Pengikut

Ahad, November 30, 2014

SOLAT berjamah? Kami tahu tapi tidak yakin!


TERFIKIR juga selama ini: Mengapa orang yang rumahnya dekat dengan masjid kerap mendengar azan namun tidak solat jamaah di masjid walhal dia pun sudah tahu kuatnya tuntutan solat berjamaah.  Dan berapa banyak lagi antara kita sebagai muslim membaca dan mendengar seruan Allah dalam al-Quran  serta hadis Nabi s.a.w. berkenaan solat berjamaah.

Maksud firman Allah ayat 43 surah al-Baqarah, “Dan dirikan solat serta keluarkan zakat, dan rukuklah kamu bersama orang-orang yang rukuk.”  Ayat ini seruan atau perintah daripada Tuhan yang memberi kita makan dan nyawa!

Maksud hadis Nabi s.a.w. “Sungguh aku mahu menyuruh dan mengumpulkan kayu-kayu api, kemudian aku menyuruh diserukan solat, lalu dilaungkan azan untuknya.  Kemudian aku menyuruh seseorang menjadi imam.  Sesudah itu aku pergi kepada mereka yang tidak menghadiri jamaah, lalu aku bakar rumahnya bersama-sama dengan mereka yang ada di dalamnya.” (HSR Al-Bukhari dan Muslim)

Hadis Nabi s.a.w. di atas merupakan ancaman kepada yang sengaja meninggalkan solat berjamaah.  Selain itu ada beberapa lagi hadis Nabi s.a.w. yang menjelaskan ‘wajibnya’ keluar dari rumah ke masjid untuk menunaikan solat berjamaah.  Saban kali ada ceramah solat jamaah, hadis-hadis nabi akan dikumandangkan.  Namun mengapa ada yang sampai sudah umur 40 tahun, kulit berkedut dan beruban, masih diam-diam sahaja tidak mahu ke masjid. 

Persoalannya, adakah mereka atau antara kita tidak percaya al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.? “Oh kami semua percaya kitab Allah dan hadis Nabi s.a.w..”

Adakah mereka atau antara kita tidak percaya janji Nabi s.a.w. kepada yang melakukan solat berjamaah? “Oh kami percaya janji Nabi, kerna Nabi adalah utusan Allah dan semua tahu apa yang Nabi bicarakan adalah benar.”

Oleh itu mengapa mereka atau antara kita tidak melakukan seruan Allah dan rasul-Nya, berjamaah di masjid?  ……. Tiada jawaban!

Seseorang muslim tahu apa maksud solat berjamaah. Mereka atau antara kita tahu seruan daripada Allah dan rasul-Nya. Mereka  dan antara kita faham semua berkaitan dengan solat berjamaah. Hakikatnya, mereka atau antara kita tidak yakin apa yang diketahui dan difahami!

Tanpa keyakinan orang tidak akan bertindak melakukan kerja.  Ambil contoh, seorang graduan di Tawau, Sabah mendapat tawaran kerja di Johor Bahru dengan gaji RM5,000.00 sebulan. Dia harus bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat antara bangsa. Sekalipun dia tidak pernah menjejak Johor Bahru, namun kerna yakin semua tawaran itu betul, dia pergi meninggalkan Tawau untuk ke Johor Bahru!  Dia yakin maklumatnya benar. Untuk itu, dia boleh saja mengeluarkan kos tambang kapal terbang, sewa rumah dan pengangukutan selama belum mendapat gaji pertamanya. 

Begitulah, keyakinan menyebabkan seseorang sanggup bertindak sama ada dalam batas normal atau yang ekstrim.  Ibu atau bapa pergi ke sekolah untuk mengambilkan bantuan sekolah RM100.00 untuk anaknya. Dia yakin beritanya betul dan pasti mendapatkan RM100.00 tunai!  Peminat sepak bola yakin masih boleh membeli tiket meyaksikan perlawanan sepak bola final Piala Malaysia walaupun dia di barisan belakang, sedangkan di hadapannya manusia lain sudah berasak-asak mahu membeli tiket.  Dia di belakang yakin dapat membeli tiket itu, maka dia pun menyertai orang berasak-asak dalam keadaan ekstrim.


Begitulah, kerna tidak yakin jaminan kebajikan dan pahala kepada orang berjamaah, banyak yang tahu tetapi mengabaikannya. Serulah dengan azan di cuping telinganya, berilah tazkirah oleh ulama terhebat, jika dia memang tidak yakin….. dia tidak akan melakukannya. Hanya yang tahu, faham dan yakin…. dia akan ke masjid. Malah dia sanggup pula berjaga-jaga, tidak mahu tertidur hingga terlepas. Atau dia berjaga-jaga waktu-waktu setiap solat supaya dia boleh bersiap siaga sekalipun tidak mendengar azan. Malah dia akan menyediakan kelengkapan pakaian bersih untuk solat kerna dia dalam pekerjaan yang bergelumang dengan tanah atau kotoran.  Semua disebabkan dia yakin janji dan jaminan Allah dan rasul-Nya!

Sabtu, November 29, 2014

BELASUNGKAWA Haji Zakaria bin Haji Salleh

Haji Zakaria ceria sewaktu di Beijing, Jun 2014

KIRA-kira jam 10.00 pagi pada 26 November lalu saya menerima panggilan daripada seorang sahabat dan mengkhabarkan berita yang kaget. “Pak Z meninggal dunia.”  Saya tergamam seketika.  Saya fikir bukan saya seorang sahaja yang terkelu lidah seketika apabila mendengar berita pemergian mantan Guru Besar juga pengendali sebuah angensi pelancongan, Haji Zakaria Haji Salleh.  Beliau meninggal pada usia 62 tahun di rumahnya di Kundang, Selangor.

Sudah lebih dua minggu beliau tidak menghubungi saya berkaitan ziarah ke Bandung Indonesia yang akan dilangsungkan pada 21 Disember ini.  Sebelum ini beliau memaklumkan kepada saya semua urusan ke seberang sudah beres, dan hanya meminta semua ahli ziarah berada di KLIA pada waktu yang ditentukan.

Seorang sahabat yang menguruskan ziarah ke Ho Chi Minh pada 3 Disember lagilah kaget.  Sebagian dokumen dan maklumat masih ada pada Haji Zakaria. Seperti biasa, beliau jarang melakukan empowerment dalam tugasan, semua dilakukannya sendiri sebagai rasa tanggung jawab dan kepuasan diri.

Apabila saya memaklumkan rakan tugasan Haji Zakaria di Beijing, beliau juga kaget dan sekan tidak percaya, “Ah, masak? Kenapa?” Begitu responnya dalam loghat Indonesia.

Banyak lagi yang benar-benar kaget kerna sebelum ini tidak ada berita mengenai kesihatan Haji Zakaria. Malah menurut isterinya, pada 25 November jam 10.00 malam barulah Haji Zakaria mengadu sakit dada.  Beliau masih gagah  dan mahu ke hospital dengan memandu kereta sendiri.  Namun ketentuan Allah, sewaktu baru memasuki kereta di laman rumahna, beliau dijemput ke hadrat Tuhan yang Esa!

Kidmat sosialnya kepada masyarakat yang tidak menagih sebarang bayaran cukup banyak.  Selain pernah menyelamatkan seorang insan daripada murtad, menyelamatkan sebuah masjid daripada dirobohkan sehinggalah usaha beliau membangunkan sebuah masjid baru yang fungsinya pelbagai.  Kawan-kawannya pun merata-rata, kerna pengalamannya dalam bidang pendidikan dan kewisataan.

Saya juga kehilangan seorang sahabat yang budiman.


Semoga Allah mengampuni dan merahmati Haji Zakaria Salleh.

Selasa, November 25, 2014

AGAMA dan adat Melayu berpisah tiada

pulut kuning asalnya dalam mistik Hindu

majlis marhaban sangat berunsur agama Islam

ADAT merupakan hal-hal istimewa muncul bersama kehidupan bermasyarakat tanpa dirancang, manakala agama merupakan satu kepercayaan terhadap Tuhan yang terancang dan berprinsip. Dalam konteks perbincangan untuk masyarakat Melayu, agamanya adalah Islam.

Bagi bangsa Melayu, agama Islam dan adat ‘berpisah tiada’.  Yang digelar alim-ulama, yang dikatakan mahir dalam agama juga mahir dalam hal adat resam Melayu. Atau mereka sebagai pemuka agama tidak mahu membedakan antara agama dan adat.  Hal ini sudah sebati.  Pada zaman penjajahan, perjanjian yang menyerahkan kuasa-kuasa raja Melayu kepada British, hal agama dan adat tidak diusik.  Agama yang difahami bukanlah sebagaimana yang difahami oleh ilmuan pada zaman kehebatan Islam di Andalus (Bani Umayyah) dan Baghdad (Bani Abasiyyah), bukan! Islam yang difahami di alam Melayu hanya dalam bentuk ritual yang tidak ada kaitan dengan pemerintahan dan ekonomi.

Oleh itu dalam budaya Melayu, yang dikatakan ahli agama juga merupakan ahli dalam adat resam Melayu. Tanpa disedari adat resam Melayu terbahagi kepada dua, yang disusupi agama dan tidak disusupi agama.  Maka adat yang disusupi agama telah dianggap atau difahami sebagai agama dan diurus oleh orang ahli agama.  Begitulah yang berlaku ratusan tahun sehingga ke zaman moden.

Adat resam Melayu yang tidak disusupi agama seperti berpawang, mandi safar, pengantin bersanding, berkain batik, kenduri kahwin, bersilat, bertepung tawar, jamuan pulut kuning dan memakan sirih (beberapa contoh). Adat-adat ini diamalkan tanpa menunggu kehadiran tokoh dari  masjid dan surau. Dalam adat resam ini ada ahlinya bergelar bomoh dan mak andam.  Pada zaman moden, adat ini terdedah kepada serangan oleh ahli agama, dikatakan berunsur hindu, membazir dan dikatakan haram.

Adat resam Melayu yang disusupi agama seperti kenduri arwah (sebenarnya jamuan makan), kenduri selamatan (setiap kali terlepas bencana atau hal istimewa), sambutan hari raya selepas hari raya pertama, berpakaian melayu, sambutan Maulidur-Rasul dan marhaban ( beberapa contoh).

Kenduri arwah tiga atau tujuh malam berturut-turut, malam ke-100, dan malam ke-1000 sebenarnya berasal dari Hindu-Buddha.  Kenduri itu memang untuk memberi jamuan kepada jiran tetangga. Baru-baru ini ustaz di desa menjelaskan pada zaman dahulu (tahun 40-an dan 50-an) apabila ada kematian ahli keluarga si mati bersegera membuat jamuan yang luar biasa (enak-enak) dan semua penziarah jenazah dijamu makan sebelum jenazah dibawa ke kubur.

Oleh kerna kematian muslim ada kaitan dengan agama, maka ahli agama memain peranan dalam kenduri kematian dengan menyediakan set bacaan daripada al-Quran dan doanya.  Oleh itu kenduri arwah sebagai adat resam Melayu terselamat daripada kritikan ahli agama, kecuali yang difikirkan tidak logik  seperti jamuan besar sebelum jenazah dibawa ke kubur.


Begitulah adat resam Melayu yang sudah sebati dengan agama akan terus menjadi amalan yang dilihat sebagai salah satu ajaran agama Islam. Tidak mudah untuk memberi penerangan antara agama dan adat yang sudah disusupi agama ini.

Isnin, November 24, 2014

TEMPAH rumah mampu milik anda di sana!

MAKSUD Sabda Rasulullah s.a.w. “Aku akan menjamin sebuah rumah di dasar surga bagi orang yang meninggalkan debat meskipun dia berada dalam pihak yang benar. Dan aku menjamin sebuah rumah di tengah surga bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dalam keadaan bercanda. Dan aku akan menjamin sebuah rumah di bagian teratas surga bagi orang yang membaguskan akhlaknya.”  (HR. Abu Dawud dalam Kitab al-Adab, hadits no 4167. Dihasankan oleh al-Albani dalam as-Shahihah [273] as-Syamilah)

Rumusanya, Islam sangat tidak mengalakkan perdebatan dan menganjurkan permuafakatan. Sikap berlapang dada dan bertolak-ansur dalam perkara teknikal atau keduniaan sepatutnya dijadikan pilihan utama.  Hal ini untuk menjamin terjadinya perasaan kasih sayang dan hormat antara satu sama lain, khasnya sesama yang muslim.  Debat selalunya bertujuan mengalahkan lawannya. Maka pasti berlaku pemilihan kata dan ayat yang menyinggung lawannya. Pastinya rasa malu dan marah menjadi tebal sekalipun debat sudah tamat. 

Kedua, dusta atau bohong adalah satu dosa. Dusta berarti menyatakan berita yang tidak benar atau sengaja diada-adakan untuk tujuan tertentu.  Dalam bercanda, berlawak atau bergurau….. demi menjadikan suasana kelihatan ceria dengan gelak tawa, sangat cenderung membuat cerita luar biasa, aneh atau pelik. Cerita-cerita begitu tentulah menarik perhatian khalayak. Cara olahan cerita itu tentulah digayakan supaya mendapat maklum balas yang baik, seperti tawa dan kaget! Akhirnya cerita yang direka-reka itu sebagai mauduk bermesra dan bergembira berjaya menyebabkan orang tertawa. Ya daripada cerita dusta!

Ketiga, Akhlak ialah perilaku atau perangai seseorang. Rasulullah meyebut akhlak yang bagus. Akhlak yang bagus tentulah sandarannya al-Quran dan sunah baginda Rasulullah. Isteri Rasulullah, Saidatina A’isyah r.a. ada menyatakan yang akhlak Rasulullah adalah al-Quran!  Oleh itu mencontohi akhlak Rasulullah pastilah menepati ajaran dalam al-Quran. Misalnya al-Quran meminta orang bersabar, bukan semberono. Al-Quran meraikan orang yang pemaaf, bukan pendendam. Al-Quran mendesak orang melakukan perdamaian, bukan menajamkan permsuhan.  Banyak lagi yang sesilang antara budaya hidup buruk dengan kemurnian ajaran al-Quran.


Maka wajarlah yang mengamalkan wasiat Rasulullah seperti dalam hadis di atas, dijamin rumah mampu milik di syurga sana.

Isnin, November 17, 2014

PULANGKAN Bible, edarkan buku Ahmad Deedat

TELAH sah kitab-kitab Bible dalam bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah telah dipulangkan kepada pemilik asalnya.  Ini bermakna penganut Kristian boleh memahami kitab Bible dalam bahasa Melayu dengan baik.  Positifnya, ini membuka dialog terbuka antara Islam dengan Kristian.  Oleh kerna kalimah Allah diguna merujuk tuhan, sebagaimana penganut Islam merujuk kalimah Allah sebagai Tuhan, mahu tidak mahu dialog atau debat akan berlaku mengenai sifat dan kebenaran Allah antara dua agama langit ini.

Mengapa takut dengan dialog sekalipun debat? Bukankah sejak 10 tahun terakhir ini masyarakat Malaysia sudah diasuh dengan perbedaan pendapat yang sangat tajam sehingga antara kedua-dua pihak tidak boleh bertolak ansur, sehingga ada yang sanggup berguling-guling di atas jalan untuk mempertahankan kebenaran pemikirannya. Syabas, hanya berguling-guling sebagai imej keperwiraan, bukan menggambarkan kesan keganasan atau kemusnahan!

Maka elok dicadangkan agar buku tulisan Ahmad Deedat tajuk The Choice atau Pilihan terbitan Al-Hidayah House Of Publishers Sdn Bhd berharga RM26.00 diedarkan kepada orang Kristian juga. Buku ini dalam bahasa Melayu, sebab penganut Kristian yang bukan Melayu sudah memiliki Bible dalam bahasa Melayu.

Sudah sampai masanya semua berlapang dada saling teroka-menerokai agama selain yang dianutinya. Kepada muslim, tetap digalakkan meneroka agama sendiri untuk membuktikan pilihan Islam sebagai agama adalah berdasarkan ilmu, bukan warisan emosi semata-mata.

kulit depan

kulit belakang


Sabtu, November 15, 2014

MENCARI sampah dalam masyarakat


AKHIRNYA yang difikirkan oleh pejuang kelestarian alam sekitar tampak menemui cahaya di hujung terowong apabila kerajaan akan memulakan program pengasingan sampah.  Pada tahun hadapan, penghuni rumah diwajibkan mengasingkan sampah-sampahnya, mana yang kaca, kertas , plastik dan besi.

Tindak kerja seperti itu sudah lama dilaksanakan di negara-negara bukan Islam seperti Britain, Sweden, Jepun atau Korea.  Sekali lagi menjadi satu ujian kepada umat Islam di negara ini adakah mereka bakal menjadi masyarakat contoh dalam gerak kerja nasional ini.  Umum tahu kritikan penceramah agama bahawa kebersihan dalam kalangan masyarakat Islam belum dapat dijadikan contoh terbaik.  Masih ada waktu untuk mengisi isu kelestarian alam dalam khutbah Jumaat, usrah mingguan, tazkirah muqayam, kempen kebersihan dalam rehlah, kuliah maghrib, ceramah Maulidur-rasul, ceramah Isra Mikraj dan lain-lain wacana. Masih sempat dijadikan mauduk tarbiyah umat.

Ini berita rasmi kerajaan kita.

MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI  |  15 November 2014 12:31 PM
KUALA LUMPUR 15 Nov. - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan pengasingan sisa di punca secara mandatori mulai tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, usaha tersebut akan dijalankan secara berperingkat-peringkat bermula pada September 2015.

“Pelaksanaan akan dijalankan di negeri yang melaksanakan undang-undang yang tertakluk di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal.

“Pihak kementerian akan menggunakan konsep 3R iaitu reduce, reuse dan recycle (mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula) sebagai komponen utama dalam pengurusan sisa pepejal,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Kitar Semula di Taman Tasik Universiti Putra Malaysia, Serdang dekat sini hari ini.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Arfah Abdul Razak. - UTUSAN ONLINE

Rabu, November 12, 2014

TAK boleh taat perintah yang maksiat, mudah kan?

LIHATLAH betapa hebatnya penjajahan Barat terhadap kita sebagai umat Islam bangsa Melayu. Sekalipun kita diberi kemerdekaan, namun pemikiran kita tetap dalam asuhan dan ketetapan yang dikehendaki Barat.  Barat yang memberi acuan pemikiran kita wajib mengikut blok, sama ada blok kanan atau kiri. Barat (baca British) yang menetapkan apabila seseorang menyokong blok kanan, maka segala-gala yang datang dari sebelah kanan dikaitkan dengan penyokongnya.  Begitulah juga jika seseorang berada atau cenderung terhadap blok kiri, maka segala yang ada di blok kanan sudah menjadi musuhnya. Yang di blok kiri adalah pegangannya. 

Tidak ada dalam kamus pemikiran Barat bahawa seorang yang berada dalam blok kanan juga menerima pemikiran sebelah kiri.  Itulah yang diajarkan olah Barat sebelum negara mencapai kemerdekaan, dan hari ini banyak antara kita yang menjadikan satu akidah pemikiran.

Jadi apa bedanya dengan konsep berkabilah sebagaimana bangsa Arab zaman jahiliah dahulu. Tidak ada perbedaan kan? Itulah sebabnya konsep pemikiran Barat sebenarnya pemikiran jahiliah.

Menurut kaedah al-Quran dan Sunah, muslim wajib taat kepada pemerintah, sedangkan menurut kerangka pemikiran Barat, menjadi penentang pemerintah diraikan.  Oleh kerna sebagian besar negara Islam termasuk Malaysia menerima sistem demokrasi berpilihan raya seperti yang diamalkan di British maka banyak yang meletakkan Islam sebagai salah satu blok pemikiran.

Sama ada dalam demokrasi atau negara teologi, asal saja muslim seseorang terikat dengan wahyu-wahyu Allah dan sunah Nabi s.a.w. Sebab itulah ketaatan muslim kepada pemerintah tetap tidak terlerai sekalipun Barat membuka ruang untuk rakyatnya menjadi pembangkang dan pengkritik yang lantang!  Seperti dalam bab hijab, sekalipun demokrasi memberi ruang muslimah untuk membuka hijabnya, adakah para ulama membenarkan mereka membuka hijab atas nama kebebasan demokrasi? Nampaknya tidak! Tetapi nampaknya mereka 'membenarkan' kritikan dan umpat terhadap pemerintah muslim sekalipun asasnya tidak boleh begitu?  Mengapa dalam hal aurat muslimah, mereka kekal berpegang ketetapan alquran, dalam bab politik mereka meletakkan ke tepi ayat 59 surah an-Nisa'?

Ketaatan muslim yang beriman kepada pemerintah bukan taat membuta tuli. Taat membuta tuli itu pemikiran Barat atau kabilah Arab jahiliah.  Sangat jelas bahawa Islam hanya memberi arahan agar muslim taat dalam perkara makruf.

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam bermaksiat kepada Sang Khalik” (HR. Ahmad, dishahihkan oleh Syaikh Al-Bany dalam Shahih Al-Jami')

Namun secara dasarnya, muslim wajib mentaati pemerintah. Dan jika ada perintah yang maksiat, tidak ada ketaatan dalam bab berkenaan sahaja. Mudah bicara, tidak ada perkongsian perkara maksiat atau haram sekalipun berada di bawah satu bumbung institusi. Ini barulah dinamakan kemerdekaan bersikap dan pemikiran.

Itulah kaedahnya dalam bermuamalah dengan pemerintah, yang menjadikan pemerintah terus berwibawa dan masyarakat dalam aman.  Hari ini masyarakat muslim berkecamuk dan saling salah-menyalah antara satu sama lain disebabkan mewarisi kerangka pemikiran Barat.

Yalah, menggunakan kaedah al-Quran dan sunah dalam pentadbiran dan politik sangat minoriti. Malah sesiapa yang berpegang begitu menjadi bahan sorak!

Begitulah Barat terus menjajah pemikiran umat.


Isnin, November 03, 2014

SEJARAH Lubuk Pusing yang belum disahkan

AKHBAR Sinar Harian hari ini memaparkan cerita asal-usul nama Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap di daerah Sabak Bernam.  Seperti dalam akhbar berkenaan, semasa saya kecil telah mendengar asal nama kampung itu: lubuk yang berpusing di tengah sungai. Pusaran air yang memakan korban telah terhenti apabila Kiyai yang dikatakan keramat melontarkan serbannya sehingga ditelan pusaran air.  Maka terhentilah pusaran air itu. Entah dongeng atau mitos, belum ada ahli sejarah membuat kajian dan kesimpulan.


kolam biasa sebelum ada bekalan air paip tetapi ada yang percaya
mempunyai kuasa penyembuh sakit

bangunan tempat bersuluk pada masa dulu

Semasa kecil pernah ibu membawa saya ke Masjid Lubuk Pusing untuk menziarahi nenek yang bersuluk atau beruzlah.  Itu tahun 1970-an. Saya tidak pernah melihat apa yang ibu saya katakan bahawa ada orang meletakkan lauk pauk atau kuih di atas kubur Syeikh Marzuki yang terletak di bahagian masjid. Itu cerita semasa adanya golongan yang bersuluk selama 40 hari di sana.

Sekarang tidak ada lagi orang yang bersuluk, baguslah. Semoga mati sebagian amalan bid'ah disebabkan bersuluk itu.

Sekarang, kesan aliran Sungai Bernam yang menjadi daratan masih jelas kelihatan. Laluan sungai itu menjadi kawasan yang rendah walaupun tidak berair pada musim kemarau.  Di sana terdapat beberapa kolam yang airnya membuak mengeluarkan gelembung-gelembung udara.  Kata orang, kolam itu sangat dalam dan tidak tahu di mana hujungnya.  Namun jelas air yang sentiasa bertakung dan membuak itu air sungai yang keruh, sama seperti air Sungai Bernam sekarang.in

kolam yang membuak tanpa henti
laporan Sinar Harian yang mengatakan ada orang percaya
keberkatan air kolam di tepi masjid
kedudukan Pulau Ganda Suli bersebelahan Kg Lubuk Pusing

Di situ terdapat sebuah kampung bernama Pulau Ganda Suli. Menurut Cikgu Harun bin Abdul Samad, 52 tahun, yang pernah tinggal di situ dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lubuk Pusing, asalnya kampung itu dikelilingi sungai. Kampung itu sebagian daripada negeri Perak. Dan apabila proses hakisan dan mendapan sungai, kampung itu sudah bercantum dengan kawasan daratan di Kampung Lubuk Pusing.  Oleh kerana sempadan antara negeri Perak dan Selangor ditentukan oleh Sungai Bernam, dan apabila sungai itu berubah laluannya, Kampung Pulau Ganda Suli itu kekal menjadi sebagian negeri Perak sekalipun sudah terpisah dari tanah negeri Perak yang asal.