Pengikut

Jumaat, Disember 31, 2010

ATAS nama Islam atau eksploitasi?

AGAMA memang suci. Islam pula bukan sekadar satu hubungan ritual manusia dengan Tuhan, malahan satu pegangan hidup.  Oleh kerana suci dan tingginya harapan muslim terhadap Islam maka apa sahaja diberbau Islam pasti diutamakan.


Orang-orang yang alim agama Islam pula mendapat tempat yang tinggi dan sangat dipercayai.  Biasa seorang yang tidak punya harta tetapi menjadi imam solat kepada orang-orang kaya, si imam tetap diberi hormat yang tinggi oleh para jemaah solatnya.

Maka, ada pula yang mengambil kesempatan menggunakan jalan agama untuk meraih keuntungan peribadi untuk membentuk ketinggian status sosial atau meraih kekayaan.  Tidak berapa lama dahulu dipopularkan mengenai ‘capal nabi’.  Dengan memberi gelar capal nabi yang sebegitu rupa dan tidak berkualiti pun tetap dibeli oleh orang yang memang sangat mencintai junjungan Nabi Muhammad.  Jangan main-main untuk disabitkan dengan nabi sebab wajib dipastikan sanad-sanadnya sah.  Kalau sekadar anggapan, itu lebih menjadi satu dusta atas nama nabi.

Sekarang ini satu kecenderungan untuk melariskan jualan dengan jalan agama juga. Produk makanan yang terhasil daripada buah-buahan sedang dilariskan dengan didakwa sudah dibacakan sekian banyak surah al-quran.  Air biasa satu liter dijual sehingga lima ringgit dengan alasan sudah dibacakan sekian banyak ayat al-Quran oleh para pelajar tahfiz.  Minyak wangi biasa juga dikatakan ada khasiat luar biasa yang konon sudah dibacakan sekian banyak wahyu Allah.  Semuanya hanya dakwaan dan tidak pernah diuji secara saintifik dan klinikal.  Ayat paling mudah oleh penjualnya yang berwatak orang alim agama ialah ‘semua datang daripada Allah’. Ya memang!

Selepas ini apa?  Tunggu sahaja sejenis beras, ikan kering, susu tepung bayi dan beberapa yang boleh dijadikan barang dagangan baru atas nama sudah dibacakan doa khusus dan sekian juzuk ayat al-Quran.  Tunggu pula baju T, jubah atau selimut yang sudah diasapkan dengan seribu bacaan ayat-ayat terpilih dan si pemakai dijanjikan bahawa Tuhan akan lebih memberi kebaikan dengan menggunakan produk tersebut.

Tunggu sahajalah.

Ahad, Disember 19, 2010

USTAZ yang cilik


SEJAK dahulu jika mendengar adanya penceramah agama yang di bawah umur 12 tahun, maka pastilah itu anak dari Indonesia.  Yang terbaru, dia hadir di desa saya juga dari sana, Lampung Sumatera Selatan. Namanya Umar Faruk, dibimbing oleh Ustaz Nur Salam. Nur Salam ini memang sedia dikenali di negara ini pada tahun 80-an dan 90-an.

Adakah dia anugerah istimewa daripada Tuhan? Saya jawab, tidak. Kemampuannya berbicara di hadapan khalayak adalah kerna proses pendidikan yang diterima.  Dia diasuh menyusun ayat yang bombastik, pemilihan diksi dan membuat pengulangan ayat untuk melestarikan terus ceramahnya sambil terus mengamit pandangan khalayak.  Ini semua adalah seni yang masih terabai oleh pendikan anak-anak di Malaysia.

Jumaat, Disember 17, 2010

DEBAT pluralisme agama: salah metodologi

(Saya berkongsi pemikiran dengan Shah al-maududy, si penulis rencana ini)

Akhir-akhir ini, terdapat ahli akademik cenderung melabel tokoh-tokoh tertentu, sebagai cenderung atau menyokong fahaman pluralisme agama.

Ada tokoh dilabelkan sedemikian, kerana menghadiri satu 'majlis rasmi' kuil Buddha di Kelantan. Seorang lagi tokoh dikaitkan dengan pluralisme, antaranya disebabkan sikapnya yang konsisten membenarkan penggunaan nama Allah oleh bukan Islam.

Ada pihak yang menganggap 'kecenderungan melabel' itu sebagai berniat jahat. Tapi, saya tidak beranggapan sedemikian. Saya tidak percaya, ahli akademik yang melabel itu berniat jahat. Saya percaya, ahli akademik tersebut berniat baik dan ikhlas. Iaitu memelihara kesucian agama.

Saya juga tidak mempercayai, 'pelabelan' ini dilakukan dengan niat menggunakan isu akidah, untuk mewujudkan permusuhan di kalangan ahli
 politik.
Sangat serius

Pada pengamatan saya, 'pelabelan' yang 'sangat serius' ini, berpunca daripada kesilapan metodologi yang diguna pakai, dalam mendiskusi isu-isu agama. Ia bukan isu 'niat jahat'. Ia sebaliknya isu 'ketempangan metodologi'.

Sepatutnya, dalam membuat keputusan berhubung isu-isu agama (sebenarnya dalam semua isu), nas-nas al-Quran dan hadis, hendaklah dirujuk terlebih dahulu.

Kesilapan akan berlaku, apabila yang pertama dirujuk, ialah kemaslahatan umum atau kebimbangan terhadap kedudukan agama. Sementara, nas-nas syarak dikemudiankan.

Metodologi yang salah inilah juga antara faktor tercetusnya 'budaya tahrim', iaitu budaya suka mengharam sesuatu secara melulu.

Akibatnya, mendoakan kesejahteraan keduniaan kepada bukan Islam, haram. Mendoakan keburukan kepada orang-orang Islam yang dianggap zalim, haram. Bukan Islam masuk ke dalam masjid, haram. Menyedekahkan hasil judi kepada fakir miskin, haram…

Semuanya diputuskan sebagai haram, kerana rujukan pertama kepada nas-nas syarak, tidak dilakukan terlebih dahulu.

Jika yang pertama dirujuk ialah nas-nas syarak, saya yakin, tokoh yang menghadiri majlis di kuil Buddha, atau membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, tidak akan dilabel sebagai cenderung atau menyokong pluralisme. Bahkan, tidak akan ada yang tergamak melabel sedemikian.

Ini disebabkan, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW lebih 'dahsyat' daripada sekadar 'menghadiri majlis rasmi di rumah ibadat bukan Islam'.

Ibnu Ishaq dalam kitabnya berkenaan sirah nabawiyyah, mencatatkan peristiwa lawatan satu rombongan Kristian dari Najran ke Madinah, untuk bertemu Nabi SAW. Rombongan tersebut disambut Baginda SAW di masjid Baginda, Masjid Nabawi.
Kristian di masjid

Kebetulan, rombongan tersebut tiba di Masjid Nabawi selepas Asar, yang merupakan waktu sembahyang mereka. Lantas, rombongan Kristian itu bangun untuk mengerjakan sembahyang mereka dalam Masjid Nabawi.

Tatkala para sahabat mahu menegah mereka berbuat demikian, Nabi SAW bersabda, “biarkan mereka (mengerjakan sembahyang mereka)”. Lantas mereka mengadap ke arah timur, lalu mengerjakan sembahyang mereka dalam masjid kedua suci dalam Islam itu!

Peristiwa ini turut disentuh oleh Imam Ibnu Qayyim dalam karyanya Zadul Ma'ad, jilid 3.

Sikap lunak Nabi SAW terhadap bukan Islam, diteruskan oleh para sahabat Baginda. Syaidina Umar r.a sebagai contoh, mengarahkan diperuntukkan daripada Baitulmal, bantuan kewangan tetap kepada salah seorang Yahudi dan tanggungannya (al-Kharaj, karangan Abu Yusuf, ms.26 & Fiqh al-Zakat, karangan al-Qaradhawi, jilid 2, ms.705-706).

Beliau juga mengarahkan diperuntukkan dari Baitulmal bantuan kewangan kepada para pesakit kusta beragama Kristian (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, karangan al-Qaradhawi, ms.47).

Lebih dari itu, sesetengah para tabi'in yang terkemuka, memberikan sebahagian daripada zakat fitrah kepada paderi-paderi Kristian. Sesetengah daripada mereka, seperti Ikrimah, Ibnu Sirin dan al-Zuhri pula berpendapat, harus memberi zakat kepada mereka (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, ms.47)
Zakat kepada bukan Islam

Menyedari Nabi SAW pernah mengizinkan orang-orang Kristian mengerjakan sembahyang mengikut cara mereka dalam Masjid Nabawi, Syaidina Umar r.a memberikan bantuan kewangan kepada bukan Islam bersumberkan wang Baitulmal, dan ada tabi'in yang mengharuskan wang zakat diberikan kepada bukan Islam.

Menyedari semua ini, adalah amat membingungkan, apabila seseorang itu dilabel sebagai condong kepada fahaman pluralisme, semata-mata kerana menghadiri 'majlis rasmi' di kuil Buddha!

Jika dirujuk nas-nas syarak berhubung penggunaan nama Allah oleh bukan Islam pula, saya yakin, tiada pihak yang sanggup melabelkan mana-mana orang Islam yang membenarkannya, sebagai penganut fahaman pluralisme.

Dalam surah al-Zumar ayat 3, Al-Quran merakamkan ucapan orang-orang musyrik yang menjustifikasikan perbuatan mereka menyembah berhala. Mereka berkata “Kami tidak menyembah atau memujanya (yakni berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sedamping-dampingnya”(al-Zumar : 3).

Jelasnya, mereka menggunakan kalimah Allah seperti yang dirakam sendiri oleh al-Quran. Dalam ayat di atas, al-Quran tidak menegah mereka menggunakan perkata Allah dalam ucapan mereka itu.

Sebaliknya, al-Quran hanya menyebut dalam sambungan ayat di atas “Sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta, lagi sentiasa kufur”(al-Zumar :3)

Rujukan kepada nas menemukan kita bahawa, pada zaman Nabi s.a.w, orang-orang bukan Islam bukan sahaja menggunakan kalimah Allah dalam ucapan mereka. Bahkan mereka menggunakan ucapan Bismillahirrahmanirrahim!.
Bismillahirrahmanirrahim

Dalam surat Raja Mesir, Muqauqis yang beragama Kristian kepada Nabi SAW, beliau memulakannya dengan “Bismillahirrahmanirrahim! Kepada Muhammad bin
 Abdullah (SAW) dari Muqauqis, pembesar Qibti…”(Ibnu Qayyim dalam Zadul Ma'ad, jilid 3, ms.61 & Ibnu Hisyam dalam Sirah Ibnu Hisyam, jilid 2, ms.359).

Tidak terdapat pula sebarang kenyataan yang menunjukkan Nabi SAW membantah penggunaan Bismillahirrahmanirrahim oleh Muqauqis itu.

Di samping nas-nas syarak yang dinyatakan, kenyataan para ulama juga sangat jelas berhubung soal ini. Contohnya, jumhur ulama mensyaratkan Ahli Kitab (penganut Yahudi dan Kristian) menyebut nama Allah ketika menyembelih binatang bagi menjadikannya halal dimakan oleh orang Islam (lihat tafsiran ayat 5 Surah al-Maidah dalam Tafsir al-Qurtubi).

Justeru, bagaimana boleh dikatakan, orang bukan Islam terutamanya Ahli Kitab, tidak boleh menggunakan kalimah Allah?

Penggunaan nama Allah oleh bukan Islam begitu luas pada zaman kegemilangan Islam, sehingga mereka menggunakannya dalam nama-nama mereka, tanpa ada bantahan dari ulama Islam.

Sebagai contoh, Hibatullah bin Tilmiz, yang merupakan salah seorang cendiakawan bukan Islam pada zaman Abbasiah (Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama' al-Islami, ms.53). Hibatullah adalah gabungan dua perkataan, iaitu Hibah dan Allah.

Berhadapan dengan nas-nas syarak dan fakta-fakta ini, saya tidak faham, bagaimana orang Islam yang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah, dilabel sebagai menyokong fahaman pluralisme!

Bagi mengelakkan munculnya 'pandangan-pandangan yang menghairankan' ini, kembalilah kepada metodologi penentuan hukum dalam Islam. Rujuklah al-Quran dan Sunah terlebih dahulu, sebelum merujuk kepada sumber-sumber perundangan lain yang diperakui.

Isnin, Disember 13, 2010

ADAKAH petunjuk syaitan?

IBLIS dan syaitan, dua makhluk Allah yang berjanji akan menyesatkan pendidian manusia dan kedua-duanya secara terbuka dan jelas mahu menyeret manusia menyertai mereka sebagai makhluk yang dimurkai Allah.  Kerna itulah banyak ayat Allah dalam al-Quran menyatakan sang iblis dan syaitan adalah musuh yang nyata.  Musuh, pasti tidak akan terhenti memerangi dan membuat khianat kepada manusia.  Sesudah manusia dalam cengkamannya pun, mereka akan memastikan manusia tidak akan terlepas.  Malah iblis dan syaitan akan merekrut manusia pula menyertai misi abadi mereka untuk menarik sebanyak mungkin manusia lain daripada menjadi hamba Allah yang lurus.


Dalam surah al-A’raf terdapat beberapa ayat yang menjelaskan sifat dan cita-cita iblis bersama syaitan.

Ayat 16: (Iblis) menjawab ‘kerna Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka daripada jalan yang lurus’.

Ayat 21: Dan dia (Syaitan) bersumpah kepada kedua-duanya (Adam dan Hawa), ‘sesungguhnya aku ini benar-benar termasuk para penasihatmu’.

Ayat 30: sebagian diberi-Nya petunjuk dan sebagian lagi sepantasnya menjadi sesat.  Mereka menjadikan syaitan-syaitan sebagai pelindung selain Allah.  Mereka mengira bahawa mereka mendapat petunjuk.

Ayat 21 secara jelas bahawa syaitan akan terus menyamar dan memberikan buah fikiran kepada manusia agar manusia melakukan tindakan-tindakan yang pada akal fikiran manusia adalah baik dan bernar.  Tentulah  syaitan tidak akan mendedahkan peribadinya yang bermuka-muka, malah sebaliknya akan menampakkan sifat baiknya sebagai pemberi nasihat kepada manusia.

Yang lebih membimbangkan ialah seperti dalam ayat 21.  Akan sampai satu peringkat manusia merasakan dirinya benar-benar di jalan Allah, sedang melakukan amal-amal yang sangat disukai Allah, walhal sebenarnya semua itu adalah amal sesat hasil tipu daya syaitan!  Pernahkah antara kita berfikir bahawa amal ibadah yang menjadi rutin harian yang dilakukan dengan penuh khusuk, disangka 100 persen sebagai satu tanda pengabdian kepada Allah, walhal itu adalah amal yang ditunjukkan oleh syaitan.

Mana mungkin? Ya, memang amat mengelirukan kerna untuk menyesatkan orang-orang yang bertekad untuk kembali ke jalan Allah, syaitan tidak akan memujuk mereka ke sarang pelacur atau ke kelab-kelab malam.  Orang-orang yang senantiasa membasahkan bibir dengan zikir mengingat Allah pasti sedar bahawa arak dan zina adalah dosa dan jalan syaitan.  Nah, maka syaitan akan menyesatkan jalan ibadah manusia ini dengan ibadah yang salah, yang tidak ada petunjuk daripada Allah dan rasul-Nya, yang kelihatan satu ibadah  amat suci namun segala-galanya adalah maksiat di sisi Allah.

Lalu, apakah caranya untuk mengelakkan diri daripada tertipu dengan ‘petunjuk syaitan’?  Tidak ada jalan mudah untuk menghindarinya melainkan bertekad bahawa kita hendaklah kembali ke jalan Allah dan rasul-Nya.  Kembali ke jalan Allah dan rasul-Nya memerlukan manusia bersikap menyerah diri dan bukan memikirkan manakah yang sesuai dan sebaliknya.  Di situlah peran ilmu, yang menentukan seseorang melakukan amal ibadah kerna punya ilmu atau hanya menjadi pengikut secara tuli sahaja.  Sesungguhnya syaitan paling mudah menyesatkan manusia yang beramal ibadah secara ikut-ikutan.  Bagi syaitan mudah saja, tangkap si kepalanya dan sesatkan pemikirannya. Maka semua pengikutnya pun akan sesat seperti si kepala yang sudah dalam cengkamannya.  Lalu kebanyakan mereka berfikir sudah berada dalam petunjuk, di atas jalan yang benar. Aduhai….!

Mari periksa amal-amal akidah dan amal ibadah kita agar sesajar dengan perintah Allah dan rasul-Nya.  Dan bersedia pula untuk meninggalkan amal yang tidak ditemui daripada dua sumber utama itu.

Sabtu, Disember 11, 2010

KETUANAN Melayu itu apa?

(saya ambil daripada blog orang yang dihormati)
Apa erti ketuanan Melayu? Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘ketuanan’ bererti hak menguasai dan memerintah sesebuah negeri atau disebut juga ‘kekuasaan’. Bagi penulis, jika ini takrifannya tiada salah untuk kita menyebut ketuanan bangsa apa sekalipun, tetapi dengan syarat! Syaratnya adalah seperti yang disebut dalam surah al-Hajj ayat 41:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُور

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang jika Kami (Allah) teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah kemungkaran; dan kepada Allah jualah akibat daripada segala urusan.

Begitu juga dalam surah al-Nur ayat 55:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آَمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Oleh itu, sebutlah ketuanan bangsa apa sekalipun, jika bangsa itu benar-benar melaksanakan segala titah dan perintah Allah SWT, sememangnya bangsa itu akan dipilih oleh Allah SWT sebagai TUAN di muka bumi ini. Tetapi jika tidak, lihat firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 38:

وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

Maksudnya: ..Dan jika kamu berpaling (dari agama Allah)akan Allah gantikan satu kaum yang lain dri kamu, kemudian mereka tidak jadi seperti kamu

Ya, Allah SWT Maha Berkuasa menjadikan bangsa atau kaum apa sekalipun bagi memerintah bumi ini jika mereka benar-benar berpegang kepada agama Allah SWT.

Bagi penulis, ketuanan bangsa hanyalah satu alat untuk menjalankan amanah Allah SWT. Ia bukan matlamat kerana jika ia menjadi matlamat, ketuanan itu menjadi tercela. Iaitu apabila manusia menjadi ta’assub dan fanatik kepada bangsa sendiri secara membuta tuli. Apa pun tidak dinafikan ketuanan bangsa penting bagi menjamin matlamat menjunjung syiar Islam tercapai, bukankah qa’idah fiqh menyebut ‘ma la yatimmul wajib illa bihi fahuwa wajib’. Bererti ‘apa yang tidak menyempurnakan kewajipan kecuali dengannya maka ia adalah wajib’.

Justeru, jika benar tanpa bangsa Melayu maka lenyaplah Islam di bumi Malaysia...tidak syak penulis pasti akan bermati-matian mempertahankannya. Tetapi jika bangsa Melayu itu sendiri pula yang menjadi perosak agamanya...di situlah kekeliruannya, kemusykilannya dan keragu-raguannya...

Wallahu a’lam.

Jumaat, Disember 10, 2010

MASJIDKU panas pula

SUATU pagi yang hening, sebelum mendirikan solat subuh di sebuah masjid di pinggir bandar Kuantan seorang jemaah berbisik kepada saya, “cuba kita fikir mengapa waktu pagi seperti ini kita berasa panas juga. Apa agaknya dosa kita kepada Allah.”  Saya faham maksudnya.  Dia cuba menggambarkan bahawa sewaktu hawa subuh yang sejuk, namun ketika menyembah Allah terasa pula hangatnya sehingga badan berpeluh-peluh.


Saya masih percaya bahawa reka bentuk masjid berkenaan itulah yang menyebabkan hawa di dalamnya menjadi hangat walaupun suhu di luar masih sejuk dilitupi embun pagi.  Saya teringat kata-kata guru Tamadun Islam Prof Dr Mustafa Ishak.  Selaku pengkaji tamadun beliau mengatakan Islam tidak menunjukkan secara khusus seni bina atau reka bentuk bangunan yang boleh dinamakan reka bentuk Islam.  Malahan katanya lagi, bentuk kubah di kebanyakan masjid juga bukanlah daripada wahyu atau sabdaan Rasulullah.

Menurut pprofesor itu lagi prinsip Islam dalam reka bentuk bangunan termasuk masjid ialah ‘mensejahterakan manusia di dalamnya’.  Islam itu membawa kesejahteraan, maka apa sahaja yang dihasilkan dalam hal-hal keduniaan mestilah membawa kesejahteraan.  Kembali kepada masjid yang dikatakan berhawa panas, sebenarnya itu adalah masalah reka bantuknya yang tidak memberi laluan seluas-luasnya udara keluar dan masuk.  

Perhatikan banyak masjid yang kecil mempunyai reka bentuk seperti pyramid yang memerangkap udara panas.  Lubang-lubang udaranya berada di tengah-tengah antara lantai dan hujung  bumbungnya.  Keadaan ini ditambah dengan ruang jendela yang kecil seperti rumah kediaman.  Oleh kerana masjid menampung jumlah manusia yang banyak, maka udara panas dari masjid tidak dapat keluar dengan cepat menyebabkan haba di dalam dewan solat begitu panas.  Ada masjid dan surau terpaksa menggunakan pendingin hawa untuk mengatasinya.  Kaedah menggunakan pendingin hawa hanya menyelesaikan masalah dalam masjid tetapi menyumbang pula kepada kesan rumah hijau iaitu pemanasan suhu bumi.  Inilah akibatnya apabila para pereka bentuk bangunan terutamanya masjid tidak memahami  prinsip kesejahteraan secara fitrah  hasil pembinaan rumah Allah berkenaan.

Banyak orang bercakap Islam itu sejahtera dan menyelamatkan manusia, menyenangkan sesiapa sahaja yang menerima Islam.  Malangnya  rumah Allah sebagai lambang atau contoh tempat yang sejahtera, manusia sudah merasa keresahan dalam hidup! Reka bentuk masjid atau surau yang cantik pada pandangan mata, tetapi menggelisahkan pengunjungnya. 

Jumaat, Disember 03, 2010

ANTARA hiburan, sukan dan politik

ADA tiga bidang yang menjadi tumpuan rakyat, dan semuanya mempunyai pelakon-pelakonnya sendiri di samping konsep ketiga-tiganya hampir sama. 

Saya hendak mulakan dengan bidang hiburan yang sudah menjadi satu industri.  Golongan artis itulah yang menjadi pelakon utamanya, yang bekerja sepenuh masa, manakala golongan banyak akan menjadi penggemar yang membayar dalam industri ini melalui pembelian produk hiburan seperti bayaran tiket persembahan, DVD dan  filemnya.  Penggiat seni yang mencari makan dalam dunia hiburan ini pun punya pegangan bahawa rezeki mereka ini berdasarkan bakat atau anugerah Allah.  Agak malang juga kerana golongan agama kerap menyindir gaya hidup aktivis hiburan ini, malah sering dijadikan bahan contoh menularnya gejala buruk dalam masyarakat.

Yang kedua ialah sukan, yang sudah menjadi satu industri dan mempunyai khalayaknya sendiri.  Orang-orang sukan bermula daripada pengurus, pemain dan jurulatih sudah bekerja sepenuh masa untuk mencari penghidupan.  Seperti hanya segelintir yang menjadi artis dan banyak lain sebagai penggemar, maka bidang sukan pun begitu juga.  Yang merancakkan arena sukan ialah penonton yang membayar nilai sukan melalui perlawanan-perlawanan dalam sukan.  Universiti pun sudah menawarkan kursus sains sukan.  Maknanya orang yang terlibat dalam sukan juga berani mengatakan bahawa kerjaya dalam sukan juga adalah kerana bakat daripada Tuhan.  Dahulu apabila saya menyatakan boleh solat jamak dan qasar untuk orang musafir kerana melihat acara sukan, kawan-kawan yang cenderung agama tersengih tanda tanda tidak setuju.

Yang ketiga ialah politik, yang paling popular dan menjadi topik utama.  Seperti sukan dan hiburan, yang gila bermain politik ini pun bukan semua manusia.  Hanya segelintir manusia yang menjadi pemainnya, dan yang bersepah ialah peminat-peminatnya sahaja.  Penggiat politik ini pun mendapat royalti daripada kegiatannya apabila dirinya disokong banyak rakyat dalam pemilihan parti atau pilihan raya.  Jadi semakin banyak orang menyokongnya, semakin banyaklah duit masuk dalam poketnya.  Untungnya ialah banyak orang berpendidikan agama menjadi ahli politik dan dengan mudah mereka mengeluarkan fatwa politiknya adalah sah di sisi agama. 

Ketiga-tiga bidang ini adalah satu industry, yang menggerakkan ekonomi.  Ketiga-tiganya bergerak mengikut lunas undang-undang. Malah Untuk menarik wang yang banyak daripada khalayak penggemarnya semua watak dalam ketiga-tiga industry ini akan sedaya upaya menonjolkan persempahan terbaik.  Para artis mahu imej yang baik, cantik dan sentiasa memberikan produk hiburan terkini.  Ahli-ahli sukan juga mahu terus hebat di gelanggang untuk menarik sebanyak mungkin orang memasuki stadium.  Dengan banyak orang suka kredibilitinya sebagai ahli sukan wang poketnya tebal melalui ganjaran kontrak iklan dan majikannya.  Ahli politik pun sama, semakin mendapat perhatian orang maka semakin kukuhlah di persada politik. Maka, sebagaimana artis yang membuat banyak gimik supaya namanya terus di bibir peminat, ahli politik juga tidak ketinggalan membuat aksi berani matinya.  Ucapan-ucapan yang ‘gila babi’ dan perangai ‘budak hingusan’ pun dipaparkan. Ya, orang suka sebab semua ini aksi pelik.  Orang sanggup membayar persembahan mereka melalui cukai, kutipan ceramah dan sumbangan dana pilihan raya.

Menarik hidup ini…., Cuma janganlah mudah taksub dengan mendakwa pihaknya sahaja yang betul dan pihak lain salah.