Pengikut

Ahad, November 28, 2010

SALAHKAH Nabi itu tidak tahu membaca dan menulis?

APABILA belajar sejarah Rasulullah, semua wajib tahu yang baginda seorang yang ummi. Ummi ini ialah tidak tahu membaca dan menulis.  Seorang nabi yang ummi sedangkan ayat yang diterimanya di Gua Hira ialah mengenai seruan membaca (surah al-alaq).  Rupa-rupanya tidak banyak mengerti hikmah atau  strategi Allah memelihara supaya Muhammmad bin Abdullah itu seorang yang ummi sejak kecil sehingga kewafatannya.


Perihal nabi yang ummi telah dirakamkan dalam al-Quran surah al-Araf ayat 157 bermaksud: Orang-orang yang mengikuti rasul, nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka…….

Setelah Allah menjaga kedudukan peribadi Nabi Muhammad yang tidak pernah berdusta sejak kecil sehingga masyarakatnya memberi gelaran al-Amin, sifat nabi akhir zaman yang ummi juga merupakan strategi Allah untuk membina kemuliaannya sebagai Rasulullah.  Dengan keperibadian nabi yang ummi inilah manusia membenarkan dirinya sebagai nabi dan utusan Allah, yang membacakan wahyu-wahyu Allah.

Untuk mengetahui kehebatan nabi yang ummi, terpaksalah membuat andaian nabi yang tidak ummi untuk mudah difahami mengapa seorang nabi yang agung itu ummi.  Umum tahu bahawa sebelum nabi yang ummi ini mendapat wahyu (al-Quran) sudah wujud beberapa tamadun dunia seperti di Mesopotamia, Mesir, Yunani, India, Parsi dan China. 

Tokoh-tokoh ilmu telah lahir dari zaman Firaun di Mesir. Di Yunani telah lahir ahli-ahli falsafah seperti Socrates, Plato dan Aristotle.  Malah bangsa yang pertama mencipta kertas untuk dicatat tulisan adalah bangsa Cina. Sebelum kerasulan Muhammad nabi akhir ini juga telah banyak rasul dan nabi diutus oleh Allah kepada bangsa-bangsa tertentu demi memberi panduan hidup dalam beragama dan bermasyarakat.

Sejarah tamadun manusia yang panjang itu sebenarnya merupakan khazanah pengetahuan yang tersebar dan diwarisi oleh sesiapa juga.  Maka tidak hairan jika orang-orang Arab juga boleh mewarisi apa juga pengetahuan dari tamadun-tamadun tersebut.

Oleh yang demikian, jika nabi akhir zaman yang membawa risalah Allah ini mempunyai kemahiran membaca dan menulis, maka dengan mudah manusia menuduh baginda sendiri mengarang al-Quran.  Jika Muhammad Rasulullah ini pernah berguru dengan tokoh-tokoh dari mana-mana tamadun, tentulah manusia akan menolak dakwaan al-Quran adalah wahyu dari langit.  Manusia akan mengatakan al-Quran hasil pemikiran Muhammad yang setaraf profesor zaman kini! Tidak begitu sama sekali.

Demikianlah dengan status nabi yang ummi dan al-amin, menjadi hujah tersembunyi yang membungkamkan mulut manusia untuk mengatakan nabi akhir zaman ini seorang intelektual yang mengambil kesempatan daripada kemahirannya yang hebat berguru, menulis dan membaca. 

Sifat nabi yang ummi ini istimewa sebagai strategi Allah untuk menjawab segala kritikan manusia. Sifat ini adalah khas untuk baginda dan tidak untuk mana-mana muslim meniru peribadi nabi yang ummi atas hujah sunah nabi.  Ayat-ayat daripada surah al-Alaq yang menyuruh manusia membaca sudah kuat menjadi dalil wajibnya muslim meneroka ilmu sepanjang zaman.

Sabtu, November 20, 2010

MANIPULASI sejarah untuk jaga kepentingan

SEJARAH, suatu peristiwa yang telah berlaku.  Dalam al Quran pun banyak cerita sejarah zaman-zaman sebelum Nabi Muhammad s.a.w.  Semua cerita mengenai nabi yang ada dalam kitab Allah itu adalah peristiwa sejarah.  Tidak diragukan lagi bahawa Allah memaparkan sejarah nabi-nabi dan manusia zaman dahulu sebagai peringatan untuk manusia zaman nabi dan kita pada akhir zaman.

Orang zaman sekarang pun akan mengenang sejarah, tetapi jika ada kepentingannya.  Namun jika persitiwa sejarah itu berguna untuk kepentingannya, selalunya berlaku eksploitasi dan tafsiran yang berat sebelah untuk menyokong kepentingannya.


Perhatikan bagaimana Peristiwa Majlis Tahkim (tahun 37 Hijrah) yang dikatakan sebagai majlis pemutus pertikaian antara Khalifah Ali bin Abi Talib dengan Gabenor Syam, Muawiyah bin Abu Sufyan.  Kepada puak Syiah Ali, dilakukan tokok tambah dan tafsiran yang memburukkan peribadi Muawiyah dan sebagiannya diterimapakai oleh generasi muslim hari ini.

Kemudian peristiwa di Karbala yang menimpa cucu Rasulullah, iaitu Hussein bin Ali.  Memang telah berlaku penyerangan terhadap cucu Rasulullah dan baginda terbunuh, dan puak Syiah telah menggunakan peristiwa sejarah ini dengan sebaik-baiknya untuk menggambarkan kezaliman khalifah Yazid bin Muawiyah.  Tidak lain, bermula dengan penyelewengan fakta, tokok tambah dan tafsiran yang memang memihak kepada puak Syiah.

Di negara kita, Peristiwa 13 Mei yang merakamkan rusuhan kaum dan mengorbankan banyak jiwa berlaku akibat semangat perkauman dan kemenangan parti pembangkang (perkauman Cina) dalam pilihan raya tahun 1969.  Pihak yang terancam dengan kekalahan politik akan menggunakan peristiwa ini sebagai ancaman jika para pengundi memilih parti pembangkang dalam pilihan raya. 

Di pihak Pas, peristiwa Memali yang berlaku pada November 1985 memang dirasakan satu kezaliman terhadap ahli-ahlinya.  Dengan terbunuhnya 14 jiwa, maka setiap penceramah Pas pasti akan menggambarkan yang pihak polis telah melakukan kezaliman terhadap ahli-ahli Pas.  Eksploitasi dan manipulasi peristiwa Memali pasti berlaku untuk membakar semangat membenci politik Umno yang memerintah.  Ini sama sahaja dengan eksploitasi peristiwa karbala untuk melahirkan kebencian muslim kepada kerajaan Umayyah.  Selagi politik Umno dan Pas masih bermusuhan, peristiwa Memali akan terus dijadikan wirid politik Pas.

Apabila dalam Perhimpunan Agung umno tahun 2010 diputuskan bahawa pelajaran Sejarah akan diwajibkan lulus untuk calon SPM pada masa akan datang, pasti ada muslihat politiknya.  Bukan sahaja hal ini diumumkan dalam perhimpunan politik, malah jelas ada kepentingan politik parti untuk mata pelajaran sejarah.  Bolehkah tafsiran peristiwa sejarah bebas negara bebas daripada membawa kepentingan parti politik Melayu itu?

Saya kasihan kepada anak-anak muda yang gagal memahami eksploitasi peristiwa sejarah yang dijuruskan kepada kepentingan sesuatu pihak.  Bagaimana agaknya mereka diasuh berfikir sebelum ini?

Khamis, November 18, 2010

KITA gagal utamakan yang utama

CATATAN ini pada hari kedua Iduladha, semoga orang kian faham falsafah menyembelih haiwan sebagai ibadah kurban yang hukumnya sunat. Di mana-mana kelihatan orang menyembelih lembu.  Semalam sahaja saya menyertai komuniti surau di desa saya, ada lapan ekor lembu disembelih.  Semuanya disumbangkan oleh anak-anak kelahiran desa yang telah lama berhijrah ke kota dan punya banyak ongkos.  Kepada mereka, seekor lembu RM3000.00 atau lebih atas nama ibadah bukan masalah.  Tahun hadapan pasti ada lagi daripada mereka, itulah rutin sejarah iduladha.


Menyembelih, melapah daging dan kemudian membungkusnya bukan satu kerja ringan sekalipun sudah disediakan krewnya.  Sehingga azan zuhur dilaungkan, masih belum beres kerja-kerja pembungkusan dan pengedaran.  Lihatlah khusuk dan tamaqninahnya mereka menguruskan kerja-kerja ibadah kurban haiwan, namun laungan azan zuhur hanya disahut dengan doa.  Mengapa tidak sampai 10 orang berjamaah zuhur di surau sedangkan di sekeliling surau ada hampir 100 orang hamba Allah?

Kemudian saya ingin mengulas pandangan yang memalukan peribadi muslim saya setiap kali menggunakan jalan antara pekan Sabak ke Sungai Besar, Selangor.  Saya memang rasa malu, tidak tahulah bagaimana rasanya orang lain.  Ada sebuah pusat pendidikan Islam alapondok di sana.  Bukan soal uzur, susunan yang tidak teratur dan usangnya pondok-pondok berkenaan. Semua faham keupayaan kewangan pondok mengaji.  Yang saya rasa malu ialah system pengurusan sampah daripada pondok-pondok berkenaan.  Mereka membuangkan segala sampah atau sisa keperluan harian dalam parit yang memisahkan antara tanah sekolah pondok dengan jalan raya utama.  Demikianlah orang yang belajar agama, tetapi tidak peduli apa-apa mengenai kebersihan.  Jangan salahkan saya jika saya terus beranggapan manusia yang terhasil daripada pendidikan pondok itu tidak layak mengajar Islam kepada masyarakat kerana mereka sendiri tidak faham apa itu Islam!

Mesej saya untuk dua perkara itu ialah, orang-orang kita masih gagal meletakkan keutamaan dalam beragama.  Orang Melayu sangat sensitif bab agama sehingga seanggup ‘berani mati’ kerana isu agama. 

Lihat mereka yang mengabaikan solat berjamaah, sekalipun sudah berada dalam kawasan surau hanya kerana masih bekerja.  Apa masalahnya untuk meninggalkan kerja-kerja pengurusan haiwan sembelihan untuk ke saf solat?

Lihat mereka yang tidak melepaskan serban dan jubahnya ketika belajar agama di pondok, tetapi malas untuk membersihkan persekitaran.  Apa masalah mereka yang belajar agama dengan kebersihan?

Selasa, November 09, 2010

BILAKAH Puasa Arafah jika ru’yah hilalnya berbeda dengan Makkah?

Fadhilatus Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin ditanya,

“Apabila hari Arafah berbeda karena perbedaan masing-masing wilayah di dalam mathla’ (tempat terbit) hilal, maka apakah kita berpuasa mengikuti ru’yah negeri tempat kita berada ataukah kita berpuasa mengikuti ru’yah Al-Haramain (Makkah dan Madinah –pent)?

Maka beliau menjawab,

Perkara ini dibangun di atas ikhtilaf para ulama, apakah hilal itu satu saja untuk seluruh dunia atau berbeda sesuai mathla’nya (tempat terbit bulan). Dan yang benar bahwa penampakan hilal berbeda sesuai dengan perbedaan mathla’.

Sebagai contoh: Apabila hilal telah nampak di Kota Makkah, dan sekarang adalah hari ke sembilan (di Makkah), hilal juga terlihat di negeri yang lain satu hari lebih cepat daripada Makkah sehingga hari Arafah (di Makkah) adalah hari kesepuluh bagi mereka. Maka mereka tidak boleh berpuasa karena hari tersebut adalah hari raya.

Demikian pula sebaliknya, jika di suatu negeri ru’yahnya lebih lambat daripada Makkah maka tanggal sembilan di Makkah merupakan tanggal delapan bagi mereka. Maka mereka berpuasa pada hari ke sembilan (menurut negeri mereka) bersamaan dengan tanggal sepuluh di Makkah. Ini merupakan pendapat yang kuat. Karena Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اذا رايتموه فصوموا و اذا رايتموه فافطروا

“Jika kalian melihatnya (hilal) maka berpuasalah, dan apabila kalian melihatnya maka berbukalah” (Dikeluarkan oleh Al-Imam Al-Bukhari Kitab Ash-Shaum, Bab Hal Yuqal Ramadhan (1900) dan Muslim di Kitab Ash-Shiyam, Bab Wujubus Shaum (20)(1081)).

Orang-orang yang hilal itu tidak nampak dari arah (daerah) mereka berarti mereka tidaklah melihat hilal tersebut. Begitu juga manusia telah sepakat bahwa mereka menganggap terbitnya fajar dan terbenamnya matahari pada setiap wilayah disesuaikan dengan wilayah masing-masing. Maka demikian pulalah penetapan waktu bulan seperti penetapan waktu harian.

(Fatawa Ahkamis Shiam no. 405. Diterjemahkan oleh Abu Umar Al-Bankawy, muraja'ah Al-Ustadz Abdul Mu'thi Al-Maidani)

Ahad, November 07, 2010

MENUNGGU para hujaj yang tua-tua

TIDAK lama lagi suasana kemuncak musim haji akan berlaku apabila semua yang berada di tanah haram Makkah berhimpun di padang Arafah.  Berhaji hukumnya wajib, tetapi ada syarat-syarat tertentu yang menjadikan kewajiban haji menjadi subjektif. Perihal seruan Allah untuk umat manusia menunaikan haji ada dalam surah al-Haj, boleh dilihat pada ayat 27 maksudnya: Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadanya dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, yang datang dari segenap penjuru yang jauh.

Bukanlah rahsia lagi perbandingan usia dan fizikal antara para jemaah haji dari Malaysia dengan jemaah negara lain.  Bandingkan sahaja jemaah haji Malaysia dengan Indonesia.  Kebanyakan jemaah haji Malaysia yang sudah tua dan dari Indonesia yang masih muda-muda merupakan pemahaman Islam antara kedua-dua tempat.

Secara umum, terutama generasi yang lahir sebelum tahun 1960 memahami ibadah haji merupakan ibadah yang paling akhir sebelum mati, yang tersisa daripada segala-galanya.  Tenaga yang tersisa menjadi sudah lemah, wang yang tersisa setelah selesai urusan sosial dan ekonomi dan usia yang tersisa setelah tua kerepot serta menyimpan beberapa penyakit.  Pemahaman mereka yang tentunya diajar oleh guru-guru agama atas ayat biasa: Wajib haji apabila mampu.  Huraiannya ialah setelah segala urusan kehidupan seperti anak-anak habis belajar dan kenduri kahwin semuanya selesai.  Setelah sempurna rumah yang agam, kerana sudah dipesankan oleh guru bahawa jangan tinggalkan waris di tanah air dalam susah payah. Nah, rumah agam kukuh untuk 100 tahun, sedangan dia pergi berhaji selama 30-40 hari sahaja. 

 foto hiasan sahaja

Selama ini kita kurang diajar untuk memahami bahawa haji wajib bersama manusia yang berakal.  Tidak mengira berapa usia orang Malaysia, wajib haji itu boleh datang pada usia muda  dan mungkin hilang wajib apabila usia tua.  Tidak banyak yang percaya bahawa pasangan muda yang masih punya dua atau tiga anak telah wajib haji kerana dengan kesihatan, keberanian, kewangan serta bebanan hidup yang sangat minimum.  Kelak, apabila usia sudah melebihi 50 tahun, anak-anak kian banyak perlukan wang belajar di kolej dan universiti, penyakit mula datang dan kerana sudah banyak kesan ekonomi serta sosial makin takut pula untuk meninggalkan kebun, perniagaan  dan anak cucu!

Alasan kotor paling mudah ialah: Belum sampai seru untuk menunaikan haji.

Ada yang belum sanggup mendaftar untuk menunaikan haji kerana memikirkan dirinya yang belum mencapai taraf malaikat.  Maksud jiwa malaikat ini ialah tahu budaya hidup yang tidak cocok dengan Islam, jauh daripada anjuran al Quran dan Sunnah, kerana itu merasa kalau berhaji pada usia muda tidak seikhlas setelah usia tua bangka.  Anggapannya apabila sudah tua kerepot ialah usia yang paling ikhlas beramal, sudah tidak memberi dan menerima rasuah dan lain-lain.  Tidak ada kepastian langsung untuk itu sebab syaitan sangat kreatif untuk menyesatkan manusia sama ada untuk usia kanak-kanak, muda, dewasa atau tua ganyut!

Mendaftarlah di pejabat Tabung Haji, dan sisihkanlah sebagian wang pendapatan setiap bulan untuk berhaji.  Ada orang muda usia 26 tahun mendaftar untuk berhaji dan diberitahu koutanya untuk ke Makkah ialah pada tahun 2030! Jika yang berusia 50 baru mendaftar haji, percayakah bahawa dia akan diberi tempat ke Makkah pada usia 70 tahun? Janganlah menangis, kerna itu kefahaman kita kan!

Tahniah orang muda yang bukan lepasan agama yang bebas daripada pengaruh pendidikan konservatif, yang banyak mendaftar haji pada usia muda.  Secara peribadi, mantan murid-murid saya yang dikatakan bukan lepasan sekolah agama mudah menerima anjakan paradigma mengenai kawajiban haji pada usia muda.

Rabu, November 03, 2010

PINTU Merapi tak berkunci lagi?

GUNUNG Merapi meledak, dan yang menambah kuat ledakan Merapi ialah kejayaannya menutup mulut Sang Jurukuncinya Mbah Marijan.  Merapi berkunci dan anak kuncinya di tangan Mbah Marijan? Ah, iseng-iseng saja, kerana Merapi bukan Kaabah yang berpintu dan punya penutupnya.  Kaabah, secara tradisinya memang ada jurukuncinya, dan orang boleh menyaksikan Sang Jurukunci Kaabah membuka dan menutup pintu Kaabah.


Pernah sesiapa sebelum ini melihat arwah Mbah Marijan menutup dan membuka pintu Merapi.  Kalau dia membuka pintu Merapi, masuk ke dalamkah dia dan apa yang dicarinya?  Oh, agaknya kerana arwah Mbah Marijan tersalah pusing kunci, maka pintu Merapi terbuka dan sekarang melepaskan ledakan: debu, api dan segala macam ancaman maut kepada warga Jawa.

Oleh itu apa fungsi Sang Jurukunci? Sekadar meramal meledak atau tidak.  Misalnya pernah berlaku lawan ramalan antara para saintis dan Sang Jurukunci itu.  Para saintis meramalkan Merapi akan meledak, tetapi Sang Jurukunci mengatakan sebaliknya.  Untuk sementara waktu, ramalan para saintis tidak tepat. Maka megahlah nama Mbah Marijan Sang Jurukunci.

Sekarang Anak Krakatao di selat Sundah mula meledak.  Tidak adakah Sang Jurukuncinya untuk merapatkan pintu muara Anak Krakatao agar tidak meledak sepuas-puasnya seperti ibunya dahulu. Saintis lebih tahu mengenai gunung berapi berbanding para dukun.  Para saintis lebih mendekati ilmu Islam yang sangat memihak kepada rasional dan ketepatan fakta, sedangkan ramal sang dukun hanya keseronokan sendiri.  Maaflah keturunan pak dukun dan para pengikut setianya!

Satu huraian dalam Tafsir Al Azhar oleh Buya Hamka, beliau mengatakan yang orang Jawa kerap berbangga sebagai daerah awalnya menerima Islam berbanding tempat lain seperti Minangkabau.  Kata Hamka lagi: Namun Minangkabau lebih bersih daripada noda dan pengaruh syrik yang diwarisi daripada agama Hindu.

Ya, lihat saja mitos Nyi Roro Kidul di Laut selatan atau Laut Jawa.  Adakah akal yang dididik oleh al Quran masih dapat menerima bertakhtanya Sang Ratu di Laut Selatan dan akan pulang dengan segerombolan kuda semberani di permukaan lautan?  Kerna itu para pembesar Jawa masih meladeni sandang pangan Sang Ratu?

Saya masih ingat indahnya lukisan khayal pelukis Basuki Abdullah mengenai Nyi Roro Kidul dengan bala kudanya!  Basuki sudah meninggal, tetapi kepercayaan dirinya diabadi terus pada kanvas.