hari kira-kira 19 kematian akibat
kemalangan di jalan raya, diharap kematian muslim akibat kemalangan itu
kematian yang mulia di sisi Allah. Zaman
telah berubah, dan orang menunggang kenderaan ratus-ratus kilometer bukan hanya
untuk sampai ke suatu tempat demi tujuan-tujuan tertentu pula. Semakin banyak pula orang menunggang
kenderaan hanya sebagai menghiburkan diri seperti orang bersantai di pinggir
pantai untuk mendamaikan fikiran.
Lihat segolongan orang secara berbondong-bondong
menunggang motorsikal kuasa tinggi di jalan-jalan raya, bolehkah perbuatan itu
dimaksudkan sebagai satu ibadah kepada Allah juga? Sebenarnya, termasuk juga yang menaiki kereta
atau apa saja kenderaan, jika mematuhi peraturan atau adab-adabnya, jadilah
pertualangan jauh dan dekat sebagai ibadah kepada Allah.
Namun, kelihatannya…. para penunggang motorsikal
berkuasa tinggi dengan sengaja merancang untuk melanggar peraturan atau
undang-undang jalan raya. Had kelajuan
paling tinggi ialah 110 km/j, namun semua penunggang motorsikal berkuasa tinggi
dengan jelas menunggang kenderaan itu jauh lebih laju daripada yang dihadkan. Adakah itu termasuk ketaatan kepada Allah?
Ya, semua bahagian pada undang-undang jalan raya
hasil rekaan manusia, tidak disebut had laju 90 km/j atau 110 km/j itu dalam
mana-mana surah al-Quran! Secara jelas
pula, Allah menyatakan hukum atau undang-undang Qisas dalam ayat 178 surah
al-Baqarah. Oleh kerana hukum Qisas tidak
dikanunkan sepenuhnya, maka ‘orang pandai’ membuat kesimpulan undang-undang
Allah tidak dilaksanakan di negara kita.
Maka masyhurlah ayat ‘sedangkan undang-undang Allah pun dilanggar,
maka apa lagi undang-undang manusia’.
Semua ini merujuk kepada pemikiran ‘tidak apa’ melanggar undang-undang
yang dibuat oleh pihak berkuasa, sebab pihak berkuasa didakwa mengabaikan
undang-undang Allah.
Perhatikan pemikiran kita bab ibadah khusus seperti
puasa. Bukan main lagi semua mahu
menjaga puasa supaya tidak ‘batal’, sehingga teliti sekali pertanyaan sama ada
menangis itu membatalkan puasa atau tidak.
Ironisnya, tidak pula orang ‘meriah’ bertanya perkara-perkara yang
membatalkan pahala ketika menunggang motorsikal atau menaiki kenderaan
lain. Ini sebagai gambaran, orang kita
masih melihat kesucian atau keabsahan amal ibadah hanya ibadah khusus, bukan
pada aktiviti kehidupan lain. Maka, orang akan pelik jika diberitahu, semakin
banyak melanggar undang-undang jalan raya, semakin banyak pahala berkenderaan
gugur hangus!
Allah mengiktiraf undang-undang yang dibuat oleh
pihak berkuasa(yang disebut undang-undang dunia), seperti yang termaktub dalam
ayat 59 surah an-Nisa’ “Wahai orang-orang yang beriman, patuhi Allah,
patuhi rasul dan patuhi ulil amri (pihak berkuasa) dalam kalangan kamu…..” Oleh kerana undang-undang jalan raya dibuat
oleh pihak berkuasa untuk menjamin kesejahteraan semua penggunanya, maka
kepatuhan terhadap undang-undang itu termasuk perintah kepada ‘orang-orang yang
beriman’. Tidak ada dikotomi kepatuhan
kepada Allah dan rasul dengan ulil amri di sini. Itulah yang dikatakan sistem Islam yang kaffah
atau menyeluruh di dunia, patuh dalam ibadah khusus dan keduniaan lain.
Untunglah yang menjaga adabnya di jalan raya demi
mematuhi perintah dalam al-Quran dan rugilah yang dengan sengaja memandang undang-undang
jalan raya sebagai remeh temeh kerna dibikin manusia (ulil amri). Orang yang bersikap mematuhi undang-undang
Allah (sebab tertera jelas dalam al-Quran) dan mengabaikan undang-undang
keduniaan lain, dari sudut politiknya berfikiran ‘politik suku agama suku’.