Pengikut

Sabtu, Oktober 03, 2015

TIDAK ada yang aminkan Tarhim sebelum Subuh


TARHIM dilaungkan dari menara-menara masjid sebelum dilaungkannya azan subuh. Tarhim adalah susunan ayat berupa doa kepada Allah. Daripada doa untuk kebaikan umah terhadap Sang Khalik sehinggalah berkenaan khalifah selepas kewafatan Rasulullah: Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali.  Jika Tarhim itu sebagai doa, mengapakah tidak ada orang mengaminkan bacaan Tahrim pada sebelum subuh itu?

Bacaan Tarhim yang berulang-ulang sebelum Subuh merupakan adat Melayu untuk menghiasi hening sebelum subuh.  Orang  pun tidak tahu Tarhim satu susunan doa, maka tidak ada orang yang mengaminkannya. Orang yang sedang beriktikaf dalam masjid pun tidak mengaminkannya.  Konon dengan laungan Tahrim, maka orang akan terbangun daripada tidur, kemudian akan ke masjid untuk shalat Subuh berjamaah. Jika itu tujuan membaca Tarhim, patut benar kandungannya diubah kepada ayat yang membangunkan manusia tidur.  Atau dibariskan doa-doa agar Allah menjadikan mereka yang mendengar Tarhim segera bangun.  Itu sepatutnya bisa dibuat sebab tarhim bukan aturan daripada Nabi, itu aturan kita sendiri.

Mengikut sunah Nabi s.a.w., memanggil orang ke masjid untuk solat ialah dengan azan. Dalam azan ada laungan ‘marilah shalat..marilah shalat’. Malah untuk membangunkan orang tidur, dalam azan subuh telah ada seruan ‘Shalat lebh baik daripad tidur’.

Dalam sejarah, ada kisah bagaimana Khalifah Usman menyedarkan orang yang dalam kesibukan untuk ke masjid. Itu terjadi di Madinah, pada hari Jumaat. Jaman belum ada jam dan pembesar suara, medium yang dipilih oleh Khalifah Usman adalah azan.  Maka beberapa waktu sebelum masuknya waktu zuhur pada hari Jumaat, seorang telah berdiri di tengah-tengah pasar Madinah, melaungkan azan. Tujuannya untuk menyedarkan manusia supaya bersiap ke masjid, kerna tidak lama lagi ada majlis Shalat Jumaat. Namun azan di pasar Madinah itu bukan azan syariat beribadah sebagaimana azan sesudah masuknya waktu-waktu shalat. 

Sepatutnya, jika tujuan Tarhim untuk menyedarkan manusia daripada tidur untuk segera ke masjid kerna tidak lama kemudian akan masuk waktu Subuh, mengapa tidak dilaungkan azan kira-kira 40 menit sebelum azan subuh yang sebenar?  Contoh di jaman sekarang pun ada dan semua ahli agama tahu, iaitu di masjid Madinah dan Masjidil Haram Makkah dilakukan begitu. Di beberapa masjid dalam negara juga melakukan hal yang sama. Pejabat-pejabat agama tidak harus hanya pandai menutup Tarhim saja, sebaliknya menggantikan dengan amalan sunah.


Jadi mau apa lagi kita ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan