WARISAN dosa merupakan akidah dalam agama kristian. Dosa Nabi Adam dan Hawa yang melanggar larangan Allah di syurga menjadi bebanan seluruh manusia sepanjang zaman. Ertinya, kita yang tidak menganut agama Kristian juga dibebani dosa Nabi Adam kerana kita adalah keturunan Nabi Adam. Kemudian Allah yang sangat Penyayang menjelmakan dirinya sebagai Jesus (versi Islam adalah Nabi Isa), lahir ke dunia untuk membasuh dosa keturunan ini. Lantaran itulah Jesus merelakan dirinya disalib sehingga mati demi membasuh dosa ini. Dengan tersalibnya Jesus, menurut akidah Kristian lenyaplah dosa keturunan ini. Mesejnya di sini ialah berdasarkan agama Kristian, dosa orang lain dibebankan kepada kita! Dosa atau kesalahan boleh dipindahkan dari satu keturunan manusia ke keturunan manusia yang lain, dari satu zaman ke satu zaman yang lain
kubur muslim dan Kristian berjiran!
Adakah Islam menerima konsep dosa yang diwariskan atau diberikan kepada generasi kemudian? Tidak. Adakah Islam memberikan hak manusia yang masih hidup mengirimkan dosanya kepada orang lain yang telah lama mati? Tidak.
Perhatikan pula, adakah Islam menerima konsep pahala kebajikan orang zaman dahulu diwariskan kepada generasi sekarang atau kemudian? Ada yang tidak berani mengatakan ya atau tidak. Lagi, adakah Islam memberikan hak kepada manusia zaman kini untuk menyerahkan pahala amal ibadahnya kepada generasi muslim terdahulu? Masih tidak dapat menjawabnya. Yang tidak berani menjawabnya kerana bingung.
Pada asalnya semua muslim menolak konsep dosa warisan dalam akidah Kristian sehingga sesiapa muslim yang menerima konsep dosa warisan itu bermakna akidahnya lebur! Apabila ditanyakan konsep pahala warisan dalam Islam, bingung sebab sebagian sudah menjadi adat dan diterima sebagai agama bahawa pahala manusia generasi sekarang boleh dipindahkan kepada generasi terdahulu.
Apabila berlaku kontroversi seperti ini, eloklah kembali kepada al-Quran, jika kita masih beriman dengan sebenar-benarnya dengan wahyu Allah ini. Saya catatkan satu contoh ayat Allah dalam surah al-Fusilat ayat 46 ertinya: Sesiapa yang mengerjakan kebajikan, maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka (dosanya) menjadi tanggungan diri sendiri. Dan Tuhanmu sama sekali tidak menzalimi hamba-hambanya.
Padankanlah konsep dosa warisan dalam akidah kristian dan adat menghulur pahala kepada generasi terdahulu oleh umat Islam sekarang terhadap ayat al-Quran di atas.
Akan banyak bertanya semula: Adakah kami selama ini bersalahan dengan ayat Allah itu? Adakah tuan guru kami tidak faham ayat al-Quran? Jawabnya mudah, jika berlaku pertentangan antara Allah dan sesiapa juga, jawabnya Allah yang menang! Muktamad.
Emmm, ada kaedah lain untuk mengatakan firman Allah di atas salah? Saya berlepas diri daripada pemikiran seperti itu.