Presiden Pas, TG Haji Hadi Awang |
PARTI-parti politik zaman sekarang sama seperti
kewujudan kabilah-kabilah Arab pada
zaman pra-Islam dan Rasulullah dahulu.
Berpecah dan bertelingkah antara sesama parti dan kabilah, tetap
sama. Oleh kerna pada masa ini umat
Islam berpecah berdasarkan parti politik, ada yang sanggup memberi hujah
perpecahan ini ‘sah’ sebab para Sahabat Rasulullah juga berpecah dan berperang
antara satu sama lain! Begitulah kuatnya fahaman sekular dalam demokrasi, yang
membutakan manusia muslim terhadap ajaran dalam al-Quran.
Hanya untuk mengesahkan perpecahan dalam masyarakat
muslim, ada pemimpin yang ‘berkerat rotan’ atau ‘berpatah arang’. Tidak ada persefahaman dalam politik jika
demokrasi membenarkan pemisahan antara dua parti yang dianggotai oleh orang Islam.
Benar berlaku perpecahan sehingga peperangan pada
zaman para Sahabat Nabi. Sewaktu Saidina Ali bin Abi Talib menjadi Khalifah,
telah berlaku dua peperangan antara umat Islam iaitu Perang Jamal dan Perang
Siffin. Walaupun Khalifah Ali terpaksa
berperang dengan dua pihak lain yang dipimpin oleh Sahabat-sahabat Nabi, namun
perhatikan juga sikap Khalifah Ali ketika melayan penentangan itu. Sebenarnya dalam kedua-dua peperangan itu,
Khalifah Ali berpeluang mengalahkan (baca membunuh dan memusnahkan) lawannya, namun
kerna keimanannya terhadap perintah Allah supaya tidak berpecah (bertelingkah)
maka kesempatan itu dibiarkan dan mengutamakan keamanan dan keselamatan jiwa rakyat.
Kemudian apabila Khalifah Ali wafat Tahun (661M),
umat Islam masih berpecah dua akibat politik.
Satu berpihak kepada Muawiyah bin Abi Sufyan yang berpusat di Syam
(Syiria) dan Saidina Hassan bin Ali bin Abi Talib di Kufah, Iraq. Dari sudut politik, Saidina Hassan bin Ali
lebih utama menjadi khalifah kepada semua umat Islam kerana putera kepada
Khalifah Ali, serta cucu Rasulullah s.a.w.
Saidina Hassan bin Ali boleh saja menggunakan kedudukan ini untuk
menjadi Khalifah seterusnya mengalahkan Muawiyah bin Abi Sufyan, walaupun
beliau juga seorang Sahabat Nabi.
Namun Saidina Hassan bin Ali lebih mengutamakan
perpaduan politik umat Islam. Pilihannya
beliau tidak menerima jawatan Khalifah, lantas membaiah pula Muawiyah sebagai
Khalifah untuk semua muslim. Apabila
orang yang mempunyai reputasi tinggi dan banyak pengikut seperrti Saidina Hassan
bin Ali membaiah ‘musuh’ ayahnya, maka tidak ada lagi permusuhan sesama muslim
akibat politik. Walaupun Saidina Hassan
bin Ali tidak menjadi Khalifah umat Islam, tetapi sumbangannya sangat besar
kepada umah iaitu menyatupadukan umah, menyelamatkan umah dalam bencana fitnah
(peperangan) dan perbalahan yang besar!
Apa yang Saidina Hassan bin Ali dapat dengan
membaiah ‘musuh’ ayahnya? Tidak ada
apa-apa pangkat dan kurniaan gelar daripada Khalifah Muawiah bin Abi Sufyan
pun. Cukuplah dia percaya apa yang
dilakukannya sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai orang yang diberi pengaruh
dalam masyarakat Islam. Dengan
pengaruhnya, keamanan dan perpaduan yang wajib diamalkan oleh semua muslim
dapat diamalkan.
Situasi itu patut dijadikan iktibar kepada para pemimpin
Islam di negara ini. Indah apabila Presiden Pas, Tuan Guru Haji Hadi Awang merendah
diri, tidak mahu mengiklan diri sebagai calon Perdana Menteri Malaysia malah
lebih senang menjadi nelayan! Oleh itu
sepatutnya beliau mencontohi sikap cucu Rasulullah yang membawa umah dalam
perpaduan dalam situasi janji dirinya pun bukan mahu menjadi seorang Perdana
Menteri (mahu menjadi nelayan saja!)
Harap seorang pemimpin bergelar Tuan Guru
mencontohi sikap Saidina Hassan bin Ali, insya Allah namanya akan harum
sepanjang sejarah negara!