"Malaysia Berdaulat: Tempat Tumpahnya darahku" |
MALAYSIA merayakan hari merdekanya pada tanggal 31
Ogos. Tahun ini sudah 56 tahun negara ini merdeka. Oleh kerna negara ini memberi hak bersuara
kepada rakyatnya, maka antaranya berkata bahawa kemerdekaan negara tidak
bermakna merdeka sebenar. Merdeka
Malaysia tidak menitiskan darah! Kerna
itu para pemimpin negara dahulu didakwa pula sebagai pengecut dan menjadi antek
atau tali barut penjajah!
Mengeji atau memuja memang mudah. Belum tentu yang mendakwa orang takut mati
berdarah, dia adalah orang yang dengan rela ditumpahkan darahnya.
Tanah Malaysia bukan mula dijajah kuasa Barat pada
tahun 1955 dan kemudian pada tahun 1957 mendapat kemerdekaan. Jika hanya tempoh dua tahun itu negara
dijajah dan merdeka pula, saya pun setuju tidak ada darah tumpah ke bumi kerna
perjuangan melawan penjajahan. Tetapi
negara mula dijajah kuasa Barat sejak tahun 1511. Sejak tahun itu sahaja, entah berapa ratus
pejuang-pejuang tanah air di bawah pimpinan Sultan Mahmud Syah (mantan Sultan
Melaka) gugur sebagai perwira kerna mahu menghalau bangsa Portugis dari bumi
Melaka. Perjuangan berdarah melawan
Portugis untuk membebaskan Melaka disambung pula oleh putera almarhum Sultan
Mahmud yang telah membina negeri Johor.
Berapa banyak yang tewas, darah tumpah ke bumi?
Antara pejuang yang hebat mahu membebaskan Melaka
dari penjajahan Barat ialah Yam Tuan Muda Raja Haji yang berpangkalan di
Johor-Riau. Namun darah Raja Haji juga
tumpah di ditanah tercinta. Itu berlaku
pada abad ke-18, sebelum datangnya British dan Jepun menjajah negara.
Berapa banyak pula yang tumpah darahnya akibat
melawan British di Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak? Perjuangan Maharaja Lela, Mat Kilau, Datuk
Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Rentap dan Mat Salleh bukan
dengan lisan dan air mata, tetapi dengan mengalirkan darah ke bumi!
Jangan hanya melihat Perang Revolusi Indonesia
melawan Belanda untuk kemerdekaan totalnya tahun 1949 sebagai kayu ukur cara
kemerdekaan Malaysia. Benar tidak ada
revolusi melawan British sehingga Malaysia merdeka, tetapi perjuangan bukan
hanya dengan cara bertempur dan merusuh.
Bertempur di medan perang pun akhirnya tetap ke meja rundingan untuk
mengikat janji antara yang menang dan kalah.
Sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia sangat
panjang, sepanjang sejarah penjajahan bangsa-bangsa asing seperti Portugis
(Portugal), Belanda, Jepun dan British.
Perjuangan secara tempur atau perang telah ditempuh dengan panjang
berserta linangan air mata dan darah, maka sampai masa perjuangan merdeka
ditukar dengan cara debat dan lisan.
Akhirnya Malaysia merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957!
Hari ini Malaysia terus berdaulat dan menjadi salah
satu negara yang gah di dunia. Meskipun
Malaysia berwilayah kecil penduduknya 28 juta jiwa, namun kejayaan menjaga
kemerdekaan dan memajukan negara
menjadikan Malaysia tumpuan pencari kerja dari Indonesia, Bangladesh, Filipina,
Thailand, Kemboja, Mnyanmar, Nepal dan India.
Bukankah negara-negara berkenaan terlebih awal merdeka berbanding
Malaysia, yang antaranya dengan perang revolusi untuk mengalahkan penjajah
Barat! Akhirnya mereka ke Malaysia juga
mencari rezeki keluarganya.
Seluruh rakyat Malaysia berhak merasa bangga dan
bersyukur dengan kemerdekaan negara serta meneruskan jalan keamanan dalam
negara. Jelas fitrah manusia ialah
mahukan keamanan! Kalau Malaysia tidak aman, tidak ada rakyat asing yang ke
Malaysia, malah sepatutnya rakyat Malaysia yang keluar ke negara lain. Ini tidak berlaku dalam sejarah Malaysia merdeka!
Dirgahayu Malaysia!