TELAH disebarkan dalam media baru, data cukai GST 6 peratus yang didakwa menguntungkan pemerintah dan sebagai bukti penderitaan rakyat. Ayat-ayat yang disertakan itu meminta rakyat pembayar cukai sedar. Dalam banyak diskusi politik pula biasa kedengaran agar rakyat tidak meredai semua pembayaran cukai kepada kerajaan, kerna mereka mendakwa para pemimpin negara memboroskan wang yang diperoleh daripada cukai rakyat.
Kebanyakan kita sebagai rakyat telah diasuh untuk buruk sangka terhadap pemerintah. Apa saja usaha pemerintah pasti disudahi kesimpulan: pemerintah memeras tenaga dan keringat rakyat. Maka rakyat mesti mencela atau membenci pemimpin negara. Bersangka-sangka itu bukannya fakta zahir, malah hanya ilusi atau gambaran tidak pasti. Apakah Islam melayan suatu sangkaan untuk membuat hukuman atau keputusan?
Daripada Hisyam bin Urwah, daripada ayahnya, daripada Zainab, daripada Ummu Salamah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), “Kalian menyerahkan persengketaan kalian padaku. Namun bisa jadi sebagian daripada kalian lebih pintar dalam berhujah daripada yang lain. Maka barang siapa yang kerna kepintarannya itu, aku tetapkan suatu hal yang sebenarnya adalah hak orang lain. Maka hakikatnya, pada ketika itu aku telah menetapkan baginya sepotong api neraka. Oleh itu hendaknya jangan mengambil ak orang lain.” (HSR Al-Bukhari (2680), Muslim (1713), An-Nasai (5401) dan At-Tirmidzi (1339)
Syeikh ‘Athiah Salim memberi komentar hadis itu bermaksud, hakim akan menghukumi suatu perkara berdasarkan hujah yang nyata di hadapannya.
Begitulah dalam agama memberi prinsip kita membuat keputusan berdasarkan fakta yang kita ketahui, bukan dengan menyangka-nyangka hal yang belum jelas. Hal ini dijelaskan oleh Syeikh Dr Khalid Basmalah ketika menanggapi sedekah kepada orang yang akhirnya diketahui seorang pendusta. Misalnya ada orang meminta sumbangan infak untuk membangun masjid, namun pada waktu lain kita ketahui bahwa dia rupanya berdusta ketika mencari dana infak. Menurut Syeikh Dr Khalid, kita berhukum berdasarkan zahirnya. Zahirnya dia meminta dana untuk kebajikan, maka kita infak kepadanya. Dan insya Allah atas keikhlasan itu ada pahala infak sekalipun suatu masa terbukti infak kita rupanya tidak untuk membangun kebajikan umat.
Begitulah kita membayar cukai-cukai atau bea yang diwajibkan oleh pemerintah atau kerajaan. Zahirnya permintaan kerajaan adalah untuk kebajikan bernegara. Negara memerlukan dana untuk pengurusan dan pembangunan, maka kerajaan menentapkan hal-hal percukaian. Rakyat telah membayarnya atas permintaan kerajaan yang zahir. Jika nanti kita mengetahui ada sebagian pegawai tinggi kerajaan melakukan korupsi dalam membelanjakan wang kerajaan (hasil percukaian), apakah pahala kita membayar cukai hilang? Tidak sama sekali.
Atau ya pahala hilang jika kita tidak ikhlas, mengungkit-ungkit pembayaran cukai kepada kerajaan. Percuma atau sia-sia, wang ratusan ringgit atau ribuan ringgit yang dibayar kepada kerajaan dalam bentuk cukai tidak mendatangkan pahala kebajikan yang sangat berguna di akhirat kelak. Walhal Allah memberi jaminan gandaan 700 peratus infak atau sumbangan untuk kebajikan. Lihat maksud ayat 261 al-Baqarah, “Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah Mahaluas lagi Maha Mengetahui.”
Berkenaan kewajiban rakyat terhadap pemerintah atau kerajaan ialah mematuhi perintah yang baik. Percukaian adalah perintah yang baik dalam bernegara. Bisa dilihat Allah mewajibkan orang beriman mentaati Allah, rasul dan pemerintah. Itu dalam ayat 59 surah An-Nisa.
Namun jika apa saja kebajikan yang kita lakukan termasuk pembayaran cukai itu diungkit-ungkit, hapuslah semua pahalanya. Kita bisa lihat ayat 264 surah al-Baqarah, Allah umpamakan pahala kebajikan kita debu di atas batu licin, apabila ditimpa hujan habis hilanglah debu itu. Maknanya, apabila kita ungkit-ungkit semula kebajikan yang lalu, habis licinlah pahala yang asalnya ada. Apakah kita hendak rugi begitu hanya kerna mendengar sangka-sangkaan yang jelas daripada syaitan?
Ya, terpulanglah kepada keimanan masing-masing.