Pengikut

Khamis, November 27, 2008

DR Asri pergi jua

AKHIRNYA kau pergi jua….

Tamat bulan November ini, berakhir jugalah tugas Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai Mufti Kerajaan Perlis Darul Sunnah. Banyak pihak termasuk yang dahulunya tidak perduli dengan institusi Mufti telah melahirkan rasa sedih kerana bakal kehilangan satu nama penting dalam institusi Mufti. Sebelum Dr Asri menjawat Mufti dahulu, sebenarnya sentiasa ada 14 orang Mufti secara rasmi dalam negara. Setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan mempunyai Mufti yang bertugas sebagai penasihat kerajaan dan rujukan bab hukum agama. Namun dengan kehadiran Dr Asri sebagai Mufti Perlis memberi sentuhan baru, dirasakan kehendak-kehendak umum mahu melihat pandangan ulama mengenai hal-hal semasa dipenuhi.

Dr Asri tidak kontoroversi, tetapi masyarakat yang kontroversi! Keadaan ini terjadi kerana kebiasaan (uruf) masyarakat tercabar dengan pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Dr Asri selaku Mufti salah sebuah negeri. Apabila Dr Asri mula bersuara mengenai kerja-kerja mengintip pesalah maksiat sebagai bukan suruhan agama, maka masyarakat khasnya golongan agama tergempar. Dr Asri mempertahankan hujahnya, dan kini tiada lagi bunyi sindiran terhadap isu itu sekalipun untuk sekian kalinya ditekankan semula oleh Mufti muda itu.

Kemantapan hujah Dr Asri dalam memberikan pandangan sekalipun dilihat berlainan akhirnya telah difahami majoriti umah di Malaysia. Dalam temu bual di kaca TV, Dr Asri mahukan para agamawan bersifat kesarjanaan, ertinya pemberian ilmu berhujahkan dalil. Dari situlah pemikirannya menjalar ke serata negara dan menjadi tag baru dalam arus tajdid. Tanyalah muslim dewasa, siapa yang tidak kenal Dr Asri Mufti Perlis? Tanyalah para pemikir dan aktivis Islam, siapa yang tidak kenal aliran pemikiran yang dibawanya?

Penulis merasakan memang wajar Dr Asri berundur daripada jawatan Mufti sekarang, pada saat namanya berada di kemuncak dan telah berjaya menjadikan institusi Mufti mempunyai standard baru yang bernilai tinggi. Masyarakat tetap akan mencari Dr Asri untuk mencari buah fikirannya sekalipun tidak lagi menjawat jawatan Mufti.

Oleh itu penggantinya mestilah sama wibawa seperti beliau dan akan meneruskan kerja-kerja tajdid yang sedang dibawanya. Setelah penampilan Dr Asri, institusi Mufti Perlis akan menjadi sandaran baru dalam pemikiran Islam di Malaysia. Patut benar Dr Asri telah mengemukakan nama untuk dipertimbangkan menggantikannya kelak.

Jelas dan terbukti bahawa arus tajdid berteraskan alquran dan sunah sangat menepati fitrah dan nurani masyarakat Islam khasnya di Malaysia. Fikrah berlandaskan wahyu dan sunah nabi adalah pemikiran murni yang wajib diteliti oleh yang sangat septikal terhadap aliran sunah, sehingga mereka memberi gelaran tidak murni kepada pendukung aliran sunah.

Demikianlah kebenaran, sekalipun asalnya ditemui dalam keasingan, akhirnya tiada siapa yang mampu menahan penyebaran pemikiran berasaskan alquran dan sunah.

APA ada pengantin bersanding

MEMANG sekarang musim perkahwinan, dan patut benar SS Tuan Mufti Perlis mengulas mengenai perkahwinan dari sudut alquran dan sunah. Dan sesungguhnya upacara perkahwinan itu sebenarnya lebih merupakan adat budaya bangsa. Hanya pernikahan yang diwajibkan oleh syariat, manakala hal kenduri menjamu hadirin merupakan sunat. Rasulullah pernah meminta supaya dibuat juga majlis perkahwinan yang mengundang orang hadir dan menjamunya, meskipun lauknya hanya seekor kambing! Kenduri kecil saja…

Dalam masyarakat Melayu memang meletakkan pernikahan suatu yang penting sehingga majlis itu dipandang suci apabila dilaksanakan dalam masjid, walhal rumahnya jauh lebih mewah dan indah berbanding masjid yang dipilihnya.

Untuk memeriahkan majlis dan menggembirakan itulah akal fikiran dengan kreatif mencipta pelbagai upacara atau protokol yang diterima sebagai adat. Islam tidak mengharamkan adat untuk kemeriahan majlis itu asalkan tiada berlaku pembaziran, hal-hal haram atau syirik. Lantaran itu segolongan pihak begitu tegas mengatakan bahawa persandingan pengantin sebagai haram kerana didakwa berasal daripada agama Hindu. Telah lama juga penulis mencari-cari bukti sahih bahawa persandingan itu sah merupakan salah satu ritual dalam ibadah Hindu, namun setakat ini belum menemui fakta yang sahih. Mereka yang mengharamkan persandingan itu cukup sekadar mengatakan
sanding salah satu rukun agama Hindu.

Hujah lain untuk mengharamkan persandingan ialah pendedahan aurat pengantin perempuan. Maka sekarang mana-mana pengantin perempuan yang memang biasa bertudung, tetap mengenakan tudung sewaktu bersanding. Kemudian hujah lain yang dikemukakan ialah tabaruj iaitu hiasan atau persolekan yang dikenakan terhadap pengantin perempuan. Hal ini nampaknya belum ada yang menyahutnya! Penulis akan ketawa jika ada mak andam menyerahkan pengantin perempuan kepada umum tanpa solekan! Gincu, bedak dan celak itu rukun solekan, dan solekan itu rukun besar pengantin! Eh bagus juga jika mak andam buat begitu, buatlah...

Oleh itu, harus atau haram pengantin bersanding masih menjadi perdebatan. Ulama yang relatifnya tua-tua akan cenderung mengharamkan terus persandingan ini, manakala golongan yang masih muda melihat ada kelonggaran untuk melakukannya. Agaknya orang muda, masih ada peluang bersanding lagi!

Terbaru penulis menghadiri satu majlis perkahwinan dua pasang pengantin. Majlisnya meriah kerana ada beberapa event yang dikatakan adat perkahwinan Melayu dan ditambah kreativiti orang zaman moden. Apabila tiba jamuan pasangan pengantin, hanya sepasang saja yang menjamu selera secara rasmi itu. Rupa-rupanya yang sepasang lagi membuat satu bantahan kepada pihak tuan rumah kerana menyempurnakan perkahwinan kedua-dua anaknya serentak dalam setahun (Tahun Hijrah). Puak ini rupanya masih percaya akan berlaku sial atau mala petaka apabila dua anak dinikahkan dalam setahun. Menurut kepercayaan karut itu, sepatutnya anak yang seorang lagi sepatutnya dinikahkan setelah tamat bukan Zulkaedah ini, maknanya telah berganti tahun!

Kasihan, dalam zaman manusia berilmu tinggi, diajar berfikiran rasional, diterapkan kajian ilmu sains, ada lagi pemikiran kuno zaman sebelum Islam yang diwarisi dan diperjuangkan. Jadi, tinggal begitu sajalah lafaz
laa ilaaha illalaah beribu-ribu kali setiap malam Jumaat dan majlis Tahlilan tanpa memberi apa-apa faedah keselamatan akidah. Seribu kali lebih baik masyarakat diberi kefahaman mengenai erti ‘Tiada Tuhan melainkan Allah’ berbanding mengajarkan ratib kalimah itu beribu-ribu kali.

Ibu penulis kata, dahulu ada puak tidak berani menikahkan anaknya pada bulan Safar. Menurut riwayat adat Melayu, bulan itulah bulan sial. Inilah sebagian adat yang menyusahkan perkahwinan sedangkan Islam memberi jalan yang mudah untuk melaksanakan urusan itu.

Sebab itu ada gerakan untuk kembali kepada ajaran sunah, yang berpaksi pada alquran dan sunah atau hadis sahih. Apabila ada konflik antara adat-adat yang menyalahi alquran dan sunah, muslim tidak ada pilihan kecuali mengutamakan wahyu dan sunah nabi itu. Perlu diingat bahawa dalam masyarakat Melayu, sebagian adat telah dianggap pula sebagai ibadah agama. Ini yang perlu penjelasan sekalipun sensitif bunyinya.

Ahad, November 23, 2008

ETIKA penulis blog

MENTERI Dalam Negeri mangatakan supaya penulis blog ada etika sendiri sebab blog sudah mampu membentuk pemikiran atau pandangan pembaca. Nah, itu pandangan seorang Pak Menteri yang menjaga hal keselamatan dalam negeri, yang antara tugasnya menelusuri kandungan dalam blog.

Sesungguhnya tanpa ada bicara Pak Menteri pun kehidupan wajib ada etika. Ada orang berpura-pura lupa dengan etika atau peraturan hidup apabila menulis dalam media maya. Sebagai muslim adakah ruang untuk lepas bebas daripada pengetahuan Allah dan lepas daripada tanggung jawab di akhirat sana?

Sebenarnya malang juga apabila ada golongan agama seperti ‘ustaz’ atau yang mempopularkan diri sebagai pejuang Islam mengambil kesempatan adanya alam maya untuk mengeluarkan tulisan (baca ucapan) yang mereka sendiri tidak sanggup lafazkannya jika wajah mereka kelihatan di mata umum.

Sekalipun mereka memakai tanda ‘orang agama dan pejuang agama’, tidak ada kekebalan di sisi Allah untuk menyamar semata-mata untuk melepaskan ucapan-ucapan tidak ada etika. Oleh itu sama sahaja di sisi Allah, sama ada menulis dengan jujur atau menipu. Bersembunyi atau mempamerkan diri, kita tetap akan dipertanggungjawabkan di mana-mana juga. Sepatutnya kefahaman mengenai Hari Akhirat akan lebih menggerunkan diri sama ada di dunia fisikal atau maya.

Kenyataan Pak Menteri penulis sertakan di bawah.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122205116&sec=mstar_berita

Khamis, November 20, 2008

DAKWAH kritik tetap ada

APAKAH yang dikatakan sensitif dan tidak dapat dibicarakan di khalayak? Sensitif ini merupakan hal yang menyentak perasaan dan menyebabkan si pendengarnya terasa dipersalahkan. Sebagai contoh, jika berhadapan dengan seorang yang badannya gempal atau perutnya gendut dan kita berbicara mengenai kesan-kesan buruk pemakanan, orang berkenaan akan tersinggung. Maka, kepada mereka hal pemakanan sudah menjadi isu sensitif.

Ada waktunya isu yang dibawa tidak sensitif kepada sesetengah pihak tetapi sensitif kepada pihal lain. Cerita-cerita sesama orang kaya dengan gelak tawa biasa saja, tetapi mauduk merena ada yang sensitif kepada pihak miskin. Begitu juga sebaliknya.

Prinsip Islam dan sebagaimana contoh dakwah Rasulullah sangat jelas, bahawa amal makruf dan nahi munkar melewati sempadan sensitif. Jika hanya tidak mahu memasuki zon sensitif atas alasan tidak mahu menimbulkan konflik, Rasulullah patut orang pertama untuk tidak mengkritik akidah sesat Arab Jahiliyyah.

Pembicaraan kritik dakwah Rasulullah itu meliputi hal tauhid, ekonomi dan sosial. Kalaulah metod dakwah Rasulullah tidak memasuki zon kritik di Makkah, maka pasti kehidupan orang Islam (agaknya cuma beberapa orang saja) terus aman tanpa gangguan. Kerana ada dakwah kritik maka berlaku penggempuran secara terancang oleh kaum Arab musyrikin Makkah terhadap Rasulullah dan umat Islam di Makkah.

Orang Arab percayakan Allah tetapi membuat sembahan-sembahan lain yang dianggap tuhan dan berkuasa. Hal ini akidah yang sesat dan Rasulullah kritik, sekalipun ini isu yang sangat sensitif. Kerana kritikan itu masyarakat Arab yang asalnya sangat memuliakan Rasulullah dengan gelaran ‘al-amin’ telah berubah dengan memberi gelaran ‘orang gila’. Kalau zaman sekarang dapatlah gelaran ‘mangkuk ayun’.

Dakwah kritik ini sebenarnya mudah diterima sebagai kritikan yang sah apabila ditujukan kepada amal-amal yang dilakukan oleh golongan bukan agama. Misalnya, penjawat-penjawat yang terlibat dalam penguatkuasaan atau kepentingan dalam pengurusan, kemudian mereka tersasar melakukan rasuah. Kritik kesalahan rasuah kepada mereka tidak dipertikaikan termasuk oleh yang terdakwa rasuah sendiri.

Mengkritik kaki-kaki judi nombor ekor dan pergaulan bebas lelaki-perempuan juga berjalan dengan baik kerana umum tahu perbuatan itu salah. Kalau ada sanggahan pun barangkali mempersoal kewibawaan si pendakwah yang mengkritik penjudi dan kaki nafsu itu seperti “kamu pun buat juga, jangan cakaplah….”

Melakukan dakwah kritik kepada orang berkuasa banyak risikonya seperti yang dihadapi oleh Rasulullah. Contoh mudah apabila seorang isteri mengkritik suaminya yang tidak menunaikan janji berhenti merokok, suami mungkin memberi hadiah penampar jepun!

Antara yang susah dan kontroversi melakukan dakwah kritik ialah terhadap golongan agama atau kritikan perkara agama. Umum membuat kesimpulan bahawa amal yang dilabel agama sama ada kategori sunat atau wajib adalah kudus. Misalnya jika ada 100 ribu orang dalam sebuah stadium melakukan zikir beramai-ramai sehingga kepala mereka terhangguk-hangguk, umum menerima dalam skop kekudusan beragama. 100 ribu manusia itu dengan pemimpin zikirnya juga dianggap imej manusia kudus.

Kritikan dalam bab agama lebih disifatkan sensitif. Bayangkanlah apabila hal-hal yang dianggap kudus atau suci dikatakan salah atau menyalahi sunah Rasulullah. Oh, jadi gawat. Itulah antara sebab para ustaz pun tidak mahu terjun dalam dakwah kritik ‘hal agama’. Oleh itu melakukan kritik terhadap perbuatan yang nampak kudus dan dilakukan oleh orang yang dianggap kudus lebih payah berbanding mengkritik segerombolan pelacur di Jalan Bukit Bintang!

Rabu, November 19, 2008

"TAK terhingin pun dengan wahabi!"

PENULIS sedar perkataan ‘wahabi’ sensitif dalam masyarakat Islam. Kita akan menemukan dua pandangan dasar yang berbeda berkenaan perkataan ini sehingga menimbulkan pula dua kesan pemikiran.

Pertama: Perkataan ‘wahabi’ sebagai satu konotasi buruk manusia beragama Islam sehingga apa-apa perkara yang tidak disenangi atau tidak sama dengan amalan biasa masyarakat akan dimasukkan dalam bakul ‘wahabi’. Situasi ini yang banyak berlaku sehingga disebut dalam khutbah jumaat dan rancak dalam ruangan siber.

Kedua: Perkataan ‘wahabi’ terpaksa digunakan untuk menjelaskan pendirian sesuatu perkara yang lebih menjurus kepada penerangan sebenar. Seperti yang dipilih sebagai isu dalam Majalah I bulan November, bukanlah majalah itu mempromosi perkataan wahabi, sebaliknya cuba meluruskan salah faham masyarakat terhadap perkataan itu.

Oleh itu sudut pandangan kedua merupakan reaksi daripada pandangan pertama. Kalau saja pandangan pertama tidak wujud atau terlalu kecil, majalah I tidak menjadikan wahabi satu isu penjelasan.

Sila lihat
http://al-fikrah.net/News/article/sid=284.html

Maaf dengan bahasa paling busuk, penulis menegaskan bahawa ‘tidak terhingin pun dengan perkataan wahabi!’ Dan penulis pun tidak reda dicop wahabi hanya kerana tidak menerima amalan tahlil arwah. Tapi itulah bendera yang mahu diberikan kepada orang macam penulis, sehingga Tuan Guru Nik Aziz Menteri Besar Kelantan yang menolak amalan kenduri tahlil arwah juga dicop wahabi. Cop ini jelas untuk memberi gambaran buruk dan meminta orang ramai menjauhi nama-nama yang dicop begitu.

Tidak ada orang yang berusaha mengamalkan ajaran alquran dan sunah yang sedaya upaya menyandarkan kerja-kerja ibadah dengan dalil sahih merelakan dan membanggakan diri sebagai ‘wahabi’. SS Dr Mohd Asri Mufti Perlis pun tidak menerima dirinya sebagai watak wahabi, tetapi mereka yang tidak setuju dengan pendapat dan hujahan beliau tidak henti-henti menuduhnya sebagai wahabi.

Sudah lumrah sejak zaman para nabi bahawa jalan hidup yang menuju kebenaran wahyu tidak dituruti oleh majoriti manusia. Sebagaimana Rasulullah dituduh sebagai orang gila oleh masyarakatnya (Arab Quraisy), maka sesiapa sahaja yang cuba meluruskan akidah dan ibadah masyarakat akan dilihat mengancam yang sedia ada.

Jika Sebagian Arab Jahiliah dahulu menentang dakwah Rasulullah kerana bimbang perniagaan berhalanya merudum, kerja-kerja pemerasan ekonomi dan status sosial bangsawannya terancam, maka sekarang pun ada yang selama ini dapat banyak makan percuma apabila berlaku kematian akan melenting jika tradisi itu dihentikan.

Anak-anak di pusat tahfiz yang selama ini mudah mendapat pelanggan perniagaan mengirim pahala bacaan alquran pun akan kering poket. Orang yang selama ini sedap menerima wang kerana solat jenazah pun marah kalau ada yang mahu hentikan bayaran ini. Duit tak masuk beb!

Dalam masyarakat Melayu antara yang tinggi status sosialnya sejak zaman tradisional ialah imam dan bilal. Tugas utama mereka ialah di masjid, tetapi penghormatan akan bertambah apabila menjadi ketua dalam majlis-majlis tahlil arwah. Sebagai tekong kenduri arwah, kadang-kadang beliau akan diberi hadiah istimewa lain seperti kain pelikat. Kalau sistem ini diruntuhkan, mereka akan kehilangan status mulia yang susah untuk dicari ruangnya lagi. Ah…, ini seperti cerita para pembesar Melayu zaman permulaan penjajahan British yang melawan British kerana dihalang mengutip cukai dan memiliki hamba. Semua kerana kepentingan diri!

Selasa, November 18, 2008

CERITERA sebuah van

SELALU orang bertanya: Apa yang ada pada sebuah van lama? Cuba cari jawabannya di balik sebuah van yang dianggap sudah berumur. Sewaktu dalam masih hangat berhari raya, Allah menakdirkan kenderaan penulis rosak teruk kerana kecelakaan di jalan raya. Maka terasa payah benar untuk pengurusan hidup yang selama ini hanya bergantung pada sebuah kereta itu.


Seorang sahabat memberikan van yang dikatakan telah berusia kepada penulis, guna pengurusan hidup berkeluarga. Dan kebetulan juga dalam tempoh itu anak penulis mendapat kecederaan di kaki, sehingga ada waktunya payah juga membawanya dengan menunggang motorsikal. Justeru terasa berharganya sebuah van itu.

Rupa-rupanya kenderaan penulis tidak dapat dibereskan dalam tempoh terdekat, memaksa penulis terus menggunakan van berkenaan termasuk berkelana jauh. Untuk menambah cerita sebuah van, kenderaan yang dipinjamkan oleh sahabat ini rosak pula. Sahabat ini pula yang mengambil van ini dan menghantarnya ke bengkel untuk pembaikan.

Benarlah Allah yang mengatur kehidupan hamba-hamba-Nya, maka dalam keadaan penulis kepayahan anak yang masih sakit dan musim hujan sahabat ini memberikan pula sebuah keretanya yang masih baru dengan alasan berkursus jauh. Lalu penulis berkesempatan menggunakan kereta barunya untuk tiga hari pula.

Sehingga itu kereta penulis masih tidak dapat dikeluarkan daripada bengkel, maka van yang sudah dibaiki diberikan semula kepada penulis untuk kegunaan harian.

Cerita sebuah van lama sebenarnya cerita seorang sahabat yang terhasil daripada tarbiyah iman dan taqwa. Sama seperti kaum Ansar di Madinah menjadi penolong kepada kaum Muhajirin yang sangat unik dan indah, tidak ditemui dalam sejarah persahabatan dan persaudaraan manusia. Islam, iman dan taqwa telah menjadikan manusia meleburkan rasa kepentingan peribadi kepada kehendak sejagat yang tidak menagih balasan dunia.

Maka, kepada Allah juga segala pengalaman dan rintihan cerita sebuah van berusia disampaikan. Untuk penulis membalas budi sahabat ini, entah sampai atau tidak tahap keadilan yang sebenarnya. Oleh itu kepada Allah juga diharap sahabat ini mendapat balasan indah yang sangat adil. Moga-moga Allah memberikan balasan kebaikan di dunia ini, apatah lagi di akhirat sana.

Isnin, November 17, 2008

MESKI hanya orang biasa

INSAN biasa! Hendak dikata apa lagi untuk kebanyakan manusia yang mengaku beriman kepada Allah. Kebanyakan bukanlah pemimpin, aktivis, kaki solat tahajud, dermawan dan pendakwah yang telah menempuh perjalanan beribu-ribu kilometer. Ya, insan biasa ini tetap ada nilai di sisi Allah dan mengharap keredaan dan keampunan-Nya.

Perhatikan maksud hadis di bawah mengenai insan biasa, yang dikatakan low profile.

Daripada Anas ra. katanya: satu hari kami berada bersama Rasulullah saw lalu Baginda bersabda katanya: sekejap lagi akan muncul ikut jalan ini seorang dari ahli syurga kata Anas ra. Sekejap muncullah seorang lelaki dari kaum Ansor yang masih basah janggutnya dari kesan wuduknya dan bila besok hari Baginda ulangi sabdanya lagi maka muncul orang yang sama. Dan pada hari ketiga Baginda ulangi lagi perkataannya itu dan muncullah lelaki yang sama. Dan bila nabi berlalu pergi, Abdullah bin Amru ra. mengikuti lelaki tersebut dan mohon untuk bermalam di sisinya lalu dibenarkan, Abdullah pun bermalamlah di rumah lelaki tersebut selama tiga malam dan didapatinya lelaki tersebut tidak pernah bangun berjaga dan beribadat pada malam tersebut selain bila dia beralih dari tempat tidurnya dia berzikir kepada Allah dan tak ada bangun untuk solat fajar dan tidak berkata-kata selain kebaikan sahaja. Dan bila selesai tiga malam itu, lalu Abdullah menceritakan sabda Rasul mengenai lelaki tersebut. Dan katanya aku lihat kamu biasa sahaja dan tidak melakukan amal atau apa-apa keistiwewaan pun. Aku ingin tahu apakah sebabnya kamu mendapat kelebihan tersebut. Maka jawab lelaki tadi: itulah apa yang kamu lihat dan tidak ada yang lain cuma aku tidak menaruh sebarang perasaan hasad dengki kepada seorang dari saudara islam, yang mendapat sebarang nikmat yang dikurniakan kepadanya. (Riwayat al-Bazzar dan dikatakan sahih atas syarat Bukhari dan Muslim).

Moral hadis ini ialah akhlak mulia, yang bersyukur dan tidak mempunyai perasaan benci, dendam dan dengki khianat terhadap orang lain menjadi tiket memasuki pintu syurga Allah. Orang seperti ini dengan kedudukannya sebagai orang kecil yang low profile, senantiasa menjaga amal ibadah menuruti sunah dan menjaga akhlaknya seperti yang disaran dalam alquran. Itu saja, maka ditarget oleh Rasulullah sebagai ahli syurga!

Subhanallah…, semoga ruang yang berbaki akan terisi dengan amal dan terpeliharan daripada akhlak kotor.

Sabtu, November 15, 2008

PENGALAMAN Ustaz Hasrizal Jamil

Penulis paparkan pengalaman Ustaz Hasrizal Jamil (Saiful Islam) mengenai saudara baru yang didakyahkan mengenai perkataan 'wahabi'. Tidak banyak bedanya pengalaman penulis yang melepaskan seorang remaja yang baru memeluk Islam kepada seorang 'guru akidah'. Atas nama percaya 'guru' itu tahu seni dan teknik memberi ilmu akidah, penulis pasrah. Malangnya 'guru' itu menyumbat dengan dakyah dan propaganda antiwahabi tanpa apa-apa pengertian.
Berikut catatan Ustaz Hasrizal Jamil
Saya rasa ulasan tentang Wahabi itu sudah banyak, dan boleh dikatakan keseluruhannya baik, Insya Allah. Saya sebenarnya sentiasa avoid untuk tersentuh semula bab ni sebab saya rasa, pengalaman lepas sudah cukup memeritkan, terutamanya semasa melihat adik-adik di Jordan berperang sesama sendiri, tidak bertegur sapa dan macam-macam lagi insiden yang memalukan, semata-mata atas isu ini. Malah, semasa di UK dan Ireland pun keadaannya sama. Pendek kata, apabila bincang bab Wahabi ni, banyak sungguh masa terbuang. Sebab tu kalau nak bincang pun, saya cuba mencari sudut yang belum pernah saya sentuh.

Anyway, saya terkenang semasa di Ireland, saya ada seorang housemate berbangsa Perancis yang pada masa itu baru 9 bulan masuk Islam. Dia masuk Islam selepas beberapa ketika terpikat dengan falsafah, dan keindahan syair-syair Jalaluddin ar-Rumi. Jadi, orangnya agak ‘sufi’ dan jiwanya halus. Malang sekali, dalam usia Islamnya yang begitu muda, dia telah menerima suntikan maklumat supaya berhati-hati mempelajari Islam sebab jika tersilap, akan terjebak ke belenggu Wahabi!

Suatu hari, dia bersembang dengan saya secara personal. “Hasrizal, I have a good news but it is not that good!”. Hairan saya mendengarnya lalu saya bertanya, “what sort of statement is this? I can’t see what you are trying to tell me”. Katanya, “my wife is pregnant and I’m gonna be a daddy!” Wow, ini sepatutnya menjadi berita gembira. Saya tanya dia, kenapa pulak awak tak begitu gembira dengan berita ni? Dan jawapannya amat mengejutkan saya.

Dia gembira apabila mendapat tahu isterinya mengandung. Tetapi dia dihantui rasa bimbang hingga paranoid. Katanya, dia orang sufi, suka kepada zikir-zikir dan meminati Jalaluddin ar-Rumi. Dia takut apabila anaknya dah dewasa, anaknya akan jadi Wahabi dan mengkafirkan dia kerana sufinya dia! Ya Allah, rasa nak putus jantung saya dibuatnya.

“What are you talking about, mate? All these are nonsense!”, rasa nak mengamuk saya dibuatnya. Itulah kali pertama dia sebut tentang Wahabi kepada saya dan apabila saya siasat, rupa-rupanya dia telah diberikan berbelas keping artikel tentang bahaya Wahabi sedangkan, dia baru sahaja belajar bertatih di dalam ilmu Fardhu Ainnya.

Ya, itu satu kenangan silam saya tentang Wahabi.

Khamis, November 13, 2008

ULANG tahun pertama blog

HARI ini 13 November 2008 cukup setahun blog ini berada di alam maya. Blog ini bukanlah pilihan utama para pelayar di alam maya, namun tetap mempunyai peranan sendiri dalam menyampaikan maklumat.

Sewaktu ingin membuka blog setahun lalu, penulis telah memikirkan beberapa perkara seperti tema dan isi kandungan serta matlamat pembinaannya. Penulis sedar cara-cara untuk meraih bukaan terbanyak dalam media mestilah menampilkan isu-isu semasa yang panas. Semakin panas isu yang digarap, semakin menjadi buruan pelayar maya. Namun penulis tidak memilih kaedah seperti itu.

Penulis juga ada pilihan untuk menulis isu panas seperti politik dan menyembunyikan identiti diri. Namun penulis berpegang kepada ketelusan dan kejujuran kerana bagaimana dan di mana pun seseorang hendak menyembunyikan diri, tidak lepas daripada pengetahuan Allah swt. Oleh itu, penulis menulis dengan terbuka dan diketahui identitinya.

Tidak ada apa-apa yang kontroversi selama setahun blog ini dilayari, dan yakin bahawa blog ini juga telah dikenalpasti kategorinya oleh pihak yang menjaga keselamatan dalam negara. Oleh kerana blog ini bertemakan ‘alquran dan sunnah’ mana penulis juga yakin pihak berkuasa agama negeri-negeri dalam negara Malaysia juga memantau isi kandungannya.

Sekalipun ada terbitan dalam blog ini yang tidak selaras dengan uruf masyarakat muslim dalam negara, namun penulis tidak merasa ada kebimbangan apa-apa. Keyakinan penulis ialah bahawa alquran dan sunnah adalah hujah kebenaran dalam mana-mana jalan mencari jalan Tuhan!

Semoga penulisan dalam blog ini terus mendapat petunjuk Tuhan demi menyampaikan mesej-mesej yang benar.

Isnin, November 10, 2008

KAYU sula

SI jurubom dalam tregedi Bali 2002 yang mengorbankan 202 jiwa, Amrozi, Ali Ghufron dan Imam Samudra sudah menjadi arwah selepas menghadapi skuad penembak masing-masing. Seperti biasa ada yang meragui bahawa ketiga-tiga mereka adalah jurubomnya dan sebagian lagi cukup yakin dan berterima kasih dengan selesainya hayat tiga manusia ini. Allah juga yang Maha Tahu!

Tulisan ini cuma mahu menyusup mengenai keyakinan manusia menghadapi mati dan sebagian besar lagi (mungkin termasuk penulis) cukup gerun dengan khabar kematian sendiri. Khabarnya ketiga-tiga finalis pengebom Bali cukup bersemangat untuk menerima hukuman mati kerana sudah terbayang alam syurga bagi para syuhada. Ya, kerana keyakinan bahawa perbuatan itu, mereka akan menempuh syahid. Biarlah Allah yang menentukan benar salahnya mereka.


Pejuang kemerdekaan Filipina Jose Rizal juga mengakhiri hidupnya dengan menerima hukuman tembak daripada pemerintahan Sepanyol. Dikhabarkan apabila tubuhnya tertiarap kerana ledakan senjata api penembak, Jose Rizal berusaha untuk menelentang sebagai tanda tetap melawan penjajah sekalipun sudah di hujung nyawa. Demikian berani dan yakinnya seorang pejuang.

Umar Mukhtar seorang pejuang dari Libya juga akhirnya digantung oleh penjajah Itali sekitar tahun 1930-an kerana aksi-aksinya menggerakkan rakyat melawan penjajahan. Kepada rakyat muslim Libya, Umar Mukhtar telah menjadi syahid tetapi kepada Itali dan pendukungnya Umar mati sebagai pemberontak. Dalam filem digambarkan Umar tenang saja menerima hukuman yang disaksikan oleh jutaan rakyat Libya!

Tokoh Ikhwanul Muslimin Mesir yang mendapat hadiah tali gantung pada zaman Presiden Gamal Abdul Nasir ialah Abdul Qadir Audah dan Syed Qutb. Diberitakan mereka tidak mahu memohon apa-apa ampun daripada sang Presiden dan bersedia mati kerana pekerjaan mereka.

Dalam fiksyen novel Keluarga Gerilya oleh Sasterawan Besar Indonesia Pramoedya Ananta Toer seorang tokoh pejuang kemerdekaan bernama Saaman mengakhiri watak hebatnya di hadapan skuad penembak. Mungkin kerana itu hanya cerita sastera, maka pengarangnya menggambarkan hebatnya Saaman menghadapi skuad penembak daripada kalangan bangsanya sendiri. Saaman seperti tidak akan rugi apa-apa dengan kematian, malah tidak mahu pula matanya ditutup supaya dapat menyaksikan anak-anak muda bangsanya melepaskan peluru pembunuh untuk menamatkan riwayat pejuang kemerdekaan bangsanya sendiri. Indahnya dalam sastera seorang pejuang!

Berdasarkan cerita tukang gantung dalam penjara di dalam negara, banyak banduan akhir yang sudah lemah lutut atau tidak bermaya sebelum tubuhnya ditegakkan untuk digantung sampai mati. Sejahat-jahat dan hebat manapun manusia akan mencari jalan akhir untuk menyelamatkan nyawanya daripada direnggut kecuali mereka yang penuh keyakinan bekerja dan berjuang kerana di jalan benar dan sanggup menerima kematian itu! Orang-orang seperti ini penuh yakin bahawa sebaik sahaja mati menjemput, rohnya diraikan sebagai tetamu kebesaran Allah!

Malangnya belum ada para petugas di penjara akhir yang berfikiran kreatif lalu menjadikan pengalaman mereka sebagai modal penulisan cerpen atau novel. Oleh itu segalanya tinggal misteri dan hilang tanpa rakaman penulisan abadi.

WUDUK Nabi pun wahabi!

Kebiasaannya cara masyarakat muslim kita berwuduk atau mengambil air sembahyang ialah antaranya membuat sentuhan ke rambut atau mana-mana sebahagian kepala sebanyak tiga kali. Jika sesiapa yang tidak melakukan demikian dan memilih cara seperti dalam satu hadis sahih riwayat Imam Bukhari, besar kemungkinan individu itu akan dilabel wahabi! Maknanya para sahabat Nabi saw yang mengajarkan wuduk ini juga boleh dilabel wahabi. Dahsyat sungguh…….

Dari Amr bin Yahya dari ayahnya, katanya: Aku menyaksikan Amr bin Abu Hasan bertanya kepada Abdullah bin Zaid mengenai wuduknya Nabi saw. Kemudian Abdullah meminta sebuah bejana berisi air, terus berwuduk untuk diajarkan kepada orang banyak. Dia menuangkan air di atas kedua-dua tangannya kemudian membasuhnya tiga kali, kemudian mamasukkan tangannya ke dalam bejana, terus berkumur-kumur dan menghirup air ke dalam hidung lalu menyemburkan tiga kali dengan tiga kali cedokan air. Setelah itu dia pun memasukkan tangannya ke dalam bejana lagi, kemudian membasuh muka tiga kali, seterusnya memasukan lagi tangannya ke dalam bejana lalu membasuh tangannya sampai ke siku dua kali (setiap satu). Selanjutnya dia memasukan tangannya dalam bejana lalu membasuh kepalanya yang dimulai dari bagian (atas) muka mengusap kedua-dua tangannya sampai ke tengkuk dan membelakangkannya, iaitu mengusap kepala itu kembali dari belakang terus sampai di kepala bagian atas muka tadi. Sehabis itu dia memasukkan tangannya dalam bejana lalu membasuh kedua-dua kakinya sampai ke mata kaki (buku lali). Hadis riwayat Bukhari Bab Mengusap kepala dengan sekali usap, hadis nombor 184.

Berwuduk berdasarkan hadis ini diajarkan pula kepada para jemaah haji kerana dikatakan jika berwuduk dengan cara begini apabila tersentuh mana-mana perempuan yang bukan mahramnya tidak batal wuduknya. Jika di Makkah berwuduk secara biasa orang Nusantara, kalau bersentuh dengan perempuan batal wuduknya. Adakah nabi pernah memberi syarat-syarat begitu? Tidak!

Namun jika dihujah bahawa hukum Islam itu sama saja baik di Makkah atau di Kuala Lumpur, iaitu tidak batal wuduk dengan sekadar tersentuh perempuan, bersedialah untuk dilabel wahabi.

Ahad, November 09, 2008

DIBERI baju wahabi

JIKA sesiapa memilih pendirian dalam beragama yang tampak berbeda dengan amalan kebiasaan masyarakat, bersedialah untuk dilabel sebagai ‘wahabi’. Kalimah wahabi itu diwarwarkan semata-mata untuk memberi wajah busuk dalam beragama dengan tujuan besarnya agar tidak melakukan hal-hal yang dilabelkan wahabi.

Penulis pernah mencatat dalam forum sebuah web proparti politik yang membincangkan sunah solat Jumaat. Apabila penulis menyatakan bahawa berdasarkan sunah Nabi Saw dan pandangan Imam Syafie (tentulah pandangan Syafieyyah) yang azan Jumaat itu hanya sekali sahaja, maka dengan pantas pendirian penulis dilabel wahabi. Tujuannya hanya supaya para pembaca menolak saranan penulis sekalipun hal itu merupakan prinsip Imam Syafie!

Kebanyakan yang cepat membuat onar dengan perkataan wahabi, tidak perdulikan mengenai hujah alquran dan sunah. Kalau sahaja ada sekumpulan manusia bersolat Eid di lapangan, iaitu bukan di dalam masjid, pastilah akan dikatakan kumpulan wahabi.

Maka telah biasa didengar umpatan seperti, “jangan dengar cakap orang ini, dia wahabi” atau “itu orang wahabi, hati-hati berkawan dengannnya”.

Inilah antara hujah beragama yang diajarkan kepada masyarakat oleh sesetengah pihak. Penulis bukan marah atau tidak setuju jika fahaman wahabi mahu dihapuskan. Pendirian penulis ialah mana-mana fahaman beragama yang berlawanan dengan alquran dan sunah wajib dihalang daripada merasuk minda umah. Oleh kerana umpatan mengatakan wahabi itu salah dan wajib dijauhi, maka menjadi kewajiban para pengumpat untuk membuktikan tuduhan itu berdasarkan alquran dan sunah. Jika mereka gagal membawa hujah, maka jadilah fitnah dan berdosa pula di sisi Allah.

Misalnya, jika penulis mengatakan azan Jumaat itu patut sekali sahaja, bukan dua kali sebagaimana semua masjid (kecuali di Perlis) kerana beralasan contoh pada zaman Nabi, Abu Bakr, Umar dan Ali, kemudian disahkan pula oleh Imam Mazhab Nusantara iaitu Imam Syafie, maka jika hendak menolak saranan ini wajiblah membuktikan bahawa azan sekali tidak berlaku pada zaman nabi dan para sahabat itu. Buktikan juga bahawa kata-kata Imam Syafie dalam kitab Al-Umm itu palsu. Jika sudah dibuktikan begitu, barulah dikatakan pendapat penulis (juga yang pendirian sunah) dikatakan wahabi dan wajib dijauhi.

Penulis pernah diugut oleh seorang yang mendakwa cerdik kerana mempersoalkan kenduri arwah berkirim pahala kepada arwah. Dengan pantas dia menuduh penulis menjadi ejen wahabi yang sesat. Saya balas emelnya dengan meminta bukti daripada alquran dan sunah sahnya amalan yang merugikan ekonomi umah itu. Kosong, tidak ada balasan. Apabila saya menyatakan sejumlah ayat-ayat alquran yang membawa maksud bahawa berkirim pahala kepada arwah tidak berguna di sisi Allah, dan meminta dijelaskan sama ada adakah ayat-ayat itu bukan wahyu atau ertinya tidak sebagaimana yang penulis fahami, kosong juga tiada jawaban! Namun dia cukup bernafsu untuk melabel penulis sebagai wahabi.

Maka setakat ini begitulah, umpatan bahawa itu dan ini wahabi, dan wajib dijauhi, sebenarnya tidak dapat dibuktikan secara ilmiah. Seruan-seruan kosong itu semata-mata untuk mempangaruhi minda kosong umah yang cukup sensitif dengan istilah ajaran sesat. Kalau saja didengarnya ‘wahabi sesat’ mereka akan bingkas bangun konon sanggup mati syahid. Jika ditanya apa itu ‘wahabi’, dia akan melarikan diri.

Slogan memusuhi nama wahabi akan terus berjaya selagi cara umah beragama masih mengharap 100 peratus daripada luahan dan tafsiran seseorang, tanpa ada daya melihat maksud alquran dan sunah. Mudahnya, apa pun serangan terhadap usaha tajdid atau gerakan mahu kembali kepada ajaran alquran dan sunah akan berjaya jika minda umah tidak digalakkan berfikir.

Kerap orang politik sebelah lain berkata, pihak yang dimusuhinya suka jika rakyat tolol supaya mudahlah rakyat dibohongi untuk kepentingan peribadinya. Ahh…, sama juga dengan harapan umah terus beku mindanya dengan niat kepentingan nama dan ekonomi (makan percuma pada malam-malam tertentu) oleh sesetengah nama agamawan.

FATWA mengenai wahabi

Yang pertama mencipta istilah wahabi http://al-fikrah.net/News/article/sid=272.html
Petikan fatwa yang dikeluarkan oleh Syiekh Ibn Jibrin mengenai Wahabi.

الواجب على المسلم أن يقبل تعاليم الإسلام ، ويعمل بها ، فمتى سمع بقول أو عمل يكون دليله من الكتاب والسنة فعليه أن يقبله وأن يقدمه على ما سواه ، وأن يعرض أقوال الناس على الأدلة الشرعية ، ويأخذ منها ما وافق الدليل . وقد عُلم أن الشيخ محمد بن عبد الوهاب _ رحمه الله _ كانت دعوته إلى التوحيد وألّف في ذلك كتابه المشهور الذي هو كتاب التوحيد ، واقتصر فيه على الأدلة الواضحة من الآيات القرآنية والأحاديث النبوية الصحيحة ، وشرحه حفيده عبد الرحمن بن حسن ، وغيره من العلماء ، ولهذا لم يقدر أحد من خصمائه أن يردّ على هذا الكتاب ، ولا أن يُبطل أدلته ، وإنما جمعوا أكاذيب عليه واعتقدوا صحتها ، فلذلك اعتقدوا أنه على ضلالة وألحقوا به علماء المسلمين كالشيخ ابن باز والشيخ الألباني رحمهما الله ، ومعلوم أن المشائخ المذكورين لم يخرجوا عن القول الصحيح في الاعتقاد والعمل ، وأنهم على ما كان عليه الصحابة والتابعين والأئمة الأربعة وأصحاب الكتب الستة وغيرهم . أما الذين لا يعترفون بهم فإنما ذلك لجهل أو تقليد ، أو حسد أو عناد أو اتباع للأهواء ، أو تمسك بالعادات والتقاليد والبدع والمنكرات المخالفة للدليل ، وقد ردّ عليهم العلماء المتقدمون والمتأخرون فيجب اتباع الدليل وتقديمه على قول كل أحد .
"Orang Islam wajib menerima ajaran-ajaran Islam, dan mengamalkannya. Apabila mendengar perkataan atau amalan yang disertakan dengan dalil dari Al-Quran atau Sunnah, maka ia wajib menerima kenyataan tersebut dan memberi prioriti (keutamaan) ke atasnya mengatasi segala perkara yang lain. Ia hendaklah merujuk apa yang orang lain kata dengan kenyataan bukti dari syariah, dan hanya menerima pandangan yang berdasarkan kepada dalil.

Telah maklum bahawa Syiekh Muhammad bin Abdul Wahhab rh telah mengajak masyarakat kepada tauhid dan telah menulis buku yang sangat termasyur iaitu Kitab al-Tauhid. Dalam buku ini beliau menghadkan dirinya dengan hanya memetik bukti-bukti yang jelas daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi saw yang sahih.

Komentar buku ini telah ditulis oleh cucu beliau Abdul Rahman bin Hasan dan sarjana lain. Malah tiada seorangpun penentang beliau menafikan buku ini atau mendakwa kenyataannya palsu. Penentang Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab telah mengada-adakan pembohongan dan kepercayaan yang palsu terhadapnya, agar orang percaya bahawa beliau telah menyeleweng. Mereka memberi label yang sama kepada ulama Islam yang lain seperti Syiekh Ibn Baaz, Syiekh Ibn Utsaimin dan Syiekh Al-Albani.

Dimaklum bahawa syiekh-syiekh yang kami sebut tadi tidak menyeleweng daripada pendapat yang benar, baik dari segi aqidah dan amalan. Mereka mengikuti contoh daripada jalan yang sama dengan jalan Sahabat Nabi dan Taabi'een, empat-empat Imam, pengarang-pengarang kepada Kitab Hadis yang Enam (Kutub Al-Sittah) dan lain-lainya. Pihak yang tidak menghargai mereka sama ada secara jahil atau tidak, atau kerana mengikuti yang lain secara membuta-tuli, cemburu, degil, mengikut keinginan masing-masing, patuh kepada tradisi, mempertahanlan bid'ah atau perbuatan buruk yang melanggar bukti-bukti syariah. Ulama dahulu dan sekarang membuktikan bahawa pihak yang membenci para syeikh (Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Syeikh Ibn Baaz, Syeikh Ibn Utsaimin dan Syeikh al-Albani) ini salah. Maka kita hendaklah mematuhi bukti-bukti dan melebihkan mereka ini daripada semua pandangan orang."

Khamis, November 06, 2008

BACA yang mencabar minda

ANTARA perkara yang mudah dalam kehidupan ialah membaca. Bacalah apa-apa bahan untuk maklumat dan menjadikan minda hidup dengan pemikiran. Sebenarya apa yang penting kepada penulis ialah bukan sekadar membaca tulisan, tetapi mesti berani membaca yang kita tidak suka!


Misalnya, jika anda tidak suka ‘wahabi’ bacalah MAJALAH I keluaran bukan November ini untuk mengetahui penjelasan ‘wahabi’ dari sisi yang anda tidak suka. Sama juga jika anda tidak suka produk yang dikatakan bid’ah seperti baca alquran di kubur dan tahlil kirim arwah, sila baca lembaran atau karya yang mempertahankan amalan berkenaan. Bacalah yang kita tidak suka, memang mencabar minda.

Maka, perbuatan menutup mikrofon kerana bimbang suara yang tidak disukai bergema adalah perbuatan orang tidak suka berfikir. Konon dengan merampas bahan bacaan yang tidak disukai akan meneruskan keharmonian adalah hujah orang atas pokok, yang tidak berasaskan pemikiran dan ilmiah.

Maka, bacalah MAJALAH I kerana kandungannya mencabar minda. Siapa yang akan kalah: Pembaca atau majalah itu?

Selasa, November 04, 2008

RASA peduli di luar Ramadan

oleh: Ahmad Lutfi Othman, Pengarang Harakahdaily
http://www.harakahdaily.net/

Kita sering diperingatkan bahawa antara hikmah puasa adalah menyemai rasa peduli dan prihatin terhadap golongan fakir miskin, dapat merasai perit perut mereka menahan lapar, serta menyuntik keinsafan untuk segera membantu masyarakat yang melarat.

Banyak kisah teladan Nabi dan para sahabat yang berupaya mendorong menyuburkan sifat pemurah dan melahirkan lebih ramai dermawan, bukan sekadar terbatas di bulan Ramadan.
Dalam Islam keadilan sosial cukup dititik-beratkan, selain keadilan hukum. Amien Rais merumuskan: Banyak sekali ayat al-Quran yang mengingatkan bahawa harta kekayaan tidak boleh berputar di tangan kelompok kaya saja (al-Hasyr: 7); bahawa orang-orang bertaqwa adalah mereka yang menyedari bahawa dalam harta kekayaan yang ia miliki ada hak bagi golongan fakir dan miskin (az-Zariyat: 19), bahawa perhatian yang penuh harus kita berikan kepada lapisan masyarakat yang belum hidup wajar sebagai manusia (al-Haqqah: 33-34; al-Fajr: 17-18; dan al-Ma'un: 1-2).

Mampukah madrasah Ramadan menyemai budaya menyantuni golongan miskin, memandang mereka dengan penuh kasih sayang sehingga tertanam rasa gelisah jika tidak dapat membantu meringankan beban kelompok yang sering direndah-rendahkan itu?
Seorang isteri tahanan ISA pernah mengeluh: "Mengapa hanya semasa 10 hari terakhir puasa, bantuan mencurah-curah, tapi selepas itu senyap? Apakah kami hanya makan sewaktu Ramadan atau Aidilfitri saja?"

Perhatikan juga kunjungan ke rumah anak-anak yatim, orang-orang tua di musim lebaran, memang menakjubkan. Mereka dibawa ke hotel lima bintang, dijamu puas-puas; sayang, selepas itu kembali dilupakan.

Menurut pengkaji, ada dua hal utama yang dilakukan Rasulullah untuk membebaskan dan membela kelompok miskin.

Pertama, membangkitkan harga diri golongan susah ini, dengan baginda memilih hidup di tengah para hamba sahaya dan orang miskin, sehingga Nabi digelar abul masakin (bapa bagi orang miskin).

Kedua, baginda memilih hidup seperti orang miskin, hidup sederhana, ditahannya lapar berhari-hari kerana Nabi mengerti sebahagian sahabatnya sering kelaparan.
Sikap prihatin ini membudaya dalam diri para sahabat, antaranya Umar al-Khattab.
Hidayat Nur Wahid mengungkapnya dengan baik sekali: "Malam yang tenang menyelimuti mereka yang sudah kembali ke peraduan. Seorang lelaki menyingkirkan selimutnya. Dia bangkit berjalan menyusuri lorong-lorongnya yang sepi. Angin berhembus dingin menusuk tulang. Lelaki itu keluar menyatu dengan malam. Dia tidak boleh tidur. Dia khuatir kalau ada musafir terlantar yang tidak menemui tempat penginapan, orang sakit yang memerlukan ubat, dan orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu yang mengalas perutnya. Dia khuatir ada urusan rakyatnya yang dia abaikan. Bahkan dia juga merasa bertanggungjawab terhadap seekor kaldai yang tergelicir di tepi sungai Furat."

Kisah masyhur itu perlu diulang-ulang untuk menyebatikan diri kita dengannya. Umar yang sering mengadakan "lawatan mengejut" itu kemudiannya terdengar bicara ibu dan anak gadisnya dari sebuah rumah kecil.

Si anak menolak cadangan ibunya yang mahu mencampurkan susu dengan air sebelum dijual kerana Amirul Mukminin melarangnya. Ibu menjawab, "Umar tidak melihat kita".
Dipintas cepat si anak: "Seandainya Umar tidak melihat, tetapi Tuhan Umar melihat kita." Umar kemudiannya menjodohkan 'Ashim, puteranya dengan gadis warak itu, Umm Ammarah, yang melahirkan puteri bernama Laila, dan berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan, yakni bapa Umar Abdul Aziz, yang seterusnya dikenang dengan kisah kesederhanaan dan kewarakan menjaga harta awam, suatu cerita yang mungkin dianggap hampir mustahil diulangi di zaman ini.

Tahniah buat Lim Guan Eng yang berani "menyanggupi" untuk meneladani watak unggul itu. Untuk pemimpin (bukankah kita semua ini pemimpin?), renungilah kata-kata Umar: "Kalau rakyat mengalami kekenyangan, akulah orang yang terakhir menikmatinya, tapi jika mereka mengalami kelaparan, akulah yang pertama merasakannya."

Meneliti sumbangan buat tabung Harakahdaily untuk mangsa ISA, saya masih yakin nurani kebanyakan kita masih jernih dan tulus untuk terus membantu.

Saya tidak risaukan orang biasa, cuma bimbang dengan pemimpin (dan mereka yang rapat dengannya) yang selalu ditimpa ujian kesenangan dan kemewahan!

Sabtu, November 01, 2008

BAHASA Melayu akan kalah?

PERNYATAAN MEDIA
RESOLUSI PERTEMUAN MEJA BULAT KEEMPAT PPSMI


Resolusi Pertemuan Meja Bulat keempat PPSMI di Terengganu sebagaimana yang dilaporkan oleh media baru-baru ini mememperlihtkan kecenderungan untuk menggesa kerajaan meneruskan pelaksanaan PPSMI.

Semua alasan dan hujah yang dikemukakan dengan jelas berasaskan keperluan pragmatis semata-mata dan tidak tampak keinsafan tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang menyeluruh.

Sebagai contoh, apabila dikemukakan hujah bahawa bahasa Melayu masih menjadi bahasa penghantar lebih daripada 50 peratus dan bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa penghantar lebih daripada 40 peratus, pihak yang berhujah itu tidak memahami peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan di negara ini, sebagaimana yang dirumuskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956, Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996.

Selisih tidak sampai 10 peratus antara peranan bahasa Melayu dengan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar ilmu itu sebenarnya telah membentuk sistem dwibahasa dalam sistem persekolahan di negara ini, bukan lagi melanjutkan dasar pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama.Isyarat pernyataan Majlis Raja-raja yang bersidang di Kuala Terengganu baru-baru ini tentang pentingnya kontrak sosial, termasuk tentang kedudukan bahasa Melayu, tampaknya tidak sampai ke dasar jiwa nurani mereka atau sengaja diremehkan oleh penggubal resolusi meja bulat kali keempat itu.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan semata-mata pernyataan dokumentasi di atas kertas, tetapi memerlukan pengamalan dalam bidang-bidang utama kehidupan bernegara, termasuk dalam bidang pendidikan. Tampakanya golongan yang ghairah untuk mencapai kemajuan dalam sains dan teknologi dan dalam penguasaan bahasa Inggeris tidak sama sekali menghayati perancangan pemimpin awal kemerdekaan, khususnya Tun Abdul Razak yang merupakan arkitek konsep kenegaraan Malaysia, termasuk dalam bidang pendidikan.
Saya dan rakan-rakan pejuang bahasa Melayu tidaklah buta hati dalam memahami peri pentingnya sains dan teknologi serta bahasa Inggeris dan bahasa asing lain dalam pembinaan dan pengembangan tamadun negara.

Namun, sekali lagi kami tegaskan bahawa strategi yang munasabah hendaklah diperhitungkan, iaitu kekalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dan pada waktu yang sama perkukuh pengajaran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing lain yang penting melalui mata pelajaran bahasa asing itu sendiri.

Kemajuan sains dan teknologi merupakan suatu keperluan dan di sisi itu, meneguhkan jati diri serta mencapai cita-cita menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu yang merentas semua bidang ilmu pun hendaklah dilihat sebagai suatu keperluan juga.
Prof. Dr Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia – China
Universiti Pengajian Asing Beijing
30 Oktober 2008