Pengikut

Ahad, November 29, 2009

TERJEMAHAN sejadi kalimah istawa



Di universiti ada kursus penterjemahan yang sangat baik sekurang-kurangnya memahami prinsip penterjemahan yang digunakan oleh semua penterjemah yang berwibawa.  Ada autentik!

Ada sebilangan ustaz apabila berceramah kerap salah nahu Bahasa Melayu apabila membuat pengulangan kata ganti mereka. Orang itu kerap menggunakan frasa ‘mereka-mereka’.  Contoh ayatnya: "Mereka-mereka yang tidak beriman…bla, bla..Ada juga yang menggunakan ganti nama mereka serta dan berulang kali dalam menterjemahkan ayat al-Quran.  Penceramah agama ini sebenarnya menterjemah ayat al-Quran secara harfiah ke dalam Bahasa Melayu. Memang dalam bahasa Arab kalimah hum atau him bererti mereka dan akan ditemui banyak kalimah hum atau him dalam satu ayat sahaja. Bahasa Arab juga tidak menggunakan tanda ‘koma’ untuk memisahkan antara beberapa fakta dalam satu ayat. Kita jumpa banyak kalimah wa (dan). Maka apabila diterjemah secara harfiah, banyaklah perkataan mereka serta dan dalam ayat Bahasa Melayunya.

Konsep penterjemahan yang betul ialah ‘terjemahan sejadi’.  Terjemahan ini mesti memadankan dengan laras bahasa, nahu  dan budaya pembacanya.  Oleh kerana al-Quran diterjemah dalam Bahasa Melayu, maka semua berorientasikan bahasa dan budaya Melayu.  Hal ini untuk memberi kefahaman yang tepat kepada pembaca Melayu. Semua terjemahan al-Quran sama ada yang dihasilkan di Malaysia dan Indonesia menggunakan prinsip penterjemahan sejadi yang autentik.

Hari ini pemikiran Ahbash sudah meresap dalam minda sesetengah orang agama kita, lalu dengan mudah mengatakan sesiapa yang berkata Allah bersemayam di Arasy adalah kafir. Siapa kata Allah di langit pun kafir!  Perbedaan pendapat ini sudah lama, tetapi gejala takfir ini kira yang mutakhir.  Ada anak murid saya, seorang Cina baru masuk Islam pun sudah diperangkap golongan ini. Baru lima bulan masuk Islam, belajar Islam secara curi-curi, dah kafirkan orang! Bukan dongeng.

Ambil contoh ayat 4 dalam surah as-Sajadah.  Dalam terjemahan Melayunya seperti dibawah.  Kemudian disertakan terjemahan dalam bahasa Inggeris pula.  Semua ini terjemahan sejadi untuk sasaran pembaca Melayu dan Inggeris.  Dan terjemahan inilah yang menjadi sasaran sesetangah pihak untuk mengkafirkan seseorang.

”Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?”


“It is God Who has created the heavens and the earth, and all between them, in six Days, and is firmly established on the Throne (of Authority): ye have none, besides Him, to protect or intercede (for you): will ye not then receive admonition?”

Orang Melayu tidak faham astawa jika tidak diterjemah kepada istilah yang paling afdal dan sesuai dengan kebesaran Allah.  Oleh kerana dalam budaya Melayu, raja merupakan manusia paling berkuasa dan tanda kekuasaannya ialah bersemayam di singgah sana, maka penterjemah memilih istilah semayam bagi terjemahan istawa/astawa.  Jika ditemui ada istilah yang lebih mulia daripada semayam, pasti istilah itu dipilihnya.

Tidak ada apa-apa persamaan antara semayam raja dengan Allah kerana guru-guru agama pun mengajarkan bahawa Allah itu tidak menyamai apa-apa atau makhluk (rujuk surah al-Syura ayat 11).  Lantaran itu dalam al-Quran terjemahan Melayu diberi nota kaki bagi istilah semayam sebagai ‘mengikut kebesaran Allah’, yang dalam bahasa Inggeris juga dicatat ‘of authority.  Dengan ayat 11 surah as-Syura itulah semua sifat Allah yang menyerupai sifat makhluk berani diterjemah dalam bahasa sasaran, semata-mata supaya pembaca mudah faham.  Apa gunanya membaca terjemahan jika masih tidak difahami.

Allah bersemayam (sifat makhluk) ialah dengan kebesaran-Nya.  Allah mengetahui (sifat makhluk juga) ialah dengan kebesaran-Nya.  Allah menyanyangi (sifat makhluk juga) dengan kebesaran-Nya.  Allah mendengar (sifat makhluk juga) dengan kebesaran-Nya.

Dengan terjemahan sejadi itulah orang Melayu memahami tauhid dan mengetahui sifat Allah.  Bangsa-bangsa lain juga membuat terjemahan berprinsipkan terjemahan sejadi, yang paling dekat dengan budaya bangsanya.  Semuanya dengan tujuan supaya pembaca faham dengan mudah kandungan al-Quran.

Tidak ada apa-apa yang mengelirukan pembaca Melayu dalam hal ini.  Namun jika ada orang yang perasan lebih bijak dalam prinsip terjemahan, membuat takwilan lain yang berjela-jela, itulah bermulanya orang pening kepala.


Sabtu, November 28, 2009

ALLAH adalah pengawas peperiksaan



SEKARANG ini musim peperiksaan SPM dan STPM.  Saya Cuma mengajak pembaca berfikir cara peperiksaan ini dijalankan sebagai cermin akidah iman yang dimiliki.  Kalau kita rajin meneliti sirah atau sejarah dakwah Rasulullah, kita temui satu generasi contoh muslim yang hidup dalam dua zaman.  Satu zaman jahiliah dan kemudian zaman beriman kepada Allah.

Contoh terbaik ialah seorang sahabat nabi, Bilal bin Rabah r.a. yang sanggup menderita sakit kerana yakin jaminan Allah di akhirat kelak.  Keluarga Yassir disiksa sehingga wafat, sebagai contoh akidah dan iman yang cukup mantap.  Pendek kata, orang tidak akan sanggup menderita luka-luka atau parah hingga mati jika tidak ada jaminan habuan berkali-kali ganda lumayan menunggu kelak. 

Peperiksaan itu ada kaitan dengan keutuhan iman dan taqwa.  Setiap kali peperiksaan, calon dilarang meniru jawaban daripada buku atau mana-mana sumber.  Untuk memastikan tidak ada penipuan atau peniruan, calon diawasi sepanjang peperiksaan.  Secara teori, jika akidah dan iman muslim yang mengambil peperiksaan cukup kuat, tidak timbul soal diawasi dalam peperiksaan.  Meniru dalam peperiksaan adalah pendustaan dan perbuatan keji.

Dari sudut akidah, semua muslim pasti tahu bahawa Allah maha melihat perbuatan hamba-Nya sekalipun sekecil zarah.  Apa yang dilakukan dalam peperiksaan termasuk dalam pengetahuan Allah. Kelak, di alam akhirat semua akan dipertanggungjawabkan.  Kelak di alam akhirat inilah yang dicari oleh Bilal dan keluarga Yasir, yang sangat yakin Allah akan lebih membahagiakan hidup yang abadi sebagai ganti penderitaan di dunia.

Sepatutnya setelah kita menerima Islam, berakidah betul yang tiada syirik mengesakan Allah dan membentuk amal kerana iman, maka Allah sahaja sebagai pengawas peperiksaan.  Sepatutnya pengawas peperiksaan hanya mengurus pengedaran serta pengutipan kertas soalan dan jawaban.  Pengawasan sama ada calon menipu atau tidak ialah Allah.  Maka tidak patutlah peperiksaan yang calonnya muslim atau di sekolah-sekolah agama diberi amaran supaya jangan meniru, menipu atau khianat. 

Ertinya antara calon muslim dengan bukan muslim, sama sahaja yang berkemungkinan besar akan menipu.  Calon sekolah agama yang katanya lebih baik akhlaknya juga diberi amaran jangan menipu dan diawasi oleh manusia juga.  Nampaknya sekolah agama pun tidak dapat memberi model peperiksaan cara Islam, yang sejujur-jujurnya. 

Itulah moralnya kita, bercakap mengenai sistem Islam dan mengajak orang memilih Islam tetapi kita tidak menunjukkan contoh sistem Islam yang ditawarkan.  Terlalu mudah menyeru manusia kepada Islam yang dikatakan adil, telus dan profesional, tetapi kita muslim belum bersedia menjadi contoh di hadapan.  Ya, sekarang banyak yang terpinga-pinga dan mencari mana model Islam.  Islam sudah banyak dilaungkan, tetapi caranya tidak diberikan. Itulah antara sebabnya umah di negara ini masih mundur tetapi sangat lantang bercakap hal Islam.

Tak mengapa, sekurang-kurangnya kita berfikir di mana kedudukan kita. Kita bukan dalam zon selesa, tetapi kritikal…itupun kalau sedar.

Khamis, November 26, 2009

MASALAH besar jika ustaz berdusta



ANAK-ANAK pun telah menghafal satu ketika Rasulullah telah bersabda yang maksudnya, “Aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”  Akhlak itu apa, kalau bukan tingkah laku atau perangai manusia.  Sepanjang hayat hidup semuanya dikatakan dalam lingkungan akhlak. Mudahnya, kalau mulia akhlak seseorang, dia seorang yang jujur, menepati janji, berlapang dada, bersabar, menghormati orang lain, suka senyum, gemar menolong orang dan banyak lagi yang baik-baik.

Kalau seseorang itu dikatakan buruk akhlaknya, maka sering diertikan seorang penipu, pembengis, pembuli, ingkar janji, menganiaya orang atau makhluk lain, pemboros, mukanya masam dan apa-apa juga yang buruk sekalipun pada nilaian akal manusia biasa.

Itulah antara sebabnya Allah cukup memelihara akhlak baginda Nabi Muhammad sejak kecil.  Orang-orang Makkah memberi gelar ‘al-amin’ sebagai maksud yang dipercayai, yang jujur, yang tidak pendusta.  Kelak, Muhammad akan melafazkan wahyu Allah, mulutnya tidak pernah berdusta dan peribadinya mulia. Itulah hujah dalam dakwah.  Kalau saja Muhammad walupun sudah menjadi Rasulullah dikenal sebagai seorang yang sombong, pembengis dan penipu, semua wahyu yang keluar dari mulutnya tidak berguna apa-apa.  Wahyu, sekalipun suci banget jika diucapkan oleh penipu, orang tak bisa percaya itulah wahyu.  Orang akan berkata itu hanya omelan si penipu. Tergencatlah dakwah!

Kita, sekalipun yang bergelar ulama, ustaz atau ustazah memang tidak dapat mencapai darjat al-aminnya Rasulullah.  Namun orang-orang agama ini tidak boleh sama sekali sengaja mengambil akhlak buruk dalam melakukan kerja-kerja dakwahnya.  Mentang-mentang sudah pakai kopiah dan berjanggut, kemudian hafal banyak ayat al-quran, tidak ada hak untuk si duat ini menjadi pembengis, pemaksa, penipu atau pembuli. Kalau-kalau pun dengan perbuatan buruknya memang tidak ada orang akan menerima dakwahnya, tetapi perbuatan kejinya itu sudah memberi moral buruk kepada kaum agama yang jujur dan menjaga akhlak dalam hidupnya.

Ada yang diberi gelar ustaz, entah berapa kali mendakwa pegawai jabatan itu dan ini walhal dusta belaka.  Penipuan yang kecil-kecil pun terus berjalan, di samping mengaku pendakwah akidah.  Kalau berkesempatan bercakap dengan saya terus mengancam akan kafir jika mengatakan Allah ada di Arasy.  Nak percaya cakap dia? Maaflah, kalau selama ini tak berakhlak dan menjadi penipu, nak bercakap hal akidah.  Yang ini pun penipuan juga!

Isnin, November 23, 2009

APA salahnya tauhid rububiyah?


TERBARU Syeikh Uthman el-Muhammady (UeM) menyerang tauhid rububiyah mengaitkan dengan wahabi.  Saya tak tahu apa maksud wahabi berdasarkan kehendak UeM. Namun beliau mengulas tauhid rububiyah sebagai tidak tentu hala, saya jadi resah. Bentuk tauhid rububiyah ini dipelajari dengan baik oleh murid-murid sekolah, tetapi UeM menyerangnya.  Murid-murid akan keliru.  Orang awam yang tidak menelususi perbedaan manhaj juga terpinga-pinga membaca persepsi UeM.

Antara tulisan Syeikh Uthman dalam Berita Minggu 22 November 2009, “Hujahnya ialah penyembah berhala itu bertauhid dengan tauhid rububiah iaitu mengakui Tuhan menjadikan alam, memberi rezeki, berkuasa dan lainnya. Dia menyembah berhala itu sebagai perantara untuk berdampingan dengan Tuhan. Kata mereka, ini sama dengan orang yang mengucap 'Lailahaillallah' pergi berdoa di kubur nabi atau kubur orang soleh untuk mendapat berkat sebagai perantara dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu hajat. Kata pengasas golongan Wahabi, ia seperti penyembah berhala yang menyembah berhala, yang ini menyembah kubur, lalu dipanggil kuburriyun, penyembah kubur. Istilah ini hanya ada pada golongan Wahabi saja, tidak ada pada golongan lain.”



Ayat-ayat al-Quran dijadikan sandaran untuk memahami tauhid rububiyah.  Memang semua manusia percaya bahawa Allah itu sebagai Tuhan.  Allah telah menjadikan salah satu fitrah manusia ialah mencari dan menerima kuasa Tuhan.  Allah telah menjelaskan perkara ini dalam surah al-A’raf ayat 172, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman) ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’  Mereka menjawab, ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi’.  (Kami lakukan demikian itu) agar pada hari kiamat kamu tidak mengatakan, ‘sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini’

Perhatikan semua manusia sejak zaman dulu lagi, bahawa fitrah atau kecenderungan mencari dan memahami adanya kuasa besar yang ghaib iaitu kuasa Tuhan.  Apa saja kepercayaan mereka mengenai Tuhan, ialah Tuhan mempunyai kuasa luar biasa dan sangat layak disembah.  Sesuai dengan ayat62 surah az-Zumar, “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.”

Adakah orang-orang bukan Islam seperti penyembah berhala percaya adanya Tuhan yang hebat? Jawabnya ada dalam al-Quran ayat 84-89, surah al-Mukminun, ““Katakanlah: "Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "Maka apakah kamu tidak ingat?" Katakanlah: "Siapakah yang di tangan-Nya berada kekuasaan atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi dari (azab) -Nya, jika kamu mengetahui?" Mereka akan menjawab: "Kepunyaan Allah." Katakanlah: "(Kalau demikian), maka dari jalan manakah kamu ditipu?"

Saya belum terjumpa lagi atau diberitahu oleh para ustaz bahawa para sahabat pada zaman Rasulullah atau selepas wafatnya baginda,  mereka akan ke kubur para nabi atau orang-orang yang salih untuk berdoa dengan menyeru roh para nabi itu.  Adakah sahabat pergi ke kubur sayyidina Hamzah yang syahid di Uhud dan menyeru rohnya untuk diperkenankan permohonannya kepada Allah?  Kalau tidak ada, tidak ada sebab umat Islam hendak menyeru roh orang mati disamping menyampaikan hajat kepada Allah.

Saya turunkan tulisan Sdr Mohd Yaakub b Mohd Yunus mengenai tindakan Khalifah Umar al Khattab mengenai bertawasul dengan arwah nabi, para wali atau orang saleh.

“Pada zaman‘Umar r.a. tentera Islam telah berjaya menawan kubu Tustar. Ibnu Ishaq di dalam kitabnya al-Maghazi telah meriwayatkan bahawa tentera Islam telah menemui sekujur mayat yang tidak reput di atas sebuah katil di dalam Balai Perbendaharaan al-Hurmuzan. Di atas kepala mayat tersebut terdapat sebuah kitab lalu ia diserahkan kepada ‘Umar. ‘Umar kemudian mengarahkan Ka’ab r.a untuk menterjemahkan kandungan kitab tersebut. Ternyata kitab tersebut menceritkan kisah-kisah umat yang lampau serta kejadian yang bakal berlaku dan diyakini bahawa mayat tersebut merupakan mayat seorang Nabi Allah bernama Danial a.s..


“Sekiranya terjadi musim kemarau maka masyarakat setempat di situ akan membawa keluar katil dan mayat tersebut untuk dijadikan perantaraan dalam meminta hujan. Apakah arahan ‘Umar terhadap mayat tersebut? Adakah beliau menyuruh agar dibina kuburan berserta kubah yang besar agar mudah untuk masyarakat tersebut bertawassul dengan zat atau kehormatan Nabi Danial di sisi kuburnya?


“Ternyata hal itu tidak berlaku. ‘Umar mengarahkan untuk digali tiga belas liang lahad secara berselerakkan pada siang hari. Pada sebelah malamnya mereka menguburkan jasad Nabi Danial di dalam salah satu liang tersebut dan dikambus kesemuanya agar masyarakat di situ tidak dapat menjejak di mana kubur Nabi Danial. Ini merupakan bukti yang kukuh bahawa ‘Umar dan para sahabat tidak mengiktiraf amalan tawassul di kuburan para Nabi s.a.w. bahkan orang-orang soleh kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengajar mereka tatacara doa sedemikian rupa.”

Rabu, November 18, 2009

ISLAM yang profesional



PERKATAAN profesional mungkin tak berapa dikenal, tambahan kalau tidak biasa dalam dunia keilmuan. Prinsip profesional kerap disebut dan digunakan. Anak-anak muda kerap mendengar kalimah profesional apabila ngobrol sepak bola di kedai kopi. Pemain sepak bola profesional ertinya orang itu kerjanya hanya bermain sepak bola. Selain bermain bola tidak ada pekerjaan lain untuk mendapatkan wang sara hidup! Katanya itulah pro.



Tidakkah Islam itu amat profesional? Ya, sejak seseorang dikenalkan dengan tauhid sudah diberi gambaran jelas antara mengesakan Allah dengan perbuatan syirik. Tidak ada kompromi antara dua ini. Pilih Islam, maka mengesakan Allah dan menolak sehabis keras ideologi, prinsip dan amalan syirik sekalipun sekecil cucu kuman.



Perhatikan erti ayat 42 surah al-Baqarah, “Dan jangan kamu campur adukkan yang hak (benar) dengan yang batil (salah), dan jangan kamu sembunyikan yang hak itu.”



Maksud ayat 48 pula, “Dan jagalah dirimu daripada hari (azab kiamat, yang pada hari itu) seseorang tidak dapat membela orang lain walau sedikit pun, dan (begitu pula) tidak diterima syafaat (pertolongan) dan tebusan daripadanya, dan tidaklah mereka akan ditolong.”



Adakah antara sesama muslim dapat bertukar-tukar dosa dan pahala? Allah mengatakan tidak. Dengan bahasa harian, amalku adalah amalku, bukan amalmu. Pahalaku adalah hakku, bukan hakmu. Inilah yang menjadikan orang-orang miskin harta merasa punya hak sama rata dengan manusia kaya-raya. Di sisi Allah si miskin dapat membina imej, bersaing dengan si kaya. Semua darjat di sisi Allah adalah rahsia-Nya dan hanya diketahui di akhirat kelak. Tidakkah prinsip profesional ibadah ini indah?



Bolehkah direkacipta satu bentuk amalan serupa ibadah yang tidak ada contoh daripada al-Quran dan sunah nabi? Jawabnya dalam hadis nabi riwayat Bukhari dan Muslim, ertinya "Barangsiapa yang mengada-adakan dalam (urusan) agama ini suatu pekerjaan yang tiada daripadanya, maka (yang diada-adakan itu) tertolak." Kan tampak jelas banget profesionalnya beribadah di sisi Allah, iaitu wajib dalam petunjuk. Tidak ada petunjuk sunah, maka sia-sia, hangus, tak berguna biarpun dilihat cantik, soleh, dan modalnya tinggi.



Ayat-ayat al-Quran dengan jelas mengajar pemahamnya mengenai profesional dalam urusan kehidupan dan peribadahan. Dengan lemahnya iman dan sosial, mungkin kita mengatakan tidak berupaya menjadi professional seperti yang ditegaskan dalam ayat 42 itu, tetapi wajiblah kita menjadikan prinsip professional yang diajar oleh Allah sebagai pegangan. Dengan erti kata lain, penerimaan prinsip professional itu mesti ada, melaksanakan itu tentulah dengan kuasa dan kudrat masing-masing. Ayat akhir surah al-Baqarah (ayat 286) memberi kelonggaran berdasarkan keupayaan masing-masing. Diri sendiri dan Allah tahu di mana kedudukan kita, yang benar-benar dalam ketidak upayaan atau yang berpura-pura. Tak selamanya orang dapat berpura-pura dan mata manusia kian jelas, perangai manusia di sekeliling.

Isnin, November 16, 2009

IKUT Sunah: Yusuf Qardawi pun dianggap pelik


SAYA turunkan petikan daripada http://al-fikrah.net mengenai pengalaman ulama tersohor Dr Yusuf Qardawi yang dianggap bersikap pelik apabila berpegang pada ajaran alquran dan sunah rasul. Hal ini merupakan pengalaman biasa sejak zaman semua para rasul yang berpegang kepada ajaran Allah ketika berhadapan dengan suasana masyarakat yang sudah mula terpisah daripada panduan wahyu.

"Bukan setakat di bilik darjah, di tempat tinggalnya juga beliau terpaksa menangani kekecohan dari penduduk tempatan yang mendakwa beliau telah menghina para ulama kerana mengeluarkan pandangan yang berbeza.


Dalam Mukadimah buku beliau Fatwa Mu’asarah, beliau menulis, “Pada mulanya saya menimbulkan kekecohan di kalangan orang ramai. Mereka tertanya-tanya: “Bagaimana pemuda ini berani berbeza pandangan dengan syeikh-syeikh besar? Bagaimana dia mengajar orang-orang bukan daripada kitab-kitab muktabar? Bagaimana dia boleh mengeluarkan pandangan-pandangan yang sebelum ini belum pernah kami dengar?” Saya menghadapi hal ii dengan penuh tabah sambil mempertahankan pandangan. Saya katakana kepada orang-orang yang tidak bersetuju: “Di antara saya dan kamu ialah al-Quran dan Sunnah. Oleh itu marilah kita kembali kepadanya.”

Prof Dr Yusuf al-Qadhawi mengharungi tuduhan dan fitnah ini dengan penuh takwa dan sabar. Kerana beliau sedar dan yakin bahawa hak sentiasa akan ditentang oleh kebatilan. Malahan al-Quran dan as-Sunnah telah menceritakan bagaimana sukarnya perjuangan Nabi Muhammad shallahu-alaihi wasalam menyebarkan risalah tauhid dan membersihkan kesyirikan manusia ketika itu.

Kerana yakin dan tahu bahawa hanya kebenaran yang dibawa, Prof Dr Yusuf al-Qardhawi tidak berganjak dengan prinsip dan seruan tajdidnya(pembaharuan) terhadap agama. Kesungguhan dan keyakinan beliau terhadap seruan kembali kepada al-Quran dan Sunnah (tajdid) atas prinsip dan kefahaman para sahabat dan tabien, telah memberi pengaruh yang besar dalam dunia Intelektual Islam.”


Rabu, November 11, 2009

MENSUNAHKAN Islam arus perdana

ISLAM arus perdana? Maksudnya amalan Islam yang menjadi keutamaan masyarakat Islam dalam negara. Hal ini bermakna apa yang difahami sebagai ajaran agama Islam yang begitu lama dan banyak diamalkan oleh anggota masyarakat diertikan Islam arus perdana.


Istilah Islam arus perdana ini ditimbulkan kerana para elit agama (pegawai dan ilmuan agama) berpandangan apa juga hasrat untuk mengubah semua amalan yang sebati dalam masyarakat dipercayai akan menimbulkan kekeliruan. Isu ini timbul kerana melalui maklumat yang bertaburan dalam media ada anjuran untuk menyelidiki amalan agama turun-temurun, untuk disesuaikan dengan amalan sunah Rasulullah.



Berdasarkan kenyataan dalam media oleh beberapa individu dan pertubuhan berkaitan Islam, mereka ertikan Islam arus perdana ini seperti amalan berzikir beramar-ramai selepas solat, solat hajat, bertahlil kirim arwah, berdoa dalam sebarang majlis, membaca surah yasin malam Jumaat dan bertalqin di kubur. Oleh kerana kebanyakan masyarakat muslim telah sebati dan percaya semua ini merupakan amalan Islam yang dikategori amal salih, maka wajib dipertahankan sesuai dengan tahap pemahaman agama masyarakat.


Ada kumpulan yang giat menyelidik amalan sunah nabi (Rasulullah) mendapati apa yang dinyatakan sebagai amalan Islam arus perdana ini sebenarnya bukanlah amalan Rasulullah dan para sahabat baginda. Oleh itu mereka menyarankan supaya masyarakat berfikir mengenai kesahihan semua amalan ini demi menjaga kemurniah agama. Pendek kata, mereka yang menggelar aliran Sunah atau Salaf cenderung meninggalkan amalan yang dipercayai tidak ada dalam sunah baginda nabi.


Eloklah diadakan dialog atas semangat surah an-Nisa ayat 59 iaitu kembali kepada Allah dan rasul-Nya jika benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Apabila isunya ibadah khusus, maka tidak ada pilihan lain mestilah dirujuk kepada sumber asal iaitu al-Quran dan Sunah nabi. Inilah kerja-kerja mulia ulama dan ilmuan Islam untuk menjelaskan sama ada apa yang disebut amalan Islam arus perdana ini merupakan Sunah nabi atau tidak. Semua muslim yang beriman tentu tidak mahu ada keraguan dalam meninggalkan atau mengamalkan apa-apa ibadah, kerana ini soal hubungan khusus antara manusia dengan Allah swt.


Kita tidak mahu meninggalkan amalan itu akhirnya rugi dan mengamalkannya pula menjadi sia-sia.

Isnin, November 09, 2009

DENGAN Islam, Melayu lembap juga..



SAYA sudah merasa bekerja selama tujuh tahun dalam organisasi yang dipimpin oleh kaum Cina dan dalam organisasi itu juga ada kira-kira 40 peratus kaum Cina, selainnya Melayu dan India. Lebih sepuluh tahun pula berada dalam organisasi yang dipimpin orang Melayu dan 100 peratus stafnya adalah orang Melayu. Tidak semua orang Melayu melalui pengalaman seperti saya, maka saya dapat menemui sesuatu.

Seorang pengkaji, Dr Asmah Abdullah telah menemui butiran berbeda antara tasawur orang Melayu dan Cina. Bagi kebanyakan orang Melayu, rangking dalam pemikiran dan tindakannya ialah

  • Kepercayaan kepada Tuhan
  • Pelajaran
  • Kejujuran
  • Keikhlasan
  • Kejayaan


Mengikut rangking pemikiran dan tindakan orang-orang Cina ialah

  • Pencapaian
  • Pelajaran
  • Kesihatan
  • Ketekunan
  • Kejayaan


Dalam dunia persaingan kejayaan antara kaum di dalam negara, orang Melayu selalu menduduki tangga kedua setelah kaum Cina. Mungkinkah puncanya ialah tidak ada pemikiran untuk mendapat pencapaian terbaik dalam minda orang Melayu? Namun persoalan lain, adakah kepercayaan kepada Tuhan tidak mampu menyebabkan pencapaian tinggi orang Melayu?

Kejujuran dan keikhlasan dalam minda orang Melayu sangat berkait dengan Islam sebagai pegangan hidup. Dicampur dengan kepercayaan kepada Tuhan, bermakna ada tiga elemen utama dalam kehidupan orang Melayu berorientasikan Islam. Oleh itu janganlah hairan jika dalam banyak hal, orang Melayu mahu Islam dikaitkan.


Adalah salah besar jika mengatakan faktor Islam menjadikan orang Melayu tidak mampu bersaing dengan orang Cina. Persoalan besarnya ialah bagaimana kebanyakan orang Melayu memahami Islam sebagai satu cara hidup, itulah yang menyebabkan kelesuan dan kurang daya juang. Banyak sudah dijeritkan, dikempenkan atau dikhutbahkan bahawa dengan Islam saja orang Melayu akan berjaya dalam persaingan. Berapa lama gagasan itu dilaungkan? 20 tahun atau 50 tahun, keadaan orang Melayu masih sama.


Orang Melayu sebenarnya masih meraba-raba mencari Islam sebenar yang benar-benar dapat memacu kecemerlangan dunia dan akhirat. Selama ini retorik kosong. Cakap kedai kopi, bla, bla, bla….


Apabila ada yang hendak membawa islah, tajdid, reformasi atau perubahan, itulah yang dimusuhi. Selepas itu menjerit ‘Islam saja yang mampu mengubah kita’ dan bla, bla, bla….


Sabtu, November 07, 2009

DR Abdul Shukor Husin: Ahli Sunnah Wal Jamaah


Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Husin di dalam kertas kerja beliau berjudul ‘Ahli Sunnah Wal-jamaah, Pemahaman Semula’ menyebut:

“Berdasarkan pegangan dan penghayatan masyarakat Islam Malaysia, budaya ilmu dan pengajian serta kekuatan undang-undang penguatkuasaan yang tersurat dan tersirat, ternyata meluas dan kukuhnya pengaruh aliran Ahli Sunah khususnya Asyairah dan Maturidiah dalam masyarakat Islam di Malaysia. Tidak keterlaluan jika kita rumuskan bahawa masyarakat Islam Malaysia khususnya orang awam dalam aspek akidah, fahaman aliran Asyairah adalah sinonim dengan Ahli Sunah. Sementara aliran lain seperti Salaf - Ibnu Taimiah dan Wahabiah tidak begitu dikenali atau tidak dianggap sebahagian daripada aliran Ahli Sunah. Oleh itu apabila aliran ini dibincang dan diketengahkan ke dalam masyarakat walaupun untuk tujuan ilmiah, masyarakat Islam terasa ganjil dan resah kerana terdapat kelainan dengan apa yang mereka fahami dan hayati”.

“Fahaman dan pegangan masyarakat Islam kepada aliran Asyairah dan Maturidiah sebagai Ahli Sunah Waljamaah adalah benar dan secara tidak langsung memberikan sumbangan yang membina kepada kesatuan akidah dan rohani masyarakat Islam. Ini kerana fahaman Asyairah dan Maturidiah pada hakikatnya adalah sebahagian daripada Ahli Sunah Waljamaah tetapi fahaman tradisi ini tidak dapat memberikan kefahaman yang tepat dan menyeluruh tentang Ahli Sunah Waljamaah. Fahaman ini juga tidak mampu merentasi generasi Islam yang berada di abad awal Islam yang dikenali sebagai Ahli Salaf atau generasi sebelum Abu Hasan Asyaari dan Abu Mansur Maturidi.

"Berdasarkan pegangan dan fahaman tradisi masyarakat Islam maka Ahli Salaf dan generasi berikutnya tidak tergolong dalam Ahli Sunah Waljamaah. Oleh itu pemahaman tradisi ini harus dinilai kembali berasaskan pendekatan yang patut ditonjolkan bagi memahami aliran Ahli Sunah yang sebenar dengan lebih terbuka supaya fahaman yang sangat terbatas dan keresahan rohani serta perbezaan pendapat dapat dikurangkan.


"Ahli Salaf dari perspektif metodologi ini tidak berakhir pada generasi pertama Islam. Malahan ia berterusan dan diperjuangkan oleh ulama yang ikhlas seperti Imam Malik bin Anas (w. 179H), Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H) dan pengikut-pengikut mereka. Pada awal abad ke-7 Hijrah lahir Imam Ahmad bin Abdul Halim (Ibnu Taimiah) dan Ibnu Qayyim Jawziyyah (w. 751H). Beliau adalah seorang murid setia kepada Ibnu Taimiah. Kemudian pada abad ke-12 Hijrah lahir pula di Semenanjung Tanah Arab seorang tokoh bernama Muhammad bin Abdul Wahab yang mengasas aliran Wahabiah. Walaupun kehadiran dan peranan tokoh-tokoh di atas berbeza dari sudut dan situasi persekitaran, namun faktor itu membuatkan mereka sentiasa mendahulukan petunjuk Quran dan Sunnah. Mereka tidak menerima pendekatan lain atau pandangan dari mana-mana sumber sebelum mereka menyelaraskannya dengan Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.".

Jumaat, November 06, 2009

KAUM Muda/Salaf/Sunah/Wahabi tidak sesat


Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengkategorikan fahaman Wahabi sebagai salah dan sesat di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

"Kalau kita kata sesat, maknanya kalau kita pergi Mekah, kita tak bolehlah sembahyang dengan tok imam di Mekah... tak sah, habislah jemaah haji kita.

"Dia (Wahabi) tak sesat, cumanya ia bergantung kepada kesesuaian di negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Peringkat Kebangsaan bertajuk 'Pendermaan Organ dari Perspektif Islam' di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini.


Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan biasa umat Islam di negara ini.

Mashitah yang menyifatkan isu mengenai Wahabi ini sebagai "sensitif", berkata setakat ini fahaman tersebut masih boleh dibendung dari terus berkembang ke seluruh negara.

"Kita juga perlu menjaga (sensitiviti) beberapa negeri, negara dan masyarakat kita. Jadi kalau kita timbulkan banyak isu ini, masyarakat akan jadi keliru.

"Sekarang ini kita tekankan di Malaysia ialah kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Perbezaan dalam aliran ini selagi tidak menyentuh mengenai akidah, maka ia adalah fahaman yang boleh diterima tetapi kalau sentuh soal akidah, contohnya Allah itu duduk ke tak duduk ke, maka kita akan ambil satu pendekatan yang lebih serius.

"Tetapi setakat ini fahaman Wahabi itu kita masih dapat bendung," katanya.

Mashitah ketika ditanya pemberita sama ada fahaman tersebut boleh dikategorikan sebagai berbahaya, berkata: "Kerajaan dan Majlis Fatwa sedang melihatnya dengan berhati-hati supaya tidak menimbul ketegangan dalam kalangan orang agama mahu pun masyarakat yang melihat.

"Kita di Malaysia ini mengambil pendekatan yang halus dan berdiplomasi. Sensitiviti kebanyakan orang itu, kita kena jagalah. Itu yang kita nak jaga supaya perpaduan sesama kita terpelihara."

Turut hadir pada seminar tersebut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Othman Mustafa dan Pengarah Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan Datuk Dr Azmi Shapie.

Terdahulu, mengenai pendermaan organ, Dr Azmi berkata sehingga Oktober tahun ini, seramai 134,000 orang telah mendaftar dan berikrar untuk menjadi penderma organ dan 19,000 orang pesakit buah pinggang dicatatkan sehingga bulan yang sama.

"Dari jumlah ini, Melayu adalah kumpulan yang terendah untuk tampil mendermakan organ. Ini adalah kerana meraka kurang pendedahan atau pemahaman mengenai pendermaan organ," katanya.

Othman dalam ucapannya pada seminar itu pula berkata agama tidak menghalang untuk menderma organ dan antara faktor penghalang seseorang Muslim untuk menderma organ adalah kerana rasa takut.

Beliau berkata walaupun pendermaan organ seperti jantung dan kornea dibolehkan dan difatwakan pada tahun 1970, namun jumlah individu Islam yang menderma amat kecil berbanding mereka yang beragama lain. BERNAMA


Khamis, November 05, 2009

KAUM Muda, Salaf, Sunah atau Wahabi?

APABILA WTC di New York diserang pada 11 September 2001 dan yang dituduh membuat kerja ini ialah orang Islam, akibatnya orang yang ada akal dan berfikir mahu tahu apa itu Islam. Mereka mahu tahu benarkah ajaran Islam yang ada dalam alquran menggalakkan umatnya berperang seperti menjadi penyerang-penyerang pengebom bunuh diri (berani mati?) itu? Selepas itu di mana-mana kitab alquran dalam pelbagai bahasa dibeli orang, khasnya yang berfikir. Mereka mahu tahu Islam.


Kini tiba-tiba didebatkan aliran wahabi dengan tertangkapnya Dr Mohd Asri oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Alasan mengajar tak bertauliah itu mungkin hanya alasan, tetapi kebanyakan pegawai agama (ustaz dan ulama) memang sudah mengecop Dr Mohd Asri ini beraliran wahabi. Orang-orang agama ini percaya yang Wahabi tidak boleh dibawa masuk ke Malaysia. Itulah sebabnya isu ini naik semula dengan kes serbuan Jais.


Sekarang, dalam zaman internet terlalu mudah untuk mencari maklumat secara jujur mengenai Wahabi. Yang mengutuk dan memuji aliran ini semua ada. Tetapi tidak semua orang Islam cepat membuat kajian mengenai wahabi, betul atau salahnya. Kebanyakan buat tidak perduli dan hanya menunggu orang-orang agama membuat kesimpulan.


Sama ada istilah yang tepat itu Wahabi atau Salafi atau Sunah bergantung kepada pentafsiran seseorang. Orang-orang yang dituduh beraliran (manhaj) Wahabi memang tidak suka dilabel Wahabi sebab istilah itu membawa gambaran negatif. Mereka sendiri pun tidak tahu negatif dari sudut mana. Golongan ini lebih selesa menerima gelaran Salafi atau aliran Sunah. Awal abad ke-20 dahulu kumpulan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Tokoh-tokoh Kaum Muda (Wahabi/Salafi/Sunah) yang terkenal ialah Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Salim Kalahi dan Pendita Zaaba. Mereka tokoh pembaharuan dalam sejarah perjuangan membangun bangsa dan umah.


Kepada orang yang tidak suka aliran berkenan, pastinya akan menyebut Wahabi. Mereka tidak sesekali akan menyebut aliran Salaf atau Kaum Muda. Untuk menyebut aliran Sunah, jauh sekali. Bagi mereka, menggantikan istilah Wahabi dengan Salaf atau Sunah pasti mematikan langkah kerja-kerja melawan aliran yang diamalkan di Makkah dan Madinah. Masyarakat pasti akan menolak kerja memburukkan Sunah nabi, tetapi menerima pandangan mengkritik Wahabi.


Oleh itu, biarlah masyarakat mencari maklumat dengan adil dan bijaksana. Zaman telah berubah dan masyarakatnya juga mempunyai asas kuat untuk berfikir. Sama ada orang suka atau benci Wahabi ini biarlah setelah meneliti maklumat yang tepat dan mempunyai hujah yang kukuh, bukan kerana sangkaan saja.


Secara tidak langsung isu penangkapan Dr Mohd Asri akan menyebabkan mereka yang berfikir mencari maklumat tentang tuduhan siapa dan apa Wahabi.



Rabu, November 04, 2009

JAKIM jawab hal wahabi


Ruangan Soal Jawab Kemusykilan Agama

SUMBER:http://baheis.islam.gov.my/web/musykil_new.nsf/92be69fae3f225c0482567f1005a8e7b/7a38be05d1fc7baf4825757700042f81?OpenDocument


Nama : IzzulIslam.
E-Mel : Ibnunafis@yahoo.com.
Kategori : AKIDAH
SUB KATEGORI : Tauhid/Iman/Mazhab
Tarikh Hantar Soalan : 12/03/2009 08:45 AM

Soalan :


Assalamu'alaikum wbth,

Saya ingin bertanyakan soalan. Jakim memfatwakan Wahabi tidak sesat. Tetapi mengapa pula mereka yang berfahaman wahabi boleh menghukum sesat kepada ulamak dan umat Islam yang lain. Contohnya : Rasul Dahri di dalam bukunya Imam Syafie Mengharamkan Kenduri Arwah, Tahlilan, Yasinan dan Selamatan. Terbitan Jahabersa : menyalahgunakan istilah makruh dengan ditukar kepada haram kenduri arwah. Beliau juga menghukum sesat kepada ikhwanul Muslimin, tarekat sufi secara total.


Perkembangan mereka di Malaysia seperti Dr Asri Zainul Abidin, An Nawawi, Hafiz Firdaus, Mohd Yaakub, Maulana Asri Yusof. Mereka ini dibenarkan bergerak bebas di dalam internet dan lawan web seperti al-ahkam.net, al-fikrah.net dan yang sewaktu dengannya dan secara senyap-senyap menyebarkan fahaman wahhabi yang suka menghukum sesat dan juga amalan alla mazhabiyyah iaitu tidak bermazhab tanpa ada kelayakan menjadi mujtahid. Semasa Dr Asri menjadi mufti, artikelnya di dalam utusan Malaysia selalu melekehkan ulamak Islam, guru pondok, Ulamak syafie, pengajian sifat 20. Nampaknya ia tidak diambil tindakan. Sila berikan penjelasan mengapa tiada perkara ini tidak diselidiki dan dibanteras hingga ke akar umbi. Terima kasih..


Jawapan :

Wa'alaikumussalam w.b.t, Saudara yang budiman, di dalam meletakkan atau menetapkan sesuatu perkara, tidak dapat tidak hendaklah di sertai dengan dalil atau nas yang qat'i serta rujukan yang benar lagi soheh serta di i'tiraf.


Kematangan ilmu yang kurang boleh menjurus kepada ketidakadilan meletakkan sesuatu hal atau perkara. Mutakhir ini wujud kepelbagaian ilmu hasil penjelajahan masyarakat kita di dalam menuntut ilmu pengetahuan. Dan hasilnya, apa yang di pelajari diaplikasikan di dalam kehidupan masing-masing. Sebagai contoh, apabila mereka menuntut di timur tengah seperti Mesir, mereka lebih cenderung kepada Syafie. Begitu juga jika di Madinah, kecenderungan lebih kepada salafiy atau wahabi. Maka, jika wujud perbincangan sudah tentu mereka mengeluarkan apa yang mereka pelajari.


Justeru, sebagai masyarakat Islam, seharusnya kita lebih berusaha mempertingkatkan pengetahuan kita di dalam mempelajari ilmu-ilmu agama seperti perbezaan mazhab islam, perbandingan agama, pengajian hadis dan tafsir serta banyak lagi. Jadi, apabila wujud masalah, mudah bagi kita untuk mempertimbangkannya. Wallahu A'lam.


Status : Selesai - Paparan Web.
Nombor Rujukan : PANEL SJAI(ASM) 280509
Tarikh Selesai : 28/05/2009 12:03 PM


Nota:

1. Jawapan kepada soalan disediakan oleh Panel Kemusykilan Agama, JAKIM

2. Setiap borang yang dihantar hendaklah mengandungi hanya satu soalan sahaja.

3. Jawapan yang diberi adalah berdasarkan Mazhab Shafie kecuali dinyatakan sebaliknya.

Selasa, November 03, 2009

KENYATAAN NGO sunah mengenai Dr Asri


Senarai NGO Sunnah yang membantah penahanan kontroversi bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta memorandum kepada Yang diPertuan Agong oleh Persatuan Peguan Syarie Malaysia (PGSM).


1. Institut al-Qayyim, Pulau Pinang
2. Pertubuhan Kebajikan al-Nidaa Malaysia, Kuala Lumpur
3. Institut al-Mizan, Negeri Sembilan
4. Pertubuhan Kebajikan al-Qalam, Perlis
5. Akademi al-Faqeh, Selangor
6. INTIS Consultant and Training, Kuala Lumpur
7. Yayasan at-Tibyan, Pahang
8. Institut Ibn Kathir, Perlis
9. Muslim Professional Forum, Kuala Lumpur
10. Yayasan Kebajikan Nusantara (YAKIN), Kuala Lumpur
11. Pertubuhan al-Khaadem, Kuala Lumpur
12. Yayasan Ta’lim, Kuala Lumpur
13. Islamic Propagation Centre International (IPCI), Pulau Pinang
14. Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Ibnu Hajar(IBH), Melaka.
15. Gagasan Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (GUASMA)

RESPONS TERHADAP PENANGKAPAN DR. MAZA

1) Kami merasa kesal dan dukacita dengan cara para petugas JAIS menangani isu penangkapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Hulu Kelang malam semalam. Proses penahanan tersebut telah dilakukan dengan cara yang tidak professional dan biadab, serta membelakangkan adab kesopanan dan tata susila agama.

a) Kami merasakan penangkapan Dr Mohd Asri dilakukan dengan cara yang tidak terhormat, bahkan tidak mengikut prosedur undang-undang yang wajar. Kehadiran begitu ramai anggota polis seolah-olah menggambarkan seorang penjenayah besar sedang dikepung untuk ditangkap.

b) Dalam kejadian yang belaku di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur yang menyaksikan bahawa pegawai JAIS yang terlibat telah mengganggu petugas media menjalankan tugas, dan ini adalah bukti mereka tidak professional.

c) Kami juga sangat hairan bagaimana Dr. Asri dibiarkan tertunggu-tunggu selama beberapa jam tanpa sebarang pertuduhan di ruang mahkamah. Lebih menghairankan lagi tiba-tiba beliau dikatakan telah dibebaskan dengan bon jaminan sedangkan hal tersebut tidak pernah berlaku.

2) Kami menggesa agar dalang di sebalik kekacauan yang berlaku pada hari tersebut dikenalpasti dan diambil tindakan tegas oleh pihak berwajib.


a) Kami ingin tertanya-tanya apakah bentuk penjelasan yang telah diberikan oleh para petugas JAIS kepada pihak polis sehingga menyebabkan seluruh taman perumahan dikepung oleh pihak polis. Adakah rumah tersebut sedang melakukan aktiviti jenayah?

b) Kejadian tersebut amatlah tidak wajar, seolah-olah para pegawai JAIS sengaja menggambarkan bahawa Dr Mohd Asri seperti seorang penjenayah dan menjatuhkan kredibiliti beliau.

c) Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak polis yang bertindak professional dalam menangani kes tersebut yang ternyata lebih baik berbanding para petugas JAIS.

3) Kejadian yang berlaku lewat malam semalam adalah bukti diskriminasi dan prejudis terhadap kesarjanaan ilmu dan keterbukaan pemikiran. Dan pada masa yang sama, mencemarkan kebebasan bersuara dalam negara demokrasi yang dilaung-laungkan selama ini.

4) Kami dengan ini meminta penjelasan daripada JAIS serta pihak-pihak berkaitan, kenapa seorang bekas mufti, ahli Majlis Agama Islam Negeri Perlis, pensyarah kanan di universiti tempatan yang mempunyai kelulusan khas dalam bidang agama, kolumnya dibaca oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia, bahkan diiktiraf keilmuannya oleh pihak kerajaan Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, ditahan atas sebab tiada tauliah. Jika tauliah menjadi isu kenapa masih ramai individu yang memberikan ceramah di masjid dan surau di bawah seliaan JAIS tanpa tauliah, akan tetapi tidak ditahan. Maka dapat kami simpulkan bahawa penahanan Dr Mohd Asri adalah berbentuk selektif ataupun berpilih-pilih.

5) Kami sangat menghargai keprihatinan dan sokongan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan sebilangan ahli palimen Malaysia yang bersidang hari ini. Reaksi positif pihak terbabit member sinar kepada kebebasan berfikir dan bersuara dalam sebuah Negara demokrasi berdaulat seperti Malaysia ini.

6) Dengan ini, kami sebulat suara menggesa pihak yang berkaitan menghentikan politicking agama ini agar wajah penguatkuasa Islam tidak dipandang remeh dah hina oleh masyarakat awam. Kami juga menggesa agar dalang dan petualang yang mencetuskan kekecohan ini diambil tindakan tegas bagi menghentikan agenda buruk mereka. Jika benar ada pertuduhan lakukanlah dengan adil dan saksama.

RESPONS TERHADAP KENYATAAN BALAS PGSM

1) Kami, ingin menyelar kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang mengatakan bahawa memorandum tersebut adalah satu perkara yang remeh yang sengaja digembar-gemburkan oleh Dr. Asri.

2) Namun, perkara remeh seperti yang didakwa oleh pihak PGSM, telah dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong, seterusnya seolah-olah meremehkan dan memperlekehkan Yang di-Pertuan Agong itu sendiri.

3) Kami dengan ini, ingin menyatakan bahawa memorandum tersebut dipenuhi dengan tuduhan-tuduhan palsu dan berbentuk fitnah. Ternyata bahawa mereka telah berbohong di hadapan YDP Agong dan seluruh rakyat yang membaca memorandum tersebut.

4) Kami juga percaya bahawa memorandum seperti yang telah dikeluarkan itu tidak disokong oleh kesemua 16 NGO, bahkan kami juga percaya bahawa ianya bukanlah kenyataan rasmi mereka. Akan tetapi ia cuma mewakili sesetengah individu yang berkepentingan.

5) Dan kami juga meragui pernyataan memorandum tersebut bahawa majoriti umat Islam di Malaysia membantah, dan tidak menerima Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedangkan telah ternyata jelas bahawa Dr Mohd Asri mampu mendapatkan sokongan yang baik, samada dari pihak kerajaan, pembangkang mahupun pihak-pihak berkecuali.

6) Kami merasakan bahawa pihak PGSM telah mencemarkan imej baik mereka sebagai pengamal undang-undang yang sepatutnya menitik beratkan soal bukti, hujah dan juga fakta yang benar dalam menyatakan tuduhan. Kenyataan yang berbentuk pembohongan serta fitnah seperti di dalam memorandum tersebut telah mencalar kredibiliti PGSM lebih-lebih lagi sebagai persatuan pengamal perundangan Islam. Malahan, ia menggambarkan mentaliti dan cara bertindak yang rendah.

7) Dengan ini, kami menggesa pihak PGSM membuktikan kesemua 10 tuduhan yang dimuatkan di dalam memorandum tersebut, dan kami ingin menolak sekeras-kerasnya kesemua dakwaan palsu yang termuat di dalam memorandum yang telah disampaikan kepada Yang diPertuan Agong tersebut.

8) Kami juga ingin mencabar pihak PGSM untuk membuktikan kesemua tuduhan palsu di dalam memorandum tersebut secara terbuka untuk merungkai segala kekeliruan memandangkan memorandum tersebut telah pun disiarkan kepada umum di dalam laman sesawang PGSM sendiri.

9) Kami juga memohon penjelasan pihak PGSM mengemukakan sumber yang menyebut berkenaan perlantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebagai Yang Dipertua YADIM. Berdasarkan satu kenyataan akhbar (2 November 2009, Berita Harian, muka 5) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Jamil Khir Baharom beliau telah menegaskan bahawa tiada perlantikan baru atau pengganti untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut kerana tempoh jawatan YDP YADIM yang sedia ada telah dilanjutkan sehingga 2012.